Anda di halaman 1dari 12

PENGAGIHAN SKIM BANTUAN ZAKAT ASNAF FAKIR DAN MISKIN

MENGIKUT KONSEP HAD AL-KIFAYAH

Emie Sylviana Binti Mohd Zahid


Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA Johor, Malaysia
emies692@johor.uitm.edu.my

ABSTRAK

Skim bantuan zakat yang diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin oleh institusi zakat di Malaysia memainkan
peranan penting dalam mengeluarkan seseorang dari belenggu kemiskinan. Ini kerana dengan adanya skim
bantuan zakat tersebut, segala keperluan asas (dharuriyyah) dapat dipenuhi malahan kualiti kehidupan umat
Islam dapat dipertingkatkan. Ini memberi impak yang amat besar dalam pembangunan ummah terutama dalam
aspek ekonomi dan sosial. Justeru pengagihan skim bantuan yang dilaksanakan perlu melihat kepada konsep
had al-kifayah itu sendiri supaya kadar yang diberikan kepada asnaf fakir dan miskin dapat memenuhi
kecukupan atau keperluan hidup mereka sehingga terkeluar mereka dari belenggu kemiskinan dengan
mengambil kira perbezaan setempat, masa, keperluan semasa dan keadaan sosioekonomi. Penilaian ini dibuat
berdasarkan kepada enam aspek utama iaitu perlindungan, makanan, pakaian, pendidikan, perubatan dan
pengangkutan. Kadar keperluan antara individu adalah berbeza mengikut kategori iaitu isi rumah, lokasi dan
status rumah. Dalam soal memenuhi keperluan asasi asnaf, penulisan ini telah mengupas konsep had al-kifayah
(kadar kecukupan) dalam skim bantuan zakat menurut pandangan syarak dan amalannya di Malaysia.
Penulisan yang berbentuk konseptual ini menjelaskan dua objektif utama iaitu memberi kefahaman umum
tentang konsep had al-kifayah dan menilai sejauh mana had al-kifayah dalam skim bantuan zakat asnaf fakir
dan miskin di Malaysia sekarang memenuhi kadar kecukupan mereka. Penulisan ini menggunakan metode
penyelidikan kepustakaan, metode kajian lapangan melalui wawancara dan metode analisa data bagi mencapai
objektif tersebut. Hasil penulisan ini mendapati bahawa had al-kifayah dalam skim bantuan zakat yang
dilaksanakan perlu dilihat supaya kadar yang diberikan dapat memenuhi keperluan asas fakir dan miskin dalam
jangka pendek dan jangka panjang serta bebas dari belenggu kemiskinan.

Katakunci : Skim Bantuan Zakat, Asnaf Fakir dan Miskin, Had al-Kifayah.

PENGENALAN
Kemiskinan merupakan satu fenomena yang bersifat universal yang meliputi pelbagai
dimensi iaitu ekonomi, sosiobudaya, agama, pendidikan, kesihatan dan lain-lain. (Zakiah
Jamaluddin, 2005) Jika difokuskan kepada dimensi ekonomi, kemiskinan merupakan satu
keadaan kekurangan daripada paras keperluan asas tertentu. Ia sering dirujuk kepada
kemiskinan harta benda, kekurangan pendapatan, mata wang atau modal.

Kemiskinan ini boleh dikatakan sebagai subjektif dan relatif. Ini kerana, sukar bagi
kita dalam menentukan seseorang itu fakir ataupun miskin. Hal ini dapat kita lihat bahawa ada
orang yang kelihatan bahagia dan nampak senang, sedangkan dia mungkin kekurangan
belanja dan ada juga orang yang nampak hebat bergaya, bertali leher dan berkereta besar
walhal pendapatannya benar-benar cukup makan. Oleh itu, sukar bagi kita untuk menentukan
kaya atau miskin seseorang itu dengan mata kasar.

Oleh itu, konsep had al-kifayah dalam pengagihan zakat digunakan sebagai suatu alat
mengukur kemiskinan untuk mengukur kadar kecukupan perbelanjaan, dengan
membandingkan pendapatan kasar dan perbelanjaan minimum sesebuah keluarga atau
individu. Keputusan yang diperolehi pula lebih spesifik dan tepat dalam menentukan taraf

Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

1
seseorang pemohon zakat, sama ada kaya, miskin ataupun fakir.(http://www.e-
zakat.com.my/baru/agihan/had_kifayah.asp)

KONSEP HAD AL-KIFAYAH

a. Konsep Had Al-Kifayah Mengikut Mazhab Muktabar

Had al-Kifayah ialah kadar asas keperluan diri dan tanggungan minima untuk
menentukan kadar yang perlu diberi kepada penerima yang berhak dengan mengambil kira
perbezaan setempat, masa, keperluan semasa dan keadaan sosioekonomi. Ia digunakan untuk
menentukan kedudukan fakir dan miskin. Oleh itu, dengan pengagihan zakat yang diberikan
kepada asnaf perlu diberi mengikut amaun kecukupan bagi seseorang inidividu atau bagi
sesebuah keluarga. Namun, persoalannya adakah amaun yang diberikan itu mencukupi asnaf
tersebut sama ada mereka menetap di bandaraya, bandar atau di luar bandar dan adakah
keperluan asas ini menjadi kayu pengukur dalam menentukan had al-kifayah atau bagaimana
had al-kifayah ditentukan?

