Anda di halaman 1dari 15

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/334774027

TINJAUAN EFIKASI KENDIRI PELAJAR BERDASARKAN KATEGORI SEKOLAH DAN


HUBUNGANNYA DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR SEKOLAH
MENENGAH HARIAN DI PERAK

Conference Paper · July 2019

CITATIONS READS
0 2,014

4 authors, including:

Wan Hanum Suraya Jamal Nordin Yunus


Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
20 PUBLICATIONS   16 CITATIONS    73 PUBLICATIONS   85 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Developing an Assessment and Accountability Framework for Preparing Quality Teachers for the Future View project

Developing and validating assessment and accountability framework to prepare quality future teachers View project

All content following this page was uploaded by Wan Hanum Suraya on 31 July 2019.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Tinjauan Efikasi Kendiri Pelajar Berdasarkan Kategori Sekolah dan Hubungannya
Dengan Pencapaian Akademik Pelajar Sekolah Menengah Harian di Perak
Dr. Wan Hanum Suraya binti Wan Mohamed,
Prof Madya Dr. Jamal @ Nordin bin Yunus,
Sekolah Kebangsaan Cator Avenue,
Lebuh Cator, 30450 Ipoh, Perak.

Abstrak
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti perspektif pelajar berdasarkan kategori
sekolah dan hubungan efikasi kendiri dengan pencapaian akademik. Kajian ini merupakan kajian
kuantitatif menggunakan reka bentuk tinjauan yang menggunakan alat ukur dari beberapa sumber.
Teknik pensampelan bertujuan digunakan bagi pemilihan sekolah, manakala teknik pensampelan
rawak mudah pula digunakan bagi pemilihan responden. Unit analisis ialah pelajar-pelajar
Tingkatan 4 di SMK di Perak yang dikategorikan oleh JPN sebagai berprestasi memberangsangkan
dan kurang memberangsangkan berdasarkan keputusan PMR 2012. Seramai 588 pelajar telah
menjawab soal selidik. Data dianalisis dengan menggunakan ujian-t dan korelasi. Dapatan kajian
menunjukkan terdapat perbezaan pandangan tentang efikasi kendiri oleh pelajar di kedua-dua
kategori sekolah. Dapatan kajian juga mendapati bahawa hubungan efikasi kendiri dengan
pencapaian akademik pelajar adalah rendah. Oleh yang demikian, kajian ini diharapkan mampu
menjadi penyelidikan perintis dalam melonjakkan keyakinan diri pelajar yang seterusnya
menyumbang kepada kecemerlangan akademik di Malaysia. Usaha-usaha ini seterusnya akan
menghasilkan sebuah generasi pelajar yang cekal mendepani cabaran globalisasi ilmu masakini
tanpa mengenal erti jemu dan putus asa demi sebuah kecemerlangan.
Kata Kunci: Efikasi Kendiri, Teori Efikasi Kendiri, Optimis Akademik, Galakan Terhadap Efikasi
Kendiri.
Pengenalan
Bagi memastikan pelajar terus gagah mendepani arus cabaran globalisasi dan modenisasi ilmu,
efikasi kendiri merupakan tunjang yang perlu berakar umbi dalam diri seorang pelajar. Tidak kira
apa pun jurusan dan jenis mata pelajaran yang dipelajari di sekolah, pelajar perlu memiliki tahap
efikasi kendiri yang kukuh agar mereka lebih berkeyakinan dalam menghadapi pembelajaran
mereka. Hambatan ini perlu dikejar oleh seluruh kategori pelajar di negara ini. Teori Efikasi oleh
Bandura wajar diteliti sepenuhnya agar ia bukan sekadar gah sebagai asas tetapi perlu
diaplikasikan oleh masyarakat pelajar yang masih ragu-ragu tentang kebolehan diri masing-
masing. Golongan pelajar-pelajar miskin, bermasalah pembelajaran, yang datang dari luar bandar,
mempunyai masalah disiplin, tekanan sosial yang tidak menentu, keluarga yang bermasalah dan
sebagainya merupakan golongan pelajar yang perlu memiliki tahap efikasi kendiri yang cukup
untuk sentiasa kental berhadapan dengan realiti kehidupan masing-masing. Perkara ini amat perlu
bagi mewujudkan kekuatan mental dan keseimbangan emosi mereka dalam menghadapi arus
gelombang ilmu masa kini yang mencabar (Schunk, 1991; Zimmerman, 2000).
Efikasi kendiri di kalangan pelajar bukan sahaja penting dalam meningkatkan pencapaian
akademik pelajar, tetapi ia juga merupakan satu cara berkesan yang dapat mempengaruhi
persekitaran dan situasi sesebuah organisasi. Efikasi kendiri yang tinggi mempunyai hubungan
yang amat signifikan dengan kecemerlangan pencapaian akademik dan mengurangkan kadar
ponteng yang kerap berlaku di sekolah. Apabila pelajar percaya pada keupayaan mereka, mereka
menjadi lebih bermotivasi dan berazam untuk melakukan yang lebih baik terhadap pembelajaran
mereka (Jungert & Rosander, 2010). Efikasi kendiri terbukti menjadi penentu kepada peningkatan
motivasi diri yang tinggi dan pemilihan strategi pembelajaran yang berkesan di kalangan pelajar
(Rohaty & Muhammed Yusuf, 2011).

Menyedari hakikat ini, kajian berasaskan efikasi kendiri perlu dijalankan sebagai panduan
dan pendedahan bagi membantu pentadbir sekolah dan juga warga pendidik supaya sentiasa
bersedia untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik pelajar ke tahap yang lebih cemerlang.
Efikasi kendiri merupakan aspek penting yang berperanan besar dalam membantu pelajar
melonjakkan mutu pencapaian mereka dalam akademik.

