Anda di halaman 1dari 12

KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN ST.MARY


KUALA LUMPUR
PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2016

BAHASA MELAYU KERTAS 2


2 JAM 30 MINIT 1103/2

Kertas soalan ini mengandungi empat soalan. Jawab semua soalan.

Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca berlaku
masalah sosial remaja dan peranan keluarga dalam menangani masalah ini. Panjangnya
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Negara yang ingin maju dan makmur mestilah mempunyai individu yang rajin dan
berdedikasi. Rakyat memainkan peranan penting untuk memajukan negara, terutama dalam
kalangan remaja. Kata-kata hikmat “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” telah
membuktikan perkara ini. Namun begitu, penularan gejala sosial yang kian meruncing telah
menyebabkan negara kerugian tenaga muda. Perkara ini bertambah serius sehingga negara
terpaksa membawa masuk tenaga kerja yang banyak dari luar.

Menurut kajian, fenomena ini berlaku kerana kurangnya kawalan dan kasih sayang daripada
ibu bapa. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorak sahsiah anak-anak mereka.
Dalam konteks kehidupan moden ini, ibu bapa terlalu sibuk mengejar kekayaan sehingga
meminggirkan perasaan anak-anak. Mereka menyerahkan segala tanggungjawab mengajar dan
mendidik anak-anak kepada pihak sekolah. Pada masa yang sama, pemikiran remaja pula masih
belum matang dan sentiasa membuat keputusan serta tindakan secara terburu-buru. Akhirnya hal
ini mendorong mereka terlibat dalam masalah sosial.

Sementara itu, persekitaran juga boleh menjuruskan remaja kepada aktiviti yang
meruntuhkan akhlak. Kewujudan industri hiburan telah mempengaruhi orang ramai terutamanya
remaja mengamalkan cara hidup bebas. Pengambilan bahan-bahan terlarang seperti pil khayal
menyebabkan remaja terjerumus ke kancah maksiat.
KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

Pada masa yang sama, pengaruh budaya Barat terhadap remaja tidak dapat dinaf ikan.
Remaja sebagai individu yang masih mentah sering mengagung-agung budaya Barat. Sebagai
contohnya, banyak remaja suka menggayakan diri dengan gaya punk dan gaya gotik. Masalah ini
bertambah serius dengan wujudnya masalah gengsterisme.

Sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu yang baharu telah menyebabkan mereka
dipengaruhi oleh kawan yang mempunyai masalah tingkah laku yang salah, terutamanya yang
terkandas dalam pelajaran. Sebagai contohnya, mereka akan terikut -ikut dengan kawan yang
ponteng sekolah dan melepak. Mereka juga sering merosakkan harta benda sekolah. Jika masalah
ini tidak diberi perhatian, kemungkinan besar mereka akan terlibat dengan pengambilan dadah
seterusnya terlibat dengan kegiatan jenayah. Hal ini kerana dadah boleh meracuni fikiran yang
menyebabkan seseorang tidak dapat berfikir dengan waras.

Jelaslah, masalah kerugian tenaga kerja muda di negara kita kian parah kerana masalah
sosial yang semakin membimbangkan. Langkah segera dan berterusan perlu diambil untuk
membendung masalah ini daripada menular dalam kalangan masyarakat agar kekurangan tenaga
kerja mahir dan separuh mahir dapat diatasi.

(Dipetik dan diubah suai daripada Masalah Sosial Remaja,


Kurangkan Tenaga Kerja, oleh Dr. Aminuddin Mansor
Dewan Siswa, Mac, 2013)
Jawapan Rumusan:
Pendahuluan
Petikan membincangkan sebab-sebab berlaku masalah sosial remaja di Malaysia.

Isi Tersurat : Jawapan berdasarkan petikan

Isi Tersirat : Peranan


1. Meluangkan masa bersama anak mereka
2. Mengawal anak mereka secara bijak dan tegas
3. Memberi didikan agama yang sempurna
4. Berbincang dengaan anak yang menghadapi masalah

Kesimpulan
Kesimpulannya, semua pihak harus bekerjasama untuk menangani masalah sosial remaja supaya
kecemerlangan remaja dapat terjamin.
KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

Soalan 2 : Pemahaman
[ 35 markah]

Soalan 2 (a) – Petikan Umum


Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda
sendiri.

1. Berikan maksud rangkai kata mencorak sahsiah. [2 markah]


- Membentuk keperibadian/ tingkah laku

2. Penularan gejala sosial dalam kalangan remaja telah meninggalkan beberapa kesan terhadap
negara.
Nyatakan kesan-kesan tersebut. [3 markah]
- Negara kerugian tenaga muda.
- Negara terpaksa membawa masuk tenaga kerja dari luar.
- Negara kekurangan tenaga kerja mahir dan separuh mahir.

