Anda di halaman 1dari 7

Pengenalan

Sudah terang lagi bersuluh, pendidikan adalah nadi pembangunan bagi sebuah
bangsa dan negara. Justeru, kejayaan yang dicapai oleh sistem pendidikan di sesebuah
negara bergantung kepada kualiti dan keunggulan kurikulum yang digunakan (Alias
Mahmud, 2012). Untuk pengetahuan, kurikulum merupakan suatu instrumen yang signifikan
dalam mencapai matlamat pendidikan, malah kandungannya turut digunakan sebagai garis
panduan dan strategi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada semua
peringkat sekolah dan seluruh institusi pendidikan. Namun begitu, bagi merealisasikan
kurikulum yang lancar dan sistematik, sistem kurikulum tersebut perlulah menggunakan
model dan kaedah pendekatan yang sesuai seiring dengan pengembangan pendidikan yang
dialami (Dayana Balqis, 2021).

Oleh itu, wujudnya pelbagai model kurikulum yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh
terdahulu seperti Model Tyler, Model Taba, Model Stenhouse dan sebagainya (Rosly Kayar
et al., 2023). Umum mengetahui bahawa model kurikulum terbahagi kepada dua bahagian
iaitu model objektif dan model proses. Hal ini demikian, penulisan ini akan menekankan
kepada penganalisisan terhadap model proses iaitu Model Stenhouse (1975) dan implikasi
model tersebut terhadap guru dan murid.

Analisis Model Kurikulum Stenhouse (1975)

Model Kurikulum Stenhouse ini dipelopori oleh Lawrence Stenhouse pada tahun
1975 dan dapat dibuktikan melalui bukunya yang bertajuk “Pengenalan kepada Penyelidikan
dan Pembangunan Kurikulum”. Menurut Stenhouse L., (1975), beliau melihat kurikulum itu
sebagai suatu proses atau perantaraan untuk murid mendapatkan pengalaman
pembelajaran secara menyeluruh. Berbeza dengan model objektif, model proses Stenhouse
ini tidak bermula dengan objektif PdP sebagai komponen utama dalam suatu kurikulum.
Berdasarkan model tersebut, kurikulum itu tidak bersifat fizikal atau statik, malah ia
merupakan interaksi yang berlaku secara aktif dan dinamik antara guru, murid serta ilmu
yang disampaikan (Rosly Kayar et al., 2023). Dengan kata lain, para pendidik seperti guru
atau pensyarah dapat menjadikan kurikulum sebagai penyampai kandungan mata pelajaran
atau kursus kepada sasaran masing-masing iaitu kanak-kanak, murid dan pelajar. Di
samping itu, melalui model proses, murid berpeluang untuk menyuarakan pendapat dan
pandangan serta berhak untuk menentukan perkembangan bagi sesebuah sesi pengajaran.
Tegasnya, setiap pendidik perlu mengetahui perubahan yang berlaku dalam diri setiap
murid, seterusnya merancang dan memutuskan suatu proses PdP yang efektif dan
berkesan buat mereka (Wahid Razzaly, et al., 2012).

Secara umumnya, Model Stenhouse memfokuskan kepada 7 unsur utama


(Stenhouse, L., 1975). Pertama sekali, segala aktiviti dan peranan guru diambil kira dalam
membentuk kemenjadian diri murid. Kedua, rancangan aktiviti murid dilaksanakan mengikut
tahap pemikiran dan kecerdasan yang mereka miliki. Ketiga, memastikan kawasan yang
dijadikan sebagai tempat berlangsungnya pembelajaran sentiasa berada dalam keadaan
yang harmoni dan kondusif. Keempat, mementingkan kaedah ‘hands-on learning’ buat para
murid semasa berlakunya proses pembelajaran dan tidak mengutamakan hasil
pembelajaran atau penilaian akhir. Kelima, murid akan didorong untuk memainkan peranan
dalam membuat keputusan tentang aktiviti pembelajaran yang mereka inginkan (Dayana
Balqis, 2021). Keenam, dalam pelaksanaan PdP, pemfokusan dan penilaian dilihat secara
menyeluruh bagi setiap murid. Akhir sekali, melahirkan modal pelajar yang mampu
memberikan respons yang unik terhadap pembelajaran yang mereka peroleh. Oleh itu,
menurut Sheehan (1986), beliau mengutarakan bahawa model proses ini sangat relevan
kerana mengandungi input yang bersifat reflektif dan mempunyai unsur kaunseling. Hal ini
demikian, melalui model proses ini, keutamaannya bukan lagi pada hasil pembelajaran akhir
seperti model objektif, tetapi lebih mementingkan kepada pemerolehan kemahiran berfikir,
bekerjasama dan koperatif dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang dihadapi (Siti
Aisyah, 2019).

Seterusnya, Stenhouse, L. (1975), beliau sendiri telah membahagikan pembentukan


kurikulum kepada 3 bahagian. Pertama, dalam perancangan kurikulum, guru hendaklah
menentukan sendiri bahan pengajaran dan pemilihan kandungan yang akan diajar kepada
murid. Pada masa yang sama, guru perlu mempunyai strategi pengajaran yang tersendiri
dalam menghasilkan kaedah atau teknik yang bersesuaian dengan tahap kemahiran dan
kebolehan yang dimiliki oleh murid. Selain itu, bagi pembelajaran empirikal pula, guru perlu
tentukan apa yang harus dipelajari oleh murid dan cara-cara untuk menilai pencapaian
murid. Tambahan pula, guru seharusnya melihat kepada kesesuaian mengimplementasikan
kurikulum dalam konteks sekolah dan juga persekitaran yang berlainan. Di samping itu,
dalam pembelajaran proses, para pendidik mestilah memilih isi kandungan pengajaran dari
segi kriteria dan tidak perlu bergantung kepada objektifnya. Sehubungan dengan itu, guru
perlu merancang aktiviti yang menarik dan berkesan agar murid tertarik untuk melibatkan diri
secara aktif semasa proses PdP berlangsung.
Implikasi Pelaksanaan Model Proses Stenhouse Terhadap Guru dan Murid

Terdapat pelbagai implikasi yang wujud apabila berlakunya pelaksanaan Model


Proses Stenhouse terutamanya buat para pendidik dan juga murid-murid. Hal ini demikian,
implikasi tersebut turut dapat dikaitkan dengan pengembangan kurikulum yang berlaku di
Malaysia sehingga kini.

Rajah 1

Perkembangan Kurikulum Sekolah Rendah

Guru

Antara implikasi pelaksanaan Model Stenhouse terhadap guru ialah para pendidik
perlu menjalankan pentaksiran yang berbentuk sumatif dan formatif terhadap murid-murid.
Hal ini selaras dengan apa yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025, yang menyatakan bahawa pentaksiran tersebut dijalankan
bagi memperlihatkan perkembangan pembelajaran murid serta menambah baik proses PdP.
Berdasarkan analisis yang dilakukan, model pembentukan kurikulum di Malaysia sudah
mula menginterpretasikan dasar model proses (Siti Aisyah, 2019). Menurut Iskandar Ibrahim
(2022), sistem pendidikan di Malaysia sudah tidak lagi mengorientasikan peperiksaan
semata-mata, tetapi mula beralih kepada perkembangan pelajar yang diselaraskan dengan
pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). Tambahan pula, KPM telah
memansuhkan peperiksaan Tahap 1 dan menggantikan dengan pentaksiran sekolah
bermula pada tahun 2019.

Di samping itu, pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) mula


mengguna pakai Model Stenhouse walaupun tidak secara keseluruhan kerana ia masih
mementingkan hasil pembelajaran dalam PdP. Hal ini demikian, prinsip yang digunakan
dalam KBSR yang menerapkan model proses ialah aktiviti yang disediakan oleh guru
mestilah menarik dan kreatif agar dapat memastikan penglibatan murid berlaku secara aktif
di dalam kelas (KPT, 2012). Sebagai contoh, guru dapat memupuk pembelajaran yang
berfokuskan kepada penyelesaian masalah, pembelajaran kontekstual, pembelajaran
kolaboratif dan pembelajaran berasaskan projek dan pendekatan (STEM) dalam diri setiap
murid.

Akhir sekali, berdasarkan falsafah pendidikan guru, negara dapat melahirkan guru
yang profesional, beretika, berkualiti tinggi, berkemahiran dan berpengetahuan luas (Nas,
2023). Perkara ini juga dapat dikaitkan dengan Model Proses Stenhouse yang turut
menyatakan bahawa guru berperanan sebagai fasilitator dan pemudah cara buat murid
untuk memperoleh ilmu pengetahuan.

Murid

Lantaran itu, implikasi pelaksanaan Model Stenhouse terhadap murid ialah mereka
akan mempunyai lebih banyak hak untuk bersuara dalam membentuk pengalaman belajar.
Hal ini amat bertepatan dengan model proses kerana guru akan menggalakkan setiap murid
untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka semasa proses PdP agar guru tahu
akan gaya pembelajaran yang terbaik dan sesuai untuk murid-murid (Alias Mahmud, 2012).
Sehubungan dengan itu, guru juga dapat melaksanakan pembelajaran yang berpusatkan
murid seperti main peranan, simulasi dan pengajaran reflektif.

Pada tahun 1957 sehingga 1983, pendidikan di Malaysia menggunakan Kurikulum


Lama Sekolah Rendah (KLSR) yang mana jelas tidak menerapkan model proses
Stenhouse. Hal ini kerana murid pada ketika itu menjadikan buku teks sebagai suatu rujukan
utama dan guru hanya bergantung kepada buku teks itu semata-mata. Tambahan pula,
kandungan dan butiran yang terdapat dalam sukatan pelajaran terlalu banyak sehingga
menyebabkan murid bosan semasa PdP berlaku (Fara Izzati, & Siti Rahaimah, 2021).
Seterusnya, berdasarkan pengaplikasian teknologi moden dalam PdP, dari sudut
pelaksanaan KSSR, penerapan elemen inovasi, keusahawanan dan Teknologi Maklumat
dan Komunikasi (ICT) ini dapat disentuh, contohnya melalui pendidikan Sains dan Teknologi
di dalam bilik darjah. Selain daripada itu, kemahiran penguasaan dan penggunaan ICT yang
cekap mendorong kepada pembinaan modal insan yang berkepakaran dan berkualiti tinggi
(KPT, 2012). Hal ini selari dengan penumpuan model proses iaitu demi melahirkan murid
yang bertaraf global dan mampu memiliki daya pemikiran yang matang sejajar dengan
keinginan respons yang unik terhadap persoalan guru sepanjang berlangsung PdP.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, jelaslah bahawa kurikulum bersifat dinamik dan dapat


berkembang mengikut kehendak dan keperluan semasa dalam dunia pendidikan (Fara
Izzati, & Siti Rahaimah, 2021). Akan tetapi, kedua-dua model iaitu model objektif dan proses
mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Hal ini dapat dibuktikan apabila
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan transformasi kurikulum
berlandaskan sistem kurikulum negara-negara maju dan memasukkan kedua-dua model
tersebut mengikut kesesuaian supaya dapat memastikan kurikulum kebangsaan setanding
dengan pendidikan global (Rosly Kayar et al., 2023). Oleh itu, negara yang mempunyai
kurikulum yang unggul dalam sistem pendidikan dapat melahirkan individu yang
berpengetahuan luas, berfikiran kreatif dan kritis, berkemahiran tinggi dan berkeperibadian
mulia.
Rujukan

Alias Mahmud. (2012). Konsep dan model penilaian dalam pelaksanaan kurikulum. [Paper
Presentation]. Prosiding Seminar Penyelidikan Pendidikan ] dan Pembangunan
Sumber Manusia (PPPSM 2013), Universiti Putra Malaysia.

Dayana Balqis. (2021). Model kurikulum pendidikan ekonomi islam di Malaysia. [Paper
presentation]. Proceeding of The 8th International Conference on Management
and Muamalah 2021, UKM Bangi, Malaysia.
http://conference.kuis.edu.my/icomm/8th/images/021-058.pdf

Fara Izzati, & Siti Rahaimah. (2021). Penilaian pelaksanaan pentaksiran bilik darjah (pbd)
dalam kalangan guru matematik sekolah rendah. Jurnal Pendidikan Sains Dan
Matematik Malaysia, 11(2), 81-94. https://doi.org/10.37134/jpsmm.vol11.2.7.2021

Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi. (2012). Asas Pembelajaran dan
Pengajaran Pensyarah Institusi Pengajian Tinggi. Kementerian Pengajian Tinggi.
ISBN 978-967-5457-79-1

Nas. (2023, April 17). Falsafah pendidikan guru (fpg): maksud, elemen & kepentingannya.
Harian Post. https://harianpost.my/falsafah-pendidikan-guru/

Rosly Kayar, Kamisah Buang, Ali Ghani, & Faridah Sopah. (2023). Falsafah dan
perkembangan pendidikan di Malaysia. Local Publication (M) Sdn Bhd.

Siti Aisyah. (2019). Kesediaan, penerimaan dan pengoperasian guru reka bentuk dan
teknologi terhadap amalan dalam pentaksiran berasaskan sekolah. Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Stenhouse, L. (1975). An Introduction to Curriculum Research and Development.
Heinemann.

Wahid Razzaly, Ishak Baba, Salleh Ahmad, Zarina Ali, & Zainal Abidin. (2012). Asas
pembelajaran dan pengajaran pensyarah institusi pengajian tinggi. Perpustakaan
Negara Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai