Anda di halaman 1dari 13

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/282995098

Pengurusan Islam: Antara Teori dan Pelaksanaan Dalam Pendidikan Tinggi

Conference Paper · October 2015

CITATION READS
1 5,459

1 author:

Mohd Fuad Salleh


UNISEL | Universiti Selangor
37 PUBLICATIONS   62 CITATIONS   

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

ICT Adoption Affecting Organizational Performance in Indonesia’s SMEs View project

The Effect of Market Orientation as Mediator to Strategic Planning Practices and Performance Relationship: Evidence from Malaysian SMEs View project

All content following this page was uploaded by Mohd Fuad Salleh on 20 October 2015.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


1

Pengurusan Islam: Antara Teori dan Pelaksanaan Dalam Pendidikan Tinggi


Prof. Madya Dr. Mohd Fuad Mohd Salleh
Fakulti Perniagaan, UNISEL

1.0 Pengenalan

Umat Islam sejak sekian lama percaya terhadap kebenaran agama mereka iaitu Islam
dan ketinggian pegangan hidup ini. Mereka mempunyai sandaran sejarah yang hebat dan
meyakinkan. Sesungguhnya kelahiran dan kehadiran agama Islam di dunia adalah untuk
mengatasi dan memperbaiki keadaan kerana Nabi diutus untuk menyebarkan agama
Islam bagi memperbaiki budi perkerti umat manusia. Bermula selepas peristiwa Hijrah
Rasul SAW ke Madinah, Islam mula berkembang pesat sehingga berjaya menjelajah
hampir semua benua. Namun semenjak kurun ke-12, dengan kebangkitan dunia Eropah
(renaissance) dunia Islam seolah-olah mengalami kejumudan dan gagal menghasilkan
sesuatu yang signifikan kepada kehidupan manusia sejagat sehinggalah berakhirnya
pemerintahan Khilafah Islam di Turki. Kejatuhan Khilafah Islam dimulakan dengan
memaksa Sultan Abdul Hamid Khan II bin Abdul Majid Khan, turun dari takhta pada
27 April 19091 hingga mengakibatkan sistem Khilafah berakhir pada 3 Mac 1924
(Jainuri 1995).

Inilah yang menjadi igauan umat Islam semasa berdepan dengan kuasa Barat. Mereka
rasa kuat namun kekuatan itu tertanam di dalam sejarah. Hakikatnya mereka lemah.
Bukan sahaja lemah malah keliru. Maka tidak hairan ketika Napoleon Bonaparte dan
saintisnya membuat demonstrasi ujikaji kimia di Mesir suatu ketika dahulu, terdapat
dalam kalangan ulamak ketika itu teruja dan memberi komen, “sesungguhnya ini adalah
sihir yang nyata!” Komen yang jauh tersasar daripada landasan ilmu kerana mereka
tidak pernah belajar dan didedahkan dengan ilmu kimia meskipun Khalifah Harun Al-
Rashid telah memperkukuh ilmu kimia berdasarkan ujikaji pada kurun ke 10 lagi
(Stenhouse, 2008).

Telah tiba masanya untuk membangunkan kembali keagungan Islam. Salah satu cara
ialah melalui pendidikan dengan memperbanyak sumber rujukan yang berasaskan ilmu
Islam dan ditulis oleh orang Islam sendiri. Dunia kini sedang memandang Islam sebagai
harapan untuk menggarap dan menyelesai berbagai masalah yang sedang dihadapi oleh
manusia. Sesuai dengan Agama yang paling pesat berkembang sekarang, maka menjadi
harapan semua umat Islam agar sebuah rujukan mengenai ilmu pengurusan Islam dapat
disediakan untuk tatapan dunia, bagi mengatasi atau setidak-tidaknya mengurangkan
masalah yang sedang dihadapi dalam dunia pengurusan sekarang.

1.1 Islam Dan Pandangan Dunia


Meskipun masyarakat Barat dianggap unggul dalam soal-soal pentadbiran dan
pengurusan, namun pada hakikatnya mereka hanya memulakan pengkajian di universiti
dan menubuhkan fakulti pengurusan sekitar awal tahun 1920an. Syracuse University
Amerika Syarikat dianggap universiti pertama yang menubuhkan Fakulti Pengajian
Pengurusan pada tahun 19192. Meskipun penubuhan fakulti secara formal bermula

1
Pusat Al Qur'an Indonesia (2014). Kisah Sedih Dari Khalifah Terakhir Umat Islam. http://www.pusatalquran.
com/2014/04/kisah-sedih-dari-khalifah-terakhir-umat.html. Dilayari 5 Sept. 2015.
2
Whitman School of Management, Syracuse University. http://whitman.syr.edu/whitman-experience/whitman-
history/index.aspx
2

lewat, namun sumbangan masyarakat Barat dalam memajukan ilmu pengurusan telah
bermula lebih awal lagi dengan pengenalan beberapa teori pengurusan klasikal dan
moden oleh sarjana-sarjana Barat.
Namun begitu teori-teori pengurusan klasikal dan moden melalui pendekatan
kemanusiaan (behavioral) atau sains yang diperkenalkan oleh Barat tidak berjaya
melahirkan pekerja yang tenteram jiwanya. Mereka sentiasa menuntut agar keperluan
ekonomi dan psikologi mereka dipenuhi. Penyelewengan dan keruntuhan akhlak di
kalangan pekerja sudah menjadi lumrah sehingga melibatkan pembunuhan. Kes
pembunuhan oleh pekerja organisasi direkodkan seawal 19263. Akibatnya banyak
syarikat konglomerat yang terpaksa gulung tikar kerana tindakan sesetengah pegawai
syarikat yang tidak beretika. Ini terbukti dengan runtuhnya empayar Enron, World.com,
Arthur Anderson,4 Lehman dan berpuluh lagi nama-nama besar dalam berbagai industri
di Amerika Syarikat dan juga Eropah yang menjadi peneraju dalam pembangunan
pengurusan dan kewangan dunia akibat daripada pengurusan yang tidak amanah.

Untuk menguasai pengurusan dan kewangan dunia kita perlu memiliki kekuatan dalam
pengurusan organisasi. Kekuatan ini adalah hasil gabungan kekuatan yang dimiliki oleh
setiap individu dalam organisasi yang kemudiannya membentuk kumpulan dan
seterusnya membina pasukan. Kekuatan kesemua ini, individu, kelompok dan pasukan,
perlu digembleng untuk mencapai keutuhan dalam organisasi. Seseorang yang berusaha
untuk menggembleng kekuatan ini iaitu seorang pengurus perlu memiliki ilmu
pengurusan yang mantap agar dia mampu untuk melihat, menilai, mengukur dan
seterusnya menggunakan semua sumber yang ada untuk disatukan bagi mencapai
objektif organisasi.

Untuk menjadi seorang pengurus, seseorang individu perlu melengkapkan dirinya


dengan ilmu pengurusan yang betul untuk mudah memahami, merancang, seterusnya
melaksanakan apa yang dirancangkan untuk mencapai matlamat sesebuah organisasi
sama ada organisasi berasaskan keuntungan atau organisasi tidak berasaskan
keuntungan. Namun terlalu sedikit pengurus yang mampu melaksanakan semua ini
dengan baik dan sempurna terutama dalam menggembleng kelebihan-kelebihan yang
dimiliki oleh individu, kelompok dan pasukan dalam sesebuah organisasi.

Teori pengurusan yang dipelopori oleh Barat walaupun telah diamalkan sejak sekian
lama masih terdapat lompong yang perlu diisi dan dilengkapkan. Lompong ini wujud
kerana teori-teori Barat tidak menunjukkan keperluan untuk meletakkan nilai-nilai
agama sebagai satu elemen penting dalam membantu pengurus mengurus organisasi
meskipun organisasi adalah terdiri daripada satu gabungan manusia yang mempunyai
matlamat yang sama atau hampir sama. Lantas teori-teori ini langsung tidak menjurus
kepada penyediaan manusia untuk kesejahteraan manusia dan dunia secara
keseluruhannya.

Islam datang untuk mengisi lompong-lompong ini sebagaimana yang dinyatakan oleh
Nabi Muhammad SAW dalam satu Hadith Baginda yang bermaksud:

3
Postal employee runs amok, Northern Territory Times and Gazette (December 21, 1926). https://en.wikipedia.
org/wiki/List_of_postal_killings#cite_note-1. Dilayari pada 4 Sept. 2015.
4
Fuad Salleh (2015). Business ethics and entrepreneurship education. Syarahan Umum di Sekolah Tinggi Ilmu
Ekonomi (STIE) AMM, Mataram, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada 19 Ogos 2015.
3

”Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak kamu”5


Ini menunjukkan bahawa manusia sebenarnya telah memiliki akhlak namun belum
sempurna. Oleh itu Nabi datang bersama Islam untuk memberi petunjuk dan
membimbing manusia dan seterusnya membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada
seluruh alam, bertepatan dengan maksud Firman Allah:

“Kami tidak mengutus engkau, Wahai Muhammad, melainkan sebagai


rahmat bagi seluruh manusia” (QS. Al Anbiya: 107)

Apabila disebut alam, ia meliputi alam manusia, alam jin dan yang di dalamnya terdapat
hidupan-hidupan lain dan apa sahaja yang terdapat di alam ini seperti tanah, pohon-
pohon kayu, bukit-bukau, gunung-ganang, parit, sungai, tasik dan laut. Islam tidak
datang dengan teori tetapi Islam datang membawa petunjuk yang jelas kerana sifat Islam
itu sendiri merupakan sesuatu yang praktikal. Pengurusan dalam Islam mengambil kira
semua ini yang saling mempunyai hubungan sama ada secara langsung atau tidak
langsung. Perkara ini tidak diberi perhatian dalam teori pengurusan Barat. Teori-teori
Barat hanya mengambilkira perkara-perkara yang berkaitan dengan manusia dan
organisasi sahaja tanpa melihat perkaitannya dengan alam. Teori Barat tidak
menghubungkan manusia dengan alam.

