Anda di halaman 1dari 7

Soalan 1: Rumusan

(30 markah)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan penggunaan teknologi
maklumat terhadap generasi muda dan peranan ibu bapa untuk menanganinya. Panjangnya rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Teknologi maklumat merupakan satu daripada bentuk teknologi yang berasaskan jaringan hubungan
yang melibatkan komuniti di seluruh dunia. Namun perubahan teknologi yang berasaskan inovasi moden ini
telah membentuk sekelompok insan yang obsesi dengan penggunaannya sehingga menyebabkan murid-
murid sekolah tidak mampu melakukan apa-apa sahaja tanpa bantuan teknologi maklumat.

Penggunaan telefon mudah alih, komputer, dan televisyen telah membentuk kumpulan remaja yang
terdorong untuk menjalankan aktiviti riadah hanya melalui atas talian. Bayangkan dengan hanya RM1 sahaja
mereka mampu untuk melayari Internet dan menggunakan pelbagai jenis permainan yang menyeronokkan.
Hal inilah yang menjadi unsur gangguan kepada remaja sehingga mampu mengubah pemikiran, hasrat dan
keupayaan seseorang dalam menekuni sesuatu perkara yang dilakukan. Dalam konteks pelajar, aktiviti yang
berbentuk proses pembelajaran akan terganggu dengan wujudnya faktor penarik yang terdapat dalam
permainan atas talian yang ditawarkan oleh teknologi maklumat dan komunikasi.

Selain itu, isu ini melibatkan masa dan tenaga serta kos yang dibazirkan semasa menggunakannya.
Sebagai contohnya, pengguna tidak perlu lagi berpakaian sukan yang lengkap untuk menjalani aktiviti sukan
yang digemari. Mereka hanya memerlukan peralatan teknologi sahaja. Bayangkan, cara hidup masyarakat
yang dikuasai oleh teknologi. Mereka akan hilang nilai kemasyarakatan yang sebenarnya dapat dinilai
keikhlasannya. Nilai kekeluargaan, semangat setia kawan dan hubungan sosial yang berkesan secara
bersemuka, semakin pupus.

Muka buku atau Facebook banyak mengganggu rutin kehidupan seseorang yang berhasrat memenuhi
naluri kehidupan mereka secara fitrah. Penggunaannya yang melampaui had akan memberikan impak negatif
yang akan mengganggu proses pembelajaran sosial remaja. Kehidupan sebagai remaja sepatutnya diisi
dengan aktiviti berkumpulan yang sesuai dengan sifat semula jadi remaja yang gemar akan cabaran dan
sesuatu yang baharu yang mampu menguji keupayaan fizikal dan mental mereka. Namun kini, remaja tidak
lagi melakukan aktiviti secara bekerjasama atau berkumpulan. Semua elemen dan nilai yang perlu dimiliki
oleh remaja ini sukar untuk dipenuhi oleh aktiviti yang berasaskan teknologi kerana perantaranya ialah alat
dan media atas talian.

Perkembangan teknologi maklumat, khususnya untuk tujuan hiburan dan riadah merupakan perkara
yang mengganggu proses perkembangan fizikal dan mental remaja. Sebenarnya aktiviti hiburan dan riadah
ini masih perlu dijalankan secara manual dan semula jadi. Kegiatan ini masih memerlukan hubungan
kemanusiaan, tambahan pula tubuh badan kita masih perlu dibasahi peluh yang keluar secara semula jadi
untuk kesihatan yang baik.

Dipetik dan diubah suai daripada


'Teknologi Menganggu Remaja'
oleh Noor Azam Abdul Rahman,
DewanSiswa, Disember 2013
Soalan 2 : Pemahaman
(35 markah)

Soalan 2 (a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata insan yang obsesi. (2 markah)

(ii) Berdasarkan petikan, bagaimanakah remaja sepatutnya mengisi masa lapang mereka? (3 markah)

(iii) Pada pendapat anda, apakah punca penyalahgunaan teknologi maklumat dalam kalangan remaja?
(4 markah)

Soalan 2(b) – Petikan Prosa Moden

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Akhirnya. setelah agak lama buntu, Ahmad Mutawakkil meluahkan pandangan. "Selama Tuan Booth di
sini, sejak dulu lagi, tak pernah dia memusuhi kita. Jadi, saya fikir atas sifat hati Melayu. orang berbudi kita
berbahasa. Hati Melayu tak reti bermusuh, hati Melayu penuh dengan persahabatan."
Dengan kata-kata hikmat itu, runtuhlah segala tembok penghalang antara kampung kami dengan estet
Tuan Booth. Sekalipun tanpa Ahmad Mutawakkil, kami sudah biasa bertandang ke banglo mewah itu.
Malah, ada ketikanya, majlis yang diadakan di estet turut disertai orang perempuan. Isteri Tuan Booth yang
terkenal dengan masakannya yang sedap-sedap itu kerap menghidangi kami dengan menu Orang Putih.
Lebih istimewa, pada setiap kali ada majlis perkahwinan, Tuan Booth sekeluarga pasti akan meraikan
pasangan pengantin di estetnya. Ada antara kami yang agak ragu-ragu dengan perkara itu.
"Selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak," kata Imam Ngah Deraman, "tidak ada salahnya kita
menjamah kek yang disediakan untuk pasangan pengantin."
Pada suatu hari, ketika Ahmad Mutawakkil mengetahui perkara itu, dia memberikan pendapatnya.
"Selagi orang itu Melayu dan Islam, selagi itulah dia mengutamakan budi bahasa dalam akhlaknya.”
“Kalau Orang Putih macam Tuan Booth, tahu cara berbudi, takkan kita orang Melayu tak tahu nak balas
budi?”

Dipetik daripada cerpen ‘Cinta Ahmad Mutawakkil’


Oleh Zainal Rashid Ahmad
dalam antologi Sejadah Rindu
Kementerian Pendidikan Malaysia

(i) Berdasarkan petikan di atas, mengapakah penduduk kampung menyukai keluarga Tuan Booth?
( 2 markah)

(ii) Pada pandangan anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk membudayakan budi
bahasa di peringkat sekolah? ( 3markah)

(iii) Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan diatas dan satu pengajaran lain daripada
cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. (4 markah)
Soalan 2(c) _ Petikan Prosa Tradisional

Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya, terlalu berani, kelakuannya gila-gila
bahasa. Maka disuruhkan oleh Bendahara Paduka Raja suluh perahu Siam itu. Maka Tun Umar pun pergilah
dengan sebuah perahunya olang-oleng. Telah bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, maka
dilanggarnya sekali, dua tiga puluh perahu Siam alah, lalu ia terus ke sebelah; maka ia berbalik, dilanggarnya
pula yang lain, itu pun dua tiga buah perahu Siam alah. Maka Tun Umar pun kembalilah. Maka orang Siam
terlalu hairan melihat kelakuan Tun Umar itu. Telah hari malam, maka Awi Dicu pun datanglah. Maka oleh
Bendahara Paduka Raja segala pohon kayu bakau dan nyirih dan tumpu api-api itu sekaliannya disuruhnya
tambati puntung api. Telah dipandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya, maka kata
hulubalang Siam, "Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tiada terbilang lagi. Jikalau ia datang apa
hal kita? Sedang sebuah perahunya tadi lagi tiada terlawan oleh kita."
Maka kata Awi Dicu, “ Benarlah seperti kata kamu itu; marilah kita kembali sementara belum siang
ini.”
Maka segala orang Siam pun kembalilah.

Dipetik daripada ‘ Burung Terbang Dipipiskan Lada’


dalam antologi Sejadah Rindu
Kementerian Pendidikan Malaysia

(i) Berikan maksud rangkai kata perahunya olang-oleng. ( 2 markah)

(ii) Nyatakan cara-cara yang dilakukan oleh penduduk Melaka untuk mengusir tentera Siam
daripada perairan Melaka. ( 3 markah)

(iii) Pada pendapat anda, apakah kepentingan menggunakan strategi yang berkesan untuk
mengalahkan musuh. ( 3 markah)

Soalan 2(d) - Sajak

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan
ayat anda sendiri.

Gelanggang

Ini gelanggang kita


yang diwariskan oleh pendekar-pendekar datuk moyang lebih
lima dekad yang lalu
satu persepakatan kaum untuk diturunkan kepada anak cucu
di kemudian hari.

Hari ini kitalah pewaris gelanggang yang terbina dari keringat


dan air mata
dengan gelanggang inilah negara aman makmur rakyat
berpadu
kita pelihara gelanggang ini dengan kejap sepenuh hati
kita mempertahankan kedaulatan watan dari anasir jahat
kerana telah terbukti dapat menyatupadukan pelbagai
keturunan.
Para pendekar kita harus berani berjuang menangkis tohmahan
demi mempertahankan maruah gelanggang keramat suci ini
suara-suara momokan sumbang memperlekehkan menyentuh
hati nurani
kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah
gelanggang
jangan sekali bermain api kelak membinasakan diri sendiri.

Marilah para pahlawan setia kita kukuhkan ukhuwah


elakkan pertelingkahan sesama sendiri.

Kitalah pewaris abadi yang menjunjung amanah ini


agar kecemerlangan tercerna di persada arena
terus memacu kejayaan demi maruah harga jati diri
membina sebuah negara bangsa yang harmoni dan dihormati
kita junjung dan taat hingga ke akhir hayat.

