Anda di halaman 1dari 25

1

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR


Mohd Mohadir Bin Harun, Mohd Rashidi Bin Omar, dan Ahmad Nashad Bin Zakaria
Kolej Komuniti Chenderoh,
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
ABSTRAK: Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui permasalahan yang
mempengaruhi pencapaian akademik pelajar semester akhir di Kolej Komuniti
Chenderoh, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Kajian ini menggunakan soal
selidik sebagai instrumen kajian dan melibatkan populasi responden seramai 59 orang.
Kaedah persampelan yang digunakan ialah sampel rawak mudah. Kajian rintis telah
dijalankan di Kolej Komuniti Chenderoh terhadap 20 orang responden dan nilai alpha
cronbach adalah 0.919. Data-data yang diperolehi diproses dengan menggunakan
perisian SPSS (Statistical Package for the Social Sciences). Kolerasi Pearson, Peratus,
Min, Sisihan Piawai dan Ujian-t digunakan untuk menguji persoalan-persoalan kajian.
Kajian yang dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor dominan yang
mempengaruhi pencapaian akademik pelajar semester akhir. Berdasarkan kepada
dapatan kajian ini, beberapa cadangan telah dikemukakan supaya ianya dapat
membantu melahirkan pelajar yang cemerlang dari sudut akademik dan kemahiran
yang mampu berdaya saing di pasaran. Selain itu, langkah-langkah awal dapat diambil
untuk memastikan permasalahan ini dapat di atasi.
Masalah keluarga, masalah rakan sebaya, masalah disiplin dan pencapaian akademik

I. PENGENALAN

Di dalam era globalisasi dewasa ini, kewibawaan kemanusian tidak boleh dibangunkan secara
menyeluruh menggunakan program pembangunan formal semata-mata. Penyataan ini
dibuktikan lagi dengan kecemerlangan kognitif atau kecemerlangan akademik tidak
menjamin kecemerlangan pemikiran, sosial, keagamaan dan emosi seseorang.
Kewajaran ini telah ditegaskan oleh pakar pendidik melalui teori seperti The Theory of
Multiple Intelligence (Howerd Gardner, 1989) dan Emotional Intelligence (Daniel Goleman,
1999).
Hasrat pembentukan masyarakat berilmu ini telah diterjemahkan oleh pihak kerajaan melalui
penubuhan kolej komuniti yang terarah kepada pembelajaran sepanjang hayat. Usaha
pembentukan kerangka pemikiran dan tahap pendidikan masyarakat terhadap budaya hidup
yang cemerlang adalah melalui perlaksanaan Sijil Modular Kebangsaan yang telah
dirasmikan pada 2010. Ia bertujuan memberi peluang kepada segenap lapisan masyarakat
mengembangkan lagi ilmu pengetahuan mereka dan menyediakan peluang kepada
peningkatan kemahiran pelajar yang cenderung kepada bidang teknik dan vokasional
disamping membentuk masyarakat yang berkemahiran, jati diri dan nilai moral yang tinggi
bagi berhadapan dengan perubahan zaman yang mencabar dan seterusnya memastikan
aspirasi negara melahirkan warga negara kelas pertama tercapai.

A. Pernyataan Masalah
Kecemerlangan akademik merupakan salah satu kriteria yang dapat menunjukkan
kecemerlangan pelajar di institusi pengajian tinggi termasuklah kolej komuniti. Ia juga
merupakan matlamat utama kebanyakan pelajar dan merupakan alat pengukur bagi
menentukan kejayaan seseorang pelajar di dalam bidang akademik (Baharin, 2006).
Permasalahan tentang pencapaian akademik pelajar sering diperkatakan oleh pemimpin,
tokoh-tokoh akademik serta masyarakat (Azizi dan Mohamad Hassan, 2010). Ianya dapat
dilihat daripada permasalahan yang boleh dikatakan sudah mencapai ke tahap yang
membimbangkan. Ianya dilihat daripada bermacam-macam gejala yang tidak sihat berlaku
disebabkan oleh remaja atau pelajar.
Masalah seperti masalah keluarga, masalah rakan sebaya dan masalah disiplin merupakan
antara masalah paling dominan yang mempengaruhi pencapaian akademik di kalangan
pelajar (Azizi dan Mohamada Hassan, 2010). Masalah ini akan mempengaruhi proses
pembelajaran mereka jika ianya tidak dikawal.

Statistik keputusan akademik bagi pelajar semester akhir KKCP bagi sesi Januari 2010 dan
Disember 2010 adalah seperti di bawah:
Jadual 1: Tahap Pencapaian Akademik Pelajar
Hotel & Katering Teknologi Elektrik Industri Seramik
Tahap/
Sesi Jan Sesi Julai Sesi Jan Sesi Julai Sesi Jan Sesi Julai JUM
Program/Sesi
2010 2010 2010 2010 2010 2010
Cemerlang
0 1 0 1 0 0 2
3.67-4.0
Kepujian
60 19 25 8 1 0 113
3.00-3.66
Baik
21 16 18 2 0 0 57
2.00-2.99
(Sumber: Unit Peperiksaan dan Penilaian KKCP)