Tulisan ini diharap dapat membuka ruang untuk pembaca terutamanya umat Islam
berfikir mengenai kehebatan Islam lantas menonjolkannya dalam kehidupan seharian
mereka biar dalam keadaan apa pun mereka berada. Pengurusan perlu dilihat dan dinilai
dari perspektif baru iaitu Islam dan ia perlu dilihat dan dinilai secra menyeluruh. Islam
datang dengan membawa semua petunjuk yang mencakupi berbagai bidang yang
mampu menghasilkan kehidupan aman dan makmur. Hanya kekuatan umat Islam yang
rajin untuk menggali kembali ilmu Islam untuk dikongsi bersama akan dapat
menyumbang kepada kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada kemampuan Islam
untuk mentadbir dunia.

2.0 Islam dan Pemikiran Masakini

2.1 Pemikiran
Telah banyak diperkatakan mengenai idea pengurusan oleh berbagai penulis.
Sebahagiannya menulis mengenai prinsip pengurusan dalam Islam namun
menggunakan pemikiran Barat. Mereka hanya mengubahsuainya sahaja lantas
mengatakan ia datang dari Islam. Mungkin apa yang mereka tulis ada
kebenarannya kerana keagungan Islam telah lama terpendam atau terpadam
dengan berakhirnya Khilafah Islam terakhir iaitu Khilafah Othmaniah di Turki
pada 3 Mac 1924 yang diusulkan oleh Kamal Atartuk dengan dibantu oleh
Yahudi.6 Nilai-nilai kemanusiaan dan keadilan sejagat juga turut terhakis dengan
kejatuhan pemerintahan Islam. Islam telah mengalami zaman kemunduran kerana
kealpaan penganutnya lantas pemikiran manusia didominasi oleh fahaman Barat.
5
Hadits shahih lighairihi ini diriwayatkan oleh Ahmad bin Hambal dengan lafadz ini dalamMusnad-nya 2/381,
Imam Al Haakim dalam Mustadrak-nya 2/613, dan Imam Al Bukhari dalam kitabnya Adabul Mufrad no. 273. Al
Lihat juga terjemahan ayat surah Al-Baqarah:127-129 dan Al-Ahzab: 21yang menjelaskan mengenai akhlak.

6
Ali Muhammad Ash-Shalabi. Terjemahan Samson Rahman MA (2003). Bangkit Dan Runtuhnya Khilafah
Utsmaniyyah. Cetakan Pertama. Indonesia: Pustaka Al-Kausar.
4

Namun umat Islam terus bertahan dan berusaha untuk membangkitkan kembali
keagungan Islam dan membawa Islam kembali ke dalam masyarakat. Prinsip-
prinsip Islam masih teguh dalam diri sesetengah umat Islam dan ia mampu untuk
mendepani kemajuan dan menghadapi cabaran zaman kini. Islam bukan ciptaan
manusia. Islam adalah ciptaan Allah dan ia merupakan satu kesempurnaan mutlak.
Allah berjanji untuk menolong hambaNya yang yakin dan bertaqwa.

Oleh itu apabila kita membincangkan pemikiran Islam, ia mestilah bermula dari
Allah dan berakhir dengan Allah. Pemikiran Islam tidak boleh diletakkan setaraf
dengan pemikiran Barat kerana pemikiran Islam jauh lebih tinggi daripada
kesemua pemikiran ciptaan manusia. Setiap apa yang Allah jadikan semestinya
mendatangkan kebaikan dan Allah akan memberi petunjuk kepada mereka yang
mencari redhaNya sepertimana yang telah dinyatakan dalam kitab suci Al-Qur’an
yang membawa maksud:

”Sesunggunya telah datang kepada kamu daripada Allah satu


cahaya dan kitab yang terang. Dengannya Allah memberi petunjuk
(memimpin) siapa yang mengikut keredhaanNya ke jalan perdamaian
dan dikeluarkannya dari kegelapan kepada cahaya yang terang
benderang dengan izinNya dan menunjukkan mereka ke jalan yang
lurus.” (Al-Maidah: 15 – 16).

Pemikiran Islam ialah pemikiran yang didasarkan kepada pengertian abadi


kehidupan selepas mati. Pemikiran Islam didasarkan kepada dasar yang datang
dari Allah. Pemikiran Islam adalah satu pemikiran lengkap melingkungi segala
bentuk sistem yang diperlukan oleh manusia untuk hidup sejahtera. Contohnya
Islam datang dengan konsep ekonomi sejagat yang mampu memberi keadilan
kepada alam. Islam datang dengan konsep politik yang tidak menindas. Islam
datang dengan konsep pengurusan yang menghubungkan manusia dengan alam
dan penciptanya.

Jika diteliti pemikiran Islam, ia adalah menyeluruh dan meliputi semua bidang
kehidupan dan ia membawa kebaikan berbanding pemikiran lain selain dari Islam.
Untuk mencapai tujuan tersebut Islam telah mengajar penganutnya agar
memulakan pemikiran dengan meletakkan keredhaan Allah sebagai matlamat
akhir.