3. Jelaskan pendapat anda tentang dua kepentingan tenaga kerja mahir dan separuh mahir dalam
pembangunan negara. [4 markah]
- Negara kurang bergantung kepada pekerja asing agar dapat mengurangkan
pengaliran wang keluar negara.
- Meningkatkan daya saing negara dengan memajukan ekonomi negara
- Mencapai wawasan negara iaitu menjadi sebuah negara kuat di seluruh dunia
KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

Soalan 2(b) – Petikan Cerpen


Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

Zaman sudah berubah. Si Kaduk telah meninggal dunia. Raja yang zalim itu pun sudah mati, eh,
silap, sudah mangkat! Anak dan cucu Kaduk hidup pada zaman merdeka dan sempat mengecapi
kemajuan negara. Kota raya semakin megah dengan bangunan-bangunan yang tinggi
menjulang. Ya, mereka hidup pada zaman kita yang serba maju. Pada zaman ini, tiada lagi raja
yang pergi ke kampung-kampung mengajak rakyat menyabung ayam.

Kaduk menamakan anaknya Hassan atas nasihat ustaz yang datang mengajar di
madrasah kampungnya. Hassan membawa pengertian “yang baik”. Hassan juga telah memilih
nama yang baik untuk anaknya, selaras dengan ajaran Islam, iaitu Hakim yang bererti
“bijaksana”. Kau lihat, nama juga mencerminkan kemajuan. Mereka tidak mempunyai nama-
nama yang primitive dan jelik seperti Si Kaduk, Si Kacong, Si Buntal, Si Labu, Si Labi atau Si
Hodoh.

Hakim, cucu Kaduk ialah seorang yang terpelajar. Hal Hakim inilah yang hendak
kuceritakan di sini. Dia belajar hingga ke universiti, barangkali berkat namanya yang
bermaksud bijaksanaan itu. Hakim semakin sedar betapa banyaknya ketidakadilan yang sedang
berlaku di sekelilingnya. Dunia ini penuh dengan penganiayaan. Pengajiannya telah
memberikan dia pencerahan terutama dalam kes tanah datuknya yang telah terlepas ke tangan
raja. Dia bercerita dan berbincang dengan sahabat baiknya Azam, seorang mahasiswa jurusan
undang-undang. Mereka bersetuju bahawa ini merupakan satu penganiayaan dan mula mengatur
strategi untuk menuntut hak yang dirampas.

(Dipetik daripada cerpen Kaduk, Ayam dan Raja, karya Zurinah Hassan dalam
Antologi Jaket Kulit Kijang dari Instanbul, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Mengapakah Kaduk menamakan anaknya, Hassan? [3 markah]


- Kaduk menamakan anaknya Hassan atas nasihat ustaz yang datang mengajar di madrasah
kampungnya.
- makna Hassan membawa pengertian yang baik.
- perkara ini selaras dengan ajaran Islam iaitu memilih nama yang baik.

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah kita boleh mengusahakan tanah terbiar? [3 markah]
- dengan menanam sayur-sayuran.
- kita boleh mengusahakan kolam ternakan ikan atau udang.
- kita boleh membuat kawasan riadah untuk permainan orang-orang kampung sebagai
memanfaatkan tanah terbiar.
KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

(iii) Nyatakan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan lain yang lain daripada
keseluruhan cerpen. [3 markah]
- Persoalan tentang kepentingan sikap rajin dalam kehidupan. Contohnya, Hakim rajin belajar
hingga ke universiti walaupun Hakim sedar kehidupannya penuh dengan ketidakadilan.
- Persoalan tentang kepentingan sikap prihatin dalam kehidupan. Contohnya, Azam prihatin
terhadap Azam dengan menasihatinya supaya meminta bantuan daripada Jabatan Haiwan.
KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

Soalan 2(c) – Petikan Prosa Tradisional


Baca petikan prosal tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sebermula maka Laksamana pun memakai pakaian penjurit. Maka Laksamana pun berjalanlah.
Pada malam itu kelam-kabut dan hujan pun rintik-rintik. Maka Kertala Sari masuklah ke dalam kota.
Maka Laksamana pun tidur di tengah pasar tu. Maka didengar oleh Laksamana kaki Kertala Sari itu
terlalu gemuruh bahananya. Maka Laksamana pun tahulah akan Kertala Sari datang itu. Maka Kertala
Sari pun berjalan ke tengah pasar itu. Maka tertendang kakinya pada tubuh Laksamana.
Maka Kertala Sari pun berdiri atas kepala Laksamana itu, katanya", Teririk bangkai pula aku
ini!"
Adapun akan Laksamana tidur itu kerisnya sudah terhunus, lalu ia bangun melompat menikam
dada Kertala Sari terus ke belakangnya.
Maka Laksamana pun berkata, "Ceh, mati engkau olehku!"
Setelah Kertala Sari merasai luka itu, maka dihunusnya kerisnya pula mengusir Laksamana. Dua
tiga langkah maka ia pun rebah terjerumus lalu mati. Maka oleh Laksamana dihirisnya syahwatnya
diambilnya lalu ia kembali ke rumahnya.
Setelah hari hampir siang maka orang pun lalu. Maka dilihatnya seorang perlente mati; maka
segera dikeratnya telinga dibawa kepada raja sembahnya," Ya tuanku, inilah tandanya patik membunuh
penjurit yang terlalu buas itu."

