Anda di halaman 1dari 12

SULIT

PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2018 1103/2


BAHASA MELAYU
Kertas 2
Mei

2 ½ jam Dua jam tiga puluh minit

JANGAN BUKA KERTAS SOALAN INI SEHINGGA DIBERITAHU

1. Kertas soalan ini mengandungi empat soalan.

2. Jawab semua soalan.

3. Jawapan bagi Soalan 2 (b), Soalan 2(c), Soalan 2 (d) dan Soalan 4 berdasarkan

teks Komponen Sastera Melayu Tingkatan 4 dan 5.

4. Jawapan anda hendaklah ditulis di dalam kertas yang berasingan.

Disediakan oleh : Disemak oleh : Disahkan oleh :

( MASNAH BT MUSTAPHA ) ( ROZINA BT ABG SERUJI ) ( JULKIRIA BIN ABDURAHIM )


Guru Mata Pelajaran BM Ketua Panitia BM Ketua Bidang Bahasa
SMK Sri Aman SMK Sri Aman SMK Sri Aman

Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 1


Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tulis satu rumusan tentang cabaran-cabaran
mengembangkan produk kraf dan langkah-langkah mempopularkan produk kraf.
Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Malaysia kaya dengan kepelbagaian budaya dan kesenian masyarakat. Sebagai


tamsilnya, masyarakat Melayu sangat sinonim dengan seni ukiran kayu dan tenunan.
Masyarakat Cina popular dengan seni tembikar dan kaligrafi. Kolam pula sering disebut-sebut
sebagai seni masyarakat India dan kelompok peribumi pula sangat berkait rapat dengan seni
anyaman. Umum mengetahui bahawa seni kraf sangat popular dalam kalangan penduduk luar
bandar dan pedalaman. Situasi ini berlaku kerana pengusaha lebih mudah mencari bahan
utama bagi pembuatan produk kraf. Walaupun begitu, pelbagai cabaran yang perlu diatasi
dengan sebaik-baik mungkin.

Cabaran utama yang mengganggu perkembangan produk kraf di kawasan bandar ialah
lambakan produk berteknologi moden dalam pasaran. Kuantiti produk berteknologi moden yang
dihasilkan pada satu masa juga sangat tinggi jika dibandingkan dengan produk buatan tangan.
Produk buatan tangan pula menawarkan harga yang agak tinggi sedikit kerana produk kraf
menggunakan bahan semula jadi. Kemunculan bahan kimia dan sintetik juga merancakkan
pengeluaran produk yang berasaskan plastik. Pada zaman yang serba maju ini, sangat sukar
untuk mencari bahan utama pembuatan produk kraf. Sungguhpun begitu, pembangunan yang
pesat mampu menjejaskan habitat semula jadi flora, iaitu kawasan rimba.

Sememangnya produk kraf tangan pada hari ini sukar untuk diketengahkan. Hal ini
demikian kerana masyarakat pedalaman kurang mendapat pendidikan dan tidak mengikuti
perkembangan semasa tetapi produk yang dihasilkan mempunyai kualiti yang tinggi. Di
samping itu, ketiadaan pewaris dalam kalangan generasi muda juga menyukarkan
perkembangan dan kemajuan produk kraf. Sebetulnya, golongan muda perlu lebih menonjol
dan memainkan peranan bagi mempopularkan produk kraf. Kekurangan promosi atau pameran
sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa juga menjadi punca pengamal seni kraf
sukar untuk menonjolkan bakat mereka.

Cabaran lain ialah kekurangan penawaran program latihan yang berteraskan seni di pusat
pengajian tinggi. Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir pihak yang kurang memikirkan
kepentingan dan nilai sesuatu karya seni. Tidak kurang juga, pengamal seni kraf pada hari ini
tidak mempunyai modal yang cukup untuk memajukan perusahaan mereka. Teknologi
maklumat dan komunikasi merupakan cabang perniagaan yang terpenting pada hari ini. Walau
bagaimanapun, pengusaha kraf yang tinggal di kawasan pedalaman terutamanya masih kurang
arif mengenai penggunaan teknologi. Sewajarnya, usaha mengembangkan produk kraf tidak
boleh dipandang sebelah mata kerana seni ini warisan turun-temurun dan mempunyai nilai
estetik yang amat tinggi.

(Dipetik dan diubah suai daripada rencana.


“Kekangan dalam industri kraf”,
Oleh Aliff Ishak
Dewan Budaya, Julai 2016)

Soalan 2: Pemahaman

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 2


[35 markah]

Soalan 2(a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan


menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata pengeluaran produk dalam petikan.


[ 2 markah]

(ii) Pengarang ada menyatakan beberapa faktor produk kraf amat sesuai
dikembangkan oleh pengusaha kraf tangan.