Statistik di atas menunjukkan bahawa pada sesi Januari 2010 dan Julai 2010, terdapat hanya
dua pelajar yang mencapai tahap cemerlang iaitu (Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM)
melebihi 3.66. Secara amnya pencapaian akademik pada tahap kepujian adalah yang paling
tinggi iaitu 65.6% dan pada tahap baik adalah 33.1%. Oleh yang demikian, tahap
kecemerlangan akademik di kalangan pelajar semester akhir KKCP adalah di tahap yang
sederhana. Sekiranya keadaan ini berkekalan maka daya saing pelajar akan menjadi
berkurangan untuk merebut tempat di pasaran pekerjaan atau melanjutkan pengajian di
peringkat yang lebih tinggi. Permasalahan ini dilihat pada peringkat semester akhir kerana
ianya menjadi rujukan untuk mempersiapkan pelajar-pelajar semester satu dan dua ke
peringkat pencapaian akademik dan sahsiah yang lebih cemerlang. Berdasarkan kepada
penyata masalah ini, pengkaji ingin mengkaji: Permasalahan Yang Mempengaruhi
Pencapaian Akademik Pelajar Semester Akhir di Kolej Komuniti Chenderoh, Kementerian
Pengajian Tinggi Malaysia

Rajah 1: Kerangka Konsep

Masalah Keluarga
Pencapaian
ii. Masalah Rakan Sebaya Akademik

Masalah Disiplin
B. Objektif Kajian
Antara objektif kajian yang ingin dicapai dalam kajian ini adalah seperti berikut:
1. Mengetahui tahap pencapaian akademik di kalangan pelajar semester akhir.
2. Mengetahui masalah yang paling dominan seperti masalah keluarga, masalah rakan sebaya
dan masalah disiplin di kalangan pelajar semester akhir.
3. Mengetahui sama ada terdapat hubungan yang signifikan antara masalah keluarga, masalah
rakan sebaya dan masalah disiplin dengan pencapaian akademik pelajar tersebut.
4. Mengetahui sama ada terdapat perbezaan yang signifikan antara masalah keluarga, masalah
rakan sebaya dan masalah disiplin di kalangan pelajar semester akhir mengikut jantina.

C. Persoalan Kajian
Secara am, kajian ini direka bentuk untuk melihat aspek-aspek yang menyumbang ke arah
permasalahan dominan yang mempengaruhi pencapaian pelajar. Secara khususnya kajian ini
dijalankan untuk menjawab beberapa persoalan kajian seperti berikut:
1. Apakah pencapaian akademik pelajar semester akhir.
2. Apakah masalah yang paling dominan seperti masalah keluarga, masalah rakan sebaya dan
masalah disiplin di kalangan pelajar semester khir.
3. Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara masalah keluarga, masalah rakan sebaya
dan masalah disiplin dengan pencapaian akademik pelajar semester akhir.
4. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan antara masalah keluarga, masalah rakan sebaya
dan masalah disiplin mengikut jantina pelajar semester akhir.

D. Hipotesis
Ho1.0 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah keluarga, masalah rakan
sebaya dan masalah disiplin dengan pencapaian akademik pelajar.
Ho1.1 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah keluarga dengan
pencapaian akademik pelajar.
Ho1.2 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah rakan sebaya dengan
pencapaian akademik pelajar.
Ho1.3 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah disiplin dengan
pencapaian akademik pelajar.

Ho2.0 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara masalah keluarga, masalah rakan
sebaya dan masalah disiplin berdasarkan pencapaian pelajar mengikut jantina.
Ho2.1 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara masalah keluarga mengikut
Jantina pelajar
Ho2.2 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara masalah rakan sebaya
mengikut jantina pelajar.
Ho2.3 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara masalah disiplin mengikut
jantina pelajar

E. Kepentingan Kajian
Hasil kajian yang dijalankan ini diharap dapat memberi manfaat bagi menghadapi masalah
yang membelenggu pelajar semester akhir Kolej Komuniti Chenderoh. Kajian ini banyak
memberi panduan kepada pihak-pihak yang tertentu di dalam meneliti kelemahan serta
memperbaikinya. Memberi panduan yang berguna kepada pihak pengurusan Kolej Komuniti
Chenderoh dalam menyusun semua bentuk program yang sesuai kepada pelajar dalam
mengatasi masalah pencapaian akademik dan seterusnya meningkatkan kecemerlangan
pelajar. Selain itu, dapat membantu pihak kolej memberi tumpuan terhadap pemupukan nilai-
nilai murni di kalangan pelajar supaya mereka dapat menerima struktur dan peraturan kolej
sebagai panduan baik di dalam dan luar kawasan kolej. Pihak kolej juga berupaya merangka
strategi baru yang mampu melonjakkan bilangan pelajar cemerlang dalam akademik
Dengan ini diharapkan kolej akan menjadi institusi pilihan dikalangan pelajar untuk
meneruskan pengajian mereka dan sekaligus melahirkan generasi akan datang yang unggul
dan berwawasan sejajar dengan objektif penubuhan kolej komuniti.
.
F. Batasan Kajian
Penyelidikan ini tertumpu kepada masalah yang paling dominan seperti masalah keluarga,
masalah rakan sebaya dan masalah disiplin yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar
Kolej Komuniti Chenderoh Perak. Oleh itu, penyelidik telah memilih kumpulan sasaran iaitu
pelajar semester akhir di Kolej Komuniti Chenderoh untuk kajian ini. Pelajar-pelajar terlibat
juga terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan. Jumlah pelajar yang terlibat dalam kajian
ini adalah sebanyak 59 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Sijil Hotel dan Katering
dan Sijil Teknologi Elektrik di Kolej Komuniti Chenderoh. Sampel kajian ini dipilih secara
rawak iaitu secara persampelan rawak mudah.

