Anda di halaman 1dari 12

Contoh Kertas Kerja

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

KHALAYAK DALAM PENULISAN

PENSYARAH : CIK MAHARAM BT MAMAT.

KUMPULAN : THE PEARL.

AHLI:

SUHAIBAH BT OTHMAN 
NORA AZLINA BT SOBRI 
NORLINDA BT IBRAHIM 
NURFAIZAH BT ARZMI 
SITI HASLINDA BT ADRIS 

KANDUNGAN

1.0 TUJUAN KAJIAN 

2.0 SKOP KAJIAN 

3.0 KAEDAH KAJIAN

4.0 HASIL KAJIAN

4.1 Pendahuluan
4.2 Definisi 
4.3 Jenis khalayak 

4.3.1 Khalayak utama


4.3.2 Khalayak sekunder 
4.3.3 Khalayak dalam penulisan berita 
4.3.4 Teori Wolfgang Iser
4.3.5 Khalayak kanak-kanak dan remaja 

4.4 Keperluan khalayak 


4.5 Resepsi
4.6 Ciri-ciri khalayak 
4.7 Peranan khalayak 
4.8 Isu-isu khalayak 

5.0 CADANGAN 

6.0 PENUTUP 
RUJUKAN

1.0 TUJUAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan untuk mengupas tentang khalayak dalam penulisan. Skop kajian meliputi jenis-
jenis khalayak, keperluan khalayak, ciri-ciri khalayak dan juga isu-isu yang berlaku tentang khalayak
dalam penulisan. Kajian juga akan melihat siapakah yang dikatakan sebagai khalayak dalam
penulisan atau karya sesorang penulis. Aspek ini dipilih kerana masih tidak ramai yang menyedari
tentang kepentingan khalayak dalam penulisan kerana merekalah yang menentukan hala tuju
sesuatu hasil karya penulisan.

2.0 SKOP KAJIAN

Kajian ini hanya melihat kepada khalayak yang dicapai dalam penulisan. Pembaca menjadi fokus
kajian kerana mereka adalah klien bagi karya penulis. Skop kajian tidak melihat khalayak dalam
aspek yang lain seperti pendengar radio, penonton wayang atau sebagainya.

3.0 KAEDAH KAJIAN

Kajian telah dijalankan menggunakan kaedah resensi perpustakaan di mana penyelidikan dilakukan
berdasarkan pencarian di perpustakaan dan pusat sumber sama ada dalam bentuk data serta bahan
sekunder atau primer. Bahan- bahan terdiri daripada buku, artikel, jurnal, mkirofilem, filem, video,
sumber internet dan sebagainya.

(Bahagian ini sepatutnya diletakkan di bahagian bawah "Pengenalan" kerana ia menceritakan apa
yang nak ditulis dalam tulisan ini)

4.0 HASIL KAJIAN (Sistem pernomboran perlu betul. Bagaimana untuk dapatkan hasil kajian
sekiranya kajian/tulisan belumpun dimulakan lagi)

4.1 Pendahuluan

Seseorang penulis perlu tahu dan mementingkan khalayak pembacanya supaya bahan bacaan yang
dihasilkan akan dimanfaatkan oleh khalayak tersebut sebaiknya. Walau bagaimanapun, sesetengah
penulis tidak memikirkan tentang khalayak pembacanya dan membuat generalisasi bahawa setiap
tulisan itu sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat. Hal ini merupakan satu kesilapan besar
malah merugikan diri sendiri. Tindakannya umpama mencurahkan air di atas daun keladi, menulis
tetapi tidak dibaca oleh sesiapa pun. Tulisan yang berjaya adalah tulisan yang mendapat tempat di
hati pembacanya malah karyanya dihargai oleh sesiapa pun.

4.2 Definisi

Khalayak ditakrifkan sebagai sekelompok orang yang mempunyai cita rasa yang sama. Mereka ini
mungkin sahaja berbeza dari segi umur, ras, tahap pendidikan, ataupun kedudukan sosioekonomi
mereka. Walau bagaimanapun, ada khalayak yang dikelompokkan berdasarkan maklumat demografi
seperti pendapatan, jantina, pendidikan, pekerjaan, status perkahwinan, pemilikan rumah, umur, ras
ataupun kedudukan sosioekonomi mereka (Mus Chairil Samani, 1997).

Selain itu, maklumat berbentuk psikografi juga diperlukan sebagai tambahan untuk mengenal pasti
khalayak pembaca. Maklumat ini merupakan data tentang gaya kehidupan, sikap, dan tingkah laku
pembaca (Mus Chairil Samani, 1997). Gabungan kedua-dua maklumat demografi dan psikografi akan
membolehkan penulis memilih pendekatan yang paling berkesan untuk berkomunikasi dengan
pembaca anda itu.

