Anda di halaman 1dari 6

(Slide 1)

Definisi pascamodenisme

Menurut Kamus Dewan “pasca” bermaksud selepas, sesudah atau setelah. “moden” pula
bermaksud dari masa sekarang, berkaitan dengan masa kini, yang terbaru, cara(kaedah) baru dan
mutakhir.

Pasca modenisme adalah perubahan pada struktur atau ciri kehidupan yang menolak ajaran agama
Islam serta nilai-nilai murni yang diajar. Di antara fahaman pasca modenisme ialah menjadikan
fahaman rasional berasaskan akal fikiran manusia yang terhad (rasionalisme), mementingkan
kebendaan, aliran hedonistik yang hanya mementingkan keseronokan, anarki yang tidak berasaskan
kepada undang-undang, pluralisme, liberalisme dan juga sekularisme.

Jadi Zakaria Stapa menyimpulkan bahawa pascamodenisme bermaksud, fahaman yang bersifat
antiagama dan anti Tuhan kerana pascamoden ialah lanjutan dan edisi baru kepada fahaman
sekularisme Barat moden (zakaria stapa,1999). Jika difahamikan lagi,kata-kata Shahrom T. M.
Sulaiman (2000: 165) merumuskan bahawa pascamoden adalah dominasi budaya atau logik budaya
dari budaya kapitalisme yang bermula pada Perang Dunia kedua.

Menurut Sarup pula, pada tahun 1989 jika modenisme dianggap budaya moden, maka
pascamodenisme ialah budaya kemodenan. Manakala Encyclopedia of Cultural Anthropology (1996)
menyatakan; bahawa Pascamodenisme ditakrifkan sebagai satu gerakan dari pelbagai sistem atau
falsafah, bermula dalam reka bentuk dan falsafah-estetik”.

(slide 2)
Sejarah pasca modenisme
Dunia seluruhnya pada masa itu sedang berada dalam satu era baru yang digelar sebagai zaman
pascamoden. Kemunculannya, secara mudah iaitu menandakan berakhirnya zaman Moden.
Pascamodenisme ini mula dirasai dalam ilmu sains sosial pada penghujung tahun 70-an dan
pertengahan 80-an (International theory). Akan tetapi, kesannya dalam antarabangsa mula dikaji
pada tahun 1990-an. Pelbagai pendapat telah diluahkan berhubungan dengan perkara ini seperti
Michael Koehler dalam kajianya, beliau menjelaskan bahawa kemunculan awal pascamodenisme
adalah sekitar tahun 1970. Tempoh waktu antara 1945 dan 1970 adalah lebih tepat dikenali sebagai
era lewat modenisme (late modernisme).

Namun sekitar tahun 60-an dan 70-an lebih jelas dan diperkukuhkan lagi dengan kelahiran tokoh-
tokoh atau pemikir- pemikir yang fanatik pada tahun-tahun tersebut. Antara tokoh tersebut adalah
Jean Francois Lyotard (1924-1998), Jacques Derrida (1930-2004), Michel Foucault (1926-1984), Jean
Baudrillard (1929-2007), Arnold Toynbee (1889-1975) dan sebagainya. Ia juga merupakan
pendekatan teori yang sering di bincangkan. Perkara yang paling sukar dalam pengkajian
pascamoden adalah dalam pemberian maksud atau membuat pendefinisi tentang pascamoden itu
sendiri.

Menurut Jean Francois Lyotard mengenai pascamoden adalah (John Baylis, et 2006: 285):
“Simplifying to the extreme, I define postmodern as incredulity towards metanarrative”. Secara
ringkasnya, Jean Francois Lyotard menerangkan bahawa pascamoden sebagai teori yang bersifat
skepticism; “metanarrative” yang bermaksud mana-mana teori yang mendesak atau menuntut
sesuatu perlu mempunyai asas pembentukan atau dasar alasan yang jelas untuk mewujudkan
sesuatu tuntutan ilmu pengetahuan dan memerlukan penyertaan asas epistemologi (Jean Francois
Lyotard 1979).
(Slide 3)

Tokoh pasca modenisme

1) jean francois Lyotard (1924-1998),

Jean Francois Lyotard lahir pada tahun 1924 di Versailles, Perancis dan meninggal dunia pada tahun
1998 .Beliau juga merupakan seorang mahasiswa dari Universiti Sorbonne pada tahun 1950.
Kemudian, Lyotard juga pernah menjadi seorang guru SMU di Constantine, Aljazair. Pada masa yang
sama beliau juga terlibat dalam gerakan kemerdekaan Aljazair dan akhirnya balik ke Paris pada
tahun 1959 kerana telah dilantik sebagai pembantu pensyarah di Almamaternya, Universiti
Sorbonne. Beliau juga mengajar di Naterre dan sentiasa bersama dengan golongan terpelajar yang
lain pada tahun 1960 diantaranya adalah Sartre, Deleuze, Foucault dan Lacan, mereka terlibat dan
aktif dalam gerakan anti perang (M. Chairul Basrun Umanailo t.th: 3).

