Anda di halaman 1dari 10

TRAKTOR ARI

Seorang demi seorang wajah pelajar di dalam Kelas Peralihan 1 yang sedang leka bermain

dalam kelas itu ku pandang. Mata ku sengaja dijegilkan besar-besar dengan muka yang

begitu serius, mengharapkan mereka semua akan takut dan hormatkan aku sebagai guru

mereka. Maklumlah, ini kali pertama aku masuk kelas ni. “ Diam semua!” Jerit ku dengan

kuat. Sangka ku wajah-wajah nakal berusia 13 tahun itu akan tunduk menikus. Namun

ternyata sangkaan ku meleset. Mereka semua nampak begitu teruja dan tersengih-sengih

sambil berbisik antara satu sama lain. Entah apa yang diperkatakan, aku sendiri tidak faham.

Mungkin seronok sangat melihat wajah guru kelas yang muda baharu keluar maktab ini.

Namun aku tekad tidak mahu memberi muka, tambah-tambah lagi aku diberitahu pengetua

tentang sifat pelajar kelas tersebut yang agak nakal.

“Baiklah semua….saya adalah guru kelas kamu untuk tahun ini. Saya harap kamu semua

hormat, dengar arahan serta ajaran saya”. Begitu mukadimahku pada hari pertama masuk ke

kelas bagi tahun 1997. “Waktu belajar kita belajar bersungguh-sungguh, waktu bermain kita

bermain bersungguh-sungguh” sambungku lagi. Aku sengaja mahu memberi first impression

sebagai seorang guru yang tegas pada hari pertama masuk ke kelas. Ia amat penting bagiku

sebagai guru baharu di sekolah ini. Separuh masa pertama sesi PdP hari itu berjalan dengan

baik dan tenang namun separuh masa penghujungnya diisi dengan sesi kawalan disiplin

kelas!

“Aduhhhhh! Kenapa la aku cikgu sains perlu mengajar Bahasa Melayu? Kelas Peralihan

pulak tu. Dah tugas guru mengajar, ikut je la Fadzilah…... Jangan nak merungut. Inilah

tanggung jawab kau sekarang. Harap-harap tak lama lagi dapat mengajar sains. Lagipun

pengetua kata sementara waktu je”.


Sejak itu bermulalah episod hidup ku sebagai seorang guru Bahasa Melayu Kelas Peralihan

1. Rata-rata pelajar kelas ini tidak dapat menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Namun

bukan itu yang kurungsingkan. Cabaran utama terpaksa ku hadapi ialah bagaimana hendak

mengawal disiplin pelajar-pelajar yang dah terlebih vitamin ni? Setiap hari ada saja pelajar

yang ku denda dan marah. Pelajar perempuan tak ada masalah. Tapi…..pelajar lelaki memang

terlebih agresif.

“ Hish! Geram betul rasanya”. Ada sahaja kerenah yang menduga kesabaranku sebagai

seorang guru. Ada yang bangun berjalan, ada yang merayap ke kelas sebelah, ada yang

makan, ada yang bergurau senda malah ada yang mengangkat lalu meletakkan bakul penuh

berisi nasi lemak untuk dijual kepada rakan-rakan semasa aku sedang mengajar di dalam

kelas. Aku umpama tunggul mati di hadapan kelas dan tidak dipedulikan.

Dalam ramai-ramai pelajar lelaki yang nakal, Ari yang paling memeningkan kepalaku. Ada

sahaja ragam dan kerenah yang dibuatnya setiap kali aku masuk ke kelas. Setiap kali masuk

ke Kelas Peralihan 1 untuk mengajar, Ari pasti cuba menarik perhatianku melalui pelbagai

ragamnya yang menduga kesabaran. Ada ketika dia bermain-main kerusi semasa duduk, ada

hari dia mengganggu kawan yang hendak belajar, menyanyi dalam kelas sewaktu aku sedang

menerangkan sesuatu dan banyak lagi ragamnya. Badannya yang kurus melidi itu ku lihat

begitu kecil tatkala menahan kesabaran dengan kenakalannya yang tiada berkesudahan.

“Mengapa Ari begitu nakal dan sentiasa membuat perangai dalam kelas?” detik hatiku.

