Anda di halaman 1dari 4

Pembuka kata:

Selamat pagi, salam sejahtera, salam satu Malaysia, ahli panel dan siding hadirin sekalian.
Segala puji-pujian ke hadrat Sang Pencipta kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya,
dapat kita bertemu lagi dalam gelanggang forum bersama saya Shely Careminely pada pagi
yang berbahagia ini.

Hadirin yang dihormati sekalian, sebelum saya memperkenalkan ahli-ahli panel kita yang
ayu lagi jelita pada hari ini, izinkan saya untuk mengupas sedikit intipati forum kita pada hari
ini. Dewasa ini, kita maklum bahawa kesan daripada globalisasi di seluruh dunia telah
mewujudkan fenomena bahasa Inggeris dimartabatkan sebagai bahasa antarabangsa
kerana luasnya penggunaaan bahasa tersebut di peringkat global walhal, Bahasa Melayu
juga mempunyai kekuatan untuk menjadi Bahasa antarabangsa.

Tak tumbuh tak melata,

Jika tak sungguh, kami tak kata.

Prospek cerah Bahasa Melayu menjadi Bahasa antarabangsa turut diakui oleh Datuk
Profesor Dr. Hasan Ahmad, mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dalam
makalahnya yang bertajuk ‘Bahasa Melayu, Bahasa Antarabangsa’. Beliau menjelaskan ciri-
ciri Bahasa Melayu yang membolehkannya menjadi Bahasa antarabangsa, contohnya:

1) Bahasa Melayu mempunyai penutur jati yang ramai iaitu sekitar 300 juta orang.

2) Bahasa Melayu telah menjadi Bahasa rasmi di beberapa buah negara iaitu Malaysia,
Indonesia dan Brunei.

3). Negara pengguna Bahasa yang telah mencapai kemajuan.

Dayung sudah ada di tangan, perahu sudah berada di air. Ketiga-tiga kriteria ini sudah
dimiliki Bahasa Melayu, namun pelbagai prakarsa ampuh perlu dilaksanakan agar cita-cita
untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa antarabangsa dapat menjadi kenyataan.

Baiklah sidang hadirin, sebelum tirai forum dibuka bagi menelusuri lebih dalam topik
perbincangan, molek kiranya kita berkenalan dengan ketiga-tiga ahli panel kita pada hari ini.

Di sebelah kanan saya, saudari Jayvianne Joisin yang merupakan ahli panel pertama, cantik
dan murah dengan senyuman. Apa khabar saudari?

Seterusnya, saya perkenalkan ahli panel kedua, nampak yakin dan tenang. Selamat datang
saudari Auni Dalili.
Berada di sebelah ahli panel kedua, tak lain dan tak bukan tentulah ahli panel ketiga iaitu
saudari Fathin Nazirah, ayu dan bergaya orangnya. Walaupun nampak pemalu, namun
petah bicaranya. Selamat datang juga saudari.

Sebelum saya menyimpang dengan lebih jauh, izinkan saya untuk membuka tirai diskusi
forum dengan soalan pertama buat panel pertama. Saudara Jayvianne, mohon saudari
memberikan penjelasan tentang ciri-ciri keistimewaan bahasa dan sastera Melayu.

Balasan selepas Panel 1:

Terima kasih saudari panel pertama. Benar kata saudari Jayvianne tadi, kita harus berusaha
tanpa berasa jemu untuk menjadikan Bahasa dan Sastera Melayu diterima oleh masyarakat
antarabangsa. Sungguh terkesan dihati saya mendengar butir bicara tentang uniknya
Bahasa dan sastera Melayu berdasarkan fakta-fakta yang bernas.

Seterusnya, saya mohon penjelasan daripada ahli panel kedua, saudari Auni tentang badan-
badan yang terlibat dengan proses perancangan, perkembangan dan pemerkasaan Bahasa
Melayu untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa wahana komunikasi di persada
antarabangsa.

Balasan selepas Panel 2:

 Terima kasih atas penjelasan yang panjang lebar daripada saudara ahli panel berhubung   
peranan badan yang terlibat dengan proses perancangan, pengembangan dan
pemerkasaan bahasa dan Sastera Melayu. Saya bersetuju dengan pendapat ahli panel
kedua tadi. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa bahasa dan sastera Melayu pada hari ini telah
mempunyai tempat di persada antarabangsa dengan inisiatif dan komitmen Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Soalan saya yang seterusnya buat ahli panel ketiga, saudari Fathin, ialah tentang
permasalahan dan kekangan yang terpaksa  kita hadapi sehingga merencatkan  usaha
memartabatkan, memerkasakan dan melestarikan  bahasa Melayu dan seterusnya
meletakkannya di persada  antarabangsa.
Balasan selepas Panel 3:

Terima kasih kepada ahli panel ketiga, saudara Fathin yang telah mengupas tentang
cabaran-cabaran bahasa Melayu sama ada dalam penggunaannya secara rasmi atau
penggunaan dalam perhubungan sosial. Sedih apabila memikirkan tentang nasib Bahasa
Melayu yang semakin hari semakin dilupakan keasliannya akibat daripada campuran
bahasa.

Penutup:

Terima kasih sahabat-sahabat ahli panel yang sungguh bersemangat dan beriltizam dalam
melontarkan fakta, idea dan pandangan yang amat bernas sekali.

Tuntasnya, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat dan kalau tidak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Kata sepakat yang dicapai, dengan usaha
tanpa kenal erti jemu membolehkan hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai
bahasa antarabangsa menjadi realiti.

Terima kasih kepada semua ahli panel yang sudi hadir untuk membicarakan isu
pengantarabangsaan Bahasa Melayu ini. Semoga forum ini menjadi wadah melahirkan
remaja yang cakna terhadap isu-isu bahasa, selanjutnya membantu meletakkan bahasa
Melayu di persada antarabangsa. Harapan saya forum ini juga mampu memberikan
informasi bermanfaat buat semua hadirin yang dihormati.

Sidang hadirin yang dihormati,

Kalau berkayuh dah sampai ke pulau,

Kalau mendaki dah sampai ke puncak,

Kita telah sampai kepada penghujung bicara

Saya mewakili semua ahli panel mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua
hadirin yang sudi hadir menyaksikan forum ini. Lantaran keterbatasan waktu, saya mohon
mengakhiri bicara ini  selanjutnya mohon mengundur diri. Sekian.

Anda mungkin juga menyukai