Anda di halaman 1dari 5

Malaysia merupakan satu negara yang dibentuk pada 16 September 1963 setelah

berada dibawah jajahan seperti Portugis, Belanda dan British. Malaysia terkenal di mata
dunia kerana mempunyai rakyat yang terdiri daripada variasi agama, kaum, budaya dan
adat resam. Namun begitu, rakyat Malaysia masih mampu tinggal di tempat yang sama
dengan aman malah duduk semeja di kedai makan. Buktinya, data GPI yang dikeluarkan
bulan lepas meletakkan Malaysia di tangga ke-29 negara teraman di dunia daripada 163
buah negara dan kedudukan itu jauh lebih baik berbanding negara kuasa besar seperti
United Kingdom yang berada di tangga 41, Amerika Syarikat (114), China (116) dan Rusia
(151) (Free Malaysia Today Bernama, 2017). Oleh itu, amat penting untuk setiap warga
Malaysia untuk menjaga hubungan antara masyarakat tidak kira berbeza agama dan kaum.
Melalui kursus ini, MPU3122 Hubungan Etnik, kami memupuk nilai menghargai,
menghormati dan mempelajari adat, budaya dan kepercayaan masyarakat Malaysia yang
lain agar dapat dibawa ke sekolah kelak dan diterap dalam diri anak murid.

Untuk melengkapi kehendak kursus ini, kami telah dikehendaki untuk menjalankan
satu kajian mengenai peristiwa / dasar / adat resam / amalan budaya yang relevan dengan
topik hubungan etnik. Saya dan ahli kumpulan saya telah memilih untuk membuat satu
kajian mengenai tatu kaum Iban. Kaum Iban memang terkenal dengan amalan budaya tatu
sejak dahulu lagi sampai sekarang. Tatu atau ‘’pantak’’ dalam Bahasa Iban merupakan
lambing peribadi dan keunikan seni tradisi yang sudah lama wujud dalam kalangan
masyarakat Iban di Sarawak. Masyarakat Iban di Kuching dan Samarahan selalu
menggelarkan tatu sebagai ’’pantak’’ manakala di kawasan Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Sri
Aman, Betong, Sarikei dan Kapit, tatu disebut sebagai ‘’pantang’’ (Chemaline, 2011).
Terdapat banyak gelaran seperti pantak, pantang, kelingai dan telingai namun masih
bermaksud tatu. Ia cuma berbeza sebutan kerana sedikit perbezaan bahasa dalam Iban
mengikut tempat.

Segelintir masyarakat di Limbang, Lawas dan juga kawasan kecil Kapit


menggelarkan tatu sebagai ‘’kelingai’’ atau ‘’telingai’’ yang bererti ukiran seperti kala
jengking pada lengan dan paha orang yang telah pergi merantau jauh ke tempat orang lain.
Pada asalnya, membuat kelingai pada tubuh mempunyai dua sebab. Yang pertama, kelingai
bertujuan untuk memasukkan sesuatu seperti sesuatu seperti kuasa, kekutan atau pemanis
dalam diri seseorang itu. Sebab kedua pula, bertujuan untuk menunjukkan atau
membuktikan seseorang yang telah lama merantau ke tempat lain dan membuat tatu di
tempat itu. Tatu tersebut akan dikenang apabila kembali ke tempat asalnya (Rintai, 2012).
Sebagai contoh, perantau tersebut berasal dari Sibu dan telah merantau ke Kuching.
Sewaktu di Kuching, perantau tersebut telah membuat tatu untuk dijadikan bukti telah
merantau ke sana. Sewaktu kembali ke Sibu, perantau tersebut akan berkongsi pengalaman

1
dan memberitahu bahawa tatu tersebut dibuat di Kuching untuk membuktikan telah
merantau jauh.