II. SOROTAN PENULISAN

Prestasi akademik yang cemerlang merupakan penentuan pemahaman seseorang terhadap


proses pembelajaran. Secara tidak langsung pencapaian ini akan menentukan masa depan
yang lebih baik. Oleh itu, fokus pelajar terhadap pembelajaran adalah amat penting. Azizi dan
Mohamad Hassan (2010), menyatakan bahawa permasalahan yang dominan seperti masalah
keluarga, masalah rakan sebaya dan masalah disiplin perlu dibuat kajian secara berterusan
kerana ianya akan mengakibatkan institusi pendidikan di negara ini menjadi lemah.

A. Masalah Keluarga
Sejak dilahirkan pembentukan sahsiah, sikap serta persepsi seseorang individu terhadap
kehidupan akan datang banyak dipengaruhi oleh keluarganya. Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan yang suci (fitrah), ibu bapanyalah yang akan
menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
Latar belakang keluarga seperti status ekonomi, pegangan agama, budaya keluarga, sikap ibu
bapa terhadap nilai pendidikan akan menjadi asas pembentukan identiti individu pelajar.
Menurut Sharifuddin (1997), kajian menunjukkan bahawa pencapaian akademik mempunyai
hubungan yang signifikan dengan pendapatan ibubapa, tahap pendidikan ibubapa, matlamat
motivasi dan persekitaran sekolah. Pendidikan pada peringkat awal yang diperolehi di rumah
serta sokongan dan dorongan keluarga yang berterusan akan menjadi asas kepada kejayaan
pelajar .

B. Rakan Sebaya
Rakan sebaya merupakan mereka yang tergolong dalam kumpulan yang sama dan
mempunyai persamaan dari aspek minat, nilai dan aktivti yang dilakukan oleh rakan mereka
(Habibah, 1997). Sejauhmana seseorang pelajar bergantung kepada rakan sebaya adalah
dilihat kepada pengaruh tarikan yang ada pada diri individu itu. Apabila seseorang pelajar itu
yakin kepada rakan pilihannya maka hubungan mereka akan bertambah erat. Di sini
bermulanya pengaruh rakan sebaya terhadap seseorang pelajar. Menurut Hunter (1984),
dalam Azizi dan Mohamad Hassan (2010), rakan sebaya begitu berpengaruh dalam hidup
remaja sehingga mereka sanggup menghabiskan berjam-jam masa mereka bersama rakan
sebaya. Pencapaian yang cemerlang dalam mata pelajaran dipengaruhi oleh rakan sebaya. Ab
Halim (1994), menyatakan bahawa pelajar setuju rakan sebaya mempengaruhi tingkahlaku
mereka.
C. Masalah Disiplin
Disiplin bukan suatu sekatan tetapi suatu cara teratur dalam melaksanakan warisan budaya
bangsa. Disiplin memainkan peranan penting kearah pembentukan sahsiah para pelajar.
Menurut kamus dwi bahasa ‘Oxford Fajar Bakti’ disiplin adalah peraturan secara langsung
mengawal tingkahlaku pelajar. Disiplin secara amnya boleh ditakrifkan sebagai suatu bentuk
latihan bagi perkembangan mental dan fizikal serta sikap seseorang. Disiplin merupakan satu
komponen penting dalam sistem pendidikan di kolej komuniti. Ia berkait rapat dengan
tatatertib, tatasusila, keadaan akhlak dan kesopanan. Tahap disiplin yang tinggi secara
langsung meningkatkan prestasi pendidikan samada dalam bidang akademik atau
kokurikulum (Abdullah Sani, 2005).

III. METODOLOGI

Metodologi kajian merupakan cara sesuatu kajian itu ditadbir untuk memperolehi dapatan
dan keputusan kajian yang sah dan boleh dipercayai. Bahagian ini memfokuskan kepada
beberapa aspek tentang kaedah yang digunakan dalam kajian ini. Aspek-aspek ini
merangkumi reka bentuk kajian, populasi dan persampalan, instrumen kajian dan kaedah
analisis data.

A. Reka Bentuk Kajian


Rekabentuk kajian adalah teknik dan kaedah tertentu untuk mendapatkan maklumat yang
diperlukan bagi menyelesaikan masalah. Kajian yang dijalankan adalah secara deskriptif,
berbentuk tinjauan, menggunakan pendekatan kuantitatif dan borang soal selidik sebagai
instrumen kajian. Menurut Best and Khan (1998), tujuan utama kajian tinjauan adalah untuk
melihat pandangan dan pendapat kumpulan tertentu terhadap sesuatu subjek.

