Anda di halaman 1dari 4

Mendekati Promosi Kesihatan

Oleh Dr. Mohamed Izham Mohamed Ibrahim


Pusat Racun Negara, USM
Definisi kesihatan yang diutarakan oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO)
adalah: Kesihatan ialah satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu
mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial
dan bukan semata-mata bebas dari penyakit atau tidak berdaya.
Takrifan ini sebenarnya melibatkan dua aspek penting dalam kesihatan iaitu
aspek negatif (berpenyakit, tidak sihat, cedera, cacat atau tidak berdaya/lemah)
dan aspek positif (kesejahteraan dari segi fizikal, mental dan sosial). Dalam
kehidupan sehari-hari, individu, masyarakat atau ahli profesional sering
menekankan aspek negatif dan mengabaikan aspek positif. Begitu juga dari
aspek promosi kesihatan, kita sering menekankan aspek pencegahan penyakit
dan kurang mempromosikan dimensi kesihatan yang positif dan menjurus ke
arah kesejahteraan hidup.
Perbezaan di antara kedua-dua aspek kesihatan ini amat penting kerana ia dapat
memastikan aktiviti promosi kesihatan adalah berkesan dan mencapai
matlamatnya. Aktiviti promosi kesihatan seharusnya cuba mencegah penyakit
atau keadaan tidak sihat dan pada masa yang sama ia harus mampu
menggalakkan kesihatan yang positif pada individu atau masyarakat. Matlamat
keseluruhan promosi kesihatan ialah mencapai keseimbangan di antara
penggalak kesejahteraan dan pencegahan keadaan tidak sihat dari segi fizikal,
mental dan sosial.
Promosi Kesihatan
Aspek promosi kesihatan telah mula diperkatakan sejak dua abad lalu tetapi
hanya mendapat perhatian yang serius mulai tahun 1980an. Ia merupakan satu
proses atau gerakan radikal yang menekankan kepada aspek sosial dan
ekonomi. Aspek promosi kesihatan telah menonjolkan aspek kesejahteran
kehidupan individu sebagai perkara asas dalam kesihatan masyarakat. Setiap
individu, para profesional dan bukan profesional serta bukan agensi kerajaan
atau kerajaan mempunyai peranan masing-masing dalam aktiviti promosi
kesihatan.
Selain itu, dalam promosi kesihatan perlu menekankan aspek kesihatan yang
positif. Kebanyakan individu masa kini mengambil tindakan positif untuk
menjaga kesihatan dan bukan semata-mata hanya memberi respon terhadap
tanda penyakit yang mereka alami.
Promosi kesihatan turut melibatkan pelbagai kaedah yang memudahkan
individu mengekal dan menjaga kesihatan. Promosi kesihatan boleh
didefinisikan sebagai tindakan yang menjurus kepada pembaikan atau
perlindungan kesihatan menerusi perubahan tingkah laku, biologi, sosioekonomi dan persekitaran. Promosi kesihatan juga melibatkan bukan sahaja

aktiviti penyebaran maklumat tetapi juga membabitkan perubahan untuk


mempengaruhi aktiviti-aktiviti individu, kumpulan, masyarakat, pihak majikan
dan pihak berkuasa tempatan.
Pendidikan Kesihatan
Aspek promosi kesihatan adalah berasal dari aspek pendidikan kesihatan. Bagi
menentukan aktiviti promosi kesihatan tersebut berjaya dan mencapai
matlamatnya, individu atau ahli profesional perubatan yang bertindak sebagai
pendorong kesihatan (health promotion) harus memahami prinsip-prinsip serta
konsep pendidikan kesihatan. Pendidikan kesihatan akan menggalakkan
kesihatan positif dan mencegah keadaan tidak sihat atau penyakit melalui
pengaruhnya terhadap kepercayaan, pengaruh, dan tingkah laku individu,
kumpulan atau masyarakat. Oleh itu, peranan media massa dalam aspek
pendidikan kesihatan amat berharga. Pendidikan kesihatan yang menumpukan
kepada aktiviti-aktiviti di peringkat kumpulan atau masyarakat adalah sangat
penting. Kaedah pendidikan kesihatan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu:
Kaedah tradisional:
Lebih menekankan kepada aspek
pencegahan dan kurang menekankan
kepada aspek kesihatan positif
Kaedah peralihan:
Menggunakan imej atau gambar yang
menakutkan individu atau masyarakat
supaya individu atau masyarakat
berkelakuan lebih rasional. Contoh: poster
anti merokok atau anti dadah
Kaedah moden:
Menekankan kepada kedua-dua aspek;
menggalakkan kesihatan yang positif dan
mencegah kesihatan yang negatif. Kaedah
ini menggunakan teori dan praktikal
pendidikan moden
Aspek Pencegahan
Terdapat tiga tahap atau dimensi dalam aspek pencegahan:
i.

Pencegahan primer

ii.

Pencegahan sekunder

iii.

