Anda di halaman 1dari 4

LAPORAN PENILAIAN PERTANDINGAN DEBAT

PENGENALAN

Pertandingan Debat Daerah Mualim ini telah diadakan di tapak karnival Kolej Aminuddin Baki
pada 29 Mac 2019. Terdapat dua sekolah yang telah menyertai pertandingan debat ini di
peringkat akhir. Sekolah yang telah menempatkan diri dalam slot peringkat akhir adalah dari
Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Tanjung Malim dan Sekolah Menengah Kebangsaan
Khir Johari. Pertandingan debat ini telah bermula jam 2.30 petang dan diiringi oleh ketibaan para
VIP iaitu wakil daripada pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan juga wakil dari Kolej Aminuddin
Baki. Acara dimulakan dengan iringan piala debat yang dibawa oleh wakil pelajar sebagai simbol
kemenangan debat untuk diletakkan pada para ditengah-tengah pentas debat. Setelah selesai
sesi perasmian dan ucapan daripada para VIP, pengacara majlis juga telah mengumumkan
barisan juri-juri yang terlibat pada petang tersebut bagi mengadili pertandingan debat ini dengan
adil dan saksama. Antara juri yang terlibat termasuklah Da’I Izzhar, iaitu bekas pelajar Universiti
Pendidikan Sultan Idris yang kini telah menjadi seorang pendakwah bebas yang terkenal dan
juga seorang pakar motivasi. Kehadiran Da’I Izzhar sebagai salah seorang juri disambut meriah
oleh para tetamu dan penonton pada petang itu. Pertandingan debat dimulakan secara rasmi
sekitar jam 3.15 petang setelah majlis diserahkan kepada Yang Dipertua, selaku ketua yang akan
mengetuai dan mengawal pertandingan debat pada petang tersebut. Yang Dipertua telah
memperkenalkan barisan peserta daripada kedua-dua buah sekolah dan menerangkan peranan
mereka di dalam debat tersebut. SMK Methodist telah menjadi pihak kerajaan manakala SMK
Khir Johari pula selaku pihak pembangkang. Usul bagi pertandingan debat ini telah ditetapkan
dengan Tajuk “Revolusi Industri 4.0 Telah/Tidak Meningkatkan Nilai Kemanusiaan”.

PENILAIAN PESERTA PERTANDINGAN DEBAT

Pihak kerajaan yang diwakili oleh peserta daripada SMK Methodist terdiri daripada 3
peserta yang masing-masing mewakili sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana
Menteri dan Menteri Pertahanan. Manakala pihak pembangkang diwakili SMK Khir
Johari dengan peranan dipegang sebagai Ketua Pembangkang, Timbalan Ketua
Pembangkang dan Menteri Kedua Pembangkang. Dalam sesi perdebatan ini, beberapa
aspek telah dikenalpasti bagi melakukan penilaian secara mendalam berkenaan sesi
perdebatan ini.

1. IDEA

Aspek pertama adalah berkenaan takrifan subtajuk yang sesuai. Semasa sesi
perdebatan bermula, pihak kerajaan telah berjaya melakukan takrifan subtajuk dengan jelas
dan sesuai dengan konteks usul iaitu “Revolusi Industri 4.0 Telah Meningkatkan Nilai
Kemanusiaan”. Ketiga-tiga pendebat telah berjaya menjelaskan takrifan subtajuk dengan
konsep yang sesuai dengan usul serta mempunyai bukti dan fakta yang sahih. Pihak
pembangkang juga telah berjaya mengemukakan takrifan subtajuk yang sesuai dengan usul
mereka. Ketua Pembangkang telah menggunakan konsep subtajuk dengan fakta dan bukti
yang jelas manakala Timb. Ketua Pembangkang dan Menteri Kedua Pembangkang pula
menerangkan dengan baik namun kurang kejelasan dari segi fakta yang diberi.

Aspek kedua adalah berkenaan isi yang dikemukakan kedua-pihak adalah relevan
dengan tajuk usul iaitu “Revolusi Industri 4.0 Telah/Tidak Meningkatkan Nilai
Kemanusiaan”.Pihak kerajaan dan pembangkang masing-masing telah berjaya mengemukakan
ketiga-tiga isi dengan jelas dan tepat. Antara isi yang dikemukakan oleh pihak kerajaan yang
diterangkan oleh Timb. Perdana Menteri Adalah “Revolusi Industri 4.0 Telah Meningkatkan
Daya Saing Antara Masyarakat”. Isi daya saing meningkat ini dilihat relevan dengan tajuk usul
berkenaan. Pihak pembangkang juga berjaya menyatakan isi-isi utama mereka sesuai dengan
tajuk usul mereka yang menentang Revolusi Industri 4.0 yang tidak meningkat nilai
kemanusiaan. Pihak pembangkang telah menarik minat penonton dengan pembentangan isi
utama yang dikemukakan Perdana Menteri dengan jelas dan mempunyai ton suara yang
mampu mempengaruhi perhatian penonton.

Dalam aspek organisasi isi pulai, dapat dilihat bahawa pihak kerajaan serta pihak
pembangkang iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Ketua Pembangkang
dan timbalannya kurang berjaya menyusun isi-isi serta huraian yang dilontarkan dalam
penyampaian mereka. Hanya Menteri Pertahanan dan Menteri Kedua Pembangkang dilihat
mempunyai organisasi isi yang agak baik berbanding kedua-dua pihak. Penerangan setiap isi
disusun dengan baik ditambah pula dengan penggunaan tanda seperti penanda wacana bagi
membezakan setiap isi.

Dalam sesi perdebatan ini, dapat dilihat huraian setiap isi bagi pihak pembangkang lebih
menonjol berbanding huraian yang dilontarkan pihak kerajaan. Setiap huraian isi bagi pihak
pembangkang disusun dengan kemas dan mempunyai ciri kejelasan dalam setiap isi sokongan
yang disampaikan. Kejelasan huraian isi inilah yang membuatkan para penonton juga dapat
memahami konteks sebenar huraian yang ingin disampaikan setiap pihak pembangkang. Hal ini
menyebabkan para pembangkang dapat membidas setiap huraian isi daripada pihak kerajaan
dengan baik kerana huraian yang padat dan kukuh. Pihak kerajaan juga telah menyampaikan
huraian dengan baik tetapi kurang padat dan berkembang. Setiap isi huraian itu tidak berjaya
dilontarkan dengan jelas menyebabkan isi tersebut tidak dapat berdiri dengan kukuh. Hal ini
menyebabkan pihak kerajaan kurang mengembangkan lagi huraian isi menjadi sebuah hujahan
yang mantap. Penggunaan data atau contoh yang tepat dan logik juga berjaya dihuraikan
dengan baik oleh kedua-dua pihak.

2. BAHASA

Dalam ciri bahasa ini, beberapa aspek telah dinilai dan diberi pemerhatian sepanjang sesi
perdebatan berlangsung. Antaranya adalah berkenaan aspek penggunaan salutasi yang betul
oleh kedua-dua pihak. Berdasarkan pemerhatian saya, dapat dilihat kedua-dua pihak telah
berjaya menggunakan salutasi yang betul dalam memulakan setiap hujahan mereka. Salutasi
yang menyebut “Yang Dipertua” dan “Para hadirin” adalah yang paling kerap digunakan oleh
kedua-dua pihak malah salutasi yang digunakan tidak terlalu panjang dan meleret.
Selain itu, kedua-dua pihak berjaya menggunakan ayat yang jelas dan mudah difahami
juri dan penonton. Setiap ayat yang dilontarkan mempunyai kejelasan serta berpandukan teknik
5W1H. Begitu juga dengan aspek penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tidak
menggunakan bahasa rojak dimana kedua-dua pihak telah berjaya melepasi aspek tersebut.
Namun, dapat dilihat juga pihak pembangkang juga sering melakukan kesalahan tatabahasa
yang ketara dalam menyampaikan hujah berbanding dengan pihak kerajaan. Kesalahan
tatabahasa kecil ini pastinya akan mengurangkan markah serta menunjukkan peserta kurang
peka dengan tatabahasa yang digunakan.

Aspek kepuasan dan kelancaran bahasa pula kurang dicapai oleh pihak kerajaan
dimana ada antara peserta debat tersebut yang teragak-agak dan berhenti untuk masa yang
lama untuk memulakan hujah mereka. Berbeza dengan pihak pembangkang yang yakin dan
lancar dalam melontarkan isi mereka dengan kelancaran bahasa. Aspek kosa kata yang luas
dan tepat pula berjaya ditunjukkan oleh kedua-dua pihak dalam sesi perdebatan. Keluasan
penggunaan kosa kata ini menunjukkan bahawa para peserta mempunyai ilmu pengetahuan
yang luas dalam menyampaikan hujah mereka.

3. PENYAMPAIAN/ PERSEMBAHAN/ ADAB

Ciri ketiga ini juga mempunyai beberapa aspek yang dikenalpasti. Antaranya ialah penggunaan
kontak mata dengan audiens dimana melalui pemerhatian saya, pihak kerajaan banyak
menggunakan kontak mata dengan audiens berbanding pihak pembangkang. Hal ini dapat
dilihat melalui hujahan Perdana Menteri yang begitu yakin melakukan kontak mata dengan
audiens dalam menyampaikan hujahnya. Pihak pembangkang pula kurang melakukan hal
tersebut meskipun isi dan huraian yang dilontarkan mereka sangat jelas dan padat. Aspek
pengawalan suara pula kurang dikuasai oleh kedua-dua pihak dimana Timbalan Perdana
Menteri adalah peserta yang paling banyak melakukan kesilapan dengan tidak dapat mengawal
kejelasan suaranya dalam menyampaikan isi huraian. Begitu juga dengan pengawalan emosi
dimana suaranya kurang jelas disebabkan rasa gemuruh dan gugup yang menguasai diri ketika
menyampaikan hujah.

