Anda di halaman 1dari 16

INDEKS DAN PROFIL KECERDASAN EMOSI PELAJAR SEKOLAH MENENGAH 187

Jurnal Teknologi, 48(E) Jun 2008: 187–202


© Universiti Teknologi Malaysia

INDEKS DAN PROFIL KECERDASAN EMOSI PELAJAR


SEKOLAH MENENGAH

SAEMAH RAHMAN1, NORIAH MOHD. ISHAK2, ZURIA MAHMUD3 &


RUSLIN AMIR4

Abstrak. Kajian empirikal ke atas kecerdasan emosi telah menunjukkan bahawa wujudnya
perkaitan yang rapat antara kecerdasan emosi dengan tingkah laku pelajar. Pada masa yang sama,
laporan mengenai beberapa kejadian yang berkaitan dengan cetusan emosi dalam kalangan pelajar
di negara kita menimbulkan persoalan tentang tahap kecerdasan emosi mereka. Kajian ini bertujuan
mengenal pasti indeks kecerdasan emosi dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan
menghuraikan profil kecerdasan emosi mereka. Sampel kajian ini terdiri daripada 513 orang pelajar
tingkatan dua dan empat di empat buah sekolah di negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Inventori
Kecerdasan Emosi Malaysia – Remaja (IKEM-R) ditadbir untuk mengukur kecerdasan emosi
responden. Indeks kecerdasan emosi diukur berdasarkan tujuh domain kecerdasan emosi bermula
dari 0 – 100 bagi menggambarkan kedudukan kecerdasan emosi mereka. Hasil kajian mendapati
bahawa indeks kecerdasan emosi pelajar-pelajar yang dikaji ialah 76.02, iaitu berada di bahagian
bawah kuartil keempat. Profil kecerdasan emosi bagi keseluruhan sampel mendapati terdapat tiga
domain yang memperoleh skor kurang dari 75 peratus, iaitu domain-domain regulasi kendiri,
kemahiran sosial dan kesedaran kendiri. Justeru, ketiga-tiga domain ini perlu diberi perhatian
untuk meningkatkan kecerdasan emosi mereka secara keseluruhan. Kertas ini juga melaporkan
profil kecerdasan emosi mengikut tingkatan, jantina dan lokasi sekolah.

Kata kunci: Kecerdasan emosi; perkembangan emosi; remaja

Abstrak. Empirical research on emotional intelligence has uncovered the relationship between
emotional intelligence and students’ behavior. Concomitantly, reports in the media regarding
events that are related to emotional outburst among the students raised an issue about students’
level of emotional intelligent. This study aims to identify emotional intelligence quotient among
secondary school students. Additionally, this study also aims to describe their emotional intelligence
profile. Sample of the study consisted of 513 form two and form four students from four schools in
Selangor and Negeri Sembilan. Malaysian Emotional Quotient Inventory for adolescene
(MEQI-A) was administered to determine the emotional quotient of the respondent. The EQ
index was calculated based on the seven domains and ranging from 0 – 100 to describe individual’s
emotional intelligence. Results of the study showed emotional intelligence index of the respondents
at 76.02 that is in the lower part of the fourth quartile. The emotional intelligence profile for the
whole sampel showed respondents scored less than 75 percent in three domains namely the domain
of self- regulation, social skills and self awareness. Thus, these domains should be addressed
accordingly in order to increase students’ emotional intelligence as a whole. This paper also reported
the profile of emotional intelligence according to form, gender and school location.

Keywords: Emotional intelligence; emotional development; adolescence

1,2,3&4
Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor. Email: saemah@ukm.my
188 SAEMAH RAHMAN, NORIAH MOHD. ISHAK, ZURIA MAHMUD & RUSLIN AMIR

1.0 PENGENALAN
Aspek emosi merupakan salah satu potensi individu yang ingin dikembangkan dalam
sistem pendidikan di Malaysia seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan
Negara (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008). Emosi adalah reaksi yang
ditunjukkan dalam jangka masa yang pendek hasil daripada interaksi individu
terhadap rangsangan yang tertentu (Seung Lee Do dan Schallert, 2004). Secara umum
dapat dikatakan bahawa emosi memainkan peranan yang aktif dalam mempengaruhi
tingkah laku dan tindakan individu. Dalam mendefinisi emosi, Ediger (1997)
menekankan bahawa emosi merupakan aspek yang penting dalam kesejahteraan
individu dan kejayaan mereka dalam kehidupan.
Kepentingan emosi dalam perkembangan individu mendapat perhatian serius
bukan sahaja dalam bidang pendidikan tetapi juga dalam persekitaran (setting)
organisasi. Goleman (1998) mendakwa bahawa kecerdasan emosi mempunyai
pengaruh yang sama penting atau lebih penting terhadap kejayaan individu dalam
kehidupan jika dibandingkan dengan kecerdasan intelek. Beliau percaya bahawa
kecerdasan emosi boleh menyumbang kepada beberapa aspek kehidupan seperti
peningkatan pembelajaran, penurunan tingkah laku agresi, pembuatan keputusan
yang lebih baik dan lain-lain ciri yang membantu kejayaan dalam kehidupan. Teori-
teori kecerdasan emosi mengandaikan bahawa individu yang mempunyai kecerdasan
emosi yang tinggi akan lebih berjaya dalam bidang yang diceburinya (Goleman,
1995; Salovey dan Mayer, 1990). Kajian Noriah Mohd. Ishak, Siti Rahayah Ariffin,
Zuria Mahmud, Saemah Rahman dan Manisah Mohd. Ali (2001) pula telah
membuktikan bahawa remaja yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi dapat
menyelesaikan sesuatu tugasan dengan lebih baik. Untuk membentuk kecerdasan
emosi yang baik dalam kalangan remaja, sistem persekolahan boleh mengajar
kemahiran-kemahiran yang berkaitan sejak dari sekolah rendah. Menurut Lickona
(1993), kecerdasan emosi boleh diajar dalam suasana budaya sekolah yang positif.
Justeru, kanak-kanak diberi peluang melalui aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah
untuk mempraktikkan setiap ciri kecerdasan emosi melalui aktiviti kemasyarakatan,
membuat keputusan, proses pembelajaran secara koperatif dan perkongsian pintar
antara sekolah dan ibu bapa. Kecerdasan emosi juga boleh ditingkatkan melalui
aktiviti berasaskan akademik seperti pembacaan dan perbincangan.
Kajian lepas seperti Trinidad dan Johnson tentang kecerdasan emosi menunjukkan
wujud perkaitan yang rapat antara kecerdasan emosi dengan tingkah laku pelajar.
Kajian oleh Trinidad dan Johnson (2002) ke atas pelajar sekolah menengah telah
mendapati bahawa skor kecerdasan emosi yang tinggi dikaitkan dengan kadar
penggunaan alkohol dan merokok yang rendah. Kajian yang telah dijalankan oleh
Noriah et al. (2001) ke atas 62 orang remaja telah membuktikan bahawa mereka
yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi lebih dapat menunjukkan tingkah
laku memberi tumpuan dalam menyelesaikan sesuatu tugasan yang diberi. Mereka
yang mempunyai kecerdasan yang rendah pula kerap menunjukkan tingkah laku
INDEKS DAN PROFIL KECERDASAN EMOSI PELAJAR SEKOLAH MENENGAH 189

bimbang dan perasaan tidak selesa apabila melaksanakan tugasan yang diberi. Kajian
Mayer (2001) ke atas remaja pintar cerdas turut mencadangkan bahawa kecerdasan
emosi mempunyai hubungan dengan keupayaan mengendalikan emosi dalam
hubungan dengan rakan sebaya. Dapatan kajian beliau seterusnya menunjukkan
bahawa remaja sekolah yang mempunyai emosi stabil turut mempunyai hubungan
sosial yang mantap. Pada masa yang sama remaja ini mempunyai pendirian yang
tersendiri dan tidak mudah terikut dengan gaya rakan sebaya serta tidak mudah
mengalah apabila menerima tekanan dari rakan-rakan sebaya.
Secara umumnya, dapatan kajian lepas mengenai kecerdasan emosi dan remaja
telah berjaya mendokumentasikan kewujudan hubungan antara kecerdasan emosi
dengan tingkah laku pelajar (Noriah Mohd. Ishak et al., 2001; Trinidad dan Johnson,
2002; dan Mayer, 2001). Di Malaysia, kes kematian pelajar tingkatan empat yang
dipercayai dibelasah teruk oleh pelajar senior pada 28 Mac 2004 dan kes seorang
pelajar yang maut akibat dipukul oleh sekumpulan pelajar pada 31 Oktober 2003
(Utusan Malaysia, 7 April 2004) turut mendedahkan tentang fenomena cetusan emosi
dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin meningkat. Laporan daripada akhbar-
akhbar menunjukkan bahawa peristiwa cetusan emosi pelajar sekolah menengah lebih
cenderung ke arah negatif (Utusan Malaysia, 7 April 2004; Berita Harian, 24 Ogos,
2004; Berita Harian 13 Jun 2005). Melalui laporan-laporan tersebut, dapat disimpulkan
bahawa gejala agresif seperti buli, merogol, keganasan dan pembunuhan bukan hanya
berlaku dalam kalangan individu dewasa, malah turut berlaku dalam kalangan pelajar
sekolah. Walaupun di peringkat awal ianya kelihatan seperti kes-kes terpencil, namun
kekerapan kejadian yang semakin meningkat tidak membolehkan masyarakat atau
pihak yang bertanggungjawab menidakkan keseriusan masalah tersebut. Kejadian yang
berlaku dalam kalangan pelajar hari ini menimbulkan beberapa persoalan tentang
tahap kecerdasan emosi mereka. Apakah angka tunjuk yang dapat membantu kita
memahami sejauh mana pelajar sekolah menengah dapat menangani emosi mereka?
Setakat ini belum ada satu angka tunjuk atau indeks yang dapat dijadikan asas dalam
mengukur tahap kecerdasan emosi pelajar di negara kita.
Sehubungan itu, satu kajian untuk mengenal pasti indeks dan profil kecerdasan
emosi pelajar sekolah dirasakan perlu untuk memahami tahap kecerdasan emosi
mereka sebelum sebarang program intervensi/pencegahan dapat dilaksanakan melalui
sistem pendidikan atau saluran masyarakat. Dalam menentukan indeks dan profil
kecerdasan emosi berdasarkan pemboleh ubah demografi seperti jantina, umur dan
lokasi sekolah juga diteliti dalam memberi gambaran menyeluruh tentang kecerdasan
emosi dalam kalangan pelajar. Maklumat ini secara tidak langsung dapat membantu
pihak berkepentingan seperti Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat,
Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menentukan
tahap kecerdasan emosi remaja serta membina pangkalan data yang berguna bagi
merancang program intervensi pencegahan/pencegahan yang sesuai. Kajian ini
bertujuan untuk mengenal pasti indeks dan profil kecerdasan emosi dalam kalangan
190 SAEMAH RAHMAN, NORIAH MOHD. ISHAK, ZURIA MAHMUD & RUSLIN AMIR

remaja yang bersekolah untuk mendapat gambaran tentang tahap kecerdasan emosi
mereka.

2.0 DEFINISI KONSEP

2.1 Kecerdasan Emosi


Salovey dan Mayer (1990, 1993) mendefinisikan kecerdasan emosi sebagai kebolehan
memantau dan mengawal emosi sendiri dan orang lain serta menggunakannya untuk
memandu pemikiran dan tindakan mereka. Definisi mereka meliputi beberapa
kebolehan (ability) yang disusun dalam empat cabang, iaitu cabang yang terendah
mengandungi asas proses psikologikal (seperti persepsi, penilaian (appraisal) dan
ekspresi emosi) manakala cabang yang lebih tinggi melibatkan keupayaan yang lebih
kompleks seperti memahami emosi dan regulasi emosi. Seterusnya, mereka
berpendapat orang yang memiliki kecerdasan emosi mempunyai kemahiran dalam
empat bidang, iaitu mengenal pasti emosi, menggunakan emosi, memahami emosi
dan mengawal emosi.
Bar-On (2005) pula menggunakan istilah `emotional-social intelligence’ dalam
membincangkan tentang kecerdasan emosi. Beliau mendefinisikan kecerdasan emosi
sebagai:

“… a cross-section of interrelated emotional and social competencies, skills and


facilitators that determine how effectively we understand and express ourselves,
understand others and relates with them, and cope with daily demands.”

