Anda di halaman 1dari 6

1.

0 DATA BUKU

Tajuk Resensi: Permata Islam Nusantara

Judul: Tok Kenali

Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

Penulis: Hayati Ridhwani

Cetakan Pertama: 2011

Dimensi Buku: Kehidupan dan Perjuangan

Bilangan muka surat: 251

Harga: RM24.00

ISBN 978-967-5783-89-0

Sebuah novel sejarah Islam yang berbentuk biografi tentang seorang tokoh pembangunan
pemikiran umat Islam Nusantara yang dihormati dan disegani, Tok Kenali. Semua kisah di
dalam novel ini berkisarkan perjalanan hidup permata Islam ini sejak kecil hinggalah beliau
dewasa yang diolah sendiri oleh cicit ulama ini.

2.0 BIODATA PENULIS

Buku yang mengandungi 251 halaman ini ditulis oleh Hayati Ridhwani atau nama
sebenarnya ialah Nor Hayati Mohd Redzwan yang berasal dari Kubang Kerian, Kota Bharu,
Kelantan. Beliau adalah graduan Ijazah Sarjana lulusan Universiti Islam Antarabangsa
dalam bidang Usuluddin dan Ilmu Perbandingan Agama yang kini bertugas sebagai seorang
pensyarah. Novel sejarah ini adalah sentuhan pena beliau yang pertama.

3.0 SINOPSIS

Siapa Tok Kenali? Nama yang tak perlu diperkenalkan lagi dalam masyarakat Melayu
Nusantara. Satu nama yang gah dalam ketokohan ilmu agama yang membawa banyak
perubahan terhadap agama Islam di Nusantara. Ulama ini dilahirkan pada tanggal tahun
1287H bersamaan 1868 Masihi. Awang Kenali atau nama sebenarnya ialah Muhammad
Yusuf bin Ahmad daripada keluarga Fatimah dan Ahmad yang berlatar belakangkan
pegangan agama yang kuat dalam kehidupan kemudian membesar menjadi seorang
pemuda yang cinta akan ilmu di sebalik kesusahannya dalam mengharungi kehidupan di
Kampung Paya atau Kampung Kenali. Namun dengan semangat dan iltizam yang kuat,
beliau pergi ke Mekah dengan hanya berbekalkan lima puluh ringgit, dan hanya mampu
menumpang tinggal di serambi Masjidil Haram.

Oleh sebab kedaifan hidup yang dialami, Awang Kenali hanya mampu belajar
dengan mendengar tanpa merujuk kepada kitab. Sukarnya hidup beliau tidak pernah
melunturkan semangatnya dalam menadah ilmu di Mekah. Selepas 25 tahun mengorbankan
masa mendalami pelbagai disiplin ilmu, akhirnya Tok Kenali pulang ke Kelantan untuk
berbakti kepada ummah. Tok Kenali seterusnya mendirikan rumah tangga dengan seorang
wanita yang bernama Cik Rokiah dan dikurniakan empat orang anak yang kesemuanya
lelaki.

Penglibatannya dalam bidang pendidikan dan agama meningkat sehingga dilantik


menjadi Timbalan Mufti. Daripada seorang guru pondok, kemudian dilantik pula menjadi
Ketua Pelajaran Agama Islam, sehinggalah akhirnya menjadi Timbalan Mufti. Beliau juga
pernah dilantik sebagai Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama. Tok Kenali juga
terkenal dalam kalangan masyarakat Kelantan khususnya bahawa beliau mempunyai
karamah yang dikurniakan oleh Tuhan hasil hubungannya yang amat rapat dengan Sang
Pencipta. Tok Kenali telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 2 Syaaban 1352,
bersamaan 19 November 1933.

