Anda di halaman 1dari 12

Sejarah Melaka

Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang
bangsawan Srivijaya dari Palembang, pada tahun antara 1400 hingga 1403.

Parameswara merupakan turunan ketiga dari Sri Maharaja Sang Utama Parameswara Batara Sri
Tri Buana (Sang Nila Utama), seorang penerus raja Srivijaya. Sang Nila Utama mendirikan
Singapura Lama dan berkuasa selama 48 tahun. Kekuasaannya dilanjutkan oleh puteranya
Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386) yang kemudian diteruskan oleh cucunya, Paduka
Seri Rana Wira Kerma (1386 – 1399). Pada tahun 1401, Parameswara putrra dari Seri Rana Wira
Kerma, mengungsi dari Tumasik setelah mendapat penyerangan dari Majapahit.

Parameswara pada awalnya menjadi raja di Singapura pada tahun 1390-an. Negeri ini kemudian
diserang oleh Jawa dan Siam, yang memaksanya berpindah lebih ke utara. Kronikal Dinasti Ming
mencatat Parameswara telah tinggal di ibukota baru di Melaka pada 1403, tempat armada Ming
yang dikirim ke selatan menemuinya. Sebagai balasan ufti yang diberikan Kekaisaran China
menyetujui untuk memberikan perlindungan pada kerajaan baru tersebut.

Parameswara kemudian menganut agama Islam setelah menikahi seorang puteri dari Pasai.
Laporan dari kunjungan Laksamana Cheng Ho pada 1409 melaporkan bahawa pada saat itu
Parameswara masih berkuasa, dan raja dan rakyat Melaka sudah menjadi Muslim. Pada 1414
Parameswara digantikan puteranya, Megat Iskandar Shah.

Megat Iskandar Shah memerintah selama 10 tahun, dan digantikan oleh Sultan Muhammad
Shah. Putera Sultan Muhammad Shah yang kemudian menggantikannya, Raja Ibrahim, dilihat
tidak menganut agama Islam, dan mengambil gelaran Seri Parameswara Dewa Shah. Namun
masa pemerintahannya hanya 17 bulan, dan dia mangkat kerana terbunuh pada 1445,
masyarakat Melaka menggelarnya Sultan Abu Syahid. Saudara seayahnya, Raja Kasim,
kemudian menggantikannya dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah.

Di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah Melaka melakukan ekspansi di Semenanjung


Tanah Melayu dan pantai timur Sumatera (Kampar dan Inderagiri). Ini memancing kemarahan
Siam yang menganggap Melaka sebagai bawahan Kedah, yang pada saat itu menjadi vassal
Siam. Namun serangan Siam pada 1455 dan 1456 dapat dipatahkan oleh Melaka.

Di bawah pemerintahan raja berikutnya yang naik takhta pada tahun 1459, Sultan Mansur Shah,
Melaka menyerbu Kedah dan Pahang, dan menjadikannya negara vassal. Di bawah sultan yang
sama Johor, Jambi dan Siak juga takluk. Dengan demikian Melaka mengendalikan sepenuhnya
kedua pesisir yang mengapit Selat Malaka.

Sultan Mansur Shah berkuasa sehingga baginda mangkat pada 1477. Baginda digantikan oleh
puteranya Sultan Alauddin Riayat Shah. Sultan ini memerintah selama 11 tahun, saat baginda
meninggal dan digantikan oleh putranya Sultan Mahmud Shah.

Sultan Mahmud Shah memerintah Melaka sehingga tahun 1511, saat ibu kota kerajaan tersebut
diserang tentera Portugis di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque. Serangan dimulai pada
10 Ogos 1511 dan berjaya ditawan pada 24 Ogos 1511. Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke
Bentan dan mendirikan ibukota baru di sana. Pada tahun 1526 Portugis telah menghancurkan
Bentan, dan Sultan kemudian melarikan diri ke Kampar, Sumatera, tempat dia meninggal dunia
dua tahun kemudian. Puteranya Sultan Mudzaffar Shah I, Perak kemudian menjadi Sultan Perak
yang pertama, sedangkan puteranya yang lain Sultan Alauddin Riayat Shah II mendirikan
kerajaan baru iaitu Johor.