Definisi beliau tentang kecerdasan emosi berkait dengan kebolehan kita menangani
emosi orang lain dan menangani perasaan sendiri. Seterusnya, beliau mencadangkan
lima komponen kecerdasan emosi, iaitu intrapersonal, interpersonal, adaptabiliti,
pengurusan tekanan dan mood secara umum.
Goleman (1995) pula melihat kecerdasan emosi sebagai: “a master aptitude, a
capacity that profoundly affects all other abilities, either facilitating or interfering with
them,” (m.s 80). Kenyataan tersebut menggambarkan kepercayaan beliau bahawa
kecerdasan emosi sangat penting dalam kejayaan hidup seseorang. Beliau
membahagikan kecerdasan emosi kepada lima komponen, iaitu: (i) kesedaran kendiri,
(ii) regulasi kendiri, (iii) motivasi kendiri, (iv)Empati dan (v) kemahiran sosial.
Berdasarkan definisi di atas, dapat disimpulkan bahawa model Goleman dan Bar-
on adalah hasil gugusan kecekapan beberapa ciri-ciri sosial, motivasi dan personaliti.
Manakala Model Mayor dan Salovey pula mentafsirkan kecerdasan emosi sebagai
keupayaan mental dan tidak berkait ciri-ciri sosial dan personaliti individu. Dalam
konteks ini, pengkaji berpendapat bahawa lebih sesuai melihat kecerdasan emosi
sebagai satu gugusan kecekapan atau kemahiran afektif yang menentukan bagaimana
individu mengurus perasaan diri sendiri dan perasaan orang lain. Justeru kajian ini
INDEKS DAN PROFIL KECERDASAN EMOSI PELAJAR SEKOLAH MENENGAH 191

cuba untuk mengadaptasi model kecerdasan emosi yang dikemukakan oleh Goleman
serta menambah dua lagi faktor dicadangkan oleh Noriah et al. (2004), iaitu domain
kerohanian dan kematangan daripada kajian yang dijalankan ke atas orang dewasa di
Malaysia. Komponen ini tidak dinyatakan oleh ahli teori kecerdasan emosi dari negara
Barat. Penambahan dua domain ini dijalankan untuk meneruskan usaha pemahaman
konsep kecerdasan emosi dalam konteks tempatan dan untuk melihat sama ada domain
tersebut wujud atau dapat dikesan di kalangan remaja pula. Kesimpulannya, kajian ini
mengukur tujuh domain kecerdasan emosi, iaitu: (i) kesedaran kendiri, (ii) regulasi
kendiri, (iii) motivasi kendiri, (iv) Empati, (v) kemahiran sosial, (vi) kematangan dan
(vii) kerohanian.

2.2 Indeks Kecerdasan Emosi


Indeks didefinisikan sebagai satu angka tunjuk (Kamus Dewan, 1994). Menurut Joseph
(2006) indeks ditakrifkan “a numerical scale used to compare variables with one another
or with some reference number. It is a number or ratio (a value on a scale of measurement)
derived from a series of observed fact and it can reveal relative changes as a function of
time,” (m.s. 343). Etchechury (1979) pula menyatakan kecerdasan emosi sebagai
“index provides a yardstick that is helpful to measure and to quantify a problem. It is a
numerical measure of the way a variable has changed over some base period.” Seterusnya,
Joseph (2006) mencadangkan empat langkah utama membina indeks dalam
kecerdasan emosi, iaitu:

(1) Keputusan perlu diambil untuk menentukan apakah pemboleh ubah yang sesuai
yang perlu dimasukkan ke dalam indeks tersebut.
(2) Pengukuran yang dilakukan secara kuantitatif dalam bentuk numerik dicari untuk
membina indeks tersebut.
(3) Pengukuran numerik tersebut perlu melalui proses normalisasi, untuk
memastikan semua pemboleh ubah diukur dalam unit yang sama.
(4) Pengiraan purata atau pemberat purata yang telah dinormalisasikan dikira.

Dalam kajian ini, indeks kecerdasan emosi merupakan satu angka tunjuk indikator
bagi menentukan kebolehan seseorang mengurus diri dan orang lain serta menjana
nilai diri yang boleh membantu memantapkan jati diri dan mengembangkan proses
pembelajaran sepanjang hayat. Indeks secara keseluruhannya menggambarkan
kedudukan seseorang dalam kebolehan mengawal emosi untuk meningkatkan prestasi
diri. Indeks kecerdasan emosi yang diguna pakai dalam kajian ini mengukur tujuh
domains yang diuji menggunakan alat ujian Instrumen Kecerdasan Emosi Malaysia-
versi Remaja (IKEM-R). Pemberat purata yang telah dikira digunakan untuk
menentukan indeks kecerdasan emosi pelajar yang dikaji.
192 SAEMAH RAHMAN, NORIAH MOHD. ISHAK, ZURIA MAHMUD & RUSLIN AMIR

3.0 TUJUAN KAJIAN


Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran tentang kecerdasan emosi dalam
kalangan pelajar sekolah menengah. Secara khusus, objektif kajian ialah untuk mengenal
pasti indeks kecerdasan emosi dan menghuraikan profil kecerdasan emosi mereka.

4.0 METODOLOGI KAJIAN


Kajian ini merupakan satu kajian penerokaan ke atas isu kecerdasan emosi dalam
kalangan pelajar. Reka bentuk tinjauan keratan rentas menggunakan soal selidik laporan
kendiri telah digunakan untuk mengumpulkan data.

