Anda di halaman 1dari 6

Minda Madani Online

Akar Pemikiran Islam Liberal

Oleh:Khalif Muammar A. Harris (KDH)

Mukaddimah
Di akhir abad keduapuluh Masehi, Umat Islam dikejutkan dengan fenomena baru dalam pemikiran Islam. Golongan yang
memperkenalkan diri dengan nama Islam Liberal telah menggemparkan dunia Islam dengan isu-isu yang kontroversial
dan ide-ide yang berani. Gerakan Islam Liberal cukup popular di Indonesia, namun begitu tidak ramai yang menyedari
sebenarnya gerakan ini mempunyai jaringan yang luas bukan sahaja di dunia Islam bahkan juga hampir di serata dunia:
Mesir, India, Pakistan, Bangladesh, Amerika, Perancis, Malaysia, Turki, Jordan, Sudan, Syria, Moroko, Tunisia,
Lebanon, Algeria, Nigeria dll.

Pada dasarnya, Islam Liberal merupakan ‘produk’ baru untuk menjelmakan kembali modenisme di Abad
ke-21. Modenisme Islam telah lama muncul di kalangan intelektual Muslim dan menjadi satu tren pemikiran yang
berpengaruh dalam dunia Islam sejak Abad ke-19M. Tulisan ini bertujuan untuk melacak dan mencari penjelasan
tentang akar ideologis gerakan Islam Liberal sekaligus menyorot perkembangan terbaru yang berlaku kepada tren
pemikiran ini yang cukup banyak diperdebatkan dalam perbahasan ilmiah dewasa ini. Hipotesis kajian ini adalah bahawa
adanya kesinambungan dan pengaruh yang kuat antara sekularisme, orientalisme, modenisme Islam dengan Islam
Liberal.
Kemunculan Modenisme Islam adalah akibat dari pertemuan yang tidak seimbang daripada dua dunia: Islam dan Barat.
Penjajahan yang berlaku lebih 400 tahun terhadap umat Islam sedikit sebanyak menyebabkan sikap rendah diri atau
inferiority-complex apabila berhadapan dengan peradaban yang canggih dan hebat. Perlu digarisbawahi di sini bahawa
modenisme Islam bukanlah aliran pemikiran yang tunggal dan jelas, tetapi ia mencakupi beberapa aliran pemikiran
sesuai dengan istilah modenisme itu sendiri yang kabur. Gerakan modenisme telah mengalami banyak perubahan
setelah kemunculan Fazlur Rahman (1919-1988) yang telah merangka framework pemikiran neomodenisme pada awal
80an. Usaha beliau walaubagaimanapun telah ‘dimanfaatkan’ oleh orang-orang yang berkepentingan,
untuk menjustifikasikan lahirnya pemikiran yang lebih radikal, liberal dan berani. Golongan ini kemudian diberi nama
Islam Liberal.

Modenisme Islam mengambil semangat pembaharuan dan reformasi. Dengan melihat model pembaharuan (modenisasi)
yang telah berjaya merubah masyarakat di Barat. Modenisme di Barat telah menghasilkan apa yang dinamakan
enlightenment, revolusi industri dan akhirnya telah meletakkan Barat sebagai negara yang maju dan pemimpin dunia.
Menyedari kemunduran dan keterbelakangan Umat Islam, dan setelah mereka mengkaji faktor kemajuan Barat maka
golongan modenis mengambil kesimpulan bahawa Umat Islam perlu bersikap terbuka terhadap tamadun Barat untuk
menguasai sains Barat dan seterusnya mengikuti rentak kemajuan. Sikap keterbukaan ini didasari oleh pendirian
bahawa ilmu itu bersifat bebas nilai atau neutral tidak diwarnai oleh ideologi pembawanya dan terserah sepenuhnya
kepada pengguna sains tersebut untuk dapat digunakan sesuai kehendaknya. Apabila telah terbukti bahawa sains yang
sama telah berjaya memberi kemajuan kepada masyarakat Barat, maka tentunya apabila digunakan oleh Umat Islam
ianya juga akan dapat menjanjikan kemajuan.

Modenisme Islam dan Modenisme Barat.

Oleh kerana modenisme Islam sangat berkait rapat dengan modenisme Barat, maka sebelum membicarakan tentang
modenisme Islam, sangat penting sekali untuk memahami konsep modenisme dan modenisasi dan kemunculannya di
Barat. Perlu digaris bawahi di sini bahawa kemunculan modenisme Islam hanya berlaku sebagai satu konsekuensi
daripada interaksi dunia Islam dengan tamadun Barat. Satu fakta yang perlu diingat adalah bahawa Umat Islam sejak
abad ke 16/17M telah dijajah dan diinfiltrasi oleh pemikiran dan budaya yang asing daripada pemikiran, budaya dan
agama mereka. Reaksi dari diri Umat pada ketika itu adalah di antara penolakan dan penerimaan. Golongan tradisionalis
lebih cenderung untuk menentang dan mengasingkan diri dari segala bentuk pembaratan (Westernization). Adapun
golongan modenis yang pada masa itu mempunyai latarbelakang pendidikan Barat, melihat segala kebaikan berada
dalam tamadun Barat, dan adalah satu kerugian besar bahkan dianggap kekolotan berfikir apabila umat Islam tidak
tampil untuk memperolehinya.