Kesultanan Melaka ini memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewas oleh pihak
Portugis pada tahun 1511.

Untuk rencana lanjutan, lihat Kesultanan Melaka.

Pemerintahan Jajahan

Melaka ditawan oleh Alfonso de Albuquerque, seorang Wizurai Portugis pada 24 Ogos 1511 dan
menjadikannya suatu pangkalan strategik bagi pengembangan pihak Portugis di Hindia Timur.
Sultan Mahmud Shah, Sultan terakhir Melaka, melarikan diri ke daerah pedalaman dan
menyebabkan kesukaran kepada pihak Portugis dengan serangan sekejap-sekejap dari tanah
daratan dan laut. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro
Mascarenhaas dihantar oleh negeri Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang
melindungi Sultan Mahmud. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke
Kampar, Sumatera di mana beliau mangkat dua tahun kemudian.

St. Francis Xavier, seorang mubaligh Jesuit, tinggal di Melaka selama beberapa bulan pada
tahun 1545, 1546 dan 1549 kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat operasinya di
Timur.

Pada tahun 1641, pihak Belanda menakluk Melaka dengan penewasan pihak Portugis melalui
bantuan Sultan Johor. Walau bagaimanapun, pihak Belanda tidak berminat menjadikan Melaka
sebagai sebuah pusat perdagangan di antara Timur dan Barat tetapi mereka lebih
mementingkan pembangunan Batavia (Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka.

Kubu Melaka: Perobohan oleh pihak British dihentikan oleh Sir Stamford Raffles pada 1808 sewaktu beliau singgah di
Melaka. Apa yang tinggal dipelihara sehingga hari ini.

Pihak Belanda menyerahkan Melaka kepada pihak British mengikut Perjanjian British-Belanda
pada tahun 1824. Dari 1826 hingga 1867, Melaka diperintah oleh Syarikat Hindia-Timur British
(British East India Company), dan kemudiannya menjadi sebuah tanah jajahan British. Ia menjadi
sebahagian Petempatan Selat (Straits Settlement), bersama-sama dengan Singapura dan Pulau
Pinang pada tahun 1946. Selepas pembubaran tanah jajahan, Melaka dan Pulau Pinang menjadi
sebahagian Malayan Union yang kemudiannya menjadi Malaysia.

Melaka diisytiharkan sebagai "Bandaraya Bersejarah" pada 15 April 1989.

Garis masa

Melaka diasaskan pada tahun 1262 Masihi

Kerajaan Negeri Melaka telah mengisytiharkan bahawa permulaan Kerajaan Melayu Melaka
telah bermula atau wujud 140 tahun sebelum ketibaan Parameswara di Melaka pada tahun 1402
Masihi.

Ini sekaligus mengiyakan penemuan artifak lama Melaka yang jarang didengar yang
menjelaskan teori penubuhan Melaka bermula pada tahun 1262 Masihi.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam telah mengesahkan ketetapan 5
resolusi yang telah diputuskan untuk menolak pendapat penulis-penulis terdahulu yang
menyatakan Melaka diasaskan pada tahun 1400 masihi atau 1278 sebaliknya mengambil
keputusan tarikh sebenarnya adalah pada 1262 masihi.

Keputusan memilih tarikh 1262 sebagai penubuhan dan pengasasan kerajaan Melayu Melaka
diputuskan hasil kesepakatan menerima pendapat kajian selama setahun oleh sepasukan
penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri Melaka menerusi Institut Kajian Sejarah dan
Patriotisme Malaysia (IKSEP). Keputusan tersebut dicapai pada Seminar Tahun Pengasasan
Kerajaan Melayu Melaka anjuran IKSEP bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) yang diadakan pada 31 Mei 2010.[1]
Penemuan tersebut juga turut disahkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) yang membuat
kajian terhadap perkara tersebut pada 10 Oktober 2011.[2]

Ali Rustam juga menegaskan, kajian yang dilakukan itu berdasarkan daripada sumber-sumber
bertulis, artifak dan lisan serta penyelidikan yang dijalankan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga
di Indonesia.

