Anda di halaman 1dari 8

Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

Mutakhir ini, kita sering kali dikejutkan dengan kejadian bencana alam yang melanda hampir
kebanyakan negara serta telah meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa. Ramai mempersoalkan
apakah punca kejadian bencana alam yang berlaku dan secara saintifik telah membuktikan bahawa ia
adalah kesan pemodenan yang dilakukan oleh manusia. Kerakusan membina pembangunan tanpa
mengkaji kesan jangka masa panjang terhadap alam sekitar seharusnya menjadi polemik masyarakat
dunia hari ini. Alam sekitar merupakan khazanah yang tercipta ratusan malah ribuan tahun namun
dimusnahkan oleh manusia hanya dalam beberapa tahun. Maka, setiap diantara kita perlu
bermuhasabah dan mula mencari jalan dalam memulihara serta memelihara alam sekitar demi
menjamin kepentingan alam sekitar.
Signifikan utama dalam penjagaan alam sekitar adalah habitat flora dan fauna akan
terpelihara. Alam sekitar yang merangkumi gunung-ganang, taburan hutan sehingga ke lautan
merupakan habitat kepada hidupan flora dan fauna. Disebabkan populasi manusia yang semakin
bertambah dari tahun ke tahun, pembangunan penempatan juga bertambah rancak. Kita tidak boleh
nafikan bahawa pembangunan adalah penting demi mencapai kemajuan tetapi elemen penjagaan
alam sekitar seharusnya menjadi agenda utama. Hal ini demikian kerana kita masih lagi bergantung
kepada sumber flora dan fauna dalam pelbagai aspek kehidupan terutamanya bekalan makanan.
Sebagai contoh, tumpahan minyak yang berlaku di laut dalam telah menyebabkan ikan-ikan mati
dan nelayan tidak dapat menampung permintaan daripada konsumer. Kesannya, isu keselamatan
makanan akan timbul dan boleh menimbulkan konflik antara negara. Mekanisme kawalan yang
efektif hendaklah dilaksanakan supaya permintaan konsumer dapat dipenuhi disamping
pemeliharaan habitat flora dan fauna terjamin. Janganlah kita bersikap seperti peribahasa Melayu
diberi betis, hendak peha yang membawa maksud bersikap tamak akan merugikan kita.
Pada masa yang sama, ekosistem dunia akan menjadi stabil sekiranya alam sekitar dijaga
dengan baik. Pemanasan global, kenaikan paras air laut dan pencemaran merupakan isu yang timbul
sejak dua tiga dekad kebelakangan ini. Kejadian ini berlaku disebabkan perindustrian yang dicipta
oleh manusia sehingga menyebabkan ekosistem yang memelihara fungsi bumi terganggu.
Tamsilnya, pelepasan karbon telah terhasil daripada pembakaran tenaga seperti kilang pemprosesan
dan penggunaan pengangkutan bahan api. Akibatnya, berlaku penipisan lapisan ozon dan efek rumah
hijua dimana kekurangan jumlah pokok untuk meneutralkan semula kadar karbon yang berada di
hemisfera bumi telah menyumbang kepada peningkatan suhu tersebut. Oleh sebab itu, masyarakat
konvensional perlu berkongkalikung dalam mencari jalan supaya ekosistem bumi kembali stabil
disamping kemajuan manusia dapat dicapai. Persis peribahasa melayu, yang dikejar tidak dapat,
yang dikendung berciciran.
Di samping itu, penjagaan alam sekitar adalah mustahak bagi memastikan kesihatan manusia
terjamin. Kita merupakan makhluk yang lemah dan mudah untuk dijangkiti penyakit terutamanya
jika alam sekitar tidak dijaga. Pencemaran alam yang berlaku telah menyebabkan timbulnya
penyakit-penyakit baharu yang mengancam nyawa manusia. Tambahan pula, penyakit tersebut
mudah dijangkiti dan ubat untuk merawat pesakit memerlukan masa yang lama sebelum ia betul-
betul selamat untuk digunakan. Di Malaysia misalnya, penyakit denggi telah mengancam kesihatan
masyarakat tempatan saban tahun. Endemik ini boleh dihindari sekiranya setiap ahli masyarakat
memastikan kebersihan kawasan setempat dan kebersihan kendiri. Aktiviti bergotong-royong wajar
digalakkan dan kecekapan pengurusan sampah hendaklah ditambah baik oleh pihak berwajib.
Mutiara kata mencegah lebih baik daripada merawat wajar menjadi pegangan setiap anggota
masyarakat dalam mendepani isu berkaitan kesihatan dimana jika dipandang enteng kelak akan
memakan diri sendiri. Isi 4 Jika dilihat pada sudut yang berbeza, alam sekitar yang terjaga dapat
menarik pelancong sama ada domestik atau antarabangsa. Malaysia telah dikurniakan khazanah
alam yang banyak dimana pulau yang mengelilingi perairan negara menjadi pusat penyelam skuba
kerana keindahan terumbu karang yang terdapat di dasar laut. Manakala kemegahan Gunung
Kinabalu menjadi kegemaran pendaki gunung dalam melihat keunikan bentuk muka bumi Sabah
yang terpampang setelah mencapai kemuncak pendakian. Dua contoh tarikan utama pelancong
tempatan mahupun asing ini adalah alam sekitar yang wajar diuruskan dan dipelihara sehabis baik.
Pihak berkuasa seharusnya merancang dengan penuh teliti untuk meningkatkan jumlah pelancong di
samping memelihara keindahan alam yang tersemat di kawasan tersebut. Intihannya, Pelancongan
yang berteraskan alam sekitar mampu menjana ekonomi setempat dan menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi negara secara amnya.
Tuntasnya, banyak kepentingan yang telah dikupas dalam usaha menjaga alam sekitar. Setiap
pihak berperanan untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan alam sekitar
dipelihara dan dipulihara agar fungsinya terjamin. Dengan sifat berat sama dipikul ringan sama
dijinjing, pencemaran dan bencana alam boleh dielakkan sebelum ia terjadi kepada diri atau negara
sendiri. Kemajuan manusia tidak akan terhalang kerana sudah terdapat konsep pembangunan lestari
dimana kelestarian alam sekitar menjadi keutamaan disamping pembangunan dijalankan. Semoga
segala inisiatif menjaga alam sekitar disokong dan mendapat perhatian umum sehingga mengubah
norma biasa manusia kepada norma baharu yang lebih baik. Seterusnya melahirkan generasi yang
menghargai alam sekitar serta bersifat progesif dalam mengembangkan potensi diri, masyarakat,
negara dan juga manusia sejagat
Kepentingan Menjaga Alam Sekitar
Antara aktiviti kegemaran masyarakat di Malaysia pada hujung minggu adalah berkelah bersama-
sama keluarga atau rakan-rakan di tepi pantai dan juga sungai rekreasi. Aktiviti ini menyeronokkan
kerana anak-anak dapat bermandi-manda manakala ibu dan bapa dapat beristirehat menikmati
keindahan alam setelah penat bekerja sepanjang minggu. Namun begitu, kebelakangan ini kawasan-
kawasan tersebut sering dilanda bencana banjir dan air pasang tinggi di mana aktiviti perkelahan
menjadi bahay untuk dilakukan. Situasi ini berlaku kerana sifat tidak bertanggungjawab sesetengah
individu yang mangaut keuntungan demi kepentingan diri sehingga mnerosakkan pencemaran alam.
Aktiviti seperti membalak, menambak pantai dan pemanasan global adalah faktor yang
menyumbang kepada berlakunya kerosakan serta pencemaran kepada alam sekitar. Justeru, mari kita
bincangkan pentingnya penjagaan alam sekitar kepada manusia supaya kekal dan bersih.

