Anda di halaman 1dari 18

JABATAN

KEMAJUAN
ISLAM
MALAYSIA National University of Malaysia

DEPARTMENT OF ISLAMIC DEVELOPMENT MALAYSIA Jurnal Hadhari Bil. 2 (2009) 15-31 Institute of Islam Hadhari

FAKTOR KEGEMILANGAN TAMADUN ISLAM:


PENGAJARAN DARI MASA LALU

KHALIF MUAMMAR

ABSTRAK

Makalah ini cuba memahami dengan mendalam faktor-faktor kemajuan


dan kejatuhan tamadun Islam pada masa lalu untuk mengambil iktibar dan
pengajaran daripadanya. Penulis menegaskan bahawa melihat kepada
pencapaian-pencapaian pada masa lalu sahaja tidak cukup. Oleh kerana
itu makalah ini meneliti akar-akar peradaban Islam yang dibina semenjak
zaman Rasulullah lagi. Penulis memberi tumpuan pada aspek pembangunan
insan yang menyeluruh, pemerkasaan identiti dan jati diri umat Islam
melalui Tawhid, ketinggian budaya ilmu dan aspek-aspek moral seperti
ketinggian akhlak, keadilan dan kebijaksanaan para pemimpin dan semangat
kekitaan (‘asabiyyah). Penulis juga melihat bahawa kerosakan pada akar-
akar peradaban Islam seperti kekeliruan epistemologi, kerendahan dan
ketidakcerdasan pemikiran, hilangnya ‘asabiyyah dan nilai moral yang tinggi,
berleluasanya absolutisme dan kuku besi sebagai punca keruntuhan tamadun
Islam. Semua perkara ini patut menjadi bahan pemikiran dan sumber aspirasi
ketika umat Islam berusaha untuk bangkit semula pada abad ke-21 ini.

Kata Kunci: Tamadun Islam, faktor kemajuan, pembangunan insan, budaya


ilmu, keadilan.

ABSTRACT

This article is an attempt to analyse the factors behind the rise and fall of
Islamic civilisation. The author contends that looking at the achievement of
Muslims in the past is inadequate. Hence, the article underlines the civilisational
foundations laid down since the Prophet’s era. It stresses the holistic development
of human being, the strengthening of Islamic identity through the concept of

15
Jurnal Hadhari Bil. 2 (2009) 15-31

Tawhid, the culture of knowledge, and aspects of morality and social solidarity
(‘asabiyyah). The author also relates the decline of Islamic civilization with the
corruption in these foundations such as epistemological confusion, the loss of
knowledge culture and social solidarity, the loss of adab or morality and the
despotic nature of Muslim leadership.

Keywords: Islamic civilization, the rising factors, human development, the


culture of knowledge, justice.

ANTARA MADINAH DAN ANDALUSIA

Di atas sebuah pintu gerbang universiti Andalusia tertulis dengan megah: “Dunia
ini dibangunkan di atas empat tiang utama: keilmuan para sarjana, keadilan
para pemimpin, doa orang-orang Soleh dan keberanian para pahlawan (Hitti
1970).” Keunggulan tamadun Islam, baik yang berlaku di Andalusia mahupun
di sebelah dunia lainnya, bertitik tolak daripada keunggulan Islam. Sehingga
seseorang dengan penuh keyakinan dapat mengatakan bahawa tanpa Islam,
bangsa Arab, Farsi, Spanyol, Turki dan Melayu, tidak akan pernah mengecapi
zaman kegemilangan sebagaimana mereka kecapi setelah mereka menerima
Islam. Walaupun penyataan ini terlihat triumphalist namun hakikatnya ia
didukung oleh kenyataan sejarah bagi bangsa-bangsa yang disebutkan di atas.
Berdasarkan fakta di atas juga maka sesuatu penyelidikan mengenai keunggulan
tamadun Islam di Andalusia tidak sempurna tanpa menyelidiki terlebih dahulu
bibit-bibit kecemerlangan yang ditanamkan pada generasi awal Islam.

Analisis yang mendalam terhadap sirah Rasulullah SAW akan membawa


seseorang kepada hakikat bahawa pembinaan generasi unggul telah mula
dilakukan oleh Rasulullah sejak baginda diutus sebagai Rasul. Malah di tangan
bagindalah masyarakat Arab mula melalui proses transformasi sosial dan
kebudayaan. Maka kita dapat katakan kejayaan umat Islam baik di Andalusia
mahupun di sebelah dunia lainnya bertunjangkan asas-asas yang telah dibina
oleh Rasulullah SAW di Madinah. Andalusia tidak berdiri sendiri di dalam
ruang kosong, ia hasil daripada himpunan tradisi kecemerlangan yang akarnya
adalah pandangan alam Islam dan tunjangnya adalah Tawhid.

Andalusia hanya salah satu pusat kebudayaan dari banyak lagi pusat
kebudayaan yang dibina oleh kerajaan Islam. Andalusia sering diangkat sebagai
model terbaik kerana meninggalkan kesan dan warisan yang luar biasa sehingga
ke hari ini. Ia juga dianggap besar kerana telah membukakan pintu kemajuan
bagi tamadun Barat. Ringkasnya Andalusia besar kerana dari rahimnya telah
lahir tamadun lain yang juga besar, iaitu tamadun Barat. Namun, perlu diingat
bahawa banyak lagi daerah lain yang dibangunkan oleh umat Islam. Baghdad
dan Kaherah juga merupakan pusat kebudayaan dan keilmuan yang unggul.
Ramai ilmuwan terkenal dan saintis ulung juga dilahirkan dan mengabdi di

16
Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu

tempat-tempat lain selain Andalusia, seperti di Baghdad, Damashiq, Kaherah


dsb. Malah boleh dikatakan bahawa Andalusia hanyalah satu mata rantai dari
banyak mata rantai lain yang membentuk peradaban Islam. Sebelum Andalusia,
Baghdad adalah pusat peradaban Islam yang melahirkan ramai ilmuwan dan
saintis terkemuka. Mata rantai tersebut bermula di Madinah dan berakhir di
Acheh atau Demak di Nusantara pada abad ke-16 dan 17. Namun malangnya
projek ketamadunan di Nusantara terhenti dengan kehadiran penjajah.