Nyatakan faktor-faktor tersebut.


[ 3 markah]

(iii) Pengarang ada menyebut bahawa golongan muda kurang berminat dalam
kemahiran menghasilkan kraf sehingga ketiadaan pewaris.

Huraikan punca-punca golongan muda kurang berminat untuk mewarisi


kemahiran tersebut.

[ 4 markah]

Soalan 2 (b) – Petikan Prosa Moden

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 3


Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hakim perlu membina sebuah reban tertutup. Dia memulakan segala kerja,
menebang pokok dan meratakan tanah, berlori-lori tanah telah diangkut untuk
menambak kawasan yang memang rendah dan berair itu. Wang simpanannya
hampir habis di situ.

Kos pembinaan sebuah reban ayam tertutup dengan sistem penyaman udara
dan peralatan memberi makanan semiautomatik melebihi dua ratus ribu ringgit.
Hakim sudah beberapa kali turun naik tangga bank untuk berbincang tentang
pinjaman projek pertanian. Kertas kerja sudah beberapa kali dipinda sehingga
akhirnya pinjaman diluluskan. Pinjaman sebanyak itu memerlukan cagaran dan dia
tidak ada harta yang lain selain tanah Pak Kaduk yang baru ditebusnya dengan
susah payah. Mujurlah seorang Yang Berhormat sanggup campur tangan dan
memujuk pihak bank untuk meluluskan pinjamannya. Dengan pertolongan itu
terbinalah sebuah reban yang boleh memuatkan sepuluh ribu ekor ayam.

Hakim menandatangani kontrak dengan pihak RAJA. Maka jadilah dia


seorang petani moden merangkap anak muda yang berjasa kepada nusa dan
bangsa dengan menyumbang ke arah penambahan pengeluaran makanan negara.

“Tahniah! Aku doakan kau berjaya. Setahun lagi insya-Allah aku akan
pulang. Kita jumpa di reban ini untuk merayakan ulang tahun kau jadi penternak,”
kata Azam sambil menggenggam tangannya erat-erat tanda memberi semangat.
Mereka akan berpisah buat sementara kerana Azam akan mengikuti kursus selama
sepuluh bulan di luar negara.

Dipetik daripada drama “ Kaduk, Ayam dan Raja ”


Oleh Zurinah Hassan dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka.

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 4


(i) Berikan maksud rangkai kata berjasa kepada nusa ?

[2 markah]

(ii) Sejajar dengan perkembangan semasa, bidang ternakan turut mengalami


banyak perubahan.

Jelaskan manfaat-manfaat penggunaan teknologi moden dalam bidang


penternakan.

[3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Hakim yang terdapat dalam petikan dan satu
perwatakan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.

[4 markah]

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 5


Soalan 2 (c) – Prosa Tradisional

Baca petikan Prosa Tradisional di bawah dengan teliti. Kemudian jawab soalan-soalan
yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka kata orang itu, “Manira ini disuruhkan oleh Patih Gajah Mada melihat
pakanira, sudahkah datang dari Daha atau belumkah, kerana Patih Gajah Mada
hendak bertemu dengan manira” Maka Kertala Sari segera mengambil kerisnya lalu
berjalan diiringkan oleh orang itu.

Setelah datang kepada Patih Gajah Mada, Kertala Sari pun duduk
menyembah. Maka kata Patih Gajah Mada, “Hai anakku Kertala Sari, sebab aku
menyuruh memanggil anakku ini, kerana pesan bapamu kepada aku, “Jangan tiada
dikasihi anakku ini, kerana bapamu sudahlah mati dengan pekerjaan Seri Betara.
Akan sekarang anakku hendak dijadikan penggawa agung.”

Setelah Kertala Sari mendengar kata Patih Gajah Mada itu, maka Kertala Sari
pun terlalu sukacita hatinya, seraya menyembah kaki Patih Gajah Mada.

Maka sembah Kertala Sari, “Endah apatah pekerjaan membunuh Ratu


Melaka dan Laksamana itu? Pada hati manira, jika negerinya pun dapat manira
alahkan dengan seorang kula juga, syahadan segala anak bininya orang Melaka itu
pun dapat manira ambil. Adapun jika belum manira bunuh Ratu Melaka dan
Laksamana itu belum mati, tiada mahu manira jadi penggawa.”

Setelah Patih Gajah Mada mendengar demikian itu maka ia pun terlalu
sukacita, seraya diperjamunya makan minum dan bersuka-sukaan dan diberinya
persalin.