Contoh ‘’kelingai’’ pada lengan

Pada zaman moden ini, tatu dihasilkan dengan mudah sekali iaitu menggunakan
mesin tidak seperti cara tradisional tatu Iban. Pada zaman dahulu, tatu hanya dihasilkan
menggunakan jarum dan dua batang kayu belian dengan menggunakan teknik ketukan.
Menurut Ernesto Kalum yang merupakan pembuat tatu tradisional terkenal di Sarawak
apabila ditemu ramah oleh wartawan Berita Harian, kaedah tradisional lebih baik berbanding
menggunakan mesin kerana corak dihasilkan lebih berkualiti memandangkan seninya lebih
halus dan asli, selain mempunyai nilai estetika tersendiri (Nurul Hidayah Bahaudin, 2016).
Jarum diikat pada hujung pemegang kayu tersebut. Dalam proses pembuatan tatu ini,
pukulan ringan akan dilakukan pada permukaan kulit dengan jarum telah dicelup pada
dakwat bagi menghasilkan corak tatu. Pembuatan tatu secara tradisional pula mengunakan
dakwat yang diperbuat daripada jelaga yang direbus dalam air tebu dalam masa beberapa
jam. Selepas itu, ia akan dibiarkan beberapa hari untuk mengalami proses penapaian. Cara
ini dilakukan untuk memelihara ketahanan dakwat yang telah dihasilkan untuk jangka masa
berpanjang. Orang Iban menamakan dakwat yang diperbuat dengan cara ini dengan ialah
“alung“(Ruai Kenyalang, 2011). Pada zaman sekarang pula proses pembuatan tatu adalah
dengan kaedah elektrik dimana ia lebih mudah dan menjimatkan masa.

2
Cara tradisional membuat tatu Iban (Teknik ketukan)

Tatu yang biasa dilihat pada badan seorang kaum Iban ialah tatu Bunga Terung.
Kebiasaannya, tatu ini dicacah di kedua-dua belah bahu. Tatu bunga terung merupakan
hasil dari seni dan tradisi di Kalimantan Barat. Tatu ini merujuk maknanya pangkat atau
kedudukan sebab umumnya letak pertama ada di bahu. Corak ini akan dicacah atau
dipantang pada kedua-dua belah bahu orang lelaki. Hanya orang lelaki yang mempunyai
tatu ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam sesebuah keluarga.
Tatu tersebut dikatakan mempunyai semangat spiritual yang tinggi terhadap si pemilik tatu.
Ia memberikan kekuatan kepada bahu untuk memikul segala aktiviti yang berat. Misalnya,
memikul beban sebagai anak lelaki kepada keluarganya atau sebagai ketua keluarga.
Namun, tatu bukan sekadar ada pada badan lelaki sahaja. Di tengah ‘bunga terung’ pula
terdapat corak pusaran yang melambangkan hidup baru dan mendapat pengaruh daripada
perut berudu. Tatu ini merupakan azimat bagi mereka yang telah pergi mengembara. Bagi
masyarakat Dayak Iban, seseorang yang memiliki tatu bunga terung di sekeliling pinggang
biasanya lapan buah bererti orang itu sudah mempunyai banyak pengalaman. Selain itu,
maksud tatu bunga terung juga merupakan satu petanda mereka yang sudah cukup puas
merantau dan menguasai ilmu pengetahuan (Sarawakiana, 2014).

Menurut responden temu bual iaitu Florance Anak Pasang, untuk wanita Iban pula,
tatu pada bahagian jari, lengan, kaki dan paha merupakan lambang kedudukan sosial dan
pencapaian mereka dalam kemahiran seperti menenun, menari iaitu ngajat. Selain itu, ia
juga berfungsi sebagai penghias diri sahaja. Namun, pada masa sekarang terdapat juga
wanita yang mempunyai tatu Iban seperti orang lelaki.

Corak tatu seterusnya ialah “tegelu“. Tegelu dicacah pada belakang tangan
bermaksud kejayaan pahlawan dalam pemuruan kepala ataupun dalam bahasa Iban disebut
“ngayau’’. Orang Iban yang mempunyai tatu ini juga menandakan seseorang itu telah
menyertai kumpulan pemburuan kepala. Walau bagaimanapun, segelintir sahaja yang ingin
membuat tatu ini setelah berburu. Hal ini kerana mereka yang memiliki tatu tegelu ini akan
diuji dengan ilmu hitam apabila melawat kampung lain. Sekiranya orang yang mempunyai