Penyataan Masalah

Dalam konteks sekolah-sekolah di Malaysia, terdapat banyak persamaan yang wujud bukan sahaja
dari segi infrastruktur, bentuk bangunan, kurikulum, kemudahan, jadual waktu, program, buku
teks, bahkan guru-guru yang mengajar merupakan guru-guru yang terlatih dari maktab-maktab
perguruan, atau universiti-universiti tempatan di mana mereka dilatih dengan menggunakan
kurikulum yang sama (Rusni, 2005). Dengan adanya ciri-ciri yang serupa ini, pencapaian
akademik pelajar diharapkan menunjukkan prestasi yang sama antara sekolah-sekolah. Walau
bagaimanapun, keputusan peperiksaan didapati berbeza-beza. Walaupun pencapaian peperiksaan
PMR, SPM dan STPM bagi empat tahun berturut-turut bermula dari 2009 hingga ke tahun 2012
bagi negeri Perak menunjukkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) dan Purata Nilai Gred
Kumulatif (PNGK), namun masih ketara jurang pencapaian sekolah kategori bandar dan luar
bandar (Jabatan Pelajaran Negeri Perak, 2012a).

Setiap kali keputusan peperiksaan utama diumumkan, salah satu isu yang diberikan
perhatian khusus ialah perbezaan kejayaan atau kegagalan yang diperoleh pelajar luar bandar dan
bandar. Keputusan peperiksaan yang diumumkan menunjukkan perbezaan dan jurang pencapaian
antara sekolah luar bandar dan bandar yang masih ketara, walaupun bilangan pelajar luar bandar
lebih besar serta meliputi semua kaum (KPM, 2012). Masyarakat Melayu luar bandar hidup dalam
keadaan kemiskinan yang serius. Tahap pendidikan keluarga miskin yang rendah turut memberi
kesan kepada anak-anak dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna (Siti Masayu Rosliah,
2008).

Di samping itu, remaja khususnya pelajar di Malaysia hari ini perlu dibantu agar terus
berupaya dan cekal mengharungi arus ledakan ilmu. Komitmen mereka terhadap pelajaran dan
persekolahan tidak seharusnya terkubur di tengah jalan. Sekiranya tiada dorongan dari mana-
mana pihak yang bertanggungjawab, pelajar-pelajar yang keciciran dan bermasalah pembelajaran
akan terus merasa tersisih, hilang semangat untuk terus belajar, ponteng atau terus berhenti
sekolah. Ini bukanlah senario yang diimpikan di Malaysia. Dalam National Education Blueprint
(NEB) (2008) yang seterusnya ditambahbaik dalam National Key Result Areas (NKRAs), Ini
selaras dengan cita-cita Malaysia untuk mengembangkan kualiti modal insan, mengutamakan
sistem nilai, disiplin, moral dan sikap pelajar supaya dapat melahirkan generasi pelajar yang
berdaya maju, inovatif, kreatif dan berdaya saing (Sharifah Azizah & Rosna, 2011). Hasrat ini
tidak wajar dibiarkan berkubur begitu sahaja tanpa pembelaan.

Justeru, kajian ini mensasarkan untuk mengkaji semula keberkesanan efikasi kendiri dalam
mempengaruhi pencapaian akademik. Dengan adanya kajian seperti ini, diharapkan efikasi pelajar
sekolah-sekolah di Malaysia akan dapat ditingkatkan dan seterusnya masalah pembelajaran dan
keyakinan diri pelajar akan dapat diperbaiki ke tahap yang lebih baik dan berkesan.

Objektif Kajian

1. Mengenal pasti samaada wujud perbezaan perspektif pelajar berdasarkan kategori sekolah
mengenai efikasi kendiri yang mempengaruhi pencapaian akademik.
2. Mengenal pasti samaada wujud perkaitan yang signifikan antara efikasi kendiri dengan
pencapaian akademik.

Soalan Kajian

1. Adakah wujud perbezaan perspektif pelajar berdasarkan kategori sekolah mengenai efikasi
kendiri yang mempengaruhi pencapaian akademik?
2. Apakah wujud perkaitan yang signifikan antara efikasi kendiri dengan pencapaian akademik
pelajar?

Hipotesis Kajian

1. Tidak wujud perbezaan perspektif pelajar berdasarkan kategori sekolah yang signifikan
mengenai efikasi kendiri yang mempengaruhi pencapaian akademik.
2. Tidak wujud perkaitan yang signifikan antara efikasi kendiri dengan pencapaian akademik
pelajar.

Pendekatan Teori

Teori merupakan asas yang mendasari sesebuah kajian yang merupakan serangkaian pemboleh
ubah, definisi, dan dalil yang saling berhubungan mengenai sesuatu fenomena dengan menentukan
hubungan antara pemboleh ubah-pemboleh ubah yang terlibat dalam kajian ini. Teori ini juga
merujuk kepada idea atau pemikiran ilmuwan-ilmuwan terdahulu. Di antara teori yang mendasari
kajian ini ialah Teori Efikasi Kendiri Albert Bandura (1977) dan Model Jangkaan Efikasi Kendiri
oleh Betz.