Redup mata Ari setiap kali dimarahi dan diherdik olehku seperti ingin menagih kasih sayang

dan simpati.
"Ahhhh ! Aku tak peduli. Murid mesti hormat guru mereka. Perlukah aku cuba memahami

Ari dan berlembut dengannya? Banyak lagi kerja lain aku nak buat. Mengapa pulak aku nak

membuang masa dengan menjadi kaunselor tak bertauliah kepada Ari? Walaupun aku guru

kelas Ari, itu tak penting bagiku. Seorang murid yang baik pasti mendengar kata gurunya.

Bukan macam Ari. Degil! “.

Suatu hari sedang aku mengajar cara membuat karangan, tiba-tiba Ari bangun dan berjalan ke

meja rakan di hadapannya lalu cuba mengambil pen tanpa kebenaran. Berlaku pergaduhan

antara mereka. Aku terus menjerit, “ Ari! Duduk sekarang!”. Tanpa mempedulikan amaran

ku, Ari terus cuba merampas pen daripada tangan rakannya. Lajunya kipas yang berputar di

atas kepala ku tidak sedikit pun dapat menyejukkan hatiku yang sedang mendidih melihat

kelakuan Ari. Tercabar dengan tingkah laku Ari, aku sekali lagi meminta dia duduk. Namun

tidak diendahkan. Zasssssss!!!! Kuk! , tanpa ku sedari pemadam papan hitam di dalam

genggamanku telah melayang dan mengenai tepat ke dahi Ari. Aku sendiri tidak tahu masa

bila tanganku mengambil pemadam yang diperbuat daripada kayu tersebut dan bagaimana

ianya boleh tepat mengenai dahi Ari. Dapat ku lihat dengan jelas timbulnya benjolan pada

dahi Ari. Ari terus duduk semula di tempatnya. Kulihat air mata Ari bergenang dan cepat-

cepat dia menyeka dengan hujung jarinya yang kasar. Ku kira Ari sedang menahan kesakitan.

Aku yang terlalu marah terus keluar daripada kelas tanpa mempedulikan murid lain yang

tergamam.

Alamak……Pasti kecoh perkara ni kalau Ari mengadu kedua ibu bapanya. Macam mana

kalau esok ibu dan bapa Ari datang ke sekolah dan menyerang aku? Macam mana kalau ibu

dan bapa Ari membuat laporan polis? Apa pula kata pengetua? Mesti kecoh dan pengetua

berasa malu. Mesti guru lain dan ibu bapa memperkatakan dan mencemuh aku. Aduhhh….
habislah aku. Kenapalah aku gagal mengawal emosi tadi? Mengapa aku gagal bersabar

tadi? Kenapa? Sebagai seorang guru, aku sepatutnya menjaga tingkah laku dan bersikap

rasional. Bukan bertindak kasar secara melulu. Macam mana aku nak hadapi hari esok ni?

Habislah aku kali ni…Menyesal betul.

Keesokan harinya aku membonceng longlai motosikal EX5 yang baru ku beli dengan duit

gaji yang ku simpan menuju ke sekolah. Pelbagai perkara buruk menerjah fikiran ku. Walau

apa pun yang bakal menunggu, aku akan hadapi dengan tabah kerana aku sedar aku yang

bersalah. Sebaik sahaja aku memarkir motosikal ku, perasaan ku menjadi berdebar-debar dan

cemas namun aku pasrah dengan sebarang kemungkinan. Aku melangkah tabah memasuki

bilik guru dan segera duduk di meja ku. Kebetulan hari itu jadual mengajar ku menunjukkan

aku tidak perlu masuk ke kelas Peralihan 1. “Fuhhh, lega”, bisik hatiku. Masa terus berlalu.

Tiada apa yang berlaku. Semuanya aman dan persekolahan berjalan seperti biasa. Kelibat

pasangan suami isteri yang datang menyerang seperti gambaran ku semalam tidak kelihatan.

Hari tersebut berlalu dengan tenang. “Syukur,” ucap ku dalam hati. Nampaknya aku diberi

peluang kedua untuk belajar daripada kesilapan. Aku berazam untuk menjadi seorang guru

yang penyabar, menjaga tingkah laku dan bersikap rasional dengan pelajar selepas ini.

Kemarahan tidak dapat menyelesaikan masalah sebaliknya aku harus memikirkan cara lain

yang lebih lembut, rasional dan penuh kasih sayang.

Hari berikutnya aku memasuki kelas Peralihan 1 dan melangkah gagah sebagaimana selalu.

Ku lihat Ari duduk di mejanya. Dia diam di situ, tidak mahu lagi mencari ‘pasal’ dengan ku.