Modenisme di Barat digerakkan oleh falsafah enlightenment-humanism yang berhasil mempengaruhi pemikiran
sebagian masyarakat Barat dan majoriti intelektual mereka. Kemunculan ahli-ahli falsafah seperti Immanuel Kant, David
Hume, Nietzsche dan lain-lain telah memberikan penekanan terhadap rasionalisme dan kebebasan (liberalisme) atau
pembebasan manusia daripada tradisi dan dogma. Gerakan keintelektualan ini semakin kuat dengan munculnya falsafah
eksistensialisme oleh Sartre dan logical-positivism oleh kelompok yang dikenali dengan Vienna Circle.

Pada hari ini gerakan humanisme dipelopori oleh Council for Secular Humanism. Menurut mereka secular humanism
bermaksud “cara berfikir dan cara hidup yang bertujuan untuk memberikan yang terbaik bagi manusia dengan
menolak segala kepercayaan agama dan kuasa di luar tabi’i. Humanisme sekular menekankan rasio manusia
dan pengkajian saintifik, kebebasan individu dan pertanggung-jawaban, nilai-nilai kemanusiaan dan kasih sayang dan
keperluan terhadap toleransi dan kerjasama”.

http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 18 January, 2010, 11:10


Minda Madani Online

Penjelasan tentang humanisme sekular di atas memperlihatkan wujudnya dikotomi antara agama dan sains, antara
moralitas dan kebebasan individu, antara Tuhan dan nilai-nilai kemanusiaan. Terlepas daripada elemen-elemen yang
tampak baik yang terdapat dalam pemikiran ini, penumpuan kepada kerasionalan, penolakan terhadap agama, dan
kebebasan individu dalam menentukan segala sesuatu, pastinya memberi kesan negatif khususnya bagi seorang
Muslim. Oleh kerana itu, penilaian perlu dilakukan secara menyeluruh dan sebaiknya penjelasan tentang modenisme
dilakukan dari dua sudut pandang yang berbeza: Barat dan Islam. Seorang penulis Muslim berasal dari Perancis dan
menetap di Mesir, Ren Guenon, menjelaskan bahawa modenisme pada intinya adalah penolakan terhadap segala apa
yang berbentuk divine, transcendent dan supernatural. Ia adalah penolakan yang dilakukan oleh enlightment-humanist
terhadap tradisi dan otoriti, demi kepentingan akal dan sains tabi'i. Ia dicipta atas dasar perkiraan bahawa kuasa individu
yang menjadi satu-satunya sumber bagi makna dan kebenaran.

Demikianlah dapat disimpulkan bahawa pengaruh humanisme Barat sangat kuat dalam kerangka pemikiran modenisme
Islam. Dalam menjelaskan hakikat liberalisme Islam, Leonard Binder menegaskan bahawa perbahasan rasional menjadi
tonggak utama golongan Islam Liberal ini. Rasionalisme, dalam erti mendewakan akal fikiran dan menjadikannya kayu
ukur dalam menilai segala sesuatu, yang menjadi asas peradaban Barat juga dianut oleh golongan modenis dan liberal
Muslim. Dalam mendefinisikan modenisme Islam Charles Kurzman, seorang lagi ideolog Islam Liberal, dalam bukunya
Modernist Islam mengatakan bahawa seorang modenis bukan sahaja menerima nilai-nilai moden dari Barat sebagai
sesuatu yang benar melainkan juga usaha untuk memperjuangkan modenisme Barat (proponent of modernity) yang
termasuk di dalamnya rasionaliti, sains, kedaulatan perlembagaan (constitutionalism), dan persamaan manusia.

Bahkan peranan seorang modenis menurut beliau bukan sahaja dalam mencari persamaan di antara nilai-nilai moden
dengan nilai-nilai atau ajaran Islam. Lebih dari itu, seorang modenis mesti berusaha untuk memperkasakan dan
membangunkan teori yang kukuh yang dapat membuktikan adanya persamaan dan kesesuaian tersebut. Dari sini
tampak jelas bahwa gerakan ini mempunyai prakonsepsi dalam memahami Islam. Penyatuan di antara modern values
dan ajaran Islam pada realitinya dilakukan dengan tidak adil iaitu dengan memilih sebahagian tradisi dan teks-teks
agama yang mampu menyokong nilai-nilai Barat. Sedangkan kajian terhadap tradisi Barat sendiri dilakukan dengan
penuh apresiasi dan tidak kritis.

