Anda di halaman 1dari 4

i.

Pengenalan

Lestari boleh didefinisikan sebagai menjaga atau memelihara keaslian sesuatu


benda supaya kekal seperti sedia kala (Dewan Bahasa dan Pustaka). Ia juga membawa
maksud tidak berubah-ubah dari sifat asalnya seperti memelihara alam sekitar. Kuala
Terengganu merupakan kawasan yang sedang berkembang pesat namun masih kaya
dengan keindahan alam terutamanya sungai-sungai dan juga pantai-pantai yang indah. Hal
ini menjadikan Kuala Terengganu sebagai destinasi bercuti oleh pelancong dari dalam dan
juga luar negeri untuk merasai keindahan alam kurniaan Allah S.W.T. D’Silva dan Samah
(2018) menyatakan bahawa alam sekitar juga merupakan komponen utama kepada
pembangunan mampan selain daripada aspek ekonomi dan sosial. Namun, terdapat
segelintir individu yang tidak bersyukur akan nikmat yang diberi ini dan mengamalkan sikap
pentingkan diri terhadap persekitarannya. Hal ini kerana kesedaran masyarakat terhadap
kepentingan menjaga alam sekitar masih di tahap yang rendah. Oleh itu, menjadi
tanggungjawab setiap individu dari setiap lapisan masyarakat tanpa mengira status untuk
sama-sama berganding bahu memelihara kelestarian alam sekitar. Ini kerana pengurusan
alam sekitar yang lestari tidak mungkin berjaya tanpa mendapat kerjasama daripada
masyarakat (Haliza, 2015). Sekiranya sikap tanggungjawab atas alam sekitar tersemai
dalam setiap dada individu, sudah pasti usaha melestarikan alam sekitar dapat dilaksanakan
dengan jayanya.

Dari segi tahap kebersihan alam sekitar, pencemaran masih dapat dilihat di sekitar
kawasan kediaman saya iaitu Kuala Terengganu. Terdapat pelbagai jenis pencemaran yang
dapat dilihat namun pencemaran yang paling dominan adalah pencemaran air. Pencemaran
air adalah satu isu yang serius kerana setiap hidupan bergantung atas air untuk hidup dan
juga sebagai tempat mencari rezeki. Oleh itu, kita wajib mengenal pasti punca berlakunya
pencemaran ini dan mencari jalan penyelesaian. Setiap individu memainkan peranan
signifikan dalam membendung pencemaran dari proses pencegahan dan juga proses
merawat pencemaran yang telah berlaku. Hal ini penting agar isu ini tidak merebak ke
kawasan sekitar dan memberi kesan yang amat buruk akibat tiada langkah pencegahan
awal.

ii. Isu Yang Dikenal Pasti

Berdasarkan atas pemerhatian, isu yang jelas memberi impak yang negatif di sekitar
kawasan kediaman saya adalah pencemaran air akibat pembuang sisa pertanian yang tidak
terkawal. Air adalah sumber utama yang menyokong kelangsungan sistem hayat manusia
dan sistem biosfera. Sumber air bersih berpunca daripada badan-badan air seperti sungai
dan tasik penting untuk kegunaan harian seperti tujuan pembersihan, pertanian dan
minuman. Hal ini secara tidak lansung akan menjejaskan kualiti hidup manusia sekiranya
berlaku pencemaran kepada sumber yang penting ini. Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling
(1974), pencemaran air adalah apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada
sifat-sifat fizikal, haba, biologi, atau radioaktif iaitu mana-mana bahagian alam sekitar yang
melepaskan, mengeluarkan, atau meletakkan buangan ini sehingga menyebabkan suatu
keadaan berbahaya dan memudaratkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pihak awam,
atau kehidupan lain seperti burung, hidupan liar, ikan dan hidupan akuatik serta tumbuh-
tumbuhan air. Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat untuk
memastikan tidak berlakunya pembuangan bahan-bahan yang boleh menjejaskan kualiti air.
Bahan-bahan seperti sisa domestik yang merupakan bahan-bahan buangan yang dibuang
dari kawasan perumahan seperti sisa makanan, plastik, kertas dan bahan logam terpakai
serta sisa buangan toksik yang terdiri daripada minyak masak atau enjin, lebihan racun
rumpai atau serangga dan hampas organik mampu memberi kesan buruk kepada
kesejahteraan alam sekitar.