Sintesis Teori Efikasi Kendiri Albert Bandura (1977)

Bandura (1996) memperkenalkan efikasi kendiri sebagai salah satu komponen dalam teori kognitif
sosial. Beliau mendefinisikan efikasi kendiri sebagai jangkaan seseorang bahawa dia telah
bertingkah laku seperti yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu natijah (Bandura, 1977).
Teori ini menyatakan bahawa tingkah laku yang bermotivasi tinggi adalah merujuk kepada proses
kognitif secara sedar, melibatkan keupayaan untuk menjangka matlamat dan ganjaran,
pertimbangan, penilaian dan penetapan keputusan. Teori ini juga menerangkan tentang aras
keyakinan individu terhadap kemampuan untuk melaksanakan tugasan tertentu (Bandura, 1997).

Bandura (1977) menyatakan bahawa individu yang mempunyai efikasi kendiri yang tinggi
dapat bekerja dengan lebih tekun dan rajin walaupun berada dalam situasi kesusahan berbanding
mereka yang ragu-ragu terhadap kebolehan mereka. Schunk (1989) turut menyatakan bahawa
keberkesanan diri memainkan peranan yang penting semasa pembelajaran akademik. Sekiranya
individu itu tidak yakin akan keupayaan mereka, mereka tidak akan berusaha untuk mencapai apa
jua matlamat yang mereka impikan. Dengan kata lainnya, kepercayaan seseorang terhadap
kompetensi mereka dalam menghasilkan sesuatu akan menyebabkan mereka lebih bersemangat
dan bermotivasi untuk mencapai sesuatu tujuan atau matlamat (Mostafa & Sajad, 2011).

Diri kita sendiri adalah sumber pengaruh yang besar dan kuat. Jiwa, perasaan dan fikiran
kita mempengaruhi sikap dan tabiat kita. Kita meneruskan atau mengubah sikap kita kerana adanya
faktor pengukuh yang mempengaruhi perilaku kita. Menurut teori Bandura, terdapat dua jenis
faktor pengukuh. Faktor yang pertama ialah faktor di luar diri kita, iaitu perkara yang kita alami
secara langsung akibat perilaku kita. Faktor pengukuh yang kedua ialah faktor yang datang
daripada sistem yang ada dalam diri kita sendiri. Sistem seperti konsep diri dan estim diri ada
dalam jiwa tiap-tiap manusia. Sistem itu mempengaruhi sikap, tabiat dan perilaku kita (Abdullah
& Ainon, 1997).

Sememangnya, teori efikasi kendiri oleh Albert Bandura ini mempunyai kesan yang amat
penting terhadap motivasi seseorang (Bandura, 1986; 1997). Pajares (1997) juga mendapati
bahawa efikasi kendiri boleh memberi kesan terhadap pilihan yang dibuat, usaha yang dilakukan,
dan ketabahan hati seseorang dalam menghadapi rintangan, tekanan dan kebimbangan. Secara
terperinci, pelajar yang mempunyai kepercayaan kendiri yang tinggi didapati lebih tabah apabila
berdepan dengan cabaran dan didapati lebih berjaya dalam akademik mereka (Schunk, 1990;
Wang & Pape, 2007). Jika individu mempunyai emosi yang positif, mereka akan mempunyai
efikasi yang tinggi terhadap sesuatu perkara atau aktiviti yang diceburi mereka. Sekiranya mereka
sentiasa berada dalam keadaan stres, efikasi kendiri terhadap aktiviti yang dijalankan juga akan
menjadi rendah (Bandura, 1977).

Model Jangkaan Efikasi Kendiri

Menurut Betz (2004), tingkah laku mendekati menjelaskan perkara-perkara yang cuba dilakukan
oleh individu dan tingkah laku menjauhi ialah perkara yang tidak akan cuba oleh individu. Individu
yang berefikas tinggi cuba mencari pelbagai maklumat tentang ilmu yang dipelajari dan cuba
menguasai ilmu tersebut sebaik mungkin dengan kesungguhan yang terbaik. Bagi individu yang
berefikasi rendah, tindak tanduk mereka selalunya disusuli dengan sikap negatif dan sentiasa
berkeadaan bimbang. Perkara ini boleh melemahkan pencapaian mereka. Efikasi kendiri juga
memberi kesan terhadap ketekunan. Ketekunan adalah mustahak untuk kegiatan jangka panjang
seseorang. Bagi individu yang berefikasi tinggi, mereka akan tekun untuk cuba mengatasi
halangan tersebut dengan pelbagai cara. Bagi yang berefikasi rendah pula, mereka akan menerima
sahaja hakikat dan terus-menerus statik dalam situasi tersebut. Model Jangkaan Efikasi Betz
diringkaskan seperti dalam Rajah 1.

Kejayaan Prestasi Mendekati atau Menjauhi

Pembelajaran Vikarius
Pencapaian
Tingkah
Keyakinan Sosial Laku
Efikasi Ketekunan
Kendiri
Keadaan emosi

Rajah 1. Model Jangkaan Efikasi Kendiri


Sumber: Betz (2004)

Reka bentuk Kajian

Kajian ini merupakan kajian kuantitatif yang menggunakan kaedah tinjauan. Penyelidik
menggunakan reka bentuk ini kerana dirasakan lebih sesuai berbanding dengan reka bentuk kajian
yang lain. Kaedah ini dirasakan lebih bertepatan memandangkan responden yang terlibat dalam
kajian ini ialah pelajar. Jumlah pelajar di negeri ini juga besar. Justeru, kaedah tinjauan ini
diharapkan dapat menyediakan jawapan kepada soalan-soalan dan maklumat yang tepat berkenaan
kumpulan yang besar dengan menggunakan sampel yang kecil (Noraini, 2010). Kaedah ini dapat
mengumpul data berhubung dengan fenomena yang tidak dapat diperhatikan secara langsung. Ia
sering dan sesuai digunakan untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku (Mohd
Majid, 1990), mengambil data dalam satu masa tertentu sahaja, dan dapat memberi penjelasan
yang menyeluruh dan tepat tentang sesuatu persoalan yang dikaji. Menurut Creswell (2008), reka
bentuk kajian tinjauan adalah salah satu prosedur kajian kuantitatif di mana penyelidik mentadbir
satu tinjauan terhadap sampel populasi untuk menggambarkan tentang sikap, pendapat, tingkah
laku, atau ciri-ciri populasi tersebut. Kajian tinjauan juga sering dijalankan dalam penyelidikan
pendidikan (Mohd. Majid, 2000).