B. Populasi dan Persempalan


Kajian ini akan dijalankan di Kolej Komuniti Chenderoh, Kementerian Pengajian Tinggi
Malaysia. Populasi kajian ini adalah seperti dibawah:

Jadual 2: Populasi Responden Mengikut program


Sijil Hotel & Katering Sijil Teknologi Elektrik
Bil Responden /Program
L P L P
20 24 13 2
44 15
JUMLAH 59
(Sumber: Hal Ehwal Pelajar KKCP)

Berdasarkan data populasi responden di atas, pengkaji mengambil seramai 59 pelajar sebagai
responden dalam kajian ini. Menurut Krejcie and Morgan (1970), bilangan populasi seramai
59 orang maka bilangan sampel yang sesuai adalah ialah 53 orang.

C. Instrument Kajian
Kajian ini dijalankan menggunakan borang soal selidik sebagai instrument untuk
memperolehi data daripada responden. Set borang soal selidik ini dibahagikan kepada 4
bahagian iaitu:
Bahagian A: Latar Belakang Responden (3 soalan)
Bahagian B: Masalah Keluarga (10 soalan)
Bahagian C: Masalah Rakan Sebaya (10 soalan)
Bahagian D: Masalah Disiplin (10 soalan)
Borang soal selidik ini diadaptasikan daripada Azizi dan Mohamad Hassan (2010)
berdasarkan kepada persoalan kajian yang telah ditetapkan.
Penggunaan soal selidik sebagai instrumen kajian yang utama adalah untuk mendapatkan
data berkaitan tajuk dan objektif kajian. Menurut Arham (2006), rasionalnya adalah:
i. Responden bebas untuk memberikan jawapan tanpa dipengaruhi pengkaji.
ii. Pengumpulan data kajian dapat dijalankan dengan lebih cepat kerana borang soal
selidik dapat dijawab serentak oleh ramai responden.
iii. Responden hanya perlu menjawab soal selidik berdasarkan jawapan yang disediakan.

D. Kajian Rintis

Kajian rintis telah dilakukan untuk memastikan anggaran masa pentadbiran soal selidik,
kefahaman pelajar tentang kehendak soalan, dan kebolehpercayaan sesuatu item soal selidik
sebelum kajian sebenar dapat dilakukan. Satu kajian rintis juga telah dijalankan untuk
menentukan kesahan dan kebolehpercayaan instrumen kajian dan keputusannya item soalan
ini sesuai digunakan bagi kajian sebenar.

Kajian rintis dijalankan bertujuan untuk:


a. Menentukan dan memastikan arahan-arahan untuk menjawab soalan soal selidik adalah
jelas dan difahami.
b. Menentukan kesesuaian dan kefahaman item.
c. Menentukan sama ada bahasa yang digunakan adalah betul dan mudah difahami.

E. Kaedah Analisis Data


Data-data yang diperolehi dianalisis menggunakan perisian SPSS (Statistical Package for the
Social Sciences). Data-data ini diproses mengikut bahagian-bahagian yang terdapat dalam
soalan soal selidik. Item dalam bahagian A iaitu latarbelakang responden akan dianalisis
secara peratusan. Item-item yang terdapat di bahagian B, C dan D, data dianalisis
menggunakan kaedah purata skor min dan sisihan piawai. Bagi menguji hipotesis kajian,
Ho1.0 pengkaji menggunakan analisis kolerasi pearson iaitu untuk melihat terdapat hubungan
yang signifikan atau tidak di antara 2 pembolehubah. Hipotesis kajian Ho 2.0, pengkaji
mengunakan ujian T-test untuk melihat hubungan yang signifikan di antara permasalahan
mengikut jantina responden.

IV. ANALISIS KAJIAN

A. Program Pengajian Responden


Jadual 3: Taburan bilangan dan peratus responden mengikut program
Program Bilangan Peratusan (%)
Sijil Hotel dan Katering 41 74.5%
Sijil Teknologi Elektrik 14 25.5%
Jumlah 55 100%
Jadual 3 menunjukkan taburan bilangan dan peratusan responden mengikut program
pengajian. Seramai 55 responden telah mengambil bahagian dalam kajian ini dan didapati 41
(74.5%) terdiri daripada Program Sijil Hotel dan Katering dan 14 (25.5%) Program Sijil
Teknologi Elektrik.

B. Jantina Responden
Jadual 4: Taburan bilangan dan peratus responden mengikut jantina
Jantina Bilangan Peratusan (%)
Lelaki 27 50%
Perempuan 27 50%
Jumlah 54 100%
Jadual 4 menunjukkan taburan bilangan dan peratusan responden mengikut jantina. Seramai
55 responden telah mengambil bahagian dalam kajian ini dan didapati 27 (50%) terdiri
daripada lelaki dan perempuan, dan seorang responden tidak menyatakan status jantinanya.

C. HPNM (Himpunan Purata Nilai Mata) Responden


Jadual 5 : Taburan bilangan dan peratusan responden mengikut HPNM responden.
Tahap Pencapaian Akademik Bilangan Peratusan (%)
Cemerlang
7 13.2%
3.67 – 4.0
Kepujian
39 73.6%
3.00 – 3.66
Baik
7 13.2%
2.00 – 2.99
Jumlah 53 100%
Jadual 5 menunjukkan taburan bilangan dan peratusan responden mengikut tahap pencapaian
akademik. Dapatan kajian menunjukkan seramai 7 orang (13.2%) memperolehi HPNM yang
cemerlang, 39 orang (73.6%) kepujian, 7 orang (13.2%) baik dan 2 orang responden tidak
menyatakan status HPNM mereka.

