Anda di halaman 1dari 3

Mutakhir ini, kita sering kali dikejutkan dengan kejadian bencana alam yang melanda hampir

kebanyakan negara serta telah meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa. Ramai mempersoalkan
apakah punca kejadian bencana alam yang berlaku dan secara saintifik telah membuktikan bahawa ia
adalah kesan pemodenan yang dilakukan oleh manusia. Kerakusan membina pembangunan tanpa
mengkaji kesan jangka masa panjang terhadap alam sekitar seharusnya menjadi polemik masyarakat
dunia hari ini. Alam sekitar merupakan khazanah yang tercipta ratusan malah ribuan tahun namun
dimusnahkan oleh manusia hanya dalam beberapa tahun. Maka, setiap diantara kita perlu
bermuhasabah dan mula mencari jalan dalam memulihara serta memelihara alam sekitar demi
menjamin kepentingan alam sekitar.

Signifikan utama dalam penjagaan alam sekitar adalah habitat flora dan fauna akan terpelihara. Alam
sekitar yang merangkumi gunung-ganang, taburan hutan sehingga ke lautan merupakan habitat kepada
hidupan flora dan fauna. Disebabkan populasi manusia yang semakin bertambah dari tahun ke tahun,
pembangunan penempatan juga bertambah rancak. Kita tidak boleh nafikan bahawa pembangunan
adalah penting demi mencapai kemajuan tetapi elemen penjagaan alam sekitar seharusnya menjadi
agenda utama. Hal ini demikian kerana kita masih lagi bergantung kepada sumber flora dan fauna dalam
pelbagai aspek kehidupan terutamanya bekalan makanan. Sebagai contoh, tumpahan minyak yang
berlaku di laut dalam telah menyebabkan ikan-ikan mati dan nelayan tidak dapat menampung
permintaan daripada konsumer. Kesannya, isu keselamatan makanan akan timbul dan boleh
menimbulkan konflik antara negara. Mekanisme kawalan yang efektif hendaklah dilaksanakan supaya
permintaan konsumer dapat dipenuhi disamping pemeliharaan habitat flora dan fauna terjamin.
Janganlah kita bersikap seperti peribahasa Melayu diberi betis, hendak peha yang membawa maksud
bersikap tamak akan merugikan kita.

Pada masa yang sama, ekosistem dunia akan menjadi stabil sekiranya alam sekitar dijaga dengan baik.
Pemanasan global, kenaikan paras air laut dan pencemaran merupakan isu yang timbul sejak dua tiga
dekad kebelakangan ini. Kejadian ini berlaku disebabkan perindustrian yang dicipta oleh manusia
sehingga menyebabkan ekosistem yang memelihara fungsi bumi terganggu. Tamsilnya, pelepasan
karbon telah terhasil daripada pembakaran tenaga seperti kilang pemprosesan dan penggunaan
pengangkutan bahan api. Akibatnya, berlaku penipisan lapisan ozon dan efek rumah hijua dimana
kekurangan jumlah pokok untuk meneutralkan semula kadar karbon yang berada di hemisfera bumi
telah menyumbang kepada peningkatan suhu tersebut. Oleh sebab itu, masyarakat konvensional perlu
berkongkalikung dalam mencari jalan supaya ekosistem bumi kembali stabil disamping kemajuan
manusia dapat dicapai. Persis peribahasa melayu, yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran.

Di samping itu, penjagaan alam sekitar adalah mustahak bagi memastikan kesihatan manusia terjamin.
Kita merupakan makhluk yang lemah dan mudah untuk dijangkiti penyakit terutamanya jika alam sekitar
tidak dijaga. Pencemaran alam yang berlaku telah menyebabkan timbulnya penyakit-penyakit baharu
yang mengancam nyawa manusia. Tambahan pula, penyakit tersebut mudah dijangkiti dan ubat untuk
merawat pesakit memerlukan masa yang lama sebelum ia betul-betul selamat untuk digunakan. Di
Malaysia misalnya, penyakit denggi telah mengancam kesihatan masyarakat tempatan saban tahun.
Endemik ini boleh dihindari sekiranya setiap ahli masyarakat memastikan kebersihan kawasan setempat
dan kebersihan kendiri. Aktiviti bergotong-royong wajar digalakkan dan kecekapan pengurusan sampah
hendaklah ditambah baik oleh pihak berwajib. Mutiara kata mencegah lebih baik daripada merawat
wajar menjadi pegangan setiap anggota masyarakat dalam mendepani isu berkaitan kesihatan dimana
jika dipandang enteng kelak akan memakan diri sendiri.

Jika dilihat pada sudut yang berbeza, alam sekitar yang terjaga dapat menarik pelancong sama ada
domestik atau antarabangsa. Malaysia telah dikurniakan khazanah alam yang banyak dimana pulau yang
mengelilingi perairan negara menjadi pusat penyelam skuba kerana keindahan terumbu karang yang
terdapat di dasar laut. Manakala kemegahan Gunung Kinabalu menjadi kegemaran pendaki gunung
dalam melihat keunikan bentuk muka bumi Sabah yang terpampang setelah mencapai kemuncak
pendakian. Dua contoh tarikan utama pelancong tempatan mahupun asing ini adalah alam sekitar yang
wajar diuruskan dan dipelihara sehabis baik. Pihak berkuasa seharusnya merancang dengan penuh teliti
untuk meningkatkan jumlah pelancong di samping memelihara keindahan alam yang tersemat di
kawasan tersebut. Intihannya, Pelancongan yang berteraskan alam sekitar mampu menjana ekonomi
setempat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara amnya.