4.0 KRITIKAN

Novel ini terbukti bukanlah sekadar hanya naskah picisan, sebaliknya mempunyai
keunikan yang tersendiri. Hal ini telah diperakui oleh seorang penulis novel sejarah Islam
yang boleh dipanggil “otai” di tanah air dengan menukilkan pandangan terhadap naskah ini:

“Kisah Tok Kenali ulama tersohor ini diolah sendiri oleh cicit beliau dengan gaya
penceritaan yang menarik, segar dan menyentuh sanubari. Menelusuri kisah hidup
wali Serambi Mekah yang ditulis penulis baru yang berbakat besar ini membuktikan
ilmu itu akar umbi kejayaan hidup…”

(Abdul Latip Talib, 2011)

Penulis juga ada meluahkan perasaannya setelah berjaya menghasilkan novel ini:

“Menulis buku moyang sendiri menjadikan diri saya ini tersangat dekat dengan
beliau. Sepanjang penulisan, saya membayangkan diri saya berada bersama beliau
di setiap lokasi dan memerhati segala gerak langkah dan perkataan yang diucapkan.
Kerana perasaan inilah, saya menulis dialog satu watak yang wujud dalam cerita
iaitu watak yang bernama Midah, yang dia juga seolah-olah mahu kembali ke zaman
Tok Kenali dan berguru dengan beliau. Tatkala menulis, saya sangat merindui beliau
biarpun tidak pernah bertemu”.

(Hayati Ridhwani, 2011)

Melihat judul buku ini, sudah jelas sekali bahawa, penulis bukan sekadar ingin para
pembaca mengenali moyangnya ini dengan lebih dekat lagi, malah buku ini sebenarnya
ingin mengajak pembaca supaya mengutip nilai-nilai dan semangat yang ditonjolkan oleh
Tok Kenali sepanjang kehidupannya. Tok Kenali memang dikenali sebagai seorang yang
bersemangat dalam menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu kepada orang awam walaupun
ketika beliau ditimpa kesakitan di hujung-hujung usianya. Hal ini dapat memberikan motivasi
kepada pembaca agar dapat mencontohi keazaman tokoh ilmuan Islam ini untuk mencapai
sesuatu kejayaan dalam era penuh cabaran ini.

Naskah ini ditujukan buat semua lapisan masyarakat tidak kira muda atau tua. Pada
pandangan saya, naskah ini amat bersesuaian untuk dijadikan sebagai bahan bacaan. Buku
ini mengandungi 20 bab kecil. Setiap bab dihuraikan dengan terperinci dengan gaya bahasa
yang mudah difahami. Kebanyakan laras bahasa yang digunakan ialah laras bahasa
agama. Plot penulisan novel yang tersusun dengan baik sekali bermula daripada detik Tok
Kenali dilahirkan sehinggalah akhir hayatnya membawa pembaca menghayati kisah
perjuangan ulama-ulama terdahulu dalam menyampaikan dakwah dan juga menegakkan
syiar Islam di Tanah Melayu. Hal ini menunjukkan penulis seorang yang bijak dalam
berkarya dengan menyampaikan biografi seseorang dalam bentuk novel yang
menggunakan pelbagai teknik seperti teknik pemerian dan dialog yang pada asalnya
dihimpun dengan pelbagai fakta. Hal ini menyebabkan pembaca tidak akan berasa bosan
ketika membaca buku ini. Sukar bagi saya sebagai pembaca untuk menemui kelemahan di
dalam novel ini. Penulis juga menggambarkan peribadi Tok Kenali sebagai wali Allah
dengan cara pemikiran beliau yang amat berbeza dari orang sekeliling, antaranya:

“Pernah dilihat oleh orang kampung, apabila Tok Kenali sedang membersihkan diri di
sungai, sebelum kaki mencecah air, ulat-ulat kecil yang sedang merayap-rayap di
kakinya itu diletakkan di atas bahu di tebing sungai. Baginya, kudis yang berada di
kaki adalah rezeki si ulat-ulat kecil itu.”

(Tok Kenali, m/s 242)

Adakah perkara di atas benar atau hanya sebuah mitos semata-mata? Pada
pandangan saya, perkara ini adalah suatu yang benar memandangkan Tok Kenali
merupakan seorang ahli Tasawuf. Orang yang mendalami ilmu ini sememangnya
mempunyai corak pemikiran yang berbeza kerana ilmu tasawuf merangkumi aspek
kebatinan. Mungkin menurut akal waras manusia biasa seperti kita, perbuatan beliau agak
berlebihan namun tidak bagi ulama Nusantara ini.

