Anda di halaman 1dari 2

Amirul berasal dari sebuah kampung di pedalaman.

Ibu bapa Amirul bekerja mengambil upah


menoreh getah di sebuah kebun kepunyaan ketua kampungnya. Pendapatan ibu bapa Amirul hanya
sekadar cukup untuk perbelanjaan makan dan minum seharian. Seperti kata pepatah “kais pagi
makan pagi, kais petang makan petang”.

Amirul dan dua orang adik orang perempuannya mengerti kesusahan keluarga mereka. Mereka
tidak meminta perkara yang bukan-bukan daripada kedua-dua ibu bapa mereka. Mereka hanya
mengharapkan sedikit wang untuk perbelanjaan persekolahan mereka.

Walaupun hidup miskin, Amirul dan kedua-dua adiknya belajar dengan tekun. Setiap hari mereka
berjalan kaki bersama-sam untuk ke sekolah yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah
mereka. Mereka terpaksa berjalan kaki kerana kedua-dua ibu bapa mereka tidak mampu membeli
basikal untuk mereka. Walaupun jauh, mereka tetap rajin ke sekolah setiap hari. Mereka tidak
pernah mengeluh walaupun setiap hari bermandi peluh ketika hari panas atau bermandi hujan
ketika musim tengkujuh.

Pada waktu petang atau hari cuti, Amirul akan berkebun di belakang rumahnya. Walaupun
kawasan belakang rumahnya sempit sahaja, tetapi Amirul berjaya menanam pelbagai jenis sayuran.
Tanaman Amirul hidup subur kerana dia rajin menyiram dan membaja tanamannya. Sedikit
sebanyak hasil daripada kebun Amirul dapat menambah pendapatan keluarganya.

Pada sebelah malam pula Amirul dan adik-adiknya akan mengulangkaji pelajaaran bersama-sama.
Walaupun bertemankan pelita minyak tanah yang malap cahayanya, mereka tetap tekun menelaah
pelajaran dan menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru-guru mereka. Lantaran sikap mereka
yang tabah dan sabar, mereka sering mendapat markah yang cemerlang dalam peperiksaan.

Tetapi, itu semua kisah lima belas tahun yang lalu. Kini Amirul telah bergelar seorang jurutera di
sebuah syarikat petroleum negara. Adik-adiknya juga telah berjaya dalam pelajaran. Adik
pertamanya telah menjadi seorang doktor pakar di Kuala Lumpur manakala Adik bongsunya masih
menuntut di tahun akhir dalam bidang teknologi maklumat di Universiti Malaya. Kini, kesusahan
Amirul sekeluarga pada masa lalu telah menjadi kenangan. Kisah keperitan hidup, ketabahan, dan
kejayaan Amirul serta adik-adiknya ini sesuai benar dengan peribahasa “Berakit-rakit ke hulu
berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian”.
Haizam seorang anak yatim. Bapanya meninggal dunia semasa dia berusia 10 tahun. Ibunya,
Puan Mina pula lumpuh sebahagian daripada tubuhnya akibat diserang angin ahmar kira-kira
dua tahun yang lalu.Haizam mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Najwa
Amira.Adiknya berumur sembilan tahun. Lantaran kemiskinan dia terpaksa berhenti sekolah
semasa berada dalam tingkatan empat walaupun mendapat tentangan daripada ibunya.

Berbekalkan sedikit wang simpanan arwah ayahnya, dia mula berniaga secara kecil-kecilan.
Pada mulanya dia menjual air di tepi jalan besar berdekatan dengan rumahnya tetapi kurang
mendapat sambutan.Namun, dia tidak berputus asa. Dia mencuba pula menjual buah-buahan
yang diambilnya daripada Pak Karim, seorang peraih buah di kampungnya.Malangnya
keuntungan yang diperolehnya tidak setimpal dengan usaha yang telah dilakukannya.

Haizam sering termenung memikirkan masa depannya. Dia kemudiannya mengambil keputusan
untuk mencari pekerjaan di di bandar yang terletak berhampiran dengan kampungnya. Dia
kemudiannya diterima sebagai pencuci pinggan mangkuk di sebuah restoran yang terkenal di
bandar itu. Oleh sebab kerajinannya, dia telah dinaikkan pangkat sebagai pelayan di restoran
tersebut.

Kini, sudah hampir lima tahun dia bekerja di restoran itu. Dia begitu gembira bekerja di situ
kerana majikannya seorang yang bertimbang rasa, pemurah dan tidak lokek berkongsi ilmu
dengannya.Dia juga telah belajar memasak masakan Timur dan juga Barat daripada chef
masakan di situ. Banyak pengalaman yang ditimbanya semasa bekerja di situ. Bagi menjamin
masa depannya, pada setiap bulan dia akan menyimpan sebahagian daripada pendapatan yang
diterimanya ke dalam bank.Dia juga bercita-cita untuk memiliki restorannya sendiri suatu hari
nanti.

Berbekalkan pengalaman dan juga wang simpanan yang dia miliki, dia telah mengusahakan
sebuah gerai makanan menjual lauk-pauk secara kecil-kecilan. Oleh sebab makanan yang
disediakan begitu sedap sekali, gerainya mendapat sambutan yang amat menggalakkan
daripada para pelanggan.Dari sebuah gerai yang kecil, dia telah menyewa sebuah bangunan
untuk dijadikan restoran. Akhirnya, perniagaannya telah berkembang maju dan dia telah
membuka beberapa cawangan di sekitar bandar tersebut.

Bak kata pepatah Melayu ’Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit


dahulu, bersenang-senang kemudian’.Begitulah apa yang berlaku dalam kehidupan Haizam,
daripada seorang pemuda yang tiada berharta,kini mempunyai kemewahan yang dicapainya
melalui usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa.

Anda mungkin juga menyukai