Selain itu, penyelidik menggunakan kaedah kajian korelasi untuk mengkaji hubungan
antara pemboleh ubah (efikasi kendiri dan pencapaian akademik). Kajian korelasi mengkaji
perkaitan antara pemboleh ubah-pemboleh ubah yang wujud dalam sesuatu masalah dan menguji
hipotesis (Sekaran, 2000). Ia memberi penekanan kepada penentuan sejauh mana kaitan antara
pemboleh ubah-pemboleh ubah (Mohd. Majid, 2000). Kajian ini juga mengaplikasikan kaedah
tinjauan keratan rentas (cross-sectional) berdasarkan kepada soal selidik yang dijawab oleh
pelajar-pelajar Tingkatan 4 sebagai responden. Kaedah tinjauan rentas digunakan disebabkan data
dipungut pada suatu masa (Gay, Mills, & Airasian, 2009; Wiersma & Jurs, 2005; Zikmund, Babin,
Carr, & Griffin, 2010).
Populasi Kajian

Terdapat sepuluh daerah di Negeri Perak iaitu Batang Padang, Manjung, Kinta Utara, Kinta
Selatan, Kerian, Kuala Kangsar, Hilir Perak, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak dan Perak
Tengah. Sekolah-sekolah ini terdiri daripada kategori sekolah menengah kebangsaan kawasan
bandar dan luar bandar di negeri Perak. Terdapat 200 buah sekolah menengah kebangsaan di negeri
Perak, yang mana 104 buah sekolah dikelaskan sebagai sekolah kategori bandar dan 96 buah
sekolah lagi dikelaskan sebagai sekolah kategori luar bandar. Jumlah kelas di semua sekolah
menengah kebangsaan pula ialah 1243 buah (JPN, 2012b).

Sampel Kajian

Sampel didefinisikan sebagai unit yang perlu dikenal pasti ketika memilih dan menetapkan sampel
yang digunakan. Ini adalah untuk memastikan sampel yang dipilih mempunyai kesimpulan yang
sah untuk dirujuk kepada keseluruhan populasi atau sub populasi yang ada (Wiersma & Jurs,
2005). Kaedah persampelan yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah persampelan tujuan
(purposive sampling) dan persampelan rawak (random sampling). Dalam persampelan bertujuan
(juga dikenali sebagai judgment sampling), sampel yang dipilih melibatkan pertimbangan
individu, iaitu berdasarkan pengetahuan penyelidik dan tujuan khas penyelidikan (Noraini, 2010;
Sekaran & Bougie, 2009). Dalam persampelan bertujuan, sekumpulan subjek mempunyai ciri-ciri
tertentu yang dipilih sebagai responden kajian. Subjek-subjek kajian lain dalam populasi tidak
berpeluang untuk dipilih sebagai responden (Chua, 2006). Manakala dalam persampelan rawak,
setiap ahli populasi mempunyai peluang yang sama untuk dipilih sebagai ahli sampel. Cara ini
adalah yang terbaik untuk mendapatkan sampel daripada saiz populasi yang besar. Jadual nombor
rawak yang terdapat dalam buku statistik boleh digunakan untuk memilih sampel rawak. Jadual
tersebut ialah senarai nombor yang tidak mempunyai susunan tertentu. Komputer pula boleh
membantu sekiranya saiz populasi besar. Kelebihan persampelan rawak mudah ialah jika sampel
besar maka sampel tersebut akan mewakili populasi (Noraini, 2010; Mohd. Majid, 2000).

Jadual 1 menunjukkan teknik persampelan yang digunakan oleh penyelidik:

Jadual 1

Teknik Persampelan

Unit yang dianalisis Kaedah Persampelan yang digunakan


Pemilihan sekolah kajian Persampelan Tujuan (Purposive Sampling)
Pemilihan Pelajar Tingkatan 4 (responden) Persampelan Rawak (Random Sampling)

Dalam kajian ini, pengkaji telah menetapkan untuk memilih 20 sekolah yang telah
mendapat keputusan peperiksaan PMR tertinggi dan 20 sekolah yang menunjukkan pencapaian
PMR yang kurang memberangsangkan pada tahun 2012. Pengkaji memilih untuk menjalankan
kajian terhadap pelajar-pelajar Tingkatan 4 pada tahun 2012.
Dalam menentukan sampel, pengkaji telah mengenal pasti bilangan pelajar Tingkatan 4 di
semua sekolah menengah kebangsaan di Perak. Berdasarkan jadual Krecjie dan Morgan (1970)
dan Cohen (1977), pengkaji perlu memilih seramai sekurang-kurangnya 364 orang pelajar
daripada sekolah-sekolah yang terlibat. Walau bagaimanapun, pengkaji mengedarkan soal selidik
kepada 588 orang bagi mengelakkan terjadinya kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini
seperti borang soal selidik rosak, hilang atau tidak dijawab. Pengkaji juga telah melihat klasifikasi
kepada komposisi bilangan pelajar yang berada di kelas cemerlang, sederhana dan lemah bagi
sekolah-sekolah tersebut. Pemilihan secara rawak melibatkan 12 hingga 13 orang pelajar
(maksimum 15 orang) dari setiap sekolah mengikut kategori kelas cemerlang, sederhana dan lemah
telah dilakukan dengan merujuk kepada keputusan peperiksaan PMR tahun 2012. Subjek yang
dipilih adalah daripada Tingkatan 4 pada tahun 2013. Pengkaji menggunakan teknik rawak mudah
yang disarankan dalam jadual nombor rawak yang terdapat dalam buku statistik untuk memilih
sampel rawak. Jadual tersebut ialah senarai nombor yang tidak mempunyai susunan tertentu.
Kelebihan persampelan rawak mudah ialah saiz sampel yang besar akan mewakili populasi
(Noraini, 2010; Mohd. Majid, 2000).

