Anda di halaman 1dari 16

Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019

(ISSN 2636-9885)

REKA BENTUK PEMBELAJARAN DALAM KAPASITI


PEDAGOGI PEMBELAJARAN BERMAKNA DI IPG KAMPUS
PENDIDIKAN TEKNIK

Ellyza Karim

Jabatan Kecemerlangan Akademik


IPG Kampus Pendidikan Teknik
Kompleks Pendidikan Nilai
Bandar Enstek, 71760 Nilai
Negeri Sembilan

ellyza.karim@ipgm.edu.my

PENGENALAN

Pembelajaran bermakna bukanlah satu pendekatan


pembelajaran yang baru. Namun beberapa elemen baru telah
dimasukkan ke dalam pendekatan ini bagi menjenamakannya
semula sebagai pedagogi baru. Kapasiti pedagogi
pembelajaran bermakna atau dalam istilah inggerisnya, New
Pedagogies for Deep Learning (NPDL) yang diimplementasi
pada masa kini di IPG mempunyai pengaruh elemen reka
bentuk Fullan, Quinn dan McEachen (2018). Elemen ini
mengandungi empat bahagian yang saling menyokong dan
melengkapi antara satu sama lain bagi menghasilkan sebuah
konsep NPDL yang mantap dalam Pengajaran dan
Pembelajaran (PdP) di sesebuah institusi pendidikan. Empat
bahagian tersebut yang ditunjukkan pada Rajah 1 ialah amalan
pedagogi, pemanfaatan digital, rakan pembelajaran dan
persekitaran pembelajaran.

144
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

Rajah 1: Elemen reka bentuk pembelajaran

Artikel ini ditulis sebagai satu practical review atau ulasan


amalan penulis yang berpengalaman melalui NPDL sebanyak
tiga kali. Bermula dengan NPDL rintis pada semester kedua
tahun 2018, penulis sekali lagi terlibat dengan peluasan NPDL
pula pada semester pertama tahun 2019. Kini, pada semester
kedua tahun 2019, penulis terus terpilih sebagai tenaga
pengajar untuk kursus yang membabitkan NPDL. Sehubungan
dengan itu, penulis merasa terpanggil untuk berkongsi
pengalaman yang telah dilaluinya untuk pengetahuan
pembaca.

ELEMEN REKA BENTUK PEMBELAJARAN DALAM NPDL

IPG Kampus Pendidikan Teknik merupakan salah sebuah


kampus daripada tiga kampus IPG yang dipilih untuk rintisan
NPDL oleh IPGM. Dua lagi kampus lain ialah Ipoh dan Pulau
Pinang. Projek rintis NPDL telah bermula sejak semester kedua
sesi pembelajaran tahun 2018. Kursus sains merupakan salah
satu kursus yang terpilih di IPG Kampus Pendidikan Teknik bagi
pelaksanaan NPDL. Malah, semasa peluasan NPDL pada

145
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

semester satu sesi pembelajaran tahun 2019, kursus sains lain


turut terpilih untuk projek ini.

Pada semester dua yang lalu, kursus SCES 3073, Kemahiran


Saintifik dan Pengurusan Makmal Sains telah dirangkai secara
interdisiplinari bersama kursus Jabatan Ilmu Pendidikan (JIP);
EDUP 3043, Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku dan
EDUP 3053, Teknologi dalam PdP dari Jabatan Teknologi
Pengkomputeran (JTP). Kemudian, semasa semester satu
pula, kursus SCES 3152, Inovasi Digital dalam PdP pula telah
dirangkai secara intradisiplinari dalam jabatan sains sendiri
dengan kursus SCES 3132, Pendidikan Inklusif.

Proses merungkai dan merangkai antara beberapa kursus yang


relevan dilakukan ke atas pelajar semester yang sama bagi
tujuan meningkatkan amalan pengajaran dan pembelajaran
terutamanya dalam aspek kolaboratif. Tidak dinafikan, ukhuwah
pensyarah berlainan jabatan mahu pun sesama jabatan
semakin bertambah selepas implementasi projek ini. Melalui
perkongsian sebegini, para pelajar turut mendapat manfaat
seperti pencarian maklumat berfokus walau pun melibatkan
banyak tugasan malah masa, tenaga dan kos menghasilkan
tugasan turut dapat dikurangkan.

