Anda di halaman 1dari 3

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENCAPAI

KECEMERLANGAN DALAM PEPERIKSAAN

Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan
dipecahkan. Suatu waktu dahulu, terdapat calon yang berjaya memperoleh 16A, yakni suatu
pencapaian yang belum pernah dicapai. Namun begitu, beberapa tahun kemudian rekod ini telah
dapat dipecahkan oleh saudari Nur Amalina yang meraih 17A dalam SPM. Pada SPM 2007 pula,
saudara Azali Azlan dapat mencipta rekod dengan memperoleh 20A bagi subjek yang diambil oleh
beliau. Kecemerlangan dalam bidang akademik yang diraih oleh ketiga-tiga pelajar ini jelas
membuktikan bahawa setiap wawasan pasti dapat dijadikan realiti. Setiap murid pasti mempunyai
keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Akan tetapi, kecemerlangan ini hanya
akan dapat dicapai melalui usaha yang berterusan dan semangat kegigihan yang kental dalam
sanibari diri pelajar. Murid-murid tidak patut menganggap peperiksaan sebagai sesuatu yang remeh
kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa depan seseorang pelajar. Setiap pelajar
wajar mempersiapkan diri dengan ilmu yang diperoleh kerana sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tiada gunanya. Pelajar-pelajar haruslah mengulang kaji pelajaran secara konsisten dan
menggunakan teknik pembelajaran mengikut kesesuaian masing-masing di samping mempunyai
tahap disiplin yang tinggi. Yang alpa dan yang masih lena dibuai mimpi pasti akan ketinggalan.
Justeru, setiap penyakit ada penawarnya, sebelum mata menjadi rabun dan sebelum tiram
memuntahkan mutiaranya, moleklah kita memfokuskan lensa perbincangan mengenai langkah-
langkah yang perlu dilakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Usaha perdana yang wajar dilakukan oleh setiap pelajar adalah memberikan sepenuh perhatian
ketika pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan di kelas. Saya haruslah mendengar penjelasan
oleh guru dengan teliti dan membuat nota ringkas. Sekiranya tidak memahami sesuatu topik yang
diajarkan oleh guru, saya akan menanya guru sehingga memahami secara menyeluruh, bak kata
pepatah, segan bertanya sesat jalan. Selain itu, saya akan menyiapkan kerja-kerja sekolah dan projek
yang diberikan oleh guru dan menghantarnya sebelum tarikh akhir penghantaran. Hal ini demikian
kerana bertangguh itu pencuri masa. Pepatah Cina juga mengungkapkan bahawa kerja hari ini perlu
diselesaikan pada hari ini. Maka, saya akan mengelakkan daripada menimbun kerja-kerja lepas yang
menyebabkan tekanan kepada diri sendiri..Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan
bahawa “50% kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan mereka memberikan perhatian ketika
proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan”. Cara ini juga dapat saya memastikan agar
tidak ketinggalan dalam kelas. Bahan bantu mengajar yang diguna pakai oleh guru mampu
mengukuhkan lagi pemahaman saya tentang topik yang diajarnya. Dengan berbuat demikian,
izharlah bahawa tumpuan yang diberikan semasa guru sedang mengajar di kelas dapat membantu
saya untuk berjaya dalam peperiksaan yang bakal dihadapi.

Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa modus operandi lain yang agak jelas adalah mengikuti
kelas tambahan di sekolah mahupun kelas tuisyen. Kelas-kelas ini dapat membantu saya dengan
latihan pelbagai subjek. Kelas di sekolah sering merangkumi pelajar yang ramai, namun begitu, kelas
tuisyen yang diikuti kebanyakannya mempunyai pelajar yang sedikit dan guru yang berpengalaman.
Oleh hal yang demikian, guru tersebut mampu menumpukan lebih perhatian kepada golongan
pelajar yang lemah dan membantu mereka berjaya. Guru tuisyen dan guru kelas tambahan juga
sering mendedahkan kepada pelajar format terkini peperiksaan SPM dan memberikan kertas-kertas
SPM tahun-tahun lepas untuk membiasakan diri pelajar. Bertitik tolak daripada itu, saya akan
menghadiri ceramah, program dan seminar teknik menjawab kertas peperiksaan SPM supaya
mendekatkan lagi diri ke arah kejayaan. Rentetan itu, kelas tambahan dan kelas tuisyen memberikan
peluang kepada saya untuk menelaah pelajaran menjelang peperiksaan yang bakal dihadapi. Saya
juga akan memanfaatkan masa selepas waktu sekolah dengan mengelakkan diri daripada terlibat
dalam kegiatan yang kurang berfaedah seperti melepak di pusat beli-belah dan menonton rancangan
televisyen secara berpanjangan. Masa itu juga dapat dimanfaatkan kerana masa itu emas dan saya
seharus sentiasa berpegang pada prinsip masa berlalu tidak akan kembali. Dengan kupasan yang
menarik, sememangnya diakui bahawa menghadiri kelas tuisyen dan kelas tambahan mampu
membantu saya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perancangan diri yang sistematik dan pengurusan
masa yang baik amatlah diperlukan dalam resipi kejayaan seseorang individu yang cemerlang.
Pepatah Arab pernah menyatakan bahawa masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak
memancungnya, maka masa pasti akan memancung kamu. Oleh sebab itu, saya akan membuat
jadual waktu di rumah dan sentiasa mengikutinya agar dapat mengasah potensi diri sendiri untuk
memanfaatkan masa yang berharga. Saya akan membahagikan masa yang seimbang antara ulang kaji
pelajaran dan masa rehat agar tidak dilabel sebagai kera sumbang dan ulat buku. Saya akan
menumpukan perhatian yang lebih terhadap subjek-subjek yang lemah .Saya akan membeli buku-
buku rujukan dan membuat latihan pada masa lapang agar dapat menambah pengetahuan dan
teknik menjawab. Lantaran itu, saya akan mengutamakan kerja yang penting dahulu dan
menyiapkannya. Kemudahan Internet pada masa kini harus dimanfaatkan kerana menjimatkan masa
untuk mencari sebarang maklumat. Saya juga akan membiasakan diri dengan soalan-soalan lazim
peperiksaan SPM dengan membeli kertas-kertas peperiksaan SPM tahun-tahun lepas dan membuat
kertas ramalan. Tempat yang kondusif, selesa dan dihindari dari sebarang gangguan juga penting
untuk saya fokus ketika menelaah pelajaran. Persis kata-kata mutiara seorang pakar perunding
Internet, Dr. Irfan Khairi berkata, merancang masa bermakna merancang kejayaan. Lantaran
berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa perancangan diri yang teratur dan
pengurusan masa yang cekap dapat membolehkan saya menerjah kecemerlangan yang ingin dicapai.

Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan formula seterusnya, iaitu pergaulan
dengan rakan-rakan yang berperibadi mulia dan serius menimba ilmu pengetahuan. Hal ini
bertepatan dengan pepatah Arab yang berbunyi jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi,
kita akan berbau wangi dan jika kita berkawan dengan tukang besi, maka kita akan terasa bahangnya.
Rakan yang baik dianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa mekar dan harum baunya. Oleh hal
yang demikian, rakan-rakan sebaya yang dipilih secara bijak semasa mengadakan perbincangan
secara berkumpulan dapat memotivasikan saya untuk mewujudkan semangat bersaing yang sihat
sesama mereka. Saya seyogianya melakukan perbincangan dengan rakan-rakan di perpustakaan
untuk mengulang kaji pelajaran dan berlapang dada untuk membantu mereka sekiranya menghadapi
sebarang kesulitan. Di samping itu, saya akan memastikan buku-buku rujukan sentiasa berada
berdekatan dengan saya dan melakukan ulang kaji secara konsisten. Janganlah kita seperti pahat
dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Persis kata ungkapan Bahasa Inggeris, practice makes
perfect juga bermaksud praktis asas kecemerlangan dalam bahasa Melayu. Saya haruslah berpegang
pada prinsip sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, dan sedikit-sedikit, lama-lama
menjadi bukit. Yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek, dengan
bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah saya simpulkan bahawa rakan sebaya memang
mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan dan berupaya mendorong ke lembah kejayaan
dalam peperiksaan.
Suatu hakikat yang wajar diterima ialah prakarsa mematuhi segala nasihat dan ajaran guru dan ibu
bapa serta menyemai sikap yang positif dalam sanubari diri saja. Saya mesti berusaha bersungguh-
sungguh dan sentiasa rajin menuntut ilmu pengetahuan bukan semata-mata untuk lulus peperiksaan
dengan cemerlang malah memperoleh ilmu yang berguna. Saya sepatutnya bersikap tenang semasa
menemui kegagalan dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk menyemarakkan api yang
membara untuk mencapai puncak kejayaan. Setiap pekerjaan juga haruslah dilakukan sehingga
selesai seperti pepatah alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Membaca itu
jambatan ilmu yang mampu meluaskan horizon pemikiran dan menguasai berita terkini seluruh
dunia. Saya bukan sahaja perlu membaca buku contoh karangan, malah boleh mendapat ilmu yang
berlebihan melalui rancangan televisyen, majalah, surat khabar dan rangkaian Internet. Inisiatif yang
diimplementasikan ini sedikit banyak dapat meningkatkan pengetahun asas di samping
meningkatkan tahap penulisan saya. Tambahan pula, saya perlu memiliki ketahanan diri yang ampuh
untuk menghadapi dugaan dan cabaran. Pegangan agama dan mempunyai jati diri yang mantap amat
signifikan supaya menghindari diri daripada situasi yang bolej menganggu perasaan. Menurut Albert
Einstein, seorang ahli fizikteori, beliau berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa
agama adalah lumpuh. Maka, saya akan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya tidak akan jatuh sakit
pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan
segala-galanya. Saya perlu berusaha mendapat doa, restu dan dorongan daripada Tuhan kerana
tanpanya, saya tidak akan memperoleh kejayaan walau betapa banyak usaha yang telah saya
curahkan. Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa saya wajar mematuhi segala nasihat yang
diberikan oleh kedua-dua ibu bapa yang telah lama makan garam dan sentiasa berdoa dan bersyukur
kepada Tuhan atas segala pemberian-Nya.

Sebagai intihannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa sebelum nasi sudah menjadi bubur, saya
harus sediakan payung sebelum hujan. Belajar itu pahit akarnya tetapi masih buahnya. Saya tidak
harus mengenal erti berputus asa dan tidak berpatah balik dalam mencapai kejayaan yang diimpi-
impikan. Kejayaan itu bukanlah angan-angan semata-mata dan harus dijadikan realiti supaya
menjamin kehidupan yang lebih cerah pada masa hadapan. Cara-cara yang dibincangkan ini
merupakan strategi saya untuk berjaya dalam peperiksaan.Saya wajar mempunyai rehat yang
mencukupi agar dapat fokus ketika dalam kelas pada kemudian hari. Bak kata pepatah, otak yang
cerdas lahir daripada badan yang cergas. Saya haruslah mengutamakan kesihatan dan mengamalkan
pemakanan yang seimbang dan teratur supaya badan sihat sepanjang peperiksaan dijalankan.
Bertitik tolak daripada itu, saya wajar patuh pada asuhan kedua-dua ibu bapa kerana Tuhan hanya
akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa dan janganlah kita seperti
kacang melupakan kulit. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya, tetapi malas berkayuh
perahu hanyut. Saya sedar bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dan belakang pisau
diasah lagikan tajam. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh
kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan, maka
kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Justeru, saya akan berusaha sedaya upaya untuk
mencapai kecemerlangan dalam setiap peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai menjadi
arang.

Anda mungkin juga menyukai