Berkenaan dengan tema-tema Islam Liberal, mengikut tulisan mereka sendiri, dapat dilihat sebenarnya tidak jauh
berbeda dengan modernist Islam. Di antaranya adalah demokrasi, pembelaan hak-hak perempuan, kebebasan
bersuara, dan masa depan kemajuan manusia. Tema-tema yang diangkat memberikan impresi bahwa siapapun yang
rasional tidak mungkin menolak perjuangan mereka. Di sebalik itu ada keinginan untuk memonopoli perjuangan untuk
kemanusiaan, sedangkan agama Islam sejak mula telah memperjuangkan kepentingan manusia. Tema-tema di atas
tampak menarik dan segar, tetapi ini berbeda dengan tema-tema yang selalu menjadi perdebatan hangat di kalangan
umat Islam. Isu-isu seperti penolakan Syari'at, pluralisme agama, kebebasan berijtihad, penolakan otoriti agama dan
hermeneutik sebenarya yang menjadi perbahasan utama gerakan ini.
Pandangan bahawa perlunya penyesuaian di antara Islam dan nilai-nilai Barat, di antara wahyu dan kemodenan, adalah
dengan andaian bahawa keduanya tidak bertentangan dan sesuai (compatible). Atas andaian inilah maka peranan
menyesuaikan di antara keduanya bukan perkara yang rumit. Persoalannya adalah adakah andaian ini betul? Apakah
tidak ada pertembungan nilai/ prinsip di antara worldview Islam dan worldview Barat. Pemikir Islam seperti Syed
Muhammad Naquib al-Attas menyatakan bahawa Islam mempunyai pandangan hidup yang jauh berbeza dengan
pandangan hidup Barat. Pandangan hidup Barat meletakkan falsafah humanisme, rasionalisme, sekularisme sebagai
asas peradaban mereka. Sedangkan falsafah-falsafah ini amat asing dan tidak perlu dalam konteks umat yang
beragama Islam. Isma'il al-Faruqi mengatakan bahawa humanisme Barat sekarang banyak dipengaruhi oleh humanisme
Greco-Roman, yang terlalu mendewakan manusia dan sebagai reaksi kepada tradisi Kristian yang sebenarnya
merendahkan nilai-nilai kemanusiaan. sebaliknya Islam telah dengan secara tidak langsung meninggikan martabat
manusia, maka dari itu, al-Fa>ru>qi> menyimpulkan bahawa humanisme dalam Islam adalah satu-satunya yang asli dan
terbaik. Dengan alasan kuatnya pengaruh sekularisme dan humanisme dalam tamadun Barat, al-Attas menekankan
perlunya ilmu-ilmu Barat diIslamisasikan terlebih dahulu sebelum ianya diterima oleh umat Islam untuk mengelakkan
berlakunya dikotomi dalam diri umat Islam dan wujudnya dilema atau krisis minda yang menjadikan umat Islam keliru,
lemah dan berpecah belah.

Untuk melihat sejauh manakah kesan dan pengaruh secular humanisme dan postmodenisme terhadap pemikiran Islam
Liberal kita dapat lihat dalam tema-tema yang dibangkitkan oleh ideolog-ideolog Islam Liberal seperti Nasr Hamid Abu
Zayd (lahir 1943), Muhammad Said al-Ashmawi (l. 1932), Muhammed Arkoun (l. 1928), Abdullahi Ahmed al-Nai'im (l.
1946) dan Asghar 'Ali Engineer (l. 1939). Abu Zayd misalnya mengatakan bahawa Islam adalah agama sekular (al-di>n
al-ilma>ni>) dan hanya diskursus sekularisme ('ilma>niyyah), yang menurut beliau berasal dari perkataan ilmu ('ilm),
yang dapat membawa Umat Islam kepada pemodenan dan kemajuan dan menyelamatkan mereka daripada kekolotan
berfikir.

Adapun Muhammad Arkoun, beliau banyak terpengaruh dengan pemikiran postmodenisme khususnya Jacques Derrida.
Amat jelas terlihat metode deconstruct dan no truth-claim dalam pemikiran Arkoun. Robert D. Lee dalam kata
pengantarnya terhadap buku Arkoun, Rethinking Islam, mengatakan: "In the world Arkoun proposes, there would be no
margins and no center, no marginalized groups and no dominant ones, no inferior beliefs and no superior, truth-
producing logic."
http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 18 January, 2010, 11:10
Minda Madani Online

Muhammad Said Ashmawi seperti pendahulunya 'Ali Abd al-Raziq, Wahid Ra'fat dan Faraj Fawdah menentang konsep
Islam syumul (way of life), baginya permasalahan politik terpisah daripada agama. Beliau juga menolak keras
pelaksanaan Syari'at Islam dengan alasan bahawa ia akan memberikan kuasa politik kepada golongan agama dan
mengakibatkan lahirnya negara teokrasi. Dalam bukunya The Islamic State, Bagi Asghar Ali Engineer Hukum Islam
adalah ciptaan fuqaha, pelaksanaan Shari'at Islam bermakna pemerintahan teokrasi. Dan beliau juga menyokong
sepenuhnya pemerintahan sekular:

Secularism is highly necessary if India has to survive as a nation. But apart from survival of Indian nationalism and Indian
unity, secularism is necessary for modern democratic polity. And this need for secular polity becomes much greater if the
country happens to be as diverse and plural as India. Secularism is a great need for democratic pluralism…. The
most Orthodox Muslim 'Ulama of Deobandi school preferred secular India to Muslim homeland or theocratic Pakistan.
They outright rejected the idea of Pakistan when mooted by Jinnah. They denounced two nation theory on the basis of
religion.