D. Masalah Keluarga
Jadual 6: Taburan responden megikut peratusan, min dan sisihan piawai bagi masalah
keluarga (n=54)
Tahap Bilangan Peratusan (%)
Rendah 38 70.4%
Sederhana 14 25.9%
Tinggi 2 3.7%
Jumlah 54 100%
Min keseluruhan : 1.33 Sisihan Piawai : 0.55

Jadual 6 menunjukkan taburan responden mengikut tahap rendah, sederhana dan tinggi bagi
masalah keluarga. Dapatan menunjukkan majoriti responden iaitu seramai 38 orang dengan
peratusan 70.4 peratus berada pada tahap rendah, 14 orang responden bersamaan dengan 25.9
peratus berada pada tahap sederhana dan pada tahap tinggi seramai 2 orang responden dengan
peratusan 3.7 peratus. Pada keseluruhannya persepsi responden terhadap masalah keluarga
berada pada tahap rendah dengan skor min 1.33.

E. Masalah Rakan Sebaya


Jadual 7: Taburan responden mengikut tahap rendah, sederhana dan tinggi bagi masalah
rakan sebaya.
Tahap Bilangan Peratusan (%)
Rendah 35 66%
Sederhana 18 34%
Tinggi 0 0%
Jumlah 54 100%
Min keseluruhan : 1.34 Sisihan Piawai : 0.478

Jadual 7 menunjukkan taburan bilangan dan peratusan resonden mengikut tahap rendah,
sederhana dan tinggi bagi masalah rakan sebaya. Dapatan kajian menunjukkan tiada
responden yang berada pada tahap tinggi dan majority responden berada pada tahap rendah
iaitu 35 orang bersamaan 66 peratus. Selebihnya berada pada tahap sederhana iaitu 18 orang
dengan 34 peratus. Pada keseluruhannya persepsi responden terhadap masalah rakan sebaya
berada pada tahap rendah dengan skor min 1.34

F. Masalah Disiplin
Jadual 8: Taburan responden mengikut tahap rendah, sederhana dan tinggi bagi masalah
disiplin.
Tahap Bilangan Peratusan (%)
Rendah 43 78.2%
Sederhana 10 18.2%
Tinggi 2 3.6%
Jumlah 100%
Min keseluruhan : 1.25 Sisihan Piawai : 0.517
Jadual 8 menunjukkan taburan bilangan dan peratusan resonden mengikut tahap rendah,
sederhana dan tinggi bagi masalah rakan sebaya. Dapatan kajian menunjukkan seramai 34
orang responden berada pada tahap rendah iaitu 78.2% dan 10 orang responden iaitu 18.2
peratus berada pada tahap sederhana. 2 Responden berada pada tahap tinggi iaitu 3.6 peratus.
Pada keseluruhannya persepsi responden terhadap masalah disiplin berada pada tahap rendah
dengan skor min 1.23

G. Menguji Hipotesis Kajian


Ho1.0 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah keluarga, masalah rakan
sebaya dan masalah disiplin dengan pencapaian akademik pelajar.

Ho1.1 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah keluarga dengan
pencapaian akademik pelajar.
Jadual 9: Analisis hubungan kolerasi antara masalah keluarga dengan pencapaian akademik
pelajar.
Pencapaian Akademik Pelajar Signifikan, P Pearson, r
Masalah Keluarga .151 -.202

Jadual 9 menunjukkan hubungan kolerasi antara masalah keluarga dengan pencapaian


akademik. Nilai koefisien kolerasi Pearson, r = -.2.02 menunjukkan bahawa terdapat
hubungan negatif yang lemah antara pencapaian akademik pelajar dengan masalah keluarga.
Nilai P lebih daripada aras signifikan yang ditentukan 0.05 maka hipotesis nol 1.1 diterima
iaitu tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah keluarga dengan pencapaian
akademik pelajar. Interpretasi keputusan statistik adalah sekiranya pelajar mempunyai
pencapaian akademik yang baik maka mereka kurang menghadapi masalah keluarga.

Ho1.2 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah rakan sebaya dengan
pencapaian akademik pelajar.
Jadual 10: Analisis hubungan kolerasi antara masalah keluarga dengan pencapaian akademik
pelajar.
Pencapaian Akademik Pelajar Signifikan, P Pearson, r
Masalah Rakan Sebaya 0.097 -0.235
Jadual 10 menunjukkan hubungan kolerasi antara masalah rakan sebaya dengan pencapaian
akademik. Nilai koefisien kolerasi Pearson, r = -.235 menunjukkan bahawa terdapat
hubungan negatif yang lemah antara pencapaian akademik pelajar dengan masalah rakan
sebaya. Nilai P lebih daripada aras signifikan yang ditentukan 0.05 maka hipotesis nol 1.1
diterima iaitu tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah rakan sebaya dengan
pencapaian akademik pelajar. Interpretasi keputusan statistik adalah sekiranya pelajar
mempunyai masalah rakan sebaya maka pencapaian akademik akan merosot.