PEMBANGUNAN INSAN SEBELUM PEMBANGUNAN TAMADUN

Terdapat salah faham yang meluas di kalangan umat Islam bahawa agama
tidak berkaitan secara langsung dengan pembinaan tamadun. Masyarakat
pada umumnya tidak melihat hubungan antara aqidah dengan kemajuan dalam
bidang sains dan teknologi. Sebenarnya tawhid mempunyai peranan yang
besar dalam pembangunan manusia. Kita dapat melihat bahawa para rasul
diutus untuk melaksanakan misi yang bersifat transformatif dan liberatif. Misi
untuk membebaskan manusia daripada pelbagai belenggu yang mengikatnya
dan menahannya daripada kemajuan.

Kita dapat melihat juga bahawa Rasulullah SAW memberi tumpuan yang
besar pada pembinaan generasi unggul. Baginda sama sekali tidak menekankan
pembangunan infrastruktur. Adalah satu bentuk kebijaksanaan apabila beliau
memahami bahawa melalui pembinaan generasi yang unggul, maka generasi
ini akan mencipta kecemerlangan demi kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Konsep inilah yang pada hari ini dikenali dengan pembangunan modal insan.

Setelah berhasil membina individu unggul, individu ini kemudiannya


mempunyai persiapan mental, fizikal dan rohani yang mantap untuk memikul
misi pembangunan tamadun Islam. Pada zaman al-Khulafa al-Rashidun,
para Khalifah tidak hanya menumpukan kepada perluasan daerah Dar
al-Islam, tetapi juga membina negara / khilafah yang kukuh dan makmur. Untuk
merealisasikan hal ini Sayidina Umar telah melaksanakan beberapa agenda
penting pembangunan negara. Bahkan beliau tidak segan-segan mengambil
sistem yang datang dari luar seperti Dewan Farsi. Agenda pembangunan beliau
ketika itu adalah antara lain (Syed Omar Syed Agil 1998): (i) reformasi dan
pembangunan sistem pentadbiran negara, (ii) reformasi dan pembangunan
dalam sistem ekonomi, (iii) pembangunan sektor pertanian, (iii) reformasi
dan pembangunan sistem politik, (iv) reformasi dalam ketenteraan, dan (vi)
reformasi dan pembangunan sistem pendidikan.

Banyak bukti yang menunjukkan bahawa pembangunan tamadun didahului


dengan pembangunan manusia. Tumpuan diberikan pada bagaimana melahirkan
pemimpin yang bukan hanya berkemampuan tetapi juga bertanggungjawab,
beramanah dan bertaqwa. Menyedari hal ini, kepada para pegawainya Sayidina
Umar berpesan (Ibn Taymiyyah 1988):

17
Jurnal Hadhari Bil. 2 (2009) 15-31

“Ingatlah, aku tidak melantik kalian agar kamu menjadi


penguasa kuku besi ke atas rakyat. Aku mengutus kalian
sebagai pemimpin agar rakyat dapat mencontohi kalian.
Berikanlah kepada mereka segala hak mereka…”

Kepada Malik b. Ashtar, Gabenor Mesir, Khalifah Sayidina Ali berpesan


(al-Attas & Wan Mohd Nor Wan Daud 2007):

“Ini adalah perintah daripada Ali kepada Malik b. Ashtar


ketika dilantik sebagai pemerintah di Mesir, supaya
mengumpulkan zakatnya, menjamin kesejahteraan dan
menguruskan tanahnya. Dia memerintahkannya supaya
takut kepada Allah… engkau harus sentiasa merujuk
kepada amalan menghukum dengan adil, tradisi yang
mulia, dan contoh daripada Rasulullah saw atau ketetapan
daripada al-Qur’an dan ikuti contoh kami bagaimana
mengamalkannya… sesungguhnya kita akan kembali
kepadaNya….”
Kekuatan dalaman dan luaran yang dibina oleh generasi awal Islam inilah
yang membawa mereka kepada mercu kejayaan yang dikecapi oleh generasi-
generasi seterusnya.

Konsep pembangunan modal insan yang dicanangkan oleh pemikir-


pemikir Barat tidak dapat diterima oleh Muslim kerana ia bertentangan dengan
pandangan alam Islam. Terdapat kekeliruan yang asas dalam konsep manusia
yang dipegang oleh para pemikir Barat. Dalam Islam, manusia tidak hanya dilihat
daripada sudut kebendaan dan ekonomi semata– mata tetapi sebagai makhluk
Allah yang dianugerahkan roh dan akal. Makhluk ini juga bertanggungjawab
kepada Allah sebagai Pemilik, Penguasa dan Pentadbir sebenar. Pembangunan
insan yang seutuhnya meliputi pembangunan fizikal, rohani dan intelektual.
Pembangunan insan yang menyeluruh ini tidak menekankan kebendaan
sehingga tercipta manusia yang maju dari segi kebendaan tetapi rosak dari segi
rohani atau pemikiran. Ini kerana pada hakikatnya manusia rosak seperti ini
tidak akan memberi sumbangan yang baik kepada negara dan bangsa.

Konsep ‘Umran Bashari (pembangunan manusia) seperti yang diutarakan


oleh Ibn Khaldun (2004) menekankan pembangunan yang menyeluruh sehingga
menghasilkan manusia yang seimbang. Ibn Khaldun juga membezakan antara
pembangunan yang berdasarkan akal semata-mata dengan pembangunan yang
berdasarkan agama. Pembangunan yang berdasarkan akal sahaja katanya
hanya membawa kepada manfaat di dunia sahaja tetapi pembangunan yang
berdasarkan agama, manfaatnya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.
Baginya politik dan pemerintahan yang bersandarkan pada petunjuk agama
adalah yang terbaik.

18
Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu

KERAJAAN YANG BIJAKSANA: UNSUR TERPENTING


DALAM KEJAYAAN SEBUAH TAMADUN

Tidak seperti yang selalu digambarkan, pemerintahan Islam tidak selamanya


penuh dengan perebutan kuasa dan pertumpahan darah. Terdapat masa di mana
kekuasaan bersifat kuku besi berleluasa dan ada masanya pemerintahan sultan
yang adil dan bijaksana berlaku untuk sekian lama.