Sepanjang pelaksanaan NPDL ini, telah berlaku perubahan


dalam empat bahagian elemen reka bentuk pembelajaran jika
dibandingkan dengan pendekatan sebelum ini. Penjelasan
seterusnya akan menyentuh dengan lebih mendalam tentang
perubahan berkenaan.

146
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

Amalan Pedagogi

Sebagai seorang tenaga pengajar dalam era kontemporari,


amalan pedagogi mestilah terkini dan menarik semasa
melaksanakan NPDL. Dalam konteks NPDL, pensyarah IPG
tidak lagi dilabel sebagai fasilitator tetapi mempunyai peranan
baru iaitu sebagai aktivator. Peranan ini ibarat pemangkin untuk
memastikan proses PdP menjadi berkesan. Pelajar tidak lagi
dibimbing tetapi didorong untuk memastikan PdP tercapai. Ini
bermakna sesi PdP berlaku secara berpusatkan pelajar.
Pencapaian PdP bukan lagi sekadar memenuhi hasil
pembelajaran tetapi dilanjutkan kepada pencapaian 6C iaitu
creativity, communication, critical thinking, collaboration,
character dan citizenship seperti Rajah 2.

Rajah 2: Kompetensi Pembelajaran Bermakna (6C)

Sehubungan dengan itu, para pendidik perlu mengamalkan


strategi dan kaedah PdP terbaru seperti Pembelajaran abad ke-
21 untuk mencapai 6C. Kajian Badrul Hisham dan Mohd
Nasruddin (2016) menyenaraikan lapan konstruk amalan
pedagogi pensyarah IPG dalam PdP abad ke-21. Amalan-
147
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

amalan pedagogi tersebut ialah kemahiran pemikiran kritikal,


komunikasi, refleksi, kolaboratif, pentaksiran, penyelesaian
masalah, teknologi, serta kreativiti dan inovasi. Jika
dibandingkan kajian ini dengan 6C, elemen sahsiah dan
kewarganegaraan tidak disenaraikan. Namun, dalam ucapan
KPP KPM, Datuk Dr Amin bin Senin pada Seminar Pendidikan
Kebangsaan KGMMB 2019 di Kuala Lumpur, beliau
menegaskan amalan pendidikan kini tidak lagi sekadar
berorientasikan peperiksaan namun berubah kepada
berorientasikan perkembangan (Sinar harian, 23 Februari).
Pembinaan watak dan pembangunan sahsiah kini dianggap
penting dalam kemenjadian pelajar.

Gabungan kursus Inovasi Digital dalam PdP dengan kursus


Pendidikan Inklusif pada semester satu ada menyelitkan
pembangunan watak dan sahsiah. Sebelum NPDL, pelajar
cuma diminta menghasilkan sebuah inovasi untuk PdP sains
tetapi selepas pelaksanaan NPDL, inovasi yang dihasilkan
pelajar perlulah mengambil kira aspek murid inklusif.
Contohnya, pelajar telah berjaya menghasilkan produk inovasi
digital seperti video interaktif fasa bulan yang boleh diguna
pakai untuk murid disleksia yang sukar membezakan fasa bulan
sabit baru dan lama kerana mereka mengalami masalah
membanding bentuk. Fokus mereka kini bukan sekadar ke atas
murid arus perdana. Malah, mereka telah membuat kajian
terlebih dahulu keperluan murid inklusif melalui pakar dan
menghasilkan produk yang bermanfaat untuk golongan ini.
Sumbangan sebegini membawa kesan positif ke atas pelajar
kerana secara tidak langsung mereka telah melaksanakan
tanggung jawab membantu kumpulan minoriti yang mempunyai
keperluan khas.

Amalan pedagogi lain pada masa kini menurut kajian Arniza


dan Zamri (2018) ialah Kemahiran Bernilai Tambah (KBT).
148
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

Tujuh jenis KBT yang terdapat dalam kurikulum di Malaysia


ialah kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar,
kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (TMK),
kecerdasan pelbagai, pembelajaran kontekstual, pembelajaran
konstruktivisme dan kajian masa depan (KPM, 2002). Kajian
mereka mendapati guru-guru Bahasa Melayu di sebuah
sekolah menggunakan lima daripada tujuh KBT iaitu kemahiran
belajar cara belajar, kemahiran berfikir, pembelajaran
konstruktivisme, kecerdasan pelbagai dan pembelajaran
kontekstual. Sebaliknya, KBT berkaitan kemahiran TMK dan
kajian masa depan tidak diterapkan. Jika guru mampu
menggunakan ketujuh-tujuh KBT ini, sudah tentu amat mudah
pelajar mencapai 6C. Ini disokong oleh Guskey (2002) yang
mendapati kemajuan seorang pelajar berpunca daripada
kesedaran guru terhadap perubahan amalan bilik darjah,
pendekatan pengajaran, penggunaan alat bantu mengajar
baharu dan modifikasi dalam prosedur pengajaran.
Sehubungan dengan ini, sekiranya pensyarah memodifikasi
corak dorongan ke atas guru pelatih, maka sudah tentu
memberi impak yang besar ke atas pelajar.

Amalan pedagogi pensyarah masa kini perlu seiring dengan


perkembangan semasa. Kajian Prensky (2001) menyimpulkan
bahawa murid hari ini berkembang melalui cara mereka belajar
sekarang dan amat berbeza berbanding dengan cara guru-guru
mereka belajar ketika mereka menjadi murid-murid. Maka,
pensyarah perlu membuat perubahan. Kembangkan kemahiran
membuat inovasi supaya menjadi suri teladan kepada guru
pelatih. Malah, pensyarah turut boleh bergabung dengan guru
pelatih untuk sama-sama melaksanakan inovasi yang boleh
memberi impak tinggi kepada perkembangan PdP dan amalan
pedagogi. Situasi sebegini akan melahirkan pendidik yang
berfikiran kreatif dan kritis. Malah, sebelum menghasilkan
149
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

inovasi sudah tentu perlu melakukan refleksi. Ini kerana hasil


dapatan refleksi merupakan pencetus untuk mencipta inovasi.

Dalam NPDL, pelajar meneroka idea baru kerana pembelajaran


berlaku secara interdisiplinari antara kursus berbeza malah,
ada yang melibatkan jabatan berbeza. Secara tidak langsung,
pembelajaran berlaku secara merentas kurikulum. Maka, hasil
pembelajaran yang diinginkan kini tidak sekadar berfokus
kepada isi kandungan sains tetapi perlu dikaitkan dengan
aplikasi kehidupan seharian seperti falsafah, tingkah laku dan
sebagainya. Perkara sebegininya sebenarnya memberi kesan
baik ke atas pembentukan sahsiah dan patriotisme pelajar.
Selain itu, pemikiran pelajar dicabar ke suatu tahap baru
apabila mereka perlu mengaplikasi gabungan ilmu merentas
bidang.

Pemanfaatan digital

Selain amalan pedagogi kontemporari, NPDL turut mengubah


strategi mengajar/belajar pensyarah dan pelajar IPG. Ini kerana
pendekatan terkini tidak lagi bergantung kepada sumber
maujud semata-mata. Pemanfaatan digital paling banyak
digunakan pada masa sekarang. Banyak aplikasi percuma di
internet boleh digunakan untuk membangunkan sumber PdP
digital, cuma pensyarah dan pelajar perlu meningkatkan
kemahiran teknologi maklumat mereka supaya mampu
menggunakan aplikasi-aplikasi interaktif tersebut. Contohnya,
jika guru tiada bakat melukis tetapi berminat menggunakan
kaedah komik, pengguna boleh menggunakan aplikasi
ToonDoo bagi membantu mereka melukis kartun yang
sebenarnya telah tersedia untuk komik mereka secara digital.
Kaedahnya seperti salin dan tampal.