Sebagai contoh, (mulakan ayat dengan contoh? Pastikan subjek dan predikat ayat) kesan ekonomi
Malaysia yang pesat membangun pada awal 1990-an telah melahirkan generasi eksekutif muda
berpendidikan dalam lingkungan umur 25 hingga 35 tahun yang bukan sahaja berduit tetapi
mempunyai gaya kehidupan tersendiri. Mereka ini mempunyai cita rasa atau gaya kehidupan
memakai pakaian berjenama, memandu kereta jenis sport, kebanyakkannya bujang, tinggal di
pangsapuri-pangsapuri dan memakan makanan di tempat yang terpilih. Mereka ini tidak berminat
tentang politik secara khususnya. Oleh sebab itu, penulis harus menulis bahan yang selaras dengan
minatnya itu dan bukan perkara lain. (copy and paste dari sumber rujukan. sumber rujukannya
mana?)

Dalam erti kata lain, pengetahuan tentang khalayak sasaran amatlah penting dan secara tidak
langsung mencetuskan idea tentang apa yang hendak ditulis. Tanpa pengetahuan ini, penulis
mungkin memilih bahan atau tajuk yang tidak sesuai. Aspek ini juga penting dalam melihat
keperluan penulisan tentang sesuatu tajuk atau kajian agar ia dapat diterima khalayak.

4.3 Jenis khalayak

Khalayak terbahagi kepada dua iaitu khalayak utama dan khalayak sekunder. (Mus Chairil Samani,
1997). Sebarang bentuk proses komunikasi dan penulisan rencana sebagai salah satu saluran dalam
proses tersebut, mempunyai kedua-dua bentuk khalayak ini. Penulisan rencana bukan untuk tatapan
diri sendiri, maka kedua-dua khalayak ini perlu dipertimbangkan supaya objektif penulisan untuk
menyebarkan karya kepada seberapa ramai orang tercapai.

4.3.1 Khalayak Utama

Khalayak utama ditakrifkan sebagai golongan sasaran utama yang cuba dijangkau oleh penulis.
Golongan yang membaca buku ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur, taraf pendidikan
dan pekerjaan namun mereka dikelompokkan berdasarkan minat yang sama. Ini menunjukkan, umur
bukan kriteria utama tetapi minat.

Malahan sasaran sampingan dalam kelompok khalayak utama ialah terjangkau. Perkara ini tidak
dapat dielakkan kerana buku ini akan diedarkan di pasaran umum serta di pusat pengajian tinggi.
Khalayak utama adalah sangat penting sebagai penentu dan kayu pengukur kepada penerbitnya
sama ada karya itu berpotensi dan bentuk penerbitnya sama ada bentuk buku, majalah, makalah,
surat khabar, atau sebagainya. Sekiranya jumlah khalayak utama itu besar, maka pelaburan
menerbitkan sesuatu terbitan itu akan menghasilkan keuntungan yang diharapkan. Mereka
mempunyai kuasa pemutus sama ada untuk menerima atau menolak penerbitan yang diberikan
kepada mereka.

Khalayak sasaran boleh dikenal pasti berdasarkan tinjauan yang dilakukan. Namun, kajian ini
kebiasaannya memerlukan belanjawan yang tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai kaedah
mendapatkan maklumat tentang khalayak pembaca. Antaranya ialah isi kandungan terbitan, iklan,
surat-surat pembaca, dan ada juga yang mengandungi pelbagai segmen masyarakat yang boleh
menarik semua peringkat masyarakat. Dalam hal ini, penulis mesti memastikan bahan bacaan yang
dihasilkan adalah bersesuaian dan menepati citarasa khalayaknya.

4.3.2 Khalayak sekunder

Khalayak sekunder ialah golongan sampingan yang terjangkau secara kebetulan (Mus Chairil Samani,
1997). Dalam erti kata lain, pembaca luar yang menilai sesuatu penulisan sebelum dipilih untuk
diterbitkan dan editor yang menyunting penulisan tersebut. Dalam penulisan rencana, khalayak
sekunder ialah majalah atau akhbar yang anda tujukan sesuatu tulisan itu. Sewajarnya anda
mengetahui dasar penerbitan syarikat itu. Sesetengahnya mempunyai dasar tidak menerima
sumbangan penulis luar. Sebagai contoh, seorang penulis menghantar karyanya ke majalah Dewan
Bahasa. Maka, majalah ini merupakan khalayak sekunder bagi hasil penulisannya.

Dalam usaha mengenalpasti sesuatu terbitan, perhatikan penggunaan gambar dan ilustrasi yang
digunakan. (ayat tak gramatis) Peluang untuk menerbitkan sesuatu tulisan adalah lebih baik
sekiranya dilampirkan gambar. Gambar akan memberikan kesan rencana menjadi lebih menarik di
samping membantu mengambarkan sesuatu tulisan tersebut. Penulisan menjadi lebih jelas dan
secara tidak langsung menarik minat pembaca.

