Anda di halaman 1dari 3

Sekalung apriasi kepada peneraju majlis, barisan kehakiman yang arif lagi bijaksana, guru-guru,

rakan-rakan serta hadirin dan hadirat yang dimuliakan.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,Sejambak mawar, seharum kasturi
buat peneraju majlis, barisan panel hakim yangsentiasa berasimilasi dengan kebenaran, saudara
penjaga masa yang cakna denganrandiknya, warga pendidik yang bermisi, seterusnya warga
intelektual peneruswawasan negara

ANAK KEDIDI TERBANG RENDAH,

HINGGAP BERLABUH DI RANTING BIDARA;

IZINKAN HAMBA MENYAMPAI WADAH,

BERKONGSI ILMU DALAM BICARA.

KELUARGA BAHAGIA MAMPU MELAHIRKAN MODAL INSAN BERKUALITI.

Demikianlah bunyi bicara ilmu yang akan saya kupas satu persatu pada pagi yang berbahagia ini.

Sidang hadirin yang dimuliakan..

Merujuk kepada Kamus Dewan iaitu KELUARGA memberi maksud seisi rumahtangga yang terdiri
daripada suami dan isteri serta anak-anak. Manakala BAHAGIA pula bermaksud suasana tenang dan
aman serta gembira. Sebut saja keluarga bahagia, sudah jelas terbayang dalam kotak pemikiran kita
bahawa kehidupan satu keluarga yang bebas daripada gejala sosial, mengamalkan corak hidup yang
berlandaskan disiplin tetapi wujud di dalamnya sifat kasih sayang yang amat tinggi dan saling
menghormati. Apabila kita hidup dalam syurga kehidupan berumahtangga, maka akan lahirlah
generasi yang mempunyai modal insan yang berkualiti. Dalam sebuah keluarga asas, bapa
merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab membawa sebuah keluarga sama ada ke syurga
atau ke neraka. Peranan seorang bapa dalam keluarga ibarat kepala kereta api yang memacu
gerabak-gerabaknya melalui landasan yang betul untuk selamat sampai ke setiap hentian. Sekiranya
kepala kereta api itu tersungkur ke dalam gaung, maka gerabak-gerabaknya akan turut menjunam ke
dalam gaung. Begitulah lebih kurangnya bayangan yang boleh digambarkan betapa ketua keluarga
inilah yang bertanggungjawab mencorakkan sesebuah keluarga. Bapa perlu menjadi imam kepada
isteri dan anak-anak. Bapa wajib menjadi seorang suami yang boleh membimbing isteri seterusnya
membentuk kepribadian dalam diri anak-anak melalui tauladan yang ditunjukkan. Bapa tidak boleh
mengajar anaknya seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Menurut kata pakar motivasi
iaitu Dato Haji Fadzillah Kamsah, “bapa merupakan cerminan anak-anak, setiap perlakuan seorang
bapa, akan menjadi idola dan ikutan kepada anak-anak” Maknanya, untuk membentuk keluarga
yang bahagia, seorang ketua keluarga itu mesti berperanan membentuk keluarga mereka itu ke arah
yang boleh melahirkan generasi yang cemerlang dan terbilang. Dengan cara bagaimana sidang
hadirin? Dengan cara tunjukkan sifat kepribadian yang tinggi melalui Agama yang diletakkan paling
dominan dalam mendidik isteri dan anak-anak. Apabila agama yang menjadi tonggak dalam
kehidupan berkeluarga maka akan lahirlah rumahtangga yang bahagia. Rumah tangga yang didirikan
berpaksi kepada sifat mahmudah iaitu saling menyayangi dan saling menghormati.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Dalam menjana sebuah keluarga bahagia, mana mungkin seorang ketua keluarga yang mengamalkan
corak hidup yang bersandarkan atas nafsu semata-mata mampu mentarbiah anak isteri menjadi
mukmin dan mikminin yang hebat. Mampukah seorang bapa yang membiarkan anak-anak hidup
merempat, memberikan pendidikan yang sempurna buat mereka? Seorang ayah yang menjadi
hamba dadah mana mungkin dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai kualiti dari segi
kepribadian, Seorang ayah yang terpenjara di dalam tirai besi akibat kesalahan merompak,
menyamun, membunuh, merogol dan pelbagai kesalahan lagi manakan mampu untuk melahirkan
sebuah keluarga bahagia dalam membentuk rumahtangga? Sudah terang lagi bersuluh, perlakuan
songsang seorang ketua keluarga seperti ini tidak mampu untuk mendidik anak-anak menjadi
seorang pemimpin yang hebat suatu hari nanti. Anak-anak yang tidak bedosa akan menjadi mangsa
kekejaman dan kebodohan sikap bapa sendiri. Sampai masanya, anak-anak akan mempersoalkan
kenapa hidup keluarga mereka tidak bahagia seperti keluarga orang lain? Sungguh malang bagi
sebuah keluarga yang dijana tanpa adanya seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab. Seorang
isteri yang diabaikan tanpa sebarang nafkah oleh suami mana mampu untuk mendidik anak secara
bersendirian. Pepatah ada mengatakan ‘bapa borek anak rintik’ dibimbangi anak-anak yang
mengalami kecelaruan dalam hidup ini akan bertidak mewarisi sikap ayahnya yang menyusahkan
diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tuntasnya, jelas kepada kita bahawa keluarga bahagia
merupakan tunjang kepada melahirkan generasi yang berkualiti.

