Anda di halaman 1dari 2

Jelaskan kegiatan ekonomi tradisional di Vietnam pada abad ke-19.

Kegiatan ekonomi tradisional di Vietnam pada abad ke-19 bersifat sara diri. Kegiatan
ekonomi sara diri bersifat keperluan sendiri dan keluarga dan tidak mementingkan kelebihan
untuk diperdagangkan serta tidak wujud satu pengkhususan kerja yang khusus. Kegiatan
ekonomi tradisional di Vietnam pada abad ke-19 mempunyai ciri yang tersendiri.

Antara kegiatan ekonomi tradisional di Vietnam pada abad ke-19 ialah penanaman
padi. Masyarakat Vietnam menjalankan kegiatan ekonomi sara diri dengan tumpuannya
kepada penanaman padi. Padi merupakan makanan utama penduduk Vietnam. Terdapat
pelbagai jenis padi yang ditanam di Vietnam dan jenis padinya berbeza mengikut iklim dan
jenis tanah. Di lembah sungai Vietnam Utara, terdapat sekurang-kurangnya tiga ratus jenis
padi. Para petani akan memilih padi yang sesuai dengan sifat sawahnya. Tanah merupakan
unsur penting dalam ekonomi sara diri yang dijalankan oleh masyarakat peribumi. Selain
tanah, sistem tali air juga penting dalam kegiatan ekonomi sara diri ini. Dengan
menggunakan tali air, petani dapat mengairi kawasan tanah kering dan seterusnya boleh
mengusahakan penanaman padi. Dalam menjalankan kegiatan pertanian, Vietnam
menggunakan sistem tali air. Melalui tali air ini mereka boleh mengairi kawasan tanah kering
yang mengusahakan pertanian. Sebagai contoh, kebanyakan padi ditanam di Lembah Sungai
Mekong kerana mempunyai tanah yang rendah, rata, serta tanah lanar yang subur. Tanahnya
subur kesan daripada limpahan lumpur Sungai Mekong. Di Vietnam Utara, penanaman padi
dijalankan dua kali setahun di Lembah Sungai Merah. Petani juga menggunakan najis
binatang dan manusia sebagai baja untuk menyuburkan tanaman padi mereka. Tegasnya,
masyarakat Vietnam sangat mementingkan penanaman padi bagi memenuhi keperluan
keluarga sahaja dan bukan untuk kegiatan perdagangan.

Selain itu, kegiatan ekonomi tradisional di Vietnam pada abad ke-19 ialah
pengusahaan tanaman lain. Antara tanaman lain adalah seperti ubi keledek, jagung, kacang,
dan buah-buahan sebagai tanaman luar musim kering di sawah padi. Kegiatan ini tertumpu di
kawasan Cochin-China dan Annam. Selain itu, petani juga menanam teh di tengah Tonking
dan Utara Annam untuk mempelbagaikan hasil pertanian. Tegasnya, masyarakat Vietnam
turut menumpukan penanaman tanaman lain disamping padi untuk menyara diri.

Seterusnya, kegiatan ekonomi tradisional di Vietnam pada abad ke-19 ialah kegiatan
penangkapan ikan. Masyarakat Vietnam menjalankan kegiatan penangkapan ikan di Lembah
Sungai Mekong. Sungai Mekong dan sungai-sungai lain selain menjadi kawasan utama untuk
kegiatan pertanian turut menjadi kawasan penangkapan ikan yang penting. Sebagai
masyarakat yang bergantung kepada kegiatan ekonomi sara diri, kegiatan penanaman padi
dan penangkapan ikan dijalankan secara beriringan. Penangkapan ikan air tawar adalah
penting bagi ekonomi sara diri dan dijalankan sepanjang tahun. Tegasnya, masyarakat
Vietnam menjalankan kegiatan penagkapan ikan secara kecil-kecilan di sungai untuk
memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Akhir sekali, kegiatan ekonomi tradisional di Vietnam pada abad ke-19 ialah kegiatan
pertukangan. Masyarakat kampung Vietnam melibatkan diri dalam perusahaan seperti
membuat tembikar, tenunan, menganyam, dan bertukang. Biasanya, mereka akan
merahsiakan tradisi perusahaan dan kemahiran mereka. Satu cara untuk mencapai hasrat ini
ialah melarang kaum wanitanya daripada berkahwin dengan lelaki dari kampung lain. Mereka
tidak akan mengajar kemahiran tersebut kepada orang luar. Masyarakat kampung lebih suka
melakukan perusahaan pertukangan kerana mendapat lebih pengiktirafan berbanding dengan
pekerjaan bercucuk tanam. Ini kerana mereka akan dikecualikan daripada sistem kerahan dan
pernbayaran cukai. Walau bagaimanapun, mereka perlu menyerahkan hasil pertukangan
mereka kepada maharaja sebagai ganti pembayaran cukai. Tegasnya, masyarakat Vietnam
melakukan kegiatan pertukangan dan kemahirannya diwarisi secara turun temurun tetapi
hanya kepada keluarga sahaja.

Kesimpulannya, kegiatan ekonomi tradisional di Vietnam pada abad ke-19 berbentuk


sara diri. Namun bertukar kepada ekonomi komersial apabila Perancis berjaya menjajah
Vietnam. Raja dan pembesar Vietnam yang selama ini menguasai ekonomi terpaksa
melepaskannya kepada penjajah barat yang memperkenalkan pentadbiran ekonomi kapitalis
yang menguntungkan mereka sahaja. Oleh itu, wujudlah beberapa ciri ekonomi komersial di
Vietnam.

Anda mungkin juga menyukai