Anda di halaman 1dari 2

4 Adab Menuntut Ilmu Dalam Surah Al-Kahfi Yang Mungkin

Ramai Tidak Tahu

Kita beramal membaca Surah Al-Kahfi pada setiap hari Jumaat. Sinonimnya,
apabila menyebut tentang surah Al-Kahfi, terlintas di fikiran kita tentang
kisah pemuda-pemuda gua bukan? Tetapi mungkin ramai tidak tahu banyak
pengajaran di dalam surah ini. Antaranya, adab-adab menuntut ilmu.
Pengajaran yang tersirat disebalik kisah Nabi Musa a.s dan Nabi Khidir a.s.
Jom, sama-sama kita tadabbur Surah Al-Kahfi!

1. Tidak merasa diri yang paling tahu

Menurut Ibnu Abbas, Ubay Bin Kaab menceritakan bahawa beliau mendengar Nabi Muhammad
s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya pada suatu hari, Nabi Musa berdiri di khalayak Bani Israil lalu beliau ditanya,
“Siapakah orang paling berilmu?”
Jawab Nabi Musa, “Aku”
Lalu Allah s.w.t menegur Nabi Musa dengan firmannya, “Sesungguhnya disisi-Ku ada seorang
hamba yang berada di pertemuan lautan dan dia lebih berilmu daripada engkau. (Direkodkan
oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Al-Fadhail, Bab Min Fadhail Al-Khadir Alaihi
Salam, no hadith 170, daripada Ibnu Abbas, status hadith sahih)

“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada temannya: Aku tidak akan
berhenti sehingga aku bertemu dua laut itu, atau aku berjalan terus
bertahun-tahun”. (Surah Al-Kahfi, ayat 60)

Ayat Al-Quran dan hadith di atas menceritakan kisah Nabi Musa a.s yang
mengaku orang paling berilmu sedangkan Allah s.w.t lebih mengetahui siapa
hamba-Nya yang paling berilmu. Teguran daripada Allah kepada Nabi Musa
a.s mencetuskan keinginan yang kuat untuk mempelajari ilmu dari Hamba
Allah tersebut.

Pengajarannya adalah jangan terlalu yakin atau berbangga dengan ilmu yang
kita miliki, kerana itu semua milik Allah s.w.t. Apabila kita pakar di dalam
sesuatu bidang, jangan memandang rendah kepada ilmu lain dan bersedia
untuk mempelajari daripada orang yang lebih tahu.
2. Bersabar dalam menuntut Ilmu

“Ia menjawab: Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali
akan dapat bersabar bersamaku?” (Surah Al-Kahfi, ayat 72)

Bersabar dalam menerima ilmu daripada guru kerana guru lebih mengetahui
baik dan buruknya sesuatu. Setiap suruhan atau larangan guru, kita mestilah
mematuhinya dengan penuh sabar dan menerimanya dengan sepenuh hati.

3. Mematuhi arahan guru

“Ia menjawab: Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau


bertanya kepadaku akan sesuatu pun sehingga aku ceritakan halnya
kepadamu”. (Surah Al-Kahfi, ayat 70)

Di dalam kisah ini, Nabi Musa a.s tidak mematuhi arahan gurunya Nabi Khidir
a.s supaya tidak bertanya apa-apa soalan sehingga beliau memberitahunya
sendiri. Adab menuntut ilmu, kita tidak boleh memotong percakapan guru
ketika mengajar kerana dianggap tidak menghormati guru.

4. Bersangka baik kepada guru

“Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami, yang Kami berikan
kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya satu ilmu; dari
sisi Kami”. (Surah Al-Kahfi, ayat 65)

Walaupun pada dasarnya kita melihat buruk tindakan guru atau tidak elok
pada pandangan kita. Sentiasalah husnu zhon terhadap guru kerana guru
lebih berilmu dan berpengetahuan.

Kisah Nabi Musa a.s dan Khidir a.s telah dinukilkan dalam surah Al-Kahfi ayat
60-82. Islam memberi kedudukan yang sangat istimewa kepada guru.
Justeru, sebagai seorang pelajar menghormati guru adalah tuntutan utama
dalam menuntut ilmu supaya mendapat keberkatan daripada setiap ilmu
yang kita pelajari.

Anda mungkin juga menyukai