Menjaga kebersihan dan fungsi alam sekitar adalah sangat penting untuk mengekalkan
ekosistem dan habitat yang sihat. Kita semua sedia maklum bahawa alam sekitar seperti hutan
belantara, gunung-ganang dan laut merupakan habitat atau tempat tinggal kepada flora dan fauna.
Makhluk yang diciptakan oleh Tuhan ini juga sebenarnya menyumbang kepada kehidupan kita tanpa
kita sedari. Misalnya pokok yang mampu menyerap gas karbon dioksida dan melepaskan gas
oksigen yang sangat diperlukan oleh darah kita untuk kekal hidup. Proses alam semula jadi ini tidak
boleh diganti dengan kemajuan sains atau teknologi yang kita kecapi pada hari ini. Sebaliknya kita
hendaklah berusaha memastikan ekosistem yang selama ini kita bergantung sebagai bekalan oksigen
serta sumber-sumber lain dikekalkan untuk kelangsungan generasi masa hadapan. Oleh itu, setiap
pihak seharusnya memandang serius terhadap isu perubahan iklim dan memastikan alam sekitar kita
dijamin untuk kemaslahatan semua makhluk dimuka bumi ini. Bak kata pepatah, angin tidak dapat
ditangkap, asap tidak dapat digenggam.

