Anda di halaman 1dari 12

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/320583481

PENDEKATAN BERMAIN SEBAGAI WAHANA DALAM MEMPERTINGKAT


KEBERKESANAN PENGAJARAN JAWI

Article · October 2017

CITATIONS READS

0 867

2 authors:

Naquiah Nahar Jimaain Safar


Universiti Teknologi Malaysia Universiti Teknologi Malaysia
12 PUBLICATIONS   7 CITATIONS    31 PUBLICATIONS   304 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

MAHASISWA DAN KEHIDUPAN DARI PERSPEKTIF ISLAM View project

Global Perspectives on Teaching and Learning Paths in Islamic Education View project

All content following this page was uploaded by Naquiah Nahar on 24 October 2017.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


PENDEKATAN BERMAIN SEBAGAI WAHANA DALAM
MEMPERTINGKAT KEBERKESANAN PENGAJARAN JAWI
Naquiah Nahar
Jimaain Safar
Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia

ABSTRAK
Pendekatan bermain dalam pengajaran Jawi dilihat amat relevan dan merupakan kaedah
pembelajaran yang sangat dekat dengan jiwa serta menjadi fitrah kanak-kanak.
Pengajaran guru yang berasaskan aktiviti bermain berupaya menjadi medium untuk
membantu mengoptimumkan penyerapan ilmu dan kemahiran Jawi dalam kalangan
murid serta mampu berperanan sebagai wahana kepada pencapaian pengajaran guru
yang berkesan. Walau bagaimanapun, kajian mendapati aktiviti belajar melalui bermain
sering menerima persepsi negatif dari masyarakat, malah guru juga menghadapi pelbagai
kekangan untuk mengaplikasikan pendekatan bermain dalam pengajaran. Justeru, kajian
ini bertujuan untuk meninjau sejauh mana keberkesanan pendekatan bermain dalam
menghasilkan pengajaran Jawi yang berkesan berdasarkan contoh-contoh permainan
Jawi yang telah disarankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Metodologi yang
digunakan adalah kajian kepustakaan dan analisis dokumen. Rujukan dari jurnal-jurnal
ilmiah, laporan kajian serta tesis yang berkaitan digunakan bagi mengumpul maklumat
tentang konsep bermain, pendekatan bermain menurut perspektif Islam, jenis permainan
Jawi serta keberkesanan pendekatan bermain dalam menghasilkan pengajaran Jawi yang
berkesan. Berdasarkan kajian, dapatan menunjukkan bahawa pendekatan bermain yang
diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran berjaya menghasilkan
pengajaran Jawi yang berkesan dalam kalangan guru serta meningkatkan penguasaan
Jawi murid. Secara ringkasnya, dapat dirumuskan bahawa bermain adalah pendekatan
yang sangat berkesan berperanan untuk mempertingkat keberkesanan pengajaran guru
khususnya dalam pengajaran Jawi.

Kata kunci: Pendekatan Bermain, Permainan Jawi, Pengajaran Jawi Berkesan

ABSTRACT
Games approach in Jawi lessons seemed relevant and it is very close to the soul as well as
becomes the nature of children. Lessons based on games can become a medium to help
optimise the acquisition of knowledge and Jawi skills among students and serve as a tool for
an effective teaching. However, studies have found that learning activities through games
often receive negative perception from the public, even the teachers are also facing various
constraints to apply this approach in their teaching. Therefore, this study aims to evaluate
the effectiveness of games approach in producing an effective Jawi lessons based on the
examples of games on Jawi that have been recommended by the Ministry of Education. The
methodologies used in this study are literature review and document analysis. References
from scientific journals, research reports and related theses were used to gather information
about the concept and approach of games from Islamic perspectives, the types of Jawi games
and the effectiveness of Jawi games in producing an effective Jawi lessons. According to the
study, the findings show that the games approach applied in the teaching and learning
process managed to produce an effective Jawi lessons among teachers and improve students’

17
proficiency in Jawi. In summary, it can be concluded that games approach is very effective
to improve the effectiveness of teaching, especially in Jawi lessons.

Keywords: games approach, Jawi games, effective Jawi lessons

PENGENALAN
Bermain adalah kegiatan yang lumrah dilakukan oleh kanak-kanak dan menjadi fitrah
dalam kehidupan mereka. Bermain merupakan aktiviti yang memberikan kegembiraan
(Sharifah Nor & Aliza, 2011) dan kepuasan kepada kanak-kanak (Haslinda et al., 2015;
Mariani, 2015) tanpa mengambil kira hasilnya (Mariani & Siti Hawa, 2009) dan dilakukan
dengan atau tanpa menggunakan alat bagi memberikan informasi serta mengembangkan
imaginasi mereka (Anggani, 2006). Lazimnya, ‘bermain’ dipandang sebagai sesuatu yang
bertentangan dengan aktiviti ‘belajar’ dan sering disifatkan sebagai sesuatu kegiatan yang
tidak penting, remeh serta tidak mempunyai matlamat yang jelas (Whitebread et al.,
2012).

Walau bagaimanapun, persepsi negatif khususnya daripada ibu bapa yang


menganggap bermain adalah aktiviti yang sia-sia dan tidak bermanfaat harus
diperbetulkan kerana kajian telah membuktikan bahawa melalui bermain, kanak-kanak
akan mendapat ketenangan fikiran, seterusnya mampu melaksanakan sesuatu aktiviti
dengan lebih baik (Ramlah, 2016). Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (1989)
dalam penyataan mereka telah menegaskan bahawa bermain merupakan salah satu
daripada hak kanak-kanak selain berehat, beriadah dan berseronok (Noriati et al., 2012).