Selain itu, penulis juga perlu memerhatikan panjang sesuatu rencana itu. Rencana yang dihasilkan
mestilah bersesuaian di mana tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek. Malah, berkualiti tinggi
dan berkesan kepada pembaca yang membaca artikel tersebut. Penulisan juga kadang-kadang
dipengaruhi oleh kekangan ruang dan bilangan helaian penulisan.

Di samping itu, dengan mempertimbangkan editor yang mengetuai sesuatu redaksi juga membantu
kita mengenalpasti gaya penulisannya. Penelitian editor akan menonjolkan falsafah editorial terbitan
berkenaan. Malahan kita boleh memperhatikan gaya penulisan, trend dan corak pengendalian
sesuatu isu, jenis rencana yang dihasilkan serta membandingkan keluaran terbaru dan keluaran lama
majalah itu. Lagi banyak maklumat yang dapat diterokai, maka banyak yang dapat diketahui, malah
tindakan ini akan memandu penulisan dan mengetahui khalayak yang disasarkan oleh sesuatu
penulisan.

4.3.3 Khalayak dalam penulisan berita

Berita di dalam surat khabar mahupun secara atas talian merupakan salah satu aspek dalam
penulisan. Penulisan berita adalah penting kerana ia memberi laporan tentang peristiwa yang
berlaku di dalam sesebuah masyarakat. Sebagai penulis, seseorang individu itu perlu tahu tentang
khalayaknya kerana lebih banyak yang diketahui tentang masyarakat atau khalayak itu, lebih banyak
maklumat yang dapat dan khidmat yang dapat diberikan.
Di barat penyelidikan khalayak dilakukan secara saintifik untuk mengetahui tentang persaingan di
kalangan media. Walau bagaimana pun, masih ramai yang tidak memahami tentang khalayak dalam
penulisan berita mereka. Dalam menyampaikan berita, seseorang penulis itu perlu mengetahui
tentang maklumat latar khalayak mereka. Sebagai contoh, bagi khalayak yang tinggal di bandar,
mereka memerlukan berita yang ringkas dan padat kerana kehidupan mereka yang sibuk dan tidak
mempunyai masa yang banyak untuk membaca sesuatu berita yang panjang. (sumber rujukan)

Selain itu, penulis juga perlu mengetahui sejauh mana pengetahuan khalayak, pendapat mereka,
prasangka dan sebagainya. Aspek seterusnya ialah melihat sama ada berita yang disampaikan
mudah difahami atau tidak. Berita yang ditulis juga perlu benar dan sahih. Penulis juga perlu melihat
dari segi jantina, umur, kumpulan sosioekonomi dan sebagainya. Kesemua aspek ini penting untuk
memastikan khalayak dalam sesebuah penulisan dapat dikekalkan. Misalnya, akhbar kosmo
mensasarkan khalayak diperingkat umur remaja awal dewasa dalam penulisannya. Maka, ciri-ciri
yang ada dalam surat khabar ini harus memenuhi kehendak dan jiwa remaja seperti ringkas, menarik
dan menghiburkan. (sumber rujukan)

4.3.4 Teori Wolfgang Iser

Menurut pandangan Iser, (tiada dalam rujukan) istilah pembaca dapat dibahagikan kepada 'pembaca
yang diperlihatkan' dan 'pembaca yang sebenarnya'. Pertama, khalayak yang diciptakan sendiri oleh
teks itu dan merupakan 'rangkaian struktur yang mengundang jawapan', yang mengarahkan kita
membaca dengan cara tertentu. 'Pembaca yang sebenarnya' menerima beberapa imej mental dalam
proses pembacaan; tetapi imej itu pasti akan dipengaruhi oleh pengalaman lepas pembaca.
Seseorang yang tinggal di Filipina mempunyai pandangan yang berbeza berbanding mereka yang
tinggal di kota London. Perbezaan ini berlaku disebabkan hasil pembacaan dan tafsiran yang
berbeza.

Perkataan yang ditulis dalam sesuatu karya penulisan tidak akan berjaya menyampaikan apa-apa jika
minda khalayak tidak berjaya menafsirkan maksud penulisannya. Bahasa cereka membantu khalayak
mencipta objek imiginari dalam fikiran mereka. Sebagai contoh, penulis menulis watak yang ganas,
pembengis dan kaki pukul. Maka, pembaca akan membayangkan keadaan watak yang cuba
disampaikan pengarang. (ayat tak gramatis)

Selain itu, pembaca turut dipengaruhi oleh norma-norma yang dipegang. Apa yang cuba
disampaikan oleh penulis akan ditapis oleh norma-norma ini dan mempengaruhi proses pembacaan
khalayak. Kesedaran yang ada dalam diri khalayak akan menentukan penyelesaian dalaman yang
memungkinkannya menerima dan memproses sudut pandangan yang asing yang cuba dinyatakan
oleh penulis.