Sejajar dengan kepentingan di atas, menjaga kebersihan alam sekitar adalah mustahak untuk
membendung masalah pencemaran. Kita pernah menyaksikan satu insiden di Sungai Kim Kim, Pasir
Gudang yang dicemari dengan pembuangan bahan kimia sehingga mengakibatkan masyarakat
sekitar khususnya kanak-kanak jatuh sakit. Kejadian ini seharusnya menjadi iktibar kepada
masyarakat umum kerana pencemaran alam mampu meragut nyawa-nyawa orang yang kita sayangi.
Kawasan-kawasan seperti sungai, laut dan hutan sepatutnya menjadi kawasan larangan kepada
sebarang aktiviti pembuangan sampah atau apa jenis sisa. Disebabkan kawasan tersebut tidak dilihat
oleh orang awam dan tiada sebarang pemantauan, aktiviti pembuangan sampah secara haram akan
tetap berlaku. Di sini sebenarnya fungsi pihak berkuasa diperlukan dalam penguatkuasaan undang-
undang serta pemantauan di setiap kawasan yang berisiko untuk dicemari. Sekiranya aktiviti ini
dapat dihalang, pasti alam sekitar kita kekal bersih dan tidak rosak dek kerana dicemari oleh
perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Kepentingan seterusnya adalah menjamin bekalan sumber alam semula jadi untuk masyarakat
hari ini dan masa hadapan. Sebagai contoh, sungai adalah sumber bekalan air bersih yang kita
gunakan di rumah kita untuk memasak dan membersih. Walaupun terdapat loji rawatan untuk
menapis tahap kebersihan air sebelum ia sampai ke paip dapur kita, pencemaran yang disebabkan
oleh sisa-sisa kimia memerlukan proses pembersihan yang lebih rumit. Kesannya, bekalan air
terpaksa dipotong bagi memberi laluan kepada proses pembersihan. Bagaimana pula kesannya
terhadap kehidupan akuatik di dalam sungai? Ikan akan mati kerana keracunan dan pengusaha
ternakan ikan di sungai-sungai turut akan terjejas. Rantaian bekalan makanan akan terganggu akibat
kekurangan bekalan makanan dan harga akan naik sehingga membebankan masyarakat. Jelasnya
kita perlu menjaga alam sekitar demi menjamin bekalan sumber alam semula jadi. Persis kata
peribahasa Melayu, ingat antara belum kena, hemat antara sebelum habis.

