Anda di halaman 1dari 58

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019

BAHASA MELAYU 1

HAJI ISHAK BIN MD SHAH


019-4789803

PENYUSUN MODUL MAHIR MENGARANG (MMM)


&
PENCERAMAH MAHIR KERTAS 1

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 1


PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019

Assalamualaikum/Salam sejahtera;

Alhamdulillah, terlaksana juga niat saya untuk melaksanakan tugas sukarela ini. Sebenar-benarnya
hasil kerja ini merupakan hak milik dan karya intelek saya 100%. Tiada sebaris kata atau sebaris ayat
pun yang diciplak daripada pihak lain. Usaha ini saya lakukan sebagai sumbangsih untuk anak-anak
didik di 73 buah alma mater di serata pelosok nusa yang dengan suci hati menjemput saya dalam
PROGRAM BIJAK MENGARANG di sekolah masing-masing. Walau bagaimanapun atas semangat
setia kawan dan saling berkongsi saya dedikasikan buah fikir yang sedikit ini untuk manfaat semua.
Sekiranya hasil kerja ini berguna ambillah dan manfaatkan demi anak-anak kesuma tercinta.

Kepada rakan-rakan yang berhasrat untuk menjadikan bahan ini sebagai koleksi peribadi dalam
PdPc, bertabiklah dan bersahutlah walaupun sepatah kata kepada saya. Saya bukan berkira, tetapi
itulah budaya dan rukun budi bahasa kita. Sebagai maklum, sebahagian besar bahan ini akan saya
muatkan semula ke dalam MMM edisi 2020 yang menandakan tahun keramat dan terakhir kepada
saya beraksi di pentas jerayawara sebelum saya melabuhkan tirai menjelang 2021.

Sekali lagi kepada semua rakan guru yang sudi memanfaatkan MMM edisi 2019, saya dengan segala
besar hati merakamkan penghargaan dan terima kasih. Tanpa anda saya bukanlah sesiapa. Semoga
segala usaha dan buah fikir saya dalam buku kecil tersebut bakal memberikan impak kepada anak-
anak didik sebelum mereka melangkah ke gelanggang pencak silat SPM tidak beberapa lama lagi.
Marilah kita merafak sembah dengan menadahi tangan ke petala langit untuk memohon restu serta
taufik hidayah-Nya, moga-moga anak-anak didik kita beroleh cemerlang. Sesungguhnya, kejayaan
mereka menjadi afiat dan pembasuh keringat kita.

Pada kesempatan ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada panel pembina soalan sama ada
sekolah, PPD mahupun negeri yang soalan mereka telah saya pilih untuk dibinakan rangka mahupun
sampel jawapan lengkap. Walaupun tidak semua soalan yang sempat saya buat, memadailah kadar
ini kerana barangkali inilah kudrat dan upaya saya.

Atas faktor kekangan masa dan kelemahan saya sendiri, mungkin terdapat kesilapan kecil di mana-
mana terutama dalam aspek ejaan dan tatabahasa, maka dengan segala rendah hati saya memohon
maaf. Dalam kalangan sahabat dan ikhwan sudi-sudilah membetuli saya atas landasan hikmah dan
silaturahim.

Sekian terima kasih, tabarakallah.

HAJI ISHAK BIN MD SHAH

019 4789803 (Panggilan + Whats App + Teleg)

Penyusun MODUL MAHIR MENGARANG (MMM) dan penceramah MAHIR KERTAS 1

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 2


SELANGOR

SOALAN 1: Penggunaan media sosial telah menguasai kehidupan sebahagian besar remaja masa ini
walaupun mereka mengetahui terdapat banyak keburukan daripada kebaikan.

Sebagai seorang remaja, huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk memastikan
penggunaan media sosial akan memberi faedah kepada diri anda.

Pendahuluan: Rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsap, Telegram dan
banyak lagi telah menjadi santapan harian masyarakat mutakhir ini. Fenomena tersebut begitu ketara
dalam kalangan remaja kerana itulah sumber yang menjadi warna dan suasana dalam kehidupan
mereka. Oleh sebab itu, amatlah janggal untuk memisahkan remaja dengan peranti media sosial.
Walau bagaimanapun, perkara yang paling merunsingkan ialah kehadiran media sosial bukanlah
menawarkan bulan dan bintang serta perkara yang baik-baik sahaja, malahan jikalau tersalah ambil
dan tersalah acu nescaya banyaklah unsur negatif yang akan melanda remaja. Anasir-anasir seperti
keganasan, pornografi, penipuan dan fitnah bercambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Oleh sebab itu, sebagai remaja yang berwawasan, saya wajarlah menggunakan kebijaksanaan dan
kewarasan dalam menentukan arah aliran perisian dalam media sosial agar diri tidak terjebak ke
dalam gaung kebinasaan kerana hakikat habis wang boleh dicari habis akal celaka padahnya.

Isi 1: Saya hendaklah menetapkan niat dan menguatkan tekad ketika memulakan lembaran media
sosial.

- Tekad menentukan hala tuju kita – jika berniat untuk mencari perkara yang baik hasilnya baik
juga jika sebaliknya yang buruk akan ditemui – mengenal pasti kesan selepas itu, sama ada
kesan positif atau negatif – perlu berwaspada antara kehendak nafsu dengan kewarasan yang
bersumberkan akaliah.
Isi 2: Melayari media sosial dalam usaha mencari fakta, data dan maklumat penting yang boleh
membantu saya dalam bidang pelajaran mahupun memperoleh maklumat tentang perkembangan
semasa dunia.

- Media sosial sebagai rakan dan pemudah cara


- Media sosial sebagai bank maklumat
- Media sosial boleh membantu saya menjadi lebih matang
Isi 3: Saya perlulah menjadikan media sosial sebagai wahana untuk memperluas jalinan sosial dan
persahabatan yang bersifat positif.

- media sosial bukan untuk mewujudkan rangkaian permusuhan, rasis dan sadis
- bersahabat secara saling membantu dan saling menyokong
- memperluas jaringan kemanusiaan, persahabatan dan kasih sayang sesama insan sejagat
Isi 4: Saya hendaklah memanfaatkan media sosial sebagai maslahat mengangkat kebijaksanaan,
kreativiti dan potensi diri.

- Terdapat pelbagai artikel, perbincangan, perdebatan, fakta yang boleh merangsangkan daya
berfikir secara kritis

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 3


- Pelbagai maklumat kreatif dan inovatif yang boleh dimanfaatkan untuk mengangkat bakat dan
kreativiti
- Terdapat pelbagai panduan, manuskrip dan manual yang boleh dijadikan rujukan untuk
mengasahkan bakat dan potensi individu.
Penutup/Kesimpulan: Sesungguhnya, revolusi media sosial telah berjaya membawa visi dunia baharu
agar insan sejagat saling berkongsi maklumat dan potensi. Rangkaian media sosial telah berjaya
mengubah pemikiran glokal kepada global. Peluasan liberalisasi maklumat telah mengangkat minda
pengantarabangsaan dalam kalimat ‘maklumat di hujung jari’. Sehubungan dengan itu, saya wajarlah
keluar daripada kepompong katak di bawah tempurung supaya turut serta dalam ledakan revolusi
media sosial agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam khalayak global. Walau
bagaimanapun, hubaya-hubayalah agar saya tidak menjadi mangsa kepada penyalahgunaan media
sosial dalam naratif yang negatif kerana sekali jalan kena, dua kali jalan tahu, tiga kali jalan mengena.

SOALAN 2: Pada era teknologi tanpa sempadan ini, masyarakat semakin sibuk sehingga
menyebabkan semangat kejiranan semakin terhakis dalam kalangan mereka.

Huraikan langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Pendahuluan: Kita hidup sandar-menyandar, bak aur dengan tebing. Kita sentiasa berpegang dengan
amalan murni dan budaya lama ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama
dilapah dan hati kuman sama dicecah. Kehidupan seperti inilah yang bakal menjanakan sebuah
masyarakat yang prihatin, dinamik, dan progresif. Walau bagaimanapun, akibat perubahan zaman
yang dibelenggu dengan hambatan mengejar kerjaya dan kehidupan yang semakin kompleks, manusia
mula mengabaikan tradisi mulia itu. Kini kehidupan dirasakan terlalu rumit, merimaskan dan tiada roh
kesejahteraan. Demi kehidupan kita yang lebih bermakna, seyogialah kita kembalikan semula amalan
lama dengan menyuburkan budaya tegur-menegur dan memperkasakan semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat.

Isi 1: Anggota masyarakat hendaklah berasa bertanggungjawab untuk menghidupkan semula


tradisi masyarakat silam – masyarakat silam terlalu kuat ikatan kejiranan dan kasih sayang –
menyuburkan tradisi kunjung-mengunjung - tradisi bergotong-royong, unjuk-mengunjuk, memberi
dan menerima hendaklah diperkasakan dalam masyarakat (sedikit tanda ingat dan banyak tanda ada)

Isi 2: Institusi keluarga hendaklah saling berusaha memupuk persefahaman dan saling hormat
sesama jiran tetangga – jiran ibarat saudara mara sendiri - sentiasa bersama dalam menghadapi
sebarang masalah besar atau kecil - tidak membezakan status dalam masyarakat – tiada perbezaan
pangkat, miskin atau kaya - amalan menegur kesalahan dengan nasihat secara ikhlas – amalkan
tanggungjawab anakku anakkau dan anakkau anakku

Isi 3: Kepimpinan masyarakat pelulah mengambil inisiatif untuk mengembalikan tradisi secara
contoh dan teladan - kalangan berpengaruh dalam masyarakat hendaklah menjadi role model - ibu
bapa mengajarkan anak-anak cara-cara menghormati orang yang lebih tua – golongan tua dan
berpengalaman sentiasa dijadikan pakar rujuk -pemimpin sentiasa mendekati rakyat – sentiasa
berinteraksi secara sopan, jujur, dan telus

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 4


Isi 4: Memperkasakan kehidupan berjiran dengan insiatif saling membantu dan menyokong
dalam urusan harian – boleh memperkukuh jalinan kejiranan - golongan berada sentiasa menjadi
tempat merujuk golongan miskin manakala yang miskin menghormati dan menyokong yang berada -
mengadakan jamuan dan kenduri-kendara – tidak mengukur nilai kebendaan tetapi ikhlas sebagai
paksi perhubungan mesra

Isi 5: Kalangan pemimpin dan tokoh masyarakat sentiasa berusaha menghidupaktifkan institusi
masyarakat – sebagai landasan untuk anggota masyarakat berinteraksi – mengaktifkan program
surau, masjid, rukun tetangga dan persatuan penduduk – mengambil bahagian secara aktif dalam
program sukarela – menjadi institusi untuk melahirkan pemimpin pelapis

Kesimpulan: Walaupun amalan tradisi nenek moyang itu semakin terhakis dalam kehidupan
masyarakat bandar, namun rohnya masih dirasai oleh sebahagian masyarakat di pedalaman. Oleh hal
yang demikian, amalan yang sudah lama menjadi darah daging masyarakat itu tidak wajar diabaikan
semata-mata merasai kehidupan kini sudah terlalu selesa. Ingatlah hidup kita sandar-menyandar, bak
aur dengan tebing, ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, biar sedikit tanda ingat dan banyak
tanda ada.

SOALAN 3: Selaku Setiausaha Kelab Pelancongan sekolah, anda telah menyertai lawatan ke salah
sebuah tempat yang bersejarah di negara kita.

Tulis sebuah laporan tentang keistimewaan tempat bersejarah tersebut.

SOALAN 4: Teknologi perubatan yang semakin canggih telah meningkatkan tahap kesihatan
masyarakat di seluruh dunia.

Ulas pernyataan tersebut.

Pendahuluan: Kesihatan ialah harta. Kesihatan menjadi asbab seseorang itu boleh mencapai
matlamat hidupnya. Malahan dalam sepotong Hadis Nabi SAW yang sangat penting, terdapat satu
segmen yang menyatakan, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit”. Demikianlah
pentingnya kesihatan. Fakta dan data turut menunjukkan bahawa negara-negara yang dihimpit
kemiskinan terutama dalam jazirah Afrika mengalami krisis kesihatan yang amat menyedihkan. Hal
yang demikian memang tidak dapat dielakkan memandangkan kegagalan mereka dalam revolusi
teknologi perubatan. Oleh hal yang demikian, penemuan teknologi dan inovasi dalam kaedah-kaedah
baharu perubatan amatlah penting. Bidang-bidang penemuan seperti MRI, pengesanan laser,
pancaran sinar-x (x-ray) telah berjaya menyelamatkan pesakit kronik seperti sakit jantung, buah
pinggang, kencing manis dan pelbagai lagi komplikasi penyakit berbahaya. Sehubungan dengan itu,
penemuan teknologi moden dalam dunia perubatan memberikan harapan baharu kepada penghidap
penyakit untuk pulih seperti sedia kala.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 5


Isi 1: Penyakit-penyakit kronik yang bersifat tradisional seperti kolera, malaria dan tibi hampir
pupus dengan terhasilnya pelbagai teknologi perubatan.

- hasil kejayaan penemuan vaksin dan antibodi – penyakit bawaan vektor dan anasir air berjaya
dikawal melalui teknologi penapisan dan perawatan air
- penyakit seperti kudis buta, puru dan radang kulit berjaya dikawal dengan adanya antiseptik
dan antibodi
Isi 2: Teknologi penemuan ubat-ubatan moden (alopati) dapat mengawal penyakit daripada
merebak dan bertambah kronik

- ubat-ubat moden dihasilkan secara kajian saintifik


- kesan sembuh yang pantas dan berkesan
Isi 3: Inovasi rawatan moden seperti studio dan teater pembedahan

- kemudahan asas merawat penyakit amat moden dan canggih


- memberikan kemudahan pengesanan penyakit dengan lebih pantas dan pada peringkat awal
- dapat menyelamatkan nyawa dan memberikan harapan untuk terus menikmati kehidupan
yang selesa
Isi 4: Pengesanan penyakit lebih awal – kaedah mencegah daripada mengubati

- semua teknologi pengubatan dicipta untuk mengenal pasti penyakit lebih awal
- sistem diagnosis
Isi 5: Perkongsian maklumat dalam kalangan pengamal perubatan tentang kaedah merawat
penyakit dan ubat-ubatan yang sesuai melalui kaedah silang teknologi maklumat dan sidang video.

Penutup/Kesimpulan: Kalangan bijaksana sering mengungkapkan bahawa harta yang paling bernilai
dalam kehidupan insan ialah keluarga yang bahagia, jiran yang baik dan kesihatan yang terjaga. Oleh
sebab itu, tuntutan untuk menjaga kesihatan adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap individu,
keluarga, masyarakat, pemerintah dan pengamal perubatan itu sendiri. Tanpa kualiti kesihatan yang
baik kemaslahatan ummah untuk mencapai kajayaan dunia dan akhirat akan terbelenggu. Oleh hal
yang demikian, semakin canggih manusia dengan penemuan pelbagai teknologi, justeru semakin
canggih juga kualiti kesihatan hendaklah ditemukan.

SOALAN 5: Pantun, gurindam, syair, dan seloka merupakan puisi tradisional warisan bangsa yang
semakin dilupakan oleh generasi lalu.

Huraikan peranan pelbagai pihak supaya puisi tradisional tersebut kembali diminati.

Pendahuluan: Tiada yang lama justeru tiadalah yang baharu. Demikianlah suatu ungkapan klise
namun tetap membawa nilai sentimental tentang perihal yang berkaitan dengan budaya dan warisan
silam. Versi-versi puisi tradisional seperti pantun, gurindam, syair dan seloka memiliki susuk tersendiri
dalam mengangkat citra dan budaya bangsa. Walau bagaimanapun, dalam ledakan fenomena
teknologi moden bisa dan aura genre-genre ini seakan-akan dilupakan. Oleh sebab semua genre ini
menjadi wadah cerminan masyarakat silam dan masa kini, justeru gemblengan daripada semua pihak
dan semua lapisan masyarakat hendaklah berganding bahu mempromosikannya semula agar tidak

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 6


luput ditelan arus komodenan bak kata bidalan tidak lekang dek panas dan tidak reput dek hujan.

Isi 1: Ibu bapa hendaklah mengungkapkan kata-kata berseni dan berirama sesekali apabila
berinteraksi dengan anak-anak.

- anak-anak akan terdidik dengan susuk bahasa yang indah


- menggalakkan anak-anak menghasilkan pengucapan dan penulisan seni dan irama seperti
pantun, sajak dan lirik lagu
- mendedahkan kepada anak-anak dengan lagu-lagu berirama klasik, keroncong, nazam dan
syair
Isi 2: Guru dan pihak sekolah menjalankan inisiatif mempromosikan puisi tradisional dalam program
mega di sekolah

- persembahan caklempong, burdah, dikir dan belotah


- memanfaatkan sudut pengucapan awam di sekolah dengan aktiviti berpantun, menyanyi,
bergurindam dan berseloka
- memperdengarkan lagu-lagu klasik semasa senggang seperti waktu rehat dan aktiviti petang
Isi 3: Media massa khususnya media elektronik hendaklah memperdengarkan lagu-lagu puisi dan
dendangan lagu berirama klasik seperti zapin, masri, dikir barat dan dondang sayang.

- sebagai usaha menarik minat generasi baharu menghayati pengucapan berseni yang lebih
teratur dan mengandung mesej
- memberikan galakan kepada generasi muda untuk turut sama mengangkat citra khazanah
bangsa
Isi 4: Kerajaan khususnya Kementerian Penerangan dan Multimedia serta Kementerian Kebudayaan
dan Pelancongan sentiasa proaktif memperkenalkan warisan tradisi khususnya bidang seni sastera.

- melancarkan ‘Kempen Cintai Seni Budaya dan Sastera Kita’


- memperluas jaringan dengan kerjasama media massa sama ada media cetak mahupun media
elektronik
- memperdengarkan pengucapan seni puisi di dalam pengangkutan awam terutama kapal
terbang dan bas pelancong
Isi 5: Pihak penggiat seni dan pemain industri muzik dan hiburan berusaha mengadaptasikan
pengucapan seni puisi menjadi lirik lagu.

- boleh membikinkan kesan estetika dan fantastik yang lebih mendalam


- mewujudkan kolaboratif dan sinergi antara penggiat seni sastera dengan bidang muzik
- memperluas wacana seni sastera selain dapat menjanakan sumber pendapatan
Penutup/Kesimpulan: Pengucapan puisi sama ada dalam bentuk baris dan bait pasti membawa
maksud yang pelbagai sama ada tersurat mahupun tersirat. Selain itu, genre-genre tersebut sarat
dengan amanat, kritikan, sindiran dan jenaka. Semua unsur tersebut menjadi instrumen kepada
tamadun dan budaya sesuatu bangsa. Oleh sebab itu, semua pihak hendaklah mengambil
tanggungjawab untuk memperkasakan semua genre yang menyimpan nilai seni yang fantastik dan
sentimental itu. Tidak betahlah, akibat dihambat oleh teknologi dan pemodenan kita secara acuh tidak
acuh mempersendakan dan mengabaikan maruah dan tradisi bangsa, bak kata peribahasa biar mati
anak jangan mati adat.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 7


SMK SG MANIK, PERAK – Pn Roosezah Sabri

SOALAN 1: Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita perlulah menjaga kesihatan
agar berada dalam keadaan yang baik.

Berikan pendapat anda tentang cara-cara untuk menjaga kesihatan diri agar sentiasa terjaga demi
kesejahteraan hidup.

Pendahuluan: Daripada lima amanat penting Nabi Muhammad SAW, salah satu yang boleh dipetik di
sini ialah, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang kepadamu masa sakit”. Oleh sebab itu, amatlah jelas
sekali bahawa kesihatan merupakan aset paling penting yang membolehkan seseorang itu
merencanakan arah dan hala tuju kehidupan. Banyak urusan harian akan terbentur sekiranya
mengalami pelbagai komplikasi penyakit. Belakangan ini, pelbagai isu kesihatan sering menghiasi
dada-dada akhbar yang antaranya ancaman penyakit kronik seperti serangan jantung, kanser,
komplikasi buah pinggang dan radang paru-paru. Paling membimbangkan apabila individu itu terkesan
dengan salah satu penyakit kronik ini maka harapan untuk sembuh adalah amat tipis sehingga
memungkinkan peluang untuk hidup menjadi singkat. Sehubungan dengan itu, semua pihak
hendaklah sentiasa peka terhadap sebarang serangan penyakit dengan mengambil langkah proaktif
dan berjaga-jaga bak kata peribahasa ingat sementara belum kena jimat sementara belum habis.

Isi 1: Setiap individu hendaklah mengambil berat dan menyeimbangkan penjagaan kesihatan
lahiriah dan batiniah

- kesihatan yang hakiki adalah yang meliputi kestabilan rohani dan jasmani
- aspek rohani adalah yang berkaitan dengan ketenangan emosi dan kesyumulan rohani
- aspek jasmani adalah yang berkaitan dengan kebersihan, keselamatan dan bebas daripada
jangkitan
Isi 2: Jaminan kesihatan juga berkait rapat dengan perancangan pengambilan makanan dan diet
yang seimbang.