Wolfgang (seragamkan cara tulis sumber rujukan di dalam teks) turut membahagikan khalayak


kepada lapan jenis khalayak. Khalayak pertama ialah khalayak ideal. Khalayak ini adalah khalayak
yang diidamkan oleh penulis. Mereka akan membaca dan menerima hasil penulisan tersebut dengan
hati yang terbuka. Mereka akan setia dengan seseorang penulis dan bersifat klasik. Pembaca ini
berupaya memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis. Keadaan ini banyak membantu
penulis dan ia sangat ideal bagi pandangan seorang penulis.

Kedua ialah khalayak fiksyen. Khalayak fiksyen berlainan dengan khalayak ideal di mana ia berfungsi
dalam mencari perbezaan dalam penulisan. Ia merupakan satu strategi penting yang digunakan
untuk memenuhi kekosongan khalayak sebenar. Pembaca ini lebih berbentuk khayalan yang
mengubah streotaip yang mungkin telah berlaku dalam sesebuah penulisan. Maka, khalayak fiksyen
memberi satu perspektif baru dan membuka minda pembaca lain. Khalayak jenis ini penting agar
idea baru dapat dicerna. (sumber rujukan)

Seterusnya ialah khalayak kontemporari. Seperti yang kita semua sedia maklum, kontemporari
bermaksud sezaman. (ayat tak gramatis. Tulisan ilmiah pelu elakkan penggunaan kata ganti diri
seperti saya, kita, kami) Di sini kita boleh mengatakan bahawa khalayak kontemporari merupakan
khalayak yang sama dari dulu hingga sekarang. (ayat) Khalayak ini tidak mempunyai banyak
perubahan sama ada dari segi pendapat mahupun pegangan kerana mereka tidak mengalami
perubahan yang besar. (sumber rujukan)

Keempat pula adalah khalayak hipotetikal. Khalayak andaian ini adalah berlawanan dengan khalayak
sebenar. Golongan ini bukan pembaca sebenar tetapi hanya bayangan penulis yang digunakan untuk
mengarang. Penulis akan mengandaikan pembaca bagi hasil karyanya. (ayat tergantung ) (sumber
rujukan)

Kelima adalah khalayak bermaklumat. Khalayak ini mewakili konsep pengstrukturan kendiri yang
mensasarkan kepada peningkatan maklumat seseorang pembaca dan daya juang mereka melalui
pemerhatian yang dapat dilihat daripada pembacaan bahan-bahan di dalam teks. Mereka
mempunyai maklumat yang banyak untuk disampaikan kepada pembaca lain. (sumber rujukan)

Keenam pula adalah khalayak bayangan di mana khalayak ini cuba memahami pendapat penulisnya
dan disampaikan kepada individu lain. Khalayak ini juga menghasilkan perkaitan antara sejarah dan
dorongan kendiri di dalam teks yang ditulis dan menjadikannya mudah dicapai. Konsep khalayak
bayangan ini juga membolehkan penulis mentafsir kesan dan respon pembaca terhadap teks
penulisannya. (sumber rujukan)

Ketujuh ialah khalayak cadangan. Apabila seseorang penulis mempunyai khalayak cadangan, dia
berupaya mencipta dan menghasilkan satu bentuk penulisan yang akan diterima dan disukai oleh
pembaca. Realiti ini perlu diakui dan hasil penulisan akan masuk ke dalam pemikiran pembaca
seterusnya membentuk satu fahaman atau pengetahuan yang sama dengan maksud
penulis. (sumber rujukan)

Seterusnya ialah khalayak yang sebenar-benarnya. Khalayak ini merupakan khalayak yang dilihat
oleh penulis sebagai golongan yang merefleks kepada sesuatu masyarakat di mana mereka berada.
Ia merupakan khalayak yang akan memberikan gambaran sebenar tentang keadaan dan penerimaan
masyarakat terhadap penulis. Pembohongan tidak akan berlaku dan khalayak ini berlawanan dengan
khalayak fiksyen. (sumber rujukan)

Akhir sekali ialah khalayak yang lebih baik atau super. Khalayak ini merupakan golongan yang
mempunyai banyak maklumat dan seringkali mendapat apa yang cuba disampaikan penulis.
Khalayak ini juga digunakan untuk memahami teks yang ditulis. Penulis turut menggunakan khalayak
ini sebagai satu jalan atau kaedah untuk menulis fakta atau maklumat yang dikira berguna dan
penting. (sumber rujukan)
4.3.5 Khalayak Kanak-kanak dan Remaja