Instrumen Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah pemerolehan data melalui soal selidik. Soal selidik merupakan
alat ukur yang digunakan dalam penyelidikan pendidikan untuk mendapatkan maklumat
berkenaan fakta-fakta, kepercayaan, perasaan, kehendak dan sebagainya. Soal selidik bukan sahaja
lebih praktikal dan berkesan untuk digunakan dalam populasi yang besar, bahkan ia sesuai
digunakan bagi mengukur faktor-faktor yang terbatas skopnya (Wiseman, 1999). Dalam hal ini,
soal selidik dapat mengukur ciri-ciri atau pemboleh ubah yang hendak diukur daripada saiz sampel
yang banyak. Keupayaan soal selidik menggunakan sampel yang banyak akan meningkatkan
ketepatan anggaran statistik sampel untuk menganggarkan parameter populasi. Seterusnya
penggunaan saiz sampel yang besar mengurangkan ralat persampelan (Mohd Majid, 2000). Soal
selidik juga boleh dihantar kepada responden sama ada melalui pos atau emel dan ia tentunya lebih
murah berbanding kaedah-kaedah lain. Ia lebih pantas, dan meliputi jangkauan lokasi dan
kedudukan geografi yang lebih luas. Responden juga akan merasa lebih yakin untuk mengutarakan
pendapat kerana mereka tidak dipengaruhi oleh pengkaji dalam memberikan pendapat atau
jawapan (Best & Kahn, 2006; Zainuddin, 2012).

Tatacara Penganalisisan Data

Penganalisisan data menggunakan analisis inferensi. Kajian ini menggunakan ujian parametrik.
Statistik inferensi yang digunakan ialah ujian-t dan analisis korelasi Pearson untuk menjawab
persoalan kajian. Analisis-analisis ini digunakan untuk melihat perbezaan dan perhubungan antara
pemboleh ubah dengan pemboleh ubah. Data yang dikumpulkan dianalisis dengan menggunakan
SPSS versi 21.0 (Statistical Packages For Social Sciences 21.0) bagi menjawab kesemua
persoalan kajian.
Ujian-t. Perbandingan Efikasi Kendiri Dari Perspektif Pelajar di Sekolah Berpencapaian
Tinggi dan Sekolah Berpencapaian Rendah

Dapatan ujian ini menunjukkan wujudnya perbandingan efikasi kendiri dari perspektif pelajar di
sekolah berpencapaian tinggi dan pelajar di sekolah berpencapaian rendah. Hipotesis kajian yang
dibina adalah berdasarkan soalan kajian kedua belas iaitu: Adakah wujud perbezaan perspektif
pelajar berdasarkan kategori sekolah mengenai efikasi kendiri yang mempengaruhi pencapaian
akademik? Bagi menentukan kesignifikan pandangan antara pelajar di sekolah berpencapaian
tinggi dengan pelajar di sekolah berpencapaian rendah, satu hipotesis nul telah dibentuk dan diuji.
Analisis yang digunakan untuk melihat perbezaan min antara pelajar berpencapaian tinggi dan
pelajar berpencapaian rendah adalah ujian-t. Ujian ini digunakan untuk menguji hipotesis yang
berikut:
Ho 1 : Tidak wujud perbezaan perspektif pelajar berdasarkan kategori sekolah yang signifikan
mengenai efikasi kendiri yang mempengaruhi pencapaian akademik.

Jadual 2 menunjukkan dapatan ujian-t bagi efikasi kendiri antara pelajar di sekolah
berpencapaian tertinggi dan di sekolah pencapaian terendah. Dapatan memperlihatkan terdapat
perbezaan efikasi antara pelajar sekolah berpencapaian tertinggi (min=4.16) dan pelajar di sekolah
berpencapaian terendah (min=4.03), iaitu t (586)= 2.66, p<0.05. Dari analisis statistik inferensi
ini maka hipotesis nul yang menyatakan bahawa tidak terdapat perbezaan efikasi kendiri antara
pelajar-pelajar di kedua-dua jenis sekolah tersebut adalah ditolak. Dapatan ini menjelaskan bahawa
efikasi kendiri pelajar sekolah berpencapaian tertinggi dan pelajar di sekolah berpencapaian
terendah adalah berbeza.

