Anda di halaman 1dari 4

7 Cara Menarik Minat Murid Lemah

Belajar
May 22, 2017 | Artikel, Guru | 4 comments

Arus pendidikan telah mengalami perubahan yang sangat pesat seiring dengan zaman
yang kian maju. Generasi kini sudah banyak berubah, berbeza dengan generasi dahulu.
Seiring dengan perubahan ini, sewajarnya kaedah mengajar juga harus diubahsuai dengan
keadaan semasa. Cabaran ini juga termasuklah apabila mengendalikan murid-murid yang
lemah dalam sesi pembelajaran. Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk
menarik minat murid lemah supaya dapat belajar dengan baik.

Tahu gaya pembelajaran mereka.


Ini merupakan faktor yang paling penting dalam memastikan murid-murid dapat
menerima apa yang hendak di ajar kepada mereka. Terdapat tiga jenis gaya belajar yang
utama iaitu visual, auditori dan kinestetik. Walaupun setiap orang mempunyai ketiga-tiga
jenis gaya ini namun seseorang itu mempunyai satu gaya yang dominan dalam diri
mereka.
Setiap gaya belajar ini mempunyai cara pendekatan yang berbeza. Guru perlu mengenali
gaya belajar setiap murid di dalam kelasnya dan menyesuaikan dengan kaedah yang
hendak digunakannya.

Menggunakan pelbagai kaedah yang berbeza.


Murid yang lemah biasanya mempunyai daya tumpuan yang kurang. Ini menyebabkan
mereka cepat bosan dengan apa yang dipelajari. Mereka sewajarnya di ajar dengan
menggunakan pelbagai medium yang berbeza. Jika satu sesi pembelajaran mempunyai
pelbagai kaedah yang berbeza, minda murid belum sempat merasa bosan dengan sesuatu
ia telah diperkenalkan dengan sesuatu yang baru. Ini dapat mengurangkan rasa bosan
mereka dan dapat menarik minat mereka untuk belajar. Adalah lebih baik jika guru dapat
mengajar dengan berfokuskan bahan bantu mengajar.

Bahan tersebut mestilah kreatif dan menggunakan warna yang cerah untuk menarik minat
mereka. Selain itu, masa yang diperuntukkan untuk sesuatu aktiviti janganlah terlalu
panjang, dan jika ia perlu memakan masa yang panjang sebaiknya diselangkan dengan
masa rehat untuk mengelakkan mereka mudah hilang tumpuan. Jika sebelum ini kita
hanya belajar di dalam kelas, apa kata kita ke luar kelas, belajar sambil melihat suasana
yang berbeza.

Menerangkan tentang kegunaan ilmu yang mereka


pelajari.
Kadang-kadang murid merasa tidak minat atau bosan dengan apa yang mereka pelajari
adalah kerana mereka tidak mengetahui kegunaan ilmu yang mereka pelajari. Mereka
hanya mengetahui bahawa mereka perlu belajar kerana disuruh oleh ibubapa mereka atau
bagi mereka ia adalah rutin yang perlu mereka lalui seperti rutin-rutin yang lain.

Guru yang baik adalah guru yang mampu menjelaskan kepada anak muridnya tentang apa
yang boleh mereka aplikasikan dengan apa yang mereka pelajari. Contohnya, jika murid
mengetahui dengan jelas kepentingan belajar matematik untuk membantu mereka dalam
sukatan yang betul untuk membuat kek pasti murid yang minat membuat kek akan lebih
bersemangat untuk mempelajari ilmu tersebut.

Melibatkan pengalaman yang sebenar.


Murid-murid yang didedahkan dengan pengalaman yang sebenar akan lebih faham
berbanding dengan murid-murid yang hanya belajar secara teori semata-semata. Cara ini
lebih berkesan terutamanya untuk generasi sekarang yang hanya mengetahui sesuatu
hanya di hujung jari.
Sebagai contoh untuk belajar ukuran kilogram, jika guru membawa alat penimbang dan
menimbang bahan di depan murid, pastinya akan lebih difahami dan diingati berbanding
jika guru hanya memberitahunya secara lisan. Ia akan jadi lebih menarik jika guru
mengadakan kelas membuat kek dan sambil mengajar sambil mengajar sukatan ukuran.

Menyediakan ganjaran yang menarik minat murid.


Jika pembelajaran disertai dengan ganjaran yang mampu menarik minat murid ia pasti
akan lebih berkesan. Dua jenis ganjaran yang biasa diberikan adalah dalam bentuk
peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif adalah seperti pujian atau
memberikan hadiah-hadiah yang membuat murid gembira dan merangsang mereka untuk
terus bersemangat dalam belajar.

Manakala peneguhan negatif pula adalah seperti memberikan hukuman seperti denda
berdiri, buat kerja di luar kelas dan sebagainya. Tujuan jenis ganjaran bersifat negatif ini
adalah agar murid tidak mengulangi kesalahan yang sama berulangkali. Kedua-dua jenis
ganjaran ini penting mengikut kesesuaian suasana.

Namun peneguhan positif lebih sesuai digunakan untuk murid-murid yang lemah seperti
puji-pujian, kata semangat. Sebab itulah dalam Pembelajaran Abad 21 perlu disediakan
Reward Chart. Ini adalah kerana biasanya murid yang lemah adalah murid yang kurang
yakin pada diri mereka sendiri, apabila ada peneguhan barulah semangat dari dalam diri
akan muncul.

Mengulangi berkali-kali apa yang diajar.


Maksud mengulangi disini adalah mengulangi isi pelajaran dengan kaedah yang berbeza.
Murid yang lemah juga biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah dari
segi memahami sesuatu. Disebabkan itulah guru perlu sentiasa mengulangi apa yang
sedang diajar berulangkali dengan cara yang berbeza.

Guru boleh mengulang-ulangnya dengan lisan, kemudian diulang lagi mengunakan media
ataupun dengan menggunakan peta minda yang menarik menggunakan kreativiti guru itu
sendiri. Selain itu, guru boleh menarik minat mereka dengan sentiasa memanggil nama
murid yang lemah berulangkali semasa proses pembelajaran, ini sedikit sebanyak akan
menyebabkan mereka akan fokus kepada guru yang sedang mengajar.

Guru perlu bersikap tegas tapi bukan garang.


Dalam mengajar guru harus mengamalkan sikap yang tegas tapi bukan sifat yang garang.
Sifat yang tegas akan membuatkan murid dapat membezakan antara yang mana betul dan
salah. Manakala sifat yang garang akan menyebabkan murid-murid takut dan semakin
tidak ingin belajar.
Biasanya murid yang lemah adalah terdiri daripada mereka yang juga mempunyai
masalah displin. Sikap tegas amat penting untuk membantu mereka memahami apa yang
mereka pelajari dan membantu mereka mematuhi peraturan semasa belajar.

Guru juga perlu sentiasa memberi dorongan dan motivasi kepada murid-murid
berkenaan.

Semoga para guru tidak berputus asa mendidik dan membantu murid lemah untuk terus
belajar. Anggaplah ia sebagai cabaran untuk kita dalam berjuang dalam dunia pendidikan.
Ingat usaha tangga kejayaan.

Penulis Pendidik2u: Noraini Ismail

Anda mungkin juga menyukai