4.1 Populasi dan Sampel Kajian


Populasi kajian terdiri daripada pelajar tingkatan dua dan empat dalam sistem
pendidikan di Malaysia. Sampel dipilih menggunakan kaedah persampelan rawak
berstrata berdasarkan jantina, lokasi dan jenis sekolah. Sekolah-sekolah yang terlibat
dalam kajian terdiri daripada empat buah sekolah, iaitu sebuah sekolah harian di bandar
dan sebuah sekolah harian di luar bandar negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Kategori
bandar dan luar bandar adalah berdasarkan pengkategorian yang telah ditentukan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bilangan sampel yang dipilih juga adalah
seimbang mengikut jantina, tingkatan dan lokasi sekolah. Borang soal selidik diedarkan
kepada seramai 560 pelajar dan sebanyak 513 borang soal selidik berjaya dikutip
kembali (kadar pulangan 91%). Jadual 1 menunjukkan taburan sampel mengikut jantina,
tingkatan dan lokasi.

Jadual 1 Taburan responden mengikut jantina, tingkatan dan lokasi sekolah

Ting 2 Ting 4 Jumlah


Lokasi bandar 115 118 233
luar bandar 140 140 280
jumlah 255 258 513
Jantina lelaki 129 127 256
perempuan 126 131 257
jumlah 255 258 513

4.2 Instrumen Kajian


Kajian ini menggunakan instrumen Inventori Kecerdasan Emosi Malaysia - Remaja
(IKEM-R). Pembinaan instrumen dijalankan berdasarkan beberapa sumber, iaitu:
(1) hasil tinjauan literatur, (2) adaptasi daripada Inventori Kecerdasan Emosi Malaysia
– Dewasa (IKEM-D) (Noriah Mohd Ishak, et al., 2004) dan (3) input daripada data
INDEKS DAN PROFIL KECERDASAN EMOSI PELAJAR SEKOLAH MENENGAH 193

temu bual yang dijalankan ke atas remaja bersekolah untuk mengenal pasti faktor-
faktor kecerdasan emosi dalam kalangan remaja tempatan. Item-item yang dibina
disesuaikan supaya mudah difahami oleh pelajar sekolah menengah.
Instrumen IKEM-D digunakan untuk mengukur ketujuh-tujuh dimensi kecerdasan
emosi responden. Instrumen tersebut disahkan terlebih dahulu sebelum digunakan
dalam kajian ini. Secara ringkas instrumen ini mengandungi 165 item yang terdiri
daripada pernyataan-pernyataan yang menggambarkan pemboleh ubah yang diukur.
Responden dikehendaki memberi maklum balas berdasarkan skala lima mata, iaitu
(1) Sangat setuju, (2) Setuju, (3) Tidak pasti, (4) Tidak setuju dan (5) Sangat tidak
setuju. Skor individu akan menghasilkan jumlah skor kecerdasan emosi dan tujuh
sub-skala komponen/domain kecerdasan emosi. Berikut dijelaskan secara ringkas
setiap domain kecerdasan emosi yang diukur dalam kajian ini. Beberapa contoh item
yang digunakan bagi mengukur setiap domain kecerdasan emosi juga ditunjukkan.

(i) Kesedaran kendiri – merujuk kepada sejauh mana individu menyedari dan
mengetahui perasaan sendiri dalam sesuatu keadaan serta dapat memilih
keutamaan dalam mengambil tindakan atau membuat keputusan. Contoh-
contoh item untuk mengukur pemboleh ubah ini ialah:
“Saya sedar mengapa saya menjadi marah.”
“Saya boleh mengawal rasa gementar saya ketika bercakap di khalayak
ramai.”
(ii) Regulasi kendiri – merujuk kepada sejauhmana individu berupaya
menguruskan emosi dalam melaksanakan kerja supaya lebih mudah dan
tidak menganggu tugasan tersebut. Contoh item:
“Saya boleh tenangkan diri dengan cepat.”
“Saya boleh menyesuaikan diri dengan mudah dalam pelbagai situasi.”
(iii) Motivasi kendiri – keupayaan menggunakan kemahuan diri sebagai
penggerak untuk mencapai sesuatu tujuan. Contoh item:
“Saya sentiasa bersemangat ketika belajar.”
“Saya sentiasa merebut peluang-peluang yang ada untuk membaiki prestasi.”
(iv) Empati – kebolehan menyedari dan mengenal pasti perasaan seseorang,
memahami sesuatu perkara menurut persepsi orang lain serta boleh
memupuk kemesraan dan kesesuaian dengan individu lain. Contoh item :
“Saya dapat merasakan kesedihan orang lain.”
“Saya sedar apabila orang lain tidak puas hati dengan saya.”
(v) Kemahiran sosial – keupayaan mentafsir dengan tepat keadaan sosial dan
jaringannya dan dapat mengurus pelbagai emosi yang tercetus secara
berkesan dalam pergaulannya. Contoh item:
“Saya mudah membina hubungan mesra dengan sesiapa sahaja.”
“Saya sentiasa memberi sokongan kepada orang lain.”
194 SAEMAH RAHMAN, NORIAH MOHD. ISHAK, ZURIA MAHMUD & RUSLIN AMIR

(vi) Kematangan – kemahiran individu menyelesaikan masalah atau membuat


keputusan yang tepat. Contoh item:
“Pengalaman mengajar saya untuk menjadi lebih matang dalam membuat
keputusan.”
“Pengetahuan yang saya perolehi boleh meningkatkan kematangan fikiran.”
(vii) Kerohanian – sejauh mana individu itu redha dengan ketentuan Tuhan,
sentiasa mengingati-Nya dalam bekerja, bermuhasabah diri dan mematuhi
peraturan agama. Contoh item:
“Memohon doa membantu saya menenangkan perasaan saya.”
“Saya yakin bahawa setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan juga.”