Golongan khalayak adalah terdiri daripada pelbagai peringkat umur tidak kira orang dewasa, warga
emas, remaja mahupun kanak-kanak. Golongan muda perlu dilatih dan diasuh dari kecil supaya suka
membaca. Namun, kita mengetahui bahawa tidak ramai penulis yang ingin menulis buku untuk
kanak-kanak. Walaupun ramai yang ingin menceburi bidang ini, mereka belum memahami
sepenuhnya keperluan khalayak mereka yang muda ini. Khalayak kanak-kanak memerlukan bahan
bacaan yang menggembirakan, berbentuk penerokaan dan dipenuhi gambar yang berwarna-warni.
Maka, kupasan ini bertujuan membuka mata penulis tentang kepentingan mengambil kira keperluan
golongan muda ini.

Sebagai penulis, mereka dapat membantu memberikan rangsangan dan pengalaman kepada kanak-
kanak dengan cara menyediakan bahan-bahan bacaan di dalam berbagai-bagai bidang dan jurusan
pengetahuan. Kemudahan dan kesukaran sesuatu peringkat pengalaman itu terpulang kepada
konsep-konsep yang hendak disampaikan oleh bidang pengalaman dan pengetahuan yang
berkenaan. Jika seseorang tidak mendapat konsep asas, maka adalah sukar untuknya memahami
dan menguasai pengetahuan tersebut. Jika pembacanya adalah seorang kanak-kanak, konsep-
konsep yang disampaikan melalui pembacaaan itu perlulah merupakan lanjutan daripada konsep
yang telah dikuasainya. Ini bererti, tahap yang tinggi akan mematikan minat dan semangat kanak-
kanak tersebut. Kanak-kanak juga memerlukan gambar, rajah, graf dan sebagainya untuk
membantunya memahami sesuatu maklumat. Selain itu, gambar-gambar ini akan menambahkan
minat dan mengurangkan kebosanan mereka.

4.4 Keperluan khalayak

Keperluan khalayak itu dapat dibahagikan kepada:-

i.Kepuasan segera

Kepuasan segera diperolehi daripada bahan bacaan yang diminati oleh pembaca. Minat yang tinggi
mendorong pembaca membaca bahan tersebut kerana bahan itu boleh membantu mengatasi
masalah seharian yang lebih mendesak. Sebagai contoh, bagi seseorang kanak-kanak, membaca
komik atau kartun memberikan kepuasan kepada mereka.

ii. Kepuasan tertangguh

Kepuasan ini diperolehi daripada bahan bacaan yang boleh meningkatkan tahap pengetahuan dan
pendidikan pembaca. Bahan seumpama ini hanya dibaca pada masa lapang apabila berkesempatan.
Antaranya ialah bahan rujukan yang tebal dan ensiklopedia. Pembaca tidak akan menumpukan
pembacaan kepada bahan ini kerana ia dibaca untuk mendapatkan maklumat di dalamnya. Oleh
yang demikian, kepuasan yang diterima adalah kepuasan tertangguh. Keadaan ini dapat dilihat pada
pelajar sekolah mahupun universiti yang membaca hanya untuk lulus peperiksaan.

4.5 Resepsi (resepsi atau resensi?)

Resepsi ialah reaksi pembaca terhadap sebuah teks. Sebuah resensi diteguhkan apabila sesuatu teks
dihayati dengan sepenuhnya. Resensi ini akan membantu penulis untuk melihat sejauh mana
keberkesanan dan penerimaan khalayak terhadap hasil tulisannya. Resepsi boleh diambil dari
sumber-sumber seperti:- (sumber rujukan)

a) laporan daripada pembaca tidak profesional: catatan harian, catatan di


pinggir buku, laporan dalam autobiografi dan sebagainya.
b) laporan profesional.
c) terjemahan dan saduran.
d) pengolahan dalam buku-buku.
e) resepsi produktif: unsur-unsur dari sebuah karya sastera diolah dalam
sebuah karya baru.

Resepsi juga dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sejarah resepsi dan penelitian terhadap orang-
orang dalam abad yang sama. Sejarah resepsi melihat bagaimana sebuah atau sekelompok teks,
sejarah penerbitannya diterima dan bagaimana reaksi para pembaca. Dapat diilihat bahawa sejarah
resepsi mempunyai dua aliran pula iaitu pertama yang memegang kepada pendapat sendiri dan yang
kedua, pihak yang mengambil kira keperluan khalayaknya. Walau bagaimanapun, kedua-dua aliran
ini melihat perkaitan khalayak dan teks yang dibaca.

Dalam meneliti penerimaan orang-orang dalam abad yang berbeza, dapat dikenalpasti bahawa
penerima sesebuah masyarakat yang berlainan masa adalah berbeza. Sebagai contoh, penceritaan
sastera di zaman Renaissance adalah berbeza jika dibandingkan dengan zaman Kesultanan Melayu
Lama. Oleh itu, penulis seharusnya menyedari perubahan minda dan pengaruh kepada khalayak
mereka agar karya yang dihasilkan dapat diterima.

4.6 Ciri-ciri khalayak

Khalayak dibezakan berdasarkan minat, amalan, sikap, dan kepercayaan. Sikap berkaitan dengan
kegemaran atau kesukaan seseorang itu bersifat kekal dan separuh kekal. Manakala sikap ialah
pegangan seseorang itu tentang sesuatu perkara dan tidak mudah berubah iaitu falsafah hidup
seseorang itu yang tidak mungkin dipinda walau apa pun keadaannya.

Minat khalayak boleh dibahagikan kepada dua iaitu minat jangka pendek dan minat jangka panjang.
Minat jangka pendek bersifat tidak kekal dan ia akan pudar apabila hasrat atau keinginan pembaca
tercapai. Contohnya, hasrat seseorang untuk membeli kereta menyebabkan dia membaca semua
risalah, iklan, tulisan tentang pelbagai model kereta dalam kelas yang ingin dibelinya. Menerusi
pembacaan, dia boleh membuat perbandingan serta mendapat keputusan membeli model kereta
yang sesuai dengan keperluannya. Keperluan khalayak jenis ini mungkin sukar dipenuhi kerana
sebaik sahaja mereka membeli kereta yang diinginkan, mereka tidak lagi membaca penulisan
tentang kereta. Walau bagaimnapun, minat ini tidak juga terhenti secara mendadak. Pembaca akan
membaca selagi kereta tersebut belum dibelinya dan berlarutan hingga beberapa ketika selepas
pembelian itu. Tempoh ini dikenali sebgai tempoh pengukuhan di mana maklumat masih diperlukan
bagi menyakinkan bahawa keputusan memilih model kereta tersebut adalah keputusan yang bijak.

Berikutnya ialah minat jangka panjang yang bersifat kekal. Contohnya, khalayak yang berminat
dalam bidang sukan bola sepak. Oleh itu, mereka sudah tentu akan cuba dan sentiasa mencari
maklumat tentang perkembangan aktiviti sukan ini. Minat merupakan ciri khalayak yang aktif.
Khalayak akan meninjau persekitaran dan mencari bahan yang bersesuaian dengan minatnya. Selain
itu, mereka bukan sahaja membaca dari pelbagai bahan bacaan namun turut terlibat dalam
persatuan dan pertandingan bola sepak yang dianjurkan di kawasan setempat. Minat khalayak
golongan ini lebih mudah dipenuh.

Amalan khalayak juga bersifat kekal. Biasanya, seseorang yang sudah biasa mengamalkan sesuatu
kaedah dalam melakukan kerja tidak akan menerima cara lain. Khalayak ini akan mencari mesej yang
selaras dengan amalannya setiap hari. Manakala sikap pula merupakan pendirian yang dipegang
oleh seseorang itu berhubung sesuatu perkara dan bersifat jangka panjang. Sikap selalunya
terbentuk dalam jangka masa panjang dan perubahan sikap selalu berlaku secara perlahan-lahan.
Penulis tidak boleh mengharapkan tulisannya boleh mengubah sikap seseorang. Perubahan sikap
boleh berlaku apabila tulisan itu disokong oleh komunikasi bersemuka. Dalam hal ini, orang yang
bersemuka dengan khalayak itu harus dikenali dan diyakininya. Bukan sebarangan orang menepati
syarat ini. Biasanya orang itu terdiri daripada pemimpin masyarakat atau pemimpin setempat yang
tinggal berhampiran dengan khalayak.

Kepercayaan merupakan ciri khalayak yang paling sukar untuk berubah. Kepercayaan melibatkan
pegangan seseorang itu kepada ideologi sama ada bersifat keduniaan atau
keagamaan. Contohnya,seseorang yang menganuti agama Buddha yang percaya akan kelahiran
semula dan kelahiran tersebut ditentukan oleh kehidupan sekarang. Walhal, bagi agama Islam,
kehidupan di dunia hanyalah sementara dan sekali sahaja. Kedua-dua agama ini berbeza
kepercayaan maka sukarlah sekiranya pandangan Islam yang tidak mempercayai kelahiran semula ini
diserapkan kepada golongan penganut agama Buddha. Kepercayaan seseorang sukar diubah dan
bahan bacaan yang mereka pilih juga berdasarkan kepercayaan ini.