- keutamaan kepada memilih makanan yang berzat dan berkhasiat


- mendisiplinkan diri tentang rutin masa makan
- amalan makanan mengikut sunnah Nabi SAW, “Kami tidak makan kecuali kami lapar dan kami
berhenti makan sebelum kenyang”
Isi 3: Setiap individu hendaklah sentiasa cakna terhadap jadual harian yang meliputi urusan riadah
dan berehat yang teratur

- langkah ini penting agar menjadi rutin yang seimbang dan tidak mendatangkan masalah
kepada sistem biologi dan fisiologi.
- menyusun atur jadual seperti masa bekerja, masa beriadah dan masa berehat
- kegagalan merancang jadual harian yang teratur boleh mendatangkan komplikasi kepada
sistem penguraian, penghadaman, pernafasan dan kecergasan – mudah diserang pelbagai
penyakit
Isi 4: Pengambilan ubat-ubatan dan makanan tambahan berpandukan dos dan nasihat pakar

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 8


- sebagai sokongan kepada sistem imunisasi dan mengekalkan kecergasan
- pengambilan ubat atas nasihat doktor dan suplemen berpandukan nasihat farmasis dan pakar
pemakanan
- tidak menimbulkan kesan tidak seimbang kepada badan seperti alahan, kegemukan dan
merosakkan organ dalaman
Isi 5: Menjalani rawatan awal untuk mengesan masalah penyakit dalam konteks mencegah lebih
utama daripada mengubati

- mengambil langkah berwaspada sebelum terkena sebarang komplikasi penyakit


- rawatan dan pencegahan penyakit lebih mudah dikawal pada peringkat awal
- menghalang perebakan ke tahap yang lebih kronik
Penutup/Kesimpulan: Tiga perkara utama yang menjadi harta sepanjang hayat ialah keluarga,
kesihatan dan jiran. Seandainya ketiga-tiga elemen ini dijaga dengan baik, nescaya kehidupan akan
terasa lunak, mengasyikkan dan bahagia. Walau bagaimanapun, sekiranya kesihatan menjadi anasir
penghalang nescaya semua perkara yang lain akan sia-sia dan hidup sudah tidak bermakna lagi. Oleh
sebab itu, hargailah kesihatan sebagai rahmat daripada Allah yang amat bernilai. Hal yang demikian
adalah amat penting untuk melahirkan sebuah negara yang berdaya saing sudah tentu memerlukan
modal insan yang sihat mental, fizikal dan emosi.

SOALAN 2: Dewasa ini semangat sayang-menyayangi dalam kalangan masyarakat semakin terhakis
ditelan arus pemodenan negara.

Huraikan peranan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk membentuk masyarakat yang
penyayang.

Pendahuluan: Rumah merupakan nukleus institusi masyarakat yang terbentuk sejak berabad-abad
lamanya. Alam berumah tangga pula menjadi paksi kepada permulaan terbentuk sebuah institusi
keluarga yang dapat hidup dalam suasana saling berkasih sayang. Anak-anak yang dilahirkan dalam
sebuah keluarga yang harmoni bakal membesar dalam pakej yang seimbang sama ada jasmani, mental
mahupun emosi. Keadaan yang sebaliknya juga berlaku sekiranya keadaan dalam rumah tangga porak
peranda, pincang dan bercerai-berai. Anak-anak akan menjadi mangsa keadaan dan selanjutnya
memberi impak yang negatif kepada masyarakat. Oleh itu, semua ahli keluarga seyogia memainkan
peranan yang amat besar demi mencorakkan sebuah rumah tangga yang dilingkungi oleh rahmat dan
kasih sayang.

Isi 1: Ibu bapa hendaklah menjadi insan yang bertakwa dan patuh pada hukum Allah – insan seperti
ini sentiasa berfikiran positif dan mengetepikan perihal yang negatif – sentiasa memupuk
kecenderungan untuk hidup yang diredai di dunia mahupun akhirat – anak-anak akan terdidik menjadi
insan yang sentiasa patuh, bersyukur dan bertanggungjawab, menghormati ibu bapa dan jiran.

Isi 2: Ibu bapa wajib menjalankan tanggungjawab membesarkan anak-anak dalam lingkungan kasih
sayang– menyediakan keperluan asas yang cukup dan daripada sumber yang halal - menghamparkan
kasih sayang seluas saujana lautan kepada anak-anak - anak-anak yang diajari erti berkasih sayang
lebih cenderung untuk saling hormat dan saling menyokong– lahir sebuah keluarga harmoni dan

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 9


mawaddah dan menjadi teras masyarakat penyayang.

Isi 3: Semua ahli keluarga belajar dan membiasakan diri berkomunikasi secara lembut dan sopan –
komunikasi yang baik boleh melunakkan perasaan saling hormat antara yang tua dengan yang muda
- melahirkan persekitaran rumah tangga yang harmoni, sepakat dan sebagai asas membentuk
masyarakat harmoni dan bertoleransi

Isi 4: Melatih anak-anak menghormati ibu bapa dan golongan yang lebih tua – ibu bapa senang
dengan sikap anak-anak yang mudah ditunjuk ajar – ibu bapa berasa bahagia memiliki anak-anak yang
menjadi penyejuk jiwa - tidak wujud jurang komunikasi antara ibu bapa, anak-anak dan ahli keluarga
– anak-anak seperti inilah yang menyantuni jiran dan menjadi teras masyarakat penyayang.

Isi 5: Memanjangkan jalinan persaudaraan dengan kaum keluarga dan jiran tetangga – meluaskan
rangkaian kekeluargaan dan persaudaraan – anak-anak didedahkan lebih awal tentang cara hidup
bermasyarakat harmoni dan saling bekerjasama

Penutup/Kesimpulan: Sesungguhnya keluarga menjadi markas utama untuk membentuk insan


penyayang lagi cemerlang. Keluarga yang porak peranda memberi impak negatif kepada masyarakat
setempat. Apabila keluarga menjadi bahagia, maka lahirlah masyarakat yang progresif dan dinamik.
Oleh itu, persefahaman yang wujud dalam kalangan ahli keluarga dapat membentuk masyarakat
madani yang harmoni dan progresif. Dari sinilah akan bermula slogan keluarga bahagia dalam kata-
kata, ‘Keluarga Bahagia Teras Masyarakat’.

SOALAN 3: Anda telah menyertai pertandingan syarahan yang bertajuk “Usaha-usaha untuk
Memajukan Destinasi Pelancongan Negara”.

Tulis teks syarahan itu selengkapnya.

SOALAN 4: Bencana alam sering berlaku di serata dunia. Mangsa bencana telah kehilangan harta
benda dan ahli keluarga. Sebagai negara penyayang, negara kita sering menghulurkan bantuan
untuk menolong negara yang dilanda bencana alam.

Huraikan faedah memberikan sumbangan kepada negara-negara di dunia yang ditimpa bencana.

Pendahuluan: Sejak berdekad sudah berlalu, sering meniti dari bibir ke bibir yang menyatakan
bahawa, “ Malaysia sebagai kecil di atas peta dunia, tetapi amat besar fungsi kepada umat manusia
di seantero alam”. Melihat kepada peranan aktif Malaysia di pentas antarabangsa, justeru ungkapan
di atas bukanlah suatu cakap kosong tanpa asas. Atas kredibiliti dan karisma pemimpin dan rakyat,
Malaysia banyak memainkan peranan terutama dalam membela masyarakat yang tertindas.
Walaupun tindakan Malaysia itu kadang-kadang dilihat dalam persepsi yang negatif, namun
sumbangan yang telah diberikan banyak memberi manfaat sama ada kepada warga sejagat mahupun
kepada Malaysia sendiri.

Isi 1: Dapat melatih rakyat Malaysia menjadi warga yang prihatin dan pemurah

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 10


- menjadi rakyat yang cepat bersimpati dengan kesengsaraan yang ditanggung oleh pihak lain
- sentiasa berasa bersyukur atas nikmat dan rahmat Tuhan dan bersifat tangan terbuka untuk
berkongsi dengan pihak yang ditimpa malang
- menyuntik ke dalam jiwa rakyat agar menghargai kehidupan dalam sebuah negara yang aman
dan selamat
Isi 2: Dapat melahirkan rakyat Malaysia yang bersyukur

- bersyukur sebagai suatu sifat terpuji – bersyukur kerana ditakdirkan hidup dalam negara yang
aman, sejahtera dan makmur (Maksud daripada Firman Allah SWT, “Sekiranya engkau
bersyukur nescaya aku tambah akan nikmat-Ku, sekiranya engkau kufur , ingatlah azab-Ku
amat pedih”)
Isi 3: Membantu menyelamatkan masyarakat yang menderita akibat bencana alam mahupun krisis
kemanusiaan

- tidak mengamalkan sikap mementingkan diri dengan membiarkan orang lain menderita
- membela nasib mangsa bencana alam, pelarian dan mangsa pembersihan etnik (bantuan
kepada mangsa tragedi Palu, rakyat Gaza dan kempen selamatkan Rohingya
Isi 4: Berjaya memperluas jaringan diplomatik dalam kalangan negara tetangga mahupun ke seluruh
dunia

- bantuan telah membuka lembaran hubungan diplomatik


- membuka lembaran baharu persaudaraan dan hubungan yang merentas bangsa, negara dan
agama dan budaya
- menjadi sebahagian daripada warga dunia yang turut merasai kepedihan dan kesengsaraan
masyarakat dunia - Malaysia memperoleh pengiktirafan daripada masyarakat dunia
Isi 5: Membuka mata masyarakat antarabangsa – Malaysia begitu ikhlas dalam menghulur bantuan
– tidak bersikap pandai menuding jari sebaliknya membantu – menyedarkan negara-negara kaya dan
kuasa besar yang sombong dan angkuh

Kesimpulan: Peribahasa yang menyatakan, sedikit tanda ingat banyak tanda ada telah mendorong
rakyat Malaysia untuk membantu sekadar yang termampu. Bantuan yang disalurkan didorong oleh
rasa simpati dan tanggungjawab untuk menyelamat sesama insan. Perasaan kasihan dan saling
menyokong atas malang dan derita yang menimpa masyarakat antarabangsa lahir daripada jiwa yang
murni, bak kata peribahasa, beberapa berat mata memandang, beratlah lagi bahu yang memikul.
Moga-moga sumbangan tersebut akan membawa impak yang cukup besar terhadap makna keamanan
dan keharmonian sejagat.

SOALAN 5:

Pandai-pandailah kauterbang
Menongkah awan mulus dan kabus dingin
Jangan kaupulang
Dengan percikan duka dan balutan luka
Di sayapmu yang patah

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 11


Petikan sajak ‘Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus’ di atas menjelaskan bahawa penyajak
mengharapkan agar anaknya mampu menempuh segala dugaan dan tidak pulang dengan
kegagalan.

Jelaskan tindakan-tindakan yang perlu anda lakukan untuk memenuhi harapan ibu bapa.

Pendahuluan: Peranan ibu bapa dalam memberi kasih sayang amatlah luas bagaikan laut yang tidak
bertepian. Oleh sebab itu, walau dalam apa-apa keadaan sekalipun ibu bapa janganlah diabaikan. Budi
dan jasa mereka wajar dibalas justeru tidak habis dibalasi walau tukarannya dengan gunung intan
sekalipun. Raup kasih yang ibu bapa curahkan hendaklah menjadi ingatan seperti dalam pantun di
bawah;

Kecil-kecil ditimang ibu,


Sudah besar ditimang gelombang;
Sekalipun jauh beribu batu,
Ayah dan ibu jangan dibuang.

Isi 1: Saya berazam dan berusaha menjadi anak yang soleh dan solehah.

- anak yang mempunyai kualiti sama ada di dunia mahupun di akhirat


- anak yang taat patuh kepada ibu bapa dan bertakwa kepada Tuhan
- mendoakan kesejahteraan mereka sama ada semasa hidup mahupun selepas mati
- anak yang menjadi penyejuk hati dan perasaan ibu, lunak budi bahasa serta manis tutur kata
kata
Isi 2: Dalam gelagat dan kelibat seharian saya hendaklah meletakkan keutamaan ibu bapa
mendahului perkara yang lain.

- sentiasa berusaha agar ibu bapa berasa senang hati


- mendapat izin ibu bapa terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu tindakan
- sentiasa memohon doa dan restu mereka
Isi 3: Ketika dalam misi menuntut ilmu saya akan berusaha sedaya upaya menjadi insan berjaya dan
cemerlang.

- belajar dengan bersungguh-sungguh


- berazam memperoleh keputusan yang cemerlang
- bercita-cita memperoleh kerjaya dengan pendapatan yang lumayan
- berkongsi rezeki dengan ibu bapa
Isi 4: Ketika berjauhan daripada ibu bapa, saya bertekad menjauhi sikap dan tingkah laku keji di sisi
agama, norma budaya dan etika adab.

- tingkah laku keji sebagai penyebab menconteng arang ke muka ibu bapa
- tersisih dan dibenci oleh masyarakat
- doa dan restu ibu bapa tidak dimakbulkan Tuhan
Isi 5: Sebagai anggota dalam masyarakat saya hendaklah menjalinkan dan memperluas jaringan
silaturahim dengan jiran tetangga dan rakan taulan ibu bapa.

- meneruskan legasi tingkah laku baik yang telah dilakarkan oleh ibu bapa

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 12


- menghormati kaum kerabat, jiran tetangga dan semua kenalan ibu bapa
- sentiasa disebut dengan nama yang baik dan menjadi asbab yang membanggakan ibu bapa
Penutup/Kesimpulan:

Subur-subur jambak keladi


Subur ditanam di pinggir telaga
Mulia akhlak dengan budi
Leluhur jiwa ibu bapa

Menyusuri kalimat-kalimat dalam setiap bait pantun di atas, amatlah jelas bahawa ibu bapa hendaklah
dijadikan sanjungan budi dan penyejuk kasih sayang. Mereka begitu pasrah melaksanakan amanah
Allah membesarkan anak-anak serta memberikan asuhan ilmu pengetahuan, didikan agama dan
leluhur tingkah laku serta sahsiah. Oleh sebab itu, walaupun jauh terpisah di seberang lautan
kembalilah untuk menyantuni ibu bapa ibarat setinggi enggang menggigal surutnya hinggap juga di
dahan pokok. Begitulah tamsilan hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak.

KELANTAN

SOALAN 1: Penjagaan kebersihan amat penting dalam usaha melahirkan generasi yang cinta akan
kebersihan.

Huraikan cara-cara anda menjaga kebersihan.

NOTA: Saya padankan semula soalan ini dengan sampel karangan saya sedia ada yang boleh dipetik
dalam modul saya edisi 2018

Penampilan diri yang merangkumi aspek kebersihan, kekemasan dan sahsiah yang baik menjadi
syarat utama individu memperoleh kejayaan dalam hidupnya.

Sebagai remaja, bincangkan cara-cara anda membentuk penampilan yang baik.

Bagi memulakan arena perbincangan tentang isu ini, saya tergerak hati untuk memetik
pepatah dalam bahasa Arab yang bermaksud, “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”.
Mendalami kandungan tersirat pepatah tersebut, jelaslah bahawa kebersihan merupakan rukun
utama untuk menentukan tahap tinggi atau rendah keyakinan seseorang terhadap Khaliknya.
Kebersihan juga merupakan sifat Tuhan yang terpuji yang disebut dengan kata ‘nadzifah’. Kebersihan
selanjutnya menjadi lambang ketamadunan dan taraf berfikir sesuatu bangsa sama ada maju atau
masih primitif. Oleh hal yang demikian, kebersihan dan kekemasan diri sering diukur sebagai piawai
penampilan sahsiah seseorang. Seyogia, sebagai remaja pada pascamilenium ini, saya sedar bahawa
kebersihan, kekemasan dan sahsiah yang baik merupakan ciri-ciri penampilan diri yang baik dan wajar
diamalkan dengan pelbagai prakarsa.

Kebersihan yang nyata ialah yang tampak pada zahirnya. Walau bagaimanapun, kebersihan
yang hakiki ialah kebersihan batiniah. Oleh itu, saya amat cakna dalam urusan kebersihan sama ada
zahir mahupun batin. Aura yang terpancar pada wajah menjadi bacaan hati nurani pada diri seseorang.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 13


Dalam hal ini Imam Al Ghazali dalam nukilannya menyatakan, “Mahu melihat kecantikan diri
bercerminlah, sebaliknya mahu melihat kecantikan batin bercerminlah pada wajah”. Oleh sebab itu,
sebelum zahir dilihat cantik, saya perlu menghiasi jiwa dan rohani. Apabila saya mengamalkan sifat-
sifat seperti takwa, bersyukur, amanah dan berhemah, justeru terpancarlah keindahan tersebut pada
peroman. Demikianlah hakikat keindahan peribadi, bak kata peribahasa, wajah cerminan hati.

Penampilan juga harus terpancar daripada amalan disiplin dan tingkah laku yang patuh akan
peraturan, sentiasa istiqamah dan jujur terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Dalam hal ini, saya
amat sedar bahawa tanpa disiplin dan peraturan individu itu akan gagal menguruskan dirinya sama
ada dalam aspek pengurusan masa, kekemasan dan kebersihan. Hasil kerja individu berkenaan juga
sentiasa tidak terurus, dan gagal mencapai KPI yang dikehendaki oleh pelanggannya. Dengan hal yang
demikian, saya harus bertegas terhadap peraturan seperti mengaturkan jadual dan tidak melakukan
sesuatu kerja secara sambalewa. Minda yang mula dihimpit dengan sikap kurang berdisiplin akan
mempengaruhi tindakan dan akhirnya berkesudahan dengan kekecewaan, kemurungan dan mudarat
kepada kesihatan mental mahupun fizikal. Oleh itu, saya harus cakna terhadap sebarang tindakan
kerana individu yang gagal merancang bererti dia merancang untuk gagal.

Perihal kekemasan juga menjadi suatu lagi elemen penting dalam memastikan penampilan
yang segak dan berkeyakinan. Hal yang demikian itu amatlah mustahak kerana dalam dunia moden
ini individu tidak dapat lari daripada berkomunikasi dengan pelbagai klien. Asas-asas kekemasan
seperti cara berpakaian, kebolehan menyesuaikan diri dan fasih tutur kata dengan bahasa yang sopan
memberi kelebihan individu itu mudah diterima oleh pelbagai peringkat khalayak. Penilaian yang
positif menjadi kriteria utama diri kita mudah diterima terutama dalam situasi seperti menghadiri
temu duga, mengendalikan sesuatu majlis rasmi mahupun berurusan dengan pihak atasan.
Sesungguhnya, semua penerimaan itu terangkum dalam serangkap pantun seperti di bawah;

Cantik tenunan dengan sujinya,


Benang bertekat tenunan asli;
Santun berbudi kerana bahasanya,
Sopan berbudi lantunan hati.

Sahsiah dan harga diri merupakan pakaian luar dan dalam yang membolehkan seseorang itu
mendapat pengiktirafan dan mudah diterima pada semua tempat dan masa. Sahsiah terbina daripada
kesyumulan akhlak dan akal budi. Sahsiah yang baik merupakan aset paling berharga yang
menentukan darjat dan martabat individu. Walaupun rupa paras dan gaya menjadi ukuran awal
seseorang, sebaliknya sahsiah menjadi piawai akhir sama ada individu tersebut baik atau sebaliknya.
Oleh sebab itu, sebagai anak muda saya wajar mengasosiasikan ilmu pengetahuan, pengalaman
bergaul dan mematuhi tunjuk ajar daripada para guru dan ibu bapa untuk menjadi insan kamil yang
terpilih. Sifat-sifat mazmumah seperti meninggi diri, keras kepala dan tidak beramanah hendaklah
dijauhi. Sewajarnya, menjadi resam anak muda, saya harus patuhi tatakelaku seperti merendah diri
dan menghormati orang yang lebih tua kerana sudah lumrah ular menyusur akar tidak akan bisanya.
Al hasil dengan amalan berbudi bahasa saya dapat memaparkan aura yang ideal sama ada zahir
mahupun batin.
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 14
Kesimpulannya, penampilan dan sahsiah menjadi harta peribadi yang membolehkan individu
dapat menyesuaikan dirinya dalam semua situasi. Sama ada di sudut agama, peradaban mahupun
budaya, perihal kebersihan, kekemasan dan sahsiah yang terpuji akan membangunkan sebuah budaya
bangsa yang unggul dan disegani. Dalam sepotong ayat Al Quran turut menyatakan, “Sesungguhnya,
Allah itu cantik dan amat menyukai akan sesuatu yang cantik juga”. Berpandukan petunjuk tersebut,
selaku anak muda harapan bangsa, saya harus memperlangkap diri dalam pakej yang segak, kemas,
dan bersahsiah mulia demi menampilkan ciri-ciri anak muda aset negara.

SOALAN 2: Penggunaan telefon pintar dalam kalangan remaja menyebabkan mereka mengabaikan
tugasan harian di samping menjejaskan prestasi mereka dalam pelajaran.

Jelaskan peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak
mereka.

NOTA: Saya ubah suaikan sedikit soalan ini agar cakupannya lebih luas tidak sekadar kepada telefon
bimbit sahaja.

Harap maaf, buka niat nak memandai-mandai. Sila sesuaikan

Perkembangan teknologi dan ICT telah menghasilkan pelbagai produk sistem mudah alih dan gajet.
Perkembangan tersebut telah memberikan kesan yang besar terhadap pertumbuhan minda dan
emosi anak-anak.

Bincangkan peranan ibu bapa untuk mendidik anak-anak menggunakan peralatan teknologi
tersebut dengan cara yang betul

Pendahuluan: Memetik peribahasa yang menyatakan, “Sekali air bah sekali pasir berubah”
menunjukkan bahawa, kehidupan kita memang tidak dapat lari daripada dikejar perubahan dan
kemajuan. Kemajuan datang bak air deras sehingga melanda tamadun dan peradaban. Demikianlah
kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan ICT kini seolah-olah menjadi suatu ancaman baharu
di sebalik impak positifnya. Fenomena tersebut memungkinkan pelbagai peranti mudah alih dan gajet
telah melimpah dalam pasaran. Situasi tersebut merupakan suatu ancaman ‘mega’ kepada ibu bapa
sama ada ancaman dalam bentuk kewangan malah dalam kerangka yang lebih luas ialah kesan
terhadap salah guna dan salah didik yang akan menimpa generasi muda. Ibarat ditelan mati emak
diluah mati bapa, ibu bapa terpaksa melayan kehendak anak-anak dengan penuh dilema. Oleh itu,
dalam mengimbangi antara kedua-dua kepentingan, ibu bapa perlu bijak membimbing anak-anak,
ibarat batu permata jikalau disepuh menjadi permata, jikalau dibiar menjadi tongkol.

Isi 1: Ibu bapa sendiri perlu memperlengkap diri dengan pengetahuan teknologi ICT – supaya ibu
bapa tidak tertipu oleh anak-anak – sentiasa mengikuti perkembangan semasa – tidak menjadi ibu
bapa yang fobia teknologi dan buta komputer – anak tidak berasa gerun apabila ibu bapa buta IT

Isi 2 : Ibu bapa berkongsi pengetahuan ICT dengan anak-anak – ibu bapa sekarang sudah celik ilmu
dan teknologi – wujudkan interaksi yang sihat – anak-anak berasa diri mereka dihargai kerana ibu bapa
turut berkongsi maklumat dengan mereka

Isi 3: Mendedahi anak-anak tentang kemajuan teknologi ICT – berfikiran positif mengatasi negatif –
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 15
membimbing tentang manfaat yang diperoleh daripada gajet dan dan peranti – berkunjung ke pusat
pameran ICT untuk menambah pengetahuan

Isi 4: Mendidik anak-anak tentang nilai moral, etika dan budaya berilmu – orang yang bijak tahu
mencari yang signifikan bukan ancaman – anak-anak perlu faham segala perkara yang bersifat sadis,
hedonis, dan anarkis yang membawa musibah kepada diri keluarga

Isi 5: Ibu bapa mewujudkan interaksi/jalinan yang mesra dengan pihak sekolah – mencegah anak-
anak terperangkap antara dua keperluan iaitu sekolah dan rumah – ibu bapa boleh mendapat
maklumat sahih dari sekolah tentang penggunaan internet dan ICT – mencegah anak-anak terdedah
dengan unsur-unsur porno dan bahan yang antimoral.

Penutup/Kesimpulan: Kebanjiran teknologi gajet bagaikan air deras yang datang dari banjaran
gunung. Andai diempang nescaya melimpah kalau dirempuh nescaya hanyut. Demikianlah suatu
tamsil yang menunjukkan perkembangan dalam bidang peranti dan gajet menjadi cabaran hebat
sekiranya gagal ditangani dengan bijaksana. Kewujudannya banyak memberi manfaat daripada
mudarat. Walau bagaimanapun, pelbagai musibah akan terjadi apabila salah ditangani. Oleh itu,
jadilah pengguna yang bijaksana kerana jauharilah yang mengenal manikam.

SOALAN 3: Pengambilan makanan tambahan memberikan pelbagai kesan kepada masyarakat.

Bincangkan.

NOTA: Saya ubah suaikan sedikit soalan ini untuk dipadankan dengan soalan asal saya yang boleh
dipetik dalam modul saya edisi 2017 ms 77)

Harap maaf, buka niat nak memandai-mandai. Sila sesuaikan

Belakangan ini industri pemakanan kesihatan dan rawatan alternatif semakin mendapat tempat di
hati masyarakat. Pelbagai jenama dan produk makanan kesihatan mula melimpah di pasaran

Bincangkan pendapat anda tentang kesan industri ini kepada masyarakat dan negara.

Pendahuluan: Sebut sahaja D’Herb, Almas Beauty, Jus Nusantara, Qu Puteh dan sebagainya, seyogia
anak-anak di dalam buaian pun sudah mula mengenalinya. Pengaruh iklan dan penajaan dalam
beberapa program realiti sama ada oleh Astro mahupun Media Prima telah melonjakkan beberapa
jenama terkenal produk-produk tersebut. Hal ini juga memberikan isyarat bahawa permintaan
terhadap produk kesihatan dan rawatan alternatif semakin mendapat tempat di hati masyarakat
pengguna. Produk-produk seperti rawatan herba, makanan kesihatan dan terapi kesihatan secara
relatifnya telah menyumbangkan pelbagai kesan kepada masyarakat dan negara.

Isi 1: Berlaku persaingan yang positif dalam pasaran produk kesihatan, ubat-ubatan dan pemakanan
kesihatan – memperluas jaringan perniagaan – menyumbang ekonomi kepada penguasaha, penerbit,
pengedar, stokis dan peruncit – merancakkan petumbuhan ekonomi negara

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 16


Isi 2: Membantu memperkasakan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk turut bersaing dalam
pasaran terbuka – IKS berkembang dengan pantas – banyak bahan yang dikilang terutama sekali
dalam amalan Pengilangan cara Islam (IMP) – pelbagai jenama baru mesin proses yang dapat
dihasilkan

Isi 3: Masyarakat mempunyai pilihan tentang jenis rawatan – boleh memilih rawatan secara
tradisional, rawatan alternatif atau rawatan moden – minda masyarakat mula berubah daripada
mengubati ketika sakit kepada amalan kesihatan yang berterusan

Isi 4 : Dapat menanamkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan kelangsungan


biodiversiti – sumber alam terutama tumbuhan herba amat berfaedah kepada kehidupan – ubat-
ubatan herba ada yang lebih baik daripada ubatan alopati – rawatan seperti Sinseh dan Ayurvedic
masih popular dalam kalangan masyarakat Cina dan India (rawatan 100 peratus daripada produk
herba)

Isi 5 : Boleh mendatangkan kesan yang serius kepada kesihatan – pengambilan tanpa dos yang betul
dan tidak mendapat nasihat pakar perubatan – meningkatkan jumlah penghidap obesiti, radang hati,
serangan jantung dan mati mengejut – campuran bahan terlarang seperti steroid dan ubat perangsang

Isi 6 : Memusnahkan sumber herba dan produk semula jadi – penerokaan yang tidak terkawal –
sumber-sumber herba yang bernilai tinggi seperti tongkat ali, kacip fatimah, bunga pakma (Rafflesia
hasselti) sudah hampir pupus – penerokaan secara melampau dan tiada usaha penanaman gantian

Kesimpulan: Sesungguhnya, kemajuan dalam mempertingkat kualiti hidup bukan sahaja dalam aspek
gaya hidup seperti kemajuan dalam bidang material, sebaliknya hidup yang berkualiti adalah yang
bersangkut paut dengan mutu kesihatan. Kesihatan ialah modal dan harta untuk seseorang meningkat
maju sama ada kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu, kemunculan produk makanan
kesihatan dan perubatan alternatif menjadi jendela kepada rakyat Malaysia malah dunia amnya untuk
memperoleh gaya hidup yang sihat, jiwa yang tenteram dan emosi yang harmoni.

SOALAN 4: Kestabilan ekonomi dan peluang pekerjaan yang luas merupakan antara faktor Malaysia
menjadi pilihan pekerja asing khususnya dari negara jiran.

Huraikan faktor-faktor Malaysia menjadi pilihan pekerja asing untuk mencari rezeki.

NOTA: Saya ubah suaikan sedikit soalan ini untuk dipadankan dengan sampel asal karangan saya
yang boleh dipetik dalam modul edisi 2018 ms 70.

Harap maaf, buka niat nak memandai-mandai. Sila sesuaikan

Pelaburan asing memainkan peranan yang penting dalam proses pembangunan sesebuah negara.

Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.

Pelaburan asing merupakan strategi lautan biru dalam memperkasakan sektor ekonomi
kepada sesebuah negara. Dalam konteks pasaran, pelaburan asing bermaksud sesebuah kerajaan atau
konglomerat cuba menjualkan teknologi, kepakaran dan produk menjangkau ke pasaran global. Dalam
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 17
era globalisasi kini, pelaburan asing menjadi sebahagian daripada inisiatif ekonomi berimpak besar
untuk melonjakkan pendapatan syarikat mahupun negara. Sama seperti negara-negara di dunia yang
lain, Malaysia turut tidak ketinggalan sebagai pemain ekonomi industri yang sedang berkembang
dengan membuka dasar pelaburan luar di samping turut menggalakkan pelabur-pelabur tempatan
untuk mengembangkan sayap perniagaan di lapangan antarabangsa. Hal demikian telah menunjukkan
bahawa pelaburan asing sebagai suatu kemestian jikalau sesebuah negara mahu bersaing di pentas
ekonomi antarabangsa. Pelaburan asing yang bersifat rentas negara yang sedang berkembang pesat
pada hari ini adalah dipengaruhi oleh beberapa faktor sama ada faktor dalaman mahupun luaran.

Keamanan dan keharmonian dalam sesebuah negara menjadi bonus untuk negara tersebut
mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Kini dalam suatu nada untuk mewujudkan
kesamarataan sejagat, kestabilan politik dan keamanan di sesebuah negara menjadi agenda penting.
Hal tersebut akan mendorong syarikat-syarikat besar di peringkat antarabangsa untuk
memperkembangkan polisi pelaburan mereka di rantau lain. Dengan hal yang demikian, setiap negara
mula menggerakkan inisiatif agar iklim politik dan keamanan domestik sentiasa terkawal. Dengan
keyakinan tersebutlah, syarikat-syarikat ternama antarabangsa seperti Apple, Panasonic, IBM, Intel,
SAMSUNG dan sebagainya sudah wujud dalam lingkungan geopolitik antarabangsa. Asas yang utama
daripada minat pelabur tersebut adalah atas faktor keselamatan dan iklim pelaburan yang
menjaminkan keuntungan.

Polisi yang telus dan mesra pelabur yang diamalkan oleh sesebuah kerajaan turut
menyokong pelaburan asing. Kebanyakan negara Dunia Ketiga khususnya mula membuka mata
kepada pelaburan asing sebagai suatu strategi untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat
mereka. Hal yang demikian telah membuka laluan kepada berkembangnya pasaran luar oleh negara-
negara industri seperti Jepun, Amerika Syarikat dan negara-negara EU. Di Asia Tenggara sendiri, polisi
yang dilaksanakan oleh negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand telah membuka
peluang pekerjaan yang banyak di samping berjaya memacukan ekonomi domestik. Pada hari ini,
industri seperti automobil yang dikuasai oleh Jepun telah mula membuka pelaburan mereka terutama
di Indonesia dan Thailand. Syarikat-syarikat automotif ternama Jepun seperti Toyota, Honda, Isuzu
dan Nissan pada hari ini telah mula memindahkan teknologi mereka terutama ke Indonesia dan
Thailand atas dasar ketelusan negara terbabit dalam polisi pelaburan asing mereka ibarat sambil
menyelam minum air.

Pasaran tempatan di sesebuah negara turut menjadi insentif utama kemasukan pelaburan
asing. Matlamat utama pelaburan adalah untuk memperluas pasaran produk. Oleh itu, peluang

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 18


terbaik kepada pelabur adalah dengan terus menanam modal di negara terbabit. Selain memperoleh
bekalan buruh tempatan yang murah, malahan antara 20 hingga 30 peratus produk dapat dipasarkan
untuk kegunaan domestik. Sementara itu, bagi kebanyakan Negara Dunia Ketiga, pertumbuhan kadar
kelahiran tidak pernah disekat. Sebagai contoh, negara-negara yang padat dengan penduduk seperti
Indonesia 280 juta, Thailand 80 juta, Pakistan 196 juta sudah tentu mempunyai potensi pasaran yang
terlalu besar. Rangsangaan tersebut telah memberi insentif besar kepada kemajuan pasaran domestik
bak kata peribahasa banyak air ikan tidak mati.

Pada hari ini dasar buruh di peringkat global menjadi semakin komplek dengan fenomena
pergerakan migrasi dan pendatang. Gelombang perpindahan dari negara miskin ke negara-negara
maju dan Negara Dunia Ketiga menyebabkan peningkatan buruh asing di kebanyakan negara semakin
sukar dikawal. Fenomena yang sama jelas terjadi kepada Malaysia apabila limpahan buruh asing telah
mencecah 7.3 juta orang. Limpahan tersebut telah memaksa kerajaan lebih berlembut atas dasar
kemanusiaan untuk membuka peluang pekerjaan kepada pekerja asing untuk berkhidmat dalam
sektor swasta dan syarikat multinasional. Lama-kelamaan dasar tersebut sudah menjadi suatu polisi
pula apabila lebih banyak pelabur asing yang berminat untuk melabur. Hal demikian samalah seperti
kata peribahasa, di mana-mana ada air bertakung di situlah ikan bernaung.

Selain itu, kemasukan pelabur asing turut disokong oleh dasar pelaburan kebangsaan yang
diamalkan oleh kebanyakan negara. Apabila dirujuk kepada Malaysia, kerajaan melalui MITI sentiasa
menghantar misi kempen galakan pelaburan luar ke negara-negara maju. Langkah tersebut yang
merupakan strategi serampang dua mata yang memberikan fokus kepada penyediaan peluang
pekerjaan dan pemindahan teknologi menarik pelabur luar bagai pucuk dicita ulam mendatang,
orang mengantuk disorongkan bantal. Kemasukan pelabur asing juga turut menerima pelbagai
insentif daripada pihak kerajaan seperti zon perindustrian bebas, kemudahan prasarana, jaminan
pinjaman bank dan keselamatan operasi yang terjamin. Di samping itu, negara turut menerima
tempias positif apabila berlaku pemindahan teknologi kepada anak-anak tempatan yang menjadi
sebahagian daripada dasar melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan.

Tuntasnya, dalam era yang dikawal oleh polisi global kini, sesuatu polisi hendaklah dirancang
untuk mewujudkan situasi menang menang kepada semua pihak yang berkepentingan. Dasar
perlindungan dan dasar monopoli sudah tidak relevan lagi. Hal yang sama sudah tentu berlaku dalam
dasar pelaburan antara negara kerana ekonomi adalah menjadi tangan ghaib yang menentukan
kedudukan politik dan sosial di sesebuah negara. Sesungguhnya, polisi pelaburan asing yang
diamalkan oleh Malaysia pada masa ini adalah sangat tepat.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 19


Soalan 5: Penulis karya sastera sebenarnya memainkan peranan dalam usaha melahirkan
masyarakat yang minat membaca dengan menghasilkan karya yang mempunyai ciri-ciri tertentu.

Nyatakan ciri-ciri karya yang boleh menarik generasi muda menjadi masyarakat yang minat
membaca.

Pendahuluan: Penulis sama ada dalam bidang deskriptif mahupun kreatif dianggap sebagai otak yang
sedang bergerak. Sementara itu, dalam hal yang berkaitan, peribahasa Arab turut mengungkapkan
bahawa, “mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang”. Demikianlah hakikat kuasa minda dan
peranan besar yang dimainkan oleh seseorang penulis. Penulis-penulis ternama dunia seperti Imam
Malik, Imam Shafie, Imam Nawawi, Mohamed Iqbal, William Shakespeare, Kalidasa dan ribuan yang
lain telah berjaya mempengaruhi landskap pemikiran masyarakat dunia melalui percaturan dihujung
jari mereka. Sebagai contoh, Karl Marx dengan Das Kapitalnya telah berjaya menyebarkan fahaman
Sosialis Marxist Leninist Komunis di hampir satu pertiga dunia. Sehubungan dengan itu, jelaslah
bahawa pengaruh penulis adalah amat strategik untuk mencorakkan pemikiran rakyat dan seterusnya
membugar semangat membaca terutama sekali dalam kalangan generasi muda.

Isi 1: Karya yang boleh mengangkat pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam pelbagai bidang
agar dapat menyesuaikan coretan mereka mengikut trend dan gaya masyarakat massa.

- mampu mengetengahkan idea-idea yang baharu yang lebih segar


- menjadi agen perobah pemikiran, sikap dan tingkah laku khususnya golongan muda
- mendidik generasi muda agar lebih kritis, inovatif dan berani
Isi 2: Karya kontemporari yang mendalami dan memahami cita rasa golongan muda berdasarkan
landskap waktu.

- mendalami jiwa dan isi hati anak-anak muda sesuai dengan landskap semasa
- berkongsi pengalaman dengan anak-anak muda lalu diolahkan dan diterjemahkan semula
dalam bentuk penulisan yang menarik
- generasi muda berasa gerak hati dan denyut nadi mereka diambil perhatian
Isi 3: Karya-karya yang seolah-olah sedang berinteraksi dengan masyarakat pembaca.

- seolah-olah memahami isi hati pembaca


- meletakkan diri penulis sebagai penyampai buah fikiran dan denyut nadi anak-anak muda
- boleh menarik minat anak-anak muda mendekati karya-karya yang lebih hampir kepada diri
mereka
Isi 4: Karya-karya kontemporari yang membicarakan dunia remaja dan boleh memenuhi cita rasa
mereka.

- Penulis perlu meremajakan diri agar dapat berinteraksi secara langsung dengan golongan
tersebut.
- mengetengahkan isu-isu berbangkit yang mempunyai hubungan langsung dengan anak-anak
muda – isu tentang kerjaya, minat, perancangan masa hadapan, hiburan dan sukan
Penutup/Kesimpulan: Gelombang pengaruh media sosial telah memberikan tamparan yang paling
mencabar untuk membangkitkan semula minat membaca dalam kalangan remaja. Kandungan media
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 20
sosial yang bercorak interaksi maklumat secara interaktif memang lebih dekat kepada alam remaja.
Walau bagaimanapun, sebagai wadah pembinaan moral dan akal budi bahan bacaan yang lebih
berjejak di bumi nyata tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat massa. Oleh sebab itu, penulis
hendaklah cakna untuk menampilkan versi-versi bacaan yang sentiasa merangsangkan daya ingin tahu
lalu membugarkan keinginan membaca dalam kalangan remaja.

PERLIS

SOALAN 1: Penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang perlu diberikan perhatian oleh murid. Hal ini
dikatakan demikian kerana ilmu pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang.

Huraikan cara murid memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang.

NOTA: Saya ubah suaikan sedikit soalan ini untuk dipadankan dengan sampel asal karangan saya
yang boleh dipetik dalam modul edisi 2017.

Harap maaf, buka niat nak memandai-mandai. Sila sesuaikan.

Pada era globalisasi ini, negara hendaklah melahirkan rakyat yang menguasai ilmu dalam pelbagai
bidang termasuk memiliki kemahiran teknologi agar lebih berdaya saing di peringkat global

Jelaskan kepentingan menguasai ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang pada masa ini.

Pendahuluan: Pepatah yang menyatakan, hukum dijunjung, ilmu dikelek memberi maksud bahawa
kesempurnaan hidup manusia hendaklah diasaskan kepada dua perkara iaitu peraturan yang dipatuhi
dan ilmu yang dimanfaatkan. Sejajar dengan hasrat menuju matlamat negara maju, justeru
masyarakat Malaysia hendaklah menjulang tinggi kedaulatan dan Keluhuran Undang-undang
manakala ilmu pula dijadikan wahana untuk melahirkan masyarakat yang bijak dan produktif. Oleh
itu, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM), pelbagai cabaran
pendidikan diperkasakan sebagai inisiatif untuk melahirkan rakyat yang berketerampilan sama ada
dalam aspek ilmu pengetahuan mahupun kemahiran tinggi. Pemerkasaan semula kedua-dua aliran
tersebut akan memberi sinar baharu untuk anak-anak Malaysia membuka langkah bagi bersaing di
persada global. Tidaklah dinafikan sama sekali bahawa banyak manfaat kepada rakyat dan negara
dengan langkah pragmatik tersebut.

Isi 1: Negara dapat melahirkan rakyat (graduan) dalam pelbagai bidang ilmu dan kemahiran –
golongan teknikal / vokasonal menjadi tangan emas kepada negara – bakal mewujudkan pelbagai
bidang kerjaya

Isi 2: Negara mampu bersaing dengan negara-negara industri yang tersohor di dunia – memiliki
tenaga kerja pakar dalam bidang industri – boleh bersaing dengan negara-negara seperti Jerman,
Perancis, Jepun dan Korea

Isi 3: Boleh menjanakan pelbagai peluang kerjaya terutama dalam sektor indsutri – pengetahuan
teknik/vokasional boleh melahirkan tenaga mahir – pelbagai produk industri terhasil – berupaya

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 21


memanfaatkan segala potensi hasil mahsul negara menjadi produk industri

Isi 4: Mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja dan tenaga pakar asing – pembangunan
negara mampu dibikinkan oleh kemahiran anak-anak tempatan – mengurangkan pengaliran wang
keluar negara sebagai kos upah warga asing – strategi terbaik mengurangkan kebanjiran buruh asing

Isi 5: Malaysia mampu menjadi negara industri dalam tempoh dua dekad lagi – usaha kerajaan
dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) – melipatgandakan produk eksport barangan siap
selain produk elektrik dan elektronik – meningkatkan pendapatan KDNK negara

Penutup/Kesimpulan: Apabila kita merujuk kata-kata falsafah Confucious yang menyatakan,


“Perjalanan jauh yang beribu-ribu batu hendaklah bermula dengan langkah yang pertama”, justeru
langkah kerajaan memperkasakan kedua-dua bidang ini amatlah bertepatan sekali. Sebarang
matlamat yang ingin kita capai dalam tempoh satu dekad lagi, nescaya perancangannya hendaklah
bermula dari sekarang.Oleh itu, strategi yang terbaik tentulah transformasi dalam sistem pendidikan
perlu berubah terlebih dahulu. Sesungguhnya, kita yakin dan percaya segala usaha kerajaan itu akan
memberi natijah yang besar kepada rakyat dan negara.

Soalan 2: Anak harus diterapkan dengan pendidikan keusahawanan sebagai persediaan menceburi
bidang perniagaan.

Bincangkan peranan ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.

Pendahuluan: Terdapat dua sumber peribahasa yang acap kali menghubungkan sikap dan amalan ibu
bapa lalu menjadi ikutan anak-anak iaitu, bagaimana acuan begitulah kuehnya dan ke manakah
mengalir getah daun jikalau tidak ke batang. Oleh sebab itu, apa-apa yang menjadi minat ibu bapa
mudah dituruti anak-anak. Hal tersebut termasuklah perihal bakat, cita-cita dan kerjaya. Sehubungan
dengan itu, ibu bapa juga bertanggungjawab dalam mendidik minat dan bakat anak-anak agar
condong ke dunia keusahawanan. Dalam dunia keusahawanan potensi yang berkaitan dengan bakat,
kecenderungan, disiplin dan kegigihan hendaklah dipupuk sejak anak-anak berada di peringkat
persekolahan lagi ibarat melentur buluh hendaklah semasa rebungnya.

Isi 1: Ibu bapa hendaklah menanamkan minat yang lebih awal kepada anak-anak dengan cara
menceburi bidang keusahawanan.

- mencuba pelbagai cabang perniagaan – jualan langsung, urus niaga dalam talian
- melatih anak-anak untuk turut sama dalam operasi niaga
- memberi insentif dan gajaran keuntungan
- memupuk motivasi anak-anak supaya gemar berniaga
Isi 2: Menanamkan cita-cita yang tinggi kepada anak-anak untuk menjadi usahawan yang
berjaya dan kaya raya.

- rajin bercerita kepada anak-anak bahawa kekayaan datang daripada bidang perniagaan
- sentiasa menggambarkan kepada anak-anak tentang prospek yang cerah dalam bidang
perniagaan

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 22


- kurangkan bercerita tentang kesulitan dan cabaran getir berniaga – boleh mematikan minat
anak-anak
Isi 3: Mendedahkan anak-anak kepada profil tokoh-tokoh hebat dalam dunia perniagaan.

- membajai minat mereka untuk menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan – menuruti
contoh usahawan berjaya seperti Tan Seri Robert Kouk, Tan Seri The Hong Piow, Tan Seri Syed
Mokhtar Al Bukhari dan ramai lagi
- menyediakan bahan bahan bacaan, prospektus dan risalah tentang dunia niaga
- anak-anak memperoleh pendedahan lebih awal tentang tokoh-tokoh hebat ketika masih di
peringkat awal
Isi 4: Ibu bapa hendaklah rajin membawa anak-anak-anak melawat ke karnival jualan, minggu
usahawan, lawatan ke firma dan kilang.

- Anak-anak mendapat pendedahan awal tentang dunia keusahawan yang mencabar dan
menarik
- Anak-anak tahu tentang selok belok awal berniaga
- Anak-anak boleh menjuruskan minat dan kecenderungan dunai niaga berdasarkan minat,
bakat dan potensi mereka
Penutup/Kesimpulan: Tuntasnya, ilmu keusahawanan ialah asas kemahiran yang membolehkan
individu berdikari. Dalam dunia yang semakin sengit tentang peluang memperoleh kerjaya makan gaji,
kemahiran dalam bidang keusahawanan dan dunia niaga boleh menjadi jalan pintas agar remaja
lepasan pusat pengajian tidak terkial-kial mencari arah tuju kehidupan mereka. Mereka boleh
mengambil inisiatif dengan memulakan perniagaan. Oleh sebab itu, ibu bapa masa kini haruslah
menganjak gaya berfikir untuk memberikan galakan kepada anak-anak supaya lebih cenderung
kepada budaya berdikari yang lebih kreatif dan inovatif untuk hidup tanpa bergantung kepada orang
lain. Ingatlah jikalau ada kemahuan dan usaha, ulat di dalam batu pun mampu hidup, bak kata pepatah
jikalau ada kemahuan di situ ada jalan.

SOALAN 3: Pelbagai amalan boleh dilakukan oleh masyarakat ke arah memupuk semangat
kejiranan.

Ulaskan pernyataan tersebut.

Pendahuluan: Sejak ratusan tahun yang silam, sudah menjadi tradisi masyarakat kita hidup berjiran
dan sandar-menyandar, bak aur dengan tebing. Kita sentiasa berpegang dengan amalan murni dan
budaya lama ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah dan hati kuman
sama dicecah. Kehidupan seperti inilah yang bakal menjanakan sebuah masyarakat yang prihatin,
dinamik, dan progresif. Walau bagaimanapun, akibat perubahan zaman yang dibelenggu dengan
hambatan mengejar kerjaya dan kehidupan yang semakin kompleks, manusia mula mengabaikan
tradisi mulia itu. Kini kehidupan dirasakan terlalu rumit, merimaskan dan tiada roh kesejahteraan.
Demi kehidupan kita yang lebih bermakna, seyogialah kita kembalikan semula amalan lama tersebut
dengan menyuburkan budaya tegur-menegur dan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Isi 1: Menghidupkan semula tradisi masyarakat silam – masyarakat silam terlalu kuat ikatan

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 23


kejiranan dan kasih sayang – menyuburkan tradisi kunjung-mengunjung - tradisi bergotong-royong,
unjuk-mengunjuk, memberi dan menerima hendaklah diperkasakan dalam masyarakat (sedikit tanda
ingat dan banyak tanda ada)

Isi 2: Berusaha memupuk persefahaman dan saling hormat sesama jiran tetangga – jiran ibarat
saudara mara sendiri - sentiasa bersama dalam menghadapi sebarang masalah besar atau kecil - tidak
membezakan status dalam masyarakat – tiada perbezaan pangkat, miskin atau kaya - amalan menegur
kesalahan dengan nasihat secara ikhlas – amalkan tanggungjawab anakku anakkau dan anakkau
anakku

Isi 3: Mengembalikan tradisi secara contoh dan teladan - kalangan berpengaruh dalam
masyarakat hendaklah menjadi role model - ibu bapa mengajarkan anak-anak cara-cara menghormati
orang yang lebih tua –golongan tua dan berpengalaman sentiasa dijadikan pakar rujuk -pemimpin
sentiasa mendekati rakyat – sentiasa berinteraksi secara sopan, jujur, dan telus

Isi 4: Saling membantu dan menyokong dalam urusan harian – boleh memperkukuh jalinan
kejiranan - golongan berada sentiasa menjadi tempat merujuk golongan miskin manakala yang miskin
menghormati dan menyokong yang berada - mengadakan jamuan dan kenduri-kendara – tidak
mengukur nilai kebendaan tetapi ikhlas sebagai paksi perhubungan mesra

Isi 5: Berusaha menghidupaktifkan institusi masyarakat – sebagai landasan untuk anggota


masyarakat berinteraksi – mengaktifkan program surau, masjid, rukun tetangga dan persatuan
penduduk – mengambil bahagian secara aktif dalam program sukarela – menjadi institusi untuk
melahirkan pemimpin pelapis

Penutup/Kesimpulan: Walaupun amalan tradisi nenek moyang itu semakin terhakis dalam kehidupan
masyarakat bandar, namun rohnya masih dirasai oleh sebahagian masyarakat di pedalaman. Oleh hal
yang demikian, amalan yang sudah lama menjadi darah daging masyarakat itu tidak wajar diabaikan
semata-mata merasai kehidupan kini sudah terlalu selesa. Ingatlah hidup kita sandar-menyandar, bak
aur dengan tebing, ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, biar sedikit tanda ingat dan banyak
tanda ada.

SOALAN 4: Pelaburan asing memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pertumbuhan


ekonomi global.

Jelaskan kepentingan pelaburan asing kepada negara-negara yang terlibat.

Pelaburan asing merupakan strategi lautan biru dalam memperkasakan sektor ekonomi
kepada sesebuah negara. Dalam konteks pasaran, pelaburan asing bermaksud sesebuah kerajaan atau
konglomerat cuba menjualkan teknologi, kepakaran dan produk menjangkau ke pasaran global. Dalam
era globalisasi kini, pelaburan asing menjadi sebahagian daripada inisiatif ekonomi berimpak besar
untuk melonjakkan pendapatan syarikat mahupun negara. Sama seperti negara-negara di dunia yang
lain, Malaysia turut tidak ketinggalan sebagai pemain ekonomi industri yang sedang berkembang

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 24


dengan membuka dasar pelaburan luar di samping turut menggalakkan pelabur-pelabur tempatan
untuk mengembangkan sayap perniagaan di lapangan antarabangsa. Hal demikian telah menunjukkan
bahawa pelaburan asing sebagai suatu kemestian jikalau sesebuah negara mahu bersaing di pentas
ekonomi antarabangsa. Pelaburan asing yang bersifat rentas negara yang sedang berkembang pesat
pada hari ini sudah pasti memberikan impak dan kepentingan kepada negara-negara yang terlibat.

Isi 1: Dalam urusan hubungan diplomatik kedua-dua negara menjadi semakin rapat

- sebelum potensi ekonomi seperti pelaburan boleh berjalan, hubungan diplomatik antara
negara mesti lebih lunak dan berdiplomasi
- sebagai langkah mengurangkan ketegangan di peringkat antarabangsa
- boleh memperluas dan menjalinkan hubungan dagang di peringkat global
Isi 2: Dalam aspek ekonomi, pelaburan asing membantu mempertingkat peluang ekonomi dan
peluang pekerjaan.

- peluang kerja kepada rakyat


- mempertingkat potensi eksport
- pelaburan asing menyokong negara berpendapatan rendah yang bergantung kepada ekonomi
tradisional memperkembang potensi hasil mahsul domestik ke dalam sektor industri.
Isi 3: Pelaburan asing dapat merangsangkan pembangunan domestik terutama kemajuan
infrastruktur dan prasarana negara-negara penerima.

- sistem perhubungan yang dipertingkatkan – (pengangkutan awam darat, laut dan udara)
- sebagai sokongan mempermudah urusan import dan eksport
- turut menyokong pertumbuhan ekonomi domestik – rakyat dapat memasarkan hasil keluaran
tempatan
- taraf hidup rakyat semakin maju
Isi 4: Peluang turut terjana dalam hal pemindahan kepakaran dan peralatan moden

- pakar-pakar dari negara maju/pelabur akan memindahkan kecekapan teknologi kepada


rakyat tempatan
- pekerja tempatan akan dihantar belajar dan berkursus di negara-negara maju
- menjadi rangsangan kepada anak-anak tempatan untuk mencebur diri dalam sektor
perindustrian
- status negara cepat keluar daripada paras kemiskinan kepada ekonomi berdaya saing
Isi 5: Pelaburan asing menjadi medan pertembungan budaya, bahasa, interaksi dan kemanusiaan.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 25


- budaya kerja berimpak tinggi akan mula mempengaruhi sikap pekerja tempatan
- pengurusan dan pakar asing akan lebih memahami situasi, sikap dan peradaban masyarakat
setempat
- mengurangkan jurang perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat global
- mewujudkan polisi menang-menang antara negara pelabur dan negara pembekal
Penutup/Kesimpulan: Sesungguhnya, perasaan saling hormat dan saling menyokong dalam kalangan
masyarakat global hendaklah dipertingkatkan. Selain inisiatif yang bercorak diplomatik, inisiatif dalam
bentuk persamaan ekonomi boleh menjadi jambatan penghubung kemanusiaan. Oleh sebab itu,
pelaburan asing membuka wahana baharu era globalisasi pasca-Milenium agar kerjasama rentas
sempadan dan bangsa dapat diperkasakan.

SOALAN 5:

GURU OBOR HEMAH PERTIWI

Ungkapan di atas menunjukkan bahawa guru merupakan insan yang gigih berusaha demi
memastikan kejayaan muridnya.

Tulis sebuah cerita berdasarkan maksud ungkapan tersebut.

NOTA: SOALAN YANG SAMA DAN DALAM FORMAT YANG SAMA PERNAH DITANYA DALAM SPM
2013. SILA RUJUK SOALAN-SOALAN YANG TERDAHULU.

MRSM

SOALAN 1: Minggu Kerjaya yang dianjurkan oleh pihak sekolah bertujuan untuk mendedahkan
pelajar kepada peluang-peluang kerjaya, persediaan kendiri dan kursus-kursus yang ditawarkan
selepas tamat persekolahan.

Bincangkan.

Pendahuluan: Menyusuri kata-kata, “Sekolah Sebagai Agen Perobah Masyarakat”, jelaslah kepada
kita bahawa alma mater memainkan peranan yang cukup besar dalam proses kemenjadian murid.
Sekolah bukan hanya sebagai kilang yang melahirkan insan pintar dan cendekia, sebaliknya
berperanan membina karekter insan yang terampil dalam aspek kemahiran, sahsiah dan akal budi.
Oleh sebab itu, penyepaduan antara kurikulum dan kokurikulm merupakan sinergi yang saling
melengkapi dalam usaha melahirkan insan serba boleh. Penganjuran program seperti minggu kerjaya
adalah sebagai usaha yang profesional untuk mendidik murid-murid agar celik akan potensi diri
sehubungan dengan pendedahan terhadap peluang-peluang kerjaya, persediaan kendiri dan
pemilihan kursus yang mempunyai nilai kebolehpasaran selepas tamat persekolahan nanti. Oleh
sebab itu, inisiatif seperti ini haruslah dipuji dan diberi nilai tambah supaya impaknya berguna dalam
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 26
melahirkan modal insan negara yang serba boleh.

Isi 1: Minggu kerjaya boleh menjadi saluran utama murid menentukan hala tuju masa depan
mereka.

- Murid memperoleh pendedahan awal


- Murid memilih bidang kursus/pengajian yang relevan dengan pasaran kerja
- Murid dapat mengenal pasti potensi diri minat dan bakat yang sesuai dengan bidang kerjaya
Isi 2: Murid-murid menerima pendedahan awal tentang maklumat yang berkaitan dengan struktur
jabatan/organisasi serta operasi yang dijalankan.

- mereka mengenali fungsi-fungsi jabatan/organisasi


- Murid dapat berkomunikasi secara langsung dan lebih dekat dengan pemudah cara atau
mentor di lapangan
- Murid menimba seberapa banyak pengetahuan dan pengalaman tentang sistem operasi dan
cara bekerja sesuatu organisasi
Isi 3: Murid-murid boleh merancangkan masa depan mereka sejajar dengan kelulusan, kebolehan
dan minat.

- Mereka dapat mengenal pasti kursus yang sesuai diambil semasa di IPT
- Mereka boleh memperkembangkan bakat dan minat dalam bidang yang mereka benar-benar
berminat
- Murid boleh mengenal pasti institusi dan IPT yang sesuai dengan bidang pengajian mereka.
Isi 4: Minggu kerjaya sebagai medan menyediakan murid untuk berada dalam realiti masyarakat
dan kehidupan yang sebenar.

- Murid-murid dibawa turun ke lapangan untuk melihat dan mendengar dengan mata dan
telinga
- Murid-murid didedahkan tentang peranan, tanggungjawab dan sumbangan setiap organisasi.
- Murid-murid diperkenalkan dengan kebertanggungjawaban terhadap institusi, masyarakat
dan diri sendiri.
- Murid-murid dilatih melibatkan diri secara langsung menguruskan program dan belajar
berinteraksi dengan pihak berwajib.
Penutup/Kesimpulan: Para pelajar ialah modal insan yang akan dipertanggunjawabkan untuk
menggalas amanah terhadap negara. Sudah resam kehidupan, patah tumbuh hilang berganti, justeru
yang pergi harus digantikan dengan pelapis baharu yang lebih terampil dan berkarismatik.
Sehubungan dengan itu, sewaktu di bangku sekolah, anak-anak kesuma ini hendaklah diasuh agar
bersedia untuk turun ke lapangan masyarakat. Sesungguhnya, bangsa yang dinamik ialah bangsa yang
sentiasa belajar dan boleh memanfaatkan setiap ilmu yang diperoleh untuk maslahat bangsa dan
negara.

SOALAN 2: Budaya makan bersama-sama ahli keluarga semakin kurang diamalkan pada hari ini.

Jelaskan punca-punca tersebut.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 27


Pendahuluan: Kasih sayang dan kejelekitan dalam kalangan ahli keluarga akan terjana melalui
beberapa aktiviti yang bersifat semula jadi dan mencetuskan nilai sentimental yang tersendiri.
Hubungan darah daging ini kadang-kadang terlalu fantastik apabila dalam kalangan ahli keluarga dapat
selalu bersama seperti dalam aktiviti bergotong-royong, menziarahi ahli yang sakit dan berkumpul
untuk menikmati juadah secara bersama-sama. Semua aktiviti tersebut walaupun bersifat klasik,
namun dapat menjadi jambatan penghubung mawaddah yang cukup sentimental. Walau
bagaimanapun, realiti masa kini semua aktiviti seumpama itu hanya lunak sebagai impian semata-
mata, sebaliknya amat sukar untuk diterjemahkan. Kesenjangan itu bukan setakat dalam kalangan ahli
keluarga yang jauh-jauh, malahan di dalam sebuah rumah juga amat sukar untuk diamalkan. Inilah
suatu fenomena songsang yang sedang melanda institusi keluarga kerana ditunjangi oleh beberapa
faktor yang menjadi virus hubungan keluarga semakin dingin.

Isi 1: Fungsi tradisi dalam ahli keluarga semakin berubah sejajar dengan perubahan masa.

- ibu dan ayah bersama-sama bekerja


- fungsi ibu sebagai suri rumah sudah bertukar kepada mencari rezeki
- suami isteri tiada masa yang mencukupi untuk sama-sama berada di rumah
Isi 1: Setiap ahli dalam keluarga dibebani kesibukan sama ada kesibukan bekerja, belajar atau
sebarang aktiviti sosial di luar rumah.

- peluang untuk bersama-sama amat terhad


- kekangan masa dengan hambatan tugas dan kerja
- masa pulang yang tidak sama dan peluang untuk bersama-sama agak terhad
- mencari jalan pintas untuk makan sekadar ada sama ada di tempat bekerja atau di kantin
sekolah
Isi 3: Faktor luaran yang lebih dominan apabila masing-masing lebih selesa untuk makan di luar
sama ada di kantin mahupun di restoren.

- peluang bertemu rakan atau nklien


- menikmati pelbagai juadah
- lebih selesa santai dan mudah
Isi 4: Kemudahan prasarana tempat makan dan bersantai yang semakin banyak tumbuh bagaikan
cendawan selepas hujan.

- memberikan kemudahan memperoleh makanan


- lebih dekat dan lebih cepat
- sesuai dengan kesibukan yang sering dikejarkan oleh masa
Penutup/Kesimpulan: Pernah orang tua-tua berkata, “Bekas air tangan ibu itulah yang akan menjadi
penyejuk jiwa dan pelembut hati nurani”. Walau bagaimanapun, impian tersebut seakan-akan
menyepi dan sedikit demi sedikit menghilang dalam tradisi kehidupan berkeluarga. Gaya hidup nafsi-
nafsi yang mengutamakan keperluan sendiri sedang mewarnai gaya hidup moden. Oleh sebab itu,
setiap institusi keluarga hendaklah mencari jalan agar tradisi yang boleh menjadi penambat kasih
sayang ini tidak pupus begitu sahaja dek ditelan perubahan masa. Ingatalah bahawa kasih sayang
merupakan ubi dan akar kekuatan keluarga yang tidak akan lekang dek panas dan tidak reput dek
hujan.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 28


NOTA: Walaupun tugasan soalan tentang faktor-faktor, jawapan yang cemerlang dengan domain
KBAT, calon sepatutnya memasukkan juga ayat huraian yang berkaitan dengan langkah-langkah. Isi
jawapan tidak perlu diasingkan antara unsur-unsur faktor dengan langkah-langkah.

SOALAN 3: Sempena Bulan Membaca Kebangsaan, anda sebagai Ketua Pengawas Pusat Sumber
telah diminta untuk menyampaikn ceramah yang bertajuk, “Malaysia sebagai negara membaca
menjelang tahun 3030”.

Tulis ceramah itu selengkapnya.

NOTA: Oleh sebab soalan ini amat acap diketengahkan hingga hampir setiap tahun, saya muat
naikkan semula sampel jawapan saya yang sedia ada dalam MMM edisi 2018, ms 49 & 50. Sila ubah
suaikan sedikit berdasarkan tugasan soalan dalam format ceramah.

Harap maaf, buka niat nak memandai-mandai. Sila sesuaikan

Aktiviti membaca seharusnya menjadi amalan masyarakat kerana bangsa membaca bangsa yang
berjaya.

Ulaskan pernyataan tersebut.

Dalam beberapa ungkapan peribahasa banyak juga yang membuat perbandingan perihal
golongan cerdik dengan yang bodoh. Peribahasa seperti si bodoh menjadi makanan si cerdik,
menggambarkan kecerdikan dan kepintaran menjadi keutamaan dalam masyarakat. Demikian pula
dengan sepotong maksud ayat dalam Al Quran yang menyatakan, “Adakah sama golongan yang
berilmu dengan golongan yang jahil?”. Kedua-dua ungkapan indah tersebut memberi gred tertinggi
kepada golongan yang bijak dan berilmu. Oleh itu, apakah ciri utama untuk menjadi golongan yang
berilmu? Pemilikan ilmu tidak dapat ditiadakan dengan tradisi membaca. Oleh sebab itulah dalam
tamadun Islam sendiri, Firman yang pertama yang turun kepada Nabi SAW ialah surah Al Alaq dengan
membawa arahan membaca. Ketinggian darjat golongan yang gemar membaca akan meletakkan
mereka sedarjat lebih tinggi daripada golongan biasa kerana dibezakan oleh ilmu. Oleh itu,
membacalah demi mengaut segala khazanah ilmu.

Apabila kita telusuri semula sejarah panjang tamadun Islam, kecemerlangan tamadunnya
adalah berpaksikan ilmu pengetahuan. Tradisi membaca yang amat ditekankan dalam Islam telah
berjaya melahirkan tokoh-tokoh agamawan dan ilmuwan yang tersohor. Daripada pembacaan yang
penuh berdisiplin itulah, justeru lahirlah tokoh-tokoh Islam yang amat hebat seperti ibnu Sina, Al
Farabi, Imam Malik, Imam Shafie dan banyak lagi. Al Quran sebagai kitab teras dalam kepercayaan
Islam telah memuatkan pelbagai khazanah ilmu yang meliputi empat paksi utama ilmu iaitu Akidah,
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 29
Ibadat, Jinayat dan Munakahat. Penganut Islam yang benar-benar membaca dan menghayati isi
kandungan Al Quran telah berjaya mengangkat syiar Islam ke seluruh empat penjuru alam. Pernah
dikhabarkan, ketika kejatuhan kerajaan Abasiyah di tangan kuasa Mogul, air sungai Furat telah
menjadi hitam pekat kerana cairan dakwat daripada buku-buku yang dibuang ke dalam sungai.
Begitulah gambaran hebatnya budaya ilmu dalam kalangan generasi Islam zaman awal.

Perang Salib telah menjadi satu lagi bukti bahawa tradisi membaca telah mengangkat
martabat sesuatu bangsa. Hal tersebut berlaku apabila tentera-tentera Salibiyah yang dipimpin oleh
Richard The Lion Heart telah memperoleh inspirasi budaya lmu dalam tamadun Islam. Banyak kitab
ilmu yang telah dibawa balik lalu diterjemahkan ke bahasa Latin. Akhirnya berkembanglah suatu lagi
tamadun yang terbina di atas budaya membaca. Permulaan zaman Renaissance di Eropah benar-benar
terbentuk hasil mentelaah dan mengkaji segala sumber ilmu yang bermula dengan tamadun Islam.
Akhirnya, hingga kini Eropah telah menjadi ‘kiblat’ perkembangan ilmu seperti falsafah, tamadun dan
teknologi. Bangsa Eropah bangkit daripada zaman gelap menjadi bangsa yang mengeksport ilmu.
Demikianlah betapa hebatnya amalan membaca.

Berbalik kepada era moden, tradisi membaca telah menjadi penanda aras utama kepada
pencapaian luar biasa beberapa negara kuasa ekonomi dunia. Negara-negara seperti Jepun, Korea
Selatan dan beberapa negara baru di Eropah telah menjadi kuasa ekonomi dunia. Walaupun potensi
ekonomi mereka agak terhad, namun kuasa ilmu telah berjaya mengangkat negara-negara tersebut
untuk terus bersaing dalam pasaran teknologi moden. Jepun yang amat dikenali dengan kekuatan
membaca dalam kalangan rakyatnya memang sukar ditandingi oleh kuasa-kuasa besar hatta Amerika
sekalipun. Rakyat Jepun dikatakan secara purata mampu membaca 120 buah buku dalam setahun.
Kini dua lagi kuasa baru di Asia Timur jauh iaitu Korea Selatan dan Taiwan turut bersaing hebat dalam
bidang teknologi. Pada hari ini rakyat Korea Selatan amat disegani oleh dunia luar apabila teknologi
android mereka dalam penghasilan telefon pintar Samsung telah berjaya menawan pasaran dunia.
Begitulah beberapa petunjuk hebat hasil penjanaan ilmu kerana bangsa membca bangsa yang berjaya.

Amalan membaca sekali gus dapat membawa sesuatu bangsa untuk keluar dari zon jumud
kepada cendekia. Hakikatnya, rakyat Malaysia pada era penjajahan telah dianggap sebagai bangsa
bodoh yang boleh dijajah dan dicucuk hidung. Namun, atas kesedaran untuk kembali bermaruah,
bangsa Malaysia juga mula celik ilmu sebaik negara mencapai kemerdekaan. Akhirnya rakyat Malaysia
mula menuntut ilmu dalam pelbagai bidang. Kita mula menjadi bangsa pencinta ilmu dan bermulalah
tradisi membaca. Penubuhan pelbagai institusi pengajian sama ada rendah, menengah mahupun
tinggi telah memberi peluang rakyat menggali pelbagai cabang ilmu seperti bahasa, sejarah,

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 30


keagamaan dan teknologi. Walaupun hakikat minat membaca rakyat Malaysia masih rendah jikalau
hendak dibandingkan dengan rakyat Jepun, namun kesedaran ke arah itu telah bermula. Hasil
kesedaran terhadap budaya ilmu dan budaya membaca, kini kita telah muncul sebagai salah sebuah
Negara Dunia Ketiga yang cukup pantas berkembang. Demikianlah suatu dimensi baru dalam budaya
membaca untuk meletakkan kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara
maju.

Kesimpulannya, memetik nukilan Saiyidina Ali KW, “Tuntutlah ilmu kerana ilmu menjaga kamu
dan kamu menjaga harta. Ilmu apabila diperdagangkan bertambah dan harta apabila diperdagangkan
berkurang, membuktikan bahawa ilmulah yang menjadi harta paling kekal. Demi sebutir ilmu, justeru
membacalah yang menjadi wadah utama. Sebagai bangsa yang masih baharu, kita masih jauh untuk
bersaing dengan negara-negara maju, namun jikalau tradisi membaca terus diperkasakan, insya-Allah
kita juga akan menjadi bangsa yang berjaya.

SOALAN 4: Hutan banyak memberikan sumbangan dalam kehidupan manusia sejagat.

Berikan komen anda.

Pendahuluan: Dalam kitaran hidup manusia, kita amat terhutang budi kepada hutan. Secara alamiah,
hutanlah yang menjadi pembekal utama demi kelangsungan hidup manusia. Hutan membekalkan
oksigen, hutan menjadi pelindung tadahan air, hutan tempat bernaung segala fauna manakala hasil-
hasil hutan pula menjadi sumber rezeki yang tidak terkira banyaknya. Walau bagaimanapun, akibat
kerakusan manusia, bukan sedikit sumber hutan yang telah diperkosakan. Atas lesen pembangunan
kononnya, hutan belantara diteroka, tanah tinggi digondolkan dan habitat fauna semakin pupus.
Pendek kata, tahap penderitaan yang ditanggung oleh hutan dan tanah tinggi pada masa ini amatlah
parah. Sesungguhnya, dalam apa-apa keadaan sekalipun jasa hutan amatlah besar kepada tamadun
manusia dan akan selama-lamanya penting demi insan sejagat.

Isi 1: Sejak zaman prasejarah, hutan telah menjadi petempatan awal manusia membina tamadun.

- Hutan tempat manusia tinggal dan berlindung


- Hutan menyediakan bekalan makanan secara semula jadi
- Petempatan awal menunjukkan manusia tinggal di dalam gua-gua batu dan pergunungan
Isi 2: Daripada sudut biologi, hutan menjadi pembekal dan penstabil ekosistem.

- Kitaran proses fotosintesis merupakan proses semula jadi gas karbon dioksida dan
penghasilan oksigen dan wap air
- Hutan dan tanah tinggi sebagai simpanan air semula jadi
- Hutan menapis segala bahan terampai dalam udara seperti habuk, asap dan wap panas.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 31


Isi 3: Hutan membentuk landskap semula jadi yang indah, bersih dan sihat.

- Kontur bumi seperti gunung-ganang, bukit-bukau, sungai, paya dan tanah datar semuanya
dilitupi oleh hutan
- Hutan menyediakan pemandangan yang indah – wujud hutan lipur, lereng gunung dan sungai
yang segar lagi bersih
- Pelbagai spesies tumbuhan yang turut mewarnai landskap indah pandangan semula jadi –
pokok bunga, pokok menjalar dan memanjat serta pohon berbanir – amat cantik lagi
memukau sukma
Isi 4: Hutan sebagai gudang aktiviti ekonomi tradisional.

- Pelbagai tumbuhan dan fauna yang menjadi sumber makanan manusia diperoleh dari hutan.
- Hingga era pasca-Milenium ini pun masih wujud manusia yang bergantung hidup kepada
sumber hutan.
- Hasil-hasil seperti buah-buahan, madu asli, kayu balak, rotan, buluh tidak mampu dibuat oleh
manusia tanpa adanya hutan semula jadi.
Penutup/Kesimpulan: Sehubungan dengan anugerah yang amat istimewa ini, marilah kita telusuri
mafhum daripada sepotong ayat al-Quran yang bermaksud, “Sekiranya kamu bersyukur nescaya
kami tambahi nikmat kami, sebaliknya apabila engkau kufur tunggulah azab kami yang amat pedih”.
Seyogia, insan pada fasa akhir zaman ini hendaklah menyedari betapa nikmat Allah yang
menganugerahi kita alam terbentang ini haruslah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Elakkan sifat
rakus, melampau dan sombong sesuai dengan amaran dalam sepotong ayat al-Quran Surah al-Rumm,
“Kerosakan sama ada di laut mahupun di daratan adalah daripada perbuatan tangan-tangan
manusia”. Alangkah kejamnya manusia.

SOALAN 5:

Buah rambai dalam padi,


Lazat cita pada rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
Serta dengan budi bahasanya.

Bait pantun di atas menjelaskan masyarakat yang berbudi bahasa.

Huraikan langkah-langkah yang wajar dilakukan bagi melahirkan masyarakat yang berbudi bahasa.

TERENGGANU

SOALAN 1: Guru umpama ibu bapa kepada murid-murid semasa mereka berada di sekolah. Oleh
yang demikian, guru perlu dihormati kerana amalan ini mampu membentuk sahsiah terpuji
seseorang murid.

Bincangkan amalan-amalan yang wajar anda lakukan untuk memupuk sikap menghormati guru.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 32


NOTA: SECARA KEBETULAN SOALAN INI BOLEH DIRUJUK DALAM MODUL SAYA (MMM) EDISI 2019.
TERDAPAT DUA SET SOALAN YAKNI DALAM BENTUK RANGKA ISI DAN SAMPEL LENGKAP DALAM
FORMAT TEKS UCAPAN. ATAS IHSAN YANG MUAT NAIKKAN SEMULA DI SINI. SEMOGA MEMBERI
MANFAAT.

Guru merupakan insan penting yang perlu dihargai disebabkan mereka menyumbang kepada
pembentukan generasi cemerlang yang diperlukan oleh negara.

Huraikan cara-cara anda menghargai guru.

Pendahuluan: Guru ialah insan penyuluh masa hadapan kepada setiap anak murid. Guru ialah insan
yang memiliki hemah dan peribadi mulia sanggup berkorban diri ibarat dian yang membakar diri demi
menerangi orang lain. Setitis liur basah guru yang menuturkan ilmu pasti menjadi mutiara hikmat yang
memandu jalan kebenaran kepada setiap anak didik. Oleh itu, guru merupakan insan yang wajar
dihormati kerana sumbangan sebagai arkitek yang meneroka masa hadapan anak-anak didik. Sebagai
insan yang pernah menerima sentuhan hikmah daripada para guru saya berjanji akan menghormati
mereka dengan pelbagai cara.

Isi 1: Menyanjung mulia para guru – memberikan penghormatan tertinggi atas jasa bakti dan jerih
keringat yang telah disumbangkan – sentiasa meletakkan profesion keguruan antara bidang kerjaya
yang amat dihormati

Isi 2: Mendoakan kesejahteraan mereka – memohon kepada Ilahi agar memberikan kerahmatan
kepada para guru – rahmat sihat, jiwa yang sakinah dan rezeki yang melimpah

Isi 3: Berusaha sedaya upaya untuk menjadi pelajar yang cemerlang sama ada dalam akademik
mahupun sahsiah – kecemerlangan akademik merupakan hadiah yang paling istimewa kepada para
guru – guru tidak pernah menuntut sebarang bayaran mahupun hadiah sebaliknya amat berbangga
apabila anak-anak didik berjaya

Isi 4: Menghubungkan silaturahim dengan guru – tidak pernah memutuskan hubungan dengan para
guru walaupun sudah lama meninggalkan pusat pendidikan – berusaha menjejaki guru walau di mana-
mana mereka berada – berkirim salam dan menziarahi mereka sama ada dalam keadaan susah
mahupun senang

Isi 5: Menjauhi segala sifat keji dan mazmumah – semua sifat buruk yang dilakukan oleh seseorang
murid ibarat menyapu arang ke muka guru – tiada seorang pun guru yang mengajarkan perkara keji
kepada anak didik – imej guru akan terpalit dengan aib

Kesimpulan: Kecekalan hati para guru mendidik pelajar diibaratkan sepuluh tahun bah melanda
kapar tak hanyut, inikan pula kemarau panjang. Walaupun berhadapan dengan pelbagai kerenah
anak-anak didik, para guru tidak pernah merungut dan tidak pernah menyisihkan pelajarnya walau
seberapa nakal dan nanarnya seseorang anak didik. Mereka tega mendidik dengan berpaksikan segala
ramuan kesabaran, ketabahan dan semangat yang cekal. Oleh hal yang demikian, saya akan pahatkan
di dalam hati nurani bahawa jasa guru sebagai pasak kejayaan bangsa yang tidak boleh dilupakan sama
sekali.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 33


Sempena sambutan Hari Guru, anda dikehendaki menyampaikan ucapan bagi mewakili pelajar
sekolah sempena sambutan tersebut.

Tulis ucapan tersebut selengkapnya.

Assalamualaikum/Selamat sejahtera,

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah
Kebangsaan Gemilang, Yang Mulia guru-guru dan seterusnya rakan-rakan pelajar yang dikasihi
sekalian. Terlebih dahulu pada saat yang bertuah ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan
‘SELAMAT HARI GURU’ kepada warga pendidik yang dikasihi sekalian. Pada kesempatan yang baik ini,
saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana telah dijemput dan diberi peluang untuk
berkongsi idea dengan hadirin sekalian. Mauduk (tajuk) ucapan yang saya pilih untuk disampaikan
kepada hadirin ialah, “Guru, umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Saidina Ali Karamallah pernah menyatakan, bahawa ilmu ibarat barang dagangan yakni
apabila dibelanjakan dan diperdagangkan pasti akan bertambah. Sebaliknya harta pula apabila
diperdagangkan semakin berkurangan. Oleh sebab itu, tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina sekali pun.
Sementara itu, sejak zaman klasik lagi ilmu dan guru ialah ungkapan yang paling sinonim. Tokoh-tokoh
filsuf Yunani, Greek, Cina dan para nabi ialah insan yang dianggap guru dan murabbi kepada peradaban
moden kini. Guru ialah manusia unik yang sentiasa berkorban tenaga menaburkan ilmu tanpa memilih
masa, tempat dan anak murid. Pada malam hari mereka menelaah ilmu dan pada siangnya mereka
menaburi anak-anak didik dengan ilmu.

Guru ialah insan penyuluh alam dan menjadi obor untuk menyinari insan dengan menyatakan
segala kebenaran. Tanpa ilmu sama ada ilmu dunia atau akhirat manusia akan dibelenggu oleh
kejahilan. Sebagai insan berilmu para guru akan mendidik masyarakat, mengajarkan yang benar sama
ada agama dan moral. Seseorang guru yang ideal tidak akan berpuas hati dengan ilmu pengetahuan
yang sedia ada tetapi akan terus menyelongkar khazanahnya sepanjang masa. Sesuatu yang sangat
istimewa yang lahir daripada batang tubuh seseorang guru ialah keikhlasan. Keikhlasan yang
dimaksudkan apabila mereka tidak pernah lokek akan ilmu malah cuba sedaya upaya untuk
memberikan seberapa banyak ilmu kepada anak-anak murid. Ditamsilkan dengan seorang peniaga
yang pasti berasa cemburu jika pesaingnya mengaut untung yang lebih, sebaliknya guru akan
berbangga apabila anak didiknya lebih hebat daripadanya. Itulah paksi keikhlasan guru.

Hadirin sekalian,

Sebagai anak didik yang telah mengenal dunia hasil didikan guru dengan mengenali huruf dan
angka, sudah sewajarnya guru dihormati bukan sahaja sebagai seorang insan biasa tetapi sebagai
insan istimewa. Dalam pemikiran Islam, guru ialah orang kedua yang perlu ditaati dan dihormati
selepas ibu bapa. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana ibu bapa yang melahirkan kita belum tentu boleh

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 34


mendidik anak-anak tetapi para guru tetap bermanis muka menerima sesiapa sahaja untuk diajar dan
dididik. Faktor kesabaran menjadi ramuan yang paling sukar ditandingi oleh mana-mana insan
melainkan guru. Oleh hal yang demikian, kerjaya guru haruslah mendapat sanjungan daripada
masyarakat dengan gelaran jolokan ‘CIKGU’ kepada insan bergelar guru walaupun beliau sudah
bersara. Janganlah dengan apa-apa cara sekalipun kita melupakan jasa guru, ibarat kacang lupakan
kulit, buah melayang jauh perdu dilupakan.

Saudara dan saudari,

Ahli-ahli falsafah pernah berkata, seandainya bulan dan matahari yang mengambang dan
menyerlahkan cahaya untuk alam semesta juga akan gelap apabila tiba tempohnya, namun, ingatlah
suluhan sinar ilmu para guru akan terus kekal bersemadi dan kekal abadi. Malahan ada pihak yang
meletakkan perkataan GURU dengan akronim istimewa, GUNA UNTUK RAKYAT UMUM. Begitulah
hebatnya diri seorang guru yang turut digelar sebagai arkitek masyarakat. Demi menghargai
pengorbanan yang begitu besar setiap insan hendaklah menghormati mereka, menyanjung mereka
walaupun telah lama meninggalkan alam persekolahan. Apabila kelapangan kita patut menjenguk
mereka terutama pada masa-masa perayaan. Daripada cebisan puisi Allahyarham Datuk Usman
Awang yang berjudul “Guru Oh Guru” diungkapkan;

Jika pada hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa


Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulamak mulia
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Demikianlah ungkapan yang penuh melankolik tentang ketulusan budi seorang guru.

Mengenangkan jasa para guru yang tidak boleh dihitung dan diukur dengan unsur material,
jasa mereka hendaklah dikenangi sepanjang masa. Perisytiharan tarikh 16 Mei pada setiap tahun
sebagai hari untuk mengenangkan jasa guru ialah pengiktirafan tertinggi masyarakat terhadap jasa
dan pengorbanan para guru. Seyogia pada hari yang dianggap keramat kepada seluruh warga guru,
saya menyeru semua rakan pelajar agar menyelak semula lembaran silam suka duka kita bersama-
sama guru. Alangkah harmoninya suasana pembelajaran apabila diserikan dengan usik tawa dan kata
fatwa guru-guru yang kita hormati. Seharian kita di dalam kelas merupakan tempoh yang cukup
bermakna dengan kehadiran guru, sebaliknya situasi menjadi hambar dan kosong tanpa guru. Oleh
itu, marilah bersama-sama saya kita mengucapkan, “TERIMA KASIH CIKGU”.

Sesungguhnya, segala jerih-perih para guru menabur bakti akan berjaya membentuk insan
cemerlang, bak kata pepatah, “Jatuh ke laut menjadi pulau, jatuh ke daratan menjadi gunung dan
terlontar ke udara menjadi kejora”. Semoga insan bernama guru akan terus meningkatkan
keiltizaman mereka mendidik anak bangsa kerana percikan liur basah merekalah yang akan menjadi
mutiara hikmat iaitu ilmu. Demikianlah ucapan saya, dan saya ulangi sekali lagi, “Guru, umpama lilin
yang membakar diri untuk menerangi orang lain.”

Sekian, terima kasih.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 35


SOALAN 2: Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menjamin kesihatan ahli keluarga.

Jelaskan langkah-langkah yang patut dilakukan oleh ibu bapa untuk menjamin kesihatan ahli keluarga.

SOALAN 3: Sempena Minggu Perpaduan Negara peringkat daerah, anda selaku Pegawai Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah diminta untuk menyampaikan ceramah sempena
minggu tersebut. Tajuk ceramah ialah, ‘Perpaduan Asas Keharmonian Negara’.

Sediakan teks ceramah selengkapnya.

NOTA: SAYA MUAT NAIKKAN SEMULA SAMPEL JAWAPAN SOALAN INI YANG BOLEH DIPETIK DALAM
MODUL SAYA (MMM) EDISI 2017. SEMOGA BOLEH MEMBERI MANFAAT. CALON-CALON HANYA
PERLU MENUKARKAN FORMAT KARANGAN KEPADA KEPADA FORMAT CERAMAH.

Dalam sebuah negara yang bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, perpaduan dalam kalangan
masyarakat merupakan anak kunci utama untuk menjanakan kemajuan ekonomi dan sosial.

Huraikan kepentingan perpaduan terhadap perkembangan ekonomi dan sosial.

Apabila disebut tentang Malaysia, tergambarlah di dalam minda seseorang tentang sebuah
negara di Asia Tenggara yang memiliki komposisi penduduk dengan masyarakat majmuk. Pemajmukan
itu begitu unik kerana terdapat pelbagai etnik yang besar dan yang kecil dapat hidup bersama dan
harmoni. Walau bagaimanapun, atas beberapa perubahan yang berlaku secara domestik dan global,
adakalanya perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia kadang-kadang
tergugat. Situasi itu jelas terlihat daripada beberapa insiden yang melibatkan kaum-kaum di Malaysia.
Yang terbaru ialah isu krisis kuil di Seafield, kini mula carik dan merebak menjadi barah pergeseran
kaum. Sedikit atau banyak insiden-insiden itu boleh merenggangkan hubungan antara kaum jikalau
tidak dibendung dengan sebaik mungkin. Atas hakikat kita telah merasai pelbagai nikmat daripada
perpaduan yang telah terjalin sejak sekian lama, maka semua pihak amatlah wajar bermuhasabah dan
merenung semula akan hikmah yang akan kita peroleh daripada perpaduan.