2.2 Kepercayaan
Sesuai dengan asas pemikiran yang didasarkan kepada kepercayaan dan
keyakinan kepada kewujudan Tuhan Yang Satu (Esa) Yang Maha Berkuasa untuk
mentadbir seluruh alam ini, maka semua kerja buat pemikir dan ilmuan Islam
adalah dan hendaklah didasarkan kepada keyakinan bahawa apa yang mereka
perbuat bukan hanya akan dinilai oleh manusia dan makhluk di bumi malah juga
makhluk di langit. Kesemua perbuatan dan amalan mreka akan dinilai dan akan
mendapat balasan dari Allah dengan balasan yang seadil-adil dan penuh saksama.

Keyakinan dan kepercayaan ini adalah bersandarkan kepada Firman Allah yang
bermaksud:
5

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menghambakan


diri kepadaKu” (Adz-Dzaariyaat:56)

Tegasnya, setiap jin dan manusia ini adalah dijadikan khusus untuk beribadah
kepada Allah. Ertinya, apa saja yang dibuat oleh manusia, ia mesti merupakan
ibadahnya atau pengabdiaan dirinya atau amal baktinya kepada Allah SWT. Tidak
kiralah sama ada usahanya itu berupa urusan dalam mencari rezeki, dalam
membangunkan rumahtangga, dalam mengatur pendidikan anak-anak, dirinya
atau pun keluarganya, dalam mengatur pergaulan masyarakat, dalam berekonomi,
berjual beli, dalam berjuang dan berjihad dan dalam apa saja baik dalam tidur atau
jaga atau dalam aktiviti makan minum kita seharian, semuanya mestilah menjadi
ibadah kepada Allah.

Ini jelas Allah gambarkan dalam sepotong firmanNya yang lain dalam surah Ali
Imran ayat 191 yang bermaksud:

“Orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan
berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya
berkata, `Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia
belaka”

2.3 Amalan
Islam kerapkali disalah anggap kerana kesalahan dan kesilapan yang dilakukan
oleh umat Islam sendiri. Penduduk dunia termasuklah mereka yang menganut
Islam kerap menjadikan orang Islam sebagai kayu ukur atau penanda aras
terhadap Islam sedangkan Islam telah memberi garis panduan yang cukup jelas
mengenai. Apabila amalan penganut Islam tidak sepenuhnya mengikut garis
panduan yang diturunkan melalui Al-Qur’an dan As-Sunnah, maka berlakulah
kesalahan dan kesilapan yang mencacatkan Islam, sedangkan Islam tidak cacat.
Oleh kerana itulah Nabi Muhammad SAW telah berpesan dalam satu Hadith
Baginda yang maksudnya:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan
sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya;
Kitab Allah (Al-Qur’an) dan Sunnahku.”

Akibat tidak mengikuti Al-Qur’an dan Sunnah secara betul dan sepenuhnya maka
umat Islam hari ini telah hilang kehebatannya, hilang maruah dan harga diri dan
hilang hampir segala-galanya. Kepercayaan umat Islam kepada agama Islam
semakin menipis dan menghilang. Ia tidak lagi menjadi asas amalan mereka lalu
mereka hanyut dengan berbagai perkara mungkar yang semakin menghakis roh
amalan Islam dalam diri mereka.

Sebagai warga kerja yang berpegang dengan agama, kita perlu menyedari bahawa
hari untuk kita semua yang sentiasa bekerja untuk mengerjakan atau mematuhi
suruhan Allah supaya kita beramal di dunia ini. Islam mengajar kita bahawa dunia
ini adalah tempat untuk kita beramal, bercucuk tanam sementara di akhirat nanti
adalah waktu ketika untuk kita menuai menadah hasilnya. Kerana itu semua kerja
boleh menjadi ibadah.
6

Allah telah berfirman di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 21 yang


bermaksud:

“Wahai sekelian manusia, sembahlah tuhanmu yang telah


menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu agar kamu
bertakwa.”

Seruan ini Allah tujukan kepada semua manusia tidak kira orang Islam, orang
yang beriman, orang yang durhaka atau pun orang kafir. Pendek kata, setiap
manusia adalah dikehendaki oleh Allah supaya menyembahNya. Ada pun
menyembah Allah itu bererti mengabdikan diri atau memberi baktinya kepada
Allah SWT semata-mata.

Sebagai Rab sekelian alam Allah SWT menuntut dari setiap manusia supaya
sentiasa, setiap saat dan ketika memberikan ibadah dan amal baktinya kepada
Allah. Kerana itu, haruslah kita mengetahui bagaimana kita hendak mengisi setiap
usaha dan ikhtiar kita agar ia menjadi ibadah kita kepada Allah SWT. Ibadah
terbahagi kepada tiga: petama ibadah asas, dan kedua ialah ibadah furu’ (cabang)
iaitu amalan-amalan utama dan yang ketiga ialah ibadah umum.

Ibadah asas ialah ibadah utama dan penting. Termasuk di dalamnya ialah keenam-
enam rukun iman dan kelima-lima rukun Islam. Hukumnya fardhu ain yakni tiap-
tiap orang wajib menyakini dan beramal dengannya. Tanpa ibadah asas seseorang
itu tidak beriman. Ibadah cabang atau ibadah furu’ ialah yang berkaitan dengan
fardhailull `amal (amalan utama). Diantaranya seperti sembahyang dhuha,
sembahyang witir, sembahyang tahajjud, zikir yang tertentu dan lain-lainnya.