Jadual 2
Ujian-t. Perbandingan Antara Pandangan Pelajar di Sekolah Berpencapaian Tinggi dan Sekolah
Berpencapaian Rendah Mengenai Pengaruh Efikasi Kendiri Terhadap Pencapaian Akademik

Komponen Kumpulan Bil Min Sisihan Nilai t df Tahap


Efikasi Kendiri Piawai Sig.
Optimis Sekolah Pencapaian 290 4.17 0.54 4.15 586 **0.00
Akademik Tertinggi 298 3.96 0.66
Sekolah Pencapaian
Terendah

Galakan Sekolah Pencapaian 290 4.15 0.80 0.92 586 0.35


Terhadap Tertinggi 298 4.09 0.75
Efikasi Kendiri Sekolah Pencapaian
Terendah
Efikasi Kendiri Sekolah Pencapaian 290 4.16 0.58 2.66 586 **0.00
Tertinggi 298 4.03 0.63
Sekolah Pencapaian
Terendah
**Signifikan pada aras p<0.05
Berdasarkan analisis ujian-t pada jadual, penerangan yang lebih terperinci mengenai
komponen-komponen dalam efikasi kendiri menunjukkan bahawa skor min pelajar sekolah
berpencapaian tertinggi bagi komponen optimis akademik adalah 4.17, manakala skor min bagi
pelajar sekolah berpencapaian terendah pula ialah 3.96. Ujian-t menunjukkan terdapat perbezaan
yang signifikan yang mana t (586)=4.15, p<0.05. Skor min pelajar di sekolah berpencapaian
tertinggi terhadap komponen galakan terhadap efikasi kendiri pula ialah 4.15 manakala skor min
bagi pelajar di sekolah berpencapaian terendah pula ialah 4.09. Komponen ini tidak menunjukkan
perbezaan yang signifikan iaitu berada di tahap 0.35 yang mana t =0.92, p>0.05.

Hubungan Antara Efikasi Kendiri Dengan Pencapaian Akademik Pelajar

Analisis yang digunakan untuk melihat hubungan komponen-komponen dalam efikasi kendiri
dengan pencapaian akademik pelajar adalah Korelasi Pearson r. Dapatan ujian ini menunjukkan
wujud atau tidak hubungan antara pemboleh ubah bebas efikasi kendiri dan pemboleh ubah
bersandar pencapaian akademik. Hipotesis kajian yang dibina adalah berdasarkan soalan kajian
kelima belas iaitu: Apakah wujud perkaitan yang signifikan antara efikasi kendiri dengan
pencapaian akademik pelajar? Ujian ini akan digunakan untuk menguji hipotesis yang berikut:

Ho 2: Tidak wujud perkaitan yang signifikan antara efikasi kendiri dengan pencapaian akademik
pelajar.

Jadual 3
Korelasi Pearson (Efikasi Kendiri dengan Pencapaian Akademik)
M SP 1 2 3 4
1 4.09 .61 .839** .903** .196**
2 4.07 .61 .525** .277**
3 4.12 .77 .088*
4 26.37 7.55
** p < .01, n = 588
Petunjuk:
1 : Efikasi Kendiri
2 : Optimis Akademik
3 : Galakan Terhadap Efikasi Kendiri
4 : Pencapaian Akademik

Hasil analisis inter-korelasi di atas menunjukkan korelasi yang sangat kuat antara efikasi
kendiri dengan komponen-komponennya yang dikaji. Berdasarkan Jadual 3 di atas, jelas
menunjukkan bahawa komponen seperti optimis akademik (r=0.839) dan galakan terhadap efikasi
kendiri (r=0.903) mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan pemboleh ubah efikasi kendiri.
Semua korelasi tersebut signifikan pada p<0.01.

Walau bagaimanapun, hubungan efikasi kendiri dengan pencapaian akademik pelajar


secara keseluruhannya berada pada tahap yang rendah, iaitu nilai kekuatan hubungannya ialah
r=0.196. Hal ini jelas dipaparkan dalam kedua-dua komponen efikasi yang menunjukkan nilai
korelasi yang berada di tahap yang rendah iaitu optimis akademik (r=0.277) dan hubungan yang
boleh diabaikan iaitu komponen galakan terhadap efikasi kendiri (r=0.088).
Berdasarkan jadual tersebut, semua komponen dalam efikasi kendiri didapati mempunyai
korelasi yang signifikan dan kuat iaitu p<0.01. Namun, terdapat satu komponen yang menunjukkan
nilai korelasi yang masih signifikan pada aras p<0.05. Komponen tersebut ialah galakan terhadap
efikasi kendiri.

Keputusan analisis menunjukkan bahawa pelajar-pelajar mempunyai tanggapan bahawa


efikasi kendiri mereka mempunyai hubungan yang kuat dengan kedua-dua komponen efikasi yang
dikaji; namun tidak mempunyai hubungan dengan keputusan peperiksaan mereka sewaktu PMR.

Perbezaan Persepsi Antara Pelajar Di Sekolah Berpencapaian Tinggi dan Pelajar Di


Sekolah Berpencapaian Rendah Dalam Pemboleh Ubah Efikasi Kendiri

Dapatan menunjukkan terdapat perbezaan efikasi antara pelajar sekolah berpencapaian


tinggi dan pelajar di sekolah berpencapaian rendah. Dapatan ini menjelaskan bahawa efikasi
kendiri pelajar sekolah berpencapaian tertinggi dan pelajar di sekolah berpencapaian terendah
adalah berbeza, terutamanya dalam komponen optimis akademik.

Dapatan kajian ini selari dengan pandangan yang diberikan oleh Usher dan Pajares (2006)
yang menyatakan bahawa efikasi kendiri merupakan satu entiti penting yang membezakan antara
pelajar berpencapaian tinggi, pelajar berpencapaian sederhana dengan pelajar berpencapaian
rendah. Lebih tinggi pencapaian pelajar dalam CGPA, lebih konservatif dan berhati-hati pelajar
tersebut dalam peperiksaan. Lebih pesimis pelajar dalam pencapaian, lebih sedikit masa
diperuntukkan untuk belajar (Tho, 2006). Perkara inilah yang membezakan antara pelajar yang
berkeyakinan tinggi dengan pelajar yang rendah efikasinya, kerana pelajar yang yakin dengan
kebolehan mereka akan menggunakan sepenuh tenaga dan keupayaan mereka untuk mencuba
melakukan sesuatu dengan sehabis baik. Manakala pelajar yang tiada keyakinan kendiri akan
mudah merasa putus asa dan kecewa apabila didepani dengan kegagalan walaupun hanya sekali.