150
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

Sebelum NPDL, kursus Kemahiran Saintifik dan Pengurusan


Makmal Sains hanya menghasilkan sumber maujud untuk PdP
Sains. Namun, selepas NPDL, sumber yang dihasilkan bukan
sekadar maujud tetapi turut dijadikan sumber digital dalam
kursus Teknologi dalam PdP. Contohnya, pelajar telah
menghasilkan kertas litmus daripada ekstrak bunga roselle,
piring petri belah empat dan silinder penyukat daripada botol
plastik terbuang. Ketiga-tiga produk ini merupakan sumber
maujud di bawah topik asid dan alkali. Seterusnya pelajar
membangunkan sumber multimedia, juga di bawah topik asid
dan alkali yang saling menyokong sumber maujud tadi. Di sini,
pelajar telah memfokuskan carian maklumat mereka bagi dua
kursus di bawah satu tajuk. Mereka tidak perlu lagi meneroka
maklumat secara umum. Carian mereka berfokus, iaitu
dilakukan secara spesifik. Perkara sebegini dapat menjimatkan
masa dan tenaga mereka. Seterusnya, untuk kursus
Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku, pelajar telah
menggunakan sumber yang sama di dalam kelas mereka
menjalani PBS (Pengalaman Berasaskan Sekolah) untuk
tugasan mengawal tingkah laku murid. Perkara ini menjimatkan
kos kerana pelajar tidak perlu membuat kit pembelajaran lain
bagi kursus JIP.

Sepanjang membina sumber multimedia, pelajar berusaha


sendiri mencari maklumat tanpa bimbingan pensyarah.
Pensyarah bertindak sebagai pendorong pelajar dengan
menyediakan rubrik panduan kepada mereka. Pelajar
berhubung dengan pensyarah melalui e-mel dan WhatsApp
untuk mendapatkan nasihat. Malah, para pensyarah telah
menyediakan padlet untuk rujukan pelajar dan semuanya
berlangsung secara digital. Pelajar diminta memuat turun
bahan yang disediakan pensyarah serta memuat naik hasil
kerja mereka di situ. Walaupun penyediaan padlet dibuat

151
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

secara berasingan namun mendapat bantuan daripada


pensyarah JTP. Hubungan mutualisme sebegini memberi
impak yang tinggi ke atas peningkatan amalan digital dalam
kalangan pensyarah IPG. Contoh padlet ialah https://
padlet.com/ellyza/sces3073ipgkpt

Banyak kajian yang mendapati bahawa pemanfaatan teknologi


digital telah meningkatkan kualiti pengalaman pembelajaran
pelajar khususnya terhadap hasil tugasan yang dilaksanakan
(Davis, 1993; Lai, 2011; Fullan & Langworthy, 2014). Lai (2011)
turut menjelaskan bahawa teknologi digital dapat memberikan
pengalaman pembelajaran yang lebih aktif dan fleksibel dengan
mengamalkan pendekatan pedagogi secara partisipatif.

Semasa membina produk inovasi, para pelajar telah


menggunakan perisian percuma yang sesuai untuk
dibangunkan bagi topik sains pilihan mereka. Bukan setakat
pelajar, tetapi pensyarah sendiri turut mendapat pengalaman
baru tentang banyaknya perisian digital percuma yang menarik
untuk kegunaan PdP. Hasil kerja pelajar daripada perisian
seperti ToonDoo, Scratch 2.0, CoSpacesEdu, storyjumper,
bookcreator, vidzor dan sebagainya mencetus idea baru
kepada pensyarah juga. Pensyarah turut belajar, bukan setakat
pelajar yang belajar. Dalam erti kata lain, hubungan pensyarah
dan pelajar boleh dilabel sebagai rakan pembelajaran.

Rakan pembelajaran

Bukan sekadar pensyarah berperanan sebagai rakan


pembelajaran dalam proses PdP NPDL, sebaliknya, amalan
pedagogi masa sekarang memerlukan kerjasama daripada
rakan pembelajaran lain seperti ibu bapa, pakar dan

152
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

masyarakat untuk menyokong pelajar mendapatkan ilmu baru,


nasihat ataupun pengalaman bermakna.

Dalam pencarian maklumat murid inklusif, pelajar telah


menghubungi pakar seperti guru pendidikan khas melalui
WhatsApp. Mereka berkongsi maklumat tentang ciri-ciri murid
inklusif seperti autisme sebelum membina produk inovasi yang
sesuai untuk murid sebegini. Selain itu, alat perhubungan lain
seperti Fb messenger turut digunakan oleh pelajar untuk
berhubung dengan pakar golongan cacat pendengaran yang
jauh seperti di The Hearing Center, Amerika Syarikat. Untuk
kemahiran teknikal seperti membuat lubang ke atas tempurung
kelapa, seorang pelajar perempuan telah meminta bantuan
ayahnya dalam usaha menghasilkan sumber maujud untuk PdP
sains.

Pembelajaran tidak sekadar berlaku di dalam kelas.


Pembelajaran kini turut berlaku di luar kelas dan di luar waktu
sekolah pada zaman pengkomputeran ubiquitous ini. Maka,
peranan rakan pembelajaran amat diperlukan untuk
menyokong pembelajaran berlaku di mana-mana sahaja dan
pada bila-bila masa. Untuk menjadi rakan pembelajaran, bukan
kemahiran akademik yang disyaratkan. Namun, jika ada ahli
komuniti yang memiliki kemahiran teknikal, ini turut dapat
membantu pencapaian hasil pembelajaran. Sahsiah yang elok
turut mengembangkan potensi pelajar dalam membentuk
pelajar IPG menjadi guru yang berkualiti. Sikap ringan tulang
yang ditonjolkan oleh masyarakat sewaktu membantu mereka
menyelesaikan tugasan dapat dijadikan teladan kepada pelajar
IPG dalam kemenjadian mereka.

NPDL turut mengamalkan perkongsian melalui showcase di


akhir tempoh pembelajaran. Semasa showcasing, para pelajar
mengharapkan maklum balas daripada orang ramai yang

153
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

dianggap sebagai rakan pembelajaran. Ini membantu mereka


membuat refleksi dan menjadi seorang yang kritis. Idea dan
cadangan daripada rakan pembelajaran yang melawat
showcase ini memberi kesan positif kepada mereka secara
tidak langsung dalam pembentukan budaya pembelajaran baru.
Contohnya, ada pelawat yang memberi idea untuk para pelajar
ini mendapatkan hak cipta ke atas produk inovasi digital mereka
dan menyertai pertandingan inovasi yang ada supaya
menaikkan lagi impak hasil kerja mereka ke arah global.
Pandangan sebegini amat dialu-alukan sebagai sebahagian
sumbangan dalam pembentukan sahsiah pelajar dan
menjadikan mereka lebih kreatif.

Persekitaran pembelajaran

Persekitaran pembelajaran yang kondusif diperlukan untuk


merangsang proses PdP NPDL. Pedagogi baru ini bertindak
mengembangkan persekitaran pembelajaran dengan bergerak
melangkaui dinding kelas tradisional. Masa, ruang dan individu-
individu dalam dan luar dinding ini bertindak sebagai
pemangkin untuk membina pengetahuan baru dalam mencorak
budaya pembelajaran terkini.

Oleh kerana NPDL banyak memanfaatkan PdP secara digital,


masa dan ruang tidak lagi menjadi masalah ketika membina
pengetahuan baru. Pelajar perlu kreatif memanfaatkan masa
dan ruang yang ada. Ruang kini tidak terhad secara fizikal
semata-mata tetapi telah wujud ruang virtual. Oleh kerana itu,
peranan IPG menyediakan kemudahan talian internet dan
intranet amat penting supaya pelajar mahu pun pensyarah
dapat menggunakan sumber ini sebaik mungkin. Tidak
dinafikan di IPG KPT, seringkali berlaku gangguan capaian Wi-
Fi disebabkan faktor geografi. Namun, usaha ke arah
154
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

memperbaiki kelemahan ini sedang dipergiatkan. Dengan


kemudahan talian yang baik nanti, persekitaran pembelajaran
bakal menjadi lebih “ubiquitous” supaya pelajar dapat
meneroka maklumat di mana-mana sahaja tanpa mengira
masa. Menurut Galloway (2004), teknologi “ubiquitous”
melanjutkan ruang dan masa tanpa disedari pengguna. Malah,
saintis komputer iaitu Weiser (1991) yang telah meninggal
dunia akibat kanser, pada artikelnya 22 tahun lepas telah
meramal tentang kewujudan persekitaran “ubiquitous” pada
abad ke-21 di mana komputer telah boleh dibawa ke mana
sahaja seperti di tepi pantai, hutan dan lapangan terbang.
Semasa Weiser masih hidup, komputer peribadi merupakan
alat teknologi digital yang ada pada ketika itu. Maka,
penghasilan komputer riba, telefon pintar, tablet dan pad pada
masa kini telah menjadi kenyataan sebagai teknologi
“ubiquitous”.