Setelah sudah maka Kertala Sari pun dibawanya masuk menghadap Seri
Betara. Maka sembah Patih Gajah Mada, “Adapun penjurit tujuh orang yang
dititahkan oleh paduka Betara pergi ke Melaka itu khabarnya sudah mati dibunuh
oleh Laksamana ketujuhnya.

( Dipetik daripada ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ dalam antologi


Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka )

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 6


(i) Berikan maksud rangkai kata terlalu sukacita hatinya.

[2 markah]

(ii) Nyatakan reaksi Patih Gajah Mada selepas mendengar kata-kata Kertala
Sari.

[ 3 markah]

(iii) Patih Gajah Mada telah menyampaikan pesanan ayah Kertala Sari kepada
Kertala Sari.

Pada pendapat anda, mengapakah Patih Gajah Mada ingin


menyempurnakan pesanan tersebut.

[3 markah]

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 7


Soalan 2 (d) – Puisi

Baca sajak di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya
menggunakan ayat anda sendiri.
SEJADAH RINDU

Terkedu aku
disejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
bait bicara tersentuh kalbu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu.

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan


Kupohon kembali nafas kehidupan
Dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.

Air mata menjadi saksi


Keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
dikeheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

Hati ini luluh


jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
disejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh.

Ungkapan doa pada Yang Esa


izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.

MOHD HAIKAL AMINUDIN


Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Dewan Bahasa dan Pustaka

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 8


i. Nyatakan dua perkara yang dilakukan oleh penyajak di atas sejadah berdasarkan
rangkap pertama.
[2 markah]

ii. Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan positif apabila seseorang itu menginsafi
kesalahan yang telah dilakukan ?

[3 markah]

iii. Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam sajak tersebut.
[4 markah]

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 9


Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[ 30 markah ]
Jawab semua soalan.

(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah
untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan
penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan
imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) dasar - puncak


(ii) damai - huru-hara
(iii) cekap - lemah
[6 markah]

(b) Tukar cakap ajuk di bawah kepada cakap pindah tanpa mengubah maksud
asalnya.

(i) “ Negara kita banyak mempunyai tempat yang menarik untuk dilawati,”
kata Hassan kepada Ah Meng.

(ii) “Bagaimanakah pengganas tersebut berjaya masuk ke dalam bangunan


Parlimen yang dikawal ketat oleh anggota keselamatan yang sangat
terlatih?” tanya Presiden itu kepada Menteri Dalam Negeri.

(iii) “Aduhai, malang sungguh nasib anak kecil yang baru sahaja kehilangan
ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya yang mengerikan !” kata
Misbun kepada Lee Chong Wei.

[6 markah]

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 10


(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu
kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-
kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada
satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak
perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Menurut pakar-pakar perubatan, amalan menderma darah secara tekal


dapat menangani ancaman canser dan dikurangkan risiko serangan sakit
jantung.

(ii) Tiga orang guru SMK Pulau Damai dipilih menjadi urusetia untuk
Pertandingan Perbahasan Peringkat Negeri Terengganu yang akan
melangsungkan pada bulan depan.

(iii) Perdana Menteri telah menitipkan ucapan balasungkawa kepada keluarga


mangsa tanah runtuh yang hilang ahli keluarga mereka

[6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau
istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-
kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada
satu kesalahan penggunaan kata dan istilah dan satu kesalahan tatabahasa.
Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Telah termaklum dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa bahasa


Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa pertuturan
dalam semua urusan-urusan rasmi.

(ii) Majlis jamuan diraja telah berlangsung selama dua setengah jam di Istana
Anak Bukit bersempena ulang tahun keputeraan Sultan Kedah.

(iii) Dalam temasya sukan di peringkat antarabangsa, bila atlet negara berjaya
menggondol pingat emas, lagu Negaraku akan berdendang.

[6 markah ]
(e) Bina satu ayat berdasarkan peribahasa di bawah.

(i) tulang belakang

(ii) air ditetak tidak akan putus

(iii) indah khabar daripada rupa

[6 markah]

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 11


Soalan 4 : Novel

[15 markah]
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel- novel yang berikut:

(i) Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor


(ii) Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin
(iii) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib
(iv) Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v) Songket Berbenang Emas karya Khairudin Ayip
(vi) Tirani karya Beb Sabariah
(vii) Silir Daksina karya Nizar Parman
(viii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop

(a) Persoalan merupakan salah satu aspek penting dalam sesebuah novel.

Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan dua persoalan yang
terdapat pada bahagian peleraian cerita dalam novel tersebut.

(7 markah)

(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu peristiwa yang
menggambarkan persoalan kasih sayang dalam kedua-dua novel tersebut.

( 8 markah)

1103/2 Hak cipta Panitia Bahasa Melayu 12

Anda mungkin juga menyukai