Anda di halaman 1dari 4

KKKARANGAN SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

(Pada sebelah kanan, alamat, tarikh dan tandatangan hendaklah ditulis)

No. 39, Jalan Damai,


Taman Bukit Anggerik,
30290 Ipoh,
Perak Darul Ridzuan.

6 Ogos 2016

Menemui sahabat penaku Arthur, yang kini berada bersama keluarga


di Melbourne, Australia, semoga saudara dan keluarga berada dalam
keadaan sihat dan sejahtera.

Saudara,

Apa khabar saudara dan keluarga di sana? Saya ingin memohon maaf
kerana agak terlambat untuk membalas surat saudara tempoh hari. Saya
kini sibuk dengan persediaan untuk menghadapi peperiksaan besar tidak
lama lagi. Tampaknya saudara sangat berminat untuk mengetahui tempat
dan kawasan pelancongan di Malaysia. Pada surat yang saya pernah
utuskan sebelum ini, saya ada bercerita tentang Bukit Fraser, kali ini saya
ingin ceritakan mengenai Pulau Langkawi pula.
Pulau Langkawi merupakan pusat pelancongan yang terletak di
negeri Kedah, iaitu di utara semenanjung Malaysia. Terdapat banyak
keistimewaan dan tempat menarik yang boleh dilawati oleh saudara.
Antaranya termasuklah pemandangannya yang sangat memukau hati. Ini
kerana Pulau Langkawi dikelilingi oleh pantai yang bersih, air laut yang
tenang damai dan suasananya yang jauh dari hiruk-pikuk bandar. Saudara
dapat menikmati keindahan suasana dan pantainya ini dengan
mengunjungi sendiri ke Pulau Langkawi.

Pulau Langkawi juga terkenal sebagai gelaran Pulau Legenda. Kisah


berkenaan dengan Legenda Mahsuri ini telah diceritakan sejak turun-
temurun lagi melalui penceritaan orang zaman dahulu dan juga nenek
moyang kami sendiri. Sejarah ringkasnya Mahsuri adalah seorang
perempuan cantik yang telah dijatuhkan hukuman bunuh akibat fitnah.
Darah putih telah mengalir daripada tubuh Mahsuri ketika hukuman bunuh
dijalankan. Beliau juga sempat mengenakan sumpahan terhadap Langkawi
selama tujuh keturunannya akan jadi seperti padang jarak padang
terkukur.

Selain itu, Makam Mahsuri dan padang Mat Sirat adalah antara
tempat menarik dan bersejarah yang mempunyai kaitan dengan Legenda
Mahsuri. Sekiranya saudara berkesempatan untuk mengunjungi tempat-
tempat ini tentu saudara akan memperoleh lebih banyak informasi
mengenai legenda ini. Di Langkawi juga terdapat Tasik Dayang Bunting di
Pulau Dayang Bunting, Beras Hangus dan Telaga Tujuh yang mempunyai
kaitan dengan pelbagai legenda dan mitos.

Sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang ada di Pulau Langkawi


ini. Jikalau ada peluang dan kesempatan, akan saya ceritakan lebih lanjut
tentang pulau ini. Gambar-gambar yang berkaitan dengan Pulau Legenda
ini akan saya cuba hantar kepada saudara.

Setakat ini sahaja yang sempat saya tuliskan buat saudara nun jauh
di sana. Akhir kata, sambutlah salam mesra daripada saya dan sekeluarga.

Yang Benar,

Harith Faidz
29, Jalan Pujut 3,

Taman Mutiara,

98000 Miri,

Sarawak.

26 Jun 2011.

Menemui murid-murid 1Amanah yang berada di Kuala Kangsar, Perak semoga berada dalam
keadaan sihat walafiat. Saya di sini sihat-sihat sahaja.

Saudara dan saudari,

Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian saudara dan saudari mengutus surat
kepada saya. Saya sangat rindu kepada anda semua. Saya berasa sangat gembira apabila mendapat
tahu bahawa dalam kalangan anda yang berhasrat berkunjung ke negeri saya pada bulan November
yang akan datang. Kedatangan anda telah saya maklumkan kepada ahli keluarga saya. Mereka
dengan tangan terbuka sedia menerima kunjungan saudara dan saudari.

Kali ini, saya akan memperkenalkan tempat-tempat menarik di negeri saya yang dapat
saudara dan saudari lawati. Sarawak ialah negeri yang sangat besar dan dibahagikan mengikut
daerah. Saya hanya memperkenalkan tempat menarik di daerah saya, Miri sahaja. Antara
tempatnya, Grand Old Lady dan Muzium Sains Petroleum. “The Grand Old Lady” ialah gelaran bagi
Telaga Minyak Miri yang terawal di Miri. Telaga minyak ini terletak di atas Bukit Telaga Minyak, atau
dahulunya bergelar sebagai Canada Hill. Bukit ini boleh memandang pemandangan bandaraya Miri
dengan lautnya yang cantik. Muzium Sains Petroleum juga didirikan di sana bagi mempamerkan
pelbagai jenis pameran yang berkaitan dengan industri minyak.

Seterusnya, Taman Negara Gua Niah ialah tempat menarik yang mesti dilawat oleh saudara
dan saudari. Gua Niah merupakan sebuah gua yang terbesar di negara kita dan penuh dengan
sejarah. Gua ini juga merupakan antara gua batu kapur yang terbesar di dunia. Gua Niah telah
dijumpai fossil manusia yang berusia 40,000 ribu tahun dahulu dan seterusnya menjadikannya
sebagai tapak awal kehadiran manusia di Asia Tenggara. Gua ini sangat menarik minat pelancong
dari tempatan mahupun asing. Oleh itu, saudara dan saudari jangan melepaskan peluang untuk
mengunjungi Gua Niah.

Selain itu, saudara dan saudari juga boleh mengunjungi Taman Negara Bukit Lambir. Taman
Negara ini merupakan salah satu hutan yang kaya dengan pelbagai spesies di dunia. Hutan ini
mejadikan habitat kepada pelbagai hidupan liar seperti ungka, tarsiers, babi hutan, tupai terbang,
rusa, kelawar, tikus, dan 157 jenis burung. Terdapat beberapa air terjun di sepanjang Sungai Liam.
Antaranya ialah air terjun Pertama, Kedua dan Ketiga atau Latak. Air terjun 25 meter tingginya
antara Latak dengan kolam dan airnya sangat dalam. Hutan di Taman Negara ini juga sesuai
dijadikan tempat merentas desa.

Saya cuma memperkenalkan beberapa tempat yang menarik sebagai panduan kepada
saudara dan saudari yang ingin melawat ke daerah saya. Bagi murid yang lain, saya mengetahui
bahawa ada dalam kalangan anda yang telah melawat negeri Sarawak. Bolehkah berkongsi tempat
menarik yang telah anda kunjungi kepada saya? Murid-murid yang tidak pernah dan belum
merancang pergi ke negeri Sarawak, kamu boleh memperkenalkan tempat-tempat menarik yang
terdapat di kampung anda. Jikalau ada peluang, saya dan keluarga saya berhasrat untuk melawat ke
kampung anda.

Saya rasa setakat ini sahaja tulisan saya pada kali ini. Saya berharap saudara dan saudari
akan melawat negeri saya. Sekian, terima kasih.

Yang Benar

Cikgu Sidi

Anda mungkin juga menyukai