Akhir sekali, penjagaan alam sekitar adalah penting khususnya di negara kita kerana ia
merupakan pusat tarikan pelancong asing dan juga tempatan. Sektor pelancongan merupakan antara
sektor utama di negara ini yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Tanah air kita
dikelilingan pantai-pantai yang indah, pulau-pulau yang cantik serta memiliki hutan simpan yang
kaya dengan pelbagai flora serta fauna. Keindahan alam semula jadi ini tidak didapati di tempat lain
dan menjadi kegemaran pelancong asing untuk meluangkan masa lapang mereka. Jika kawasan
tumpuan pelancong ini musnah atau dicemari, bukan sahaja pelancong tidak akan melawat malah
pengusaha pelancongan seperti rumah inap desa, restoran dan kedai sekitarnya akan terjejas.
Intihannya, menjaga keindahan alam sekitar dapat menarik pelancong untuk hadir menikmati
keindahannya serta meningkatkan ekonomi masyarakat setempat secara tidak langsung.

Secara tuntas, banyak kepentingan yang perlu dipelihara dalam menjaga kebersihan alam
sekitar. Cuba kita fikirkan, adakah kita mampu untuk hidup tanpa alam sekitar seperti pokok, sengai
dan lautan? Pastinya tidak kerana hidup kita bergantung kepada fungsi-fungsi alam sekitar ini.
Dengan kemudahan penyebaran maklumat masa kini, setipa pihak khusunya pihak berkuasa
hendaklah mengambil kesempatan tersebut untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai
tentang kepentingan penjagaan alam sekitar. Setiap inisiatif ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan
alam sekitar wajar disokong dan disertai oleh individu, masyarakat dan juga negara.Tiada gunung
yang tidak dapat didaki, tiada lurah yang tidak dapat dituruni. Peribahasa tersebut jelas menunjukkan
jika kita beriltizam untuk melakukan sesuatu, pasti ada cara yang terbaik untuk kita
merealisasikannya dengan berjaya.
LANGKAH -LANGKAH MENJAGA ALAM SEKITAR
Alam sekitar merupakan sumber kehidupan yang penting untuk manusia dan makhluk hidup lainnya
di muka bumi ini. Namun, akibat kesilapan dan kecuaian manusia, alam sekitar kini mengalami
masalah seperti pencemaran air, udara, dan tanah, serta penggundulan hutan dan kepupusan spesies.
Oleh itu, langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk melindungi dan menjaga alam sekitar agar
generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan kekayaan alam semula jadi. Dalam karangan
ini, kita akan membincangkan empat langkah yang boleh diambil untuk menjaga alam sekitar.

Salah satu langkah penting dalam menjaga alam sekitar adalah dengan mengamalkan konsep
3R, iaitu mengurangkan (reduce), menggunakan semula (reuse), dan mengitar semula (recycle).
Mengurangkan bermaksud mengurangkan penggunaan sumber alam dan barang yang tidak
diperlukan. Sebagai contoh, kita boleh mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai dan
menggunakan beg kain yang boleh digunakan berulang kali. Menggunakan semula pula bermaksud
menggunakan barang yang telah digunakan untuk tujuan lain. Sebagai contoh, kita boleh
menggunakan botol kaca yang telah digunakan untuk menyimpan makanan. Akhir sekali, mengitar
semula bermaksud mengolah bahan buangan yang telah digunakan untuk dijadikan produk baru.
Contohnya, kertas yang telah digunakan boleh diolah semula menjadi kertas baru.

Penanaman pokok dan pemuliharaan hutan merupakan langkah yang penting dalam menjaga
alam sekitar. Pokok berfungsi sebagai penyerap karbon dioksida, penghasil oksigen, dan pemelihara
kestabilan tanah. Dengan menanam lebih banyak pokok, kita boleh membantu mengurangkan
jumlah karbon dioksida dalam atmosfera dan melawan pemanasan global. Selain itu, pemuliharaan
hutan juga penting dalam menjaga kepelbagaian spesies dan keseimbangan ekosistem. Oleh itu, kita
harus memastikan hutan dilindungi daripada aktiviti penebangan dan pembalakan yang tidak
terkawal.