Menjaga kebersihan dan fungsi alam sekitar adalah sangat penting untuk mengekalkan ekosistem dan
habitat yang sihat. Kita semua sedia maklum bahawa alam sekitar seperti hutan belantara, gunung-
ganang dan laut merupakan habitat atau tempat tinggal kepada flora dan fauna. Makhluk yang
diciptakan oleh Tuhan ini juga sebenarnya menyumbang kepada kehidupan kita tanpa kita sedari.
Misalnya pokok yang mampu menyerap gas karbon dioksida dan melepaskan gas oksigen yang sangat
diperlukan oleh darah kita untuk kekal hidup. Proses alam semula jadi ini tidak boleh diganti dengan
kemajuan sains atau teknologi yang kita kecapi pada hari ini. Sebaliknya kita hendaklah berusaha
memastikan ekosistem yang selama ini kita bergantung sebagai bekalan oksigen serta sumber-sumber
lain dikekalkan untuk kelangsungan generasi masa hadapan. Oleh itu, setiap pihak seharusnya
memandang serius terhadap isu perubahan iklim dan memastikan alam sekitar kita dijamin untuk
kemaslahatan semua makhluk dimuka bumi ini. Bak kata pepatah, angin tidak dapat ditangkap, asap
tidak dapat digenggam.

Sejajar dengan kepentingan di atas, menjaga kebersihan alam sekitar adalah mustahak untuk
membendung masalah pencemaran. Kita pernah menyaksikan satu insiden di Sungai Kim Kim, Pasir
Gudang yang dicemari dengan pembuangan bahan kimia sehingga mengakibatkan masyarakat sekitar
khususnya kanak-kanak jatuh sakit. Kejadian ini seharusnya menjadi iktibar kepada masyarakat umum
kerana pencemaran alam mampu meragut nyawa-nyawa orang yang kita sayangi. Kawasan-kawasan
seperti sungai, laut dan hutan sepatutnya menjadi kawasan larangan kepada sebarang aktiviti
pembuangan sampah atau apa jenis sisa. Disebabkan kawasan tersebut tidak dilihat oleh orang awam
dan tiada sebarang pemantauan, aktiviti pembuangan sampah secara haram akan tetap berlaku. Di sini
sebenarnya fungsi pihak berkuasa diperlukan dalam penguatkuasaan undang-undang serta pemantauan
di setiap kawasan yang berisiko untuk dicemari. Sekiranya aktiviti ini dapat dihalang, pasti alam sekitar
kita kekal bersih dan tidak rosak dek kerana dicemari oleh perbuatan manusia yang tidak
bertanggungjawab.

Kepentingan seterusnya adalah menjamin bekalan sumber alam semula jadi untuk masyarakat hari ini
dan masa hadapan. Sebagai contoh, sungai adalah sumber bekalan air bersih yang kita gunakan di
rumah kita untuk memasak dan membersih. Walaupun terdapat loji rawatan untuk menapis tahap
kebersihan air sebelum ia sampai ke paip dapur kita, pencemaran yang disebabkan oleh sisa-sisa kimia
memerlukan proses pembersihan yang lebih rumit. Kesannya, bekalan air terpaksa dipotong bagi
memberi laluan kepada proses pembersihan. Bagaimana pula kesannya terhadap kehidupan akuatik di
dalam sungai? Ikan akan mati kerana keracunan dan pengusaha ternakan ikan di sungai-sungai turut
akan terjejas. Rantaian bekalan makanan akan terganggu akibat kekurangan bekalan makanan dan harga
akan naik sehingga membebankan masyarakat. Jelasnya kita perlu menjaga alam sekitar demi menjamin
bekalan sumber alam semula jadi. Persis kata peribahasa Melayu, ingat antara belum kena, hemat
antara sebelum habis.

Penjagaan alam sekitar adalah penting khususnya di negara kita kerana ia merupakan pusat tarikan
pelancong asing dan juga tempatan. Sektor pelancongan merupakan antara sektor utama di negara ini
yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Tanah air kita dikelilingan pantai-pantai
yang indah, pulau-pulau yang cantik serta memiliki hutan simpan yang kaya dengan pelbagai flora serta
fauna. Keindahan alam semula jadi ini tidak didapati di tempat lain dan menjadi kegemaran pelancong
asing untuk meluangkan masa lapang mereka. Jika kawasan tumpuan pelancong ini musnah atau
dicemari, bukan sahaja pelancong tidak akan melawat malah pengusaha pelancongan seperti rumah
inap desa, restoran dan kedai sekitarnya akan terjejas. Intihannya, menjaga keindahan alam sekitar
dapat menarik pelancong untuk hadir menikmati keindahannya serta meningkatkan ekonomi
masyarakat setempat secara tidak langsung.

Anda mungkin juga menyukai