Anda di halaman 1dari 3

Langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk Mencapai Kecemerlangan

dalam peperiksaan

Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai
kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan. Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan
untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan
dipecahkan. Suatu waktu dahulu, terdapat calon yang berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu
pencapaian yang belum pernah dicapai. Namun begitu, beberapa tahun kemudian rekod ini telah
dapat dipecahkan oleh saudari Nur Amalina yang meraih 17A1 dalam SPM. Pada SPM 2007 pula,
saudara Azali Azlan dapat mencipta rekod dengan memperoleh 20A1 bagi subjek yang diambil oleh
beliau. Kecemerlangan dalam bidang akademik yang diraih oleh ketiga-tiga pelajar ini jelas
membuktikan bahawa setiap wawasan pasti dapat dijadikan realiti. Setiap murid pasti mempunyai
keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Akan tetapi, kecemerlangan ini hanya
akan dapat dicapai melalui usaha yang berterusan dan semangat kegigihan yang kental dalam
sanibari diri pelajar. Murid-murid tidak patut menganggap peperiksaan sebagai sesuatu yang remeh
kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa depan seseorang pelajar. Sebagai
seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini, setiap pelajar wajar mempersiapkan diri dengan ilmu
yang diperoleh kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Pelajar-pelajar
haruslah mengulang kaji pelajaran secara konsisten dan menggunakan teknik pembelajaran
mengikut kesesuaian masing-masing di samping mempunyai tahap disiplin yang tinggi. Yang alpa dan
yang masih lena dibuai mimpi pasti akan ketinggalan. Justeru, setiap penyakit ada penawarnya,
sebelum mata menjadi rabun dan sebelum tiram memuntahkan mutiaranya, moleklah kita
memfokuskan lensa perbincangan mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan.

Usaha perdana yang wajar dilakukan oleh setiap pelajar adalah memberikan sepenuh
perhatian ketika pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan di kelas. Saya haruslah mendengar
penjelasan oleh guru dengan teliti dan membuat nota ringkas. Sekiranya tidak memahami sesuatu
topik yang diajarkan oleh guru, saya akan menanya guru sehingga memahami secara menyeluruh,
bak kata pepatah, segan bertanya sesat jalan. Selain itu, saya akan menyiapkan kerja-kerja sekolah
dan projek yang diberikan oleh guru dan menghantarnya sebelum tarikh akhir penghantaran. Hal ini
demikian kerana bertangguh itu pencuri masa. Pepatah Cina juga mengungkapkan bahawa kerja hari
ini perlu diselesaikan pada hari ini. Maka, saya akan mengelakkan daripada menimbun kerja-kerja
lepas yang menyebabkan tekanan kepada diri sendiri. Di samping itu, saya akan menerima ajaran
guru agar dapat menerima teknik menjawab soalan dengan baik. Bahkan seorang pakar psikologi
pernah mengatakan bahawa “50 peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan mereka
memberikan perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Cara ini juga
dapat saya memastikan agar tidak ketinggalan dalam kelas. Bahan bantu mengajar yang diguna pakai
oleh guru mampu mengukuhkan lagi pemahaman saya tentang topik yang diajarnya. Dengan
berbuat demikian, izharlah bahawa tumpuan yang diberikan semasa guru sedang mengajar di kelas
dapat membantu saya untuk berjaya dalam peperiksaan yang bakal dihadapi.

Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa modus operandi lain yang agak jelas adalah
mengikuti kelas tambahan di sekolah mahupun kelas tuisyen. Kelas-kelas ini dapat membantu saya
dengan latihan pelbagai subjek. Kelas di sekolah sering merangkumi pelajar yang ramai, namun
begitu, kelas tuisyen yang diikuti kebanyakannya mempunyai pelajar yang sedikit dan guru yang
berpengalaman. Oleh hal yang demikian, guru tersebut mampu menumpukan lebih perhatian
kepada golongan pelajar yang lemah dan membantu mereka berjaya. Guru tuisyen dan guru kelas
tambahan juga sering mendedahkan kepada pelajar format terkini peperiksaan SPM dan
memberikan kertas-kertas SPM tahun-tahun lepas untuk membiasakan diri pelajar. Bertitik tolak
daripada itu, saya akan menghadiri ceramah, program dan seminar teknik menjawab kertas
peperiksaan SPM supaya mendekatkan lagi diri ke arah kejayaan. Rentetan itu, kelas tambahan dan
kelas tuisyen memberikan peluang kepada saya untuk menelaah pelajaran menjelang peperiksaan
yang bakal dihadapi. Saya juga akan memanfaatkan masa selepas waktu sekolah dengan
mengelakkan diri daripada terlibat dalam kegiatan yang kurang berfaedah seperti melepak di pusat
beli-belah dan menonton rancangan televisyen secara berpanjangan. Masa itu juga dapat
dimanfaatkan kerana masa itu emas dan kita harus sentiasa berpegang pada prinsip masa berlalu
tidak akan kembali. Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa menghadiri kelas
tuisyen dan kelas tambahan mampu membantu saya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perancangan diri yang sistematik dan
pengurusan masa yang baik amatlah diperlukan dalam resipi kejayaan seseorang individu yang
cemerlang. Pepatah Arab pernah menyatakan bahawa masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak
memancungnya, maka masa pasti akan memancung kamu. Oleh sebab itu, saya akan membuat
jadual waktu di rumah dan sentiasa mengikutinya agar mengasah potensi diri sendiri untuk
memanfaatkan masa yang berharga. Saya akan membahagikan masa yang seimbang antara ulang
kaji pelajaran dan masa rehat agar tidak dilabel sebagai kera sumbang dan ulat buku. Saya akan
menumpukan perhatian yang lebih terhadap subjek-subjek yang lemah seperti Biologi dan Kimia.
Saya akan membeli buku-buku rujukan dan membuat latihan pada masa lapang agar mampu
menggarap pengetahuan dan teknik menjawab. Lantaran itu, saya akan mengutamakan kerja yang
penting dahulu dan menyiapkannya. Kemudahan Internet pada masa kini harus dimanfaatkan
kerana menjimatkan masa untuk mencari sebarang maklumat. Saya juga akan membiasakan diri
dengan soalan-soalan lazim peperiksaan SPM dengan membeli kertas-kertas peperiksaan SPM
tahun-tahun lepas dan membuat kertas ramalan. Tempat yang kondusif, selesa dan dihindari dari
sebarang gangguan juga penting untuk saya fokus ketika menelaah pelajaran. Maka, persis kata-kata
mutiara seorang pakar perunding Internet, Dr. Irfan Khairi, merancang masa bermakna merancang
kejayaan. Lantaran berpaksikan kebenaran yang disampaikan, jelaslah bahawa perancangan diri
yang teratur dan pengurusan masa yang cekap dapat membolehkan saya menerjah kecemerlangan
yang ingin dicapai.

Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan formula seterusnya, iaitu
pergaulan dengan rakan-rakan yang berperibadi mulia dan serius menimba ilmu pengetahuan. Hal
ini bertepatan dengan pepatah Arab yang berbunyi jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi,
kita akan berbau wangi dan jika kita berkawan dengan tukang besi, maka kita akan terasa
bahangnya. Rakan yang baik dianalogikan seperti bunga ros yang sentiasa mekar dan harum baunya.
Oleh hal yang demikian, rakan-rakan sebaya yang dipilih secara bijak semasa mengadakan
perbincangan secara berkumpulan dapat memotivasikan saya untuk mewujudkan semangat
bersaing yang sihat sesama mereka. Saya seyogianya melakukan perbincangan dengan rakan-rakan
di perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran dan berlapang dada untuk membantu mereka
sekiranya menghadapi sebarang kesulitan. Di samping itu, saya akan memastikan buku-buku rujukan
sentiasa berada berdekatan dengan saya dan melakukan ulang kaji secara konsisten. Janganlah kita
seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Persis kata ungkapan Bahasa Inggeris,
praktis asas kecemerlangan. Saya haruslah berpegang pada prinsip sehari selembar benang, lama-
lama menjadi kain, dan sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Yang pipih tidak datang melayang,
yang bulat tidak datang bergolek, dengan bertunjangkan kesahihan fakta, hakikatnya dapatlah kita
simpulkan bahawa rakan sebaya memang mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan kita
dan berupaya mendorong kita ke lembah kejayaan dalam peperiksaan SPM.
Suatu hakikat yang wajar diterima ialah prakarsa mematuhi segala nasihat dan ajaran guru
dan ibu bapa serta menyemai sikap yang positif dalam sanubari diri saja. Saya mesti berusaha
bersungguh-sungguh dan sentiasa rajin menuntut ilmu pengetahuan bukan semata-mata untuk lulus
peperiksaan dengan cemerlang malah memperoleh ilmu yang berguna. Saya sepatutnya bersikap
tenang semasa menemui kegagalan dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk
menyemarakkan api yang membara untuk mencapai puncak kejayaan. Setiap pekerjaan juga
haruslah dilakukan sehingga selesai seperti pepatah alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke
pangkal lengan. Membaca itu jambatan ilmu yang mampu meluaskan horizon pemikiran kita dan
menguasai berita terkini seluruh dunia. Kita bukan sahaja perlu membaca buku contoh karangan,
malah boleh mendapat ilmu yang berlebihan melalui rancangan televisyen, majalah, surat khabar
dan rangkaian Internet. Inisiatif yang diimplementasikan ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan
pengetahun asas di samping meningkatkan tahap penulisan kita. Tambahan pula, saya perlu
memiliki ketahanan diri yang ampuh untuk menghadapi dugaan dan cabaran. Pegangan agama dan
mempunyai jati diri yang mantap amat signifikan supaya menghindari diri daripada situasi yang bolej
menganggu perasaan. Menurut Albert Einstein, seorang ahli fizikteori, beliau berkata bahawa agama
tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Maka, saya akan sentiasa berdoa kepada
Tuhan supaya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu
merancang dan Tuhan yang menentukan segala-galanya. Saya perlu berusaha mendapat doa, restu
dan dorongan daripada Tuhan kerana tanpanya, saya tidak akan memperoleh kejayaan walau betapa
banyak usaha yang telah saya curahkan. Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa saya wajar
mematuhi segala nasihat yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapa yang telah lama makan garam dan
sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberian-Nya.

Sebagai intihannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa sebelum nasi sudah menjadi bubur,
saya harus sediakan payung sebelum hujan. Belajar itu pahit akarnya tetapi masih buahnya. Saya
tidak harus mengenal erti berputus asa dan tidak berpatah arang dalam mencapai kejayaan yang
diimpi-impikan. Kejayaan itu bukanlah angan-angan semata-mata dan harus dijadikan realiti supaya
menjamin kehidupan yang lebih cerah pada masa hadapan. Cara-cara yang dibincangkan ini
merupakan strategi saya untuk berjaya dalam peperiksaan SPM yang bakal dihadapi tidak lama lagi.
Saya wajar mempunyai rehat yang mencukupi agar dapat fokus ketika dalam kelas pada kemudian
hari. Bak kata pepatah, otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Saya haruslah
mengutamakan kesihatan dan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan teratur supaya badan
sihat sepanjang peperiksaan dijalankan. Bertitik tolak daripada itu, saya wajar patuh pada asuhan
kedua-dua ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat
kepada ibu bapa dan janganlah kita seperti kacang melupakan kulit. Gagal sekali tidak bermakna
gagal selama-lamanya, tetapi malas berkayuh perahu hanyut. Saya sedar bahawa di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan dan belakang pisau diasah lagikan tajam. Kejayaan dalam peperiksaan
adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita.
Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan, maka kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan.
Justeru, saya akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai kecemerlangan dalam setiap peperiksaan
ibarat genggam bara api biar sampai menjadi arang.

Anda mungkin juga menyukai