Aspek mukadimah yang menarik pula berjaya ditonjolkan oleh pihak pembangkang
melalui Ketua Pembangkang yang berjaya menarik minat dan perhatian penonton sewaktu
beliau memulakan sesi hujahannya. Pihak kerajaan pula kurang menarik perhatian penonton
kerana hanya sekadar menggunakan mukadimah biasa dengan ton suara yang mendatar.
Begitu juga dengan aspek kefahaman, keseronokan dan mempengaruhi audiens yang telah
banyak ditonjolkan oleh pihak pembangkang yang banyak menggunakan ton suara yang jelas
dan kuat dan menarik. Tambahan pula, mereka juga banyak menggunakan bahasa badan
seperti memek muka yang pastinya akan memikat dan menarik perhatian audiens dan juri.
Berbeza dengan pihak kerajaan yang kurang menonjolkan aspek-aspek tersebut namun
mereka berjaya menggunakan tanda-tanda peralihan yang bersesuaian bagi membezakan
setiap isi. Penggunaan ini berjaya membuatkan audiens lebih memahami huraian isi tersebut.

Dari segi penghayatan dalam bertutur pula, saya melihat pihak kerajaan kurang
melakukannya menyebabkan kurang menarik perhatian audiens dan juri untuk mendengar dan
memahami hujahan mereka. Penggunaan ton suara yang mendatar juga mempengaruhi aspek
ini. Akhir sekali, kedua-dua pihak dilihat berjaya mematuhi etika dan etiket dari segi pakaian dan
tingkah laku. Pemakaian yang digunakan mereka dilihat mematuhi etika dan adab dalam
pertandingan debat. Begitu juga dengan aspek pematuhan pada had masa dimana kedua-dua
pihak berjaya menepati setiap tempoh hujah yang diberikan oleh Yang Dipertua. Pematuhan
had masa ini memperlihatkan kedua-dua pihak mempunyai ciri disiplin dalam masa.

PENUTUP

Terdapat banyak perkara yang telah dipelajari sepanjang sesi pertandingan debat ini
dijalankan. Meskipun hanya selaku penonton dan pemerhati, namun peluang ini merupakan
satu perkara yang berharga dalam menimba pengalaman menjadi seorang pendebat yang
hebat dan berilmu. Pada akhir pertandingan ini, dapat dilihat bahawa kedua-dua pihak berjaya
melakukan dan menyampaikan hujah-hujah mereka dengan baik dan jelas meskipun ada
beberapa aspek yang tidak berjaya dilakukan oleh setiap pihak. Kemenangan telah diberikan
kepada SMK Khir Johari, selaku pihak pembangkang dan Naib Johan dimenangi SMK
Methodist Tanjung Malim. Pendebat terbaik pula dianugerahkan kepada Ketua Pembangkang
yang berjaya mencuri perhatian para juri dan audiens dengan kelantangan suara dan gaya
penyampaian hujah-hujah yang menarik dan jelas.

Secara kesimpulannya, dapat dilihat semua peserta berjaya menonjolkan beberapa ciri
dan aspek pendebat yang baik. Kesalahan kecil yang dilakukan tidaklah terlalu ketara dan
masih mampu untuk diperbaiki pada masa hadapan. Antara ciri yang paling banyak ditonjolkan
oleh peserta adalah aspek bahasa dan penyampaian dimana pada bahagian inilah yang akan
menguji teknik dan kemahiran seorang pendebat yang baik dalam menghuraikan huraian
kepada audiens dan juri. Aspek yang paling banyak dilakukan oleh setiap peserta adalah
menggunakan bahasa Melayu yang betul dan bukan bahasa rojak. Hal ini dapat dilihat melalui
pertandingan debat ini, para peserta telah berjaya menuturkan bahasa yang tepat betul tanpa
melakukan kesalahan tatabahasa yang agak banyak. Dengan ini, pastinya kejelasan setiap isi
huraian itu dapat disampaikan dengan mudah dan jelas. Akhir sekali, diharapkan peluang
seperti ini dapat dimanfaatkan dan diwujudkan pada masa akan datang sebagai satu platform
yang sesuai untuk pelajar memahami dan mempelajari dengan lebih mendalam teknik
perdebatan yang baik.

Anda mungkin juga menyukai