Anda di halaman 1dari 2

B399 Felda Melati Jengka Sebelas,

26400 Bandar Jengka,


Pahang.

27 JULAI 2022.

Ke hadapan sahabatku yang selalu diingati, saudari Hasniza yang kini berasa di Brunei,
semoga dalam keadaan yang sihat dan sejahtera bersama keluarga tercinta. Bagi diri saya
di sini alhamdulillah sihat seperti biasa.

Sahabatku,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudari kerana
bercerita kepada saya tentang tempat menarik di Brunei Darussalam. Teringin sekali saya
untuk mengunjungi tempat saudari suatu hari nanti. Bagi membalas pertanyaan saudari,
saya akan menceritakan tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya saudari
berkunjung ke Malaysia.

Sahabatku,
Untuk pengetahuan saudari, Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah dan
menarik yang boleh dikunjungi dan turut menjadi tumpuan pelancong asing yang datang ke
Malaysia. Antara tempat berikut adalah di Melaka terdapat Kota A Famosa yang mempunyai
bekas jajahan. Jika sahabat ingin ke Pahang, terdapat peninggalan lombong bijih timah di
Sungai Lembing manakala di utara pula terdapat Candi Lembah Bujang yang penuh dengan
artifak peninggalan terdahulu.

Sekiranya saudari ingin berkunjung ke tempat peranginan yang menarik, saudari


bolehlah mengunjungi negeri Terengganu. Pantai-pantai di negeri ini bersih dan menarik.
Antaranya, Pantai Rantau Abang. Di sini terdapat pelbagai jenis gerai makanan yang
menjual makanan tradisi masyarakat di negeri Terengganu. Sebagai contohnya, Nasi
Dagang, Sata, Keropok Lekor dan lain-lain. Di samping itu, terdapat pelbagai aktiviti yang
boleh dilakukan di sini. Sebagai contohnya, menunggang kuda, menaiki ‘Banana Boat’,
menaiki ‘jetski’ dan bermain layang-layang. Bukan itu sahaja, pada sebelah malam pula kita
dapat menyaksikan pertunjukan api. Di samping itu, aktiviti mencandat sotong juga dapat
dilakukan. Pantai ini juga sesuai untuk menjalankan aktiviti perkhemahan. Hal ini kerana
pantai ini bersih dan tidak berbahaya.

Saudari,
Saudari juga boleh mengunjungi hutan simpan yang terdapat di Malaysia. Antara
kawasan hutan simpan yang menarik dan perlu dilawati di Malaysia ialah Taman Negara,
Pahang. Pelbagai aktiviti yang berfaedah dan menyeronokkan boleh dilakukan oleh para
pengunjung. Sebagai contohnya, aktiviti mendaki, berkhemah bersama keluarga dan rakan,
‘flying fox’ dan barbeku. Selain itu, saudari juga boleh mengunjungi Taman Negara Endau-
Rompin. Pengunjung boleh meneroka keunikan flora dan fauna di Malaysia yang diancam
kepupusan. Sebagai contoh, Periuk Kera, Rafflesia, kancil, kijang, tapir dan sebagainya.
Aktiviti tersebut dapat mengisi masa lapang saudari serta dapat menambah pengetahuan
tentang kehidupan alam semula jadi.

Untuk pengetahuan saudari juga, Malaysia merupakan negara yang maju dalam
industri pelancongan di kawasan tanah tinggi. Salah satu tempat yang menjadi perhatian
ialah di Cameron Highland. Kawasan tersebut selalu dikunjungi kerana cuaca di sana sejuk
dan selesa. Antara tempat yang boleh dilawati ialah Taman Teh Boh, Taman Lavendar
Cameron dan Ladang Strawberi. Sekiranya saudari mengunjungi tempat-tempat ini, tentu
saudari dapat memperoleh pengalaman yang belum dirasai sebelum ini. Saudari dapat
mengambil gambar berlatar belakangkan pemandangan yang indah bersama keluarga.
Saudari juga boleh membawa pulang buah tangan kepada rakan-rakan seperti Teh BOH.
Saudari,
Terdapat juga pulau yang boleh dikunjungi seperi Pulau Langkawi. Untuk
pengetahuan saudari, Pulau Langkawi merupakan pulau yang terkenal di Malaysia. Saudari
boleh mengunjungi ke Pulau Langkawi dengan menaiki kapal terbang atau feri. Di sana
saudari boleh melawat ke Makam Mahsuri. Selain itu, saudari dan keluarga boleh menaiki
kereta kabel di samping menikmati keindahan Pulau Langkawi. Seterusnya Dataran Lang
merupakan tempat tumpuan pengunjung di Pulau Langkawi. Oleh itu, saudari boleh
mengambil swafoto untuk dijadikan kenang-kenangan. Akhir sekali, Pulau Langkawi juga
terkenal dengan manisan seperti coklat Daim. Coklat Daim ini boleh dijadikan sebagai
hadiah cenderamata untuk sahabat handai.

Saudari,
Nampaknya sudah agak panjang cerita saya ini walaupun sebenarnya banyak lagi
tempat menarik yang ada di Malaysia.Nantilah dalam kesempatan yang lain saya akan
bercerita tempat-tempat yang lain pula.Sebelum mengundur diri,saya meminta maaf
seandainya terdapat kekasaran bahasa dalam surat ini.Semoga kita bersua kembali di
lembaran yang lain. Sekian, terima kasih.

Yang Ikhlas,

-------------------------
Fatimah Shaffii

605 patah perkataan

Anda mungkin juga menyukai