Dalam menerangkan kadar kecukupan keperluan asas tersebut, terdapat pelbagai


pandangan fuqaha tentang perkara tersebut bagi memastikan ia benar-benar fakir atau miskin.
Jika dilihat kepada tujuan asas zakat, ia bermatlamat kepada pembasmian mutlak, menghapus
kesusahan dengan mencari sumber sara hidup serta merapatkan jurang pendapatan antara
anggota masyarakat. Oleh itu, sistem dan konsep agihan zakat tertumpu kepada mencapai
tujuan dalam membasmi kemiskinan supaya golongan asnaf fakir dan miskin berubah
menjadi seorang yang kaya.(Mujaini Tarimin, 2006) Nabi Muhammad s.a.w pernah
menggambarkan konsep agihan zakat yang paling minimum iaitu berikhtiar memberikan
keperluan seharian yang selesa.

Merujuk kepada pandangan para fuqaha, tidak terdapat kata sepakat bagi menentukan
kadar agihan kepada kedua-dua asnaf fakir dan miskin. Perbezaan pendapat ini disebabkan
oleh beberapa faktor iaitu tanggapan mereka terhadap takrifan batas kekayaan yang
dibenarkan menerima agihan zakat, kadar had al-kifayah kepada fakir dan miskin, persoalan
adakah asnaf fakir dan miskin yang memiliki had nisab dibenarkan menerima agihan dan lain-
lain persoalan lagi.(Mujaini Tarimin, 2006)

Di bawah ini akan diterangkan pandangan setiap mazhab seperti mazhab Maliki dan
Hanbali menyatakan bahawa kadar kecukupan bagi fakir dan miskin ialah dengan memberi
bekalan cukup setahun (kifayah al-sanah).(Yusof al-Qaradawiy, 2007) Manakala bagi mazhab
Shafi’i pula ialah mengharuskan kadar kecukupan fakir dan miskin ialah mencukupi seumur
hidup(kifayah al-‘umur)iaitu batas umur pada umumnya di sesebuah negeri seperti pada
umumnya umur orang di negeri itu ialah 60 tahun. Jika seseorang fakir atau miskin berumur
30 tahun dan mempunyai bekalan hanya 20 tahun sahaja maka ia temasuk dalam golongan
yang berhak menerima zakat atau mustahik kerana kekurangan bekalan selama 10
tahun.(Yusof al-Qaradawiy. 2007)

Kesimpulannya mazhab fiqh mempunyai pandangan yang berbeza dalam menentukan


kadar zakat yang harus diberikan kepada fakir dan miskin. Terdapat dua pandangan pada
asasnya iaitu:(Yusof al-Qaradawiy. 2007)
i. Fakir dan miskin itu diberi zakat secukupnya dan tidak ditentukan menurut besarnya
harta zakat yang diperolehi.
Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

2
ii. Fakir dan miskin itu diberi dalam jumlah tertentu dan besar kecilnya jumlah tersebut
disesuaikan dengan bahagian mustahik yang lain.
Merujuk kepada pandangan yang pertama, terdapat dua mazhab iaitu mazhab yang
mengatakan bahawa zakat itu diberikan untuk mencukupi selama hidup (kifayah al-‘umur)
dan mazhab yang membatasi pemberian zakat itu cukup untuk setahun (kifayah al-sanah).

i. Pemberian zakat untuk seumur hidup

Menurut mazhab Shafi’i, orang miskin diberi zakat untuk menghilangkan


kemiskinannya. Maka ia harus diberikan zakat untuk memenuhi keperluan hidupnya secara
berterusan sehingga ia tidak memerlukan zakat itu lagi pada masa akan datang. Begitu juga
dengan pandangan Imam Nawawi, fakir dan miskin diberikan zakat sehingga mencukupi
sepanjang hidupnya. Ini berdasarkan dalil yang digunakan oleh pengikut Shafi’i iaitu hadis
Qabisah bin al-Mukharik al-Hilali r.a.:

“Aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua qabilah yang saling
bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah s.a.w.meminta bantuan kepada Baginda
untuk membayarnya. Jawab Baginda : “tunggulah sampai orang datang menghantar zakat,
nanti aku suruh supaya menyerahkannya kepadamu”,kemudian Baginda meneruskan
sabdanya: Hai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak dibolehkan kecuali untuk
tiga golongan : (1) Orang yang menanggung hutang (Gharim, untuk mendamai dua orang
yang bersengketa atau seumpamanya), maka orang itu boleh meminta-minta sehingga
hutangnya selesai dilunaskan, apabila hutangnya telah selesai dilunaskan, maka tidak boleh
lagi dia meminta-minta. (2) Orang yang ditimpa bencana, sehingga musnah harta bendanya,
orang itu boleh meminta-minta sehingga memperolehi kehidupan yang layak baginya. (3)
Orang yang ditimpa kemiskinan (disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai
bahawa dia memang miskin), orang itu boleh meminta-minta sehingga dia memperolehi
sumber penghidupan yang layak. Rasulullah bersabda: Selain dari tiga golongan itu, wahai
Qabisah! Haram baginya memakan hasil dari meminta-minta itu.”
(Riwayat Muslim)
Menurut pandangan Imam Nawawi, beliau mengatakan bahawa Rasulullah
membolehkan perbuatan meminta-minta untuk memenuhi keperluan. Seperti seseorang yang
memerlukan modal untuk menjalankan perniagaannya dengan membeli alat-alat yang
diperlukan bersesuaian dengan keperluan agar usahanya diperolehi keuntungan. Bantuan
yang diberikan berbeza mengikut tempat, waktu, jenis usaha dan sifat-sifat perseorangan.
Contohnya, bantuan kepada tukang dagang, tukang roti atau penjual minyak wangi dan yang
lain diberi mengikut keperluan yang sesuai. (Yusof al-Qaradawiy, 2007)

Sekiranya seorang itu tidak bekerja atau tidak mempunyai kemampuan dalam bekerja,
mereka akan diberikan zakat yang dapat mencukupi hidup mereka sebagai pembiayaan
hidup. Manakala bagi pandangan al-Ramli dalam Syarah Minhaj Imam Nawawi pula, beliau
mengatakan bahawa fakir dan miskin yang tidak mempunyai kemampuan dalam pekerjaan
atau usaha harus diberikan zakat yang dapat mencukupi sehingga batas umur seperti
kebiasaan orang di negerinya. Ini kerana tujuan zakat ialah untuk memberi kecukupan. Bagi
fakir dan miskin yang lewat atau melepasi batas umur yang ditentukan akan diberikan kadar
kecukupan pertahun. (Shamsudin al-Ramli, t,t.)

Bentuk bantuan yang diberikan tidak semestinya wang tetapi diberikan sesuatu yang
seharga dengan wang seperti diberikan rumah untuk disewa agar hasil sewaan yang
Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

3
diperolehi dapat menampung pembiayaan kehidupan mereka. Sekiranya sumber penghasilan
yang diberikan masih tidak mencukupi batas ketentuan, maka boleh ditambahkan lagi
bantuan zakat sehingga mencukupi. Sebagaimana pandangan al-Mawardi apabila dia
memperolehi 90 dan itu tidak mencukupi kecuali 100, maka hendaklah ditambahkan lagi 10.
(Shamsudin al-Ramli, t,t.)

Pendapat Imam Ahmad diriwayatkan mempunyai pendapat yang sama dengan Imam
Shafi’i mengenai zakat untuk seumur hidup. Ia membolehkan orang miskin mengambil zakat
untuk seluruh keperluan hidup selamanya seperti kedai, alat, pertukangan dan lain-lain.

ii. Zakat diberikan cukup untuk setahun

Mazhab Maliki dan Hanbali dan lain-lain ahli fiqh mengatakan bahawa orang fakir
dan miskin diberi zakat yang dapat mencukupi dirinya dan orang-orang yang menjadi
tanggungannya untuk masa setahun. Ini kerana kebiasaannya, masa setahun itu adalah batas
pertengahan yang diminta seseorang sebagai jaminan hidup dirinya dan keluarganya. Ini
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bila seseorang dapat menyimpan untuk keperluan
keluarganya selama setahun. (Shamsudin al-Ramli, t,t.)

Oleh itu, kesimpulan yang dapat disimpulkan daripada pandangan mazhab muktabar
tentang tahap menentukan sesuatu asnaf samada fakir atau miskin dapat diperjelaskan seperti
jadual di bawah:

MAZHAB MAZHAB MAZHAB MAZHAB


HANAFI MALIKI SHAFI’I HANBALI

Had al-Kifayah 200 dirham Keperluan sara Tiada ketetapan Sekurang-kurang


dianggap hidup sendiri kadar pemilikan 50 dirham atau
sebagai dan keluarga harta tetapi sebarang nilai
kekayaan yang selama setahun. secukupnya yang mencapai
terendah (kifayah al- sepanjang hayat tahap mencukupi
sanah) (kifayah al- keperluan
‘umr)
Jadual 1: Had Al-Kifayah Mengikut Mazhab
Sumber: Asnaf Lapan: Kesan Nilai Semasa dan Setempat Dalam Menentukan
Pentafsirannya di Malaysia. Tesis Ijazah Doktor Falsafah.

b. Konsep Had Al-Kifayah Mengikut Ulama Kontemporari

i. Imam al-Ghazali

Memenuhi keperluan setahun, kerana ia sesuai dengan langkah Rasulullah s.a.w


sendiri yang menyimpan makanan untuk setahun bagi keluarganya.Imam al-Ghazali membuat
kesimpulan bahawa pembatasan sehingga kepada hanya cukup untuk dimakan sehari semalam
sahaja adalah keterlaluan.Oleh sebab itu, paling sederhana dan sesuai sekali ialah kadar yang
boleh memenuhi keperluan selama setahun.(al-Ghazali, t.t)

Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

4
ii. Wahbah al-Zuhayli

Keperluan ialah kemudahan yang diperlukan oleh manusia untuk kehidupan mereka
dan menghindarkan dari kepayahan hidup. Ketiadaan keperluan akan menyebabkan hidup
mereka ditimpa kesusahan dan kesulitan.(Wahbah al-Zuhayli, t.t)

iii. Yusuf al-Qaradawi

Taraf hidup seseorang itu tidak boleh ditentukan secara rigid kerana ia tentu sekali
berbeza mengikut perbezaan zaman, keadaan serta juga nisbah kekayaan Negara serta per
kapita pendapatan masyarakat. Ini kerana terdapat suatu ketika ia dianggap barang mewah dan
mungkin juga suatu ketika atau keadaan ia dianggap keperluan atau keperluan asas.(al-
Qaradawi, 2007)

c. Konsep Had Al-Kifayah Mengikut Konteks Di Malaysia

Konsep had al-kifayah bagi negeri-negeri di Malaysia adalah sama kecuali dari segi
ketetapan had al-kifayah dalam menentukan status asnaf fakir dan miskin adalah berbeza.

Bagi membincangkan perkara ini, penulisan ini hanya mengemukakan konsep had al-
kifayah yang ditentukan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR). Dalam Manual
Agihan Zakat, pengertian had al-kifayah ialah kadar asas keperluan diri dan tanggungan yang
minimum yang menentukan tahap kelayakan penerima zakat dengan mengambil kira
perbezaan tempat, masa, keperluan dan keadaan sosio-ekonomi.(JAWHAR, 2007)

Menurut Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor 2002 memberikan definisi had
al-kifayah adalah agihan zakat kepada asnaf dan individu fakir miskin yang perlu menepati
kepada keperluan asasi sebenar. Sejajar dengan itu, institusi zakat wajar mengaplikasikan
kaedah ini agar penentuan fakir dan miskin menjadi lebih tepat serta bantuan zakat lebih
terfokus diuruskan.

PENENTUAN HAD AL-KIFAYAH DALAM SKIM BANTUAN ZAKAT ASNAF


FAKIR DAN MISKIN

Dalam memenuhi keperluan asas asnaf fakir dan miskin, agihan zakat merupakan
komponen utama sebagai sistem keselamatan sosial Islam (Ma’sum Billah,1996) Ini kerana
melalui agihan zakat, ia dapat mengurangkan kemiskinan dan mempunyai potensi untuk
menggalakkan pertumbuhan ekonomi. (Imtiazi, 1989)

M.A. Mannan (1989) melihat bahawa zakat boleh berperanan untuk meningkatkan
taraf hidup, pendapatan dan seterusnya membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang
agihan pendapatan melalui kesan pengganda dari zakat. Projek-projek yang dibiayai
menggunakan dana zakat dalam bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan sosial dan lain-lain
akan meningkatkan produktiviti golongan miskin dengan memenuhi keperluan asas mereka.
Pendapatan golongan miskin akan meningkat sebagai kesan dari peningkatan produktiviti.
(Patmawati, 2009)

Mohd Parid Syeikh Ahmad (2001), pengagihan zakat perlu mencapai satu tahap
kecukupan dan keselesaan kehidupan golongan penerima zakat serta keluarga yang
Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

5
ditanggungnya. Bentuk bantuan yang diberi kepada penerima agihan zxakat perlu mengambil
kira keperluan jangka pendek dan jangka panjang. Bagi keperluan jangka pendek, bantuan
penggunaan semasa untuk makanan dan sara hidup perlu diberikan. Disamping itu, perlu juga
diberi bantuan untuk membolehkan asnaf fakir dan miskin untuk mempunyai sumber
pendapatan di masa akan datang. Untuk itu, jumlah bantuan yang diberikan kepada mereka
perlu dinilai semula. Untuk jangka pendek, bantuan yang diberikan hendaklah mampu
memenuhi keperluan asas mereka untuk membolehkan mereka menumpukan perhatian untuk
projek ekonomi jangka panjang. Apabila projek ekonomi mereka mengeluarkan hasil, maka
bantuan jangka pendek tersebut sudah boleh dihentikan dan mereka tidak akan bergantung
kepada zakat lagi, sebaliknya sudah boleh membayar zakat.

Oleh itu, had al-kifayah yang mempunyai peranan yang sama seperti Indeks
Kemiskinan iaitu perlu mencapai kadar tertentu yang boleh menjamin kualiti hidup yang
berterusan dengan menetapkan satu kadar yang melayakkan individu itu menerima bantuan
zakat. Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam penentuan had al-kifayah
tersebut (JAWHAR, 2007) iaitu:

i) Tujuan Pensyariatan (Maqasid Shariah)


ii) Keperluan Asas
iii) Kategori
iv) Lokasi
v) Status Rumah
vi) Kadar Had al-Kifayah
Namun demikian, penulisan ini lebih tertumpu kepada keperluan asas yang mengikut
kepada tujuan pensyariatan dan kadar had al-kifayah dalam skim bantuan zakat yang
diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin.