4.7 Peranan khalayak

Khalayak memainkan peranan yang penting kepada hasil penulisan penulis. Antara peranan mereka
ialah merefleks kepada hasil penulisan. Apabila sekumpulan khalayak dalam sesuatu masyarakat
membaca hasil karya seseorang, mereka akan berpegang kepada norma dan budaya di dalam
masyarakatnya. Maka dari situ, penulis dapat melihat keadaan dan sikap yang pelbagai di sesebuah
kawasan itu. Penilaian khalayak terhadap karya penulis boleh digunakan oleh penulis untuk lebih
mengenali kehendak dan keperluan khalayaknya.

Selain itu, khalayak juga membantu menyebarkan maklumat dan pengetahuan yang cuba
disampaikan oleh penulis. Mereka menjadi ejen yang secara tidak langsung memberi semangat dan
mempengaruhi penulisan pengkarya pada masa akan datang. Sebagai contoh, seorang penulis muda
mendapati khalayak memuji hasil penulisannya. Sudah tentu ini merupakan satu bonus yang
menaikkan semangat untuknya terus berkarya. Peneguhan positif ini amat bermakna dan ia
bergantung kepada penerimaan khalayak. Namun begitu, jika kritikan yang diterima, mereka harus
memandangnya sebagai cabaran untuk melakukan yang lebih baik.

Semasa proses membaca, khalayak akan cuba menghayati dan memasukkan diri mereka ke dalam
karya penulis. Pembaca akan berimiginasi dan membayangkan keadaan dalam sesebuah penulisan
itu. Keberkesanan penulisan akan dapat dilihat apabila pembaca memahami dan merasai sendiri
suasana yang cuba digambarkan penulis. Di sini, khalayak berperanan sebagai penterjemah idea
penulis yang merupakan satu peranan penting dan mempengaruhi individu di sekeliling untuk turut
membacanya.
4.8 Isu-isu khalayak

Penulis dan pembaca tidak dapat dipisahkan ibarat aur dengan tebing. Namun, berdasarkan
pemerhatian kini, penulis kesusasteraan terutamanya sudah ketinggalan berbanding dengan
pemikiran pembaca. Oleh hal yang demikian, sambutan terhadap penulisan juga merosot dan bahan
yang dihasilkan tidak diminati oleh para pembaca.

Selain itu, berlaku "pendedahan paksaan" iaitu keadaan di mana para murid sekolah atau penuntut
pengajian tinggi dipaksa membaca bahan kesusasteraan. Murid sekolah, penuntut maktab dan
universiti dipaksa membaca, menghayati, mengulas dan mengupas sajak, cerpen, novel dan
sebagainya. Jadi, bidang sastera cuma mempunyai khalayak yang terkepung dan dipaksa. Malahan di
luar khalayak ini juga mungkin kesusateraan ketandusan peminat dan kekurangan
pengikut.Anggapan bahawa kesusateraan membosankan dan memuakkan membuatkan khalayak
yang menerima pendedahan paksaan akan terhenti selepas tamat pengajian.

Namun, perubahan berlaku pada tahun 1950-an dan 1960-an di mana sastera dan kesusateraan
menjadi lebih menarik dan mendapat sambutan yang baik dari pembaca. Hal ini berlaku kerana
penulisan membangkitkan dan membicarakan tentang isu dan perkara yang melibatkan kehidupan
masyarakat. Walau bagaimanapun, penulisan juga berperanan mengembalikan manusia kepada
kemanusiaan, serta mengembalikan insan kepada keinsanannya. Cara penyampaian boleh berubah
dan pelbagai tetapi tidak menjejaskan matlamat asal. Mutu dan isi penulisan yang berkualiti mampu
menarik ramai khalayak.

Budaya membaca kurang menjadi amalan di hati rakyat Malaysia. Ini merupakan isu yang
menyebabkan hasil penulisan kurang mendapat sambutan di kalangan masyarakat Malaysia. Kurang
minat menjadi batu penghalang kepada budaya membaca. Walau bagaimanapun, hanya sesetengah
peringkat masyarakat sahaja yang menyedari akan kepentingan membaca dan mahu menambahkan
ilmu pengetahuan. Oleh itu, penulis berperanan menghasilkan karya yang menarik dan mampu
menarik minat pelbagai lapisan masyarakat supaya mencintai budaya membaca.

Setiap penulis ingin tulisannya dibaca oleh khalayak. Tanpa mengira tujuan mereka menulis sama
ada untuk menyebar maklumat, mengubah sikap, menyampaikan pengetahuan atau untuk memberi
pengalaman baru kepada pembaca, penulis hanya ingin tulisannya dibaca. Bagi memancing
khalayak, penulis mesti berupaya menarik minat serta perhatian pembaca seterusnya mengekalkan
pembacaan. Ini bermaksud, tulisan penulis mesti mematuhi beberapa syarat iaitu tulisannya mesti
menarik, berisi dan seronok dibaca.