Aktiviti bermain juga merupakan salah satu medium atau cara bagi kanak-kanak
mempelajari untuk mengenal dan memahami dunia sekeliling serta persekitarannya.
Melalui bermain, kanak-kanak belajar berkomunikasi dengan rakan dan orang di
sekeliling mereka, mengasah kemahiran berinteraksi dengan persekitaran serta berlatih
untuk menyesuaikan diri dengan situasi sekeliling. Proses pembelajaran kanak-kanak
bagi memperoleh kemahiran dan keupayaan memahami tentang dunia di sekeliling
mereka juga dikatakan lebih efektif melalui bermain.

Selain daripada mempunyai peranan penting dalam proses perkembangan fizikal,


kognitif, psikomotor, sosial dan afektif kanak-kanak (Aswati et al., 2009; Ramlah, 2016),
bermain juga dikatakan memberi ruang bagi mereka untuk meningkatkan kepercayaan
diri dan penguasaan (Zakiah et al., 2012). Di samping itu, bermain juga merupakan suatu
perantaraan bagi kanak-kanak untuk meluahkan emosi, menzahirkan keinginan,
membina jaringan hubungan dan berkongsi pengalaman (Aswati, et al., 2009), selain
berupaya membantu kanak-kanak mengasah kecekapan serta meningkatkan keyakinan
diri dan membina kemantapan jati diri bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

Berdasarkan penyataan-penyataan ini, tidak dapat dinafikan bahawa bermain


merupakan aktiviti yang amat sinonim dengan kehidupan kanak-kanak serta memainkan
peranan yang besar dalam perkembangan diri mereka. Menyedari kelebihan ini, aktiviti
bermain dilihat seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya dalam proses pendidikan serta
penyampaian ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak kerana kajian telah membuktikan
bahawa mereka lebih mudah menerima ilmu dalam suasana pembelajaran yang
dilaksanakan melalui pendekatan bermain. Merujuk kepada konteks sistem pendidikan
di Malaysia, pendekatan bermain telah melalui fasa aplikasi penggunaannya dalam
hampir mata pelajaran di peringkat prasekolah dan sekolah rendah khususnya. Justeru,
kajian ini dilaksanakan adalah untuk meninjau pula permainan bagi mata pelajaran Jawi

18
yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di samping meninjau
keberkesanan penggunaannya dalam menghasilkan pengajaran Jawi yang berkesan.

KONSEP BELAJAR MELALUI BERMAIN


Salah satu cabaran terbesar yang terpaksa dihadapi oleh para pendidik masa kini
khususnya Guru Pendidikan Islam ialah untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan
dalam proses menyampaikan ilmu dan kemahiran Jawi terhadap pelajar. Guru
Pendidikan Islam terpaksa berusaha mencari kaedah serta pendekatan pengajaran yang
dirasakan paling sesuai dan berkesan untuk diaplikasikan semasa pengajaran Jawi agar
proses pemindahan ilmu serta kemahiran dalam Jawi berlaku semaksima yang mungkin.
Guru Pendidikan Islam juga perlu bijak melakukan pemerhatian dan membuat justifikasi
ke atas gaya pembelajaran pelajar mereka. Dalam erti kata lain, kaedah serta pendekatan
pengajaran yang diaplikasi oleh seseorang guru harus sentiasa bertepatan dan selari
dengan tahap kemampuan serta gaya pembelajaran pelajarnya.

Walaupun terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan oleh guru sesuai
dengan gaya pembelajaran pelajar, namun pendekatan bermain atau kaedah belajar
melalui bermain dilihat sebagai elemen yang penting dan sangat relevan dengan proses
pembelajaran kanak-kanak. Belajar melalui bermain merupakan suatu pendekatan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan teknik bermain dalam
menyampaikan sesuatu isi pembelajaran (Jaslinah, 2012). Konsep belajar melalui
bermain merupakan kaedah pembelajaran yang sangat dekat dengan jiwa pelajar kerana
bermain merupakan keinginan semulajadi mereka yang mampu berperanan sebagai
medium bagi membantu meningkatkan pembelajaran ke tahap yang optimum (Zakiah et
al., 2013; Haslinda et al., 2015) melalui pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar.
Bermain dikatakan adalah ‘kehidupan’ bagi setiap kanak-kanak, justeru setiap aktiviti
dalam dunia kehidupan kanak-kanak haruslah berasaskan ciri-ciri bermain di dalamnya
agar seimbang dengan perkembangan mereka.