Pencemaran air, udara, dan tanah merupakan masalah utama yang dihadapi alam sekitar. Oleh
itu, kita perlu mengambil langkah untuk mengurangkan pencemaran ini. Pertama, kita perlu
memastikan bahan buangan dibuang dengan cara yang betul. Sebagai contoh, bahan buangan
elektronik harus dibuang di tempat khas yang disediakan oleh pihak berkuasa. Kedua, kita harus
menggunakan kenderaan yang lebih mesra alam, seperti kereta elektrik atau menggunakan
pengangkutan awam. Ketiga, industri harus mematuhi peraturan pencemaran yang ditetapkan oleh
pihak berkuasa dan menggunakan teknologi yang lebih mesra alam dalam proses pengeluaran
mereka. Keempat, kita harus menjaga sumber air dengan tidak mencemarkan sungai, tasik, dan
lautan dengan bahan kimia dan sampah.
Pendidikan dan kesedaran alam sekitar merupakan salah satu langkah terpenting dalam
menjaga alam sekitar. Masyarakat perlu diberi pengetahuan mengenai isu-isu alam sekitar dan cara-
cara untuk menjaga kelestarian sumber alam semulajadi. Pendidikan alam sekitar boleh dimulakan
di peringkat sekolah rendah dengan memasukkan topik seperti kepelbagaian biologi, keberkesanan
sumber, dan isu-isu pencemaran dalam kurikulum. Selain itu, kempen dan program kesedaran alam
sekitar boleh dianjurkan oleh pihak berkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan komuniti
setempat untuk menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam usaha menjaga alam sekitar.

Kesimpulannya, langkah-langkah yang telah dinyatakan seperti mengamalkan konsep 3R,


penanaman pokok dan pemuliharaan hutan, mengurangkan pencemaran, serta pendidikan dan
kesedaran alam sekitar merupakan usaha yang penting untuk menjaga alam sekitar. Semua pihak
perlu bekerjasama dan berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan langkah-langkah ini
demi kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang. Hanya dengan usaha bersama, kita dapat
memastikan keindahan dan kekayaan alam semulajadi dapat dinikmati oleh generasi masa depan.
Punca-Punca Pencemaran Alam Sekitar
Dalam meniti kerancakan arus pemodenan pada era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang
serba mencabar akal dan minda ini telah membuatkan kita alpa akan tanggungjawab kita menghargai
serta memelihara keindahan alam semula jadi. Dewasa ini, kita boleh lihat hampir setiap hari buletin
di televisyen menyiarkan bencana-bencana alam yang menimpa manusia tidak kira di dalam
mahupun luar negara. Jadi adakah kita sedar bahawa sebahagian daripada musibah ini berpunca
daripada kegagalan kita menjaga habitat alam yang kita diami bertahun-tahun lamanya. Alam sekitar
yang dahulunya merimbun memayungi lapisan bumi semakin lenyap dek kerakusan manusia. Oleh
itu, rasionalnya untuk kita mengupas apakah dalang yang menyebabkan pencemaran ini berlaku dan
menjadi semakin berleluasa mutakhir ini.

Punca utama dalam berlakunya pencemaran ini adalah sikap tidak bertanggungjawab individu
mahupun sesebuah organisasi dalam pencemaran. Sebagai contoh, aktiviti ekonomi seperti
pembukaan kawasan perumahan dan perindustrian yang baru diperlukan tetapi, ekosistem sesebuah
kawasan tersebut perlu dipelihara. Penebangan hutan dan penarahan bukit tanpa ada tindakan
pemuliharaan seperti penanaman semula pokok telah menyebabkan flora dan fauna kehilangan
habitat mereka. Hal ini menyebabkan berlaku bencana seperti tanah runtuh dan banjir kilat kerana
ketiadaan pokok-pokok yang selama ini menjadi tunjang utama kekuatan tanah di kawasan tersebut.
Justeru, kekayaan yang kian mengaburi mata-mata orang yang tidak prihatin akan alam semula jadi
ini harus dibukakan mata dan ditunjukkan kesan dan akibat sekiranya pencemaran ini berlaku dan
meniggalkan kesan terhadap diri mereka sendiri.

