Anda di halaman 1dari 3

Jurnal Melayu 118

Bil. 15(1) 2016

Puisi

Zurinah Hassan

MALAM KEBAKARAN
- Sebuah kisah benar

Ayahku seorang lelaki miskin


Yang mahu anak-anaknya
Bergembira di negara kaya
Demikianlah pada suatu malam
Membawa kami ke bandaraya
ke taman bercahaya
sekadar berjalan-jalan
tidak membeli belah tidak makan-makan
namun adik-adik bersorak bersorak riang
menyanyi bersama angin
Melihat ribuan lampu
Yang bercakaran di dinding dinding
Yang berloncatan di ranting ranting

Setelah itu
Kami pulang ke rumah di suatu daerah
Yang tidak layak untuk cerah
Kegelapan menunggu di muka pintu
Tetapi mengapa gelap berterusan
Walau ayah berkali-kali menekan suiz lampu

Kami anak beranak kalut sejenak


Bila Ayah tersedar dia belum membayar
Bill letrik tertunggak
walau sudah datang amaran
semalam hari penghabisan
kata ayah bulan ini sangat suntuk
Along di universitI PTPTN belum masuk.
Ayah bercadang ke tabung haji esok
Namun sebelum sempat mengeluarkan simpanan
Mereka bertindak pantas memutuskan bekalan

Ibu menyalakan lilin


Kami tidur kepenatan beberapa jam
Sehingga terasa panas menikam.
sebatang lilin direbahkan angin
api menyambar dinding
kami diheret keluar api semakin besar

ISSN 1675-7513
Jurnal Melayu 119
Bil. 15(1) 2016

Ayah terus meredah menyelamatkan buku sekolah


api semakin garang ibu berteriak melarang
Namun ayah masuk merempuh api
Dan ayah tidak keluar lagi

Barangkali benar aku perlu bersabar


Hidup berasbab mati bersebab
Tapi jika mereka bertanya tentang negaraku
Maka aku kujawab
Ini negara mewah kotanya terang benderang
Dari hujung petang santak ke kaki siang
Menjana kuasa membenarkan kilang kilang berhutang
Tapi cepat bertindak memotong bekalan
di sebuah pondok usang
Ini negara jutaan lampu
Yang membakar rentung ayahku.

SUNGAI PAHANG

Sejak bilakah kau lupa


Pada lagenda dan renda
Yang tercarik dari selendang Tun Teja.

Sejak bilakah kau tidak menghilir


Dan bersyair bersama deru air
Bertitir zikir di hujung pasir
Membawa pantun dan rindu
Di lantai perahu

Aku pun tidak mengingatinya lagi


Sejak kutemuimu di tebing sungai itu
Menggalas mimpi menjadi penternak besar
Kini tersandar bersama patin
yang menggelepar di sangkar
dan pinjaman bank tak terbayar

Sungai Pahang airnya kering


Aku pun terbaca kalimah rimba
Pada lereng dan tebing
Tercoreng ke keris dan lembing

ISSN 1675-7513
Jurnal Melayu 120
Bil. 15(1) 2016

MEMBACA SRENGENGE SHAHNON AHMAD

Pada bacaan pertama


Srengenge adalah bukit
Dan dendam yang sakit.

Pada bacaan kedua


Srengenge adalah warisan
adalah hakisan

Pada bacaan ketiga


Srengenge adalah kita
Yang cuba dipadamkan
Dari peta.

Biodata Penulis:
Zurinah Hassan
Penulis merupakan Sasterawan Negara Malaysia yang ke-13 (2015) dan penerima Hadiah
Anugerah S.E.A. Write (2004). Antara kumpulan puisinya Sesayup Jalan (1974),
Keberangkatan (1985), Pujangga Tidak Bernama (1994), Salasilah (2005) dan Menghadap ke
Pelabuhan (2013). Turut menulis cerpen dengan kumpulan Meneruskan Perjalanan (1987) dan
Menjelang Pemilihan (2004).

ISSN 1675-7513

Anda mungkin juga menyukai