Ho1.3 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah disiplin dengan
pencapaian akademik pelajar.
Jadual 11: Analisis hubungan kolerasi antara masalah disiplin dengan pencapaian akademik
pelajar.
Pencapaian Akademik Pelajar Signifikan, P Pearson, r
Masalah Disiplin .313 -0.141

Jadual 11 menunjukkan hubungan kolerasi antara masalah disiplin dengan pencapaian


akademik. Nilai koefisien kolerasi Pearson, r = -.141 menunjukkan bahawa terdapat
hubungan negatif yang rendah antara pencapaian akademik pelajar dengan masalah rakan
sebaya. Nilai P lebih daripada aras signifikan yang ditentukan 0.05 maka hipotesis nol 1.1
diterima iaitu tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah disiplin dengan
pencapaian akademik pelajar. Interpretasi keputusan statistik adalah sekiranya pelajar
mempunyai masalah disiplin maka pencapaian akademik akan merosot.

Ho2.0 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara masalah keluarga, masalah rakan
sebaya dan masalah disiplin mengikut jantina.
Ho2.1 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara masalah keluarga mengikut
jantina.
Jadual 12: Analisis ujian-T berdasarkan masalah jantina.
Jantina Bil Min SP Ujian-T p
Lelaki 26 1.346 0.561
0.084 0.934
Perempuan 27 1.333 0.554

Jadual 12 menunjukkan keputusan kajian masalah keluarga mengikut jantina responden. Nilai
p yang diperolehi ialah 0.895 manakala aras signifikan yang ditetapkan ialah 0.05. Ini
menunjukkan bahawa kedua-dua kumpulan responden lelaki dan perempuan mempunyai
varian yang sama. Nilai p ini adalah tinggi untuk menunjukkan sebarang kecenderungan ke
arah signifikan. Ini bermakna hipotesis no yang menyatakan tidak terdapat perbezaan yang
signifikan antara masalah keluarga mengikut jantina gagal ditolak.

Ho2.2 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara masalah rakan sebaya
mengikut jantina.

Jadual 13: Analisis hubungan kolerasi antara masalah rakan sebaya dengan pencapaian
akademik pelajar.
Jantina Bil Min SP Ujian-T p
Lelaki 26 1.33 0.480
-0.198 0.844
Perempuan 27 1.36 0.480

Jadual 13 menunjukkan keputusan kajian masalah rakan sebaya mengikut jantina responden.
Nilai p yang diperolehi ialah 0.695 manakala aras signifikan yang ditetapkan ialah 0.05. Nilai
p ini adalah tinggi untuk menunjukkan sebarang kecenderungan ke arah signifikan. Dapatan
ini membolehkan untuk menerima hipotesis 2.2 yang menyatakan tidak terdapat perbezaan
yang signifikan antara masalah rakan sebaya.

Ho2.3 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara masalah disiplin mengikut
jantina
Jadual 14: Analisis hubungan kolerasi antara masalah disiplin dengan pencapaian akademik
pelajar.
Jantina Bil Min SP Ujian-T p
Lelaki 27 1.407 0.636
2.162 0.034
Perempuan 27 1.111 0.320

Jadual 14 menunjukkan keputusan kajian masalah disiplin mengikut jantina responden. Nilai
p yang diperolehi ialah 0.035 manakala aras signifikan yang ditetapkan ialah 0.05. Ini
menunjukkan bahawa kedua-dua kumpulan responden lelaki dan perempuan mempunyai
varian yang tidak sama. Nilai p ini adalah rendah untuk menunjukkan sebarang
kecenderungan ke arah signifikan. Ini bermakna hipotesis no yang menyatakan tidak terdapat
perbezaan yang signifikan antara masalah keluarga mengikut jantina ditolak.
V. PERBINCANGAN, CADANGAN DAN KESIMPULAN

A. Pengenalan

Bab ini akan merangkumi ringkasan kajian, dapatan kajian dan perbincangan, kesimpulan
kajian dan implikasi kajian. Pada akhir bab ini diberikan beberapa cadangan bagi
penyelidikan selanjutnya yang boleh dilakukan oleh penyelidik-penyelidik pada masa akan
datang.

B Ringkasan Kajian

Fokus utama dalam penyelidikan ini ialah ingin melihat permasalahan yang mempengaruhi
pencapaian akademik pelajar sama ada pelajar mempunyai masalah dengan keluarga, masalah
dengan rakan sebaya atau masalah disiplin. Selain itu, kajian ini dapat mengenalpasti
sejauhmanakah permasalahan ini dapat mempengaruhi pencapaian akademik mereka dan
seterusnya dapat menentukan sama ada terdapat perbezaan yang signifikan terhadap
permasalahan di kalangan pelajar perempuan dan lelaki.

Populasi kajian ini terdiri daripada pelajar-pelajar semester 4 Program Sijil Hotel dan
Katering, dan Sijil Teknologi Elektrik seramai 59 orang. Seramai 59 pelajar telah dipilih
sebagai sampel kajian. Daripada jumlah sampel tersebut, sebanyak 55 atau 93.2% borang soal
selidik telah dikembalikan dengan lengkap maklumatnya.

Data yang diperolehi daripada borang soal selidik telah dianalisis dengan menggunakan
program Statistical Package for Social Science (SPSS). Pada keseluruhannya aspek kajian
melibatkan pendekatan diskriptif untuk melihat bilangan dan peratusan latar belakang
responden, analisis kolerasi pearson untuk mengukur hubungan linear antara dua
pembolehubah yang dikaji dan ujian-t mengkaji perbezaan yang wujud di antara jantina
pelajar. Kesemua pengujian hipotesis dalam penyelidikan ini tahap signifikannya pada paras
0.05.