Bermain juga merupakan kaedah yang paling efektif (Siti Fatimah & Najeemah,
2012) untuk merangsang proses pembelajaran (Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak,
2013) kerana pembelajaran akan berlaku dengan berkesan ketika kanak-kanak berada
dalam suasana yang menyeronokkan (Aliza & Zamri, 2015) dan menggembirakan. Malah,
pembelajaran akan berlaku secara holistik melalui kaedah bermain kerana pelbagai
perkara dapat dipelajari oleh kanak-kanak walaupun hanya dengan satu jenis permainan
(Noriati et al., 2012). Belajar melalui bermain juga adalah pendekatan yang terancang
dan berstruktur (Siti Fatimah & Najeemah, 2012) yang membekalkan murid dengan
kesempatan untuk menghadapi aktiviti pembelajaran dalam persekitaran yang lebih
bermakna dan menyeronokkan (Sharifah Nor & Aliza, 2011; Jaslinah, 2012; Siti Farhana
& Mahaliza, 2014), di samping berperanan membekalkan murid pengalaman secara
langsung dengan objek dan menggalakkan kanak-kanak membina perhubungan dengan
individu dan objek di persekitarannya secara optimum (Zakiah et al., 2012). Apabila
seseorang kanak-kanak berinteraksi dengan dunia sekitarnya secara aktif, maka
pengetahuan akan terbina dengan sendiri (Zakiah et al., 2013).

Secara asasnya, ‘bermain’ dan ‘permainan’ adalah signifikan dengan aktiviti


pembelajaran dan bukanlah sesuatu yang asing dalam proses perkembangan kanak-
kanak, namun guru mempunyai persepsi yang berbeza-beza terhadap penggunaan
pendekatan bermain dalam proses pengajaran di kelas (Pui-Wah & Stimpson, 2004)
disebabkan aspek kekangan masa, kekurangan bahan permainan dan kawalan kelas yang
menyukarkan guru. Lazimnya, permainan berbentuk drama, teka silang kata, teka teki,

19
kotak beracun dan permainan yang menggunakan objek konkrit seperti dam ular, kad
bergambar, kad huruf, kad suku kata dan sebagainya adalah bentuk permainan yang
sering diaplikasikan oleh guru dalam aktiviti pembelajaran di kelas. Kanak-kanak yang
didedahkan dengan aktiviti bermain semasa proses pembelajaran ini akan mampu
menguasai kemahiran psikomotor, kemahiran koordinasi mata tangan, kemahiran
berbahasa meliputi perbendaharaan kata dan kemahiran tatabahasa (Imran et al., 2010),
selain berupaya meningkatkan kemahiran kognitif, pemikiran inovatif, kritis dan kreatif
serta membekalkan pengalaman tentang konsep toleransi, kerjasama dan peraturan-
peraturan yang harus dipatuhi dalam sesuatu permainan.

Melalui aplikasi permainan tersebut, tahap motivasi dan keupayaan minda kanak-
kanak juga mampu dirangsang ke tahap paling maksima melalui penerokaan, inkuiri,
pembinaan serta penemuan secara semulajadi (Zakiah et al, 2012). Kanak-kanak akan
mempunyai motivasi untuk belajar dan meningkatkan minatnya untuk terus mengikuti
pembelajaran dengan rela hati tanpa adanya tekanan apabila keperluan bermain mereka
dipenuhi (Landreth et al., 1999; Ramlah, 2016) kerana semasa bermain kanak-kanak
sebenamya bekerja bersungguh-sungguh bagi menguasai sesuatu kemahiran (Zakiah et
al., 2012).

Walau bagaimanapun, sebelum seseorang guru melaksanakan pendekatan


belajar melalui bermain, perancangan yang teliti dan tersusun perlu diberi perhatian
sewajarnya dalam usaha menyediakan pengalaman bermain bagi memastikan
peningkatan perkembangan semua domain pelajar khususnya domain kognitif, fizikal,
afektif dan sosial berlaku secara seimbang. Hal ini kerana bermain juga boleh menjadi
aktiviti yang sia-sia dan membahayakan jika guru tidak mempunyai kemahiran serta
kecekapan secukupnya dalam mengurus perjalanan proses pembelajaran berasaskan
permainan tersebut (Hyvonen, 2011).

Oleh itu, guru harus mempunyai pemahaman yang komprehensif tentang konsep
bermain dalam aktiviti pembelajaran murid bagi mengelakkan pelaksanaan aktiviti
bermain yang tidak dirancang dengan baik (Bergen, 2009) atau memberi gambaran
bahawa bermain adalah aktiviti yang membahayakan kanak-kanak. Justeru, dalam
konteks pengajaran Jawi yang berkesan, bentuk permainan yang dirancang untuk
diaplikasikan dalam pembelajaran murid juga hendaklah dipastikan oleh Guru
Pendidikan Islam selari dengan content ilmu, kemahiran serta nilai yang hendak
diterapkan kepada pelajar bagi menghasilkan pembelajaran Jawi yang menyeronokkan,
menarik minat murid, penyerapan ilmu yang optimum serta mengikut kehendak yang
selaras dengan objektif Pelajaran Jawi.

PENDEKATAN BERMAIN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


Islam merupakan agama yang bersifat syumul, sejagat, menyeluruh dan mencakupi
segenap bidang kehidupan (Nor Shahida & Sanep, 2013) termasuk aspek pendidikan
serta pembelajaran kerana kedua-duanya adalah asas utama dalam pembentukan
tamadun manusia (Mohd Rosdi, 2009). Ilmu tentang perkembangan, asuhan serta
pendidikan kanak-kanak telah dibahaskan oleh para cendikiawan dan ilmuwan Islam
yang tersohor (Mastura, 2013), malah pendekatan bermain sebagai salah satu proses
pembelajaran kanak-kanak tidak ketinggalan turut diperkatakan oleh tokoh pemikir
Islam seperti Al-Ghazali, Ibnu Sina, Ikhwan Safa dan lain-lain (Mohammad Rahimee,
2015).

20
Menurut Mastura (2013), Imam Al-Ghazali amat memberi penekanan terhadap
aspek belajar melalui bermain sebagai asas dalam proses mendidik dan mengasuh serta
pembentukan sosio-emosi kanak-kanak. Pendekatan bermain juga menurut sudut
pandang Imam Al-Ghazali menyumbang ke arah perkembangan fizikal dan kognitif
pelajar di samping digambarkan sebagai medium untuk menyelami kecenderungan
semulajadi kanak-kanak yang harus diberi pertimbangan sewajarnya. Imam Al-Ghazali
turut mencadangkan pendekatan bermain sebagai suatu elemen pembelajaran pada
waktu lapang kanak-kanak.

Berdasarkan buku Ihya’ Ulumuddin karangan beliau yang mengandungi 16 jilid,


Al-Ghazali membahaskan bahawa bermain bukanlah sekadar suatu aktiviti spontan yang
dilakukan oleh kanak-kanak sebaliknya bermain mempunyai tiga peranan utama di
dalam perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Peranan pertama menurut Al-Ghazali
ialah bermain merangsang perkembangan fizikal dan menguatkan seluruh bahagian
tubuh manusia (Fadhila Hanani, t.th). Kedua, bermain berperanan memberikan
keseronokan, kebahagiaan dan kegembiraan dalam perkembangan sosio emosi kanak-
kanak, manakala yang ketiga pula berperanan melepaskan kanak-kanak daripada
menghadapi tekanan semasa belajar dan membuatkan kanak-kanak merasakan
pembelajaran adalah sesuatu yang penuh dengan keseronokan dan kegembiraan.

Mastura (2013) juga turut mengutarakan pendapat Ibnu Sina (980-1036) dalam
bukunya ‘Canon of Medicine’ yang menyatakan bahawa kanak-kanak yang berusia hingga
enam tahun harus didisiplinkan dan dididik beransur-ansur agar mengelakkan mereka
daripada tidak mahu mengikuti pembelajaran iaitu dengan cara bermain secara berkala,
bergembira dan berehat. Kanak-kanak juga tidak seharusnya dipaksa untuk mempelajari
subjek yang sembarangan, tetapi sebaliknya mereka harus belajar subjek yang secocok
dengan bakat dan kecenderungan mereka. Ibnu Sina juga mencadangkan pembelajaran
dan bermain secara berkumpulan dalam kelompok rakan hampir sebaya tetapi bukan
dalam kalangan umur yang sama. Pandangan Ibnu Sina tentang kepentingan bermain
juga lebih berkait rapat dengan aktiviti fizikal, justeru ia melambangkan peranan besar
yang dimainkan dalam perkembangan fizikal kanak-kanak. Aktiviti permainan yang
menggunakan tenaga adalah kayu ukur kepada tahap kesihatan kanak-kanak dalam
perkembangan tumbesarannya.

Menurut Abu Hilal et al. (1993) pula, At-Tahtawi menekankan tentang betapa
pentingnya guru berlemah lembut kepada kanak-kanak dalam proses pengajaran dan
pembelajaran serta mengingatkan guru tentang implikasi negatif yang akan berlaku
terhadap perkembangan mental kanak-kanak jika guru menggunakan kekasaran lebih-
lebih lagi jika mereka cuba memisahkan kanak-kanak daripada aktiviti bermain.
Manakala Al-A’udat (1992) pula telah menyenarai dan memperincikan bermain sebagai
salah satu daripada lapan hak kanak-kanak yang termaktub dalam undang-undang Islam.
Menurut beliau, bermain adalah perkara paling utama ditekankan dalam kehidupan
kanak-kanak terutama ketika usia awal kanak-kanak memandangkan peringkat ini amat
penting bagi mereka berinteraksi dengan dunia sekeliling.

Malah, aspek bermain dalam kalangan kanak-kanak juga turut disentuh dalam
kitab suci Al-Quran al-karim melalui surah Yusuf ayat 12 yang menceritakan tentang adik
beradik Nabi Allah Yusuf yang telah meminta izin daripada Nabi Yaakub untuk membawa
baginda keluar bermain dan Nabi Yaakub telah memberi keizinan. Berdasarkan ayat ini
jelas membuktikan Islam memberi pengiktirafan serta menggalakkan naluri bermain di
dalam diri kanak-kanak (Mohammad Rahimee, 2015). Begitu juga berdasarkan riwayat
dalam As-Sohihain dari Anas R.A yang menyatakan dia berkata “Ketika aku sedang
bermain-main bersama beberapa kanak-kanak lain tiba-tiba Rasulullah SAW datang dan
mengutusku untuk suatu keperluan”. Baginda Rasulullah SAW juga membawa anak

21
patung dan boneka untuk Aisyah untuk digunakan sebagai alat permainan ketika
bermain-main sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari Muslim.

Oleh yang demikian, pendekatan belajar melalui bermain bukanlah sesuatu yang
bercanggah dengan agama Islam dan bukan suatu yang asing dengan konsep
pembelajaran dan pengajaran menurut konteks Islam, malah turut disyorkan oleh para
sarjana Islam untuk diaplikasikan dalam proses pembelajaran kanak-kanak. Justeru,
pendekatan bermain dilihat amat relevan dengan dengan proses pengajaran dan
pembelajaran Jawi dan merupakan suatu medium mampu menghasilkan pengajaran guru
yang berkesan.

PERMAINAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN JAWI


Proses pembelajaran melalui pendekatan bermain amat dititik beratkan dalam sistem
pendidikan di Malaysia seawal pendidikan di prasekolah. Mata pelajaran Jawi turut tidak
terkecuali daripada menerima tempias pengamalannya dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di kelas. Terdapat pelbagai jenis permainan telah disarankan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia untuk diimplemenkan dalam pengajaran Jawi.
Permainan Jawi telah direka dalam bentuk pertandingan yang disertakan dengan
peraturan tertentu (Akmariah & Sofiah, 2010) sebagai motivasi kepada murid agar
berlumba-lumba memberi komitmen sepenuhnya terhadap aktiviti pembelajaran
seterusnya membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Antara permainan yang disyorkan untuk Guru Pendidikan Islam


mengaplikasikannya dalam pengajaran Jawi bagi topik kemahiran huruf tunggal Jawi
ialah boling Jawi, tenteng Jawi, main keretapi dan main kad. Manakala permainan bagi
topik suku kata Jawi pula antaranya ialah sahibba Jawi, pancing ikan, rumah merpati dan
roda impian Jawi.

i. Boling Jawi

Permainan Boling Jawi memerlukan alatan yang diperoleh daripada bahan terbuang
seperti tin susu yang diwarnakan dan ditulis dengan huruf Jawi tunggal. Tin susu
hendaklah disusun supaya menjadi bentuk seperti piramid sebelum murid membaling
bola kecil ke arah piramid tin tersebut. Tin yang jatuh mewakili huruf yang harus disebut
oleh murid dan markah akan diberikan kepada murid yang dapat menyebut huruf dengan
betul. Permainan ini menguji kemahiran mengenal huruf tunggal Jawi dan bagi
memperkukuh kemahiran menulis, guru disarankan supaya memberikan lembaran kerja
bagi melatih murid menguasai kemahiran menulis huruf dengan betul.

ii. Tenteng Jawi

Kawasan yang lapang diperlukan untuk dijadikan tapak petak tenteng bagi memudahkan
murid membuat lompatan. Murid yang mendapat cabutan undian huruf alif akan
memulakan permainan dengan membaling ceper ke dalam petak tenteng yang telah
dinomborkan. Murid dikehendaki mencabut sampul yang mempunyai nombor yang
sama dengan nombor petak tenteng tempat cepernya jatuh dan menyebut huruf-huruf
yang terdapat dalam sampul tersebut. Murid yang dapat menyebut huruf dengan betul
boleh meneruskan permainan sehinggalah berjaya menyelesaikan lompatan dan
menyebut huruf-huruf yang terdapat dalam kad dengan tepat.

22
iii. Sahibba Jawi

Murid dikehendaki menyusun huruf-huruf Jawi yang disediakan di atas tapak sahibba
bagi membentuk suku kata dan menyebut bunyi suku kata tersebut. Setiap suku kata
yang dapat disebut dengan betul akan diberikan markah setelah mereka menyalin semula
suku kata tersebut di lembaran kerja yang disediakan.

iv. Pancing Ikan

Guru perlu menyediakan objek berbentuk ikan yang dikerat menjadi dua bahagian,
batang pancing dan juga lembaran kerja. Murid akan memancing ikan yang bertulis suku
kata dan menampalnya di papan hitam. Murid akan cuba memancing suku kata lain untuk
dicantumkan dengan suku kata yang pertama yang telah dipancing sehingga berjaya
membentuk perkataan. Pemenang akan dikira berdasarkan jumlah perkataan yang
paling banyak dapat dibina hasil cantuman suku kata di objek ikan yang dipancing.
Perkataan yang telah dibina daripada suku kata tersebut pula akan ditulis dalam
lembaran kerja yang disediakan.

v. Roda Impian Jawi

Murid dikehendaki memilih dan menyebut satu huruf Jawi atau satu suku kata sebelum
memusing roda yang disediakan. Pusingan roda akan berhenti dan penanda akan
menghala kepada salah satu huruf atau suku kata. Murid diminta menyambung dan
mengeja suku kata menjadi suatu perkataan. Perkataan yang berjaya dieja dan
disambung menjadi perkataan yang betul akan mendapat markah.

Walaupun terdapat pelbagai jenis permainan yang telah disarankan oleh


Kementerian Pendidikan Malaysia bagi guru melaksanakannya dalam pengajaran Jawi,
namun guru juga boleh mencipta sendiri permainan yang lain mengikut kreativiti mereka
berdasarkan kesesuaian persekitaran kelas, aras kebolehan murid serta gaya
pembelajaran murid masing-masing. Seiring dengan kepesatan teknologi maklumat
dalam dunia tanpa sempadan ini, guru juga boleh menggunakan permainan dalam bentuk
perisian melalui aplikasi tertentu. Proses pembelajaran murid yang berlaku melalui
pendekatan secara bermain sudah tentu akan menarik minat mereka untuk mengikuti
pembelajaran di samping memudahkan guru dalam proses penyampaian ilmu serta
kemahiran dalam Jawi, seterusnya menghasilkan pengajaran Jawi yang berkesan.