Menurut al-Qaradawi (1980) membicarakan bahawa kemiskinan boleh mendatangkan


bahaya dalam kehidupan Muslim dan masyarakat seluruhnya iaitu bahaya kepada aqidah,
bahaya kepada etika dan moral, bahaya kepada akal fikiran manusia, bahaya kepada
kesejahteraan rumahtangga dan bahaya kepada masyarakat dan negara seluruhnya.

Oleh itu, penentuan had al-kifayah dalam setiap pengagihan zakat adalah merujuk
kepada tujuan pensyariatan (Maqasid Shariah) yang lima bagi menjamin kesejahteraan hidup
yang berkualiti asnaf fakir dan miskin iaitu:

a. Memelihara Agama

Memelihara kesucian agama (ad-din) akan dapat memastikan setiap Muslim


berpegang teguh kepada ajaran Islam dan tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan
dengannya. Maka setiap tindakan dan usaha yang dilakukan termasuk dalam mencari rezeki
dan memperbaiki taraf kehidupan akan mengikut lunas-lunas ajaran Islam.

b. Memelihara Akal

Memelihara kewarasan akal dan fikiran (al-aql) akan mendorong setiap individu
mengunakan kelebihan akal yang ada untuk menimba pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran
untuk menjamin kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat.
Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

6
c. Memelihara Nyawa

Memelihara keselamatan nyawa (al-nafs) pula akan mendorong individu berusaha


keras bagi memastikan mereka berupaya menjaga keselamatan diri dan keluarga. Maka
sebarang tingkalaku mereka akan berteraskan kepada menjaga keharmonian dan tidak akan
melakukan sesuatau tindakan yang akan mendatangkan bahaya atau merbahayakan nyawa
sendiri dan pihak lain.

d. Memelihara Keturunan

Memelihara kehormatan diri dan maruah (al-nasb) ialah mereka yang mampu menjaga
batas-batas kehormatan diri, maruah dan nama baik keturunan secara tidak langsung akan
dapat membantu membina masyarakat yang bermarauah disamping diri mereka sendiri akan
lebih diterima dan dihormati. Meraka juga akan sentiasa berpegang kepada ajaran Islam dan
tidak terdorong untuk melakukan sesuatau yang akhirnya merosakkan maruah diri dan
keturunan.

e. Memelihara Harta Benda

Memelihara harta (al-mal) ini bermakna ajaran Islam tidak menghalang umatnya
mengejar kekayaan asalkan harta yang diperolehi adalah dari kaedah dan sumber yang halal.
Seseorang muslim mesti bijak menggunakan peluang yang ada untuk mencari rezeki dan
seterusnya menjaga harta benda demi kesejahteraan diri dan keluarga.

Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa kelima-lima prinsip dalam maqasid shariah ini
adalah merupakan keperluan-keperluan yang perlu dipenuhi oleh setiap individu bagi
memastikan mereka membentuk ahli masyarakat yang berpandukan kepada prinsip syariat
Islam. Maka di sini terdapat kewajarannya bahawa dalam menentukan had al-kiyafah, ia perlu
melihat kepada sesuatu bantuan seperti bantuan modal zakat dari segi keupayaannya
mengubah taraf sosioekonomi hendaklah berdasarkan sejauhmana mereka berupaya
memenuhi keperluan berdasarkan prinsip Maqasid Shariah.

Menurut pandangan al-Syatibi (1996) Allah mencipta syariat dengan tujuan untuk
merealisasikan maqasidnya untuk sekalian manusia iaitu memberikan kebaikan (maslahah)
kepada mereka dan mengelakkan kerosakan atau keburukan (mafsadah) daripada menimpa
mereka. Menurutnya juga, segala apa yang disyariatkan tidak terlepas daripada maqasid ini
yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:

i. Kepentingan asas (al-Dharuriyyat)

Melibatkan pemeliharaan lima perkara iaitu agama, jiwa, akal keturunan dan harta.
Kesemua kepentingan ini dapat dianggap sebagai keperluan asasi yang amat diperlukan oleh
setiap manusia di dalam kehidupan bermasyarakat.
ii. Keperluan biasa (al-Hajiyat)

Melibatkan semua yang diperlukan oleh manusia untuk mewujudkan kemudahan dan
kelapangan dalam menjalankan tugas dalam kehidupan. Ianya tidak sampai kepada tahap
keperluan asasi tetapi ia perlu bagi mengelakkan kesusahan hidup di dalam masyarakat.
Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

7
iii. Keperluan mewah (al-Tahsiniyat)

Melibatkan kemuliaan akhlak dan adat yang baik. Semuanya diperlukan bagi
menjamin kelancaran hidup manusia dalam masyarakat.

