Anda di halaman 1dari 2

Pengurusan Masa yang Tidak Efektif

Oleh: Siti Solehah Sari binti Mohd Maliki

Pengurusan masa yang baik bermaksud individu yang mampu menguruskan masa
secara berkesan bagi melakukan aktiviti harian dan berasa puas hati dengan apa yang dia
lakukan. Pengurusan masa yang efektif merupakan aspek yang penting dalam membina gaya
hidup yang sihat. Pengurusan masa melibatkan teknik untuk merancang dan menjadualkan
masa dengan aktiviti seharian. Teknik tersebut bertujuan meningkatkan keberkesanan
pengurusan masa bagi membantu individu mengendalikan masa dengan bijak dan
bertanggungjawab. Sebaliknya, pengurusan masa yang tidak sistematik boleh mengundang
akibat yang buruk terhadap kehidupan, kerjaya, kesihatan dan pelbagai aspek yang melibatkan
individu tersebut.

Antara kesan tidak mengamalkan pengurusan masa yang efektif ialah individu akan
mengalami tekanan hidup. Hal ini kerana mereka tidak mampu untuk menguruskan masa
dengan baik untuk menjalankan aktiviti seharian. Mereka mengambil endah akan kepentingan
menguruskan masa menyebabkan golongan ini tidak mempraktikkan gaya hidup yang sihat.
Kesannya, golongan ini mengalami tekanan akibat daripada bebanan kerja yang tertangguh.
Oleh itu, mereka yang tidak mampu menguruskan masa dengan sebaiknya perlulah mengambil
inisiatif membuat jadual harian serta mematuhinya mengikut ketetapan masa.

Seterusnya, akibat daripada mengendahkan pengurusan masa, golongan ini akan


mudah diserang penyakit. Mereka tidak memperuntukkan masa mereka untuk melakukan
aktiviti-aktiviti fizikal yang dapat memberikan manfaat terhadap kesihatan mereka. Antara
penyakit yang akan mereka hidapi ialah serangan sakit jantung, darah tinggi dan sebagainya.
Terdapat pelbagai amalan dan cara untuk menghindari penyakit-penyakit seperti berikut.
Antaranya ialah kita hendaklah memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 minit menjalankan
aktiviti yang melibatkan pergerakan anggota badan walaupun dengan hanya berjalan di
kawasan perumahan. Dengan menjadikan aktiviti tersebut sebagai amalan yang wajib dilakukan
pada setiap hari, badan kita akan sentiasa berada dalam keadaan cergas dan bermaya
berbanding apabila tidak melakukan aktivit. Tuntasnya, dapat disimpulkan bahawa seseorang
yang mengambil ringan terhadap pengurusan masa akan mudah diserang penyakit.
Selain itu, individu yang tidak mengamalkan perancangan masa yang baik juga akan
menjadi seseorang yang mudah marah dan gusar. Mereka tidak mampu untuk melakukan
sesuatu perkara mengikut urutan yang bijak dan lebih sistematik sebaliknya, mereka memilih
untuk melengah-lengahkan segala perkara yang sepatutnya mereka lakukan. Hal ini
menjadikan mereka seorang yang gusar dan tidak mempunyai ketenangan apabila
berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat lain kerana terdapat perkara-perkara yang
berada dalam fikiran mereka yang mereka terpaksa fikirkan dan siapkan dalam masa yang
terdekat. Perkara seperti ini acap kali berlaku dalam kalangan pelajar dan golongan yang
bekerja. Akibatnya, hati mereka menjadi tidak tenang dan seterusnya wujud pertelingkahan dan
pergaduhan antara individu tersebut dengan masyarakat di sekelilingnya. Hal ini dibuktikan
dengan kewujudan kes membelasah anak oleh ibu bapa yang bekerjaya dek kerana mereka
melemparkan amarah tersebut kepada anak-anak mereka yang tidak tahu apa-apa.
Kesimpulannya, benarlah bahawa golongan yang tidak mempunyai perancangan masa yang
baik akan menjadi seorang yang mudah marah dan sentiasa gusar.

Di samping itu, pengurusan masa yang tidak efektif juga mampu mengakibatkan
kurangnya masa untuk rehat. Hal ini yang demikian kerana kerja yang banyak tertangguh tidak
memberikan ruang kepada individu untuk berehat jika pengurusan masa tidak disusun dan
dirancang dengan sistematik. Tanpa pengurusan masa yang baik, kerja-kerja tidak dapat
diatur dengan baik dan individu juga tidak berpeluang mendapatkan rehat yang secukupnya.
Oleh itu, sebelum memulakan sesuatu kerja, rancang apa yang perlu dilakukan untuk
menyelesaikan kerja yang sepatutnya terlebih dahulu supaya dapat membukaruang untuk
berehat jika kerja dapat diselesaikan sebelum tempoh yang sepatutnya. Setelah mendapatkan
rehat yang secukupnya untuk meneruskan kerja-kerja yang lain. Tuntasnya, pengurusan masa
yang tidak efektif akan menjejaskan waktu rehat seseorang kerana banyak kerja yang
tertangguh tidak dapat diselesaikan.

Kesimpulannya, pengurusan masa itu amat penting bagi setiap individu kerana
membolehkan masa digunakan dengan sebaik-baiknya. Pengurusan masa yang teratur dan
terancang akan mendatangkan banyak kebaikan kepada seseorang individu. Namun, jika
pengurusan masa diabaikan dan tiada panduan serta matlamat yang jelas, hal ini akan
membawa kesan yang buruk dan akhirnya akan menyukarkan kehidupan harian seseorang
individu. Oleh itu, pengurusan masa yang tidak efektif harus diatasi oleh individu itu sendiri
kerana pengurusan masa setiap orang berbeza kerana aktiviti dan kegiatan yang dilakukan
adalah berbeza.

Anda mungkin juga menyukai