KEBERKESANAN PENDEKATAN BERMAIN DALAM


MENGHASILKAN PENGAJARAN JAWI BERKESAN
Pendekatan atau kaedah yang diaplikasi oleh seseorang guru amat penting dalam
menentukan kejayaan serta keberkesanan sesebuah pengajaran. Proses pengajaran dan
pembelajaran merupakan suatu proses yang hidup, tidak beku dan sentiasa menerima
pelbagai perubahan mengikut peredaran waktu serta keperluan manusia semasa (Hairun
Najuwah & Siti Nurhajariah, 2014). Oleh itu, pendekatan yang digunakan oleh guru
tentunya berbeza mengikut subjek, objektif pembelajaran yang dirangka, matlamat mata
pelajaran serta kehendak semasa. Pendekatan bermain juga merupakan salah satu
daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang telah menerima perubahan seiring
dengan keperluan pendidikan masa kini.

Bagi mata pelajaran Jawi, pendekatan bermain mempunyai impak yang sangat
besar terhadap pembelajaran murid serta keberkesanan pengajaran guru. Berdasarkan

23
kajian Asmawati et al. (2014), didapati bahawa 94.8% daripada 397 orang guru j-QAF di
Selangor mengaplikasikan teknik permainan Tenteng Jawi bersetuju teknik tersebut
berkesan bagi kemahiran mengenal huruf tunggal diikuti oleh teknik permainan ‘Mencari
Harta Karun’ (92.5% bersetuju) dan teknik ‘Rumah Merpati’ (91.4% bersetuju) bagi
kemahiran mengenal, membaca dan menulis suku kata. Melalui aplikasi permainan yang
tergolong dalam ‘main kognitif’ ini membekalkan murid dengan kemahiran membuat
keputusan dan berfikir secara lebih logik. Murid dilatih untuk kemahiran mengecam dan
mengenal huruf tunggal Jawi serta membaca dan menulis suku kata dalam suasana
pembelajaran yang lebih santai, tanpa tekanan dan menyeronokkan yang menghasilkan
proses penyerapan ilmu yang optimum dalam kalangan murid. Apabila proses
penyerapan ilmu dan kemahiran dalam Jawi berlaku dengan jayanya, maka ketika itulah
pengajaran guru itu dikatakan berkesan.

Pendekatan bermain juga merangsang minda murid untuk berfikir dengan kritis
ke tahap yang optimum menerusi penerokaan, pembinaan, inkuiri serta penemuan secara
semulajadi dalam proses pengajaran dan pembelajaran Jawi. Guru yang mengaplikasikan
pendekatan bermain dalam pengajaran Jawi berupaya mengasah daya berfikir murid dan
mencabar minda mereka untuk menguasai konsep dan kemahiran dalam Jawi dengan
berkesan. Seiring dengan kajian Hairul Aysa & Rohana (2010), dapatan menunjukkan
jumlah skor yang diperoleh oleh murid kajian bagi kemahiran membaca perkataan dua
suku kata menggunakan permainan Dam Ular Jawi meningkat daripada hanya 21 soalan
yang dijawab dengan betul dalam pusingan pertama kepada 74 soalan dalam pusingan
kelima. Peningkatan ini menunjukkan bahawa proses penyampaian ilmu dan kemahiran
Jawi dalam pembelajaran murid telah berlaku scara komprehensif, yang menandakan
guru telah berjalan berjaya menghasilkan suatu bentuk pengajaran yang berkesan.

Berdasarkan kajian Arifin, Rohani & Adnan (2012) pula, seramai 215 daripada
255 orang murid (84.3%) menyatakan pengajaran Jawi yang paling berkesan ialah
melalui aktiviti bermain. Dapatan ini menggambarkan bahawa pendekatan bermain
adalah pendekatan yang paling disenangi oleh kebanyakan murid, malah mereka
mengakui pengajaran guru yang menggunakan teknik bermain lebih berkesan daripada
pengajaran guru menggunakan teknik yang lain. Melalui bermain semasa belajar, murid
lebih mudah memahami konsep ilmu yang disampaikan oleh guru seterusnya
merealisasikan berlakunya proses pengajaran yang berkesan.

Pendekatan belajar melalui bermain juga dapat memberikan keseronokan kepada


murid untuk mengikuti pembelajaran dengan sepenuh perhatian serta menghasilkan
keseimbangan emosi. Menurut kajian Siti Fadzilah (2016), keseimbangan emosi yang
tercerna hasil dari keseronokan ketika mengikuti pembelajaran melalui aktiviti bermain
ini telah meningkatkan penguasaan kemahiran membaca dan menulis gabungan suku
kata jawi seterusnya menyuburkan minat murid terhadap mata pelajaran Jawi.
Pengajaran guru menggunakan teknik permainan Ting-Ting Minda didapati berkesan
apabila murid menunjukkan peningkatan yang ketara dalam markah ujian pos yang
dijalankan. Hal ini menunjukkan bahawa guru telah berjaya menghasilkan pengajaran
Jawi yang berkesan melalui penggunaan teknik permainan Ting-Ting Minda ketika
mengajar kemahiran membaca dan menulis suku kata Jawi.

Menurut Azlan Shah (2012), pendekatan bermain bukan sahaja menghasilkan


pengajaran guru yang berkesan malah berupaya meningkatkan amalan kendiri seseorang
guru itu. Keberkesanan pengajaran guru dapat dilihat melalui peningkatan markah
secara puratanya sebanyak 28% dalam kalangan lima orang murid setelah diaplikasikan
kaedah permainan Kad Huruf Bergrafik bagi kemahiran mengenal dan menyebut huruf
Jawi yang hampir sama bentuk. Peningkatan ini menggambarkan bahawa murid lebih
mudah mengenal huruf Jawi yang mempunyai bentuk yang sama apabila belajar secara

24
bermain menggunakan kad huruf bergambar. Teknik belajar melalui bermain ini
mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif kerana murid berinteraksi secara
langsung dengan bahan dan memungkinkan penyerapan ilmu yang berkesan kerana
pengajaran adalah berpusatkan murid dan bahan.

