Anda di halaman 1dari 14

4.

Alam terpelihara Manusia Sejahtera

Alam sekitar adalah anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan.

Manusia banyak bergantung kepada sumber-sumber semulajadi di muka bumi ini. Allah telah

mencipta alam ini seimbang untuk kemakmuran munusia. Bumi yang luas dijadikan tempat tinggal

manusia, gunung-gunung sebagai pemasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan

ubatan kepada kehidupan, demikian juga dengan pelbagai jenis haiwan dan hidupan di lautan. Alam

sekitar yang tidak tercemar memberikan kita suasana yang selesa dan menyamankan. Di samping

memberi keselesaan kepada manusia, ia juga sedikit sebanyak akan terjejas akibat aktiviti-aktiviti

pembangunan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak dijaga dengan baik.

Persekitaran yang bersih membolehkan kita menyedut udara yang segar. Udara yang bersih

merupakan nikmat yang sangat bernilai kepada kehidupan manusia. Kawasan yang segar dan bersih

lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan menghijau. Tumbuh-tumbuhan membebaskan oksigen ke

udara dan membolehkan badan kita mendapat bekalan oksigen secukupnya.

Udara dalam alam sekitar kita yang bersih dan segar juga membolehkan kita menikmati

keselesaan. Kita akan berasa selasa jika tiada gangguan di persekitaran kita. Cuaca panas dan kering

yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielakkan dan membolehkan kita menjalani kehidupan

dalam keadaan cuaca yang baik. Melalui persekitaran yang segar dan nyaman juga, orang ramai

boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan yang boleh menimbulkan perasaan rimas

marah dan tidak selesa. Aktivti riadah yang dijalankan dalam keadaan bersih akan meningkatkan

tahap kesihatan kita.

Selain itu, penanaman pokok-pokok haruslah dirancang dengan teratur dari semasa ke semasa.

Penanaman tumbuhan hijau bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang sejuk dan

nyaman, malah berfungsi untuk menstabilkan suhu persekitaran. Penanaman pokok-pokok ini juga

bertujuan mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida. Akhirnya,

pemanansan global dapat dikawal dan akan dapat menstabilkan ekosistem persekitaran. Penjagaan

sumber-sumber alam sekitar seperti pokok-pokok akan dapat membendung pelbagai masalah,
sebagai contoh hutan mengawal hakisan tanah dan banjir. Hutan juga menjadi salah satu sumber

ekonomi negara kita.

Alam setikar yang bersih juga dapat mengelakkan pembiakan serangga yang mampu membawa

penyakit. Persekitaran yang bersih menghalang haiwan seperti lalat, nyamuk dan tikus daripada

membiak dan menyebarkan penyakit kepada manusia seperti malaria, deman denggi, taun dan

hawar. Keadaan ini turut melindungi makanan kita daripada dicemari oleh vector-vektor penyakit

tersebut dan dengan itu, masalah keracunan makanan dapat dielakkan.

Gangguan daripada serangga di dalam rumah juga dapat dielakkan jika persekitaran dalam

keadaan bersih. Alam setikar yang bersih dapat mengurangkan pembiakan serangga seperti nyamuk,

lalat, dan serangga lain yang berada di dalam rumah. Tanpa serangga tersebut, kita dapat berehat

dengan selesa di rumah pada bila-bila masa. Selain itu, persekitaran yang bersih juga mengelakkan

pencemaran bau yang boleh mengganggu keselesaan hidup kita.

Selain itu, air merupakan sumber asli yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Air sangat

diperlukan oleh tubuh badan manusia sehinggakan manusia boleh hidup bertahan beberapa hari

dengan air sahaja tanpa makanan. Tubuh kita mengandungi lebih kurang 70% air. Sekiranya

kehilangan air, hal ini akan mengakibatkan kita kehilangan tenaga. Air bukan sahaja penting kepada

manusia malah kepada hidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang turut memerlukan

air. Air yang suci dan bersih merupakan penjana kepada kehidupan di muka bumi. Oleh kerana air

merupakan unsur penting dalam kehidupan manusia, masyarakat  haruslah berganding bahu dalam

memelihara dan menjaga kebersihan air terutamanya menjaga keselamatan alam sekitar daripada

sebarang pencemaran.

Tambahan pula, alam sekitar yang dijaga oleh semua lapisan masyarakat dapat mengelakkan

kepupusan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah merupakan salah

satu sumber makanan kepada manusia. Pencemaran alam sekitar yang dilakukan akan menyebabkan

kemusnahan habitat haiwan dan akan menyebabkan sumber makanan manusia akan berkurang,

sebagai contoh hidupan laut seperti udang, ikan dan seumpamanya merupakan sumber makanan
yang mengandungi protein yang dapat menstabilkan kesihatan manusia. Sekiranya kita melakukan

sebarang pencemaran laut seperti pembuangan sisa toksik ke dalam laut, kepupusan hidupan laut

akan berlaku. Manakala, tumbuh-tumbuhan pula menjadi sumber kepada perubatan seperti herba

untuk pesakit. Alam sekitar yang tidak tercemar membolehkan habitat hidupan darat dan air

terpelihara.

Di samping itu, alam sekitar yang bersih akan dapat meningkatkan ekonomi negara. Sesebuah

masyarakat yang bersih dan mengandungi nilai kedamaian akan dapat menarik perhatian pelancong

asing. Kedatangan pelancong asing ke dalam negara kita akan meningkatkan nilai tukaran wang

asing, dan ini akan dapat memajukan perkembangan ekonomi negara kita. Selain itu, kedatangan

pelancong juga dapat memajukan sektor perkhimatan dan sektor perniagaan serta menawarkan

peluang perkerjaan kepada masyarakat. Dengan ini, imej negara kita akan dapat ditingkatkan.

Kesimpulannya, pemeliharaan muka bumi perlu dijalankan bagi menjamin bekalan sumber

makanan, sumber kesihatan untuk  menghasilkan ubat-ubatan, Ia turut berperanan sebagai sumber

kecantikan, keindahan dan kedamaian di samping udara yang bersih. Justeru, semua lapisan

masyarakat haruslah bekerjasama dan saling membantu dalam memelihara alam sekitar supaya

kebersihan alam sekitar dapat ditingkatkan dalam kehidupan kita.

Kepentingan Menjaga Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di

permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar memainkan peranan yang penting

dalam kehidupan harian kita. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita satu suasana yang

selesa dan menyamankan. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, aktiviti-aktiviti

pembangunan sedikit sebanyak menjejaskan negara sekiranya alam sekitar di negara kita tidak

dijaga dengan baik. Amalan menjaga kebersihan merupakan tuntutan semua agama. Persekitaran

yang bersih penting untuk mewujudkan kehidupan yang sihat dan sejahtera.
Kepentingan alam sekitar kepada sistem pernafasan kita. Persekitaran yang bersih

membolehkan kita menyedut udara yang segar. Udara yang bersih dan segar sememangnya amat

penting untuk kesihatan. Kawasan yang segar dan bersih lazimnya dipenuhi dengan tumbuhan

menghijau. Tumbuh-tumbuhan akan membebaskan oksigen ke udara dan membolehkan badan kita

mendapat bekalan oksigen secukupnya. Selain itu, alam sekitar yang bersih membolehkan kita

menikmati keselesaan. Cuaca panas dan kering yang disebabkan oleh kenaikan suhu dapat dielakkan

dan membolehkan kita menjalankan kehidupan dalam keadaan yang baik. Melalui persekitaran yang

segar dan nyaman juga, orang ramai boleh melakukan aktiviti luar dan beriadah tanpa gangguan

yang boleh menimbulkan perasaan rimas, marah dan tidak selesa. Aktiviti riadah yang dijalankan

dalam keadaan bersih akan menguatkan kesihatan kita. Dengan ini, kesihatan manusia akan

terjamin.

Menjaga alam sekitar adalah penting untuk flora dan fauna. Kebersihan alam sekitar akan

menjamin keseimbangan ekosistem. Ekosistem yang terpelihara daripada kerakusan manusia akan

membantu menjamin sumber air. Tanpa pemusnahan hutan, ia dapat berfungsi sebagai kawasan

tadahan hujan. Kehadiran hutan-hutan tadahan hujan akan menakung air hujan secara semula jadi

dalam kuantiti yang besar. Hutan yang lengkap dengan flora dan faunanya menyebabkan air hujan

yang turun dapat disalurkan dengan baik ke sungai. Air hujan yang turun itu tidak akan tersejat

malah akan disalurkan ke sungai untuk meneruskan peredaran air. Ini dapat menjamin bekalan air

yang mencukupi bagi kegunaan persendirian mahupun industri. Selain itu, hutan merupakan aspek

penting untuk penakungan air di empangan-empangan yang dilengkapi teknologi canggih. Keadaan

ini membolehkan kita menghasilkan kuasa elektrik hidro sebagai suatu tenaga yang bersifat mesra

alam dan akan mengurangkan pergantungan kepada tenaga fosil seperti petrol dan arang batu yang

memusnahkan alam. Secara umumnya, kebersihan alam sekitar adalah tuntutan semulajadi bagi

manusia untuk menjamin kehidupan yang selesa.

Pemuliharaan terhadap alam sekitar adalah amat penting untuk mengelakkan kepupusan flora

dan fauna. Alam sekitar merupakan tempat tinggal bagi flora dan fauna. Kedua-duanya memainkan
peranan dalam mengekalkan alam semulajadi dan saling berkaitan di antara satu sama lain, Flora

dan fauna merupakan biodiversiti yang tidak boleh dipisahkan. Flora merupakan tempat

perlindungan pelbagai fauna daripada angkara manusia atau sesama haiwan sendiri. Kepupusan

salah satu daripadanya akan menjejaskan kitaran alam semulajadi. Penebangan hutan yang tidak

terancang akan menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering. Ini akan menjejaskan pertumbuhan

flora dan fauna. Pemuliharaan terhadap alam sekitar adalah penting untuk mengelakkan

kepupusan..

Penghutanan semula yang dilakukan secara terancang dan sistematik oleh Jabatan Perhutanan

serta badan-badan bukan kerajaan dapat meningkatkan oksigen di atmosfera kerana tumbuhan

hijau berperanan sebagai perangkap dan pengguna utama karbon dioksida dalam proses

fotosintesis.. Penghutanan semula dilakukan di kawasan hutan yang telah ditebang. Tujuan

penghutanan semula adalah untuk mengekalkan spesies pokok hutan tersebut. Di samping itu,

penghutanan semula dapat mengekalkan kualiti alam sekitar yang baik, memulihara tanah yang

subur dan sumber air yang cukup.

Persekitaran yang bersih juga dapat mengelakkan pembiakan serangga. Persekitaran yang kotor

akan meyebabkan pembiakan serangga yang dapat mengancam nyawa manusia. Sebagai contoh

nyamuk Aedes boleh menyebabkan demam denggi yang berbahaya. Selain itu, persekitaran yang

kotor akan mendatangkan banyak lalat. Lalat yang membawa kuman akan menghinggap makanan

kita, hal ini akan menyebabkan kesihatan manusia terjejas seperti cirit-birit dan muntah. Oleh itu,

penjagaan kebersihan terhadap alam sekitar adalah penting.

Keindahan alam sekitar juga akan menarik pelancong untuk mengunjungi negara kita.

Persekitaran yang cantik dan bersih dapat menarik ramai pelancongan dari luar negara atau orang

tempatan untuk melancong ke negara kita. Melalui aktiviti pelancongan, kita dapat meningkatkan

pendapatan negara melalui pertukaran wang asing. Dalam jangka panjang, pertumbuahan ekonomi

juga akan meningkat. Melalui aktiviti itu. peluang perkerjaan juga akan meningkat dan secara tidak

langsung ia dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara kita. Dalam usaha memajukan
negara dan meningkatkan taraf hidup penduduk, penjagaan terhadap alam sekitar merupakan

tanggungjawab masyarakat.

Kesimpulannya, kita mesti sedar akan kepentingan memelihara alam semulajadi yang masih ada

pada hari ini. Usaha-usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar

terus dilakukan oleh pelbagai pihak di negara ini seperti kempen kebersihan, perkhemahan alam

sekitar bagi belia, seminar, bengkel, pameran, promo media dan penerbitan bahan-bahan cetak.

Semuanya adalah bagi meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan penyertaan orang ramai bagi

memelihara alam sekitar. Pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Setiap

generasi perlu turut serta supaya pembangunan lestari dikekalkan supaya dapat dinikmati sehingga

generasi akan datang.

6. Modal insan berintegriti

“Cemerlang, Gemilang, Terbilang”, inilah slogan yang sentiasa dilafazkan oleh Yang Berhormat

Perdana Menteri kita Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan beliau. Kecemerlangan dan

kegemilangan negara perlu bermodalkan insan berkualiti.

Tidak susah untuk mentafsirkan apa itu insan berkualiti sekiranya anda memahami apa erti

kehidupan sebenar. Kehidupan bagaikan satu landasan yang perlu kita harungi untuk mencapai satu

matlamat atau kejayaan. Berapa lama dan berapa jauh sudah ditentukan, hanya pengisiannya perlu

difikirkan agar menjadi kebanggaan semua pihak.

Setiap insan mengimpikan kejayaan dan kecemerlangan dalam semua aspek sama ada untuk diri

sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Namun, adakah impian ini akan tercapai atau sekadar impian

semata-mata yang akhirnya akan terkubur? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Bukan mudah

untuk mencapai impian sekiranya tiada persediaan dari awal dan matlamat sebenar.
Sebuah syarikat yang dapat menghasilkan produk berkualiti dianggap syarikat yang berjaya, ini

kerana syarikat tersebut dapat memuaskan hati pelanggannya. Begitu juga Negara, Negara yang

mempunyai rakyat yang berkualiti dianggap Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Jika

sesuatu produk yang berkualiti mempunyai ciri-ciri yang tertentu, bagaimana pula ciri-ciri insan yang

berkualiti yang dikatakan pemacu kecemerlangan Negara?

Insan berkualiti dapat dilihat dari segi dalaman dan juga luaran iaitu berkualiti dari aspek rohani dan

jasmani. Kedua-duanya perlu seimbang barulah hasilnya sempurna. Insan yang berkualiti dari aspek

rohani bermaksud berkualiti sifat rohaninya iaitu mempunyai hati yang mulia dan ikhlas. Sifat inilah

yang paling utama yang perlu ada dalam diri setiap insan untuk mencapai kejayaan. Mempunyai jati

diri yang tinggi dan berdaya saing juga amat penting untuk menjadi insan yang berkualiti. Insan

berkualiti dari aspek jasmani pula ialah berkualiti tubuh badannya atau dengan kata mudah, sihat

tubuh badan. Insan yang mempunyai tubuh badan yang sihat dapat berfikir dengan sempurna dan

bersemangat dalam melakukan apa sahaja pekerjaan. Semangat inilah yang penting untuk mencapai

kecemerlangan.

Insan berkualiti juga bermaksud berkualiti dari segi pemikirannya. Cara pemikiran yang matang dan

bernas menghasilkan strategik kearah kecemerlangan. Pemikiran yang positif membantu

meningkatkan keyakinan diri untuk mencapai impian. Selain itu, ilmu pengetahuan adalah aset

utama dalam kehidupan. Oleh itu insan berkualiti tidak boleh tidak, mesti mempunyai ilmu

pengetahuan yang tinggi. Gabungan kesemua aspek melahirkan insan berkualiti yang mempunyai

semangat, impian dan matlamat ke arah kecemerlangan bukan sahaja untuk diri sendiri malah

keluarga, bangsa dan negara.

Pembentukkan modal insan berkualiti ke atas pembinaan satu tenaga manusia yang lebih

berkemahiran, berintegriti, amanah serta menekankan amalan nilai-nilai yang murni amat
diperlukan. Modal insan berkualiti sebenarnya perlu menjadi satu faktor yang penting dalam

pembangunan sesebuah negara. Malah jika kita lihat kepada negara-negara maju yang lain, jelas

menunjukkan pembangunan modal insan dijadikan sebagai aset utama. Tenaga muda dijadikan aset

yang penting dalam pembangunan modal insan berkualiti kerana golongan ini mempunyai potensi

yang amat bernilai untuk dibangunkan. Golongan ini perlu dijadikan benteng harapan untuk maju ke

hadapan dan sebagai sumber penting bagi membentuk zaman dan kemajuan sebuah negara.

Negara yang cemerlang memiliki pemimpin dan rakyat yang berpotensi tinggi. Tidak kira dari

pelbagai aspek. Kecemerlangan negara boleh dilihat dengan kejayaan rakyatnya yang mampu

membawa negara ke mata dunia. Kejayaan itu merangkumi plbagai bidang sama ada pendidikan,

perniagaan, pembangunan, teknologi dan sukan. Selain rakyatnya, pemimpin juga merupakan aset

utama kecemerlangan negara. Peranan pemimpin amat penting dalam memajukan sebuah negara.

Oleh itu negara yang cemerlang mempunyai pemimpin yang berkualiti. Seorang pemimpin yang

berpotensi tinggi dan berkualiti dapat membawa pengikutnya ke arah kecemerlangan negara.

Negara yang memiliki modal insan yang berkualiti, akan mencapai tahap pembangunan yang tinggi

setaraf dengan antarabangsa. Kita mempunyai kekuatan terutama dalam pendidikan yang cukup

berkeupayaan untuk membina diri menjadi modal insan yang bukan sahaja berilmu tetapi

mempunyai kualiti jati diri yang tinggi bersandarkan nilai-nlai budaya serta pegangan nilai murni

yang diwarisi.

Aspek pertama iaitu pembangunan modal insan dari sudut sifat-sifat terpuji, akhlak dan ilmu. Dalam

pembangunan modal insan, sifat-sifat terpuji seperti amanah, jujur, kepercayaan, kebolehan dan

tanggungjawab dijadikan teras dan pendekatan bagi setiap individu yang terlibat. Modal insan

berkualiti mampu mencorak hala tuju negara ke arah wawasan yang disasarkan. Ini kerana kualiti

yang dimaksudkan ialah keseimbangan pembangunan sumber manusia dari segi duniawi dan
ukhrawi. Pendidikan, penyebaran dan penyemaian ilmu serta pembentukan cara berfikir insan

berteraskan akhlak dan nilai adab yang berasaskan keagamaan yang tinggi wajar dikembangkan bagi

melahirkan modal insan berkualiti. Dalam proses pengisian ini, ilmu berkaitan ICT juga, yang pada

masa kini menjadi satu kepentingan dan dijadikan teras dalam semua bentuk pembangunan modal

insan. Sehubungan dengan itu, semua setiap individu perlu mengambil kesempatan dan peluang

untuk menambahkan ilmu pengetahuan yang seimbang di samping menghayati sifat-sifat terpuji dan

mengamalkannya dengan ikhlas.

Dalam usaha mencapai negara maju, pembentukan negara bangsa adalah menjadi satu tugas yang

mencabar. Usaha membangunkan modal insan berkualiti perlu dilakukan secara meluas melalui

penguasaan ilmu pengetahuan. Menjana modal insan berkualiti yang benar-benar sesuai dengan

kehendak dan cabaran zaman sekarang dan akan datang, merupakan suatu amanah yang

menjadikan tugas kepada semua orang. Melahirkan insan yang berkeperibadian mulia dengan

memiliki kualiti yang tinggi dan menyeluruh perlu dilaksanakankan secara berterusan. Cabaran

global yang mengelilingi dunia pendidikan hari ini juga semakin begitu menguji kemahiran yang

dimiliki. Ia bukan sahaja menguji kemampuan dan ketahanan mental, fizikal, emosi dan rohani,

malah ia menagih pengorbanan yang tidak terbatas dari segi pemikiran, tenaga, masa dan

kewangan.

Pada masa sekarang kita melalui cabaran globalisasi, rakyat terutama generasi muda perlu bijak

menggunakan nilai tradisional dan kontemporari dalam usaha memajukan negara dan

memartabatkan bangsa. Hanya dengan gabungan itu dapat memastikan generasi masa depan bukan

sahaja berbangga dengan kemajuan dan pembangunan malah kekuatan jati diri yang tinggi tidak

yang tidak pernah terhakis.

Modal insan berkualiti dibentuk menerusi sistem pendidikan yang mantap dan berkesan. Ia harus
diluaskan merangkumi pelbagai peringkat dan usia. Peringkat profesional dan pengurusan

memerlukan pendidikan yang baik dan berkualiti di institusi pengajian tinggi (IPT). Golongan yang

tidak professional dan pekerja am perlu diberi pendekatan melalui kemahiran, sikap dan

kesungguhan. Sesebuah negara yang maju sebenarnya bukan hanya dirangkumi oleh golongan

profesional yang berpotensi tinggi dan mempunyai sikap proaktif, malah dibantu juga oleh pekerja

yang tidak profesional dan pekerja am yang berkualiti dan berjiwa besar.

Mereka bangga melakukan apa saja untuk kemajuan diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Jika

mereka berkhidmat sebagai petani, mereka berusaha untuk menjadi petani yang berdaya maju

dengan menggunakan pelbagai pengetahuan dan teknologi moden untuk mempertingkatkan

produktiviti. Jika mereka berkerja sebagai guru, mereka berfungsi sebaiknya menjadi peneroka dan

pengajar ilmu yang terbaik dan cemerlang. Kualiti rakyat yang tinggi ini hanya terjadi menerusi

amalan dan etika kerja yang baik, ilmu yang tinggi serta pendekatan nilai-nilai murni dalam diri

masing-masing.

Usaha menyelami perasaan, menghayati, simpati, bertimbang rasa dan bertolak ansur pula

merupakan kualiti peribadi pelengkap kepada seorang insan yang cemerlang. Syarat sebagai seorang

insan yang cemerlang adalah memiliki kekuatan keperibadian, kekuatan peranan dan kekuatan

pengetahuan.Golongan pelajar dijadikan sebagai modal insan berkualiti dalam memajukan

pembangunan negara. Pelajar yang cemerlang dan berupaya menguasai ilmu pengetahuan yang

dipelajari serta mempunyai nilai-nilai yang murni mampu membawa negara kearah kecemerlangan.

Kewujudan sesebuah organisasi akan terus dirasai dengan adanya daya saing yang ditunjukkan pada

setiap masa. Persaingan yang dihasilkan itu adalah disebabkan sumber-sumber utamanya iaitu

fizikal, kewangan dan manusia diurus dan dibangunkan dengan cara yang cekap, berkesan dan

berkualiti. Sumber manusia merupakan sumber yang sukar diurus dan ditetapkan piawainya tidak
seperti sumber fizikal dan kewangan. Oleh itu, modal insan berkualiti tidak boleh dinilai dengan

kebendaan memandangkan potensi dan keupayaannya tidak dapat dijangkau melalui pandangan

luaran sahaja. Ini menjadikan ia sebagai aset yang sangat unik dan diberi penumpuan khusus.

Modal insan berkualiti tidak hanya memiliki ketinggian ilmu dan personaliti yang moden semata-

mata tanpa mempunyai pegangan nilai murni yang kuat. Dengan pegangan nilai murni yang kuat

seperti keiklasan, kejujuran, keadilan, amanah, bertangungjawab, dan yang paling penting berilmu

kita yakin ia sekaligus akan terus membantu memajukan negara agar terus cermerlang gemilang dan

terbilang.

7. Literasi ICT Rakyat Bermaklumat

KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI [ICT]

Dalam era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat penting.
Teknologi ini sudah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat orang menggunakan
teknologi ini dan dengan teknologi jugalah menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal
hampir setiap perkara di hujung jari sahaja.  Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan
dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah
mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.

Sesuatu perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta keburukan.
Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada pengguna.
Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan
pentadbiran negara ke arah lebih sistematik dan teratur.  Segala urusan baik kerajaan mahupun
swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa,
bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT sememangnya cukup
mendewasakan Malaysia.  Pentadbiran negara dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan
itu, Malaysia akan lebih cepat mencapai wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini.
Sebagai analoginya, kerja pengurusan dokumen, permohonan dan sebagainya menjadi tepat dan
cekap.  Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan disimpan dengan segera tanpa membuang
masa. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) dan Internet membolehkan kita
menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan lancar.  

Satelit

Jika ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran dan
pengurusan negara, malah ICT penting dalam ramalan cuaca dan panduan pelayaran. Jika dahulu,
pelayar merujuk kepada kedudukan bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa
belayar.  Jika dahulu ada yang merujuk  keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca ataupun
mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya satelit cuaca, fenomena alam dapat
diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Melalui satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil
dan seterusnya kita dapat meramalkan keadaan cuaca dunia. Persediaan awal dapat kita buat untuk
mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan nyawa.  Banjir, ribut taufan,
tsunami, dan gempa bumi adalah antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai
manusia perlu untuk mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana kita perlu sediakan
payung sebelum hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita dapat
membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik (USA) dapat menghubungi
kapal terbang yang melintasi Lautan Atlantik dan Pasifik.  Teknologi komunikasi pelayaran juga
penting dalam sistem pengangkutan udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan
pelayaran. Sistem Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah
di samping berfungsi sebagai panduan.

Hubungan
Antarabangsa

Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada dunia. Hal ini
dapat dibuktikan apabila ICT mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi
semakin kecil dengan wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia.
Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan.  Kita dapat berhubung
dengan sesiapa sahaja sama ada di laman sembang, e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan
sebagainya. Kita juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menggunakan
telefon bimbit. 

Bukan itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga dapat diikuti dengan
serta-merta  seperti siaran langsung konsert artis popular, perlawanan bola sepak dunia dan siaran
berita mutakhir. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang berlangsung di sesebuah negara
seperti di Korea di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara
langsung.  Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro, telefon, faksimili, televisyen, dan
persidangan video bergantung pada ICT untuk membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan
komputer riba turut berfungsi melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan
pembuka laluan yang luas kepada masa depan yang gemilang.

Pembelajaran Berbantukan Komputer

Kewujudan ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem
pendidikan di sekolah dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar
mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-
projek di sekolah.  Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi
yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh.
Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak
disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan.  Fakta ini nyata
terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata
pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian
tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari
melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang
telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sehubungan dengan itu, selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang
penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa
di negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak
digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan
terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar
isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka, hal ini
berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat
yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya
memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama
Nurin ditemui. Kes penculikan kanak-kanak tersebut pernah menggegarkan seluruh Malaysia.
Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut
ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati, tetapi dengan adanya kamera video dapat
merakamkan lokasi beg yang terkandung mayat kanak-kanak tersebut. Dengan CCTV juga, kes
disiplin yang berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak sekolah.

Bertitik tolak dari itu, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara bergantung pada kemajuan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia
(MSC) sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba masanya untuk negara Malaysia berjaya di
peringkat kebangsaan mahupun serantau. MSC memainkan peranan penting untuk menjadi
pemangkin kemajuan ICT di Malaysia. Untuk menjayakan harapan ini, semua pihak tidak kira pihak
kerajaan ataupun pihak swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat bagai aur dengan
tebing, sehati seia  untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke pentas dunia.

8. Rakyat setia Negara sejahtera

Yang saya hormati Pegawai Pelajaran Daerah,Yang Arif lagi bijaksana panel hakim,Yang
berusaha guru-guru besar,guru-guru dan seterusnya rakan seperjuangan yang saya
kasihi.Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Tajuk pidato saya pada hari ini ialah "Bersama-sama
Mempertahankan Kemerdakaan Negara".
tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,
Usia kemerdekaan negara kita kini telah menjangkau puluhan tahun.Setiap rakyat tentunya
berbangga apabila melihat kecemerlangan yang kita capai.Namun begitu,kecemerlangan ini akan
menjadi sia-sia jika kemerdekaan negara tidak kita hiraukan.
Kemerdekaan yang kita nikmati sekarang ialah hasil perjuangan negarawan kita.mereka telah
berkorban untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.Kita sepatutnya menjiwai
semangat patriotik seperti yang ada pada mereka.dengan adanya semangat ini,kesetiaan kita kepada
negara tidak akan berbelah bahagi lagi.
Selain itu,kita harus memupuk rasa cinta dan sayang akan tanah air.Kita dapat berbuat
demikian dengan menyoroti sejarah yang memaparkan kesukaran perjuangan orang-orang
terdahulu untuk mengecap kemerdekaan.Kita patut menghargai perjuangan mereka dengan
memelihara kemerdekaan negara ini.
Hadirin sekalian,
Sebagai rakyat yang bertanggungjawab,tanpa mengira bangsa,agama dan budaya,kita
semestinya menghayati erti kemerdekaan dengan sepenuh jiwa.Kita perlu berbangga menjadi rakyat
Malaysia.Prinsip Rukun Negara patut kita dukung.Kemakmuran yang kita nikmati kini patut kita
kekalkan.Janganlah kita mudah alpa dan terpedaya oleh anasir-anasir yang cuba memecahbelahkan
perpaduan yang kita kecapi selama ini.
Akhir kata, marilah kita berganding bahu dan hidup harmoni untuk mencapai kestabilan
politik dan ekonomi supaya kemerdekaan negara kita tidak tergugat.Kita harus bersatu untuk
memastikan kemerdekaan negara kita terus berkekalan.Bak kata pepatah, "bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh".
Sekian,terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai