Anda di halaman 1dari 2

Gaya hidup sihat

Kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan dan kebersihan diri sememang


meningkat dengan drastik selepas pandemik COVID-19 walaupun pada peringkat awal, ramai
agak sukar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan serta melaksanakan norma
baharu.

Bagaimanapun, kesedaran sama masih tidak berlaku dalam konteks penyakit tidak berjangkit
seperti obesiti, darah tinggi dan kencing manis, sebaliknya sebahagian terus mengamalkan
pemakanan tidak sihat termasuk mengandungi lemak, garam dan gula dalam kadar tinggi,
selain kurang aktif dan tidak bersenam.

Justeru, pemilihan Perangi COVID-19 & Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Dengan Makan
Secara Sihat sebagai tema sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2022 sangat relevan dengan
suasana pandemik dan endemik penyakit kronik tidak berjangkit kerana penghidapnya
meningkat setiap tahun.

Definisi sihat tidak terhad kepada kesihatan fizikal semata-mata, malah meliputi kesihatan
mental dan sosial. Gaya hidup sihat menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bermaksud
kita perlu melakukan amalan tertentu seperti menjaga pemakanan dan bersenam dalam
mengurangkan risiko penyakit dan kematian.

Kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat adalah untuk mengelakkan penyakit kronik
seperti kencing manis atau darah tinggi. Obesiti pula menyumbang kepada pelbagai gejala
kesihatan yang boleh membawa maut seperti serangan jantung, strok dan kanser.

Realitinya, kurang kesedaran terhadap gaya hidup sihat ini, boleh meningkatkan risiko
kematian. Kajian Kesihatan dan Mobiditi 2019 Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati
50.1 peratus rakyat negara ini mempunyai lebih berat badan dan mengalami obesiti, malah
hampir 50 peratus tidak tahu mereka menghidapi darah tinggi dan 25 peratus tidak aktif
fizikal.

Dari aspek pengambilan diet seimbang, 94.9 peratus rakyat tidak makan sayur dan buah
secukupnya, sekali gus semua data ini memberi gambaran kempen kesihatan dilaksanakan
KKM belum mencapai impak signifikan dari aspek perubahan sikap dan tingkah laku rakyat.

Harus diingat, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dilancarkan pada 11 November
tahun lalu menjadi inisiatif komprehensif untuk membudayakan hidup sihat sejahtera
sepanjang hayat. Pendekatan menyeluruh daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) dan swasta perlu dijadikan keutamaan.

Contohnya, pelaksanaan program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) digerakkan di


seluruh negara bagi membendung masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang menjadi
punca kematian pramatang di negara ini.

Oleh itu, Kempen Gaya Hidup Sihat perlu dipergiatkan melalui platform media sosial kerana
usaha memupuk kesedaran kendiri terhadap penjagaan diri memerlukan sistem sokongan
padu daripada masyarakat.
Penyertaan dalam persatuan, kelab, agensi, program atau aktiviti berteraskan promosi
kesihatan umpamanya boleh mendorong keinginan serta motivasi untuk hidup lebih sihat dan
aktif.

Apatah lagi pembabitan komuniti secara bersemuka atau maya untuk mendapatkan ilmu
pengetahuan dan meningkatkan kesedaran menjalani gaya hidup sihat semakin mudah pada
masa kini.

Tip dan panduan pemakanan sihat serta aktiviti kecergasan fizikal lebih mudah didapati
dengan mengikuti pempengaruh media sosial dalam kalangan jurulatih dan selebriti kesihatan
berkelayakan. Pempengaruh terkenal dan popular mempunyai daya tarikan tersendiri hingga
dapat mempengaruhi pengikut mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

Kesan membabitkan diri dalam komuniti sihat dapat meningkatkan tahap literasi kesihatan
yang membantu individu mendapat maklumat kesihatan, membudayakan hidup sihat,
membuat kawalan kendiri sebagai tindakan awal mencegah penyakit dan menjaga kesihatan
bagi mengelak komplikasi penyakit.

Pelaksanaan kempen berterusan dan pembabitan masyarakat sebegini dapat mewujudkan


trend untuk hidup lebih sihat dan aktif hingga menjadi tumpuan semua lapisan peringkat umur
demi melahirkan generasi berkualiti dan produktif.

Anda mungkin juga menyukai