Aku pula seakan mendapat semangat baharu untuk mengajar. Rasa seperti diberi peluang

kedua untuk menjadi guru yang terbaik! Hari itu aku mengajar dengan penuh kasih sayang

dan diselang seli dengan unsur kecindan. Pelajar memberi respon yang sangat baik terhadap

ku. Aku dapati pelajar-pelajar kelas tersebut dahagakan perhatian dan belai manja seorang
guru. Mungkin mereka kurang mendapat perhatian di rumah disebabkan kesibukan ibu bapa

yang rata-ratanya orang susah dan bekerja kampung. Ibu bapa tidak peduli akan persekolahan

anak mereka. Cuma aku yang tidak perasan semua itu selama ini. Daripada pelajar

perempuan, aku dapat tahu ramai yang bekerja pada waktu pagi sebelum ke sekolah pada sesi

petang. Ari? Aku tidak pasti bagaimana keadaan keluarganya namun aku yakin Ari tidak

mengadu kejadian tempoh hari kepada mereka. Mungkin tiada yang peduli.

Patutlah ramai yang kelihatan mengantuk dalam kelas. Sebahagiannya pula mengambil

kesempatan untuk bermain dalam kelas, rupanya pagi mereka bekerja.

“ Jom Dilah, kita pergi kenduri kawan mak. Mak tak ada kawan nak makan kenduri ni. Lepas

makan kenduri, kita pergi ziarah tok wan ye?”, ajak emak ku pada suatu pagi Ahad yang

ceria. Pada mulanya aku agak malas nak menemani emak tapi akhirnya aku setuju

mengenangkan tok wan yang sedang sakit di kampung sebelah. “Baik mak.” ringkas jawab

ku. Tepat pukul 12 tengah hari aku dan emak membonceng motosikal ke rumah kenduri

dengan hati yang gembira.

Kami makan lauk pauk yang lazat-lazat belaka sambil menyaksikan persandingan raja sehari

manakala mak pula sibuk berbual mesra dengan rakan-rakan sekampung. Semuanya berjalan

lancar seperti dirancang. Setelah bersalaman dengan tuan rumah dan pengantin baharu, aku

menghidupkan enjin motosikal dan mak membonceng di belakang menuju ke rumah tok wan.

Rumah tok wan terletak di dalam kampung yang agak jauh ke dalam. Sebenarnya kampung

tok wan terletak dalam kawasan RISDA yang ditanami pokok getah. Perjalanan sejauh 15

km ke dalam itu memang agak sunyi dan menelusuri semak samun serta belukar tebal di kiri

kanan jalan tar. Namun siapa sangka jauh ke dalam terdapat perkampungan manusia! Namun,
aku dan mak sudah biasa berulang alik di jalan ini menziarahi tok wan. Aku dan mak leka

berbual-bual tentang kelazatan juadah kenduri yang telah dinikmati. Sedang aku dan mak

rancak bersembang, tiba-tiba melalui cermin sisi motosikal ku ternampak seorang lelaki

bertubuh tegap sasa keluar dari celah rumpun belukar dengan menunggang motosikal lalu

memecut ke arah kami dari belakang. “Siapakah lelaki itu?” “Mengapa dia menyorok di

dalam semak tepi jalan pada waktu begini?” Otak ku berputar ligat mencari jawapan. Tanpa

sempat berkata-kata, aku dapati lelaki yang menutup mukanya dengan topi keledar itu telah

berada di sebelah. Sepantas kilat lelaki itu menendang motor yang sedang ku tunggang

menyebabkan kami dua beranak terhempas di atas jalan raya berbatu itu. Baju kurung yang

ku pakai koyak dan lutut serta siku ku luka berdarah. Mak juga senasib dengan ku.

Alamak! Peragut! Aduh…sakitnya. Kenapalah tak ada sesiapa pun yang lalu di jalan ni

sekarang? Oh Tuhan! Tolong! Tolong! Tolong!

