Anda di halaman 1dari 3

KELEBIHAN SOLAT DHUHA YANG SANGAT DITUNTUT

Solat Dhuha – Rebut 6 Kelebihan Yang Dijanjikan


Dhuha adalah waktu yang tercatat di dalam al-Quran. Istimewanya waktu ini
sehinggakan Allah bersumpah dengannya di dalam surah Ad-Dhuha : “Demi waktu
Dhuha”. Pernahkah kita terfikir kenapa Allah bersumpah dengan waktu Dhuha?
Kenapa tidak dengan waktu-waktu yang lain? Imam Ar-Razi berkata andai Allah
bersumpah dengan sesuatu, maka ia menunjukkan perkara itu adalah sangat
penting.

Dhuha bermaksud ‘pagi hari’ atau ‘panas sinar hari’. Waktu inilah manusia-manusia
semua berkejar-kejaran keluar untuk mencari rezeki. Namun disebalik waktu ini
Allah sebenarnya menyaran untuk meninggalkan ‘kejar-kejaran’ itu dan menunaikan
solat sunat Dhuha. Waktunya adalah dari matahari naik setinggi segalah sehingga
tergelincirnya matahari (masuk waktu Zohor).

Solat sunat Dhuha adalah solat bagi orang-orang yang mahu ‘kembali’. Kembali ke
mana? Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

“Solat Dhuha itu adalah ( solatul awwabin ) solat orang yang kembali
kepada Allah, setelah orang mulai lupa dan sibuk bekerja, iaitu pada
waktu anak-anak unta mula bangun kerana mulai panas tempat
pembaringannya.” (HR Muslim )

Ya, solat Dhuha itu adalah solat orang yang mahu kembali kepada Allah. Maka
kerana itulah terlalu banyak fadilat solat Dhuha yang disebut sendiri oleh Rasulullah
S.A.W dan para sahabat. Berikut adalah antara ‘hadiah-hadiah’ yang dijanjikan Allah
kepada sesiapa yang jatuh cinta dengan solat Dhuha.

1. Dicukupkan Rezeki.

Allah S.W.T menjamin rezeki yang cukup kepada hambanya yang mempunyai masa
untuk solat Dhuha. Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia
berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai
anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara
mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku
cukupkan untukmu di akhir harimu.”

(Hadis Riwayat Abu Dawud)

2. Rumah Di Syurga.

Rasulullah S.A.W memberi motivasi kepada orang yang rajin memperuntukkan


sedikit waktu paginya untuk Solat Dhuha dengan sabda baginda, “Barangsiapa yang
solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan
dibangunkan sebuah rumah di syurga.” 
(Sahih al-Jami’: 634)

3. Nilai Seperti Bersedekah.

Sesungguhnya di dalam badan kita ini terdapat 360 sendi pinjaman Allah. Sendi
inilah yang membolehkan kita bekerja dan menjalani kehidupan. Maka sendi-sendi
ini ada hak-haknya yang perlu kita langsaikan.

Dari Abu Dzar, dari Rasulullah S.A.W beliau bersabda : “Di setiap pagi ada
kewajipan sedekah ke atas setiap sendi dari salah seorang kalian. Setiap tasbih
adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap
takbir adalah sedekah, amar makruf nahi mungkar adalah sedekah. Dan dapat
memadai untuk semua itu dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha”

( Hadis Riwayat Muslim )

4. Diampunkan Dosa Terdahulu.

Sesungguhnya Allah amat rindu pada hambanya yang ingin menyucikan dosa.
Sebanyak mana dosa yang kita lakukan, pintu keampunan Allah tidak pernah
tertutup. Solat Dhuha adalah antara pintu ampunan yang disediakan oleh Allah.
Rasulullah S.A.W berkongsi kelebihan solat Dhuha yang kita lakukan di dalam
sabdanya :

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah


baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

5. Memperoleh Keuntungan Besar

Atau dalam bahasa Arabnya disebut Ghanimah. Dikisahkan bahawa Rasulullah


S.A.W mengutus tentera Islam berperang melawan musuh Allah. Dengan izin Allah,
tentera Islam menang dan  mendapat harta rampasan yang banyak. Orang ramai
bercerita singkatnya peperangan itu dan banyaknya harta rampasan perang yang
diperoleh. Kemudian Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa ada yang lebih utama
dan lebih mudah memperoleh kemenangan dan harta rampasan yang banyak iaitu
shalat Dhuha.

Rasulullah S.A.W bersabda : “Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke


dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya
(tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.”

(Sahih al-Targhib : 666)

6. Mendapat Pahala Umrah.

Rugi kalau kita tidak mahu lagi kerjakan solat Dhuha jika secara terang-terangan
Allah menganugerahkan pahala umrah melaluinya. Daripada Abu Umamah R.A
bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam
keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang
yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat
Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.”

(Sahih Al-Targhib: 673)

Selepas usai solat Dhuha, janganlah kita berlalu pergi. Duduk sebentar dan
berdoalah dengan doa ini. Doa yang disunatkan untuk kita baca selepas solat
Dhuha. Jika diteliti dan difahami doa ini sangat hebat maksudnya. Sangat kena
dengan kita yang sering tercari-cari jalan keluar kepada kesempitan rezeki.

Doa Solat Dhuha :

“Ya Allah bahawasanya waktu Dhuha itu waktu Dhuha-Mu,


kecantikan itu ialah kecantikan-Mu, keindahan itu keindahan-
Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu
dan perlindungan itu perlindungan-Mu. Ya Allah jika rezekiku
masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi,
keluarkanlah. Jika sukar mudahkanlah, jika haram
sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu
Dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu,
limpahkanlah kepada aku segala yang telah engkau limpahkan
kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Jika kita mampu hayati maksud doa ini, solat Dhuha kita akan terasa lebih nikmat.
Maka bertebaranlah mencari rezeki dengan penuh pengharapan semoga Allah
bukakan pintu rezeki kita seluas-luasnya.

Jika saat ini kita sedang buntu, sedang sedih atau sedang terasa sempitnya hidup,
kerjakanlah solat Dhuha selama 30 hari dan lihatlah apa yang bakal terjadi pada
hidup kita. Sesungguhnya ada satu perasaan yang amat indah apabila kita sudah
terbiasa melakukan Solat Dhuha. Jiwa menjadi tenang. Urusan menjadi mudah.
Rezeki melimpah ruah. Cubalah kerana dengan waktu Dhuha Allah sudah
bersumpah.

Tulisan : Azam Abdullah

Anda mungkin juga menyukai