Pembangunan ilmu adalah langkah pertama yang dilakukan oleh sultan


Andalus. Sultan pertama, Abd al-Rahman b. Mu’awiyah al-Dakhil yang merasa
cukup dengan gelaran Amir (pemimpin) Andalus, memerintahkan rakyatnya
membina masjid pada tahun 786 H. Masjid itu dikenali dengan masjid
Kordoba. Setelah pembinaan masjid sultan, seterusnya membina perpustakaan
yang besar dengan hartanya sendiri. Seperti dicatat oleh seorang sejarawan
Barat, Stanley Lane-Poole (1967), bahawa al-Hakam memiliki lebih 400,000
buah buku. Pada zaman itu belum wujud percetakan seperti hari ini. Semua
koleksi tersebut hasil tulisan tangan. Jika dia tidak dapat membeli yang asli
dia memerintahkan orang untuk menyalinnya. Kesemua koleksi buku tersebut
dikatakan telah dibaca oleh sultan. Sehingga al-Hakam II dikenal sebagai kutu
buku.

Al-Hakam juga dikatakan sultan pertama yang membina universiti di


Andalusia. Bahkan beliau juga menjadi penaung yang membiayai kegiatan ramai
sarjana dan saintis Andalusia. Hasil kebijaksanaan para pemimpinnya, sewaktu
kegemilangan kota Kordoba memiliki 600 buah masjid, 900 tempat mandi
awam, 50 hospital, dan beberapa pasar tempat perniagaan dan perdagangan.
Seseorang boleh berjalan di waktu malam sejauh puluhan batu kerana lampu-
lampu dinyalakan untuk menerangi jalan. Hanya 700 tahun kemudian hal ini
terjadi sebagai inovasi besar di London dan Paris (Thomson & Muhammad
Ata’ ur-Rahman 2004).

Kebijaksanaan sultan-sultan Andalusia amat nyata. Seorang lagi sultan


Andalusia, Abd al-Rahman III, digambarkan sebagai berikut (Gayangos
1843):
“...penguasa yang lemah lembut dan paling berpengetahuan.
Kelemahlembutannya, kemurahan hatinya, dan kecintaannya
akan keadilan telah menjadi buah mulut di mana-mana; tidak
seorang pun dari anak cucunya pernah melampaui dia dalam
hal keberanian di medan tempur dan keunggulan lainnya yang
menjadikan dia sebagai seorang penguasa yang cekap dan
dicintai; ia mencintai ilmu dan disegani oleh orang terpelajar.
Dengan orang-orang inilah ia gemar melakukan pembicaraan,
menghabiskan masa yang ia curi daripada pekerjaan
pentadbiran. Di istananya ia mengadakan pertemuan sastera

19
Jurnal Hadhari Bil. 2 (2009) 15-31

yang dihadiri oleh semua penyair terkemuka dan orang-orang


terpelajar.”

Mengenai kejayaan pembangunan di Andalusia, Lane Poole


mengatakan (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman 2004):

“Kordoba memiliki semua keindahan dan perhiasan yang


memanjakan mata serta menyilaukan pandangan. Deretan
panjang Sultan-sultannya membentuk mahkota keagungannya;
kalungnya adalah untaian mutiara yang dikumpulkan para
penyairnya dari lautan bahasa; gaunnya adalah pengetahuan
yang gilang-gemilang, dirajut kemas oleh para lelaki dan
perempuan terpelajar; dan pakar semua cabang seni dan
industri adalah baju kebanggaannya”.

Kebijaksanaan seseorang pemimpin terpancar apabila ia dapat membawa


masyarakat yang dipimpinnya ke arah kecemerlangan dan kejayaan yang hakiki.
Daripada sudut pandangan Islam, kejayaan hakiki sudah tentu mengambil kira
kesejahteraan aqli, jasadi dan rohani. Dalam al-Muqaddimah, Ibn Khaldun
(2004) mencatat surat yang ditulis oleh Tahir bin al-Husayn (m. 844) untuk
anaknya, Abdullah b. Tahir, yang dilantik oleh khalifah al-Ma’mun (m. 833)
untuk menjadi gabenor di al-Raqqah dan Mesir dan daerah antara keduanya.
Isi surat nasihat ini sampai kepada pengetahun al-Ma’mun. Setelah membaca
kandungan surat tersebut al-Ma’mun memerintahkan agar surat tersebut
disebarluaskan kepada semua pegawai kerajaan untuk menjadi panduan mereka
dalam bekerja. Di bawah ini beberapa perkara penting yang ditekankan dalam
surat tersebut:

a. Menjaga ibadah harian;


b. Mempelajari agama, mendekati ahli agama;
c. Bersikap sederhana dalam setiap perkara, tidak berlebihan dalam hal
keduniaan;
d. Bersangka baik dengan orang lain dan berhati-hati dalam membuat
tuduhan;
e. Mengikuti perintah agama dan melaksanakan hudud;
f. Mendekati orang soleh dan menjauhi orang yang buruk akhlaknya;
g. Melabur harta negara untuk kepentingan dan kemudahan rakyat;
h. Selalu mendengar pandangan fuqaha, pakar dan ilmuwan. Tidak
mendengar pandangan orang-orang yang mementingkan keduniaan;
i. Tidak bersikap bakhil khususnya kepada orang bawahan;
j. Bersikap adil kepada semua orang termasuk kepada musuh, tidak
pilih kasih atau mementingkan golongan tertentu (nepotisme,
kronisme);
k. Menjaga kebajikan orang bawahan;
l. Menghormati orang-orang besar dan berpengaruh dalam masyarakat;

20
Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu

m. Melantik orang yang akan melaporkan segala tindak tanduk dan


prestasi para pekerja;
n. Berlembut dan beramah mesra dengan rakyat;
o. Mendekati para ulama. Menghormati orang yang tidak takut akan
kebesaranmu untuk memberi nasihat yang jujur kepadamu;
p. Jangan mengungkit pemberianmu kepada rakyat.

Tradisi kepimpinan yang bijaksana inilah yang telah ditanamkan pada


generasi kehebatan tamadun Islam. Al-Mawardi (975-1059) dalam bukunya
al-Ahkam al-Sultaniyyah menggariskan 6 sendi utama yang mesti wujud dalam
sebuah pemerintahan Islam:

1. Penghayatan agama yang mendalam;


2. Penguasa yang berwibawa;
3. Keadilan yang menyeluruh;
4. Keamanan yang merata. Di sini al-Mawardi menyadari bahwa
konflik yang berpanjangan akan menjadi penghalang kepada kemajuan
yang berterusan;
5. Kesuburan Tanah yang berkesinambungan;
6. Harapan Kelangsungan Hidup (Munawir Sjadzali 1993).