Dalam keadaan terkial-kial aku dan mak sedaya upaya cuba bangun namun lelaki tersebut

dengan kejam telah meluru ke arah mak lalu cuba menarik rantai emas yang tersangkut di

lehernya. Dalam keadaan panik, mak telah memegang tangan lelaki tersebut dengan kuat lalu

berlaku pergelutan. Duss! Muka mak ditumbuk kejam. Darah mengalir keluar dari celah bibir

mak yang telah pecah akibat ditumbuk. Mak pengsan akibat tumbukan kuat si

peragut .“Mak!!” aku menjerit sekuat hati lalu memukul belakang peragut itu bertalu-talu

dengan sebatang kayu yang sempat ku sambar di tepi jalan. Lelaki itu berpaling kejam ke

arah ku dengan sebelah tangannya memegang rantai emas emak. Aku terus menjerit meminta

pertolongan di saat peragut tak berhati perut itu berjalan ke arah ku sambil mengeluarkan

pisau lipat dari poketnya. “Tolong! Tolong!”. Aku cuba untuk melarikan diri tetapi kedua-dua
belah kaki ku menjadi kaku akibat terlalu ketakutan. Terdetik dalam hati mungkin riwayat

hidup ku akan berakhir pada hari itu.

Di saat nyawa ku berada di hujung tanduk tiba-tiba kedengaran sayup-sayup dari jauh bunyi

traktor yang sedang bergerak ke arah tempat kami. “Tolong! Tolong!”, aku terus menjerit

meminta pertolongan. Peragut bengis itu terus terkejut apabila mendapati ada sebuah traktor

dinaiki dua orang pemuda sedang menghampiri kami. “Hei! Apa yang kamu buat tu?”, jerkah

pemandu traktor dengan lantang. Tanpa berlengah peragut itu terus memecut motosikalnya ke

arah jalan besar, menghilang entah ke mana. Aku terus menangis teresak-esak penuh

kesyukuran kerana selamat pada hari itu. “Cikgu tak apa-apa? Suara itu amat biasa ku dengar.

Aku terus mendongak. “Ari?” Aku terus menjabat tangan dan memeluk tubuh kerdil Ari

sambil mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Air mata gembira ku masih belum

mahu berhenti. “Terima kasih banyak Ari, kalau Ari tak datang tadi, tak tahulah apa yang

akan berlaku pada cikgu dan mak cikgu. Ari buat apa di sini?”, soal ku. “Saya bekerja di

ladang getah dengan abang saya cikgu. Kami baru balik dari membajak dan membersihkan

ladang. Itu abang saya”, ujar Ari sambil menuding jari ke arah pemuda lingkungan awal 30-

an di atas traktor. “Cikgu terhutang budi pada awak, Ari”. “Maafkan cikgu kerana selalu

marah pada Ari selama ini”. “Tak pa cikgu saya tak pernah simpan dalam hati. Lagipun saya

yang nakal”, ujar Ari sambil tersenyum.

Aku dan mak dihantar ke klinik untuk mendapatkan rawatan oleh kereta polis yang tiba di

tempat kejadian sebaik sahaja dihubungi. Mulut mak yang terbelah terpaksa dijahit. Kesian

sungguh aku melihat emak. Aku pula hanya mengalami luka-luka kecil di bahagian siku,

lutut dan telapak tangan akibat terjatuh ke atas batu jalan. Nyaris lah semuanya sudah

berakhir dan kami selamat. Kami kemudiannya membuat laporan polis.


Terdetik rasa penyesalan dalam hatiku. Rupa-rupanya budak nakal ini sebenarnya berbudi

pekerti luhur. Patutlah Ari suka bermain dan membuat kacau di dalam kelas sewaktu aku

mengajar. Rupa-rupanya pada usia semuda itu dia perlu bekerja dan memikul tanggung jawab

sebagaimana orang dewasa. Ari tidak berpeluang dan tidak mempunyai masa untuk bermain

riang di padang sebagaimana rakan lain yang sebaya dengannya. Sebagai guru aku sepatutnya

cuba mengenali dan mengetahui latar belakang semua pelajar ku. Bukan itu sahaja, aku

sepatutnya mendengar luahan, memahami masalah mereka dan membantu apa yang boleh.

Kini aku amat memahami bahawa seorang guru itu perlu berhati mulia, sentiasa sabar, mudah

mesra, prihatin dan menyayangi pelajar mereka.

“Oh Tuhan, kenapalah aku tidak menyedarinya selama ini?. Mengapakah aku tidak cuba

memahaminya selama ini? Mengapakan aku terlalu ego dan mengetepikan nilai keinsanan

dan kasih sayang? Aku malu dengan diri aku sendiri. Oh….”.