Sidang hadirin yang disajungi,

Wacana bicara saya yang seterusnya adalah tentang peri pentingnya penggunaan masa dalam
melayari sesebuah rumahtangga. Dalam zaman sains dan teknologi ini, kebanyakan ibu bapa
berlumba-lumba untuk mengejar kekayaan sehingga mereka alpa akan tanggungjawab memberi
masa berkualiti untuk bersama anak-anak. Kebanyakan masa anak-anak dihabiskan di rumah
pengasuh atau di sekolah. Ibu bapa pula sibuk dengan urusan keduniaan sehingga anak-anak sukar
untuk bersua muka. Ada anak-anak yang lebih rapat dengan orang gaji berbanding ibu bapa sendiri.
Hal ini demikian menjejaskan usaha untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia. Sebagai ibu bapa,
mereka sepetutnya berusaha untuk menyediakan seberapa banyak masa untuk bersama anak-anak.
Paling tidak, pada waktu makan. Pada masa ini, ibu bapa berpeluang mendengar masalah yang
diluahkan oleh anak-anak mereka. Masa ini juga amat sesuai kepada ibu bapa untuk memberi
nasihat dan pandangan kepada anak-anak. Komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak-anak ini
secara tidak langsung boleh membuahkan bibit-bibit kebahagiaan dalam rumahtangga. Adalah lebih
baik lagi sekiranya seorang ayah dapat memyediakan masa untuk mengimamkan sembahyang fardu
Maghrib dan Isyak. Mereka juga boleh membaca surah yasin atau bertahlil bersama-sama. Pada
hujung minggu atau musim cuti sekolah, ibu bapa boleh membawa anak-anak pergi berkelah atau
melancong. Aktiviti ini boleh merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Kasih sayang anak-anak
tehadap ibu bapa juga semakin menebal. Oleh yang demikian, mau kata apa lagi? Jelaslah bahawa
kerukunan rumahtangga yang wujud dalam sesebuah mahligai yang dibina atas dasar kasih sayang
akan membenihkan modal insan yang berkualiti

Konklusinya, dapatlah dirumus bahawa, keluarga bahagia adalah asas kepada wujudnya generasi
yang cemerlang dan terbilang. Sesebuah rumahtangga yang kita biasa dengar Baiti Jannati atau
rumahku syurgaku akan wujud dengan lahirnya keluarga yang bahagia. Seorang pemimpin yang
hebat akan lahir dalam keluarga yang mengamalkan disiplin berlandaskan ciri-ciri keagamaan
sebagai teras kemakmuran dalam sesebuah rumahtangga yang dibina. Seorang ketua keluarga yang
bijak dan bertanggungjawab mampu melahirkan masyarakat yang bebas daripada kecelaruan.
Mungkin tidak ada lagi kedengaran remaja lari dari rumah kerana berasa tertekan berada di rumah.

Saya akhiri pidato saya juga dengan serangkap pantun yang berbunyi;

Pusaka bonda itulah harta,

Menjadi warisan setiap generasi;

Keluarga bahagia idaman kita,

Modal insan berkualiti mampu direalisasi.

Sekian terima kasih, Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh dan salam sejahtera.

Anda mungkin juga menyukai