Keseronokkan dan kepuasan dalam pembacaan adalah bersifat subjektif dan bergantung kepada
citarasa pembaca. Unsur inilah yang menentukan sama ada sesuatu tulisan itu akan mendapat
sambutan atau tidak, sama ada ia akan mencapai tahap best-seller atau kekal di tahap non-seller.
Setiap pengkarya berusaha untuk memenangi hati pembaca melalui penulisannya. Namun, yang
menjadi persoalannya ialah ’apakah yang menjadikan sesuatu tulisan itu seronok untuk dibaca’.

Selain itu, tulisan yang dihasilkan juga perlulah rasional dan munasabah agar dapat menarik minat
pembaca. Dari segi istilah pula, didapati khalayak tidak menggemari penulisan yang terlalu sukar dan
menggunakan istilah hebat-hebat atau istilah besar-besar yang menyukarkan proses penyampaian
maklumat.
5.0 CADANGAN

Penulisan adalah suatu seni yang diperlukan untuk menyampaikan maklumat tidak kira dalam
bentuk rasmi atau tidak. Namun, kehadiran khalayak menjadikan perkara atau isu yang disampaikan
lebih bermakna. Golongan inilah yang akan memastikan seseorang penulis terus menulis dan
berkarya.

Bagi mewujudkan lebih ramai khalayak tidak kira usia, kaum, budaya mahupun pendapatan, penulis
boleh mempelbagaikan penulisan dengan mengetengahkan isu berkaitan kehidupan, isu terkini,
masalah dunia mahupun penulisan berdasarkan kisah benar.

Selain itu, penulisan yang dapat memenuhi keperluan pembaca juga memberi impak yang besar
dalam menyampaikan isu penulisannya. Sebagai pembaca, seseorang berhak memilih bahan bacaan
yang ingin dibaca. Oleh itu, penulis serta pengkarya harus bijak membaca minda khalayak. Sebagai
contoh, ketika dunia digemparkan dengan berita kekejaman zionis di Iraq dan Palestin, terdapat
penulis yang cuba menghasilkan karya berbentuk artikel mengenai keperitan hidup rakyat di sana.
Sudah tentu hasil penulisannya akan dibaca dan mendapat perhatian kerana masyarakat ingin
mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut. Apabila penulis telah mensasarkan
khalayak mereka, maka mudahlah untuk mendekati mereka.

Bagi penulisan yang berkualiti, pembaca tidak akan ragu-ragu untuk mengakui tentang kehebatan
penulisan tersebut. Untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti, seseorang penulis perlu banyak
berlatih di samping tidak malu untuk belajar dan meningkatkan pengetahuan mereka. Keyakinan
pembaca terhadap karya seseorang penulis tidak akan diperoleh dengan hanya satu hasil penulisan
tetapi memerlukan usaha jangka panjang seperti yang dilakukan oleh A. Samad Said. Beliau tidak
hanya dikenali kerana penulisan yang berkesan tetapi berjaya mencipta pengaruh sehingga diberi
anugerah sasterawan negara.

6.0 PENUTUP

Sebagai kesimpulannya, khalayak adalah golongan yang penting dalam menjadikan karya seseorang
penulis itu bermakna. Tanpa khalayak, penulisan yang dihasilkan tidak akan dihargai dan boleh
berkubur begitu sahaja. Ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling bergantung antara satu sama
lain. Maka, setiap penulis yang ingin memulakan penulisan perlu mengambil kira aspek yang penting
ini. (kesimpulan tidak menjawab persoalan yang dikaji secara menyeluruh. Tidak menggambarkan
keseluruhan isu yang dibincangkan)

RUJUKAN

Hasnah Ibrahim. 1982. Menulis untuk Berkomunikasi. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors SDN BHD.

Jan V. L, Mieke B., Willem G. Weststeijn. 1984. Pengantar Ilmu Sastra. Terj. Dick Hartoko. Jakarta:
Penerbit PT Gramedia.

Mansor Ahmad Saman. 1995. Penulisan dan Media. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mus Chairil Samani. 1996. Penulisan rencana berkesan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh, Abdul Ahmad. 1984. Sekitar Sastera Kanak-kanak dan Remaja. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Panduan menulis tesis gaya UKM. 2007. Bangi: Pusat Pengajian Siswazah, UKM.

Paul De Maeseneer. 1986. Inilah Berita. Penterjemah Mohd Safar Hasim. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Raman Selden. 1989. Teori Kesusasteraan Sezaman. Terj. Umur Junus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Wolfgang Iser. 1974. The Act of Reading. London: The John Hopkins University Press.

(sila gunakan Gaya UKM, APA atau MLA)

Anda mungkin juga menyukai