Signifikan daripada nikmat perpaduan adalah dapat menjaminkan keamanan negara dan
memupuk kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Kerjasama merupakan ramuan
penting yang membolehkan sesuatu matlamat yang hendak dituju menjadi kenyataan. Kini matlamat
perdana negara adalah untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Kini semua asas untuk
menjadi negara maju seperti potensi ekonomi, prasarana pendidikan, kemudahan infrastruktur awam
sudah jelas di hadapan mata. Tinggal lagi semua aset tersebut akan lebur begitu sahaja sekiranya tiada
persefahaman dan perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat. Kita akhirnya akan menggigit jari
menelan kekecewaan ibarat yang diikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Perpaduan dalam kalangan rakyat juga menjadi strategi ampuh untuk memupuk dan
memperkaya multibudaya pelbagai kaum. Sesungguhnya, keunikan Malaysia daripada pancawarna

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 36


kehidupan masyarakat majmuk merupakan anugerah yang tiada nilainya. Bukan mudah untuk
membentuk masyarakat yang terdiri daripada pelbagai keturunan, budaya dan agama untuk berada
di bawah satu panji-panji negara. Sepatutnya potensi tersebut digilapkan secara bersama dan
dijadikan produk istimewa untuk menjualkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Kepelbagaian
budaya itu telah menatijahkan pelbagai ragam produk sama ada cara beribadat, adat resam, makanan
dan pakaian. Sesungguhnya, suatu faedah yang amat nyata sekiranya potensi ini dapat digemblengkan
oleh seluruh rakyat Malaysia, kita akan menjadi negara pilihan untuk dikunjungi pelancong.
Kedudukan Malaysia pada anak tangga kesepuluh dalam kalangan negara yang wajib dilawati mampu
kita anjak untuk menjadi lebih cemerlang dan terbilang lagi.

Perpaduan menjadi imlak yang membolehkan individu atau masyarakat membangunkan


potensi budaya, kemahiran dan seni. Peluang untuk membangunkan kreativiti sama ada budaya atau
nilai seni hendaklah bermula dengan kebebasan individu membangunkan potensi dirinya. Sebaliknya,
berupayakah individu memajukan potensi diri sekiranya setiap kaum sentiasa menaruh perasaan syak
dan sangsi? Tentu sekali kita tidak dapat membangunkan sebarang unsur positif tanpa perpaduan
yang tulen. Perasaan takut yang disemai melalui bibit-bibit kebencian dan perrmusuhan boleh
mematikan kreativiti. Ketakutan sentiasa menjadi asbab individu tidak berminat untuk
memperkembangkan potensi sama ada inovasi, reka cipta dan seni budaya. Tanpa rakyat yang kreatif
dan inovatif, seyogia tiadalah penemuan baharu yang terhasil. Hal demikian menyebabkan kita terus
berada dalam belenggu katak di bawah tempurung dan gagal menikmati kemajuan ibarat sepuluh
jong masuk kuala anjing tetap bercawat ekor.

Ekonomi ialah anak kunci utama yang membolehkan sesebuah negara bersaing sama ada di
peringkat serantau mahupun global. Oleh itu, signifikan daripada perpaduan adalah untuk
menjanakan ekonomi negara. Amalan bertolak ansur, setia kawan dan bermuamalah secara positif
boleh menjadi wasilah kepada persyarikatan untuk membangunkan iktisad sesebuah negara. Jika
dirujuk kepada negara-negara yang maju di dunia seperti Finland, Norway dan Switzerland jelas sekali
negara-negara tersebut berada dalam wilayah geografi yang cukup tenang dan wujud perkongsian
yang cukup sihat dalam kalangan warganya.Konsep persyarikatan dan polisi menang-menang dalam
perniagaan memerlukan sikap yang saling percaya dan mencintai keamanan yang total. Oleh hal yang
demikian, resepinya yang utama ialah perpaduan yang teguh dan jitu amatlah penting ibarat aur
dengan tebing dan serumpun bak serai sejunjung bak sirih.

Azimat perpaduan yang seterusnya pula adalah untuk kesolideran ummah dan ketahanan
nasional. Sudah lumrah dalam kehidupan, bersatu teguh bercerai roboh dan janganlah terjadi lesung
sama antan bertelingkah ayam yang kenyang. Oleh itu, ketahanan nasional akan terpacu daripada
kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Anjakan globalisasi yang memberi ruang seluas-
luasnya kepada warga dunia untuk meneroka peluang di peringkat global, maka cabaran keselamatan
terhadap Malaysia adalah cukup besar. Peluang untuk mengakses semua maklumat tentang negara
hanya berada di hujung jari sahaja. Andainya tiada perpaduan dalam kalangan kita, justeru peluang
pihak luar untuk mengambil kesempatan memporak-perandakan negara amatlah terbuka. Kita patut
belajar daripada sejarah Raja Mandaliar, Nina Sura Diwana dan Si Kitul yang bertelagah akhirnya
membawa kejatuhan kepada empayar Melaka. Inilah perihal yang menunjukkan, jong pecah yu yang
kenyang.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 37


Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat yang bernaung di bawah panji-panji negara yang
tercinta ini, kita tunjukkan semangat cinta akan negara. Sayangilah harga keamanan dan kemakmuran
yang sedang dikecapi. Kita bersatu dan berpadu dalam nada yang sama, malah kita junjung kedaulatan
ini agar gah di persada global, bahawa sebagai rakyat Malaysia, seyogia air dicencang tidak akan
putus.

SOALAN 4: Kemasukan pelabur asing sangat penting untuk memacu dan menjanakan ekonomi
sesebuah negara.

Huraikan manfaat kepada sesebuah negara dengan kemasukan pelabur asing.

NOTA: SILA RUJUK SOALAN INI YANG LEBIH KURANG SAMA DENGAN SOALAN PERLIS DI ATAS.

SOALAN 5: Peribahasa, ‘Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain’ bermaksud tekun dan
sabar membuat sesuatu kerja, akhirnya memperoleh kejayaan.

Tulis sebuah cerita berdasarkan maksud peribahasa tersebut.

SMK CHUNG HWA MIRI – CIKGU THOO KIM FAH

1. Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan anda ialah
“Faedah-faedah Menyertai Aktiviti Riadah”.

Tulis teks syarahan itu selengkapnya.

NOTA: Soalan ini pernah ditanya dalam soalan respon terbuka, soalan 2, SPM 2016. Sementara
itu, jikalau dalam format syarahan tajuk syarahan akan diberi dalam tema yang lengkap

2. Sesebuah keluarga yang erat hubungannya akan saling menolong dalam pelbagai aspek
kehidupan.

Bincangkan kebaikan yang diperoleh ahli keluarga apabila bersama-sama menjayakan sesebuah
majlis seperti sambutan perayaan, majlis perkahwinan, majlis hari jadi dan sebagainya.

Pendahuluan: Keluarga ialah nukleus institusi masyarakat yang terbentuk sejak berabad-abad
lamanya. Alam berumah tangga pula menjadi paksi kepada permulaan terbentuk sebuah institusi
keluarga yang dapat hidup dalam suasana saling berkasih sayang. Anak-anak yang dilahirkan dalam
sebuah keluarga yang harmoni bakal membesar dalam pakej yang seimbang sama ada jasmani, mental
mahupun emosi. Bermula daripada keluarga nukleus berkembang pula kepada keluarga besar
(extended) yang memperluas jaringan adik-beradik. Keluarga yang baik adalah yang sentiasa bertaut
dan saling memerlukan terutama dalam urusan kekeluargaan seperti sambutan perayaan, majlis
perkahwinan, majlis hari jadi dan sebagainya. Oleh sebab itu, semua ahli keluarga seyogia memainkan
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 38
peranan yang amat besar demi mencorakkan sebuah rumah tangga yang dilingkungi oleh rahmat dan
kasih sayang. Inilah kebaikan hakiki yang bakal diperoleh setiap ahli keluarga.

Isi 1: Aktiviti kekeluargaan yang dijalankan secara bersama-sama menjadi tendensi memperkukuh
tautan mesra dan mawaddah.

- sesuai dengan kata-kata yang jauh didekatkan yang dekat dimesrakan


- saling mengenali dan berinteraksi dalam suasana mesra
- menebalkan rasa hormat dan kasih sayang peribahasa air dicencang tidak akan putus dan
carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum semula
Isi 2: Akan terbentuk sebuah institusi keluarga yang progresif dan dinamik apabila setiap ahli
keluarga sering bersama dalam setiap aktiviti.

- Setiap ahli keluarga akan berasa terpanggil untuk menyumbangkan peranan dan
melaksanakan tanggungjawab
- menjadi sebuah keluarga yang berfikiran positif dan boleh menyelesaikan semua urusan
secara musyawarah dan saling menyokong
- boleh mengetepikan remeh-temeh dan isu negatif
Isi 3: Urusan yang dilaksanakan secara beramai-ramai dapat menjimatkan kos, masa dan tenaga.

- masing-masing menyumbangkan kemampuan dalam aspek tenaga, pemikiran dan wang


ringgit
- melahirkan insan yang tidak kedekut dan mementingkan diri sendiri
- melaksanakan kerja atas perasaan tanggungjawab, sukarela dan puas hati
Isi 4: Keluarga yang sentiasa bergabung dan bersama dapat saling menangani gejala negatif dalam
kalangan anak-anak.

- Anak-anak terdidik dengan sikap yang positif dan bertanggungjawab.


- dapat saling menunjukkan sari tauladan dan panduan kepada generasi yang masih muda –
amalan yang tua dihormati dan yang muda dikasihi.
- sentiasa berhemah dan mementingkan nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, hormat-
menghormati, tolong-menolong dan bermusyawarah
- Anak-anak sentiasa berfikiran positif dan menjauhkan diri daripada amalan negatif seperti
gejala samseng, mementingkan diri sendiri, sombong dan bergaduh.
Kesimpulan: Sesungguhnya keluarga menjadi markas utama untuk membentuk insan penyayang lagi
cemerlang. Keluarga yang porak peranda memberi impak negatif kepada masyarakat setempat.
Apabila keluarga menjadi bahagia, maka lahirlah masyarakat yang progresif dan dinamik. Oleh itu,
persefahaman yang wujud dalam kalangan ahli keluarga dapat membentuk masyarakat madani yang
harmoni dan progresif. Dari sinilah akan bermula slogan keluarga bahagia dalam kata-kata, ‘Keluarga
Bahagia Teras Masyarakat’.

3. Walaupun barangan buatan Malaysia berkualiti, namun barangan buatan luar negara masih lagi
digemari oleh sebahagian daripada rakyat Malaysia.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 39


Jelaskan faktor-faktor berlakunya fenomena ini dan usaha-usaha untuk menarik rakyat
Malaysia membeli barangan buatan Malaysia.

Pendahuluan: Perasaan cinta dan berbangga akan hak milik dan identiti sendiri kadang-kadang
mudah lucut dari dalam benak sanubari seseorang. Hal demikian sering diumpamakan dengan
kera di hutan disusui, anak di pangkuan dilepaskan atau mendengar guruh di langit air di dalam
tempayan dicurahkan. Barangkali fenomena ini sesuai jika diumpamakan kepada sebahagian
masyarakat kita yang cukup teruja dan gemar berbangga-bangga dengan barangan atau sebarang
perkara dari luar. Jika mahu memilih pakaian mestilah jenama asing, jika berkenderaan mestilah
yang diimport, jika mahu melancong mestilah ke luar negara dan banyak lagi tingkah laku yang
jelas tidak patriotik. Pendek kata tiada suatu pun yang menjadi milik negara dibanggai mereka.
Oleh sebab itulah, walaupun jenama pelbagai barangan tempatan cukup berkualiti namun kiblat
sebahagian kecil rakyat Malaysia tetap beralih ke luar. Amalan yang tidak patriotik ini jelas
ditunjangi oleh beberapa persepsi negatif yang sewajarnya dibanteraskan daripada terus berakar
umbi.

Isi 1: Golongan seperti ini berasa terlebih hebat atas kemampuan ekonomi, gaya hidup dan
pendidikan.
- didorong oleh perasaan bangga diri dan mahu menunjuk-nunjuk
- terselit sedikit perasaan kurang mencintai tanah tumpah darah
- mahu bersaing untuk meletakkan diri bertaraf internasional langsung lupa akan harga diri
bangsa dan negara
Isi 2: Mereka memandang rendah akan kebolehan, kreativiti, inovasi dan teknologi tempatan

- beranggapan semua produk tempatan dihasilkan oleh pereka yang tidak dijenamakan di
peringkat antarabangsa
- beranggapan barang mentah tempatan tiada setanding dengan yang diimport
- tiada sekelumit perasaan mahu menyokong industri tempatan
Isi 3: Golongan ini biasanya amat pudar semangat patriotik dan memandang rendah tanah air
sendiri.

- dalam setiap masa dan keadaan pasti wujud sikap manusia yang bodoh sombong seperti ini
- cenderung memilih unsur luar sebagai manifestasi untuk memperlekeh warisan tempatan
- berasa besar diri dan mahu dilihat hebat, sombong dan gah dengan imej luar
Isi 4: Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta hendaklah melakasanakan kempen yang lebih
berkesan, penuh nilai sentimental dan patriotik.

- Kempen kesedaran yang yang mengajak rakyat supaya insaf atas hakikat di mana bumi dipijak
di situ langit dijunjung
- Isi kandungan kempen hendaklah lebih jelas dan dapat menjentik hati nurani rakyat agar cinta
akan negara
- Kempen dan iklan hendaklah lebih jelas, tepat dan tidak terlalu beretorik
Isi 5: Kerajaan melaksanakan dasar perlindungan yang lebih tegas terhadap produk tempatan.

- mengawal atau mengehadkan produk luar yang boleh mengancam produk tempatan

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 40


- dasar cukai yang lebih mesra produk tempatan dan mengenakan cukai yang lebih tinggi
terhadap jenama import
- penjualan produk luar hendaklah terhad di premis-premis bebas cukai yang dikawal oleh pihak
kastam

Isi 6: Produk tempatan hendaklah secara tekal sentiasa bermutu, cantik, dan memiliki ciri-ciri yang
membanggakan pengguna sama ada dalam mahupun luar negara.

- Pengilang dan pengeluar sentiasa iltizam mengeluarkan barangan berkualiti tinggi


- Rakyat mempunyai lebih keyakinan terhadap barangan tempatan setanding dengan barangan
import
- Tidak ada unsur menipu, mencatut semata-mata untuk memonopoli untung yang berganda-
ganda
- Pengguna mudah hilang kepercayaan terhadap produk tempatan
Penutup/Kesimpulan: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baiklah di negeri
sendiri ialah peribahasa yang mendidik kita supaya sentiasa memberikan keutamaan terhadap apa-
apa jua yang mendukung imej Malaysia. Sehubungan dengan itu, perasaan bangga dan megah
terhadap tanah air hendaklah dibuktikan dalam segala tindakan termasuk yang berhubungan dengan
membeli barangan tempatan. Semoga dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi imej produk
tempatan akan gah dan tersohor bukan sahaja dalam pasaran domestik malah akan menyeberangi
sempadan pasaran antarabangsa.

4. Pencemaran alam sekitar akan menjejaskan kualiti hidup masyarakat.


Huraikan kesan-kesan kemusnahan alam sekitar kepada masyarakat global.

*NOTA: Berdasar rekod kekerapan isu dan tema soalan, soalan tentang alam sekitar telah keluar
5 kali sejak 2012 hingga 2017

5. Penghasilan sesebuah karya kreatif merupakan satu kemahiran yang kurang diminati oleh
generasi muda.
Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang harus dilakukan oleh pelbagai pihak untuk
melahirkan penulis muda yang berbakat.

Pendahuluan: Seni itu pancaran hati nurani. Seni itu keindahan yang lahir daripada pengucapan
mahupun gerak laku. Seni melambangkan ketertiban, etika dan budaya sesuatu bangsa. Demikianlah
betapa hebatnya falsafah seni yang mendukung maksud jati diri sesuatu bangsa adalah terserlah
daripada tinggi atau rendah penghayatan seni bangsa tersebut. Walau bagaimanapun, akibat ledakan
perubahan gaya hidup yang dipengaruhi oleh kemajuan teknologi, penghayatan kreatif semakin
terpinggir dan terabai. Kecuali seni lagu, versi-versi seni yang lain terutama sekali pengucapan sastera
kreatif semakin menyepi dalam kehidupan moden masa kini. Memandang seni kreatif terutamanya

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 41


sastera merupakan santapan rohani sepanjang zaman, seyogia semua pihak hendaklah mengambil
inisiatif untuk mendidik dan memangkinkan generasi muda supaya kembali ke landasan sebenar
kerana sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan.

Isi 1: Pihak pemerintah hendaklah mengekalkan suatu polisi pendidikan yang seimbang antara
bidang kemanusiaan dan sains tulen.

- dasar pendidikan yang tidak memihak kepada satu-satu bidang sahaja


- perlu menghormati bakat dan minat rakyat yang pelbagai
- kerajaan melalui Kementerian Pendidikan hendaklah menggubal kurikulum yang seimbang
- memberikan galakan dan insentif kepada generasi muda yang berbakat dalam bidang seni
kreatif terutama bidang penulisan
Isi 2: Alma mater hendaklah menjadi pusat serta agen melahirkan insan seni kreatif secara
berterusan.

- polisi mendidik hendaklah bersifat sepanjang zaman dan mengutip hasil dalam tempoh jangka
panjang
- menghormati dan menggilap bakat anak-anak muda sejak mereka di bangku sekolah
- aktiviti pengajaran tidak terlalu condong kepada sesuatu bidang sahaja – memperkasakan
pengajaran KOMSAS yang bagaikan hidup segan mati tak mahu
Isi 3: Masyarakat hendaklah membina wadah kecenderungan membaca sebagai wahana untuk
melahirkan bangsa yang bijaksana, kritis dan kreatif.

- hobi membaca merupakan insentif utama dalam pembiknan lebih banyak bahan bacaan
sastera dan pemikiran kreatif.
- memperluas pasaran dan jualan buku-buku kreatif
- menjadi pendorong kepada kelahiran pengkarya pencetus zaman dan ideologi yang sentiasa
segar dan berkembang
Isi 4: Ibu bapa hendaklah menjadi mangkin dan memotivasikan anak-anak dengan amalan
membaca.

- amalan membaca sebagai wadah terbesar merancakkan penghasilan buku-buku sastera


- anak-anak akan lebih harmoni, tenteram dan seimbang mental dan rohani apabila bijak
menghayati pemikiran kreatif
- wujudkan zon dan iklim membaca yang kondusif di rumah dan menjadikan rutin tetap
berkunjung ke perpustakaan dan gedung buku sekali dalam seminggu.
Isi 5: Penggerak dan penggiat seni berusaha menyemarakkan wacana pengucapan sastera dan
menjenamakan semula sastera di persada nusa.

- memperbanyak dan mempelbagai produk adaptasi sastera kepada medium filem dan drama
- kempen dan kembara sastera yang sentiasa segar dan berterusan
- mengehadkan unsur-unsur hiburan yang melampau terutama pengaruh muzik luar
Penutup/Kesimpulan: “Negara Kita Tanggungjawab Kita”. Demikianlah slogan yang ingin mendidik
masyarakat agar berasa terpanggil untuk menyokong segala aspirasi dan inspirasi negara. Dalam isu
melahirkan modal insan yang berstatus dunia, justeru proses melahirkan insan seimbang dan harmoni
dalam aspek kognitif, psikomotor dan emosi hendaklah mendapat komitmen yang tidak berbelah

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 42


bahagi daripada segenap lapisan. Begitulah juga dalam hubungan untuk membajai nilai seimbang
melalui penghayatan sastera dan kreatif, anak-anak muda perlu mendapat sokongan dan dukungan
daripada pelbagai lapisan, bak kata pepatah sepakat kita kuat, berpecah kita rebah.

MELAKA

1. Anda akan mengambil bahagian dalam satu pertandingan pidato. Tajuk pidato anda ialah cabaran
remaja dalam meningkatkan sahsiah diri.

Tulis teks pidato anda selengkapnya.

NOTA: Sila ubah suaikan soalan ini dengan sampel sedia ada dalam modul saya, edisi 2017 ms 48.

Golongan remaja dianggap sebagai pasukan pelapis untuk membentuk hala tuju negara. Oleh itu,
cabaran untuk membentuk sahsiah remaja yang berwibawa memerlukan usaha yang bersepadu.

Bincangkan beberapa cabaran dan usaha yang harus dilakukan untuk membangunkan sahsiah
remaja yang berkualiti.

Kepemimpinan merupakan elemen yang terpenting dalam menentukan hala tuju kehidupan
seseorang insan. Seperti acuan begitulah kuihnya, memaparkan pentingnya idealisme kepemimpinan
supaya pimpinan yang betul dapat membentuk insan yang sempurna. Apabila sesebuah institusi atau
organisasi itu berjaya melaksanakan model kepemimpinan yang baik nescaya ahli-ahlinya juga dapat
membentuk suatu hala tuju yang betul juga. Para guru, ibu bapa, dan pemimpin negara ialah model
terpenting untuk mewujudkan kerangka kepimpinan yang baik untuk diteladani. Golongan remaja
merupakan kelompok sasaran yang harus diletakkan fokus kepimpinan yang beridealisme agar
mereka mampu menjadi penggerak wawasan negara.

Remaja hari ini merupakan kelompok terbesar rakyat Malaysia. Golongan yang berusia antara
15 hingga 25 tahun itu mewakili 47.4 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia keseluruhannya.
Oleh sebab itu, mereka perlu diberi perhatian sama ada dalam aspek perkembangan fizikal, mental,
dan emosi. Kesempatan ketika usia remaja ialah masa yang paling sesuai untuk menyuburkan budaya
ilmu dan kepimpinan dalam jiwa remaja. Pada usia ini remaja juga begitu sensitif dengan sebarang
faktor persekitaran. Oleh itu, jikalau persekitaran itu positif maka sensitiviti remaja akan terbentuk
dengan sikap yang positif dan demikian pula sebaliknya. Hakikat ini boleh dilihat daripada tarbiah yang
dilalui oleh junjungan besar Nabi Muhamad SAW apabila usia remajanya telah didedahkan dengan
sikap tanggungjawab dan akhlak yang terpuji, justeru baginda bangkit menjadi pemimpin manusia
yang sangat agung.

Anehnya, dalam dunia moden yang menawarkan segala kemudahan, remaja menjadi semakin
tidak tentu arah. Ramai remaja yang terjebak ke dalam jurang kebinasaan. Mereka terbawa-bawa
dengan budaya cacamarba, hedonistik, malas belajar dan tidak mempunyai hala tuju. Banyak pihak
yang begitu sangsi terhadap komitmen golongan remaja untuk memacu kejayaan negara pada masa
akan datang. Ketika ini ramai yang tertanya-tanya tentang ke manakah arah tuju sebenar remaja?
Sama ada mereka terus tenggelam dalam gejala pincang atau mampu menjadi tulang belakang negara

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 43


yang ampuh? Inilah cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi oleh para ibu bapa, pemimpin, dan
golongan pemikir untuk membentuk hala tuju remaja. Oleh itu, semua pihak haruslah cakna terhadap
nuansa pendidikan remaja.

Walau bagaimanapun, acuan untuk membentuk jiwa remaja hendaklah serasi dengan cabaran
masa dan kehendak remaja itu sendiri. Sesungguhnya, setiap usaha yang positif ke arah
membangunkan personaliti remaja akan menghasilkan pulangan yang besar pula. Mereka bakal
menjadi generasi penyumbang kepada kemakmuran dan keamanan negara. Negara pasti berbangga
dengan jumlah rakyat yang ramai dan dapat menyumbang tenaga dan fikiran. Saiyidina Umar pernah
berpesan, “Didiklah anakmu mengikut zaman mereka”. Namun, mampukah kita mendidik remaja yang
berkualiti dalam situasi masa kini yang terlalu mencabar? Antara elemen positif dan negatif sentiasa
bergerak seiring, malah remaja pula mudah tewas kepada elemen negatif. Dalam kesibukan, ibu harus
boleh menilai antara keinginan peribadi dengan tanggungjawab terhadap anak-anak. Hubungan yang
renggang dengan anak-anak, pengaruh rakan sebaya dan media massa amat destruktif terhadap
pembangunan jiwa remaja yang seimbang dan harmoni. Akhirnya yang dikejar tak dapat yang
dikendung berciciran.

Langkah utama, kita hendaklah mengenal pasti konsep remaja cemerlang seperti yang dihajati
dalam proses pembangunan umat manusia. Antaranya ialah remaja yang memiliki ilmu yang
bermanfaat,beramal soleh dan berimpak baik kepada manusia lain. Remaja mestilah memiliki
perancangan masa depan yang bermanfaat, justeru mereka tidak mempersia-siakan usia muda. Inilah
pakej remaja yang terbaik yang dikenali sebagai, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Mereka hendaklah bersedia dengan ilmu pengetahuan yang serasi dengan keperluan zaman. Selain
itu, memiliki ilmu sahaja tidak memadai, melainkan remaja mestilah sanggup berhadapan dalam
persaingan dunia terbuka, berani dan cekal ibarat setahun bah melanda kapar tak hanyut, inikan pula
kemarau panjang.

Untuk merealisasikan tugasan ini, cetusan idea para pelopor hendaklah benar-benar bernas.
Mereka terdiri daripada para pemimpin, ibu bapa, dan seluruh anggota masyarakat. Pemimpin mesti
memiliki suatu agenda jangka panjang dalam memantapkan remaja dengan ilmu dan sahsiah.
Perancangan kerangka Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan yang telah diwara-warakan oleh
Kementerian Pelajaran merupakan program bersepadu untuk membangunkan remaja yang bekualiti.
Sementara itu, ibu bapa pula harus peka terhadap potensi anak-anak mereka. Setelah mengenal pasti
potensi itu salurkan mereka kepada bidang yang sesuai dengan minat dan kemampuan, ibarat
mengukur baju di badan sendiri.

Seterusnya semua pihak harus peka terhadap tuntutan asal manusia dijadikan. Sebenarnya
setiap insan bakal disoal tentang sumbangannya berlandaskan empat perkara yang utama iaitu umur
yang panjang untuk apakah disumbangkan? Masa muda bagaimanakah diperguanakan? Harta yang
diperoleh bagaimanakah dibelanjakan? Ilmu yang dimiliki ke manakah yang dimanfaatkan? Oleh
sebab itu, semua pihak perlu sedar bahawa tidak bergerak kaki seseorang anak Adam itu di akhirat
nanti melainkan empat perkara di atas diselesaikan.

2. Semangat patriotisme sangat penting diterapkan dalam diri remaja pada masa ini.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 44


Huraikan peranan ahli keluarga dalam memupuk semangat patriotisme tersebut.

NOTA: Sila padankan soalan ini dengan sampel sedia ada dalam modul saya edisi 2017, ms 53.

Kesedaran rakyat negara ini terhadap makna kebebasan dan kemerdekaan negara sungguh
mengecewakan sekali. Sikap seumpama ini dianggap kurang patriotik.Pada pendapat anda,
mengapakah situasi tersebut terjadi?

Cadangkan langkah-langkah untuk mengembalikan semangat menghayati kemerdekaan.

Degup jantung seluruh anak bumi Malaya pada malam 31 Ogos 1957 mungkin masih terasa
denyutannya hingga kini. Malam penuh bersejarah dengan pekikan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA
oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, menjadi
peristiwa yang cukup dramatik. Laungan itu memberikan isyarat bahawa kita telah bebas daripada
cengkaman penjajah Barat selama 446 tahun. Episod penjajahan yang menyaksikan kita menjadi
bangsa suruhan di bumi sendiri akhirnya berlalu hasil jerih payah tokoh-tokoh pejuang tanah air yang
rela bermandi darah mempertahankan maruah bangsa. Namun demikian, setelah kemerdekaan
negara mencecah hampir separuh abad, kelesuan dan kehambaran semangat patriotik semakin
terpancar pada wajah generasi kini. Oleh sebab itu, semangat tersebut perlu dibajai semula agar subur
di dalam hati dan sanubari.

Banyak pendapat yang menyatakan bahawa sejarah itu merupakan guru yang mengajarkan
kita erti kebenaran dan sejarah juga tidak pernah berbohong. Begitulah hakikat sejarah yang boleh
mendidik sesuatu bangsa agar kembali menoleh peristiwa jatuh bangun bangsa sendiri. Sehubungan
dengan perkara tersebut, pendekatan secara indoktrinasi hendaklah dilakukan kepada setiap
warganegara agar faham sejarah. Langkah mewajibkan lulus Sejarah kepada calon-calon SPM adalah
antara langkah mengindoktrinasi yang tidak wajar dipertikaikan oleh sesiapapun. Hal yang demikian
amatlah penting kerana menjernih air di muara jernihkan dahulu di hulunya.

Apabila kita ungkapkan semula kata-kata Mantan Perdana Malaysia yang keempat, Tun Dr
Mahathir Mohamad, bahawa “Melayu mudah lupa” justeru kenyataan tersebut adalah bertepatan
dengan situasi ini. Sekalipun kita pernah terseksa hidup dalam cengkaman penjajah, namun peristiwa
itu sudah lama berlalu. Kini segala kesusahan dan keperitan telah bertukar ganti dengan kesenangan.
Lantas kesenangan yang diperoleh itulah yang menyebabkan generasi kini mula alpa akan pengertian
kemerdekaan. Mereka alpa kerana menjadi pemuja hedonisme, tidak sensitif, dan lebih parah lagi ada
yang sanggup melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh mencemarkan imej negara. Kealpaan di
sebalik kesenangan itulah menjadikan kita leka dibuai oleh angan-angan. Kealpaan dan kesenangan

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 45


juga menyebabkan semangat untuk mengisi makna kemerdekaan luput dalam jiwa dan sanubari.

Selain itu, sifat mementingkan diri sendiri dan terlalu memburu kesenangan duniawi turut
melunturi semangat dan jiwa merdeka.Terdapat golongan yang sudah kaya raya yang tidak
mempedulikan langsung seruan kemerdekaan sehingga tidak tergamak untuk mengibarkan sehelai
Jalur Gemilang di premis mereka. Pada mereka, tiada apa-apa yang istimewa di sebalik kemerdekaan
yang dikecapi terhadap kekayaan yang mereka peroleh kerana segala-galanya adalah hasil daripada
titik peluh mereka sendiri. Golongan yang boleh dianggap parasit ini kadang-kadang memiliki
pengaruh yang besar dalam kalangan masyarakat dek kekayaan dan kesenangan mereka. Tidaklah
keterlaluan apabila dikatakan golongan inilah yang sanggup menjual khazanah negara demi
memenuhkan kantung sendiri. Sekiranya negara pun sanggup diperdagangkan apalah ertinya
kemerdekaan kepada mereka?

Memandangkan roh merdeka yang semakin luntur dalam jiwa rakyat Malaysia khususnya
golongan muda, segala usaha untuk mengembalikan semangat tersebut hendaklah dihidupkan
semula. Program-program bercorak hiburan yang boleh melalaikan golongan muda menghayati
sejarah negara wajar dikurangkan. Sebaliknya program-program yang berunsur pendidikan dan
berlatarbelakangkan sejarah negara mesti diutamakan di sepanjang bulan kemerdekaan. Program-
program seumpama ini tidak boleh dijalankan sekadar memenuhkan agenda semata-mata, sebaliknya
mesti berterusan di sepanjang bulan kemerdekaan. Semua pihak amat berharap supaya anak muda
menjadi lebih peka terhadap aspirasi negara dan mampu bangkit menjadi tulang belakang
mempertahankan negara, bak kata peribahasa biar putih tulang , asalkan tidak putih mata.

Atas kepentingan negara juga, mungkin suatu pendekatan dalam bentuk indoktrinasi wajar
dilaksanakan untuk melahirkan kesedaran terhadap semangat cinta akan negara. Oleh itu, setiap kali
menjelang bulan kemerdekaan setiap rakyat perlu diarahkan untuk memasang bendera Jalur
Gemilang. Semua premis perniagaan dan jabatan kerajaan diwajibkan mencetak dan memasang tema
sambutan kemerdekaan. Selain itu, sebarang salah laku yang menyalahi etika agama dan moral perlu
dicegah agar makna kemerdekaan yang sebenar tidak tercemar. Tempat-tempat awam dan premis-
premis perniagaan wajar dipantau oleh anggota keselamatan untuk mencegah perbuatan sumbang
dan tingkah laku yang menyimpang daripada ciri-ciri negara yang bertamadun. Walaupun langkah ini
boleh mengurangkan kemeriahan acara sambutan, tetapi adalah lebih baik daripada roh kemerdekaan
itu tercemar.

Sebagai bangsa yang sudah mampu bangkit di atas kekuatan kaki sendiri, kita wajar
membuktikan peradaban kita kepada mata dunia. Janganlah perjuangan untuk memartabatkan
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 46
bangsa yang telah menelan korban harta benda, darah, air mata, dan nyawa disia-siakan oleh
golongan yang buta akan maksud kemerdekaan sebenar. Sesuggguhnya, kemerdekaan bukanlah
sekadar untuk berseronok-seronok sebaliknya untuk mengembalikan imej dan jati diri bangsa, bak
filsuf Aristotle, “Tamadun sebenar sesebuah negara bukan terletak pada buminya yang subur, tetapi
terletak kepada rakyatnya yang berjiwa merdeka”.

PULAU PINANG

1. Penggunaan Internet dianggap sebagai satu gaya hidup para remaja pada abad ini.
Bincangkan kebaikan dan keburukan penggunaan Internet kepada anda.

Pendahuluan: Memetik peribahasa yang menyatakan, ‘Sekali air bah sekali pasir berubah’
menunjukkan bahawa, kehidupan kita memang tidak dapat lari daripada dikejar perubahan dan
kemajuan. Kemajuan datang bak air deras sehingga melanda tamadun dan peradaban. Demikianlah
kemajuan dalam bidang teknologi maklumat dan ICT dalam media sosial seperti FB,What Apps dan
Twitter kini telah membentuk dimensi dunia dengan pelbagai impak positifnya. Fenomena tersebut
memungkinkan pelbagai peranti mudah alih dan gajet telah melimpah dalam pasaran. Situasi tersebut
merupakan suatu pencapaian luar biasa dalam proses liberalisasi sistem maklumat tuntas dalam alam
siber. Walaupun terdapat pelbagai perdebatan tentang pro dan kontra namun tiada sesiapapun yang
boleh lari daripada ledakan teknologi maklumat yang cukup canggih itu. Oleh hal yang demikian, saya
harus bijak untuk membezakan antara kaca dan permata dalam menentukan baik buruk teknologi
internet dalam wahana moden kini.

Isi 1: Internet menjadi akses yang mempercepat dan mendekatkan komunikasi sosial.

- mewajarkan kata-kata, ‘dunia semakin sempit’.


- saya mudah memperoleh pelbagai akses maklumat secara pantas
- segala urusan boleh diselesaikan di hujung jari dan mengambil masa yang singkat – contoh
mengirimkan e-mel, e-banking dan pelbagai urusan lagi.
Isi 2: Internet sebagai lebuh raya maklumat yang membantu saya menyampaikan maklumat secara
tepat, jelas dan asli lagi tulen.

- maklumat bergerak tanpa melalui perantara yang bertingkat-tingkat sehingga menjejaskan


originalitinya – memperoleh sumber yang tepat – menelak manipulasi dan pembohongan
Isi 3 : mendekatkan hubungan dan interaksi sosial di seluruh persada dunia – komunikasi langsung
dan lebih mesra tanpa dibatasi sempadan geografi sosial dan geografi politik – memupuk sifat saling
hormat dan saling memahami

Isi 4 : Saya memperoleh inovasi sistem maklumat lebih canggih dan sofistikated - perantaraan sistem
teknologi digital – inovasi seperti gambar, grafik dan dan ilustrasi membantu fakta dan data
disampaikan lebih tepat

PERINGATAN : Memandangkan soalan ini dalam respon terbuka iaitu JELASKAN, calon boleh
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 47
kemukakan isi tentang kelemahan sebagai relatif kepada kebaikan (maksudnya jika
disalahgunakan).

Kesan negatif:

Isi 6: boleh melalaikan dan masa terbuang dengan banyak – melayari Internet memerlukan masa
hingga berjam-jam – lupakan akan tugas utama – golongan remaja lebih gemar bermalas-malas dan
melayari perisian yang tidak berfaedah (beri contoh)

Isi 7: terdedah kepada gejala negatif – membentuk pola baru masyarakat seperti kurang bergaul,
mementingkan diri sendiri dan tidak peka terhadap segala perubahan dunia luar

Isi 8: penularan gejala fitnah, adu domba, permusuhan dan keganasan – pelbagai pengaruh negatif
amat mudah disebarkan melalui rangkaian internet dan maklumat siber – golongan remaja cepat
terpengaruh dengan propaganda dan pujuk rayu – penyelewengan maklumat dan fakta mudah
diputarbelitkan – penularan gejala ganas dan peperangan (kebangkitan puak Daesh, IS, Abu Sayyaf
dan pengganas antarabangsa mudah berkembang melalui rangkaian maklumat siber.

Penutup/Kesimpulan: Kebanjiran pelbagai produk dalam ICT bagaikan air deras yang datang dari
banjaran gunung. Andai diempang nescaya melimpah kalau dirempuh nescaya hanyut. Demikianlah
suatu gambaran yang menunjukkan perkembangannya amat menakjubkan dan mencabar sekiranya
gagal ditangani dengan bijaksana. Kewujudannya banyak memberi manfaat daripada mudarat. Walau
bagaimanapun, pelbagai musibah akan terjadi apabila salah ditangani. Oleh sebab itu, saya haruslah
menjadi pengguna internet yang bijaksana, hanyasanya jauharilah yang mengenal manikam.

2. Kekuatan dan perpaduan dalam kalangan komuniti setempat sangat penting.


Jelaskan kepentingan hidup berjiran.

NOTA: Rujuk sampel karangan di atas tentang kejiranan

3. Isu kemalangan jalan raya sering menjadi fokus perbincangan dalam kalangan masyarakat.
Huraikan langkah-langkah untuk mengatasi masalah kemalangan jalan raya di negara kita.

4. Pergolakan dan peperangan yang berlaku telah menyebabkan rakyat menjadi mangsa dalam
sesebuah negara.
Ulaskan kepentingan bantuan kemanusiaan terhadap negara yang terlibat.

Pendahuluan: Peperangan ialah malapetaka. Peperangan ialah pertarungan psikologi dan emosi
antara kuasa yang ganas, bongkak dan rakus. Peperangan merupakan tragedi kemanusiaan yang tiada
pertimbangan belas kasihan. Lembaran sejarah dunia akan terus menyimpan trauma dan tiada
sesiapapun boleh melupakan tangan-tangan kejam seperti Hitler, Stalin, Musolini, Pol Pot dan Heng
Samrin, Mao Tse Tung dan Ashoka kerana dalam tangan merekalah terkorban jutaan nyawa manusia.
Demikianlah malapetaka kemanusiaan atas tindakan diktator seperti itu yang mewajarkan
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 48
peperangan dalam sejarah dunia moden. Berdasarkan beberapa kenyataan tersebut, benarlah seperti
sindiran Jin dan Iblis sewaktu Adam mahu diutuskan, “Bahawa sesungguhnya, makhluk manusia ialah
makhluk yang suka kepada pertumpahan darah”. Kini, peperangan telah menyaksikan ratusan juta
nyawa menjadi korban bahkan kemusnahan harta benda dan tamadun sudah tidak terbendung lagi.
Oleh sebab itu, atas naluri kemanusiaan, masyarakat antarabangsa wajarlah menghulurkan bantuan
kepada mangsa di negara-negara yang bergolak itu.

Isi 1: Bantuan yang dihulurkan sebagai bukti fitrah kemanusiaan terhadap sesama manusia.

- naluri manusia tetap sama walaupun bebeza peradaban, agama mahupun warna kulit
- golongan tertindas yang lemah seperti warga emas, wanita dan kanak-kanak memang tidak
berdaya untuk melawan – perlu dibantu
- mengelakkan krisis yang lebih parah berlaku
Isi 2: Bantuan dalam bentuk diplomasi dan gencatan senjata membolehkan mangsa diberi bantuan
untuk dibawa keluar dari zon krisis.

- memujuk dan mengajak penguasa yang sombong agar insaf akan perbuatan kejam mereka
- tanpa bantuan, mangsa akan terus menderita dan meningkatkan kadar kematian
- memberikan ruang kepada pihak-pihak bertelagah untuk kembali rasional dan kembali ke
meja rundingan.
Isi 3: Semua misi bantuan sebagai isyarat menyedarkan penguasa-penguasa rakus di dunia agar
kembali bermuhasabah, insaf dan berpegang kepada paksi keadilan.

- kemasukan bantuan dari luar dapat menyedarkan pemerintah agar berasa malu atas
perbuatan kejam dengan tangan yang berlumuran darah rakyat.
- menyurutkan perasaan sombong dan ganas kepada jiwa perdamaian dan mengasihi rakyat
marhaen
Isi 4: Bantuan kemanusiaan sebagai agenda perpaduan, kesamarataan dan paksi kasih sayang dalam
kalangan masyarakat dunia.

- hakikat tiada sesiapapun yang rela kekejaman menimpa diri mereka


- semoga masyarakat antarabangsa boleh belajar bahawa hak untuk hidup selesa dan berkasih
sayang menjadi hasrat semua
- menghantar isyarat bahawa darah setiap insan tetap merah, justeru mereka perlu dihormati
Penutup/Kesimpulan: Selama-lama manapun selagi manusia bertuhankan nafsu serakah dan tamak
haloba, justeru medan pertumpahan darah tidak pernah kering. Sejajar dengan penemuan teknologi
canggih dan logistik peperangan, kerakusan akan terus menyelinap ke dalam urat darah pemimpin
yang bongkak dan sombong untuk mewajarkan pembunuhan terhadap sesama insan atas tiket yang
dihalalkan iaitu peperangan. Kesudahannya, rakyat marhaenlah yang merana dan menjadi pengongsi
pelarian di bumi asing. Oleh hal yang demikian, kepada mana-mana warga dunia yang lebih rasional
dan dianugerahi Allah dengan rahmat keamanan sedarlah setiap isak tangis dan raungan kesakitan
anak-anak yang tidak berdosa hendaklah dibantu. “Sesungguhnya, hidup kita ibarat sebatang tubuh,
apabila mana-mana bahagian yang sakit, maka seluruh tubuh akan sakit dan tepaksa berjaga
malam”. Demikianlah pesan Nabi Muhamad SAW dalam sepotong hadis baginda.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 49


5. Kesabaran merupakan satu unsur nilai murni yang terdapat dalam sesebuah cerpen.
Tuliskan sebuah cerpen yang bertemakan kesabaran.

JOHOR

1. Anda merupakan pengerusi kelab pencinta haiwan di sekolah anda. Anda diminta untuk
menyampakan ceramah dalam perhimpunan sekolah. Tajuk ceramah ialah “Cara-cara Murid
Menyayangi Haiwan”.
Sediakan teks ceramah anda selengkapnya.

2. Anak-anak perlu dididik untuk menggunakan barangan buatan Malaysia.


Huraikan peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak membeli barangan buatan
Malaysia.

NOTA: Rujuk soalan yang hampir sama dengan SMK CHUNG HWA MIRI di atas.

3. Tanggungjawab pelbagai pihak untuk memajukan industri pelancongan berasaskan alam


semula jadi wajar dilakukan demi kebaikan rakyat dan negara.
Ulaskan pernyataan di atas.

NOTA: Atas ihsan saya masukkan semula sampel penuh jawapan soalan ini yang dipetik dalam
MMM Edisi 2017, ms 55.

Industri pelancongan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Bincangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan dan pihak lain yang terlibat
untuk memanfaatkan semua potensi yang ada dalam usaha memajukan industri pelancongan.

Mengikut laporan agensi penarafan antarabangsa tentang pelancongan, Malaysia diletakkan


pada kedudukan kesepuluh dalam kalangan negara yang gemar dilawati. Hal tersebut bertepatan
dengan kedudukan Malaysia yang sangat dikenali di seantero dunia sebagai destinasi pelancongan
yang menarik, murah, dan eksotik. Berdasarkan Portal MyTourism, kunjungan pelancong ke Malaysia
pada tahun 2018 berjumlah 25.83 juta orang dengan anggaran tukaran asing sebanyak RM82.2 bilion.
Jajaran tersebut menunjukkan sektor pelancongan terus menjadi penyumbang utama ekonomi
negara. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan dan semua pihak yang terlibat harus memanfaatkan
semua potensi daya tarikan pelancong agar industri ini terus berdaya saing.
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 50
Memandangkan industri pelancongan menduduki tempat ketiga sebagai penyumbang
ekonomi negara, maka gemblengan usaha hendaklah diterajukan oleh pihak kerajaan melalui agensi-
agensinya. Agensi-agensi yang berkaitan dengan industri pelancongan seperti Kementerian
Pelancongan, Jabatan-jabatan Pelancongan negeri, Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian
Kebudayaan dan Komunikasi hendaklah memainkan peranan yang aktif. Pihak yang terbabit perlu
mengambil tanggungjawab untuk merancangkan pelbagai program promosi dan ‘menjualkan’ nama
Malaysia di persada dunia. Kementerian Pelancongan hendaklah mempunyai KPI yang jelas untuk
menentukan sasaran kemasukan pelancong. Oleh itu, peluang yang terbaik ialah pihak kementerian
mengambil kesempatan daripada kedudukan strategik Malaysia untuk laluan pelancong ke Singapura,
Indonesia, dan Thailand yang sememangnya memiliki daya tarikan yang tersendiri.

Inisiatif seterusnya hendaklah turut digerakkan oleh sektor swasta juga. Memandangkan
industri pelancongan merupakan salah satu lombong emas, justeru pihak swasta tidak boleh terlepas
pandang dalam menyokong matlamat negara untuk menjayakan industri pelancongan. Langkah paling
strategik pihak swasta hendaklah menyokong dan mengambil bahagian dalam program galakan
pelancong di luar negara. Pihak swasta terutama konglomerat utama seperti YTL, Kumpulan Genting,
FELDA, Perbadanan Kemajuan Negeri hendaklah lebih gigih membangunkan prasarana pelancongan
seperti kemudahan penginapan dan pengangkutan. Pihak swasta hendaklah memanfaatkan peluang
daripada program dan penganjuran antarabangsa oleh pihak kerajaan seperti pameran LIMA,
penganjuran sukan dan konvensyen. Pendek kata, kemudahan infrastruktur dan prasarana hendaklah
digemblengkan secara bersama oleh pihak kerajaan dan swasta bermula dari pelancong menjejakkan
kaki hinggalah mereka pulang dengan senyuman puas.

Manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar
hendaklah menjaga dan memperindah kawasan jagaan masing-masing. Semua pihak sudah maklum,
kunjungan pelancong asing ke sini bermatlamat untuk menghirup udara dan persekitaran yang
nyaman dan indah. Dengan hal demikian, pihak terbabit wajar mengutamakan aspek kebersihan dan
keindahan landskap alam. Semua potensi bumi seperti sungai, laut dan gunung perlu dikekalkan
kelestariannya. Pihak berkenaan perlu mengambil inisiatif mewartakan tempat-tempat tersebut
seperti yang dilakukan oleh Thailand yang mewartakan semua pulau sebagai taman laut. Pulau-pulau
seperti Phuket, Koh Adang, Koh Lanta, Koh Samui dan banyak lagi kini menjadi syurga pelancong dan
pusat ‘lombong emas’ kepada negara Thai. Malaysia juga bukan kurang dengan potensi tersebut
kerana beberapa destinasi utama seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Redang, dan gunung
Kinabalu semakin mendapat tempat di hati pelancong. Tegasnya, sudah tiba masa kita belajar
daripada kejayaan negara jiran tersebut dalam usaha memanipulasikan sumber alam sebagai dana
PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 51
kekayaan negara.

Potensi yang tidak kurang pentingnya juga ialah manfaat daripada kepelbagaian masyarakat,
budaya dan adat resam yang terdapat di Malaysia. Potensi ini merupakan simpanan tetap kepada
pakej tarikan pelancong ke Malaysia. Variasi daripada pemajmukan masyarakat sama ada di
Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak amatlah bernilai untuk didedahkan kepada pelancong.
Variasi majmuk itu bukan sahaja dalam aspek manusianya, malahan dalam hal yang berkaitan dengan
cara hidup, budaya dan agama. Bermula dengan cara berpakaian, budaya dan adat resam serta
makanan semuanya menunjukkan kekayaan nilai tradisi kaum-kaum di Malaysia. Kepelbagaian ini jika
dimasukkan ke dalam pakej tarikan pelancong sudah tentu boleh memikat kunjungan mereka ke
Malaysia. Oleh itu, keenakan makanan di Malaysia seperti roti canai, nasi lemak, kuih-muih tradisional
dan pelbagai jenis juadah yang mewakili etnk tertentu hendaklah diketengahkan. Sudah pasti, sekali
jamah pasti hendak lagi.

Langkah lain yang sangat strategik ialah penglibatan aktif duta-duta di luar negara. Semua
rakyat Malaysia yang berada di luar negara hendaklah mengambil peluang menarik minat lebih ramai
pelancong. Di peringkat kerajaan, duta-duta di luar negara hendaklah mengadakan program
menjelajah ke merata pelosok untuk mempromosikan program tarikan pelancong. Selain itu,
kumpulan terbesar iaitu pelajar Malaysia di seberang laut hendaklah bijak berkomunikasi dengan
strategi sambil menyelam minum air untuk menyampaikan mesej yang jelas tentang Malaysia.
Sebagai generasi muda yang mempunyai ilmu pengetahuan, mereka sewajarnya boleh menjadi misi
negara untuk menerangkan pelbagai keistimewaan Malaysia tentang pola budayanya, pelbagai cita
rasa makanannya dan tentang indahnya bumi permata yang suatu ketika dahulu pernah dikenali
sebagai ‘Semenanjung Emas’. Pendek kata, jikalau potensi ini digembelngkan secara bijak maka kos
pengiklanan pelancongan dapat diminimumkan.

Sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni, Malaysia amat strategik untuk dikunjungi
oleh pelancong-pelancong sama ada dari timur atau barat. Peluang harus dimanfaatkan dengan
sebaik-baiknya pada masa ini apabila Malaysia begitu popular kepada pelancong dari Timur Tengah
dan Asia Timur jauh. Peluang yang sedia terhidang hendaklah bijak direbut, bak kata peribahasa rezeki
jangan ditolak, aral jangan diraih.

4. Usaha membanteras aktiviti penyeludupan seperti penyeludupan manusia, barangan dan haiwan
perlu ditingkatkan oleh Malaysia dan negara-negara jiran.
Jelaskan usaha-usaha tersebut.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 52


5. Peribahasa ‘Muafakat membawa berkat’ bermaksud kejayaan dapat dicapai sekiranya masyarakat
bersatu dan mengamalkan sikap bekerjasama.
Bincangkan kepentingan-kepentingan sikap bekerjasama dalam kehidupan bermasyarakat.

NEGERI SEMBILAN

1. Kejayaan cemerlang seseorang murid banyak bergantung pada amalan disiplin yang tinggi.

Bincangkan.

NOTA: Sila padankan soalan ini dengan sampel sedia ada dalam modul saya 2015.

“Disiplin Sebagai Teras Kejayaan”. Demikianlah sebuah tajuk pidato yang telah anda sampaikan
dalam satu pertandingan pidato di peringkat sekolah anda.

Tulis semula teks pidato itu selengkapnya.

Assalamualikum dan salam sejahtera,

Yang saya hormati Pengacara Majlis. Tuan-tuan Panel Hakim yang sentiasa peka dengan misi
keadilannya. Yang Berusaha, Tuan Pengetua dan seterusnya guru-guru serta rakan-rakan
seperjuangan yang dihormati sekalian.

Hadirin sekalian,

Pada waktu ini saya sedang berdiri di hadapan saudara dan saudari. Hadirin sekalian begitu
setia untuk menghayati setiap kata yang bakal saya titipkan. Kita bersama-sama menghayati suatu
wadah keilmuan dalam suasana yang tenang dan harmoni. Peserta, masing-masing dapat berhujah
dalam kapasiti dan kemampuan masing-masing. Soalannya, mengapakah kita mampu mewujudkan
situasi yang sedemikian rupa? Semuanya terjawab dengan sendirinya kerana kita masih
mempertahankan disiplin yang baik, saling membantu dan saling menyokong. Lantas, hadirin sekalian
marilah bersama-sama saya kita lunasi suatu wacana yang bakal saya hidangkan kepada anda dengan
mauduk wacana saya, “Disiplin Teras Kejayaan”.

Hadirin sekalian,

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 53


Disiplin Teras Kejayaan ialah rangkuman konsep yang menyatakan suatu sistem tatacara
mengurus diri yang betul pasti menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan dan tindakan kita.
Sehubungan dengan itu, disiplin menjadi jurupandu untuk seseorang memperoleh kejayaan dalam
mencapai sesuatu sama ada belajar, bekerja dan melunaskan rutin harian. Pesan orang tua-tua,
“Mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, dan kata berpangkal”. Segala-galanya perlu
kita lalui dalam proses dan sistem yang betul.

Sejarah telah menjadi sumber rujukan yang paling penting kepada kita akan kejayaan tokoh-
tokoh terkemuka. Kejayaan yang telah dikecapi oleh mereka adalah dengan berkat disiplin yang tinggi.
Sama ada dalam bidang keilmuan atau kerjaya semuanya memerlukan disiplin. Lihatlah betapa
sengsaranya Thomas Alva Edison dalam usahanya untuk menyumbangkan cahaya kepada alam
sejagat. Beliau memerlukan ketelitian dan disiplin yang amat tinggi. Begitulah tokoh-tokoh dalam
bidang keilmuan seperti Socrates, Plato, Aristotle, Imam Al Ghazali, Imam Shafie dan sebagainya.
Mereka bangkit sebagai personaliti dunia yang menyemarakkan budaya ilmu melalui disiplin yang
tinggi.

Rakan-rakan sekalian,

Ketika sedang mendaki tangga kejayaan, ingatlah tiada tonik dan kapsul lain yang lebih
mujarab boleh membantu kita mencapai matlamat melainkan dengan amalan disiplin. Tanpa disiplin
hasrat kita akan longlai, urusan kita tidak langsai, justeru impian kita akan berkecai. Kita akan
kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Oleh sebab itu, kita perlu bermuhasabah diri,
memilih segala-gala yang baik dengan mengetepikan perkara-perkara yang dangkal. Uruslah diri anda,
merancang masa dan mengurus personel yang baik. Kita perlu memiliki hala tuju yang betul, cita-cita
yang jelas, dan sanggup menterjemahkan matlamat hidup dalam perancangan yang teliti. Inilah
sumber orang-orang yang pasti berjaya.

Ingatlah, untuk berjaya kita mesti merancang sistem belajar yang betul, rutin harian yang
terancang, dan sentiasa meletakkan perkara-perkara yang positif sebagai keutamaan. Bayangkanlah!
Tanpa disiplin, berapa banyakkah masa yang dibazirkan untuk menekan butang telefon semata-mata
berceloteh dalam WhatsApp, Facebook, Twitter dan Instagram? Tanpa disiplin, berapa lamakah masa
yang berlalu dengan hanya asyik berserakah dengan rakan-rakan? Semakin lama kita melayani
perkara-perkara yang membazir, justeru semakin jauhlah kita dihanyutkan oleh ilusi tanpa realiti. Kita
telah membazir masa dan usia, bak seratus tahun bah melanda kapar tetap tidak berlalu.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 54


Saudara dan saudari,

Peribahasa menyatakan, meminta pada yang ada, bertanya pada yang tahu dan tuah jangan
ditolak, rezeki harus dituntut. Masa dan peluang harus kita kejar. Demi menjadi insan yang berguna
pada masa depan, uruslah disiplin dengan cara yang terbaik. Rujukan kita mesti kepada tokoh-tokoh
yang telah berjaya. Merekalah yang menjadi idola kita. Gerak dan langkah mereka, cara berfirkir dan
cara mereka merancang hidup hendaklah dijadikan panduan. Mereka yang telah berjaya mungkin
para pemimpin, para guru, malah rakan-rakan kita. Kita wajar memiliki perasaan cemburu terhadap
kejayaan orang lain demi menyaingi mereka secara sihat.

Setelah kita menyediakan strategi memburu kejayaan secara terancang, kita juga perlu
berhati-hati kerana dalam setiap masa dan apa-apa keadaan pun pelbagai dugaan boleh mengancam
konsentrasi. Oleh itu, jauhilah parasit dan pengaruh yang boleh merosakkan diri. Orang-orang yang
tidak berdisiplin sentiasa berdampingan dengan anasir-anasir yang tidak berfaedah. Berwaspadalah
terhadap pengaruh hiburan yang berlebih-lebihan. Elakkan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak
mempunyai maltlamat dan hilang jati diri. Elakkan diri terjebak dalam kegiatan negatif seperti
melepak, berpelesiran, lumba haram dan seribu satu macam lagi angkara antimoral yang sedang
menunggu untuk menjeratkan kita.

Rakan-rakan seperjuangan sekalian,

Sesungguhnya peribahasa ingat sebelum kena, jimat sebelum habis benar-benar mendidik
kita untuk mendisiplinkan diri. Tanpa disiplin tiada sekelumit pun kejayaan yang bakal diraih. Jikalau
inginkan kejayaan, berpeganglah kepada falsafah, “Disiplin Teras Kejayaan”.

Sekian terima kasih.

2. Ibu bapa memainkan peranan utama dalam pembentukan keluarga bahagia.

Berikan pendapat anda.

Pendahuluan: Kalangan bijaksana berpendapat bahawa, rumah ialah syurga kepada kehidupan,
namun ada kalanya boleh menjadi neraka. Pengertian daripada pendapat tersebut menerangkan
bahawa, rumah tangga menjadi nukleus utama yang dapat membentuk keluarga yang bahagia
mahupun di sebaliknya. Pelopor paling penting untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan
bermawaddah tentulah ibu bapa. Elok corak yang dilakarkan nescaya eloklah keluarga yang dibina.
Sehubungan dengan perkara tersebut, ibu bapa memainkan peranan yang amat besar demi
mencorakkan sesebuah rumah tangga yang sentiasa dilingkungi oleh rahmat dan kasih sayang.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 55


Isi 1: Ibu bapa hendaklah menjadi insan yang bertakwa dan patuh pada hukum Allah – insan seperti
ini sentiasa berfikiran positif dan mengetepikan perihal yang negatif – sentiasa memupuk
kecenderungan untuk hidup yang diredai di dunia mahupun akhirat – contoh teladan mudah dituruti
anak-anak

Isi 2: Ibu bapa mengutamakan pendidikan kekeluargaan dengan limpahan kasih sayang kepada
anak-anak – anak-anak yang diajari erti berkasih sayang lebih cenderung untuk saling hormat dan
saling menyokong

Isi 3: Ibu bapa berkomunikasi secara lembut dan sopan dengan anak-anak – melahirkan persekitaran
rumah tangga yang harmoni, sepakat dan memperoleh berkat

Isi 4: Anak-anak hendaklah dididik supaya patuh kepada ibu bapa – ibu bapa senang dengan sikap
anak-anak yang mudah ditunjuk ajar – tidak wujud jurang komunikasi – anak-anak yang patuh dan
akan menjadi ikon baik mengenalkan zuriat keturunan

Isi 5: Ibu bapa berusaha memperluas jalinan silaturahim dan persaudaraan dengan kaum keluarga
dan jiran tetangga – mendedahi anak-anak tentang cara hidup bermasyarakat yang harmoni – wujud
kasih sayang dan saling hormat dalam kalangan jiran tetangga

Penutup/Kesimpulan: Sesungguhnya keluarga menjadi markas utama untuk membentuk insan


penyayang lagi cemerlang. Anak-anak yang baik lagi hebat dalam bidang akademik mahupun sahsiah
ialah mereka yang membesar dalam sebuah keluarga yang harmoni. Anak-anak seperti ini menjadi
kebanggaan ibu bapa kerana mengenal pokok lihatlah daunnya. Oleh sebab itu, ibu bapa yang
berwawasan sentiasa memandang jauh ke hadapan dalam merintis jalan yang penuh bahagia untuk
anak-anak.

3. Kes kemalangan jalan raya menggusarkan banyak pihak terutamanya kerajaan dan ahli keluarga
yang terlibat. Sebagai ketua polis daerah, anda diminta menyampaikan ceramah yang bertajuk,
‘Punca dan Cara untuk Menangani Kes Kemalangan Jalan Raya’

Sediakan teks ceramah tersebut.

4. Menguasai pelbagai bahasa amat penting terutama dalam dunia tanpa sempadan. Banyak
faedah yang diperoleh jika kita menguasai pelbagai bahasa asing.

Ulaskan pernyataan ini.

Pendahuluan: Bahasa ialah lambang-lambang bunyi yang tersurat daripada hati nurani insan. Bahasa
menjadi penghubung secara fitrah yang diperoleh secara azali yang dikurniakan kepada setiap insan.
Bahasa boleh menyatukan manusia malah bahasa boleh menatijahkan perang. Allah SWT, Tuhan yang
maha kaya menganugerahi hamba-Nya dalam pelbagai rupa, warna kulit dan perbezaan yang begitu
ketara. Oleh sebab itu, bahasalah yang mengenalkan sesuatu bangsa dengan slogan, ‘Bahasa Jiwa
Bangsa’. Dalam era pasca-Milenium ini, interaksi antarabangsa semakin luas sejajar dengan
perkembangan teknologi maklumat (ICT). Sehubungan dengan perkara tersebut, keperluan
menguasai pelbagai bahasa adalah amat relevan kepada semua pihak agar jaringan komunikasi global
menjadi lebih lancar, efisien dan sofistikated. Sesungguhnya, amat banyak impak positif apabila

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 56


manusia sejagat mampu menguasai pelbagai bahasa yang merentas sempadan geografi, bangsa dan
budaya.

Isi 1: Dalam hubungan antara negara dan kerajaan penguasaan bahasa rentas sempadan dapat
mengakrabkan hubungan diplomatik.

- Wujud kemesraan antara pemimpin dan pegawai kerajaan silang negara


- Terbentuk hubungan baik dalam kalangan rakyat
- Mengendurkan rasa syak dan ragu
- Kemajuan ekonomi dan sosial antara negara berkembang dengan pantas
Isi 2: Dalam bidang pendidkan dan ilmu pula, penguasaan pelbagai bahasa menjadi jendela
mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan.

- Ilmu pengetahuan sentiasa berkembang dengan setiap bangsa memiliki keistimewaan


tertentu – (dunia Barat, Jepun dan Cina dalam bidang sains dan teknologi, Asia Tengah dalam
bidang pembinaan dan arkitek, dunia Arab dalam bidang agama dan falsafah)
- Boleh menuntut ilmu sacara terus tanpa perantaraan perterjemahan
Isi 3: Dalam sektor pelancongan, interaksi dan hubungan yang merentas benua, penguasaan banyak
bahasa ialah bonus yang terbaik.

- dapat menghayati sumber keindahan, budaya dan etika masyarakat setempat apabila
menguasai bahasa setempat dengan baik
- wujud jalinan kemesraan apabila tiada jurang berbahasa
- Interaksi masyarakat global semakin akrab – mengelakkan salah faham dan benci-membenci
kerana dibatasi oleh bahasa
Isi 4: Sementara dalam dunia perniagaan, pengetahuan pelbagai bahasa membantu urus niaga
berjalan dengan lancar.

- Era globalisasi kini, hubungan dagang berlaku dengan luas yang merentasi sempadan
antarabangsa.
- Interaksi pasaran global semakin aktif, mesra dan urus niaga lebih lancar
- mewujudkan situasi menang-menang dalam kalangan masyarakat peniaga apabila
kemampuan saling memahami dalam pelbagai bahasa
Penutup/Kesimpulan: Berdasarkan mafhum dalam Firman Allah yang menyatakan, “Aku jadikan
manusia dalam berbagai-bagai bangsa dan bahasa supaya manusia dapat saling berkenal-kenalan
dan berbaik-baik antara satu sama lain” membuktikan bahawa manusia perlu hidup dalam saling
memerlukan. Perbezaan bahasa bukan alasan untuk manusia berpecah dan meletakkan perasaan
buruk sangka antara satu dengan yang lain. Sebaliknya saling mempelajari dan saling memahami
bahasa silang budaya merupakan rahmat yang amat besar dalam mewujudkan kesepaduan umat
sejagat di atas muka bumi Tuhan yang luas terbentang ini.

5.Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.

Peribahasa di atas bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan secara sedikit-sedikit yang akhirnya
akan memberikan hasil yang banyak.

Tulis sebuah cerpen berdasarkan peribahasa tersebut.


PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 57
SALAM HORMAT DAN SELAMAT MAJU JAYA KEPADA SEMUA ANAK
DIDIK CALON SPM 2019 DI SEANTERO PELOSOK NUSA. ANDALAH
BUNGA KESUMA YANG BAKAL BERKEMBANG MEKAR.

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2019_BM1 58

Anda mungkin juga menyukai