Terdapat beberapa kesan buruk yang boleh diambil sebagai iktibar untuk
menekankan betapa pentingnya dalam memelihara kualiti air dari tercemar. Salah satu
insidennya adalah pencemaran air Sungai Cawat, Terengganu yang telah menjejaskan 17
penternak ikan air tawar dan mengakibatkan kerugian lebih dari RM500,000 (Astro Awani,
2019). Sungai Cawat merupakan aliran sungai yang bercabang dari Sungai Besut dan
terkenal sebagai tempat projek penternakan ikan sangkar. Ikan-ikan yang diternak terdiri
daripada ribuan ikan kerapu hibrid, siakap, talapia merah dan talapia hitam yang dijual di
pasar-pasar dalam negara serta dihantar ke negara negara jiran. Isu pencemaran ini
dikesan apabila penternak-penternak ikan sangkar memerhati dan terkejut dengan kadar
kematian ikan yang meningkat saban hari. Hal ini amat membimbangkan pengusaha-
pengusaha sangkar ikan yang berskala kecil di mana mereka terpaksa menanggung kos
kerugian dan tidak mendapat pulangan modal untuk penternakan baru. Tindakan haruslah
diambil agar isu pencemaran ini tidak memberi impak yang sama kepada penternak-
penternak ikan yang ada di sepanjang sungai tersebut.

Selain itu, kesan pencemaran air juga boleh dilihat di Pantai Batu Burok, Kuala
Terengganu di mana lebih lima tan sampah yang hanyut dan terdampar setiap hari di pantai
tersebut. Pantai Batu Burok amat terkenal sebagai sebuah pantai peranginan yang
mendapat kunjungan dari beribu-ribu pelancong dari seluruh negara. Pantai ini menawarkan
pelbagai aktiviti seperti bermain layang-layang, motosikal ATV serta gerai-gerai makanan
yang pelbagai menjadikan pantai ini tumpuan orang ramai. Namun, isu pencemaran di
pantai Batu Burok masih belum menemui solusi. Sampah-sampah yang dihanyutkan ombak
dapat dilihat di pesisiran pantai dan menyebabkan berlakunya pencemaran pantai sejauh
kira-kira tiga kilometer menurut keratan akhbar Harian Metro. Sampah sarap yang bertimbun
akan menimbulkan rasa kurang senang terhadap banyak pihak terutamanya pengunjung.
Hal ini secara tidak langsung akan memburukkan imej Pantai Batu Burok sebagai satu pusat
peranginan dan menjejaskan industri pelancongan di sana. Ini akan mengakibatkan pantai
Batu Burok kurang mendapat sambutan dan sudah pasti akan menjejaskan peniaga-
peniaga kecil di sekitar pantai tersebut.

iii. Punca Kejadian

Setiap pencemaran air bermula dengan adanya campuran bahan-bahan asing yang
menyebabkan penukaran dalam sifat asalnya. Hal ini perlahan-lahan menjejas kualiti air
tersebut hingga tidak selamat untuk kegunaan harian dan menjejas hidupan di dalam air.
Seperti isu pencemaran air di Sungai Cawat, faktor utama yang menjejas penternakan ikan
sangkar adalah disebabkan daripada buangan air hasil aktiviti pertanian penanaman padi di
kawasan Skim Pengairan Padi Pengkalan Nangka. Penggunaan bahan kimia sangat lazim
dalam industri pertanian di mana penggunaan baja serta racun serangga dapat membantu
dalam memastikan hasil berkualiti serta dalam kuantiti yang banyak. Kewujudan rumpai
adalah punca kerugian hasil tertinggi yang kronik dalam penghasilan padi dan perlu dikawal
rapi bermula daripada peringkat penyediaan tanah sawah sehingga peringkat hampir
menuai (Karim et. al, 2004). Oleh itu, untuk mengurangkan kos tenaga pekerja dalam proses
mencabut rumpai secara manual, maka penggunaan racun adalah lebih praktikal dan
mudah. Namun, dengan sistem pengairan yang tidak selamat, hal ini akan memberi impak
buruk kepada sungai-sungai serta kawasan sekeliling. Hujan yang turun akan mengalirkan
racun yang terserap ke dalam tanah ke dalam parit-parit dan seterusnya ke dalam sungai-
sungai tanpa sebarang sistem yang menyekat pengeluaran air. Hal ini yang menjadi punca
utama kemerosotan kualiti air dan mematahkan sumber ekonomi untuk masyarakat yang
bergantung kepada sungai sebagai sumber pendapatan.