Hubungan Antara Efikasi Kendiri dan Pencapaian Akademik Pelajar

Terdapat korelasi yang sangat kuat antara efikasi kendiri dengan komponennya yang dikaji.
Komponen-komponen seperti optimis akademik (r=0.839) dan galakan terhadap efikasi kendiri
(r=0.903) mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan pemboleh ubah efikasi kendiri.

Walau bagaimanapun, hubungan efikasi kendiri dengan pencapaian akademik pelajar


secara keseluruhannya berada pada tahap yang rendah (r=0.196). Hal ini jelas dipaparkan dalam
kedua-dua komponen efikasi yang menunjukkan nilai korelasi yang berada di tahap yang rendah
iaitu optimis akademik (r=0.277) dan hubungan yang boleh diabaikan iaitu komponen galakan
terhadap efikasi kendiri (r=0.088).

Keputusan analisis menunjukkan bahawa pelajar-pelajar mempunyai tanggapan bahawa


efikasi kendiri mereka mempunyai hubungan yang kuat dengan kedua-dua komponen efikasi yang
dikaji; namun tidak mempunyai hubungan dengan keputusan peperiksaan mereka sewaktu PMR.
Ini menunjukkan bahawa pencapaian pelajar tidak mempunyai hubungan atau mempunyai
hubungan yang rendah dengan efikasi kendiri mereka. Dapatan ini tidak selari dengan dapatan
kajian-kajian lepas seperti Jerusalem dan Hesslig (2009); Muhammed Yusuf (2011); serta Pajares
(1994, 1997). Walau bagaimanapun, dapatan ini menyokong kajian oleh Mohamad Azrien dan
Mohd Alwee (2009) yang mendapati bahawa faktor efikasi kendiri tidak mempengaruhi
pencapaian mata pelajaran Bahasa Arab bagi pelajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
Nilam Puri, Kelantan. Mungkin terdapat pelbagai faktor lain yang lebih berhubung kait dengan
pencapaian akademik pelajar.

Tariq, Qualter, Roberts, Appleby, dan Barnes (2013) berpendapat bahawa efikasi kendiri
memainkan peranan yang penting dalam memperbaiki mutu persembahan pelajar sewaktu ujian.
Lebih tinggi markah yang diperolehi oleh pelajar sewaktu ujian, maka lebih tinggilah tahap
keyakinan mereka terhadap mata pelajaran tersebut.

Kesimpulan

Kajian ini merupakan penerokaan awal terhadap perbandingan, hubungan dan sumbangan efikasi
kendiri pelajar di sekolah yang berpencapaian tinggi dengan sekolah berpencapaian rendah. Hasil
dapatan berdasarkan maklumat dan data yang diperoleh daripada kajian perpustakaan dan soal
selidik mendapati bahawa tahap efikasi kendiri yang mantap sememangnya menjadi pemangkin
kegemilangan akademik pelajar. Walaupun pencapaian akademik pelajar-pelajar di negeri Perak
tidak mempunyai hubungan atau mempunyai hubungan yang rendah dengan keyakinan diri yang
tinggi, namun pemboleh ubah ini merupakan elemen yang penting dalam melonjakkan kebolehan
dan penguasaan pelajar walaupun didepani oleh mata pelajaran yang semakin sukar dan mencabar.
Ini dibuktikan dalam dapatan-dapatan daripada pengkaji-pengkaji yang lepas yang menyatakan
bahawa efikasi kendiri memberikan sumbangan dan pengaruh terhadap pencapaian akademik
pelajar.

Rujukan

Abdullah Hassan & Ainon Mohd (1997). Daya pengaruh dan perubahan sikap. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Bandura, A. (1997). Self-efficacy: The exercise of control. New York: W. H. Freeman.

Bandura, A. (1977). Self-efficacy: Toward a unifying theory of behavioral change. Psychological


Review, 84, 191-215.

Bandura, A. (1996). Social cognitive theory of human development. Dalam T. Husen & T. n.
Postlethwaitc (Eds.), International Encyclopedia of Education (2nd ed.). Oxford: Pergamon
Press.

Bandura, A. (1986). Social foundations of thought and action: A social cognitive theory.
Englewood Cliffs, NJ: Prentice-Hall.
Best, J. W., & Kahn, J. V. (2006). Research in education (10th ed.). Boston: Pearson Education.

Betz, N. E. (June, 2004). Contribution of self-efficacy theory to career counseling: A personal


perspective. The Career Development Quarterly, 52.

Chua Yan Piaw (2006). Kaedah penyelidikan. Malaysia: McGraw Hill Sdn. Bhd.

Cohen, J. (1977). Statistical power analysis for the behavioral sciences. New York: Academic
Press.

Creswell, J. W. (2008). Educational research. New Jersey: Pearson-Merrill Prentice Hall.

Gay, L. R., Mills, G. E., & Airasian, P. W. (2009). Educational research: Competencies for
analysis and applications. New Jersey: Prentice Hall.

Jabatan Pelajaran Negeri Perak (2012a). Analisis pencapaian peperiksaan PMR, SPM, dan STPM
bagi tahun 2009-2011. Disediakan oleh Unit Sekolah Menengah pada 24 Mei 2012.