C. Dapatan dan Perbincangan

Sebagai menjawab persoalan kajian berhubung pencapaian akademik pelajar, didapati


majoriti pencapaian akademik pelajar berada pada tahap kepujian iaitu HPNM 3.00 hingga
3.66. Jumlahnya adalah seramai 39 orang atau 73.6 peratus. Selebihnya pelajar mendapat
cemerlang dan baik iaitu masing-masing 13.2 peratus.

Masalah yang dominan seperti masalah keluarga, masalah rakan sebaya dan masalah disiplin,
didapati pelajar semester akhir Kolej Komuniti Chenderoh kurang menghadapi masalah ini.
Kebanyakan pelajar menyatakan mereka tidak menghadapi masalah dengan keluarga, rakan
sebaya dan disiplin. Data menunjukkan lebih 66% pelajar berada pada tahap rendah. Tidak
lebih daripada 3.7% pelajar berada pada tahap tinggi dan sederhana. Ini mungkin disebabkan
oleh faktor usia dan pendidikan menyebabkan pelajar mampu mengatasi masalah mereka
dengan baik.

Pencapaian akademik pelajar menunjukkan tiada signifikan dengan masalah keluarga, rakan
sebaya dan disiplin. Ini bermakna tinggi atau rendahnya pencapaian akademik pelajar kurang
dipengaruhi oleh masalah ini. Namun begitu, nilai koefisien kolerasi pearson, r semuanya
negatif menunjukkan arah hubungan yang berkadar songsang iaitu sekiranya pencapaian
akademik pelajar meningkat maka masalah dihadapi oleh pelajar berkurangan dan sekiranya
pencapaian akademik pelajar menurun maka masalah yang dihadapi oleh mereka meningkat.
Berdasarkan hipotesis kajian didapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara
masalah keluarga dan rakan sebaya mengikut jantian pelajar. Ini bermaksud pelajar tidak
setuju yang mereka berhadapan dengan masalah keluarga dan rakan sebaya. Keadaan ini
berlaku kepada pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Namun begitu, lain pula keputusan
hipotesis bagi masalah disiplin, didapati masalah disiplin di kalangan pelajar lelaki dan
perempuan terdapat perbezaan. Pelajar lelaki lebih cenderung menghadapi masalah disiplin
berbanding dengan pelajar perempuan. Ini disumbangkan oleh masalah ponteng kelas,
merokok, datang lewat ke kuliah yang kebanyakannya dilakukan oleh pelajar lelaki.

D. Kesimpulan

Daripada kajian yang telah dijalankan, kesimpulan dapatan adalah seperti berikut:
1. Kebanyakan pelajar-pelajar di Kolej Komuniti Chenderoh mempunyai pencapaian
akademik pada tahap kepujian.
2. Masalah keluarga, masalah rakan sebaya dan masalah disiplin di kalangan pelajar
adalah pada tahap rendah
3. Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara masalah keluarga, masalah rakan
sebaya dan masalah disiplin dengan pencapaian akademik pelajar. Namun begitu,
hubungan permasalahan dengan pencapaian akademik adalah berkadar songsang iaitu
semakin tinggi masalah semakin rendah pencapaian akademik pelajar.
4. Tidak terdapat perbezaan dari segi masalah keluarga dan masalah rakan sebaya di
kalangan pelajar perempuan dan lelaki.
5. Terdapat perbezaan di antara pelajar lelaki dan perempuan di dalam masalah disiplin
iaitu pelajar lelaki lebih cenderong menghadapi masalah disiplin berbanding pelajar
perempuan.

E. Cadangan
Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan, pengkaji ingin mengemukakan beberapa syor
ke arah menambah baik pencapaian akademik pelajar di kalangan pelajar Kolej Komuniti
Chenderoh.

1. Peranan Kolej

Pihak kolej perlu memainkan peranan penting dalam membantu menangani dan
mengurangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar. Masalah yang boleh menyumbang ke
arah kemerosotan pencapaian pelajar seperti masalah disiplin haruslah diberi penekanan.
Penekanan yang boleh diberikan oleh pihak kolej adalah seperti motivasi kepada pelajar yang
bermasalah, menguatkuasakan undang-undang dan kempen
Pensyarah juga perlu memberi tunjuk ajar yang lebih sistematik disamping memberi tauladan
kepada pelajar dalam membentuk jati diri. Penerapan nilai-nilai murni dan penekanan dalam
aspek sahsiah dapat mengurangkan dan mengawal masalah disiplin pelajar.

Dalam konteks hubungan pihak kolej dengan waris atau ibu bapa pelajar, ianya perlu ada
hubungan yang sangat erat. Ini dapat membantu pihak kolej mengenalpasti masalah yang
dihadapi pelajar dengan ibu bapa mereka, disamping perbincangan boleh dibuat bagi
membantu pelajar menangani masalah mereka dan seterusnya boleh memberi fokus kepada
pembelajaran di kolej.