Manakala ibadah umum termasuklah semua kegiatan hidup kita yang kita lakukan
setiap hari. Bermula dari kita mengatur diri, anak isteri rumahtangga, kampung
halaman hinggalah kepada soal-soal pendidikan, mengurustadbirkan universiti,
ekonomi, masyarakat, politik, sehingga ke persoalan dalam dan luar negeri.
Kalaulah semua dapat kita aturkan sebagaimana yang Allah kehendaki maka ia
akan jadi ibadah yakni kita akan diberi pahala. Sebaliknya kalau kita cuai
mengatur hidup kita tidak mengikut syariat, maka rugilah kita.

Hakikatnya apa saja kerja yang kita lakukan untuk jadi ibadah, ia mesti
menempuh lima syarat. Apabila setiap kerja kita, yang kita lakukan menepati
kehendak kelima-lima syarat itu, maka ia akan diterima sebagai ibadah, sebagai
amal bakti dan sebagai satu pengabdian diri kita kepada Allah SWT sekiranya
memenuhi syarat berikut:

i- Niat mesti betul


ii- Perkara yang dibuat sah / halal ikut syariat
iii- Perlaksanaan mesti betul.
iv- Natijah mesti betul
v- Tidak meninggalkan perkara yang asas (ibadah asas).

Islam juga menyeru kita untuk melaksanakan semua pekerjaan kita dengan penuh
kesungguhan dan mendapatkan natijah terbaik dalam apa jua pekerjaan soleh yang
kita kerjakan.
7

“Sesungguhnya Allah menyukai pekerjaan hambaNya yang dilakukan


dengan penuh kesungguhan.” (Riwayat Abu Daud)

Jika kita amati saranan ini, orang Islamlah yang sewajarnya kehadapan, lebih rajin
dan lebih bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan mereka kerana di sana
selain mendapatkan bahagiannya daripada kemakmuran dunia, ia juga adalah
suatu amal yang disukai oleh Allah dan mendapat pahala apabila melakukannya.
Sebaliknya apa yang dapat kita lihat, orang-orang bukan Islam walaupun tiadanya
ikatan antara mereka dengan hari akhirat serta persoalan dosa dan pahala, namun
mereka cukup rajin bekerja, rajin berusaha sehingga mampu untuk memakmurkan
dunia ini dengan apa yang mereka kehendaki.

Oleh sebab itulah maka dalam menuntut ilmu, menyampaikan ilmu, mengurus
tadbir institusi ilmu, termasuk juga berdakwah mengajak manusia kepada Islam
atau apa-apa jua pekerjaan kita bahkan walau di mana jua bidang kerjaya yang
kita ceburi, semuanya mestilah dipusatkan kepada mencari redha Allah.
Berdasarkan pegangan ini maka setiap kerjabuat yang dilakukan umat Islam perlu
bertanya, “Sejauh mana kita telah melaksanakan pekerjaan dan amal di dunia ini
dengan sebaiknya, bahkan sejauh mana pula kita telah melakukan pekerjaan
tersebut dengan bersungguh-sungguh, adakah ia dilakukan semata-mata kerana
menyahut perintah Allah dan mengharapkan keredhaanNya?”

3.0 Objektif Syariah (Maqasid Syari`ah)

Syariat Islam adalah hukum dan peraturan Islam yang mengatur seluruh sendi
kehidupan manusia, baik 'Muslim' mahupun 'belum Islam'. Selain hukum dan peraturan,
Syariat Islam juga adalah penyelesai masalah dalam seluruh kehidupan ini. Kepada
umat Islam, Syariat Islam merupakan panduan terpenting dan menyeluruh serta
sempurna bagi seluruh permasalahan kehidupan manusia dan kehidupan dunia ini.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Pada keseluruhannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad S.A.W dan utuskan
engkau) menjalankan satu jalan yang cukup lengkap dari hukum-hukum agama; Maka
turutlah akan jalan itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang
tidak mengetahui (perkara yang benar)”. (Al-Jathiah: 18).

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah telah menjadikan untuk Nabi Muhammad S.A.W.
dan umatnya, jalan-jalan yang jelas nyata mengenai urusan agama.

Menurut Ibn 'Ashur (1366H) Maqasid al-Shari'ah dalam konsepnya yang umum ialah
"pengertian dan rahsia yang dapat difahami daripada syariat Islam dalam keseluruhan
atau sebahagian besar proses pensyariatannya. Sementyara 'Alal al-Fasyy (1966) pula
menghuraikan Maqasid al-Shari'ah sebagai tujuan dan rahsia hukum yang ditentukan
oleh syariat Islam. Menurut ar-Raysuniyy (1995), secara mudahnya huraian-huraian Ibn
'Ashur dan al-Fasi ini boleh diringkaskan sebagai "objektif yang ditentukan oleh syariat
supaya dicapai bagi kepentingan manusia".