Seterusnya, dalam agama Islam, karamah atau kasyaf dianugerahkan kepada hamba-
hamba-Nya yang soleh. Jadi, tidak hairanlah jika Allah menganugerahkan karamah ini
kepada Tok Kenali. Antara karamah beliau yang diceritakan oleh penulis dalam novel ini,

“Seorang pakcik di sana berkata, pada tahun 1927, Tok Kenali pernah memberi
amaran berkenaan banjir besar akan berlaku dengan berkata, ‘Aku ada alamat akan
berlaku bah besar. Kerana itu kamu bersiap-sedialah’. Pak cik itu berkata lagi, kira-
kira sebulan selepas itu, berlaku bah besar di Kelantan.”

(Tok Kenali, m/s 212)

Ada juga cerita yang mengatakan bahawa Tok Kenali boleh berjalan di atas air dan ada juga
yang bercerita sewaktu Tok Kenali berada di Mekah, orang kampung melihatnya di berjalan-
jalan di sekitar Kelantan.

Novel ini juga mendedahkan Tok Kenali bukan sahaja dikenali masyarakat sebagai
seorang ulama dan tokoh falsafah, tetapi memperkenalkan kepada khalayak pembaca
bahawa beliau juga merupakan seorang pemuisi yang berbakat. Penulis telah
mengumpulkan himpunan-himpunan puisi dan doa Tok Kenali di dalam satu bab khas.
Antara syair Tok Kenali yang terkenal ialah syair berkenaan Bahaya Merokok yang diwarisi
daripada Tuan Guru Syeikh Wan Ahmad bin Ahmad Zain Mustafa al-Fathani. Walaupun
bait-baitnya melucukan tetapi mempunyai maksud yang mendalam.

‘Merokok itu hina, dungu, membazir dan keji,


Kerendahanlah bagi penghisap dan penagihnya, pasti,
Daripadanya menguap kemenyan hantu yang busuk dan diluati,
Kepulan asap dari bibirnya,
Mengasapi muka dan peribadi.’
(Tok Kenali, m/s 224-225)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam
Malaysia yang bersidang kali ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 Pusat Islam Kuala Lumpur
pada 23 Mac 1995 telah membincangkan isu merokok dari pandangan Islam dan telah
bersetuju memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana
padanya terdapat kemudharatan. Kita dapat lihat ketokohan Tok Kenali dengan
membahaskan isu ini sebelum diperbahaskan oleh ulama kontemporari Malaysia. Hal ini
menunjukkan kefaqihan beliau dalam ilmu agama.
5.0 PENUTUP

Kesimpulannya, novel ini penting untuk dibaca oleh segenap lapisan masyarakat
kerana mampu memberi inspirasi kepada pembaca. Harapan penulis adalah supaya
keturunan Tok Kenali yang lain dapat mencontohi kehidupan moyangnya dalam menuntut
dan membangunkan ilmu. Hal ini kerana setiap dari kita haruslah menjadikan perjuangan
Tok Kenali sebagai suatu kisah yang sarat dengan pengajaran dan iktibar dalam mendepani
dunia yang dihujani dengan fahaman-fahaman yang mampu menjatuhkan nilai peradaban
manusia. Tetapi, jangan sampai kita menjadi taksub terhadap tokoh ulama ini sehingga kita
melakukan sesuatu yang ditegah oleh syarak. Akhir kata, buku ini mempunyai kekuatan
yang tersendiri berbanding novel-novel lain di pasaran.
BIBLIOGRAFI

Hayati Ridhwani. (2011). Tok Kenali. Selangor: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

MEROKOK: HUKUM DAN PENYELESAIANNYA. (2015). Diperoleh pada 25 Februari 2017,


daripada Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/619-
merokok-hukum-dan-penyelesaiannya

Muhammad Yusuf bin Ahmad. (t.t). Diperoleh pada 25 Februari 2017, daripada
https://ms.wikipedia.org/wiki/Muhammad_Yusuf_bin_Ahmad

Roziyah Mahamad. (2011). Cicit Hasilkan Novel Sejarah Tok Kenali. Diperoleh pada 25
Februari 2017, daripada http://pts.com.my/berita/cicit-hasilkan-novel-sejarah-tok-
kenali/

Anda mungkin juga menyukai