4.3 Kebolehpercayaan Instrumen


Kebolehpercayaan instrumen yang digunakan dalam kajian ini ditentukan
menggunakan nilai Cronbach Alfa, iaitu nilai kebolehpercayaan yang menggambarkan
indeks ketekalan setiap item (Jadual 2). Jadual 2 menunjukkan nilai Cronbach Alpha
bagi setiap domain dan keseluruhan instrumen. Secara keseluruhan nilai
kebolehpercayaan yang diperolehi untuk item soal selidik ini yang membuktikan adalah
antara 0.82 hingga 0.98 bahawa item yang terdapat dalam instrumen ini dapat dikatakan
tekal dan konsisten.

Jadual 2 Nilai Cronbach Alfa IKEM-R

Domain Kecerdasan Emosi Bil Item Nilai Cronbach Alpha


Kesedaran kendiri 27 0.82
Regulasi kendiri 29 0.89
Motivasi kendiri 19 0.94
Empati 34 0.95
Kemahiran sosial 38 0.96
Kerohanian 6 0.93
Kematangan 12 0.88
Keseluruhan 165 0.98

4.4 Analisis Data


Fokus utama kajian ini ialah untuk menentukan indeks kecerdasan emosi dan profil
kecerdasan emosi dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Indeks kecerdasan
emosi dalam kajian ini ditentukan setelah melalui beberapa proses seperti yang
disarankan oleh Joseph (2006) dan Etchechury (1979), iaitu proses pengiraan dengan
mencari purata peratus bagi tujuh domain kecerdasan emosi yang diukur dengan
membahagikan nilai yang diperolehi oleh setiap individu dengan nilai maksimum yang
boleh diperolehi bagi setiap domain. Berdasarkan nilai peratus dari ketujuh-tujuh domain
INDEKS DAN PROFIL KECERDASAN EMOSI PELAJAR SEKOLAH MENENGAH 195

seterusnya dicari min puratanya dalam peratus. Normalisasi disini melibatkan proses
menentukan bahawa setiap domain yang diukur dikira dalam unit peratus agar sama
unit numeriknya. Hasil pengiraan menghasilkan angka tunjuk antara 0 – 100. Profil
kecerdasan emosi pula ditentukan dengan mengenal pasti skor keseluruhan dalam
setiap domain kecerdasan emosi yang diukur. Analisis statistik deskriptif skor-skor
tersebut mengikut tingkatan, jantina dan lokasi sekolah juga ditunjukkan melalui jadual.

5.0 DAPATAN KAJIAN

5.1 Indeks Kecerdasan Emosi


Indeks kecerdasan emosi dalam kajian ini dikira secara kuantitatif untuk memberi
gambaran tentang tahap kecerdasan emosi responden yang dikaji. Jadual 3
menunjukkan tentang indeks kecerdasan emosi responden ialah 76.02. Jika
dibandingkan dengan nilai kuartil, kedudukan nilai 76.02 adalah berada di kuartil
keempat iaitu melepasi paras 75% (bagi nilai kuartil bermula dari 0 hingga 100%).
Namun begitu, walau pun nilai ini melebihi aras 75% tetapi nilai 76.02 menunjukkan
ia berada di bahagian bawah kuartil keempat tersebut.

Jadual 3 Min peratus bagi setiap domain

Domain Peratus
Kesedaran Kendiri 72.82
Regulasi Kendiri 72.27
Motivasi Kendiri 77.07
Empati 75.20
Kemahiran Sosial 72.75
Kerohanian 80.42
Kematangan 81.60
INDEKS KECERDASAN EMOSI = Min Peratus Semua Domain 76.02

5.2 Profil Kecerdasan Emosi


Jadual 4 menunjukkan min peratus, sisihan lazim, nilai maksima dan nilai minima
bagi setiap domain kecerdasan emosi. Nilai peratus skor min yang tertinggi adalah
pada domain kematangan (min peratus = 81.60), dan yang kedua tertinggi ialah domain
kerohanian (min peratus = 80.42). Terdapat tiga domain yang mendapat skor kurang
daripada 75%, iaitu domain regulasi kendiri (min peratus = 72.27), domain kemahiran
sosial (min peratus = 72.75) dan domain kesedaran kendiri (min peratus 72.82). Skor-
skor min peratus bagi setiap domain kecerdasan emosi juga ditunjukkan dalam bentuk
graf dalam Rajah 1.
196 SAEMAH RAHMAN, NORIAH MOHD. ISHAK, ZURIA MAHMUD & RUSLIN AMIR

Jadual 4 Min, sisihan lazim, skor minimum dan skor maksimum setiap domain kecerdasan emosi

Domain kecerdasan emosi Min SL Skor minimum Skor maksimum


Kesedaran Kendiri 72.82 8.62 35.50 97.50
Regulasi kendiri 72.27 9.69 28.30 98.50
Motivasi kendiri 77.07 11.87 22.80 100.00
Empati 75.20 11.07 25.05 100.00
Kemahiran sosial 72.75 10.24 24.08 100.00
Keohanian 80.42 13.36 26.67 100.00
Kematangan 81.60 14.06 21.67 100.00

Kematangan 81.6

Kesedaran Kerohanian 80.42

72.75
Kemahiran Sosial
75.2
Empati

Motivasi Kendiri 77.07

Regulasi Kendiri 72.27

Kesedaran Kendiri 72.82

50 60 70 80 90

Rajah 1 Min peratus domain kecerdasan emosi keseluruhan sampel

5.2.1 Profil Kecerdasan Emosi Pelajar Mengikut Tingkatan


Jadual 5 menunjukkan skor min dan sisihan piawai bagi ketujuh-tujuh domain
kecerdasan emosi bagi pelajar tingkatan dua dan pelajar tingkatan empat. Jadual tersebut
menunjukkan bahawa bagi kumpulan pelajar tingkatan dua, skor min tertinggi ialah
bagi domain kerohanian manakala bagi pelajar tingkatan empat skor min tertinggi
ialah bagi domain kematangan. Bagaimanapun, kedua-dua kumpulan pelajar
menunjukkan skor min terendah bagi domain regulasi kendiri. Rajah 2 pula
menunjukkan perbandingan skor min domain-domain kecerdasan emosi antara pelajar
tingkatan dua dan tingkatan empat. Dilihat dari segi perbandingan antara kedua-dua
kumpulan pelajar tersebut, keputusan kajian menunjukkan bahawa skor min pelajar
tingkatan empat mengatasi skor min pelajar tingkatan dua bagi semua domain
kecerdasan emosi kecuali bagi domain kerohanian. Keputusan analisis MANOVA
pula mendapati terdapat perbezaan yang signifikan dalam gabungan domain-domain
kecerdasan emosi tersebut antara pelajar tingkatan dua dengan pelajar tingkatan empat
INDEKS DAN PROFIL KECERDASAN EMOSI PELAJAR SEKOLAH MENENGAH 197