Radwan Masmoudi, seorang presiden Center for the Study of Islam and Democracy (CSID) yang merupakan sebuah
pertubuhan yang berpengaruh di Amerika dan baru-baru ini menjelaskan pendiriannya terhadap Islam Liberal. Beliau
menjelaskan bahawa Liberal Islam memperjuangkan kerajaan yang bertanggungjawab, kebebasan individu, dan hak-
hak asasi manusia. Oleh karena itu menurut beliau golongan ini merupakan Muslim majority di dunia Islam. Tentunya
anggapan bahawa golongan Islam Liberal adalah golongan majoriti umat Islam tidak berasas dan boleh dipertikaikan. Ini
kerana imej liberal yang mereka ketengahkan berbesa dengan apa yang mereka maksudkan. Dalam hal ini istilah yang
tepat bagi golongan yang mereka sebutkan adalah progressif, bukan liberal. Jelas sekali istilah Islam Liberal itu sendiri
sangat kabur dan kontradiktif. Bahkan tokoh-tokoh yang disebutkan oleh Masmoudi, yang mengikut kategorisasi
Kurzman, seperti Muhammad Sali>m al-'Awwa>, Anwar Ibrahim dan Fathi Osman tidak pernah dikategorikan sebagai
Islam Liberal, tidak ada indikasi yang dapat mengaitkan pemikiran mereka dengan pemikiran Islam Liberal. Tokoh-tokoh
yang lain yang juga disebutkan seperti T}a>riq al-Bishri>, Abdul Karim Soroush, Abdulaziz Sachedina lebih dikenal
sebagai modenis. Mungkin ada yang bertanya mengapa tokoh-tokoh seperti Muhammad Iqbal, Yu>suf al-Qarad}a>wi,
Muhammad Natsir, Rashid Ghannouchi, Anwar Ibrahim disebut sebagai tokoh-tokoh dan pendukung Islam Liberal?
Terlepas daripada samada ia adalah satu kesilapan yang disengajakan ataupun tidak, tentunya ia bertujuan untuk
menarik perhatian umat Islam agar mudah terpengaruh. Ironisnya, kenyataan Kurzman tersebut disangkal oleh kalangan
Barat sendiri yang majoritinya mengkategorikan al-Qaradawi sebagai fundamentalis.

Agama dan Akal

Islam Liberal beranggapan bahawa gerakan yang mereka lakukan adalah satu-satunya alternatif yang melakukan usaha
penyatuan di antara agama (faith) dan akal fikiran (reason). Mereka melihat majoriti umat Islam mengikut aliran
tradisionalis konservatif yang jumud dan tidak memberi ruang kepada akal fikiran untuk berperanan dan berijtihad. Lebih
dari itu, golongan fundamentalis dikatakan telah berusaha untuk memonopoli pemahaman Islam, sehingga apa sahaja
pandangan yang tidak sesuai dengan kerangka berfikir mereka akan dicap sebagai tidak Islamik.

Kalau dilihat daripada sejarah pemikiran dan perundangan Islam, penyatuan agama dan akal bukan perkara yang baru,
ia sememangnya telah ada dalam tradisi Islam. Terlalu banyak ayat al-Qur'an dan Hadith yang memberikan perhatian
kepada penggunaan akal fikiran. Bahkan melihat kepada pelaksanaan Rasulullah s.a.w. terhadap text, dan pemahaman
dan pelaksanaan para Sahabat tidak pernah membelakangi akal fikiran. Akal berfungsi dengan baik sebagai
penterjemah dan memikirkan cara terbaik dalam melaksanakan tuntutan agama. Imam-imam mazhab mengenal dan
mencipta istilah-istilah seperti qiya>s, istih}sa>n, mas}a>lih} al-mursalah dan maqa>s}id al-shari>‘ah yang
merupakan sumber perundangan Islam yang diakui dalam tradisi Islam.

Apabila adanya kecenderungan ulama’ masa kini yang kolot dan jumud dalam berfikir, ia tidak bermakna tradisi
atau Islam sendiri yang menyebabkan perkara tersebut terjadi. Justeru, ajaran Islam menggalakkan penggunaan
optimum akal fikiran dalam kerangka yang dibenarkan oleh syari’ah itu sendiri. Oleh sebab itu sebenarnya tidak
timbul istilah literal Islam versus liberal Islam dalam memahami agama.