Aspek rakan sebaya pula, pihak kolej seharusnya memberi penekanan dalam membentuk
perihatin pelajar terhadap rakan mereka sendiri. Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dan
Pembimbing Rakan Sebaya perlu diperkemaskan lagi dan penubuhan kelab atau persatuan
yang melibatkan usaha membangunkan keyakinan kepada rakan sebaya sekaligus dapat
membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

2. Peranan Ibu Bapa

Masalah keluarga tidak menunjukkan hubungan yang kuat dengan masalah akademik pelajar.
Ini menandakan pelajar pelajar ini berdikari dalam menentukan pencapaian akademik
mereka. Tetapi harus diingat bahawa mereka masih memerlukan sokongan moral dan fizikal
daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa perlulah memberi kebahagian kepada mereka dengan
meluangkan masa, memberi sokongan moral dan fizikal kepada mereka. Sokongan fizikal
yang sedia ada banyak membantu pelajar antaranya perihatin dengan markah, kemudahan
pembelajaran, dan kelengkapan belajar di rumah atau rumah sewa.

Ibu bapa seharusnya meluangkan lebih masa berbanding hanya menyediakan kelengkapan
belajar semata-mata. Bagi ibu bapa yang bekerja syif yang berlainan, ibu bapa disarankan
untuk meluangkan lebihan masa mereka pada hari cuti minggu bersama dengan anak mereka
kerana anak-anak memerlukan perhatian yang lebih dan di samping itu juga ibu bapa dapat
mengenali anak mereka dengan lebih mendalam. Selain itu, sikap pilih kasih antara anak-
anak haruslah dihindari kerana ia akan mempengaruhi emosi anak sekaligus mempengaruhi
pembelajaran dan pencapaian akademik.

E. Cadangan Untuk Penyelidikan Akan Datang

Berdasarkan kepada dapatan kajian ini, pengkaji merasakan perlunya dibuat kajian lanjutan
untuk memperkukuh dan mendalami bidang kajian. Dalam kajian ini pengkaji hanya
tertumpu pada pelajar semester akhir dan di Kolej Komuniti Chenderoh sahaja. Untuk
penyelidikan akan datang dicadangkan agar responden diwakili oleh semua pelajar di Kolej
Komuniti Chenderoh. Dengan cara ini, dapatan adalah lebih menyeluruh dan lebih tepat lagi.

Kajian ini memfokuskan kepada tiga faktor yang menpengaruhi pencapaian akademik pelajar
sahaja, namun begitu terdapat banyak lagi faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi
pencapaian akademik pelajar seperti kaedah pengajaran dan pembelajaran, gaya pembelajaran
pelajar, kaedah penilaian pengajaran dan pembelajaran dan sebagainya. Diharap kajian akan
datang akan dapat merungkai dengan lebih luas lagi permasalahan yang dihadapi oleh pelajar.
Ini akan dapat membantu pihak pengurusan kolej untuk mengambil tindakan sewajarnya
untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar pada masa akan datang.
PENGHARGAAN

Kami ingin merakamkan ribuan terima kasih terutamanya kepada pengarah Kolej Komuniti
Chenderoh Perak, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua program dan rakan-rakan pensyarah yang
memberikan sepenuh sokongan di dalam menyiapkan kajian ini. Tidak lupa juga kepada
semua ahli keluarga yang banyak mendorong kami untuk terus berusaha sehinggalah siapnya
kajian ini.
RUJUKAN

Abdullah Sani Bin Yahya (2004). Mengurus Disiplin Pelajar, Siri Buku Pengurusan Khusus
Keperluan Para Pendidik Pahang. PTS Professional Sdn. Bhd
Ab Alim Abdul Rahim, (1994). Pengantar Psikologi Bilazim. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Arham, etl (2006) Faktor-faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan akademik pelajar

di Universiti Teknologi Malaysia. In: National Student Development Conference NASDEC) 2006,
8-9 August 2006, Kuala Lumpur, Malaysia.
Azizi Yahaya & Mohamad Hasan Omar (2010). Masalah
Disiplin. Fakulti Pendidikan UTM: http: //eprints.
utm.my/10399/1/30.9_Masalah_Disiplin.pdf
Baharin Mesir, etl (2006) Gaya hidup pelajar cemerlang dalam persekitaran kampus. In:
National Student Development Conference (NASDEC) 2006, 8-9 August 2006, Kuala
Lumpur, Malaysia.
Best, J.W. and Kahn, J.V (1994). “Research in Education.” 7th.ed. United State: A Division of
Simon and Schuster, Inc
Denial Golemen (1999). Emotional Intelligence. New York: Aplleton Century Crofts.
Habibah Elias dan Noran Fauziah Yaakub (1997). Psikologi Pendidikan . Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Howerd Gardner (1989). The theory of Multiple Intelligent. New York: Norton
Krejcie, R.V. dan Mogan, D.W.(1970). Determining sample saiz for research.
Educational and Psychological Measurement, 30, 607-610.

ALAMAT PENGARANG

1. Mohd Mohadir Bin Harun


Kolej Komuniti Chenderoh
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
mdir2006@yahoo.com
2. Mohd Rashidi Bin Omar
Kolej Komuniti Chenderoh
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
shidi_omar@yahoo.com
3. Ahmad Nashad Bin Zakaria
Kolej Komuniti Chenderoh
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
ahmadnashad@gmail.com

Anda mungkin juga menyukai