Objektif Syari`ah ini telah dirangkumkan kepada lima elemen utama iaitu:
8

• Memelihara kesucian dan kepercayaan beragama


• Menjamin keselamatan nyawa dan anggota tubuh badan manusia
• Menjamin kemurnian fikiran dan kewarasan akal
• Menjamin kehormatan dan maruah diri
• Menjamin usaha pemilikan dan penguasaan harta

4.0 Keperluan kepada Pengurusan Islam

Umat Islam percaya kepada kebenaran Islam dan ketinggian pegangan hidup ini. Islam
memiliki sandaran sejarah yang hebat dan meyakinkan. Namun semenjak dunia Islam
mengalami kejumudan mulai kurun ke 12 dan umat Islam gagal menghasilkan sesuatu
yang signifikan kepada kehidupan manusia sejagat, Islam terus dipandang remeh oleh
masyarakat dunia hinggalah Islam kembali bangkit dalam kurun ke-20. Kurun yang
melihat bangkitnya Islam dengan perkembangan gerakan Islam dan kebangkitan ilmu
Islam di seluruh dunia mula dilihat dan diberi perhatian oleh masyarakat dunia. Sistem
Kewangan Islam telah mula diterima dan diamalkan oleh masyarakat Islam dan bukan
Islam di Timur dan Barat.

Perkembangan yang positif ini perlu digunakan dan diambil peluang sepenuhnya oleh
pemikir-pemikir Islam dan umat Islam seluruhnya untuk bangkit dengan memperkenal
dan membawa pemikiran baru yang lebih menjamin kesinambungan sifat manusia
sejagat. Sistem Pengurusan Islam perlu diperkenal kerana ia penting kepada Islam dan
dunia Islam serta manusia sejagat sebagai pelengkap kepada semua system yang ada dan
sebagai alternative kepada mereka yang mencari system yang boleh membawa
kesejahteraan dalam hidup.

Pendekatan Islam dalam pengurusan merupakan disiplin baru dalam pendidikan moden
yang dirujuk sebagai pengurusan Islam. Ia melihat pengurusan organisasi dari perspektif
pengetahuan yang bersumberkan wahyu iaitu Al-Qur’an dan Hadith yang menghasilkan
pelaksanaan yang sejajar dengan kepercayaan dan amalan Islam.

Mengapa Pengurusan Islam perlu diperkenalkan?

Pengurusan Islam perlu diperkenalkan kerana beberapa sebab berikut:

1. Satu proses untuk meletakkan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan
menyeluruh.
2. Memantapkan proses pencarian ilmu terutama dalam kalangan umat Islam.
3. Memantap kerangka berfikir umah agar ia bertunjang kepada pemikiran Islam
sebenar.
4. Membebaskan pemikiran umat manusia daripada pelbagai asas pemikiran serta teori
yang tidak sejajar dengan nilai dan prinsip kemanusiaan.
5. Memberi ruang penambah baikan kerana pendekatan konvensional mempunyai
banyak kelemahan kerana seringkali memisahkan dia antara teori dengan nilai
budaya setempat.
9

5.0 Sumber Pengetahuan Pengurusan Islam


Sumber utama ilmu Ilsam ialah daripada wahyu yang diturunkan kepada Nabi SAW.
Masyarakat Islam hari ini merujuk kepada Al-Qur’an sebagai sumber rujukan utama.
Sumber asal ini akan diterjemah, diulas dan dikupas oleh Hadith Nabi Muhammad
SAW yang menjadi sumber kedua dalam hiraki sumber ilmu Islam.

Kedua-dua sumber ini kemudiannya dibahas dan dibincangkan oleh pakar-pakar ilmu
Islam dengan tambahan sumber lain seperti ijma’ dan qiyas akhirnya membentuk asas
hukum dikenali sebagai ilmu usul (Usuul) dan kaedah-kaedah fiqh (Qawa’id). Kedua-
duanya bersama kaedah-kaedah khusus dalam ilmu Islam menjadi teras dalam
membincangkan keseluruhan ilmu dalam Islam yang mencakup berbagai bidang
termasuk pengabdian, pengurusan, pentadbiran, ekonomi, sosial dan perniagaan.

6.0 Pengajaran Ilmu Pengurusan Islam


Terdapat banyak tuntutan dan cabaran baru yang perlu dihadapi oleh pengurus dalam era
globalisasi sekarang ini. Cabaran pengurusan pemanasan global, perlindungan alam
sekitar dan pembangunan, hak asasi manusia, perhubungan tanpa sempadan, e-
perdagangan, silang budaya, falsafah etika dan banyak lagi yang memerlukan kumpulan
pengurusan mendalami etika dan tanggungjawab sosial dalam melakukan tugas harian.

Terlalu banyak teori dan falsafah etika yang diamalkan di seluruh dunia sekarang ini.
Antaranya seperti Kantian philosophical traditions yang beranggapan bahawa individu
(dan organisasi) mempunyai tanggungjawab berdasarkan kepada satu set teras prinsip
moral yang melangkaui kepentingan diri yang sempit. Antara beberapa falsafah yang
diamalkan sekarang termasuk Aristotelian virtue ethics, Utilitarianis dan Eastern
Philosopfy7.

Para sarjana Islam perlu menunjukkan bagaimana pengurusan Islam mampu


memperkenal asas etika dan tanggungjawabnya dengan mengambilkira fahaman-
fahaman dan pegangan-pegangan Barat tanpa perlu bertembung dengan fahaman-
fahaman berkenaan. Kita perlu menunjukkan bahawa falsafah etika dalam Islam adalah
yang terbaik dan paling lengkap. Kita juga perlu menunjukkan bahawa kesemua
fahaman dalam falsafah Barat sudah terangkum dalam falsafah etika dan tanggungjawab
Islam. Sebagai satu contoh konsep pengurusan Islam yang berteraskan `Ubudiyah,
Masuliah dan Itqan8 (UMI) perlu diperjelaskan kepada pelajar yang tidak berpeluang
mempelajarinya dalam kuliah-kuliah pengurusan konvensional.

Konsep `Ubudiyah yang menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada
Allah. Oleh kerana itu setiap perbuatan dan pekerjaan seharian manusia hendaklah selari
dengan syariat yang diturunkan oleh Allah. Ia berasaskan kepada keimanan dan
7
Merriam-Webster Dictinory. http://www.merriam-webster.com/dictionary/kantianism
8
Nurhafilah Musa (2014). Penerapan Konsep Mas'uliyyah dan Amanah dalam Pentadbiran Awam ke arah
Bersih Rasuah - Kajian di Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam.
10

ketaqwaan kepada Allah. Masuliah pula adalah prinsip berkaitan amanah dan
tanggungjawab. Setiap perbuatan dan pekerjaan manusia adalah berkaitan dengan agama
dan melibatkan soal dosa dan pahala. Prinsip ini menekankan soal pelaksanaan tugas
dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti (Wan Nik, 2013)9. Itqan pula ialah
prinsip yang menekankan kepada akhlaq dan amalan soleh. Setiap manusia ini perlu
bersungguh-sungguh, tekun dan memberi komitmen yang tinggi dalam melaksanakan
tugas. Ini akan melahirkan kualiti kerja yang baik dan cemerlang. Ia juga melibatkan
soal keikhlasan, atau juga dipanggil kerja bermutu atau kita panggil ia sebagai itqan dan
ini adalah dari ajaran Islam yang mana ajaran inilah yang akan menyelamatkan manusia
di dunia dan di akhirat (Nik Aziz, 1995)10.

Banyak lagi konsep, prinsip dan asas mengenai pengurusan Islam yang perlu dipelajari.
Namun hakikatnya terlalu sedikit ilmu pengurusan Islam ini dicurah dan diajar secara
formal di institusi pengajian tinggi (IPT) terutama kepada pelajar yang bukan dalam
jurusan pengajian ilmu-ilmu Islam. Sementara dalam pengajian di fakulti Islam
contohnya, pelajarnya pula tidak didedahkan kepada ilmu pengurusan. Ini amat
mencacatkan perkembangan ilmu. Ini menyebabkan ilmu Islam hanya berlegar dalam
lingkungan pelajar-pelajar jurusan agama yang menyebabkan keindahannya tidak dapat
difahami dan dinikmati oleh pelajar lain di luar bidang pengajian Islam yang juga
kurang didedahkan dengan ilmu pengajian berasaskan Islam. Ini dapat dilihat dan
disahkan dengan pembentukan kurikulum untuk program-program pengajian
pengurusan dan perniagaan juga program-program pengajian agama di mana-mana IPT.
Ilmu Islam terlalu sedikit yang di masukkan dalam kurikulum pengajian dan ilmu
pengurusan moden pula amat terbatas (jika ada) dibincangkan dalam kelas-kelas
pengajian ilmu-ilmu Islam.11

Dalam usaha kerajaan untuk memperkenal indeks syariah, negara menghadapi


kesukaran untuk mengumpul mereka yang memiliki kepakaran dalam kedua-dua bidang
sekaligus. Ahli akademik yang punya kesedaran Islam yang mengkhusus dalam bidang
pengurusan memiliki pengetahuan yang amat terbatas mengenai asas dan dasar-dasar
pengurusan Islam. Kurangnya bahan bacaan dalam pengurusan Islam juga menyukarkan
ahli akademik dan pelajar menambah ilmu untuk memahami sistem dan ciri-ciri
pengurusan Islam. Jikapun ada, mereka yang menulis buku-buku dan makalah-makalah
atau artikel berkaitan pengurusan dalam Islam adalah terdiri daripada kalangan mereka
yang menedapat pendidikan formal dalam kuliah-kuliah pengurusan konvensional.
Mereka menggagahkan diri menulis makalah dan terbitan-terbitan ini dengan
kemampuan yang amat terbatas. Namun amat dikhuatiri, pandanga-pandangan yang
dilontarkan dalam penulisan adalah kurang tepat dengan kaedah ilmu Islam. Keadaan ini

9
Wan Nik Wan Yusof (2013). Dua dekad Kelantan bersih, beramanah. http://www.detikdaily.net/v6/modules.
php?name=News&file=print&sid=18929
10
Nik Abdul Aziz Nik Mat, (1995). Islam Boleh. Kelantan: Maahad ad-Dakwah Wal-Imamah.
11
Pengalaman penulis dalam melaksanakan tugas menyemak kurikulum pengajian di IPT sebagai juruaudit dan
pakar rujuk MQA.
11

dirumitkan lagi dengan kurangnya wacana dan kritikan terhadap terbitan-terbitan ini
oleh pakar dari kedua-dua bidang: pengajian Islam dan pengajian pengurusan.