Keperluan asas yang mengambil kira lima prinsip maqasid shariah ditetapkan dalam
penentuan had al-kifayah juga mengambil kira perkara berikut:

Keperluan asas Penerangan


Perlindungan Perbelanjaan menyediakan perlindungan untuk seisi rumah termasuk
sewa rumah, bil elektrik, bil air, bil telefon dan lain-lain yang berkaitan.
Makanan Segala bahan makanan dan minuman yang dimakan oleh ahli rumah
termasuk di luar rumah.
Pakaian Segala bentuk pakaian yang digunakan oleh ahli rumah seperti pakaian
sekolah, kerja dan lain-lain yang berkaitan.
Perubatan Merujuk kepada segala bentuk perubatan yang diambil oleh ahli rumah
seperti klinik desa, ubat kampung, hospital awam, hospital swasta dan
lain-lain berkaitan.
Pendidikan Segala kos yang berkaitan pendidikan ahli rumah seperti yuran sekolah,
kolej, universiti, buku dan lain-lain berkaitan.
Pengangkutan Segala kos berbayar ahli rumah seperti kos petrol, tambang dan lain-lain
berkaitan.
Jadual 2: Keperluan Asas dalam penentuan had al-kifayah
Sumber: JAWHAR

Pengkelasan sesebuah isi rumah bagi menentukan sama ada mereka fakir atau miskin
adalah berbeza daripada sesebuah keluarga di antara satu keluarga yang lain. Ini bergantung
kepada had al-kifayah dan bilangan isi rumah. Contoh:“Pak Ali dan isterinya tinggal dirumah
yang disewa di kawasan Ampang dan bekerja sebagai Pengawal Keselamatan dengan
pendapatan sebanyak RM1,200.00 sebulan. Selain isterinya, Pak Ali juga menanggung lima
orang anak. 2 orang belajar di sekolah menengah dan 2 orang lagi belum bersekolah
manakala seorang lagi anak perempuan Pak Ali sedang menunggu keputusan peperiksaan
SPM.”

BIL KATEGORI KADAR HAD BILANGAN JUMLAH


KIFAYAH (ORANG) (RM)
1. Ketua Keluarga 680.00 1 680.00

2. Dewasa Bekerja 420.00 tiada -


Dewasa Tidak Bekerja (18 thn
3. 240.00 2 480.00
ke atas)
4. Anak Berumur 7-17 tahun 180.00 2 360.00

5. Anak Berumur 1-6 tahun 130.00 2 260.00

TAMBAHAN
Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

8
1. Tanggungan/Anak Cacat 200.00 tiada -

2. Penjagaan Anak 190.00 tiada -

3. Kos Perubatan Sakit Kronik 200.00 tiada -

Jumlah Had Kifayah : 1780.00


Pendapatan Keluarga : 1200.00
Pendapatan - Had Kifayah : -580.00
Pendapatan kurang sebanyak : RM580.00 Status : MISKIN
Jadual 3: Had Al-Kifayah Lembaga Zakat Selangor (LZS)

Jenis bantuan agihan yang diberikan kepada asnaf fakir dan miskin adalah seperti
berikut:
FAKIR MISKIN
• Bantuan makanan bulanan • Bantuan makanan bulanan
• Bantuan kewangan bulanan • Bantuan kewangan bulanan
• Bantuan pengurusan Rumah Orang Tua • Bantuan perubatan
• Bantuan pembinaan rumah individu/ • Bantuan caruman takaful
kelompok • Bantuan sambutan hari kebesaran Islam
• Bantuan sewa rumah • Bantuan pembinaan rumah individu/
• Bantuan membaik pulih rumah kelompok
• Bantuan kecemasan/runcit • Bantuan aset tetap
• Bantuan perubatan • Bantuan membaik pulih rumah
• Bantuan yuran sekolah rendah/menengah/ • Bantuan sewa rumah
kolej/universiti • Bantuan bengkel kemahiran
• Bantuan keperluan pendidikan • Bantuan modal perniagaan
• Bantuan kursus/latihan • Bantuan modal perikanan
• Bantuan pengurusan jenazah • Bantuan modal penternakan
• Bantuan pakaian • Bantuan modal pertanian
• Bantuan perkahwinan • Bantuan yuran sekolah rendah/menengah/
• Bantuan Hari Raya kolej/universiti
• Bantuan keusahawanan • Bantuan biasiswa pelajaran
• Bantuan pengangkutan • Bantuan kursus/latihan
• Bantuan peralatan asas • Bantuan pengurusan jenazah
• Bantuan bagi siswazah yang sedang • Bantuan kecemasan/runcit
mencari • Bantuan pakaian
pekerjaan • Bantuan perkahwinan
• Bantuan Khidmat Guaman • Bantuan pengangkutan
• Bantuan menyelamatkan dari pemesongan Bantuan Hari Raya
akidah
Jadual 4: Bantuan Zakat Asnaf Fakir dan Miskin
Sumber: JAWHAR

Merujuk kepada penentuan yang dibuat oleh JAWHAR, jelaslah bahawa had al-
kifayah yang dibuat perlu mengambil kira enam perkara penting sebagai keperluan asasi
manusia iaitu perlindungan, pengangkutan, pendidikan, pakaian, makanan dan minuman serta
Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

9
perubatan yang melihat kepada lima prinsip maqasid shariah iaitu memelihara agama, akal,
nyawa, keturunan dan harta benda.