Semoga kemudahan “ubiquitous” dapat memberi manfaat


kepada semua pihak dalam aspek peningkatan pendidikan
tanpa penyelewengan ke aspek lain yang tidak mendatangkan
faedah. Maka, pelajar perlu bijak mengawal diri dalam
penggunaan internet manakala pensyarah pula mempunyai
kaedah tersendiri untuk memantau akses internet pelajar
supaya mereka menggunakannya secara betul. Untuk
semester terbaru ini, penulis bercadang mengaplikasi model
Flipped Classroom dalam pengajaran kursus Kemahiran
Saintifik dan Pengurusan Makmal Sains. Model ini mengalihkan
masa kuliah di dalam kelas kepada kuliah melalui video di luar
kelas. Maka, waktu kelas digunakan sepenuhnya untuk aktiviti
amali dan pengukuhan kepada pelajar secara individu. Perkara
ini boleh berlaku sekiranya kemudahan internet di IPG KPT
berada dalam keadaan baik. Persekitaran pembelajaran

155
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

sebegini merupakan kriteria kelas yang bergerak ke arah Deep


Learning.

Dalam memenuhi syarat persekitaran pembelajaran kondusif


secara NPDL, bukan setakat kemudahan Wi-Fi sahaja yang
boleh digunakan. Pensyarah boleh turut mewujudkan ruang
multidimensi lain dalam bentuk fizikal, tidak terhad dengan
memanipulasi ruang virtual sahaja. Contohnya, lawatan sambil
belajar ke muzium alam semula jadi di Putrajaya atau di zoo
Melaka juga merupakan salah satu contoh usaha kolaboratif
apabila topik pengawetan kering dan pengawetan basah perlu
disampaikan. Prasarana muzium dan zoo mempunyai banyak
sumber pengawetan yang sesuai untuk penyampaian topik
berkaitan. Jika tidak mahu keluar, ruang dalam IPG sendiri
boleh dimanipulasi seperti mewujudkan taman sains yang kini
berada di belakang makmal kimia. Untuk menyampaikan topik
sumber PdP, lokasi taman sains boleh dinaik taraf oleh pelajar
sendiri melalui perbincangan dan perancangan sistematik bagi
mencapai hasil pembelajaran. Misalnya, pembinaan kolam ikan
dalam taman sains telah menambah satu lagi jenis ekosistem
untuk dirujuk dalam kuliah.

Dalam konteks individu pula, pentadbir contohnya memainkan


peranan penting dalam mewujudkan budaya persekitaran
pembelajaran yang sihat. Sokongan pengarah, ketua jabatan
dan ketua unit diperlukan untuk memastikan pedagogi baru
sebegini diterima semua pihak. Contohnya kewujudan taman
sains di IPG KPT merupakan sokongan padu daripada pihak
pengurusan atasan yang menjadikan impian suatu kenyataan.
Semua usaha ini bertujuan untuk menghasilkan persekitaran
pembelajaran yang mampu menggilap potensi pelajar supaya
lebih terserlah. Tidak dinafikan ada segelintir pensyarah yang
menolak perkara baru. Mereka lebih selesa dengan kaedah
lama kerana telah menjadi kebiasaan mereka. Golongan
156
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

sebegini perlu diberi masa dan pendedahan untuk menukar


paradigma mereka. Namun, transformasi tetap perlu dilakukan
untuk berhijrah ke arah naratif baharu amalan pendidikan selari
dengan permintaan semasa.