(i) Berikan maksud rangkai kata kukuhkan ukhuwah. (2 markah)

(ii) Pada pandangan anda, apakah kesan-kesan yang akan berlaku sekiranya generasi muda tidak
mempertahankan kedaulatan tanah air. (3 markah)

(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat dalam sajak diatas. ( 4 markah)

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa


( 30 markah)

Jawab semua soalan.

(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan
maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan
perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) jentik
(ii) jejentik
(iii) bengkok
(iv) bengkang-bengkok
(v) kejar
(vi) kejar-mengejar

(b) Gabungkan ayat –ayat di bawah supaya menjadi tiga ayat sahaja dengan menggunakan kata
hubung yang sesuai tanpa mengubah maksud dan struktur asalnya.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggalakkan pengitaran semula bahan-bahan


buangan. Tujuannya adalah untuk mengatasi masalah kekurangan tapak pelupusan sampah. Selain
itu, kaedah ini dapat mengurangkan longgokan sampah juga. Kitar semula sangat penting. Kaedah
ini dapat menjimatkan penggunaan sumber semula jadi. Di samping itu, kitar semula dapat
menjamin kebersihan alam sekitar. Pelaksanaan kaedah ini tidak sukar. Untuk menjayakannya,
kerjasama semua pihak diperlukan. Kesungguhan semua pihak diperlukan. Semua pihak inilah yang
memahami pentingnya kebersihan dalam kehidupan.
(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan
penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan –kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda
tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaaan
imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Malaysia mampu memajukan bidang eko-pelancongan kerana mengayakan sumber alam
semula jadinya.

(ii) Setiap pusat melupuskan sampah hendaklah sentiasa di pantau supaya mesra alam dan tidak
memudaratkan penduduk di sekitarnya.

(iii) Sebagai sebuah negara multi etnik, Malaysia memerlukan amalan pengongsian budaya
dalam kalangan masyarakat.

(d) Dalam petikan di bawah, terdapat tiga kesalahan penggunaan kata atau istilah dan tiga
kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan –kesalahan itu., Anda tidak boleh
menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan penggunaan kata atau istilah dan tiga kesalahan
tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

Hidup bermasyarakat memerlukan sikap bertolak ansur antara satu dengan yang lain. Sikap
mengutamakan diri perlu dicegah dalam hidup bermasyarakat. Kita perlu menjadikan sikap prihatin
sebagai budaya dalam hidup bermasyarakat. Sebenarnya sikap prihatin tidaklah bermaksud
mengambil tahu tentang hal peribadi jiran tetangga. Kita harus menganggap bahawa setiap jiran-jiran
ialah sebahagian daripada anggota keluarga sendiri juga. Hal ini demikian kerana jiranlah yang akan
membantu kita jika sekiranya kita menghadapi halangan sebelum saudara-mara kita tiba untuk
menghulurkan sumbangan.

(e) Baca ayat-ayat di dawah dengan teliti dan kemudian nyakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-
ayat tersebut.

(i) Jamal menikmati segala kemewahan yang disediakan oleh bapanya tetapi dia tidak gembira
kerana tidak dibenarkan bergaul bebas sesuka hati seperti remaja lain.

(ii) Kini semakin banyak orang yang sanggup berbelanja lebih kerana mementingkan kesihatan.
Semakin banyak jugalah pihak yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

(iii) Regina menolak tawaran bekerja di syarikat itu kerana dia berharap agar mendapat pekerjaan
yang lebih baik di syarikat lain.
Soalan 4 : Novel
(15 markah)
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Mat Darin

(ii) Songket Berbenang Emas karya khairuddin Ayip

(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan dua contoh sikap tabah yang dapat dikaitkan
dengan perwatakan watak utama dalam novel tersebut. ( 7 markah)

(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan dua persamaan latar masyarakat yang
terdapat dalam setiap novel tersebut. ( 8 markah)

KERTAS SOALAN TAMAT


Jawapan 3(b)
(i) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggalakkan pengitaran semula
bahan- bahan buangan untuk mengatasi masalah kekurangan tapak pelupusan
sampah dan mengurangkan longgokan sampah.
(ii) Kitar semula sangat penting kerana dapat menjimatkan penggunaan sumber semula
jadi di samping dapat menjamin kebersihan alam sekitar.
(iii) Pelaksanaan kitar semula tidak sukar, namun untuk menjayakannya, kerjasama dan
kesungguhan semua pihak yang memahami pentingnya kebersihan dalam kehidupan
diperlukan.

Jawapan 3(e)

(i) Seperti burung dalam sangkar, mata terlepas badan terkurung.


(ii) Menangguk di air keruh
(iii) Harapkan guruh di langit, air tempayan dicurahkan.

Anda mungkin juga menyukai