Jadual 5 Min peratus domain kecerdasan emosi pelajar tingkatan dua dan empat

Domain Tingkatan dua (N=255) Tingkatan empat (N=258)


kecerdasan emosi Min SL Min SL
Kesedaran kendiri 72.46 07.66 73.17 09.49
Regulasi kendiri 71.71 08.52 72.82 10.72
Motivasi kendiri 76.70 10.83 77.43 12.83
Empati 73.92 09.88 76.47 12.01
Kemahiran sosial 71.95 09.59 73.54 10.80
Kematangan 79.25 12.34 81.56 14.23
Kerohanian 81.69 13.20 81.51 14.88

84
82
80
78
76 Ting dua
74 Ting empat
72
70
68
66
iri ir i ir i ti a l n an
nd nd nd pa si ga ni
ke k e k e E m so an h a
n si si n at ro
ra la va ira e m Ke
d a
eg
u
o ti ah K
se R M m
Ke Ke

Rajah 2 Perbandingan min peratus domain kecerdasan emosi antara pelajar tingkatan dua dan
empat

F(7,505) = 2.621, p = .011; Wilk lambda = .965. Pemeriksaan lanjut ke atas domain-
domain tersebut secara berasingan mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang
signifikan berdasarkan aras alfa Bonferoni (0.05/7 = 0.007) bagi kesemua domain
kecerdasan emosi tersebut.

5.2.2 Profil Kecerdasan Emosi Mengikut Jantina


Jadual 6 menunjukkan skor min dan sisihan piawai bagi ketujuh-tujuh domain
kecerdasan emosi mengikut jantina. Jadual tersebut menunjukkan bahawa bagi kedua-
dua kumpulan, skor min tertinggi ialah bagi domain kerohanian manakala skor min
terendah ialah bagi domain regulasi kendiri. Rajah 3 pula menunjukkan analisis
198 SAEMAH RAHMAN, NORIAH MOHD. ISHAK, ZURIA MAHMUD & RUSLIN AMIR

Jadual 6 Min peratus domain kecerdasan emosi pelajar lelaki dan perempuan

Domain Lelaki (N=257) Perempuan (N=256)


kecerdasan emosi Min SL Min SL
Kesedaran kendiri 73.00 08.92 72.63 08.33
Regulasi kendiri 72.22 10.10 72.32 09.29
Motivasi kendiri 76.76 12.02 77.38 11.74
Empati 74.29 11.25 76.12 10.83
Kemahiran sosial 72.64 10.70 72.86 09.78
Kematangan 80.66 14.15 80.17 12.54
Kerohanian 81.79 14.28 81.41 13.86

84
82
80
78
76 lelaki
74 perempuan
72
70
68
66
iri ir i ri ti al n an
nd nd di pa o si ga ni
e e n s n a
k ik ke Em n at
a oh
ran as a si ira m er
l iv h e K
da eg
u
ot m
a K
e se R M Ke
K

Rajah 3 Perbandingan min peratus domain kecerdasan emosi antara pelajar lelaki dan perempuan

perbandingan skor min domain-domain kecerdasan emosi antara pelajar lelaki dan
perempuan. Dilihat dari segi perbandingan antara kedua-dua kumpulan pelajar tersebut,
keputusan kajian menunjukkan bahawa skor min pelajar perempuan mengatasi skor
min pelajar lelaki bagi domain-domain regulasi kendiri, motivasi kendiri, empati dan
kemahiran sosial manakala skor min pelajar lelaki mengatasi skor min pelajar
perempuan dalam domain-domain kesedaran kendiri, kerohanian dan kematangan.
Keputusan analisis MANOVA yang dijalankan mendapati bahawa terdapat perbezaan
yang signifikan dalam gabungan domain-domain kecerdasan emosi tersebut antara
pelajar lelaki dan perempuan F(7,505) = 2.624, p=.011; Wilk lambda = .965.
Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas domain-domain tersebut secara berasingan
mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan berdasarkan aras alpha Bonferoni
(0.05/7 = 0.007).
INDEKS DAN PROFIL KECERDASAN EMOSI PELAJAR SEKOLAH MENENGAH 199

Jadual 7 Min peratus domain kecerdasan emosi pelajar bandar dan luar bandar

Domain Bandar (N=233) Luar Bandar (N=280)


kecerdasan emosi Min SL Min SL
Kesedaran kendiri 73.27 08.21 72.44 08.95
Regulasi kendiri 72.60 09.49 71.99 09.87
Motivasi kendiri 77.30 11.86 76.87 11.90
Empati 75.82 11.16 74.69 10.99
Kemahiran sosial 73.26 10.40 72.32 10.11
Kematangan 80.41 13.32 80.42 13.36
Kerohanian 81.35 14.16 81.80 13.99

84
82
80
78
76 bandar
74 luar bandar
72
70
68
66
ir i iri ri t i
al n an
di pa si ga i
nd en
d n
so n an
ke ke E m ta h
n sik si ra
n a ro
a m
ar
a
ul
a iv ah
i
Ke Ke
ed eg ot m
s M
Ke
R Ke

Rajah 4 Perbandingan min peratus domain kecerdasan emosi antara pelajar bandar dan luar bandar