7.0 Kesimpulan
Satu usaha bersepadu perlu dilakukan dan kerajaan sendiri melalui Kementerian
Pengajian Tinggi perlu memahami kepentingan kesemua pelajar, Islam atau belum
Islam, didedhkan kepada ilmu Islam dengan mempelajarinya secara formal di dalam
kuliah-kuliah di IPT. Ini penting untuk memastikan Malaysia tidak ketandusan pakar
atau sekurang-kurangnya graduan yang memahami ilmu pengurusan dari sisi Islam.
Perlunya pakar dan mereka yang berpengetahuan untuk membantu kerajaan
menyediakan tenaga pakar untuk menyokong usaha memastikan Malaysia menjadi hub
kewangan dan perbankan Islam, hub halal dan segala yang berkaitan dengan Islam dan
ilmu Islam.

KPT boleh menyediakan garis panduan agar kurikulum pengajian di Fakulti


Pengurusan, Ekonomi atau Perniagaan memasukkan kursus Pengurusan Islam dan
pengajian mengenai ilmu Islam sementara di Fakulti Pengajian Islam pula ditambah
dengan kursus pengurusan dan perniagaan. Selain dari itu seminar, wacana dan
perbincangan antara fakulti-fakulti yang berbeza oriantasinya dilakukan secara lebih
kerap. Ini untuk membolehkan fakulti-fakulti ini saling berhubung dan menyediakan
ruang lebih terbuka untuk melakukan asimilasi bagi mengisi lompong yang ada
sekarang kerana perbezaan oriantasi.

Hanya dengan dasar yang jelas kerjasama erat antara semua fakulti dan pusat pengajian
akan dapat dilakukan dalam menghasilkan kurikulum lebih bersepadu dan lengkap.
Hanya dengan pengetahuan pengurusan Islam yang mencukupi akan dapat membawa
graduan kembali kepada fitrah, manusia akan mengenal diri dan fitrahnya. Dengan cara
ini, diharapkan akan dapat mengekang salah laku dalam pengurusan dan urustadbir
korporat.
View publication stats

12

Rujukan

Ali Muhammad Ash-Shalabi. Terjemahan Samson Rahman MA (2003). Bangkit Dan


Runtuhnya Khilafah Utsmaniyyah. Cetakan Pertama. Indonesia: Pustaka Al-Kausar.
al-Fasyy,' Alal. (1966). Maqasidal-Shari'ah al-lslamiyyah wa makarimuha. Dar al-Bayda':
Maktabat al-Wihdah al-'Arabiyyah.
Al-Raysuniyy, Ahmad (1995). Nazariyyat al-Maqasid 'ind al-Shatibiyy. Ed. 4. Riyad : al-Dar
al-'Alamiyyah li al-Kitab al-'Arabiyy.
Fuad Salleh (2015). Business ethics and entrepreneurship education. Syarahan Umum di
Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi (STIE) AMM, Mataram, Nusa Tenggara Barat,
Indonesia pada 19 Ogos 2015.
Jainuri, Achmad. (1995) “Landasan Teologis Gerakan Pembaruan Islam”, dalam Jurnal
Ulumul Qur’an, No. 3. Vol. VI, Tahun 1995.
Merriam-Webster Dictinory. http://www.merriam-webster.com/dictionary/kantianism.
Dilayari 5 Sept. 2015.
Nik Abdul Aziz Nik Mat, (1995). Islam Boleh. Kelantan: Maahad ad-Dakwah Wal-Imamah.
Nurhafilah Musa (2014). Penerapan Konsep Mas'uliyyah dan Amanah dalam Pentadbiran
Awam ke arah Bersih Rasuah - Kajian di Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya
Islam.
Pusat Al Qur'an Indonesia (2014). Kisah Sedih Dari Khalifah Terakhir Umat Islam.
http://www.pusatalquran.com/2014/04/kisah-sedih-dari-khalifah-terakhir-umat.html.
Dilayari 5 Sept. 2015.
Postal employee runs amok, Northern Territory Times and Gazette (December 21, 1926).
https://en.wikipedia. org/wiki/List_of_postal_killings#cite_note-1. Dilayari pada 4 Sept.
2015.
Stenhouse , P. (2008). What was and what might have been The "Golden Age" of Harun Al-
Rashid. Chevalier Press.
Wan Nik Wan Yusof (2013). Dua dekad Kelantan bersih, beramanah.
http://www.detikdaily.net/v6/modules. php?name=News&file=print&sid=18929
Whitman School of Management, Syracuse University. http://whitman.syr.edu/whitman-
experience/whitman-history/index.aspx. Dilayari pada 5 Ogos 2015.

Anda mungkin juga menyukai