Pencegahan tertier

Pencegahan primer melibatkan tindakan individu untuk mencegah dari


berlakunya penyakit atau ketidakupayaan atau kecacatan. Di antara contoh
tindakan ialah imunisasi dan vaksinasi. Pencegahan sekunder pula melibatkan
pengenalpastian di peringkat awal keadaan kesihatan seseorang individu. Di

antara contoh yang sering dilakukan oleh individu ialah pemeriksaan perubatan
dan fizikal untuk menentukan sama ada seseorang itu mengalami penyakit
seperti diabetis (kencing manis), hipertensi (darah tinggi), atau kegagalan
jantung. Individu juga sering melakukan pemeriksaan gigi atau mata untuk
memastikan ia berada dalam keadaan baik.
Aspek pencegahan tertier pula membabitkan tindakan yang diambil untuk
mengurangkan tahap ketidakupayaan individu akibat daripada penyakit yang
sedang dialami olehnya. Contohnya, pesakit akan mengawal keadaan penyakit
diabetisnya dengan mengambil ubat sebagaimana yang diarahkan oleh doktor
serta mengawal diet (pemakanan) supaya individu itu tidak mengalami masalah
retinopati (kerosakan mata), neuropati (kerosakan sistem saraf) ataupun
nefropati (kerosakan buah pinggang) akibat daripada keadaan diabetis yang
tidak terkawal.
Strategi-Strategi Ke Arah Promosi Kesihatan
1. Dasar Kesihatan di Bawah Rancangan Malaysia ke-7
Objektif kesihatan, strategi dan program di bawah Rancangan Malaysia
7 (RM7) akan memberi penekanan dari sudut promosi kesihatan,
pencegahan penyakit, rawatan serta pemulihan dan pengekalan sistem
kesihatan yang efisen dan adil. Kerajaan akan mempromosi cara hidup
sihat di kalangan masyarakat. Sistem kesihatan di kawasan luar bandar
akan dipermajukan. Sistem bekalan air dan sanitasi, program nutrisi dan
imunisasi akan diperluaskan dan lebih ramai individu dijangka akan
mendapat kemudahan tersebut. Lebih banyak hospital dan kemudahan
kesihatan akan dibina. Kerajaan juga menggalakkan sektor kesihatan
swasta berganding bahu dengan kerajaan untuk mencapai matlamat
RM7. Usaha akan terus ditumpukan kepada golongan berpendapatan
rendah dan menguatkan program kesihatan dan rawatan dengan
memperbanyakkan perkhidmatan sokongan.
2. Cara Pemakanan yang Sihat
Statistik negara menunjukkan peningkatan kes-kes penyakit yang
berkait rapat dengan corak pemakanan yang tidak sihat. Oleh itu,
penekanan promosi kesihatan harus diberikan kepada tabiat dan cara
hidup yang tidak sihat. Penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung
dan darah tinggi masih menjadi punca utama (penyebab) kematian (15.5
peratus) di hospital-hospital kerajaan. Selain itu, sebanyak enam peratus
daripada kematian pula disebabkan oleh penyakit diabetis (kencing
manis). Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa lapan peratus
daripada orang dewasa di negara ini mengalami masalah obesiti
manakala 1/3 hingga 1/4 daripada masyarakat di negara ini pula
mengalami masalah berat badan berlebihan. Sehubungan dengan aspek
pemakanan yang sihat, kerajaan telah melancarkan kempen "Pemakanan
yang Sihat" pada tahun 1997. Beberapa kaedah telah dilakukan oleh
kerajaan untuk memastikan kempen tersebut berjalan lancar serta

berkesan. Di antaranya ialah kerjasama di antara agensi kerajaaan dan


bukan kerajaan serta badan profesional, menggunakan media massa
untuk mendidik masyarakat, pengiklanan di peringkat kebangsaan,
negeri dan daerah dan mempertingkatkan komunikasi interpersonal
sama ada di klinik atau di peringkat komuniti.
3. Konsep Teleperubatan
Negara kita sedang menuju ke arah sistem penjagaan kesihatan yang
bersepadu dan berintergrasi yang memberi tumpuan kepada promosi
kesihatan, pencegahan penyakit dan penjagaan primer. Visi
teleperubatan akan membantu mengubah perkhidmatan penjagaan
kesihatan dan industri kesihatan ke arah globalisi untuk perkhidmatan,
produk dan pendidikan kesihatan. Teleperubatan ini akan digunakan
sebagai alat untuk menggalakkan serta tanggungjawab yang lain dari
aspek penjagaan kesihatan diri sendiri.
4. Aspek-Aspek Lain
Kerajaan dalam usahanya mempromosi kesihatan banyak menekankan
kepada amalan cara hidup sihat di kalangan masyarakat melalui kempen
anti merokok, anti alkohol dan anti dadah. Di samping itu, kerajaan juga
mengenakan penalti yang berat terhadap individu yang terlibat di dalam
pergaulan atau aktiviti seks rambang. Masyarakat juga digalakkan hidup
di dalam suasana aman dan harmoni dan menghindari daripada faktorfaktor yang boleh menyebabkan ketegangan mental. Sememangnya
masalah-masalah yang telah diterangkan itu boleh menyebabkan kanser,
AIDS dan tekanan jiwa.
Aktiviti promosi kesihatan di kalangan masyarakat negara membangun
seperti Malaysia perlu dipergiatkan terutamanya apabila kos penjagaan
kesihatan semakin meningkat dan negara sedang mengalami masalah
kegawatan ekonomi.

Anda mungkin juga menyukai