5.2.3 Profil Kecerdasan Emosi Mengikut Lokasi Sekolah


Jadual 7 menunjukkan skor min dan sisihan piawai bagi ketujuh-tujuh domain
kecerdasan emosi mengikut lokasi sekolah yang dikaji. Jadual tersebut menunjukkan
bahawa bagi kedua-dua kumpulan pelajar, skor min tertinggi ialah bagi domain
kerohanian diikuti dengan domain kematangan manakala skor min terendah ialah
bagi domain regulasi kendiri. Rajah 4 pula menunjukkan perbandingan skor min
domain-domain kecerdasan emosi antara pelajar sekolah dengan sekolah bandar dan
luar bandar. Dilihat dari segi perbandingan antara kedua-dua kumpulan pelajar
tersebut, keputusan kajian menunjukkan bahawa skor min pelajar sekolah bandar
mengatasi skor min pelajar sekolah luar bandar bagi semua domain kecerdasan emosi
kecuali bagi domain kerohanian dan kematangan di mana skor min pelajar luar bandar
200 SAEMAH RAHMAN, NORIAH MOHD. ISHAK, ZURIA MAHMUD & RUSLIN AMIR

mengatasi skor min pelajar bandar. Keputusan analisis MANOVA tersebut


menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam gabungan domain-domain
kecerdasan emosi tersebut F(7,505) = .792, p = .594; Wilk lambda = .989. Bagaimana
pun pemeriksaan ke atas domain-domain tersebut secara berasingan mendapati tidak
terdapat perbezaan yang signifikan berdasarkan aras alfa Bonferoni, iaitu (0.05/7 =
0.007).

6.0 PERBINCANGAN DAPATAN KAJIAN


Dapatan kajian menunjukkan bahawa indeks kecerdasan emosi pelajar sekolah
menengah yang dikaji adalah berada pada bahagian bawah kuartil yang keempat, iaitu
nilai yang melebihi paras nilai minimum kuartil teratas (iaitu melebihi paras 75%)
namun ianya bukan satu nilai yang selesa. Nilai ini lebih rendah dari nilai indeks
kecerdasan emosi yang diperolehi oleh pelajar-pelajar tahun satu dari salah sebuah
IPTA di Malaysia yang pernah menduduki ujian IKEM tersebut (Indeks EQ = 80.22)
(UKM, 2007). Kemungkinan besar tahap kecerdasan pelajar ini lebih rendah kerana
umur mereka yang kurang dari pelajar Tahun satu di IPTA. Bagaimanapun,
memandangkan bahawa kecerdasan emosi diperolehi menerusi interaksi dan
pembelajaran dengan persekitaran, nilai indeks yang diperolehi pelajar-pelajar yang
dikaji tersebut harus ditingkatkan. Ini dapat dilakukan dengan merangsang persekitaran
pembelajaran yang dapat meningkatkan kestabilan emosi pelajar-pelajar (Lickona,
1993).
Dari segi domain-domain kecerdasan emosi pula, pada keseluruhannya
menunjukkan nilai skor min yang tertinggi ialah pada domain kematangan dan yang
kedua tertinggi ialah ialah domain kerohanian. Manakala nilai skor min endah dalam
domain dicatatkan melalui regulasi kendiri, kemahiran sosial dan kesedaran kendiri.
Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pada umumnya pelajar yang
dikaji mempunyai tahap kecerdasan yang baik serta masih ada ruang yang boleh
diperbaiki untuk mempertingkat kecerdasan emosi mereka. Keputusan kajian mengenai
prestasi responden dalam domain regulasi kendiri, kemahiran sosial dan kesedaran
kendiri ini perlu diberi perhatian kerana ia amat penting dalam kejayaan dalam
kehidupan pelajar sehari-hari. Justeru, keputusan kajian ini mencadangkan agar pelajar
sekolah menengah perlu diberikan bimbingan untuk meningkatkan kecekapan regulasi
kendiri, kemahiran sosial dan kesedaran kendiri mereka ke tahap yang lebih baik.
Ramai remaja masa kini yang terlibat dengan pelbagai masalah sosial yang mungkin
berpunca daripada kurangnya kemahiran mengenal dan mengawal emosi masing-
masing. Laporan akhbar yang menulis tentang remaja yang berkelakuan langsang
serta keterlaluan (seperti memukul rakan sebaya sehingga mendatangkan kecederaan
yang boleh membawa maut, merogol gadis bawah umur secara berkumpulan dengan
keterlaluan, membunuh kerana marah, membuli tanpa belas kasihan dan sebagainya)
menjadi bukti kepada ketidakbolehan remaja mengawal emosi mereka. Di samping
itu, ia juga menggambarkan kurangnya kemahiran sosial dalam kalangan pelajar
INDEKS DAN PROFIL KECERDASAN EMOSI PELAJAR SEKOLAH MENENGAH 201

sekolah menengah yang membawa kepada peristiwa cetusan emosi yang tidak terkawal.
Walaupun bilangan ini kecil, dan boleh dianggap sebagai satu kes terpencil, namun
kesannya ke atas kesejahteraan mental masyarakat dapat dirasai. Senario ini selari
dengan dapatan kajian ini yang menunjukkan bahawa secara umum, skor min bagi
regulasi kendiri adalah skor yang terendah dalam kalangan responden yang dikaji. Ini
dapat membuktikan bahawa wujudnya kumpulan remaja yang mempunyai masalah
kawalan emosi. Walau pun kajian ini tidak melihat kepada hubungan secara langsung
antara kecerdasan emosi dan tingkahlaku langsang yang berlaku di kalangan remaja,
namun, hasil dapatan kajian ini boleh dijadikan satu inferensi yang kemungkinan dapat
menggambarkan hubungan antara kecerdasan emosi dan tingkah laku langsang atau
agresif yang ditunjukkan oleh remaja di negara kita masa ini. Pandangan ini adalah
selaras dengan dapatan kajian-kajian lepas yang telah dijalankan (Trinidad dan Johnson,
2002; Mayer, 2001).
Dapatan mengenai profil kecerdasan emosi mengikut umur, jantina dan lokasi
sekolah turut mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan kecerdasan emosi yang
signifikan tetapi data deskriptif menunjukkan bahawa kecerdasan emosi pelajar yang
lebih matang adalah lebih tinggi berbanding pelajar muda yang menunjukkan kadar
perkembangan kecerdasan emosi berkembang mengikut umur. Dari segi perbezaan
mengikut gender pula, dapatan kajian mendapati secara umumnya, kecerdasan emosi
pelajar perempuan adalah lebih baik sedikit berbanding pelajar lelaki. Ini selaras
dengan laporan media tentang peristiwa cetusan emosi yang dikaitkan dengan pelajar
lelaki sebagai pelakunya. Dapatan kajian ini selaras dengan dapatan lepas yang turut
mendapati pada umumnya kecerdasan emosi pelajar perempuan adalah lebih baik
daripada pelajar lelaki (S. Katyal dan E. Awasthi, 2005). Implikasinya tumpuan perlu
diberikan kepada bimbingan kawalan emosi dalam kalangan pelajar lelaki baik di
sekolah mahupun di rumah. Dari segi lokasi sekolah pula, pada umumnya skor
kecerdasan emosi pelajar luar bandar adalah lebih baik berbanding pelajar bandar
kecuali bagi domain empati dan kemahiran sosial. Adakah ini bermakna bahawa
pelajar luar bandar mempunyai peluang yang kurang untuk memperkembangkan
kemahiran sosial dan empati mereka? Kemungkinan pengaruh persekitaran dalam
perkembangan kecerdasan emosi perlu diteroka dengan lebih lanjut.