Antara tempat yang dilawati oleh penyelidik di wilayah Indonesia termasuklah Kepulauan Riau,
Pulau Penyengat, Pulau Singkep, Pulau Lingga, wilayah Sumatera Selatan iaitu di Jambi dan
Palembang serta wilayah Sumatera Barat di Padang dan Batu Sangkar.
Jawatakuasa penyelidik diketuai oleh Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali dari Jabatan Sejarah
Universiti Malaya, selain diwakili oleh Naib Canselor KUIM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd.
Yusoff Hashim, Dr. Zulkarnain Abdul Rahman (Ketua Jabatan Sejarah, Universiti Malaya) dan
Prof. Dr. Mohamad Redzuan Othman (Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya).

Penyelidik bersama ialah Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (Jabatan Sejarah, Universiti
Malaya), Prof. Dr. Nordin Husin (Pengerusi, Program Sejarah, Politik dan Strategik), Prof. Dr.
Noriah Mohamad (Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof.
Madya Dr. Abd. Rahman Ismail (Universiti Sains Malaysia) dan Prof. Madya Ubaidilah
Muhammed (Jabatan Pengajian Tiong Hua, Universiti Malaya).

Sebab-sebab utama penetapan tahun 1262 sebagai tahun muktamad Melaka diasaskan adalah:

Tarikh asal 1400 dan 1278 yang dikemukakan tidak mempunyai sandaran fakta yang kukuh
sebagai tahun sebenarnya penubuhan kerajaan Melayu Melaka kerana tahun itu diperolehi
daripada andaian dan tujuan penulisan berdasarkan sumber-sumber yang ada.
Seminar tersebut turut bersetuju berdasarkan tulisan Sejarah Melayu, Sulalatus Salatin versi
Raja Bongsu (MS 18 Stamford Raffles), kerajaan Melayu Melaka telah diasaskan pada 660
hijrah bersamaan 1262 masihi.
Rumusan penyelidik telah menolak tahun 1400 dan 1278 sebagai tahun pengasasan Kerajaan
Melayu Melaka kerana kesepakatan sarjana Barat (Portugis) bukan berdasarkan fakta sejarah.
Ini juga termasuk Suma Oriental yang ditulis oleh Tome Pires pada 1512-1515 hanya
berdasarkan pengumpulan maklumat menggunakan kaedah dengar dan cakap.

Cara pengiraannya adalah berdasarkan kajian terhadap tempoh pemerintahan sultan-sultan


Melaka yang dicatatkan di dalam naskhah Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu. Hal tersebut
adalah seperti berikut:

1) Raja Seri Iskandar Syah (Parameswara) = 20 tahun pemerintahan

2) Sultan Mahkota (Raja Kecil Besar) = 2 tahun pemerintahan

3) Sultan Muhammad (Raja Tengah) = 57 tahun pemerintahan

4) Sultan Abu Syahid (Raja Ibrahim) = 1.5 tahun pemerintahan

5) Sultan Muzaffar Syah (Raja Kassim) = 40 tahun pemerintahan

6) Sultan Mansur Syah (Raja Abdul) = 73 tahun pemerintahan


7) Sultan 'Alauddin Riayat Syah (Raja Raden) = 33 tahun pemerintahan

8) Sultan Mahmud Syah (Raja Mamat) = 30 tahun pemerintahan

Jumlah tempoh kerajaan kesultanan Melayu Melaka ialah 256.5 tahun Qamariah.
Jumlah 256.5 Qamariah ini apabila ditukarkan kepada tahun Syamsiah menjadi 249 Masihi.
oleh itu 1511 Masihi (tarikh muktamad kejatuhan Melaka) ditolak dengan 249 Masihi menjadi
1262 Masihi bersamaan 660 Hijrah.

Kesultanan Melaka
1400: Parameswara, putera raja dari Palembang setelah ditumpaskan oleh Majapahit telah
menuju ke Temasik (nama asal Singapura) dan akhirnya membuka negeri Melaka.

1403: Laksamana Yin Ching dalam misi perdagangannya telah singgah di Melaka dan
menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan China - Melaka.

1409: Parameswara membayar ufti kepada negeri China untuk mendapat perlindungan
daripada serangan pihak Siam.

1409: Laksamana Cheng Ho, ketua Armada perdagangan China dan para pembesar tiba di
Melaka bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

1411: Parameswara diiringi pembesar Melaka dengan rombongan pengiring sebanyak 540
orang serta ditemani oleh Laksamana Cheng Ho belayar ke China. Baginda diterima
mengadap Maharaja Yung Lo.

1414: Parameswara berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda memeluk agama Islam dan
memakai gelaran Sultan Iskandar Shah (1414-1424).

1424: Parameswara mangkat dan anakandanya, Sri Maharaja menaiki takhta dan menukar
namanya menjadi Sultan Muhammad Shah (1424-1444).

1444: Sultan Muhammad Shah diganti oleh putera bongsunya, Raja Ibrahim.

1445: Raja Ibrahim dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran Sultan Abu Syahid.

1446: Raja Kassim menaiki takhta dan memakai gelaran Sultan Muzaffar Shah (1446-1458)
menaiki takhta dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri.

1447: Serangan pertama Siam ke atas Melaka. Pihak Siam ditewaskan tidak jauh dari Muar.

1456: Tun Perak menjadi Bendahara dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Beliau telah
berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan
Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.
1458: Sultan Mansur Shah menaiki takhta. Maharaja China telah menghantar Laksamana
Cheng Ho yang membawa Puteri Hang Li Po dan dikahwinkan dengan Baginda. Sultan Mansur
Shah juga menghantar Tun Perpateh Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri Cina untuk
mengiring Hang Li Po.

1477: Sultan Mansur Shah mangkat dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) menaiki
takhta pada umur 15 tahun. Baginda merupakan seorang yang tegas dalam melaksanakan
tugasnya.

1488: Sultan Alauddin diracun mati di Pagoh dan diganti oleh Sultan Mahmud Shah (1488-
1511).

1498: Tun Perak meninggal dunia.

1500: Tun Mutahir, sepupu Tun Perak, menggantikannya sebagai Bendahara bergelar
Bendahara Seri Maharaja dan menjadi bendahara yang paling berkuasa di kalangan
bendahara-bendahara.

1509: Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di
Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar
'Benggali Putih' oleh orang tempatan. Atas sebab perselisihan faham, angkatannya diserang
oleh Melaka dan 20 anak kapalnya ditahan.

1510: Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya mati dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud
Shah kerana difitnah oleh para pembesar bahawa beliau ingin mengatasi kekayaan sultan.
Sultan Mahmud Shah tanpa usul periksa telah memeritahkan Tun Muthahir dan keluarganya
dihukum bunuh.Kemudian Sultan menyedari akan kesilapannya lalu mengambil Tun Fatimah
sebagai isterinya dan dimashurkan sebagai Puan Besar. Sultan Mahmud Shah memilih
anaknya, Sultan Ahmad Shah menggantikan baginda sebagai Sultan sementara.

Pemerintahan Portugis
1511: Alfonso de Albuquerque tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan
membina sebuah markas Portugis di Melaka tetapi permintaanya ditolak oleh sultan. Selepas
10 hari dengan bantuan pembelot dari kalangan pembesar dan orang dalam istana yang iri
hati dan dengki diatas pemashuran Tun Fatimah dan bimbang akan kedudukan jalur
keturunannya, pihak Portugis berjaya mengepung dan menawan Kota Melaka pada 24 Ogos
dan membina A Famosa dalam tempoh enam bulan. Dengan penewasan Sultan Mahmud
Shah, pihak Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.
1513: Patih Unus dari Jawa, seorang pahlawan Jawa yang menjadi Sultan Demak di Sumatera
menyerang Melaka.
1518-1519: Sultan Mahmud Shah telah mengerah rakyatnya membina tembok tinggi
mengelilingi Melaka dalam masa tiga bulan.

1521: Gereja St. Paul dibina oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho dan
dinamakan "Our Lady of The Hill", tetapi kemudiannya ditukar oleh pihak Belanda kepada
tempat persemadian bangsawan dan dinamakan "Gereja St. Paul".

1523: Sultan Mahmud gagal sekali lagi dalam penawanan Melaka.

1525: Laksamana Hang Nadim telah mengepung Kota A Famosa. Pihak Portugis membuat
catuan makanan dari Goa.

1526: Seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh negeri
Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud Shah. Sultan
Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka ke Kampar, Sumatra.

1528: Sultan Mahmud Shah mangkat di Kampar, Sumatera.

1537: Pihak Aceh menyerang pihak Portugis di Melaka pada kali yang pertama.

1545: Buat pertama kalinya, Fr. Francis Xavier tiba di Melaka. Pada keseluruhannya, beliau
membuat lima lawatan ke Melaka kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat
operasinya di Timur.

1548: Kolej St. Paul (St. Paul's College), sekolah pertama di Melaka, dibina oleh St. Francis
Xavier untuk orang Katolik Portugis dan orang tempatan yang memeluk agamanya.

1551: Gabungan Johor, Japara dan Perak yang mantap telah menawan Melaka dan
mengepungnya selama tiga bulan.

1553: St. Francis Xavier meninggal di Pulau Sancian berdekatan Canton, China dan dibawa ke
gereja St. Paul selama sembilan bulan persemadiannya sebelum mayatnya dibawa semula ke
Goa, India.

1568: Johor membantu Portugis Melaka mematahkan serangan Acheh. Acheh telah
mengawal Selat Melaka selama enam puluh tahun.

1582: Pihak Portugis membantu Johor daripada serangan Aceh, dan Sultan Abdul Jalil Riayat
Shah menjadi Sultan Johor pertama yang melawat Melaka.

1587: Johor menyerang pihak Portugis secara besar-besaran melalui serangan tanah daratan
dan laut tetapi gagal sewaktu angkatan pihak Portugis sampai dari Goa.

1588: Pelawat Inggeris pertama, Ralph Ritch telah tiba di Melaka.


Kejatuhan Portugis ke atas Johor dan penempatan Belanda di Kota Melaka
1597: Pihak Belanda membuat serangan pertama Belanda ke atas Kota Portugis Melaka.

1606: Pihak Belanda di bawah Laksamana Matelieff de Jonge cuba untuk menguasai Melaka.
Percubaan selama tiga bulan gagal apabila Portugis mendapat bantuan dari Goa.

1615-1616: Acheh menyerang Melaka.

1628-1629: Acheh memerintah Melaka selama lapan bulan sebelum pihak Portugis
mengambil Melaka kembali.

1636: Kapal Belanda telah memusnahkan kapal Portugis di pelabuhan.

Pemerintahan Belanda

Kota Di Melaka pada 1604.

1641: Pihak Johor menewaskan pihak Portugis pada 14 Januari dan menakluk Melaka
dengan pembantuan Belanda. Gabenor Portugis, Manuel de Souza Couthinho, menyerah kalah
kepada Sultan Abdullah Johor.

1645: Tokong Cheng Hoon Teng telah dibina oleh Kapten Lee Wei King dan ia merupakan
tokong Cina yang tertua di Malaysia.

1645-1670: Perang antara Belanda - Naning.


1650: Bangunan Stadthuys dibina sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan
timbalannya, dan dijadikan pusat pentadbiran Belanda di Melaka.

1710: Gereja St. Peter, gereja Katolik tertua di Malaysia, dibina selepas pihak Belanda
memberi kebebasan kepada orang Katolik untuk mengamalkan agama mereka.

1753: Gereja Christ, yang melambangkan seni rekabentuk Belanda, disiap sepenuhnya selepas
pembinaan dua belas tahun.

1756: Bugis di bawah pemerintahan Daeng Kemboja telah menyerang Melaka.

1784: Raja Haji datang ke Melaka untuk menawannya tetapi terbunuh semasa pertempuran di
Teluk Ketapang.

1795: Syarikat Hindia Timur menguasai Melaka buat sementara semasa Perang Napoleon.

1807: Pihak British di bawah William Farquar mula memusnahkan kubu Portugis dan
mengusir pengaruh Portugis dari Melaka. Kemudian Belanda merancang untuk menukarkan
pedagang-pedagang yang datang ke Melaka berpindah ke Pulau Pinang dan berhasrat
melemahkan kekuatan Melaka.Kerja-kerja memusnahkan kota ini menelan belanja disekitar
70,000 paun sterling.

1808: Kedatangan Sir Stamford Raffles telah menyelamatkan Melaka dari kemusnahannya
dengan persetujuan Lord Minto. Rancangan pemindahan penduduk dibatalkan.

1818: Melaka dipulangkan kepada pihak Belanda di bawah Perikatan Vienna selepas Perang
Napoleon.

1819: Sultan Hussain Shah telah menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur
Inggeris. Makam baginda terdapat di Masjid Tengkera.

Pemerintahan British
1824: Satu Perikatan British-Belanda (juga digelarkan Perikatan London) dibuat yang mana
pihak British memberi Bencoleen (Bengkulu) di Sumatra kepada pihak Belanda sebagai
pertukaran dengan Melaka. Perikatan ini ditandatangani untuk mengasingkan kawasan
jajahan British dan Belanda. British telah menguasai kawasan utara Selat Singapura
sementara Belanda di bahagian Selatan (Kepulauan Indonesia).

1826: Melaka, Pulau Pinang dan Singapura disatukan menjadi Negeri-negeri Selat.

1849: Gereja St. Francis Xavier dibina untuk memperingatinya.

1867: Negeri-negeri Selat menjadi tanah jajahan British. Pejabat Pemerintahan Gabenor-
Jeneral yang berpusat di India berpindah ke Pusat Pemerintahan di London.
1895: Penanaman getah secara ladang dilakukan oleh Tan Chay Yan di Bukit Lintang, Melaka.

1941: Perang Dunia ke-2 berlaku. Jepun mengebom Pearl Harbour (Pengkalan Laut yang
penting di Hawai bagi Amerika Syarikat).

1942: Melaka jatuh ke tangan Jepun.

1945: British kembali menguasai Melaka setelah Jepun menyerah kalah kepada British di
Singapura.

1948: Komunis menyerang dan menguasai Malaya selama 14 hari. Pihak British
mengistiharkan darurat dan situasi ini berakhir pada tahun 1960.

1956: Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama mengumumkan tarikh
kemerdekaan (31 Ogos, 1957) setibanya dari London. Dalam tahun yang sama, Melaka
menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara merdeka.

Kemerdekaan
1957: Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos.

1963: Pembentukan Malaysia pada 16 September. Melaka menjadi sebahagian daripada


Malaysia. Singapura, Sabah dan Sarawak juga menyertainya.

1989: Melaka diisytiharkan sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April.

Rujukan

1. Utusan Online - Melaka ditubuh 1262, bukannya 1400 atau 1278? (http://www.utusan.com.m
y/utusan/info.asp?y=2010&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_31.
htm)

2. TheStar Online - More research needed on new date of Malacca Sultanate (http://thestar.com.
my/news/story.asp?file=/2011/10/10/nation/9665226&sec=nation)

Pautan luar

Asal nama tempat di Melaka. (http://www.perpustam.edu.my/clhproject/sejarah/kgbandar.ht


m)

Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri Melaka (http://www.melaka.gov.my/bm/events20th.asp)


Diambil daripada
"https://ms.wikipedia.org/w/index.php?
title=Sejarah_Melaka&oldid=5274888"


Last edited 5 months ago by InternetArchiveBot

Anda mungkin juga menyukai