Dalam isu pencemaran air di Pantai Batu Burok pula, punca dominan yang
menyumbang ke arah kemerosotan alam sekitar di sana adalah budaya pembuangan
sampah yang tidak bertanggungjawab. Jika diperhatikan dengan teliti, keadaan di sekitar
Pantai Batu Burok dipenuhi sampah-sampah yang berleretan sepanjang pantai tersebut.
Sampah yang terdiri dari bahan plastik seperti sudu, plastik makanan, bekas minuman dan
penyedut minuman memenuhi yang menzahirkan pemandangan yang tidak senang untuk
penduduk setempat dan juga pelancong yang singgah di sana. Menurut keratan akhbar
Berita Harian, kontraktor Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah melakukan kerja
pembersihan setiap hari dan telah berjaya mengumpul sebanyak 60 tan sampah yang
berada di pantai tersebut (Bakar, 2021). Namun, kadar sampah yang berada di pantai itu
masih dalam jumlah yang meningkat hasil sikap tidak bertanggungjawab sesetengah
individu dan juga hasil dari ombak kuat yang mendamparkan sampah-sampah tersebut.
Plastik merupakan sejenis bahan sintetik yang warnanya bermacam-macam untuk
menghasilkan pelbagai jenis alat seperti pinggan, sisir, alas meja dan lain-lain (Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2000). Akan tetapi, keburukan penggunaan plastik adalah ia
memerlukan masa yang amat lama untuk reput iaitu sekitar 20 hingga 500 tahun (Webb et
al. 2012). Hal ini sudah pasti akan membawa mudarat kepada alam sekitar pada jangka
masa yang panjang serta membebankan usaha untuk melestarikan alam sekitar
terutamanya di kawasan pantai. Tambahan pula, proses merawat pencemaran yang telah
berlaku memakan kos yang sangat tinggi dari segi tenaga pekerja dan jangka masa yang
lama.

Akta Kualiti Alam Sekeliling. (1974). Kuala Lumpur: Percetakan Nasinal Malaysia Berhad

Astro Awani. (2019, August 7). Ikan mati akibat sumber air tercemar, 17 penternak rugi lebih
RM500,000.aHttps://Www.Astroawani.Com/.ahttps://www.astroawani.com/berita
malaysia/ikan-mati-akibat-sumber-air-tercemar-17-penternak-rugi-lebih-rm500000-214425

Bakar, B. (2021, January 12). Lebih 5 tan sampah hanyut di Pantai Batu Burok setiap hari.
Https://Www.Hmetro.Com.My/. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/663341/lebih-
5-tan-sampah-hanyut-di-pantai-batu-burok-setiap-hari

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2000). Kamus Dewan (Edisi 3.). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Haliza Abdul Rahman. 2015. Public involvement in environment conservation and


preservation. Dlm. Concept and Application of Community Interaction with Environment,
disunting oleh Haliza Abdul Rahman, Rapeah Suppian. & Norsuhana Abdul Hamid. Batu
Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Publisher (UTHM). pp. 39-62.

Karim, Rezaul & MAN, AZMI & SAHID, ISMAIL. (2004). Weed problems and their
management in rice fields of Malaysia: An overview. Weed Biology and Management. 4. 177
- 186. 10.1111/j.1445-6664.2004.00136.x.

Webb, Hayden & Arnott, Jaimys & Crawford, Russell & Ivanova, Elena. (2012). Plastic
Degradation and Its Environmental Implications with Special Reference to Poly(ethylene
terephthalate). Polymers. 5. 1-18. 10.3390/polym5010001.

Anda mungkin juga menyukai