Pada Tahun 1970 sehingga ke tahun 1972, beliau mengajar di Institute Polytechnique de Philosophie
Vincennes. Kemudian mengajar di Universaitaire de Paris VIII St. Denis pada tahun 1972 sehingga ke
tahun 1987. Lyotard meraih gelaran doktor sastra pada tahun 1971 dengan hasil penulisan (tesis)
yang bertajuk “Discours, Figure”, ia membahaskan tentang permasalahan Bahasa dengan
membandingkan antara pendekatan strukturalisme dan fenomenologi (M. Chairul Basrun Umanailo
t.th: 3). Terdapat beberapa karya Lyotard dalam akademik terutamanya dalam bidang falsafah,
antaranya adalah (M. Chairul Basrun Umanailo t.th: 4): La Phenomenologie (1954),Discours,
Figure(1971), De`rive a`partire de Marx et Freud (1973), Libidinal Economy (1973),La Condition
Postmoderne, Rapport sur le Savoir (1979) dan banyak lagi.

Lyotard telah membincangkan tentang pascamodenisme dalam penulisan beliau, “The Postmodern
Condition” bahawa keadaan pascamoden telah muncul di negara-negara pascaindustri, terutamanya
Eropah dan Amerika. Menurut beliau, keadaan pascamoden bukannya lahir sebagai satu tahap
sejarah setelah masyarakat barat melalui zaman moden. Pascamoden ialah satu keadaan “mood”
dan tanggapan terhadap kehidupan secara umum yang terhasil kerana perubahan dalam
pengorganisasian ilmu pengetahuan. Keadaan pascamoden merupakan perkembangan pesat dalam
pengeluaran dan pemasaran ilmu secara global (Kamaruddin M. Said. t.th: 180).

Lyotard (1988) berpendapat bahawa pemikiran pascamoden tidak mengiktirafkan naratif aliran
utama atau metanarrative, yang dilahirkan oleh tradisi moden. Naratif ini tidak mungkin dapat
menukilkan kesemua aspek budaya seperti yang didakwa oleh pengkaji moden. Oleh itu,
pascamoden ini dalam konteks pengajian kesusasteraan mempunyai kaitan dengan keinginan baru
untuk memberi pengiktirafan kepada naratif “pihak lain” yang selama ini tidak kelihatan, tidak
bersuara dan tidak dihiraukan oleh pemodenan. Nama Lyotard menjadi begitu terkenal kerana
memperkenalkan istilah “postmodern”, walaupun beliau meneruskan perbincangan mengenai
situasi atau keadaan pasca-industri (Kamaruddin M. Said. t.th: 181)
2) Jacques Derrida (1930-2004),

Jacques Derrida lahir di El-Biar pada 15 Julai 1930. Beliau berketurunan yahudi. Aljazair merupakan
wilayah konflik kerana peperangan berlaku di negara ini pada saat itu. Derrida melihat penindasan
terhadap masyarakat Aljazair atas kekuasaan kolonial dalam persengketaan tanah jajahan Dunia
Ketiga. Bermula daripada pengalaman inilah yang menjadi semangat awal dalam pencapaian
pemikiran “deconstruction” beliau (John Lechte 2001:169).

Pada 1949, Derrida berpindah ke Prancis untuk melanjutkan pembelajarannya. Pada tahun 1952,
Derrida belajar di École Normal Supériuere (ENS) (John Lechte 2001: 169). Beliau kembali ke Aljazair
pada tahun 1957 untuk memenuhi kewajiban dalam ketenteraannya dengan mengajar bahasa
Perancis dan Inggeris kepada anak-anak tentera di sana. beliau mulai mempelajari karya-karya
falsafah berkenamaan, bermula dari Aristotel, Nietzsche, Heidegger, Marx, Hegel, Husserl dan lain-
lain. Beliau begitu tertarik dengan pemikiran Marxisme yang membawanya menjadi bahagian
anggota parti komunis di Perancis (John Lechte 2001: 169). Namun begitu, beliau juga meminati
pemikiran nihilisme (Nietzsche) (ST. Sunardi 2001: 119).

Bukan itu saja, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai profesor falsafah di Ecole des Hautes
Etudes en Sciences Sociales, Paris. Beliau juga mendapat gelaran “Doctor Honoris Causa” di
Universiti Cambridge. Pada tanggal 9 Oktober 2004, Derrida meninggal dunia kerana kanser
pankreas. Terdapat beberapa karya beliau dalam bidang falsafah, antara penulisan beliau dalam
bahasa perancis adalah (Satrio Arismunandar 2008: 2-3): L’ecritue et La Difference (1967), De La
Gramatology (1967), La Voix et le Phenomene 1967), La Dissemination (1972), L’archeologie du
Frivole (1976) , Glas (1974), Eperons, Les Styles de Nietzche (1978), Verite en Peinture (1978), De
l’espirit. Heidegger et la question (1987), Spectres de Marx (1993), Politiques de l’amitie (1994) dan
banyak lagi.

Tiga tahun sebelum terbitnya buku “The Postmodern Condition”, iaitu pada tahun 1967, seorang ahli
falsafah Perancis keturunan Algeria iaitu Jacques Derrida (1976), telah menerbitkan tiga buah
bukunya serentak, antaranya adalah “Writing and Difference” (L’ecritue et La Difference), “Of
Grammatology” (De La Gramatology) dan “Speech and Phenomena” (La Voix et le Phenomene)
(Kamaruddin M. Said. t.th: 183). Hasil daripada karya beliau bukan sahaja mendapat sambutan di
Perancis, malah turut mendapat sambutan di Amerika. Dengan ini, beliau telah mempopularkan
konsep “deconstruction” yang bermaksud proses percanggahan pendapat yang bertujuan menolak
naratif aliran utama atau yang dikatakannya terhasil menerusi “logocentrism”. Pascamoden menurut
Derrida, mengutamakan proses penghapusan pusat (decentering) sebagai matlamat mendekonstruk
naratif aliran utama (Kamaruddin M. Said. t.th: 183).

Derrida (1976) berpendapat bahawa bahasa, pemikiran dan budaya barat, sejak zaman Plato lagi,
sentiasa mempunyai kecenderungan bahawa ia berupaya menemui suatu hukum (law) dan
kebenaran (truth). Logos berasal daripada bahasa Greek, merujuk kepada perkataan, pertuturan dan
penghujahan. Oleh itu, logocentrism bermaksud satu sistem bahasa, pemikiran dan budaya yang
bukan sahaja berpegang kepada perlunya satu hukum dan kebenaran yang berpusat, tetapi
menganggap hukum dan kebenaran itu sebagai prinsip yang benar secara menyeluruh. Aliran
pemikiran pascamoden menolak logocentrism sebagai salah satu tatacara pemikiran. Penolakan ini
kerana logocentrism adalah salah satu prinsip pemodenan (Kamaruddin M. Said. t.th: 185). Gagasan
deconstruction dan differance yang dibawa oleh Derrida (1976) adalah wakil daripada suara
golongan minoriti (yang tidak mempunyai identiti aliran utama). Ia bertujuan supaya suara mereka
didengari oleh para pendukung naratif aliran utama (Kamaruddin M. Said. t.th: 186).

3) Michel Foucault (1926-1984)

Michel Foucault dilahirkan pada 15 Oktober 1926 di Poitiers, Prancis. Beliau meninggal dunia pada
25 Jun 1984 di Paris. Foucault merupakan murid kepada seorang ahli falsafah sosial iaitu Althusser.
Beliau berkelulusan daripada Ecole Superieure. Pada awalnya, beliau adalah seorang ahli falsafah,
akan tetapi Foucault meninggalkan falsafah kerana menurut beliau falsafah bersifat terlampau
abstrak dan sukar untuk menyatakan kebenarannya. Kemudian, beliau mendalami psikologi dan
patologi serta berkerja di hospital sakit jiwa (Steven Best 2003: 40).

Bukan itu saja, beliau juga pernah menjadi seorang pengajar dalam bidang bahasa Perancis di
Swedia, Jerman dan Polandia pada tahun 1950-1960. Pada tahun 1968, selepas peristiwa
demonstrasi mahasiswa, beliau dilantik sebagai ketua bidang falsafah di Vincennes (Steven Best
2003: 40). Seterusnya, beliau dilantik menjadi profesor untuk bidang “Sejarah Sistem Pemikiran” di
College France pada tahun 1970. Ia merupakan pekerjaan terakhir Foucault sehingga beliau
meninggal dunia (Steven Best 2003: 40). Beliau telah menghasilkan begitu banyak karya terkenal,
antara penulisan beliau adalah (K.Bertens 2001: 279):Maladie mentale et psychologie
(1954),Madness and Civilization (1961), Birth of the Clinic (1963), The Order of Things; An
Archeology of Human Sciences (1966), The Archeology of Knowledge (1969), Discourse on Language
(1970), Discipline and Punish (1975), The History of Sexuality Vol 1: An Introduction (1976); dan The
History of Sexuality Vol 1I & III: An Introduction (1984), diterbitkan selepas kematian beliau.

Foucault (1970) berpendapat bahawa pemodenan telah melahirkan ilmu dalam bentuk discursive
iaitu ilmu yang dibina, disusun, diiktiraf serta dihubungkaitkan antara satu sama lain dengan tujuan
untuk mengesahkan keilmuan terhadap sistem pemikiran dan budaya masyarakat barat moden.
Pada pendapat beliau, naratif terhasil daripada discourse (wacana). Edward Said (1978)
menggunakan konsep ini untuk menunjukkan bahawa orientalisme ialah satu bentuk ilmu discursive
yang dibina oleh ilmuan barat dengan tujuan mengesahkan kolonialisme terhadap masyarakat dan
budaya di tanah-tanah jajahan. Orientalisme dibina berdasarkan andaian bahawa masyarakat dan
budaya barat adalah lebih tinggi dan mulia daripada masyarakat dan budaya timur. Aliran pemikiran
pascamoden, pascastruktur dan pascakolonial menolak pembentukan ilmu discursive ini. Ini
memberikan implikasi bahawa aliran pemikiran pascamoden tidak bertujuan untuk mengesahkan
naratif moden yang dikatakan bersifat discursive. Pandangan Edward Said ini turut memberikan
implikasi bahawa naratif aliran utama barat yang berteraskan orientalisme sedang berhadapan
dengan deconstruction menerusi pemikiran pascakolonial (Kamaruddin M. Said. t.th: 186).
Rujukkan

1) 1994.Kamus Dewan.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.2008.

2) Kamus Dwibahasa Oxford Fajar . Selangor: Oxford Fajar Sdn Bhd.

3) M. Chairul Basrun Umanailo. t.th. Postmodernisme dalam Pandangan Jean FrancoisLyotard: 3-4.

4) Said, E. 1978.Orientalism. New York: Routledge.

5) Sarup, Madan. 1989. An Introduction Guide to Post-Structuralism and Postmodernisme.Athens:


The University of Georgia Press.

6) Shaharom T. M. Sulaiman. 2000. Dari Pascamodenisme ke “Cyberspace”.Jurnal Pemikiran:101-


122.

7) Jean Francois Lyotard. 1979. The Postmodern Condition A Report on


Knowledge.http://www.marxists.org/reference/subject/philosophy/works/fr/lyotard.htm [20
Mei2016.

8) John Baylis & Steve Smith. 2006.The Globalization of World Politics: An Introduction to
International Relations. New York: Oxford University Press.

9) Charles Jencks. 1989.What is Post Modenrnisme. London: St Martin’s Press.

10) Foucault, M. 1970.The Order of Things: An Archeology of the Human Sciences. New
York:Pantheon.

11) Derrida, J. 1976.Of Grammatology. Terj. Gayapati Spivak. London: Johns HopkinsUniversity Press

12) Lyotard, J. 1988.The Postmodernisme Explained . Terj. Don Barry et. al., Ed. Julian Pefanis
&Morgan Thomas. Sydney: Power Publications

13) Kamaruddin M. Said. t.th. Mainan Pascamoden di Malaysia. Jurnal Melayu: 1: 179-21

14) Satrio Arismunandar. 2008. Dekonstruksi Derrida dan Pengaruhnya pada Kajian Budaya.

Fakulti Ilmu Budaya, Universiti Indonesia

15) John Lechte. 2001. 50 Filsuf Kontemporer dari Strukturalisme sampai Postmodernisme. Terj.

A. Gunawan Admiranto. Yogyakarta: Kanisius.

16) Steven Best dan Douglas Kellner. 2003. Teori Postmodern, Interogasi Kritis. Terj. Indah

Rohmani. Malang: Boyan Publishing

17) K. Bertens. 2001. Filsafat Barat Kontemporer Prancis. Jakarta: Gramedia.

Anda mungkin juga menyukai