Di sini dapat dikesan kecenderungan Islam Liberal dalam melihat agama dan akal sebagai dua entiti yang otonom dan
independen. Agama ataupun shari’ah, kerana dilihat amat terbatas jumlah teksnya, bergerak dalam
ruanglingkupnya yang tersendiri dan akal mempunyai peranan dalam kerangka yang lebih luas yang dapat memastikan
kerelevanan agama dalam dunia masa kini. Oleh kerana itu kontradiksi berlaku di antara dua aliran pemikiran modenis
atau Islam Liberal dan ramai ulama’ dan pemikir Islam yang meletakkan syarat penggunaan akal fikiran agar tidak
bertentangan dengan mana-mana teks al-Qur’an dan al-Sunnah.

Bagi Islam Liberal apabila pertentangan di antara keduanya berlaku, maka teks al-Qur’an ini perlu ditafsirkan
melalui kaedah hermeneutik ataupun melalui pemahaman substantif agar tidak lagi terpaku kepada pemahaman literal
terhadap shari’ah, akan tetapi pemahaman yang Liberal. Berangkat dari metodologi dan cara berfikir inilah, tidak
sedikit daripada mereka yang hanya melihat daripada shari’ah itu nilai-nilai universal yang juga ada dalam
http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 18 January, 2010, 11:10
Minda Madani Online

tamadun Barat bahkan juga dikongsi bersama oleh mana-mana agama di dunia ini.

Penolakan Terhadap Otoriti Agama.

Liberalisme dan modernisme Islam menolak otoriti agama. Dalam wacana Islam Liberal banyak penekanan diberikan
kepada kebebasan berpendapat oleh siapa saja tentang apapun permasalahan agama. Metodologi yang digunakan
adalah relativisme, iaitu dengan mengatakan bahwa kebenaran itu relatif tidak boleh didakwa oleh mana-mana pihak.
Penolakan otoriti agama ini penting agar kebebasan berpendapat/ ijtihad dapat dilakukan dan hanya dengan inilah
liberalisasi Islam akan berhasil. Atas dasar kebebasan berpendapat dan berijtihad inilah maka Islam Liberal banyak
merujuk kepada karya-karya orientalis-kristian kerana melihat mereka adalah otoriti yang cukup kritis dan telah dapat
mengemukakan pendekatan yang lebih rasional dan berlainan.

Islam menetapkan bahawa otoriti dalam ilmu pengetahuan sangat penting. Cukup banyak ayat dan hadis yang menuntut
umatnya menghormati ilmuwan dan berpegang kepada disiplin ilmu. Disiplin ilmu apapun memerlukan otoriti. Islam
adalah subjek ilmu yang cukup ketat dalam menentukan siapa yang layak dijadikan guru. Tanpa adanya kriteria-kriteria
tertentu dalam pemilihan guru maka penyelewengan terhadap agama sangat mudah sekali berlaku. Setiap disiplin ilmu
ada otoriti masing-masing. Kalau dalam bidang perubatan, kejuruteraan dsb. seseorang itu perlu merujuk kepada otoriti
dan pakar-pakarnya maka sebenarnya tidak ada bezanya dengan agama Islam: shari>'ah, aqi>dah, tafsi>r, hadi>th,
masing-masing cabang ilmu ini memerlukan kepakaran yang juga memakan energi dan masa yang tidak kurang
daripada keperluan seseorang menguasai bidang perubatan dan sains. Bahkan dari ribuan orang yang berusaha
menguasai cabang keilmuan Islam hanya segelintir saja yang diakui sebagai pakar dan otoriti yang menjadi rujukan.

Golongan Islam Liberal melihat bahawa otoriti agama hanya akan memberi kesan negatif. Ini kerana ulama’ akan
memonopoli kebenaran dan menghukum pandangan selain daripada ulama’ sebagai tidak islami, sesat dan
sebagainya. Kekeliruan ini timbul akibat salah faham atau distorsi yang disengajakan. Wujudnya otoriti ilmu ini tidak
mengisyaratkan wujudnya hirarki dalam Islam. Islam sama sekali tidak pernah meletakkan ulama’ sebagai wakil
Tuhan atau pemegang kuasa menggantikan Tuhan sepertimana berlaku dalam tradisi Nasrani dan pemerintahan gereja
di zaman kegelapan (Dark Ages). Dalam Islam ijtihad ulama’ tidak mutlak kebenarannya. Oleh itu pandangan
ulama’ tidak semestinya benar. Pandangan ulama’ hanya boleh diterima sekiranya terbukti sesuai dengan
kehendak syari’ah dan dipersetujui kebenarannya. Di sinilah dalam tradisi Islam kita mengenal konsep qawl al-
jumhu>r (pandangan majoriti), dan ijma>' (kesepakatan ilmuwan) dan konsep ini sangat penting dalam tradisi keilmuan
Islam.

Penolakan terhadap otoriti agama memberi ruang yang luas kepada golongan Islam Liberal untuk berijtihad dengan
bebas. Kurzman menggunakan istilah yang berlainan agar tampak sophisticated iaitu “freedom of thought”
dan “freedom of religious interpretation”. Bertolak dari premis inilah golongan ini melihat perlunya umat
Islam mempertimbangkan hermeneutika al-Qur’an di samping tafsir al-Qur’an yang dianggap tidak sesuai
lagi pada zaman modern ini. Nasr Hamid Abu Zaid disebut sebagai tokoh hermeneutik Islam Liberal saat ini.
Walaubagaimanapun buku beliau, Mafhu>m al-Nas} mendapat tentangan yang keras dari para sarjana Muslim.

Konsep Pluralisme Agama

Perdebatan tentang pluralime agama baru-baru ini cukup hangat di Indonesia. Aliran modenisme dan Islam Liberal
mendukung kuat ide ini dan promosi besar-besaran telah dilakukan. Banyak buku-buku telah diterbitkan dan
diseminarkan. Di antara tokoh utama dalam hal ini adalah Alwi Shihab yang telah menulis buku yang bertajuk: Islam
Inklusif: Menuju Sikap Terbuka dalam Beragama. Alwi mengatakan bahawa pluralisme agama adalah tuntutan penting
untuk mencapai kerukunan hidup beragama. Atas dasar ini seorang pluralis berusaha untuk tidak bersikap eksklusif dan
tidak mengklaim kebenaran hanya terletak pada agama yang dianutnya. Setelah itu barulah dialog dan toleransi
beragama dapat dilaksanakan dengan jayanya. Penulis melihat adanya pra-asumsi bahawa yang menyebabkan
permusuhan antara agama berlaku adalah semata-mata kerana wujudnya sikap ekslusif dalam beragama.

Alwi menafikan bahawa syari'at yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. adalah penghapus bagi syari'at-syari'at
yang telah diturunkan sebelumnya. Alwi juga mengatakan bahwa ayat al-Qur’an yang selalu digunakan untuk
mengklaim eksklusivisme Islam yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai
agama (di>nan) mereka maka tidak akan diterima (oleh Allah) daripadanya” dalam penjelasan terhadap ayat ini
beliau mengatakan bahawa: hal itu (Islam) tidak hanya diperuntukkan bagi Muslim sahaja, tetapi bagi segenap mereka
yang percaya kepada Tuhan sepanjang sejarah umat manusia. Alasan Alwi adalah bahawa Islam bermakna berserah
diri, maka sesiapa sahaja yang dapat melaksanakan tuntutan iman ini dengan menyerahkan diri terhadap kehendak
Tuhan adalah termasuk orang yang berserah diri.

Kekeliruan timbul akibat daripada pemikiran bahawa kebenaran tidak bersifat mutlak, kebenaran tidak boleh dimiliki oleh
mana-mana pihak lalu menafikan hak orang lain. Pemikiran relativisme ini yang menjadi dasar falsafah pluralisme
beragama. Terdapat beberapa tokoh falsafah Barat dan Islam yang bertanggungjawab memperkenalkan ide ini
antaranya adalah Frithjof Schuon dan Syed Husein Nasr. Apa yang mereka ketengahkan adalah lebih kepada ide
kesatuan agama pada hakikatnya (the transcendent unity of religions) dan penekanan kepada agama Ibrahimiyyah.
http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 18 January, 2010, 11:10
Minda Madani Online

Akan tetapi, pendekatan yang digunakan oleh Alwi Shihab cukup berani dan radikal. Kerana beliau bukan sahaja
bercakap dari segi pemikiran dan falsafah akan tetapi cuba untuk mengambil pendekatan dari dalam, dengan
mempergunakan tradisi Islam khususnya teks-teks al-Qur’an dan mentafsirkannya dengan sewenang-wenang.