Sebagai tugas Majlis Agama Islam Negeri untuk menggunakan had al-kifayah dalam
melaksanakan pengagihan bantuan zakat, kadar bantuan bagi setiap skim adalah tertakluk
kepada kemampuan kewangan pihak berkuasa agama Islam Negeri atau Jabatan Zakat Negeri.
Individu yang berhak menerima zakat boleh menerima bantuan lebih dari satu skim
sebagaimana skim bantuan yang diperkenalkan oleh JAWHAR dalam buku Manual Agihan
Zakat. Ketetapan kadar had al-kifayah perlu dikaji semula setiap lima tahun untuk
memastikan kadar yang diberikan mencukupi keperluan asas asnaf fakir dan miskin. Ini
bertujuan untuk pengemaskinian senarai fakir dan miskin dibuat mengikut keperluan dan
diselaraskan dengan agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dalam program pembasmian
kemiskinan jenis-jenis bantuan yang boleh diberikan kepada golongan asnaf selain daripada
bantuan kewangan. Skim bantuan yang direncanakan adalah bagi memenuhi keperluan asasi
asnaf dan melibatkan bentuk bantuan sepadan bagi pembangunan diri. Adalah diyakini skim
bantuan ini mampu menjana kehidupan ummah ke arah yang lebih baik apabila para
penerima agihan zakat yang merupakan entiti utama dalam memastikan keberkesanan
program agihan zakat bertindak dengan jujur dan bertekad untuk memperbaiki diri. Mereka
hendaklah berusaha memastikan kejayaan mereka keluar dari asnaf zakat dan menjadi
pembayar zakat.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, jelaslah bahawa skim bantuan zakat dalam program yang
diwujudkan oleh LZS memang terdapat konsep had al-kifayah yang mengikut kepada
Maqasid Shariah bagi memenuhi keperluan asas manusia (Dharuriyyat) dan mempunyai
peningkatan. Namun demikian, jumlah bantuan yang optima perlu ada bagi menampung
jurang had al-kifayah isirumah penerima agihan, jangkamasa terimaan tidak dihadkan, perlu
ada penyelarasan antara jumlah bantuan yang diberi mengikut setiap keperluan asas dalam
program yang dibentuk serta pemantaun perlu dijalankan. Ini bertujuan supaya dasar agihan
kepada fakir dan miskin bukan semata-mata melepaskan batuk di tangga dan hanya dilakukan
secara bermusim. Agihan zakat bukan hanya agihan dalam kuantiti atau jumlah kecil yang
hanya setakat dapat melepaskan barang-barang dapur sahaja. Sebaliknya membina dan
memelihara martabat manusia dengan sifat ihsan dan keadilan. Oleh sebab itu, bahagian
agihan perlu sering membuat semakan dan kajian terkini tentang kadar dan keperluan
masyarakat setempat supaya agihan zakat akan mencapai kualiti yang optimum.

RUJUKAN

Abu ‘Ubayd. (1975). al-Amwal. Kaherah: Dar al-Fikr.


Abdul Aziz Bin Muhammad. (1993). Zakat and Rural Development in Malaysia. Kuala
Lumpur: Berita Publishing.
Al-Kanidahlawi. (t.t). Awjaz al-Masalik. (jld. 6). Beirut: Dar al-Fikr.
Al-Dusuqi. (t.t). Hasyiah. (jld. 1.) Kaherah: al-Halabi.
Al-Ghazali. (t.t). Ihya’ ‘Ulumuddin. (jld. 1) Kaherah: Matba’ah al-Masyhad al-Husaini.
______________ (1994). Al-Munjid. (cet.1). Beirut: Dar al-Masyarik.
Al-Nawawi. (1983). Sahih Muslim. (jld. 4). Beirut: Dar al-Fikr.
Al-Qaradawi, Yusof .(2007). Hukum Zakah. Salman Harun, Didin Hafidhuddin &
Hasanuddin, (terj.) Bogor: Pustaka Litera AntarNusa
Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