Dalam pada itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga antara punca berlakunya
pencemaran yang semakin menjadi-jadi hari ini. Peranan pihak berkuasa dilihat semakin kurang dan
pemantauan yang tidak konsisten menyebabkan ramai individu yang tidak bertanggungjawab
membuat onar dan mengendahkan kedaulatan undang-undang. Intergriti pihak berkuasa perlu
dipersoalkan lantaran kes-kes penerimaan rasuah yang dikaitkan dengan penjawat-penjawat awam.
Hal ini berlaku kerana tekanan ekonomi dan sikap tidak bertanggungjawab individu yang
menawarkan wang haram tersebut hanya kerana ingin melepaskan diri daripada tindakan undang-
undang. Pihak kerajaan sewajarnya lebih menumpukan perhatian dalam bab kebajikan pegawai-
pegawai yang bertugas menegakkan kedaulatan undang-undang negara.

Pada masa yang sama, antara dimensi lain yang menyebabkan pencemaran ini adalah
kelonggaran dasar atau polisi kerajaan dalam kepentingan alam sekitar. Kerajaan telah
mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan yang bertujuan
mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan
daripada pencemaran meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun pencemaran
masih berlaku secara berleluasa. Bak kata peribahasa Melayu, seperti melepaskan batuk ditangga
yang bermaksud perlakuan kerja yang dilakukan secara sambil lewa. Jikalau kita lihat, kepupusan
haiwan semakin menjadi-jadi, pembangunan secara lestari tidak dilaksana sehinggakan berlaku
pencemaran yang memakan diri. Misalnya, kejadian yang berlaku di Pasir Gudang, Johor di mana
kawasan perindustrian dibina hampir dengan kawasan perumahan dan sekolah dan pencemaran
udara yang teruk telah melanda dan mengakibatkan sekolah ditutup dan kanak-kanak dihantar ke
hospital. Harapan yang tinggi untuk pihak kerajaan hari ini mengutamakan pemeliharaan dan
pemuliharaan alam sekitar di samping memacu ekonomi negara ke arah kegemilangan.

Selain itu, punca pencemaan alam sekitar adalah penggunaan sumber tenaga yang
mencemarkan alam seperti diesel dan bahan bakar yang lain. Faktor perindustrian dan pengangkutan
yang bergantung pada bahan bakar petrol dan diesel menyumbang kepada pencemaran udara dan
bunyi. Gas-gas karbon dioksida yang dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor seperti kereta,
lori, bas, dan motosikal secara berlebihan telah menyebabkan indeks udara berada pada tahap yang
membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini. Kita boleh melihat contoh di negara Norway
yang menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik ataupun yang berasaskan tenaga yang boleh
diperbaharui. Mereka memberi pengecualian cukai dan kemudahan parkir untuk pengguna
kenderaan tersebut sekaligus mengurangkan pelepasan gas-gas yang mencemarkan udara dan
memanfaatkan sumber tenaga yang berpotensi untuk masa hadapan. Maka, pendekatan teknologi
dan sistem yang mesra alam perlulah digalakkan agar kita dapat bersama-sama mencegah
pencemaran ini daripada terus berleluasa.

Konklusinya, pelbagai punca yang dapat dirangkum dalam punca pencemaran ini terjadi.
Masyarakat dengan kerjasama media massa harus meningkatkan tahap kesedaran sivik orang-orang
sekeliling kita tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar. Jika setiap pihak mengambil langkah
yang proaktif persis mutiara kata, ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti kemelut
ini dapat diatasi dengan berkesan. Setiap individu hendaklah meluaskan horizon pemikiran dan
memanifestasikan fikiran dan membuat inteprestasi masing-masing dalam kepentingan memelihara
dan memulihara alam sekitar demi kelangsungan generasi akan datang. Semoga mereka dapat
merasai keindahan alam semula jadi secara langsung dan tidak hanya melihat video atau bentuk
digital keunikan flora dan fauna yang kita miliki hari ini.

Anda mungkin juga menyukai