Secara ringkasnya, bermain memberikan peluang pembelajaran secara timbal


balik bukan sahaja kepada murid malah kepada guru juga. Pendekatan bermain dalam
pembelajaran bukan sahaja membekalkan murid teknik sebenar dalam belajar, tetapi
juga membolehkan guru memahami dan mempelajari tentang keperluan anak didik
mereka (Hyvonen, 2011). Apabila guru mampu menjiwai keperluan dan perkembangan
dalam diri murid, maka akan memudahkan guru mencari pendekatan terbaik dalam
usaha untuk menyampaikan ilmu tentang Jawi secara optimum melalui pengajaran yang
berkesan. Hal ini kerana apabila keperluan bermain murid dipenuhi, secara tidak
langsung akan meningkatkan minat mereka terhadap pembelajaran Jawi serta
memotivasikan mereka untuk terus mempelajari Jawi. Dalam erti kata lain, keseronokan
murid bermain, penglibatan secara menyeluruh dan aktif melalui pengalaman serta
penggunaan bahan konkrit dalam aktiviti pembelajaran secara berpusatkan murid dan
penguasaan murid yang mantap terhadap ilmu dan kemahiran Jawi menunjukkan guru
telah berjaya menghasilkan pengajaran Jawi yang berkesan.

PENUTUP
Penggunaan pendekatan bermain dalam pengajaran Jawi yang dirancang dengan rapi
mengikut kreativiti dan kebijaksanaan guru merupakan suatu medium ke arah
penghasilan proses pembelajaran Jawi yang menarik, menyeronokkan, mencabar minda
serta membina kemahiran-kemahiran kognitif dalam kalangan murid seterusnya
melahirkan pengajaran guru yang berkesan. Konsep belajar melalui bermain amat
relevan dengan keperluan pembelajaran masa kini yang menekankan pengajaran
berpusatkan murid dan secara hands-on learning. Justeru, bagi memastikan
keberkesanan pengajaran guru melalui pendekatan bermain dalam aktiviti pengajaran
Jawi, guru perlu bijak membuat perancangan dengan merangka objektif pembelajaran
dengan teliti, mengenal pasti bahan-bahan sumber yang akan digunakan sebagai alat
permainan dalam pengajaran dengan mengambil kira kesesuaiannya dengan aras
pembelajaran murid serta menyusun strategi pelaksanaan aktiviti dengan teratur dan
sistematik. Kreativiti serta pengetahuan guru tentang pendekatan pengajaran berkesan
yang paling hampir dengan fitrah kanak-kanak sudah tentu berupaya menghasilkan
pengajaran guru yang berkesan dan memastikan penguasaan kemahiran Jawi yang
mantap dalam kalangan murid.

RUJUKAN
Abu Hilal, A. et al. 1993. Al-marji’ fi mabadi al-Tarbiyyah. Amman, Dar As-Syuruq.
Akmariah Mamat & Sofiah Ismail. 2010. Pengajaran dan pembelajaran guru pemulihan
Jawi di Malaysia. Proceedings of The 4th International Conference on Teacher
Education; Join Conference UPI & UPSI Bandung, Indonesia, 8-10 November 2010.
Al-A’udat, M.A. 1992. Child right in the Islamic law. At-Tarbiyyah Journal, No. 102, pp.183-
193.
Aliza Ali & Zamri Mahammod. 2015. Analisis keperluan terhadap pengguna sasaran modul
pendekatan berasaskan bermain bagi pengajaran dan pembelajaran kemahiran
bahasa kanak-kanak prasekolah. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik.
Januari 2015, Bil. 3 Isu 1.

