Anda di halaman 1dari 3

Soalan 1: Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara
memupuk kemahiran berfikir aras tinggi dan kepentingan memupuk kemahiran
berfikir aras tinggi. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan aspek yang penting untuk
diterapkan kepada murid-murid kerana kemahiran berfikir dapat mencungkil potensi murid
untuk menghasilkan idea-idea baharu. Peranan guru sangat penting untuk melahirkan murid-
murid yang berpengetahuan, menguasai kemahiran berfikir aras tinggi dan mahir
berkomunikasi. Perasaan takut dan malu melakukaan kesilapan serta kurang keyakinan diri
menyebabkan murid kurang berminat melibatkan diri dalam aktiviti yang dilakukan oleh
guru merupakan masalah utama dalam pelaksanaan KBAT. Pada masa yang sama, murid
yang terlalu pasif dan kurang respon juga merupakan halangan utama pelaksanaan KBAT.
Hanya melalui penglibatan aktif dan interaksi pelbagai hala semasa aktiviti simulasi,
lakonan, perbincangan kumpulan dan memberi pendapat dapat membantu merangsang minda
mereka untuk menguasai KBAT sepenuhnya. Untuk menjayakan pelaksanaan KBAT, guru
membimbing murid mencerap maklumat dan memprosesnya semula dalam pelbagai bentuk.
Dalam hal ini, murid bebas untuk menyusun atur, mengelas dan mengenal pasti sebab dan
akibat mengikut pendapat mereka sendiri.

Bagi membiasakan murid dengan soalan KBAT, guru hendaklah sentiasa


memberikan soalan berbentuk KBAT semasa proses pengajaran dan pemudahcara (PdPc)
dijalankan. Semakin banyak soalan KBAT, semakin luas tahap pemikiran seseorang murid
itu. Soalan KBAT ialah soalan yang menguji kemahiran berfikir murid pada tahap analisa,
sintesis dan juga penilaian. Di samping itu, guru perlu mempelbagaikan aktiviti yang
melibatkan penyelesaian masalah semasa PdPc di bilik darjah. Dalam konteks ini, murid
perlu meneroka cara penyelesaian secara lebih mendalam untuk menyelesaikan sesuatu
masalah. Teknik ini dapat dilakukan apabila guru mengemukakan soalan yang berkaitan
dengan tajuk yang telah dipelajari dan murid dikehendaki memberi maklum balas yang
sewajarnya. Buku teks yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mengandungi
kepelbagaian aktiviti yang boleh merangsang pemikiran aras tinggi murid. Selain itu,
penggunaan buku teks secara maksimum dapat membantu membentuk murid yang mahir
dalam menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi.

Untuk menggalakkan murid berfikir secara KBAT aktiviti pembelajaran berasaskan


projek wajar dilaksanakan secara meluas. Kaedah ini dapat mendedahkan proses kemahiran
berfikir dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Strategi terakhir dalam mengajar
murid untuk berfikir secara KBAT adalah dengan menggunakan alat berfikir bagi
merangsang murid menggunakan minda dengan lebih bijak dan berkesan. Alat berfikir
seperti peta i-THINK dapat membantu pemikiran menjadi lebih tersusun, luas dan jelas
dalam melakukan sesuatu. Murid akan dibimbing mencari sendiri formula atau penyelesaian
sesuatu masalah. Di samping itu, belajar secara kumpulan dan saling berkongsi pendapat
merupakan asas untuk menjana pemikiran aras tinggi murid. Perbincangan dalam kumpulan
yang diselia dengan baik akan meningkatkan motivasi dan penyertaan murid dalam proses
PdPc. Penggunaan bahan bantu mengajar yang berkesan dapat membantu murid memhami
dengan jelas sesuatu istilah atau konsep dengan mudah. Guru bertindak dengan
mengemukakan soalan aras rendah kemudian diikuti dengan soalan aras tinggi mengikut
tahap murid. Bagi menimbulkan perasaan seronok dan teruja murid, guru mengaplikasikan
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pembelajaran. Aplikasi
FROG VLE membolehkan murid mempersembahkan maklumat secara interaktif untuk
meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran. Murid-murid perlu diberikan perhatian
sewajarnya kerana mereka merupakan aset negara yang sangat berharga. Remaja yang
berupaya menguasai kemahiran berfikir aras tinggi menjadi harapan negara untuk
meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa.

(Dipetik dan diubah suai daripada;


Berfikiran positif dan matang
oleh Ismail Zain,
Akhbar Utusan, November 2015 )

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan


ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata mencungkil potensi.


[ 2 markah ]
(ii) Pengarang mengemukakan beberapa masalah pelaksanaan kemahiran berfikir aras
tinggi dalam menjayakan proses pengajaran dan pemudahcara.

Nyatakan masalah-masalah tersebut?


[ 3 markah ]
(iii) Kemahiran berfikir aras tinggi dapat memotivasikan murid melibatkan diri secara
aktif dalam budaya inovasi dan reka cipta.

Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk menerapkan
budaya inovasi dan reka cipta secara berterusan dalam diri murid?
[ 4 markah ]

Anda mungkin juga menyukai