(Dipetik daripada prosa tradisional Kepimpinan Melalui Teladan, dalam


antologi Jaket Kulit Kijang dari Instanbul, Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Berikan maksud dilihatnya seorang perlente mati? [2 markah]


- dinampaknya seorang penjahat/ pencuri meningga dunia

(ii) Apakah tindakan yang dilakukan oleh Laksamana terhadap Kertala Sari ? [3 markah]
- Laksamana menghunus kerisnya
- Laksamana bangun melompat untuk menikam dada Kertala Sari
- Selepas Kertala Sari mati, Laksamana memotong syahwat Kertala Sari lalu mengambilnya
balik ke rumah

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu melakukan perancangan sebelum melaksanakan sesuatu
pekerjaan ? [3 markah]
- sebagai persediaan awal untuk menghadapi sebarang masalah
- sesuatu pekerjaan dapat dijalankan dengan lancar
- perancangan dapat mengurangkan risiko pekerjaan tersebut
- kita dapat mengenal pasta masalah yang bakal dihadapi
- kita dapat menganggarkan (估计) perbelanjaan terlebih dahulu
KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

Soalan 2(d) – Petikan Gurindam


Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Gurindam Dua Belas
(Fasal yang ketiga)

Apabila terpelihara mata,


Sedikitlah cita-cita.

Apabila terpeihara kuping,


Khabar yang jahat tiadalah damping.

Apabila terpelihara lidah,


Nescaya dapat daripadanya faedah.

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,


Daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh,


Keluarlah fiil yang tiada senonoh.

Anggota tengah hendaklah diingat,


Di situlah banyak orang yang hilang semangat.

Hendaklah peliharakan kaki,


Daripada berjalan yang membawa rugi.

(i) Berdasarkan gurindam tersebut, berikan dua kebaikan jika seseorang itu sentiasa menjaga tangan dan
kakinya? [2 markah]
- Seseorang itu tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang
- Seseorang itu tidak pergi ke tempat-tempat yang dilarang atau membawa rugi

(ii) Ungkapan lidah lebih tajam daripada mata pedang memberi gambaran betapa pentingya kita menjaga
pertuturan dalam pergaulan.
Pada pandangan anda, apakah kesannya jika seseorang tidak menjaga tutur katanya? [3 markah]
- Kita akan menimbulkan pergaduhan
- Kita akan menjejaskan hubungan dengan orang lain
- Kita akan dibenci oleh orang lain
- Kita akan dijauhi oleh kawan dan tiada kawan
KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

(iii) Huraikan dua nilai kemanusiaan yang dapat diperoleh daripada gurindam di atas. [4 markah]
- Nilai berbudi bahasa. Contohnya, penyajak menyatakan bahawa kita harus menjaga
pertuturan kita untuk mengekalkan budi bahasa yang baik.
- Nilai kesederhanaan. Contohnya, penyajak menyatakan bahawa makan hendaklah sederhana
supaya tidak mendatangkan mudarat kepada tubuh.
- Nilai kebijaksanaan. Contohnya, penyajak menyatakan bahawa kita harus bijak menjaga
perlakuan diri untuk mengelakkan diri terlibat dalam gejala sosial.

Soalan 3:Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa


[30 markah]
Jawab semua soalan.

(a) Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan
perbezaaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan
imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) kata
(ii) katakan
(iii) perkataan
(iv) mengatakan
(v) dikatakan
(vi) berkata-kata
[6 markah]