Jabatan Pelajaran Negeri Perak (2012b). Populasi sekolah menengah harian di sepuluh buah
daerah di Negeri Perak. Disediakan oleh Unit Sekolah Menengah pada 24 Mei 2012.

Jerusalem, M., & Hessling, J. K. (2009). Mental health promotion in schools by strengthening self-
efficacy. Health Education, 109 (4), 329-341.

Jungert, T., & Rosander, M. (2010). Self-efficacy and strategies to influence the study
environment. Teaching in Higher Education, 15 (6), 647-659.

KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) (2012). Pendidikan kebangsaan melangkah ke hadapan.


Diakses dari http://www.google.com.my/ pada 14 Jun 2012.

Krejcie, R.V., & Morgan, D. W. (1970). Determining sample size for research activities.
Educational and Psychological Measurement, 30, 607-610.

Mohamad Azrien Mohamed Adnan, & Mohd Alwee Yusoff (2009). Motivasi, pembelajaran
pengaturan kendiri dan prestasi akademik: Satu kajian di kalangan pelajar asasi pengajian
Islam Universiti Malaya Nilam Puri. Jurnal Al-Tamadun, 4, 1-16.

Mohd Majid Konting (2000). Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Mohd Majid Konting (1990). Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Mostafa Zare & Sajad Davoudi Mobarakeh (2011). The relationship between self-efficacy and use
of reading strategies: the case of Iranian Senior High School Students. Studies in Literature
and Language, 3 (3), 98-105.
Muhammed Yusuf (2011). A study of integrated motivational models: Undergraduate students
and their academic achievements. Saarbrucken: LAP Lambert Academic Publishing.

National Education Blueprint (2008). Diambil dari http://www.moe.edu.my.

Noraini Idris (2010). Penyelidikan dalam pendidikan. Kuala Lumpur: McGraw Hill Education.

Pajares, F. (1997). Current directions in self-efficacy research. Dalam Maehr, M. l. and Pintrich,
P. R. (Eds), Advances in Motivation and Achievement. JAI Press. Greenwich: CT. pp.: 1-
49.

Pajares, F. (1994). Role of self-efficacy and self-concept beliefs in mathematics problem-solving:


a path analysis. Journal of Educational Psychology, 86 (2), 193-203.

Rohaty Mohd Majzub & Muhammed Yusuf (2011). Investigating relationship between self-
efficacy, achievement motivation, and learning strategies of UKM undergraduate students.
Advanced Educational Technologies. Diakses dari http://www.wseas.us/e-
library/conferences/2010/Tunisia.pdf

Rusni Mohd Noor (2005). Perkaitan antara budaya sekolah dengan pencapaian akademik pelajar
di Negeri Sembilan (Tesis Ph.D. tidak diterbitkan). Universiti Kebangsaan Malaysia,
Bangi.

Schunk, D. H. (1990). Goal setting and self-efficacy during self-regulated learning. Educational
Psychologist, 25, 71-86.

Schunk, D. H. (1991). Self-efficacy and academic motivation. Educational Psychologist, 26, 207-
231.

Schunk, D. H. (1989). Self-efficacy and cognitive skill learning. Dalam C. Ames & R. Ames
(Eds.), Research on motivation in education: Vol. 3. Goals and cognitions (pp. 13-44). San
Diego: Academic.

Sekaran, U. (2000). Research methods for business: A skill building approach (4th ed.). India: John
Willey & Son.

Sekaran, U., & Bougie, R. (2009). Research methods for business: A skill building approach (5th
ed.). India: John Willey and Son.

Sharifah Azizah Syed Sahil & Rosna Awang Hashim (2011). The roles of social support in
promoting adolescents’ classroom cognitive engagement through academic self-efficacy.
Malaysian Journal of Learning and Instruction, 8, 49-69.
Siti Masayu Rosliah Abdul Rashid (2008). Peluang dan cabaran pendidikan dalam kalangan
masyarakat luar bandar: Satu kajian kes isi rumah Melayu miskin di jajahan Bachok,
Kelantan (Tesis Ijazah Sarjana tidak diterbitkan). Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Tariq, V. N., Qualter, P., Roberts, S., Appleby, Y., & Barnes, L. (2013). Matehematical literacy in
undergraduates : Role of gender, emotional intelligence and emotional self-efficacy.
International Journal of Mathematical Education in Science & Technology, 44 (8), 1143 –
1159.
Tho Lai Mooi (2006). Self-efficacy and student performance in an accounting course. Journal of
Financial Reporting and Accounting, 4(1), 129-146.

Usher, E. L., & Pajares, F. (2006). Sources of academic and self-regulatory efficacy beliefs of
entering middle school students. Contemporary Educational Psychology, 31, 125-141.

Wang, C., & Pape, S. J. (2007). A probe into three Chinese boys’ self-efficacy beliefs Learning
English as a Second Language. Journal of Research in Childhood Education, 21, 364-377.

Wiersma, W., & Jurs, S. G. (2005). Research methods in education: An introduction (8th ed.).
Boston: Pearson Education.

Wiseman, D. C. (1999). Research strategies for education. Belmont, CA: Wadsworth Publishing
Company.

Zainudin Awang (2012). Research methodology and data analysis (2nd ed.). Selangor: Universiti
Teknologi Mara Press.

Zikmund, Babin, Carr, & Griffin (2010). Business research methods (8th ed.). Australia: South-
Western Cengage Learning.

Zimmerman, B. J. (2000). Self-efficacy: An essential motive to learn. Contemporary Educational


Psychology, 25, 82 – 91.

View publication stats

Anda mungkin juga menyukai