Pelantikan jurulatih NPDL di peringkat IPG KPT dibuat untuk


memberi pendedahan kepada para pensyarah yang belum
melalui proses NPDL dan membimbing mereka semasa
peluasan NPDL. Sokongan dan sikap keterbukaan para
pensyarah yang belum terdedah dengan NPDL amat diperlukan
agar jurulatih yang dilantik dapat berkongsi pengalaman
mereka. Justeru, kesemua tenaga pengajar pada masa akan
datang dapat bersama-sama menjadikan NPDL antara kaedah
terkini dalam PdP untuk mencorakkan pelajar IPG.
Pendedahan NPDL kepada pelajar IPG amat berguna terutama
jika mereka posting ke sekolah-sekolah TS25. Malah,
pelantikan jurulatih NPDL muda dalam kalangan pelajar turut
memberi pengalaman kepada mereka sendiri, bukan setakat
untuk membantu pensyarah, tetapi juga untuk memberi
pendedahan kepada rakan pelajar.

Penulis pernah dilantik menjadi juri konvensyen inovasi


pendidikan di SK Putrajaya Presint 16 (1), sebuah sekolah
TS25 pada 11 Mei 2019. Iklim persekitaran pembelajaran di
sekolah ini amat menyenangkan. Para guru termasuk kaunselor
berlumba-lumba menghasilkan inovasi untuk memperbaiki
strategi pengajaran mereka. Sokongan daripada Guru Besar
dan Penolong Kanan sekolah ini serta pihak PIBG ke arah
peningkatan sekolah melalui penyelidikan dan inovasi telah
menaikkan semangat para guru menghasilkan inovasi produk
dan inovasi proses. Perkara ini dilihat menarik dan bakal
memberi impak ke atas pencapaian akademik dan sahsiah
murid mereka. Persekitaran sebegini merupakan kriteria
persekitaran NPDL. Sekolah TS25 ini dilihat telah berjaya
157
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

menerapkan elemen 6C dalam kalangan warga sekolah dan


komuniti mereka.

KESIMPULAN

Pelajar dan pensyarah masa kini berhadapan dengan


perubahan amalan PdP yang lebih mencabar. Namun,
kemudahan-kemudahan sedia ada yang mudah dicapai seperti
teknologi digital dan dengan sokongan rakan pembelajaran
bakal menjadikan PdP mereka lebih berkesan. Bukan setakat
pelajar, malah pensyarah juga harus bersedia menghadapi
transformasi dunia pendidikan. Amalan pedagogi dan
persekitaran pembelajaran baru serta terkini harus dijadikan
kebiasaan kepada golongan pensyarah dalam usaha
peningkatan kemenjadian pelajar.

RUJUKAN

Arniza Mokhtar & Zamri Mahamod. (2018). Jenis-jenis


penyerapan kemahiran bernilai tambah dalam
pengajaran guru Bahasa Melayu berdasarkan tajuk
pengajaran. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 8: 22–
32.

Davis, B.G. (1993). Tools for teaching. San Francisco: Josey-


Bass Inc.

Fullan, M. & Langworthy, M. (2014). A rich seam: How new


pedagogies found a deep learning. London: Pearson.

158
Jurnal Refleksi Kepemimpinan Jilid II, 2019
(ISSN 2636-9885)

Fullan, M., Quinn, J. & McEachen, J.J. (2018). Deep learning:


Engage the world change the world. Thousand Oaks:
SAGE.

Galloway, A. (2004). Intimations of everyday life: Ubiquitous


computing and the city. Cultural Studies, 18(2-3), 384-
408. doi: 10.1080/0950238042000201572

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2002. Huraian sukatan


pelajaran Bahasa Melayu tingkatan empat. Kuala
Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.

Lai, K.W. (2011). Digital technology and the culture of teaching


and learning in higher education. Australasian Journal of
Educational Technology, 27(8), 1263-1275.

Prensky, M. (2000). Digital native, digital immigrants, Part 1. On


the horizon, 9(5),1-6.

Sinar harian. (2019, 23 Februari). Betulkan naratif pendidikan


hanya fokus peperiksaan. Retrieved from: https://www.
sinarharian.com.my/article/14568/BERITA/Nasional/

Weiser, M. (1991). The computer for the 21st century. Retrieved


from: https://www.ics.uci.edu/~corps/phaseii/Weiser-
Computer 21stCentury-SciAm.pdf

159

Anda mungkin juga menyukai