Alasan yang dianggap oleh pluralis cukup kuat dan dapat menyokong pandangannya bahawa al-Qur’an
mengakui keimanan komunitas beragama selain daripada umat Islam bahkan amalan mereka juga akan diterima
sebagaimana umat Islam. Dengan bersandarkan kepada ayat al-Qur’an (al-Baqarah: 62 dan al-Ma>’idah:
69), Alwi menterjemahkan ayat tersebut sebagai berikut: “Sesungguhnya mereka telah beriman, Yahudi, Kristen,
dan Kaum Shabiin; Mereka yang percaya pada tuhan dan hari akhir dan berbuat kebaikan, akan menerima pahala dari
Tuhan mereka. Mereka tidak akan merugi dan tidak akan berduka cita”. Sekilas pandang ayat ini seolah
menjustifikasikan pandangan beliau, akan tetapi sesiapa yang faham bahasa Arab akan sedar adanya kalimat yang
sengaja ditambah dan tidak sesuai dengan kehendak ayat. Ayat tersebut bermula dengan Innallazi>na a>manu>
wallazi>na ha>du wannas}a>ra> was}s}}a>bi’i>na man a>mana billa>h, jelas sekali ayat ini tidak mengatakan
bahawa semua golongan yang dinyatakan adalah dianggap beriman, ayat tersebut hanya menyatakan bahawa ada
kemungkinan di antara penganut agama tersebut ada orang-orang yang mempunyai keimanan (yang belum tercemari
oleh kesesatan) terhadap Allah dan hari akhirat. Al-Qurtubi menjelaskan bahawa pendapat yang kuat berdasarkan
pendapat Ibn Abbas mengatakan bahawa ayat ini telah dimansuhkan dengan ayat waman yabtaghi ghayr al-Isla>mi
di>nan…Adapun pendapat yang mengatakan ia tidak dimansuhkan mengatakan bahawa terdapat syarat implisit
bagi ayat tersebut iaitu beriman kepada kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan ulama’ dan ramai mufassir
mengatakan bahawa ayat ini perlu difahami sebagai satu seruan agar ahlul Kitab yang masih mempunyai secebis
keimanan tersebut hendaklah menyempurnakannya dengan beriman kepada nabi Muhammad s.a.w. kerana keimanan
terhadap Allah tidak sempurna dan tidak akan diterima tanpa keimanan terhadap Rasulullah begitu juga amalan mereka
tidak akan diterima sebagai amal saleh apabila mereka enggan mengikuti syari’at Rasulullah s.a.w. Pentafsiran
seperti inilah yang sesuai dengan mesej keseluruhan dan objektif al-Qur’an. Ini kerana seorang mufassir
dikehendaki melihat satu-satu ayat selari dengan ayat-ayat yang lain bukan mengasingkannya dan menutup mata dari
melihat kepada nas}-nas} (teks) yang justeru bertentangan dengan pemahamannya. Mengenai kedudukan orang kafir
baik Ahlul Kitab maupun Musyrikin terdapat banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menjelaskan tentang kesesatan dan
kekufuran mereka.

Konsep pluralisme agama adalah selari dengan misi sekularisasi dan liberalisasi. Di Barat, masyarakat pada umumnya
sudah hilang kepercayaan pada agama. Agama Kristian tidak lagi menjadi rujukan dalam masalah kemoralan apalagi
masalah politik, dan sosial. Falsafah eksistensialisme dan pragmatisme telah mengambil alih peranan dalam
menentukan nilai-nilai moral masyarakat Barat. Ini kerana agama secara umum telah disepakati merupakan produk
manusia tidak luput daripada silap dan salah. Bahkan banyak ajaran Injil hanya dianggap mitos yang tidak rasional dan
perlu ditinggalkan oleh orang yang telah bertamadun dan maju. Apabila telah menjadi kesepakatan umum bahawa 'all
religions are human inventions' maka tidak ada lagi kebenaran mutlak, yang ada adalah kebenaran yang relatif, terserah
kepada masing-masing individu untuk memilih sesuai dengan 'selera'nya.

Penolakan terhadap Shari'at Islam

Islam Liberal menolak pelaksanaan syari’at Islam, di Amerika al-Na’im pengikut setia tokoh kontroversial
Mahmud Muhammad Taha dari Sudan, menulis buku beliau pada tahun 1990 berjudul Toward an Islamic Reformation
yang intinya adalah merombak pemahaman orang Islam terhadap syari’at Islam. Menurut beliau syari’at
Islam itu tidak suci (divine). Beliau menyuarakan perlunya syari’at Islam khususnya Islamic public law dirubah
karena teks agama tidak perlu diikuti secara literal. Bahkan beliau mengatakan bahwa pelaksanaan hukum Islam pada
saat ini hanya akan memberi kesan counter-productive. Karena pelaksanaannya sangat bertentangan dengan hak-hak
asasi manusia dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Al-Na'im menjelaskan:

I have shown that Shari'a was in fact constructed by Muslim jurists over the first three centuries of Islam. Although
derived from the fundamental divine sources of Islam, the Qur'an and Sunna, Shari'a is not divine because it is the
product of human interpretation of those sources. Moreover, this process of construction through human interpretation
took place within a specific historical context which is drastically different from our own. It should therefore be possible for
contemporary Muslims to undertake a similar process of interpretation and application of the Qur'an and Sunna in the
present historical context to develop an alternative public law of Islam which is appropriate for implementation today.

Di sini dapat dilihat pengaruh kajian Orientalist terhadap al-Na'im. Berasaskan kepada kajian orientalis seperti Goldziher,
Schacht dan Coulson yang mengatakan bahawa Syari’at Islam adalah hasil ciptaan ulama’ dan fuqaha
selama tiga ratus tahun. Malangnya amat kurang sekali tulisan-tulisan ilmiah yang dapat mendongkrak idea-idea seperti
ini, kecuali beberapa tulisan yang masih perlu dilanjutkan seperti M. Mustafa al-Azami yang telahpun membatalkan
premis-premis Schacht tentang Shari'ah. Kajian mendalam orientalis terhadap hukum Islam membuahkan hasil dengan
diterimanya premis-premis mereka sebagai sandaran untuk menolak hukum Islam.