3
‘tegelu‘ tidak ada azimat yang dapat melindung diri yang kuat dari orang yang menguji
maka beliau akan memuntahkan darah atau sakit. Namun demikian, ramai yang masih
mencacah tatu ‘tegelu‘ pada belakang tangan. Mereka percaya bahawa mereka telah
menjadi lebih kuat dan kebal. Selain itu, mereka juga percaya yang bahawa mereka telah
mendapat perlindungan yang sepenuhnya hasil daripada aktiviti pemburuan kepala. Pada
zaman dahulu, setibanya balik daripada memburu kepala orang Iban, mereka akan
meraikanya dalam satu perayaan besar-besaran dimana penduduk-penduduk kampung
yang berdekatan akan dijemput tidak kira orang dewasa ataupun kanak-kanak. Perayaan ini
dikenali sebagai “Gawai encabuh arung “

Pada masa dahulu, corak tatu yang dicacah pada kerongkong juga sangat terkenal.
Tatu ini bertujuan untuk melambangkan perkembangan dari satu status orang biasa kepada
status orang yang dihormati. Antara orang yang berstatus perlu dihormati ialah ketua
kampung, pahlawan yang sudah berburu dan bomoh. Secara telitinya, corak tatu tersebut
terdapat gambaran seekor ikan yang kelihatan berenang ke hulu sungai dan bertukar
menjadi naga atau naga berkepala dua. Ini membawa maksud kepada perkembangan
status pada seseorang kerana bahagian kerongkong merupakan bahagian yang paling
sukar dicacah tatu dan ini dipercayai menguatkan semangat orang yang dicacah tatu.

Amalan mencacah tatu ini merupakan aktiviti suci yang menghubungkan orang Iban
dengan orang duniawi (dua buah penduduk kampung yang selalu membantu orang Iban
dalam kesusahan iaitu Panggau Libau dan Gelong). Antara orang duniawi yang selalu
muncul membantu orang Iban ini ialah Keling, Bungai Nuing, Sempurai, Singalang Burong,
Kumang dan Lulong. Azimat – azimat yang diberikan mereka inilah yang menyebabkan
orang Iban sangat kebal dan berani semasa pergi memburu kepala. Orang Iban yang telah
dibantu atau termimpi pernah berjumpa dengan orang duniawi ini mesti dicacah tatu supaya
apa yang diberikan kepada mereka, contohnya azimat “dinding bulu, batu melaban, batu
ilau, batu lelayang“ dan yang lain-lain akan kekal dalam badan mereka sampai ke ajal
mereka tiba (Ruai Kenyalang, 2011).

Saya bersama dua orang ahli kumpulan saya telah pergi ke sebuah rumah panjang
di Roban untuk membuat kajian mengenai tatu Iban. Sewaktu berada di sana, kami telah
membuat satu temu ramah mengenai tatu Iban terhadap dua orang responden yang pakar
dalam bidang tersebut. Kami telah membuat kajian mengenai beberapa maksud disebalik
tatu yang dihasilkan. Melalui temu ramah tersebut, kami mempelajari sejarah tatu Iban serta
maksud disebalik tatu tersebut. Tatu bertujuan untuk menunjukkan pengalaman
pengembaraan seseorang dan juga dijadikan sebagai perisai.

4
Amalan budaya bertatu dalam kalangan Iban pada zaman sekarang juga dapat
dilihat pada kaum lain. Misalnya, terdapat segelintir kaum Bidayuh yang berminat dalam
bidang tatu juga telah membuat tatu Iban pada badan mereka. Malah, kaum Cina juga ada
memilik tatu seperti tatu Bunga Terung. Disini kita dapat melihat bagaimana hubungan
sesuatu etnik dengan etnik lain berkaitan. Namun, tiada sebarang pertelingkahan mengenai
perebutan amalan budaya sesuatu etnik.

Kesimpulannya, tiada orang lain yang dapat menjaga dan mempertahankan amalan
budaya kaum kita sendiri. Namun, tidak semua orang ingin memilik tatu. Oleh itu, kajian
seperti ini perlu dijalankan sementara masih ada orang Iban yang masih memiliki tatu yang
membawa maksudnya sendiri untuk direkodkan dan menjadi rujukan generasi muda kelak.

Anda mungkin juga menyukai