KETINGGIAN BUDAYA ILMU

Umat Islam di Andalusia merupakan contoh kepada masyarakat Eropah


dalam segala hal. Umat Islam mencipta budaya tinggi (high culture). Umat
Islam menjunjung tinggi nilai-nilai yang membolehkan mereka memimpin
masyarakat Dunia. Mereka adalah simbol ketertiban, kesopanan, kebersihan,
kebijaksanaan, ketamadunan, persamaan, dan kemajuan. Mereka adalah contoh
masyarakat yang memiliki budaya yang tinggi. Budaya ilmu adalah budaya
yang diwarnai oleh kebijaksanaan dalam berfikir dan bertindak. Sesiapa sahaja,
baik raja, pemimpin, atau rakyat kecil, akan berfikir dan bertindak dengan betul
dan bijaksana, tidak mengikuti emosi, marah, atau angkuh.

Terdapat beberapa ciri khas bagi masyarakat yang cerdas dan memiliki
budaya ilmu:

1. Peranan besar ilmuwan dalam mencerdaskan dan mencerahkan


masyarakat. Mereka tidak terpisah daripada masyarakat tetapi
berfungsi sebagai agen perubahan dan pencerahan. Ilmuwan dalam
Islam, seperti ditegaskan oleh Siddiq Fadzil (2006), mempunyai misi
tahriri-tanwiri-taghyiri. Ilmuwan dalam sistem pendidikan yang
mengutamakan keuntungan seringkali menjadi alat dan bukan agen
perubahan dan pencerahan. Masyarakat tidak menghormati dan

21
Jurnal Hadhari Bil. 2 (2009) 15-31

merujuk kepada ilmuwan sebaliknya banyak dipengaruhi oleh para


penghibur, kapitalis, penguasa absolutis dan akibatnya masyarakat
menjadi tidak cerdas dan tidak berbudaya ilmu.

2. Penghormatan terhadap autoriti. Kepakaran dan autoriti adalah penting


untuk memastikan keputusan dilakukan berdasarkan ilmu dan
kebijaksanaan dan bukan mengikut hawa nafsu dan emosi (Wan Mohd
Nor Wan Daud 1997). Kerosakan akan timbul apabila yang menjadi
rujukan dalam memahami Islam adalah orang-orang yang jahil.
Banyak kesilapan dan malapetaka berlaku yang berpunca daripada
keputusan diambil oleh pemimpin dengan membelakangi para pakar
dalam bidangnya. Hal ini jelas apabila diselidiki punca kekalahan
umat Islam di Barcelona di zaman Andalusia.

3. Segala persoalan dibahas dengan bijaksana dan dewasa. Sikap


absolutis, autoritarian dan kuku besi tidak melambangkan
kebijaksanaan dan kedewasaan. Dalam peradaban Islam yang asal,
ilmu yang berkuasa dan bukan kuasa politik. Setelah prinsip
musyawarah diketepikan, ilmu tidak menjadi ukuran, ulama ditindas
maka perpecahan mula berlaku dan masyarakat hidup dalam kegelapan
(Wan Mohd Nor Wan Daud 1997.

4. Pengangkatan seseorang pemimpin berdasar ilmu, kemampuan


dan akhlak. Ketiga-tiga perkara ini telah menjadi kriteria pemilihan
pemimpin pada zaman Rasulullah s.a.w dan al-Khulafa al-Rashidun.
Sebaliknya apabila pengangkatan dilakukan berdasar keturunan, wang
dan kuasa maka ia mencerminkan bahawa masyarakat yang
bertangggungjawab adalah masyarakat yang tidak cerdas dan tidak
berbudaya ilmu.

5. Masyarakat yang cerdas dan berbudaya ilmu adalah masyarakat


yang terbuka fikirannya dan maju cara berfikirnya. Mereka menerima
sesuatu pandangan berdasarkan kekuatan hujah dan ilmu.
Masyarakat yang tidak cerdas adalah masyarakat yang jumud dan
sempit cara berfikirnya. Mereka menerima sesuatu pandangan
berdasarkan kejahilan, ketaksuban dan kefanatikan.

6. Masyarakat yang cerdas dan berbudaya ilmu adalah masyarakat yang


mempunyai sahsiah dan jati diri yang mantap. Mereka berpegang pada
prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang berdasarkan pandangan alam dan
agama yang tersendiri. Mereka tidak berkiblat ke Barat mahupun
ke Timur. Kerananya mereka tidak menjadi seperti buih yang mudah
dipukul ombak.

22
Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu

Untuk melakukan sesuatu dengan tepat, betul dan bijaksana, seseorang perlu
terlebih dulu mengerti tempat bagi segala sesuatu (adil). Orang yang keliru
tidak akan dapat melakukan perkara dengan betul dan bijaksana. Pada hari ini
kita sering melihat orang besar diperkecilkan dan orang kecil diperbesarkan.
Orang yang tidak layak, diangkat menjadi pemimpin dalam bidang-bidang
yang penting dalam menentukan nasib umat. Maka dari itu sangat penting
bagi kita mengenal dan mengangkat orang-orang yang benar-benar berilmu.
Dan membezakannya dengan orang-orang yang hanya mengumpul maklumat
dan memiliki ijazah. Ini penting kerana menurut Wan Mohd Nor Wan Daud
(2007):
“Guru-guru yang tidak berwibawa sebaliknya akan
membazirkan banyak waktu, tenaga dan harta membesarkan
isu-isu dan tokoh-tokoh kecil, dan mengecilkan isu-isu dan
tokoh-tokoh yang sebenarnya besar; merongkaikan dasar-dasar
yang telah kukuh disepakati ilmuwan muktabar sekian lama;
menggunakan slogan-slogan popular tanpa huraian bermakna.
Ilmu akan rosak. Ilmuwan sebenar akan disisihkan. Selain itu,
guru-guru yang kurang wibawa akan cenderung berpegang
kepada ide-ide, dasar-dasar dan amalan yang selalu berubah-
rubah, menolak sesuatu idea, dasar dan amalan dengan keras
yang kemudiannya akan dipeluknya dengan melampau”.
Keunggulan Tradisi Keilmuan Islam tercermin apabila para sultan begitu
dekat dengan ulama. Sultan Abu Yusuf Yaqub (1160-1199) meminta Ibn Rushd
untuk menulis tentang falsafah Aristotle supaya dapat difahami dengan baik,
mana yang bermanfaat dan mana yang tidak. Atas sokongan yang diberikan
olehnyalah Ibn Rushd berhasil menjadi ilmuwan yang terbilang. Ibn Khaldun
juga mempersembahkan karya monumentalnya al-Ibar sebanyak tujuh jilid
kepada Sultan Zahir Barquq di Mesir dan Sultan Abu Faris di Fez. Mengetahui
kehebatan Ibn Khaldun, sultan mengangkatnya menjadi Hakim besar Mesir.
Jelas terdapat kepedulian yang tinggi di kalangan para sultan terhadap ilmu
dan ilmuwan. Tradisi keilmuan seperti inilah yang menjadikan budaya ilmu
semakin subur. Kerana adanya galakan dan sokongan para penguasa, para
ilmuwan bersemangat dan didorong untuk menguasai pelbagai bidang keilmuan.
Setiap jerih payah mereka terasa dihargai dan berguna kepada masyarakat dan
negara.