Sejak hari itu, Ari menjadi murid kesayangan yang paling rapat denganku. Ari juga berubah

menjadi murid yang baik dan manja denganku. Aku sentiasa menjaga kebajikan Ari. Malah

aku juga telah berjumpa keluarga Ari bagi mengucapkan terima kasih. Baru ku tahu

kehidupan Ari yang sebenar selama ini. Ayah Ari terlantar sakit dan tidak mampu bekerja.

Mak Ari yang hanya bekerja sebagai cleaner di sebuah sekolah berhampiran tidak mampu

untuk menyara kehidupan mereka 7 beranak. Lantas, Ari dan abang sulungnya yang berusia

19 tahun terpaksa bekerja bagi menyara keluarga. Pulang daripada bekerja separuh hari, Ari

terpaksa pula bergegas ke sekolah dalam keadaan keletihan. Ari tiada masa untuk bermain

seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Aku amat bersimpati dengan nasib Ari. Ari

tidak dapat menikmati keseronokan zaman kanak-kanak seperti rakan-rakannya yang lain.
Dia tidak ada masa untuk bermain seperti mereka. Dia perlu bekerja demi sesuap nasi untuk

ayah, ibu dan adik-adiknya.

“Patutlah Ari begitu nakal selama ini. Dia dahagakan kasih sayang dan perhatian. Dia

terlalu penat dan lelah dengan semua tanggung jawab orang dewasa yang terpaksa dipikul

di bahunya selama ini”.

Hari demi hari, aku semakin rapat dengan Ari. Terasa seperti tanggungjawab aku dalam

menjaga kebajikan Ari. Perbezaan agama dan budaya tidak menghalang kasih sayang antara

aku dan Ari yang telah ku anggap seperti anak sendiri. Sering kali aku tidak lokek membantu

Ari dari segi memberi sokongan, tunjuk ajar malah bantuan kewangan. Aku sedaya-upaya

cuba membantu Arvin bukan sahaja dari segi pelajaran, tetapi juga bantuan kewangan bagi

Ari meneruskan persekolahan. Aku tidak pernah berkira untuk membelikan Ari buku dan alat

tulis serta membayarkan yuran persekolahan. Aku juga sentiasa memberi kata-kata semangat

dan perangsang kepada Ari agar belajar bersungguh-sungguh supaya nasib keluarganya

berubah kepada lebih baik. Walaupun bantuanku tidak seberapa namun sikap penyayang dan

ambil berat yang ku tunjukkan telah mengubah sikap Ari sepenuhnya. Semuanya kulakukan

untuk memastikan Ari mempunyai masa depan yang cerah seperti insan yang lain. Hubungan

kami bukan sahaja sebagai guru dan pelajar, tetapi ibarat ibu dan anak walaupun berlainan

bangsa dan agama.

Biarpun pencapaian akademik Ari tidak seberapa namun kudapati Ari amat berminat dan

mempunyai kemahiran mekanikal yang sangat baik. Menyedari minat dan bakat Ari selama

ini, aku telah membantu Ari sehingga berjaya melanjutkan pelajarannya di sebuah politeknik

dalam jurusan kejuruteraan mekanikal iaitu khusus dalam bidang automatif. Seperti yang

dijangka, Ari telah menunjukkan prestasi yang sangat membanggakan. Aku sering
menasihatkan Ari agar menuntut ilmu bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga.

Akhirnya, segala usaha yang dicurahkan telah membuahkan hasil apabila Ari berjaya

menamatkan pengajian diploma beliau. Aku dan seluruh isi keluarga Ari berasa sangat

bangga atas kejayaan Ari. Aku begitu terharu apabila Ari menjemputku menghadiri majlis

konvokesyen yang diadakan untuk berkongsi kejayaan itu bersamanya. “Saya takkan dapat

membalas jasa cikgu kerana menyayangi saya seperti anak sendiri,” ucap Ari padaku.

Kini, aku masih lagi mengenang memori indah itu meskipun ia sudah 22 tahun berlalu.

Namun setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hingga kini aku masih berhubung dengan Ari

dan sentiasa memberi semangat kepadanya dalam mengharungi kehidupan. Dan yang paling

membanggakan -Ari kini telah dikenali sebagai mekanik berjaya di pekan yang terletak kira-

kira 4 km dari kampung halamanku dan memiliki perniagaannya sendiri. Ari yang kini sudah

berkeluarga tetap melawatku; guru kesayangannya setiap kali ada peluang.

“Aku bangga menjadi seorang guru!”.

Anda mungkin juga menyukai