Penolakan hukum Islam sebenarnya berakar daripada keengganan meletakkan agama sebagai dasar kehidupan
masyarakat. Oleh kerana itu penolakan syari'at Islam sebenarnya merupakan kesinambungan daripada pemikiran
sekularisme dan bahkan juga diakui oleh al-Naim sendiri. Di Indonesia mesej penolakan Shari'at dikemukakan Jaringan
http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 18 January, 2010, 11:10
Minda Madani Online

Islam Liberal.

Anggapan bahawa syari’at Islam tidak divine adalah disandarkan kepada kajian-kajian orientalis yang
mengatakan bahwa formulasi syari’at Islam berlaku selama 300 tahun setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. Oleh
itu mereka menyimpulkan bahwa syari’ah adalah produk ulama dan pemerintah yang tentunya bernuansa politik
dan kekuasaan. Di sini sangat jelas kekeliruan mereka karena tidak membezakan Syari’ah dengan Fiqh, di antara
thawabit dan mutaghayyirat, di antara perkara-perkara yang disepakati atau qat’iyyat dan perkara-perkara ijtihadi.
Tanpa melihat perkara-perkara seperti ini maka tentunya kekeliruan tersebut timbul.

Kesimpulan

Terdapat perbezaan yang ketara di antara teori yang dikemukakan oleh Kurzman dan Binder dengan kenyataan
lapangan. Teori Kurzman membawa mesej untuk mempopularkan gerakan ini dan memberi justifikasi atas setiap ide dan
pemikiran Islam Liberal. Untuk tujuan ini, Kurzman telah berjaya mengelabui mata orang ramai dengan penggunaan
istilah dan terminologi yang diterima ramai seperti: progress, freedom of thought, democracy dsb. Penumpuan pada hal-
hal tersebut akan memberi kesan ketidakrelevenan golongan yang menolak Islam Liberal. Dan menutup mata orang
ramai terhadap banyak lagi ide-ide yang justru menjadi ciri-ciri utama pemikiran Islam Liberal seperti: penolakan otoriti
agama, pluralisme agama, penolakan Syari’ah dll.

Hubungan dan pengaruh pemikiran Barat: sekularisme, orientalisme dan postmodernisme, terhadap pemikiran Islam
Liberal adalah berdasarkan bukti yang nyata dan tidak dapat disangkal. Ini jelas dalam buku Kurzman Liberal Islam yang
menjadikan tema-tema sekular sebagai elemen penting dalam gerakan ini. Oleh yang demikian, ada benarnya
pernyataan Islamis bahwa Islam Liberal sebenarnya merupakan ‘produk’ Barat, dilahirkan dan dibentuk
bukan di dalam paradigma Islam akan tetapi di dalam paradigma pemikiran Barat. Walaupun para ideolog dan promotor
mereka mencoba untuk memberikan legitimasi daripada teks-teks agama untuk setiap ide yang dilontarkan, ia hanyalah
sebagai satu strategi dan hanya digunakan dengan tujuan validasi.

Adalah tidak benar jika dikatakan bahwa Islam Liberal tidak mempunyai metodologi dalam pemikirannya. Hasil kajian ini
menunjukkan bahwa ideolog-ideolog Islam Liberal memakai metodologi yang telah tersedia dan disadur daripada
pemikiran Barat. Sebuah framework pemikiran adalah hasil paradigma yang dibentuk oleh pemikir-pemikir yang
berpengaruh dan tentunya ia tidak kelihatan, dalam bentuknya yang asli, pada gerakan ini. Kalau dalam diskursus
Islamis banyak menyebut tentang serangan pemikiran (al-Ghazw al-Fikri>) dan menjadikan Orientalisme, sekularisme
dan modernisme sebagian darinya, tentunya gerakan Islam Liberal ini merupakan satu jelmaan baru serangan Barat
terhadap Islam.

Pemikir-pemikir Islam seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas telah memberikan penjelasan tentang worldview Islam
dan worldview Barat, dengan tujuan bahawa umat Islam tidak keliru dan terpengaruh dengan pemikiran Barat yang pada
intinya tidak mesra agama kalau bukan anti-agama. Anggapan bahawa tidak adanya percanggahan di antara keduanya
memberikan isyarat bahawa Islam tidak mempunyai identiti tersendiri dan tidak memberikan pengaruh yang besar dalam
kehidupan manusia, dan anggapan ini tentunya tidak benar sama sekali.

http://www.mindamadani.my Powered by Joomla! Generated: 18 January, 2010, 11:10

Anda mungkin juga menyukai