7.0 KESIMPULAN
Pada umumnya kajian ini mendapati bahawa tahap kecerdasan emosi kebanyakan
pelajar sekolah menengah yang dikaji berada pada tahap yang baik dengan nilai indeks
kecerdasan emosi berada pada kuartil yang keempat. Bagaimana pun masih ada domain
tertentu yang perlu diberi perhatian. Dapatan mengenai domain-domain kecerdasan
emosi pula menunjukkan prestasi yang rendah (kurang daripada 75 peratus) dalam
domain regulasi kendiri, kemahiran sosial dan kesedaran kendiri. Oleh itu, domain-
domain tersebut perlu diberi pertimbangan untuk dikembangkan semaksimum yang
mungkin bagi membantu meningkatkan perkembangan kecerdasan emosi pelajar
202 SAEMAH RAHMAN, NORIAH MOHD. ISHAK, ZURIA MAHMUD & RUSLIN AMIR

secara keseluruhan. Adalah diharapkan agar kajian akan datang dapat meneroka
dengan lebih lanjut faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan kecerdasan emosi
pelajar terutamanya yang melibatkan perbezaan mengikut gender dan lokasi sekolah
supaya usaha dapat dipergiatkan untuk membantu perkembangan kecerdasan emosi
mereka ke tahap yang maksimum.

RUJUKAN
Bar-On, R. 2005. The Bar-On Model of Emotional-social Intelligence. Dalam P. Fernandez-Berrocal & N. Extremera
(Eds). Special Issue on Emotional Intelligence. Psicothema. 17: 1-28.
Berita Harian. 24th August 2004.
Berita Harian. 13 Jun 2005.
Ediger, M. 1997. Affective Objectives in the Science Curriculum. (Clearinghouse No. SE060514)_Montgomery,
AL: Auburn University at Montgomery, School of Education. (ERIC Document Reproduction Service No.
ED412070).
Etchechury, J. 1979. A Simple Model for Calculating the Index of Refraction of Neon I and Neon*(3s) in the Cavity of
a Xenon Fluoride Laser. Master’s Thesis, Naval Postgraduate School, Monterey, Canada.
UKM, 2007. Findings on EQ of UKM Students. Report by TEA, UKMH, Bangi.
Goleman, D. 1995. Emotional Intelligence: Why it can Matter more than IQ. New York: Bantam Books.
Goleman, D. 1998. Working with Emotional Intelligence. New York: Bantam Books.
Joseph, P.J. 2006.Promises Made, Promises Broken: A Model of IMF Program Implementation. Economic and
Politics. 3(18): 339-365.
Kamus Dewan, 1994.
Katyal, S. & E. Awasthi. 2005. Gender Differences in Emotional Intelligence Among Adolescents of Chandigarh. J.
Hum. Ecol. 17(2): 153-155..
Lickona, T. (1993). Educating for Character; How Schools Can Teach Respect and Responsibility. New York: Bantam.
Noriah Mohd Ishak, Siti Rahayah Ariffin & Zuria Mahmud. 2004. Inventori Kecerdasan Emosi –Dewasa (IKEM-D).
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Mayer, J. D. 2001. Emotional Intelligence and Giftedness. Roeper Review. 23(3): 131-137.
Mayer, J. D., & Salovey, P. 1993. The Intelligence of Emotional Intelligence. Intelligence. 17(4): 433-442.
Noriah, M.Ishak., Zuria M, & Siti Rahayah Ariffin. 2004. Kecerdasan Emosi di Kalangan Pekerja di Malaysia.
Laporan Teknikal, Prosiding IPRA 2004, UKM.
Noriah Mohd. Ishak, Siti Rahayah Ariffin, Zuria Mahmud, Saemah Rahman & Manisah Mohd. Ali. 2001. Performance
and Emotional Intelligence: A Correlational Study among Malaysian Adolescence. Proceeding for International
Learning Conference 2001, Spastses, Greece.
Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008. Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia di akses pada 2/3/2008 di:
http://www.moe.gov.my
Salovey, P., & Mayer, J.D. 1990. Emotional Intelligence. Imagination, Cognition, and Personality. 9: 185-211.
Seung Lee Do. & Schallert, D.L. 2004. Emotions and Classroom Talk: Toward a Model of the Role of Affect in
Students’ Experiences of Classroom Discussions. Journal of Educational Psychology. 96(4): 619-634.
Trinidad, D. R., & Johnson, C. A. 2002. The Association Between Emotional Intelligence and Early Adolescent
Tobacco and Alcohol Use. Personality and Individual Differences. 32(1): 95-105.
Utusan Malaysia. 7 April 2004.

Anda mungkin juga menyukai