(b) Kenal pasti jenis-jenis ayat berikut. Nyatakan sama ada ayat tersebut ayat penyata, ayat Tanya, ayat
seruan ayat ayat perintah.
(i) Semua pihak bertanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu. Ayat penyata
(ii) Usahlah dikenang lagi peristiwa pahit itu supaya hidup awak lebih tenang. Ayat perintah
(iii) Amboi, awalnya awak datang ke sekolah hari ini! Ayat seruan
(iv) Mengapakah awak memilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya? Ayat tanya
(v) Minat membaca dalam kalangan kanak-kanak perlu dipupuk sejak kecil lagi. Ayat penyata
(vi) Tolng hantar buku-buku latihan ini ke meja saya. Ayat perintah
[6 markah]
KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan
imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan –kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh
menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda
tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Pertunjokan bunga api bersempena dengan ulang tahun Hari Kemerdekaan dilangsung tepat pada
pukul dua belas tengah malam.
Pertunjokan- pertunjukan dilangsung - berlangsung
(ii) Perkhawinan Azahari dengan Rohaida tidak terdapat restu daripada keluarga masing-masing.
Perkhawinan - Perkahwinan terdapat - mendapat
(iii) Kebebasan hidup dalam kalang remaja boleh terjerumus mereka dalam gejala sosial seperti
gangsterisma.
Kalang – kalangan gangsterisma – gengsterisme
[6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu
kesalahan tatabahasa . Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak
boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan
tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Dalam pendapat saya, pelbagai langkah boleh diambil untuk menangani masalah pelajar cabut
sekolah.
Dalam – pada cabut – ponteng
(ii) Pihak pemaju projek yang berkenaan akan mengambil langkah dramatik untuk mengelakkan
projek tersebut dari terbangkalai.
Dramatik - drastik dari - daripada
(iii) Pusat membeli-belah di bandar itu tumbuh bagai cendawan lepas hujan sejak kawasan tersebut
dimaklumkan sebagai sebuah bandar raya.
Membeli –belah – beli-belah tumbuh – timbul
[6 markah]
KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

(e) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa atau kata-kata hikmat yang
sesuai denagn maksud ayat tersebut.

(i) Orang yang menurut perintah dan kehendak orang lain secara membuta tuli.
Seperti kerbau dicucuk hidung

(ii) Golongan muda menjadi orang yang diharapkan untuk membangunkan negara pada masa hadapan.
Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara

(iii) Mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku atau diperoleh.
Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran /
Mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan
[6 markah]
KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

Soalan 4: Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarakan novel yang anda kaji.

Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talip

(a) Bincangkan dua persoalan yang terkandung dalam novel yang anda pelajari.
[7 markah]
Novel yang saya kaji ialah Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Bin Talib. Kita

dapat mempelajari beberapa persoalan dalam novel ini.

Pertama sekali, persoalan dalam novel ini ialah persoalan tentang kepentingan sikap berani

dalam kehidupan. Buktinya, Leftenan Adnan yang cedera parah berani menikam beberapa orang

tentera Jepun apabila melihat Sarjan Arshad ditikam hingga mati. Keberaniannya juga dikagumi oleh

anggota tenteranya.

Selain itu, persoalan kedua ialah persoalan tentang kepentingan sikap rajin dalam kehidupan.

Buktinya, ketika bersekolah Inggeris, Adnan menjadi juara pidato Bahasa Inggeris dan menjadi murid

cemerlang kerana dia rajin belajar. Dia disayangi oleh Cikgu Anderson dan guru-guru lain disebabkan

sikap rajinnya itu.

Di samping itu, persoalan ketiga ialah persoalan tentang kepentingan sikap rasional dalam

kehidupan. Buktinya, Pak Saidi menghantar anak-anaknya belajar di sekolah Inggeris supaya mereka

dapat pelbagai ilmu. Pak Saidi menganggap hanya belajar di sekolah Inggeris dapat memperoleh ilmu

pengetahuan supaya keluar daripada kemiskinan.


KERTAS SOALAN SEKOLAH TARGET SKOR A+

(b) Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tiga perwatakan bagi watak utama yang terdapat dalam
novel tersebut.
[8 markah]

Novel yang saya kaji ialah Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Bin Talib. Kita

dapat mempelajari beberapa perwatakan watak utama dalam novel ini.

Watak utama dalam novel ini ialah Leftenan Adnan. Pertama sekali, beliau merupakan seorang

yang berani. Buktinya, Leftenan Adnan yang cedera parah berani menikam beberapa orang tentera

Jepun apabila melihat Sarjan Arshad ditikam hingga mati. Keberaniannya juga dikagumi oleh anggota

tenteranya.

Selain itu, beliau juga merupakan seorang yang rajin. Buktinya, ketika bersekolah Inggeris,

Adnan menjadi juara pidato Bahasa Inggeris dan menjadi murid cemerlang kerana dia rajin belajar. Dia

disayangi oleh Cikgu Anderson dan guru-guru lain disebabkan sikap rajinnya itu.

Di samping itu, beliau juga merupakan seorang yang penyayang. Buktinya, Leftenan Adnan amat

menyayangi ibu bapanya dengan tidak menyakiti hati mereka. Beliau patuh kepada pilihan ibu bapa

supaya berkahwin dengan Sophia.

Anda mungkin juga menyukai