10
Al-Qaradawi, Yusof. (1980). Problema Kemiskinan: Apa Konsep Islam, Umar fanany
(terj.)Surabaya, Indonesia: P.T Bina Ilmu.
Al-Ramli. (t.t). Nihayah al-Muhtaj.( jld. 6) Kaherah: Isa al-Halabi.
Al-Shafi’i. (t.t). al-Umm. (jld. 2).
Al-Syatibi. (1996). al-Muwafaqat fi Usul al-syariah.(jld. 2). Beirut: Dar al-Ma’rifah.
Al-Zuhaily, wahbah.(1997).Nazariyah al-Dharurah al-Syariah. Beirut: Dar al-fikr.
Al-Zuhaily, wahbah. (t.t). Usul al-Fiqh. (jld. 2).
Azman Haji Mohd Nawi, Jaidi Sahar & Dalia Ismail.(2006)Kenapa Ada Fakir Miskin
Tercicir.Milenia Muslim.
Hailani Muji Tahir. (2009). Konsep Agihan Zakat Dan Aplikasi Semasa. Dalam Jabatan
Wakaf, Zakat dan Haji. Jurnal Pengurusan JAWHAR. (Vol.3) Putrajaya: JAWHAR.
Hairunnizam Wahid, Sanep Ahmad & Mohd Ali Mohd Nor.(2004).Kesan Bantuan Zakat
Terhadap Kualiti Hidup Asnaf fakir & Miskin. Proceedings National Seminar in Islamic
Banking and Finance (iBAF)2004. Petaling Jaya: Intel Multimedia & Publication. hlm
197-206.
Hasanah Abd Khafidz. (2006). Asnaf Lapan: Kesan Nilai Semasa dan Setempat Dalam
Menentukan Pentafsirannya di Malaysia. Tesis Ijazah Doktor Falsafah. Kuala Lumpur:
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. hlm 135-136.
Ibn al-Humam. (1970). Fath al-Qadir. Kaherah: al-Halabi.
Ibn Qudamah.(t.t). al-Mughni. (jld. 2).
Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji. (2007). Manual Agihan Zakat. (cet. 1). Jabatan Wakaf Zakat
dan Haji: Jabatan Perdana Menteri.
Mohd Parid Hj Sheikh Ahmad. (2001). Kaedah pengagihan Zakat: Satu Perspektif Islam.
Dalam Nik Mustapha Nik Hassan (penyt). Kaedah Pengagihan Dana Zakat Satu
Perspektif Islam. Kuala Lumpur: IKIM.
Mohd. Parid Haji Shaikh Ahmad. (2000). Garis Panduan Agama Dalam Pengagihan Dana
Zakat. Dalam Seminar Kebangsaan “Kaedah Pengagihan Dana Zakat: Satu Perspektif
Islam”.
Mohd Zulkifli Ab.Ghani.(2003), Pengagihan Zakat Mengikut Enakmen Majlsi Agama Islam
Dan Adat Istiadat Melayu Kelatan 1994: Kajian Terhadap Asnaf Fi Sabilillah, Kuala
Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Mohamed Dahan Bin Haji Abdul Latiff. (2001). Pendekatan Kepada Cara Pengagihan Dana
Zakat Yang Dinamik Sesuai Dengan Suasana Semasa. Kuala Lumpur: IKIM.
Muhammad Syukri Salleh. ( 2006). Lokalisasi Zakat: Satu Cadangan Teoritis. (cet.1). (pnyt.)
Abdul Ghafar Ismail, Hailani Muji Tahir. Zakat Pensyariatan Perekonomian dan
Perundangan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mujaini Tarimin. (2006). Zakat: Menuju Pengurusan Profesional. (cet. 2). Kuala Lumpur:
Utusan Publicatuion & Distribution Sdn Bhd.
Muhammad Nashiruddin al-Albani. (1998). Sahih Sunan Abu Daud. (cet.1). (terj.) Tajuddin
Arief, Abdul Syukur Razak & Ahmad Rafa’i Utsman. Islam Rahmatan: Pustaka Azzam.
Nik Mustapha Haji Nik Hassan. (2000). Semangat Pengagihan Zakat Ke Arah Pembangunan
Ekonomi. Seminar Kebangsaan “Kaedah Pengagihan Dana Zakat : Satu Perspektif
Islam”
Patmawati Bte Haji Ibrahim. (2007). Peranan Agihan Zakat Dalam Meningkatkan Tahap
Ekonomi Ummah, PWTC: Konvensyen Zakat dan Cukai Peringkat Kebangsaan 2007.
Patmawati Bte Haji Ibrahim. (2009). Tahap Ekonomi Ummah. Dalam Abd. Halim Mohd
Noor, Arifin Md Sallaeh, Rawi Nordin, Mastura Muhamad Said & Siti Nor Hidayah
Taib (pnyt.) Pengintegrasian Zakat & Cukai di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan
Universiti (UPENA) UiTM
Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

11
Surtahman Kastin Hasan. (2001). Ekonomi Islam: Dasar dan Amalan. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Warta Kerajaan Negeri Selangor 1991-1997. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989
Fatwa Tentang Sistem Agihan Zakat Negeri Selangor. Jabatan Mufti Negeri Selangor,
29 Ogos 1994.
(http://www.e-zakat.com.my/baru/agihan/had_kifayah.asp) 20 Mei 2009.
Zakiyah Jamaluddin. (2005). Kemiskinan dan Program Pembangunan Masyarakat. Dalam
Che Su Mustaffa, Wan Abdul Rahman Khudzri Wan Abdullah & Mohamad Sukeri
Khalid (pnyt.) Pembangunan: Implikasi Sosial dan Fizikal. (cet 1). Universiti Utara
Malaysia: Jabatan Penerbitan dan Teknologi Media.

Emie Sylviana Mohd Zahid. Pengagihan Skim Bantuan … icops2010

12

Anda mungkin juga menyukai