Kehebatan sultan tidak menjadikan para ilmuwan kerdil. Ulama juga


tidak mudah merendahkan martabat mereka demi meraih keuntungan
duniawi. Mereka merasa berhak menegur dan memberikan kritikan terhadap
pemerintah. Para khalifah pun menghargai dan menghormati teguran tersebut.
Khalifah Abdul Rahman III pernah ditegur kerana tertinggal solat Jumaat oleh
seorang Qadi bernama Munzir al-Balluti. Ketika ditanya oleh puteranya sama
ada beliau mahu memecat Qadi tersebut Sultan menjawab: “Aku lebih rela

23
Jurnal Hadhari Bil. 2 (2009) 15-31

memutus hubungan denganmu, tapi aku tidak akan memecat Qadi ini yang
merupakan satu nikmat Allah SWT kepada kita semua. Aku akan solat Jumaat
di belakangnya selagi dia masih hidup” (Wan Mohd Nor Wan Daud 2007).

Para Ulama berperanan sebagai penasihat yang baik dan pemerhati yang
bijak atau kini dalam sistem demokrasi dikenali dengan istilah check and
balances. Abu Yusuf menulis kitab al-Kharaj yang didalamnya terkandung
juga nasihat-nasihat kepada penguasa, Al-Mawardi menulis Nasihat al-Muluk,
al-Ghazali menulis al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk, di Alam Melayu
kita ada Raja Ali Haji yang menulis Thamarat al-Mahammah Diyafatun li al-
Kubara wa Ahl al-Mahkamah. Ulama-ulama besar ini tidak sesekali berfungsi
sebagai alat untuk menjustifikasikan kuasa kuku besi khalifah atau sultan
mereka.

PEMERINTAHAN YANG ADIL: RAHSIA PENTING


KEGEMILANGAN ANDALUSIA

Amat jelas bahawa Andalusia membangun dengan pesat kerana raja-rajanya


memerintah dengan adil. Perlu kita fahami bahawa keadilan bukan hanya satu
konsep yang berkaitan dengan pemerintahan dan politik sahaja. Sebelum ia
menjadi konsep politik ia adalah konsep yang bersifat kerohanian dan metafizik.
Pendek kata, seseorang yang tidak bersikap adil kepada Tuhannya tidak
akan bersikap adil kepada rakyatnya. Seseorang yang tidak tahu bagaimana
menempatkan ilmu dan kejahilan tidak akan dapat membangunkan negara.

Ketika al-Hakam I (796) menaiki takhta untuk menggantikan ayahnya


Hisham, ayahnya berpesan (Scott 1904):

“Hendaklah kamu berlaku adil kepada semua tanpa mengira


miskin atau kaya, berbuat baik dan berlemah lembut kepada
orang yang bergantung kepadamu kerana semuanya sama-
sama ciptaan Allah. Amanahkan penjagaan kota-kota dan
daerah-daerahmu kepada ketua yang setia dan berpengalaman;
kenakan hukuman tanpa belas kasihan menteri-menteri yang
menindas rakyatmu; uruskan tenteramu dengan sederhana dan
tegas; ingatlah bahawa senjata diberikan kepada mereka untuk
mempertahankan diri bukan untuk menghancurkan negara
mereka; dan ingatlah bahawa mereka dibayar secara berterusan
kerana mereka diharap terus menunaikan tanggungjawab
mereka; berusahalah untuk mendapatkan kecintaan rakyat
terhadapmu, kerana dengan kecintaan mereka akan aman
negara ini, dengan ketakutan mereka akan bahaya negeri ini,
dengan kebencian mereka akan rosak negeri ini. Lindungilah
tanah dan gandum yang sentiasa menjadi sumber kekuatanmu;
jangan biarkan hasil tuaian mereka musnah, atau hutan mereka

24
Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu

dirusakkan; berbuatlah apa sahaja agar rakyatmu merestuimu


dan mereka dapat hidup di bawah lindunganmu, dan hanya
dengan demikian engkau akan menjadi sultan yang paling
disanjung.”

Namun malangnya al-Hakam I tidak mengikuti pesan ayahnya. Al-Hakam I


justeru menjadi pemerintah yang zalim dan tidak peduli bahkan kejam terhadap
rakyat. Dia sultan pertama yang dikelilingi oleh 6 ribu pengawal peribadi.
Beliau menghukum rakyatnya dengan kejam walaupun atas kesalahan yang
kecil. Pada zamannya berlaku beberapa pemberontakan. Dia bertanggungjawab
melakukan pembunuhan terhadap pembesar-pembesar Toledo, satu peristiwa
yang dinamakan “Day of the Ditch”. Pada zaman dialah Barcelona jatuh ke
tangan Kristian dan ia adalah kemenangan besar pertama yang diperolehi oleh
Kristian dan memberi mereka semangat baru menyerang umat Islam (Abd al-
Wahid al-Marakeshi 1968).

Kerajaan yang zalim seperti ditulis oleh Ibn Khaldun (2004) akan
merusakkan pembangunan negara. Penguasa Abd al-Rahman I walaupun
bermusuhan dengan khalifah Abbasiah tidak mendakwa dirinya khalifah
tetapi beliau merasa cukup dengan gelaran Amir. Beliau menumpukan kepada
pembangunan Negara dan mengukuhkan kekuatan ketenteraan. Gelaran
khalifah hanya digunakan oleh raja dinasti Umawiyyah ke-8, Abd al-Rahman
III. Namun zaman kegemilangan bagi pemerintahan dinasti Umawiyyah di
Andalusia juga bertahan sehingga Abd al-Rahman III (912-961). Menarik
untuk dicatat bahawa kehadiran umat Islam di Andalus bukan satu bentuk
agresi tetapi atas permintaan pemerintah bahagian Ceuta ketika itu yang
bernama Julian (dalam bahasa Arab Alyan) untuk membalas dendam terhadap
Raja Roderic yang telah melakukan kekejaman dan penindasan di Andalusia
(al-Baladhuri 1959).

Setelah pemerintahan dinasti Umawiyyah, Andalusia mula berada di


ambang kejatuhan. Di samping serangan bertubi-tubi dilakukan oleh Kristian
untuk melakukan penaklukan semula (reconquest), perpecahan dalam tubuh
umat Islam mula berlaku. Sultan terakhir dinasti Umawiyyah adalah Hisham
III b. Muhammad (1027-1036). Hanya pada zaman al-Muwahhidun Andalusia
kembali bersinar khususnya dibawah pimpinan Yusuf Abu Ya’qub (1163-
1184). Dinasti al-Muwahhidun, begitu juga sebelumnya al-Murabitun, berhasil
menyekat kemaraan kuasa Kristian dan mempertahankan Andalusia dari
dirampas. Tetapi pemerintahan dinasti al-Muwahhidun hanya bertahan 139
tahun. Kekalahan getir al-Muwahhidun berlaku dalam perang Las Navas de
Tolosa pada 1212 yang berpunca dari keengganan sultan mendengar nasihat para
panglimanya yang berpengalaman. Kekalahan ini menyebabkan 70,000 orang
Islam disembelih atas arahan paderi Toledo (Zaimeche 2004). Setelah sultan
terakhir al-Muwahhidun, sultan Muhammad al-Nasir meninggal, Andalusia
berada dalam gerbang kehancuran. Khalifah terakhir, Abu Abdullah terpaksa

25
Jurnal Hadhari Bil. 2 (2009) 15-31

menyerahkan Granada, benteng pertahanan terakhir, ke tangan Ferdinand pada


tahun 1492 kerana telah 7 bulan dikepung dan khalifah bimbang akan ramai
rakyatnya yang mati kebuluran (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman
2004). Pada saat meninggalkan Granada khalifah melinangkan air mata, Ibunya
lalu berkata kepadanya: “Jangan menangis seperti seorang perempuan untuk
sesuatu yang tidak dapat kau pertahankan seperti seorang lelaki”.

Nasib Andalusia setelah ketiadaan pemerintahan Islam amat menyedihkan.


Bangsa pendatang yang disebut Mooris dihukum bunuh dan diusir secara besar-
besaran, hanya kerana mereka orang Islam. Mereka yang ingin kekal berada di
Spanyol mesti bertukar agama. Bukan hanya umat Islam yang ditindas, umat
Kristian yang beraliran Unitarian juga dipaksa bertukar kepada Trinitarian,
begitu juga kaum Yahudi. Inquisisi dilaksanakan dengan amat kejam,
seseorang yang tidak mengamalkan ajaran Trinitarian akan diadili, digantung
dan dibakar, sehingga masyarakat Spanyol berada dalam kegelapan kembali
setelah berada dalam kemuncak ketamadunan (Thomson & Muhammad Ata’
ur-Rahman 2004). Hanya pada 1813 inquisisi dinyatakan sebagai bertentangan
dengan perlembagaan dan dihapuskan pada 1834. Inquisisi ini jugalah, menurut
Ahmad Thomson, yang menimbulkan kebencian masyarakat Eropah kepada
agama dan melahirkan semangat ilmiah moden yang anti Tuhan.

Keadilan tercermin dalam polisi kerajaan Islam. Antara sikap adil seorang
penguasa yang paling penting adalah meletakkan seseorang pada tempatnya
yang sesuai. Seorang penguasa yang adil tidak akan melantik seseorang
yang tidak layak sedangkan ada orang yang lebih layak walaupun ia adalah
saudaranya atau kaum kerabatnya.

Zaman kegemilangan tamadun Islam ditandai dengan zaman umara


(pemerintah) menghormati ulama (ilmuwan). Sebaliknya zaman kejatuhan
juga ditandai dengan kerakusan umara sehingga sanggup memperalat ulama.
Ibn Khaldun (1332-1406) hidup di era kejatuhan tamadun Islam di Afrika
Utara dan Andalusia. Beliau telah menyaksikan bagaimana kerajaan-kerajaan
yang gagah perkasa tumbang satu persatu. Walaupun beliau telah dilantik
menjadi perdana menteri dan orang besar ketika beliau berada di Andalusia
dan Tunisia. Namun beliau sering juga diperalat oleh umara untuk kepentingan
kekuasaan mereka. Hal ini sering berlaku pada masa itu kerana pada zaman itu
telah berlaku perpecahan politik dan perebutan kekuasaan yang amat dahsyat
sehingga pemerintah cuba melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa
berada ditangan mereka. Penghargaan terhadap ulama yang pada awal Islam
benar-benar jujur dan ikhlas bertukar menjadi pemanfaatan para pemimpin
(umara) terhadap kaum ilmuwan (ulama). Ibn Khaldun menyedari hal ini dan
menolak beberapa kali untuk diperalat walaupun ditawarkan jawatan yang
tinggi tetapi tindakannya itu justeru mengundang kemurkaan sultan. Adalah
sesuatu yang malang apabila Ibn Khaldun diburu oleh sultan Abu Abbas di

26
Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu

Tunisia kerana enggan menyertai kerajaan dan keluarganya dikenakan tahanan


rumah. Ibn Khaldun terpaksa melarikan diri ke Mesir dan hanya setelah
Ibn Khaldun menjadi Kadi Besar di Mesir, maka keluarganya diizinkan
menyertainya akan tetapi malangnya keluarganya karam dalam pelayaran ke
Iskandariyyah, Mesir. Adalah penting untuk kita lihat bahawa bibit-bibit zaman
kejatuhan terpampang jelas apabila ulama dijadikan alat oleh penguasa untuk
kepentingan politiknya.

Pertikaian dalaman dan perpecahan mula berlaku setelah kekuasaan


tidak lagi berada di tangan khalifah yang kuat. Kerajaan-kerajaan kecil, yang
dinamakan dengan muluk al-tawaif atau taifa de reyes, terlalu lemah untuk
melawan reconquesta Kristian. Mereka hanya mampu meminta belas kasihan
Alfonso dengan membayar ufti yang justeru akan terus memperkuat kerajaan
Kristian. Permusuhan antara sesama umat Islam, menurut De Gayangos (1843)
dan dirujuk oleh Thomson (2004), berlaku hanya kerana perbezaan aliran dan
golongan:
“terpecah belah satu sama lain, kaum Muslimin mulai mengukur
diri mereka sebagai anggota dari bangsa-bangsa yang berbeza,
dan semakin hari semakin sukar bagi mereka untuk bersatu
padu dalam kepentingan bersama; dan sebab perpecahan
di kalangan mereka ini, serta rasa saling bermusuhan di
antara mereka, seiring dengan kepentingan kotor dan ambisi
berlebih-lebihan dari beberapa orang raja mereka, orang-orang
Kristian mampu menyerang kaum Muslimin secara total dan
menundukkan mereka satu demi satu”.

Sikap adil dijelmakan termasuk terhadap orang bukan Islam. Andalusia


adalah contoh bagaimana toleransi beragama telah dilaksanakan oleh umat
Islam jauh sebelum konsep itu yang kini kononnya diperjuangkan oleh Barat.
Ramai sejarawan, termasuk Gibbon, mengakui bahawa pada zaman Andalusia
diperintah oleh orang Islam, orang-orang Kristian dan Yahudi hidup dalam
kedamaian dan keamanan (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman 2004).
Tetapi toleransi beragama yang dicontohkan oleh umat Islam ini tidak dihargai
baik oleh orang-orang Yahudi mahupun Kristian. Proses kristenisasi secara
paksa berlaku secara besar-besaran setelah Andalusia ditakluki Ferdinand III.
Masjid Kordoba yang indah dan megah yang dibina oleh Abd al-Rahman al-
Dakhil pada 788 ditukar menjadi gereja pada 1236 (Hitti 1970).

Toleransi hancur setelah Andalus berada di tangan orang-orang Kristian.


Sejarah mencatat bahawa pada abad ke-13 sahaja 3 juta orang Islam dan 2 juta
orang Yahudi diusir dari Spanyol (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman
2004). Seramai 40 ribu orang Yahudi menerima converso. Bukan hanya
kedamaian beragama hilang dari bumi Spanyol, cahaya ketamadunan dan
keilmuan juga hilang dari bumi Andalusia.

27
Jurnal Hadhari Bil. 2 (2009) 15-31

KESIMPULAN

Sesungguhnya sangat penting bagi kita mengkaji faktor-faktor kemajuan dan


kejatuhan tamadun Islam di masa lalu untuk mengambil iktibar dan pengajaran
daripadanya. Adalah suatu kebodohan jika kesilapan-kesilapan masa lalu itu
kita ulangi pada masa ini. Ketika mengupas tentang iklim kehidupan intelektual
di Andalusia, Wan Mohd Nor (2007) menulis:

“Ramai di antara kita sentiasa berbangga dengan pencapaian agung umat


Islam terdahulu, sama ada di Andalusia atau di tempat-tempat lain, tetapi tidak
begitu ramai yang mahu meninjau secara ilmiah akan iklim dan faktor-faktor
yang memungkinkan terlahirnya hasil yang sedemikian agung. Jika kita ingin
membangunkan sebuah masyarakat, bangsa dan tamadun yang agung, kita
harus jugalah cuba memahami iklim dan mengenal pasti faktor-faktor tersebut,
dan berusaha mencipta sebaik mungkin, iklim dan faktor-faktor yang serupa,
setelah mengambil kira perbezaan tempat dan zaman”.

Tumpuan perlu diberikan kepada proses pembudayaan ilmu dan bukan


hasilnya. Cabaran untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan maju tidak
cukup dengan slogan dan retorika sahaja. Berikut adalah langkah praktikal
untuk dilaksanakan pada hari ini:

1. Mewujudkan persekitaran yang kondusif. Untuk membangun


tradisi keilmuan yang unggul, perlu diwujudkan dan dimantapkan
sarana yang dapat menyokong tujuan tersebut. Ini termasuklah iltizam
institusi kerajaan dan kepimpinan tertinggi untuk merujuk dan
menghormati pandangan ilmuwan dan para pakar dalam bidang
masing-masing; wujudnya kebebasan untuk kaum ilmuwan
melontarkan pandangan di ruang awam; pembangunan perpustakaan
umum yang dapat memudahkan akses masyarakat terhadap ilmu;
merancakkan aktiviti-aktiviti ilmiah; seperti wacana, seminar, bengkel,
dan sebagainya. Apa yang penting adalah usaha murni yang bersepadu
dan berterusan ke arah pembudayaan ilmu. Ini termasuklah pengurangan
sarana-sarana yang dapat menyuburkan budaya hiburan atau
hedonisme. Tanpa usaha mengekang hedonisme maka usaha
menyuburkan minat kepada ilmu akan terhambat kerana kuatnya daya
tarikan ke arah hedonisme tersebut.

2. Penghormatan dan apresiasi yang murni terhadap para ilmuwan.


Universiti-universiti perlu memberikan penghargaan yang tinggi
kepada para ilmuwan berdasarkan kepada pencapaian mereka yang
benar-benar besar. Sampai saat ini, di banyak negara-negara umat
Islam, ilmuwan tidak diberikan penghormatan yang sewajarnya. Hal
ini akan menjejaskan penghormatan masyarakat kepada ilmuwan
dan juga menghambat perkembangan prestasi ilmuwan. Tidak sedikit

28
Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu

ilmuwan Muslim yang memilih berhijrah ke negara-negara Barat


kerana di sana mereka lebih dihargai walaupun oleh orang bukan Islam.
Penghargaan tidak seharusnya berdasarkan kepada kuantiti atau
populariti karya mereka tetapi kepada kepentingan dan keperluan hasil
karya mereka. Anugerah nobel contohnya diberikan bukan
berdasarkan kepada populariti mahupun kuantiti tetapi kepada
sumbangannya kepada idealisme-idealisme masyarakat Eropah.
Sudah tentu keutamaan bagi masyarakat Islam berlainan dengan
masyarakat Barat hari ini yang telah maju. Maka anugerah perlu
diberikan kepada karya-karya besar yang menyumbang ke arah
pemerkasaan bangsa Melayu dan umat Islam umumnya.

3. Menghidupkan budaya ilmu. Adalah tanggungjawab para pemimpin


juga untuk menghidupkan budaya ilmu. Berbeza dengan budaya
hiburan, pop dan budaya konsumerisme, budaya ilmu adalah budaya
yang tinggi. Ia hanya dimiliki oleh masyarakat yang telah mempunyai
jiwa dan minda yang merdeka. Oleh itu kebebasan intelektual adalah
unsur yang sangat penting. Justeru pemimpin umat Islam tidak perlu
gusar dan marah jika dikritik dan ditegur oleh para ilmuwan kerana
apa yang mereka lakukan sebenarnya adalah untuk kebaikan
masyarakat bersama. Ia tidak sama sekali bertujuan untuk menjatuhkan
pemimpin yang sedia ada. Para pemimpin perlu faham bahawa para
ilmuwan mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan
keadaan, kerana jika tidak merekalah yang akan dipersalahkan dan
dipertanggungjawabkan kelak.

4. Membangun masyarakat yang bermoral. Tujuan pendidikan, seperti


yang dijelaskan oleh al-Attas, adalah menciptakan generasi yang
beradab (al-Attas 1991; Wan Mohd Nor Wan Daud 1998). Nilai moral
yang tinggi juga yang akan menghalang tamadun itu dari kejatuhan.
Sungguh malang apabila cita-cita kebangkitan hanya berujung dengan
kejatuhan demi kejatuhan. Belum lagi umat Islam bangkit sudah
dihadapkan dengan keruntuhan akhlak, kemunduran akademik, dan
kejatuhan ekonomi. Jika pada hari ini kita melihat bahawa ramai
masyarakat yang terdidik ternyata tidak memiliki nilai moral yang
tinggi, maka ini bermakna terdapat kekeliruan dalam falsafah dan
pelaksanaan sistem pendidikan yang dilaksanakan selama ini.

Untuk memahami jatuh bangkitnya sesuatu tamadun tidak cukup hanya


dengan melihat kepada pencapaian-pencapaian masa lalu. Kita perlu mengerti
bahawa sesuatu pohon yang rimbun dan kukuh semestinya memiliki akar yang
kuat (asluha thabitun wa far’uha fi al-sama’). Akar peradaban Islam adalah
tawhid, ketinggian budaya ilmu, peranan ilmuwan sebagai pencerah dan
pendidik, akhlak dan nilai moral yang tinggi. Kerosakan pada akar-akar ini,
seperti kekeliruan epistemologi, kerendahan dan ketidakcerdasan pemikiran,

29
Jurnal Hadhari Bil. 2 (2009) 15-31

hilangnya semangat kekitaan (asabiyyah) dan nilai moral yang tinggi,


berleluasanya absolutisme dan kuku besi adalah punca kejatuhan tamadun
Islam. Perkara-perkara yang saya telah sebutkan sebagai musuh-musuh
peradaban yang sejak mula menjadi musuh Islam (Khalif Muammar 2007).

Kita memiliki legasi dan model kemajuan yang indah dan gemerlapan di
masa lalu. Apa yang perlu ada pada kita hanyalah kesungguhan dan keikhlasan,
bukan hanya semangat, retorika, dan slogan-slogan kosong. Yang jelas nasib
umat Islam pada masa hadapan ditentukan oleh apa yang kita lakukan pada hari
ini. Mungkinkah masa depan untuk Islam?

RUJUKAN

Abd al-Wahid al-Marrakeshi. 1968. The History of the al-Mohades.


Terj. Reinhart P. A. Dozy. Amsterdam: Oriental Press.

al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1991. The Concept of Education in Islam.


Cetakan pertama 1980. Kuala Lumpur: ISTAC.

al-Attas, Syed Muhammad Naquib & Wan Mohd Nor Wan Daud. 2007. The
ICLIF Leadership Competency Model (LCM): An Islamic Alternatif.
Kuala Lumpur: ICLIF.

al-Baladhuri, Abu al-Hasan. 1959. Futuh al-Buldan. Kaherah: al-Maktabah


al-Tijariyyah al-Kubra.

De Gayangos, P. 1843. The History of Muhammedan Dynasties in Spain. Terj.


London: The Oriental Translation Fund.

Hitti, P. K. 1970. History of the Arabs. Cetakan ke-10. London: Macmillan.

Ibn Khaldun, Abd al-Rahman. 2004. Al-Muqaddimah. Beirut: Dar al-Fikr.

Ibn Taymiyyah, Ahmad b. Abd al-Salam. 1988. Al-Siyasah al-Shar‘iyyah fi


Islah al-Ra‘i wa al-Ra‘iyyah. Dlm. Abu Ya’la al-Quwaysani (pnyt.).
al-Siyasah al-Shar’iyyah Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Khalif Muammar. 2007. Absolutisme dan Watak Pasrah Penghalang


Pembangunan Semula Tamadun Islam. PEMIKIR 49.

Lane-Poole, Stanley. 1967. The Moors in Spain. Beirut: Khayyat.

Munawir Sjadzali. 1993. Islam dan Tata Negara. Jakarta: Universitas


Indonesia Press.

30
Faktor Kegemilangan Tamadun Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu

Scott, S. P. 1904. History of the Moorish Empire. 3 vols. Philadelphia:


The Lippincot Company.

Siddiq Fadzil. 2006. Kaum Ilmuwan dan Misi Pencerahan. Kajang: Akademi
Kajian Ketamadunan.

Syed Omar Syed Agil. 1998. Umar b. al-Khattab: A Model for Leaders and
Managers. Dlm. Syed Othman Alhabshi et al. (pnyt.). Islamic Management
for Excellence. Kuala Lumpur: Inmind.

Thomson, Ahmad & Muhammad ‘Ata ur-Rahman. 2004. Islam di Andalusia:


Sejarah Kebangkitan dan Keruntuhan. Terj. Indonesia. Jakarta: Gaya Media
Pratama.

Wan Mohd Nor Wan Daud. 1997. Penjelasan Budaya Ilmu. Cet. Ke-3.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Mohd Nor Wan Daud. 1998. The Educational Philosophy and Practice
of Syed Muhammad Naquib al-Attas: An Exposition of the Original Consept
of Islamization. Kuala Lumpur: ISTAC.

Wan Mohd Nor Wan Daud. 2007. Iklim Kehidupan Intelektual di Andalusia:
Satu Cerminan Islamisasi Dua-Dimensi. Pulau Pinang: Universiti Sains
Malaysia.

Zaimeche, S. 2004. Myths and Fallacies Sorrounding the Decline of Muslim


Civilisation. www.islamicheritage.com [24 Disember 2008].

Dr. Khalif Muammar A. Harris


Felo Penyelidik
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia
Emel: ketamadunan@yahoo.com
No. Tel: 03- 8921 3215

31
Jurnal Hadhari Bil. 2 (2009) 15-31

32

Anda mungkin juga menyukai