25
Anggani Sudono. 2006. Sumber belajar dan alat permainan untuk pendidikan usia dini.
Jakarta: PT Grasindo.
Ariffin Mamat, Rohani Kamis & Adnan Abdul Rashid. 2012. Student’s perceptions towards
the teaching and learning of Jawi (Arabic letter) under j-QAF programme: A case
study at selected government primary schools in the district of Hulu Selangor.
International Conference on Quality Teaching & Learning (ICQTL). 23-24 October
2012, 112-113.
Aswati Hamzah, Sharifah Norhaidah Syed Idros & Zakiah Mohamad Ashari. 2009.
Peranan aktiviti bermain dalam merangsang dimensi perkembangan kognitif
kanak-kanak prasekolah. Diges Pendidik. Jilid 9, Bil. 2/2009.
Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PERMATA). 2013. Kurikulum Permata Negara.
Cyberjaya: Jabatan Perdana Menteri.
Bergen, D. 2009. Play as the learning medium for future scientists, mathematicians and
engineers. American Journal of Play, Spring, 413-428.
Fadhila Hanani Mohd Ali. (t.th). Ghazali. www.academia.edu. Dimuat turun pada 2
Januari 2017.
Hairun Najuwah Jamali & Siti Nurhajariah Md Isa. 2014. Aplikasi teknik pembelajaran
pantas dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab. GSE Journal of
Education. Vol 2(2) 2014.
Haslinda Tahir Shah, Lilia Halim & Zanaton Ihsan. 2015. Kaedah bermain dalam
meningkatkan minat orang asli terhadap sains. International Conference on
Language, Education and Innovation. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. 16-
17 Mac 2015.
Hyvonen, P.T. 2011. Play in the school context? The perpestives of Finnish teachers.
Australian Journal of Teacher Education, 36(8).
Imran Ariff Ariffin, Faizul Ab Kadir, Khadijah Ibrahim et al. 2010. Kajian-kajian lepas
berkaitan pendidikan awal kanak-kanak di peringkat tadika atau prasekolah.
Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris. http://www.academia.edu.
Dimuat turun pada 11 Disember 2016.
Jaslinah Makantal. 2012. Perkembangan kemahiran sosial kanak-kanak melalui bermain:
Satu kajian kes di sebuah prasekolah. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan
Idris. Tesis Sarjana Tidak Diterbitkan.
Landreth G. L., Baggelly, J., & Tyndall, A. L. 1999. Beyond adapting adult counseling skills
for use with children: The paradigm shift to child-centered play therapy. Journal of
Individual Psychology, 55(3), 272-288.
Mastura Badzis. 2013. Pendidikan anak-anak di peringkat awal umur berasaskan binaan
kurikulum yang integratif. Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Minda Madani. http://mindamadani.my. Dimuat turun pada 12 Disember 2016.
Mariani Md Nor. 2015. Kepentingan bermain dalam pendidikan prasekolah. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya. http://documenslide.com. Dimuat turun pada 28
September 2016.
Mariani Md Nor & Siti Hawa Abdullah. 2011. Pendekatan main dalam menangani masalah
pembelajaran kanak-kanak. Diges Pendidik. Jilid 9, Bil.2/2009.
Mohammad Rahimee Ibrahim. 2015. Penggunaan teknologi di dalam pendidikan awal
Islam kanak-kanak. Prosiding Persidangan Antarabangsa Fiqh Semasa &
Perundangan Islam 2015. Indonesia: Batam. Hlm. 147-153
Mohd. Rosdi Mahamud. 2009. Mata pelajaran Pendidikan Islam dan kesannya terhadap
peningkatan disiplin pelajar: Kajian di sekolah-sekolah menengah kebangsaan
negeri Perlis. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Tesis Doktor Falsafah Tidak
Diterbitkan.
Noriati A. Rashid, Boon, P.Y & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. 2012. Murid dan alam
belajar. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Nor Shahida Mohammad & Sanep Ahmad. 2013. Pembangunan menurut perspektif Islam:
Satu analisis awalan. Prosiding PERKEM VIII, Jilid 1 (2013) 355-370.

26
Pui-Wah, D.C. & Stimpson, P. 2004. Articulatingncontrasts in kindergarten teachers’
implicit knowledge on play-based learning. International Journal of Educational
Research, v41 n4-5 p339-352.
Ramlah Jantan. 2016. Faedah bermain dalam perkembangan kanak-kanak prasekolah (4-
6 Tahun). Universiti Pendidikan Sultan Idris. https://www.researchgate.net.
Dimuat turun pada 9 Disember 2016.
Sharifah Nor Puteh & Aliza Ali. 2011. Pendekatan bermain dalam pengajaran bahasa dan
literasi bagi pendidikan prasekolah. Malay Languange Journal Education (MyLEJ).
Vol. 1, Bil. (Nov.2011): 1-15.
Siti Farhana Muhd Ridzwan & Mahaliza Mansor. 2014. Roda C.I.U: Satu teknik untuk
membina kemahiran mengecam dan mengingat symbol nombor bulat 1 hingga 9
bagi murid lembam. Asian Education Action Research Journal (AEARJ).
Vol.3/2014.
Siti Fadzilah Solkifli. 2016. Permainan Ting-Ting Minda meningkatkan kemahiran
membaca gabungan suku kata jawi dan minat murid terhadap pelajaran jawi
tahun 2. Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia. Tesis Sarjana Muda Tidak
Diterbitkan.
Siti Fatimah Ali & Najeemah Mohd Yusof. 2012. Kemahiran membaca kanak-kanak dalam
aplikasi pendekatan belajar melalui bermain. Diges Pendidik. Jilid 12 Bil.1/2012.
Whitebread, D., Basilio, M., Kuvalja, M. et al. 2012. The Importance of Play. University of
Cambridge.
Zakiah Mohamad Ashari, Azlina Mohd Kosnin & Yeo, K.J. 2012. Keperluan aktiviti bermain
dan kepentingannya terhadap motivasi kanak-kanak prasekolah. Skudai:
Universiti Teknologi Malaysia. http://eprints.utm.my. Dimuat turun pada 3
Disember 2016.
Zakiah Mohamad Ashari, Azlina Mohd Kosnin & Yeo, K.J. 2013. Keberkesanan modul
belajar melalui bermain terhadap kefahaman pengalaman pranombor kanak-
kanak prasekolah. 2nd International Seminar on Quality and Affordable Education
(ISQAE 2013). Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

KETERANGAN BERKENAAN PENULIS:

Naquiah Nahar
Pelajar Ijazah Doktor Falsafah,
Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia
naquiah2@live.utm.my

PM. Dr. Jimaain Safar


Professor Madya
Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia
ajmain@utm.my

27
View publication stats

Anda mungkin juga menyukai