Anda di halaman 1dari 4

Sumbangan Tamadun Orang Asli

Pada pendapat anda, apakah cabaran yang dihadapi oleh Orang Asli atau Orang Asal
Malaysia dari segi integrasi kebangsaan? Sila nyatakan sekali suku etnik tersebut.

Orang asli atau orang asal merujuk kepada manusia yang paling mula mendiami negara ini.
Perkataan asli juga berasal daripada perkataan Arab, iaitu asliyyin yang membawa maksud asal.
Orang asli juga bermaksud beberapa kelompok kecil manusia khususnya yang mendiami
kawasan pendalaman dan kawasan-kawasan di pinggirannya di Semenanjung Malaysia. Orang
Asli juga dikenali dengan nama lain seperti Orang Darat, Orang Bukit, Orang Hutan dan lain-lain
lagi.

Antara contoh Orang Asli yang menetap secara kekal di Malaysia termasuklah Semai di Perak,
Temuan yang terdapat di Pahang, Johor, Selangor, serta Jakkun berasal dari Pahang dan Johor.
Kesemuanya bertutur dalam bahasa yang berlainan dan tersendiri, adat, wajah dan muzik yang
berlainan.

Sumbangan masyarakat Orang Asli di Malaysia adalah penghasilan kraftangan yang kreatif dan
menarik sebagai salah satu sumber pendapatan ekonomi. Sebagai contoh, penghasilan bakul dari
rotan, rantai dari cengkerang dan manik serta anyaman tikar mengkuang. Bahan semula jadi
seperti buluh, rotan, mengkuang, akar dan kayu digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis
kraftangan serta cenderahati.

Selain itu, masyarakat Orang Asli juga terlibat dalam penghasilan alat-alat muzik sebagai
hiburan dan menyerlahkan lagi ekspresi kreativiti mereka. Contohnya, Ginggong dan Genggong
dimain oleh kaum Temiar dan Negrito, Gitar Kayu dibuat oleh kaum Jah Hut, Rebab/Rebak dan
Kreb yang juga dimainkan untuk upacara keramaian masyarakat.
Antara cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di Malaysia ialah mereka telah
mengalami diskriminasi oleh orang tempatan. Hal ini kerana orang tempatan menganggap
kedudukan mereka dari segi status dan taraf adalah sangat rendah dan tidak maju berbanding
kepada orang tempatan. Perkembangan sosial mereka adalah kecil berbanding kepada orang
tempatan, dan budaya mereka yang unik dan tersendiri berbeza daripada budaya luar telah
disalah anggap sebagai jumud. Impaknya telah memberi persepsi negatif tentang perbezaan
budaya mereka kepada orang tempatan lain seperti budaya Melayu, Cina, India dan sebagainya.

Seterusnya, masyarakat Orang Asli juga menghadapi cabaran komunikasi. Perkara ini berlaku
disebabkan oleh penggunaan bahasa ibunda mereka yang sudah serasi dalam pertuturan
kehidupan seharian. Bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa pengantar yang baru dan berbeza
dengan pertuturan yang digunakan mereka sehingga sukar untuk memahami dan
menggunakannya dengan fasih. Oleh itu, kesukaran mereka untuk memahami dan menggunakan
Bahasa Melayu sebagai bahasa yang utama akan meningkatkan jurang komunikasi berkekalan
serta menyukarkan perpaduan dan persefahaman dengan kaum-kaum lain di Malaysia.
Di samping itu, masyarakat Orang Asli juga tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan
dengan sempurna kerana mereka tinggal di kawasan terpencil dan jauh dari bandar dan
kemajuan. Segala kemudahan serta infrastruktur yang terdapat di bandar-bandar maju seperti
sekolah dan hospital masih belum sampai hingga ke petempatan Orang Asli yang tinggal jauh di
pedalaman hutan dan sungai. Hal ini menyebabkan segala proses pembelajaran untuk anak-anak
Orang Asli terjejas dan sukar berbanding mereka yang tinggal di bandar. Anak-anak Orang Asli
yang tinggal jauh dari kemajuan serta kemudahan bandar akan menghadapi cabaran untuk ke
sekolah kerana tiada kemudahan pengangkutan dan peralatan pembelajaran yang secukupnya di
sekolah. Mereka hanya berpeluang mendapatkan pendidikan secara informal dan asas pendidikan
yang biasa untuk mencapai setaraf seperti pendidikan di sekolah-sekolah bandar.

Akhir sekali, masyarakat Orang Asli tidak mempunyai peralatan sains dan teknologi yang
canggih seperti yang dimiliki oleh orang tempatan di Malaysia. Dalam era globalisasi yang
semakin membangun dengan pesat, masyarakat Orang Asli masih tidak berpeluang untuk
menggunakan peralatan teknologi yang semakin mudah diperolehi dan digunakan oleh orang
yang tinggal di bandar seperti gajet telefon pintar, komputer, televisyen dan sebagainya. Oleh
yang demikian, perkara ini menyebabkan mereka sukar untuk menyesuaikan diri dengan
teknologi baru yang serba canggih seiring dengan pembangunan pesat yang bergantung dengan
internet dan teknologi.

Kesimpulannya, kita haruslah menghargai usaha Orang Asli dalam usaha mengiktiraf dan
membangun sebagai masyarakat yang berusaha ke arah kemajuan dalam cabaran arus
globalisasi. Oleh itu, masyarakat tempatan di Malaysia hendaklah mempunyai pemikiran terbuka
dan berganding bahu bersama-sama dalam menghadapi cabaran masyarakat Orang Asli agar
membentuk sebuah masyarakat yang maju dan berdaya saing agar lebih harmoni dan bersatu
padu dalam kepelbagaian kaum serta budaya.

Anda mungkin juga menyukai