Anda di halaman 1dari 8

Kesultanan Melaka: Pusat Penyebaran Islam Nusantara 

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH


Siri 32

KESULTANAN MELAKA: PUSAT PENYEBARAN ISLAM NUSANTARA

PERANAN terbesar Melaka dalam sejarahnya, mengatasi semua kerajaan Islam yang lain
di Nusantara ialah menyebarkan Islam. Kedudukan politik yang dimiliki sebagai sebuah
empayar dan pusat perdagangan terbesar di rantau ini, telah dimanfaatkan oleh Melaka
untuk menukar seluruh kepercayaan asal orang Melayu yang berasaskan Hindu-Buddha,
kepada menganut agama tauhid. Proses penyebaran Islam dilihat begitu mendadak di
Nusantara bermula abad ke-14M dan dalam masa 200 tahun, hampir seluruh Nusantara
telah berjaya di-Islam. Mungkin jika tidak kerana kehadiran penjajah Portugis pada 1511M,
Islam akan dapat disebarkan lebih jauh lagi hingga ke kepulauan Pasifik termasuk benua
Australia dan Oceania. Ternyata kehadiran kuasa politik Kristian ini telah membendung dan
menghentikan proses dakwah dan penyebaran Islam kepada dunia yang lebih timur
termasuk Farmosa (Taiwan), Indo-China, China, Manchuria (Korea) dan Jepun.

Walaupun gerakan dakwah dan penyebaran Islam terhenti akibat kedatangan kuasa politik
Kristian, namun sejarah tidak dapat menafikan bagaimana besarnya peranan Melaka dalam
menyebarkan Islam ke seluruh Nusantara tanpa melibatkan pertumpahan darah atau
dakwah bukan melalui mata pedang. Tidak seperti perkembangan Islam di Asia Barat, Afrika
Utara, Andalusia, Parsi, Transoxania dan India yang merekod perkembangan Islam melalui
medan perang, wilayah Nusantara menerima Islam secara aman dengan hati yang terbuka.
Ini kerana peranan Melaka yang telah bergerak menyebarkan Islam melalui gerakan dakwah
para ulamak yang bergabung dengan kekuatan empayar Melayu Islam itu, akhirnya orang
Melayu telah bertukar menjadi bangsa Islam. Berbeza dengan peng-Islaman beberapa etnik
Melayu yang lain, kejayaan gerakan dakwah yang dimulakan pada 1404M melalui Majlis
Dakwah Wali Songo ke atas orang Jawa telah berjaya meng-Islamkan pulau Jawa,
sedangkan pulau ini mempunyai pendudukan yang paling padat di dunia. Sehingga hari ini,
diakui bahawa orang Melayu dan Nusantara ialah komuniti Islam yang terbesar di dunia.

Kegiatan Ulamak di Melaka

Pemacu utama gerakan dakwah dan penyebaran Islam di Melaka ialah para ulamak.
Sebelumnya, para ulamak telah bergerak di Perlak, kemudian dengan kebangkitan Melaka
telah menjadikan negeri ini sebagai platform baru untuk menyebarkan dakwah, walaupun
Samudera-Pasai kekal sebagai pusat keilmuan Islam. Antara kegiatan para ulamak dalam
penyebaran dakwah di Melaka ialah:

I. Mengajar dan menyebarkan ilmu


Menyebarkan ilmu adalah asas yang mendatangkan hidayah Allah SWT kepada sesuatu
bangsa. Dengan kehadiran ulamak-ulamak ke Melaka, semenjak ketibaan Makhdum Syed
Abdul Aziz, majlis-majlis ilmu terus berkembang dari anjung istana hingga ke masjid-masjid
dan surau-surau. Walaupun tidak ada catatan tentang kewujudan institusi khusus untuk
pendidikan Islam, tetapi Sejarah Melayu mencatatkan proses pengajaran dan pembelajaran
agama turut melibatkan sultan, kerabat istana, pembesar dan rakyat jelata. Sultan sendiri
menitahkan supaya majlis ilmu Maulana Abu Bakar diikuti oleh para pembesar dan rakyat.

II. Berdakwah kepada Islam


Selain mengajar agama secara khusus, para ulamak juga telah bergerak dalam pelbagai
pendekatan untuk mengajak para pedagang dan orang Melayu yang masih beragama
Hindu-Buddha untuk bersama dengan Islam. Bermula dengan dakwah bil hal semasa
berdagang sehingga menarik minat raja kepada Islam, sampailah majlis-majlis ilmu yang
digerakkan, akhirnya seluruh rakyat Melaka memeluk Islam.
III. Menyalin dan menterjemah kitab
Bagi mengukuhkan kegiatan keilmuan di Melaka, kerja-kerja menyalin dan menterjemah
kitab telah dibuat di Melaka. Walaupun belum ada kitab yang disebut secara khusus
diterjemah atau disalin di Melaka, tetapi Tun Seri Lanang memberitahu bahawa kitab-kitab
berbahasa Arab yang sukar difahami dibawa ke Samudera-Pasai untuk diterjemah. Ketika
kitab Abu Ishak, Dur al-Maznum dibawa ke Melaka, sultan telah menitahkan supaya ia
diterjemahkan oleh Makhdum Patakan di Samudera-Pasai, sebelum ditashihkan oleh
Maulana Abu Bakar di Melaka. Proses menterjemah, mentashih dan menyalin kitab-kitab ini
adalah antara kegiatan keilmuan di Melaka.

IV. Penasihat istana


Memandangkan seluruh sistem pentadbiran Melayu yang dibawa dari Palembang adalah
dipengaruhi oleh elemen Hindu-Buddha, termasuk konsep “devaraja,” para ulamak telah
berperanan sebagai penasihat-penasihat sultan dalam mewujudkan budaya pentadbiran
Islam. Makhdum Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Qadhi Yusof, Qadhi Munawar Shah
dan Maulana Sadar Jahan adalah antara yang tercatat sebagai penasihat-penasihat yang
berpengaruh di istana Melaka.

V. Pelaksanaan syariat
Selain menasihati sultan-sultan Melaka, sehingga sultan-sultan seperti Sultan Muhammad
Shah, Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansor Shah, Sultan Alaiddin Riayat Shah dan Sultan
Mahmud Shah, disebut-sebut sebagai sultan berjiwa Islam dan berjasa besar kepada Islam,
hasil daripada rapatnya baginda semua dengan para ulamak. Kemudian, proses
perlaksanaan syariat bermula apabila penggubalan Hukum Kanun Melaka dibuat dan Islam
dijadikan agama rasmi. Penglibatan ulamak dalam penggubalan undang-undang sangat
jelas. Selain dipengaruhi oleh kitab-kitab fiqh Syafi’eyah, dalam versi Jakarta, dicatatkan
penggubal undang-undang keluarga ialah Sheikh Abdul Ghoyu. Kemudian para qadhi telah
berperanan pula dalam pelaksanaan undang-undang tersebut di mahkamah.

VI. Menyebarkan Islam ke seluruh Alam Melayu


Dari Melaka, para ulamak telah menyebarkan Islam ke Jawa, Mindanao, Brunei, Maluku,
Sulawesi, Sumatera, Pattani dan lain-lain. Pergerakan ulamak melalui kapal-kapal dagang
telah menyebabkan Islam tersebar dengan cepat.
Gerakan Dakwah Islamiyah

Dengan peranan yang meluas para ulamak di Melaka, gerakan Islam telah bermula dari
urusan yang sekecil-kecilnya, sehingga kepada perlaksanaan syariat. Kemudian, para
ulamak telah menyebarkan Islam di luar daripada istana, termasuk menyebarkan Islam di
negeri-negeri yang baru dikuasai oleh Melaka, khususnya di Semenanjung. Sultan Melaka
melantik putera baginda sebagai Sultan Pahang pada zaman Tun Perak sebagai tanda
perluasan pengaruh Islam. Dalam masa yang sama Melaka mengiktiraf Sultan Kedah
sebagai negeri naungan Melaka, dan meng-Islamkan raja Pattani untuk membuka wilayah
Islam yang baru. Para ulamak dikirimkan ke wilayah-wilayah ini untuk berdakwah dan
menyebarkan Islam dengan dukungan istana, sehingga akhirnya Islam dapat berkembang
hingga ke Indo-China, iaitu dengan Islam-nya Che Bo Nga (Sultan Zainal Abidin) sekitar
1360M. Raja Jawaka di utara Pattani (Ligor / Nakhon Si Tamarat) juga memeluk Islam
dengan memakai nama Raja Zainuddin (asalnya Raja Sakranta), dan pemerintah Kelantan,
Raja Bharubasha telah bergelar Sultan Mahmud (1335-1362M). Keluarga Syed Hussein
Jamadil Kubra disebutkan sebagai pendakwah yang paling banyak berperanan dalam
dakwah di Kelantan, Pattani dan Champa sejak 1345M.

Dari Melaka juga, Makhdum Syed Abdul Aziz telah bergerak menyebarkan Islam di
Mindanao sehingga pulau ini mulai menerima Islam pada pertengahan abad ke-14M,
demikian juga Brunei dan Sulu. Dalam sejarah Sulu, Islam dikatakan disebarkan oleh Syarif
Hashim dari Johor (Johor adalah wilayah Melaka), sedangkan Syarif Ali tiga beradik datang
dari Taif ke Melaka, kemudian berdakwah di Brunei, Mindanao dan Maluku, sebelum
menjadi raja di tempat masing-masing. Yang terbesar dalam penyebaran dakwah ini ialah
kejayaan meng-Islamkan pulau Jawa, pusat kerajaan Hindu Majapahit, selain penaklukan
pantai timur Sumatera yang dahulunya adalah wilayah kerajaan Buddha Seriwijaya,
terutama Jambi. Dari Jawa pula, tersebar Islam ke pulau-pulau Nusa Tenggara dan
Kalimantan. Sedangkan dari Sumatera, Islam berkembang ke Mindanao, Sulawesi dan
Maluku. Demikian juga dari Pattani, pendakwah bergerak ke Brunei, Mindanao, Makassar
dan Jawa, sehingga berlakunya silang dakwah antara wilayah, yang akhirnya menatijahkan
peng-Islaman seluruh Nusantara.

Peranan Melaka Dalam Penyebaran Islam di Nusantara


Dari perbincangan di atas, kita dapat melihat bahawa Melaka telah berjaya menainkan
peranan yang sangat berkesan dalam penyebaran Islam di Nusantara. Secara ringkas,
peranan Melaka dalam penyebaran Islam adalah seperti berikut:

I. Gerakan dakwah seluruh Nusantara


Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, gerakan dakwah ke seluruh Nusantara adalah
antara agenda besar kerajaan Melaka, dan ia berjaya mengubah Nusantara menjadi sebuah
rantau Islam.

II. Penyebaran ilmu Islam


Jika Seriwijaya pernah berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu Buddha sejak abad ketujuh
Masehi, Melaka telah memainkan peranan bersama Samudera-Pasai sebagai pusat
keilmuan dan penyebaran ilmu-ilmu Islam. Kehadiran tokoh-tokoh ulamak dari Arab, Parsi,
India dan lain-lain menghidupkan suasana ilmu melalui majlis-majlis pengajaran,
muzakarah, penterjemahan, penulisan, penyalinan dan pembentukan maktabah. Pengaruh
mazhab Syafie berkembang pesat kala ini, ekoran kemasukan kitab-kitab Syafi’eyah di
Melaka.

III. Aplikasi undang-undang syariat


Kitab-kitab fiqh yang diajar di Melaka telah diterjemah dalam bentuk aplikasi pentadbiran
sebuah kerajaan Islam. Contoh, kisah Sultan Alaiddin Riayat Shah yang berjaga malam
untuk mencegah kemungkaran adalah aplikasi model Saidina Umar bin al-Khattab.
Kemudian, hukum-hukum tersebut telah dikanunkan sebagai undang-undang negara.
Menurut banyak pengkaji, undang-undang Islam yang diterapkan di Pahang, Perak, Kedah,
Aceh, Brunei dan lain-lain adalah saduran daripada Hukum Kanun Melaka.

IV. Keamanan politik


Keberkesanan dasar-dasar luar Melaka dalam perhubungan dengan China, Mahapahit,
India dan Arab telah berjaya menghentikan ancaman serangan musuh. Hal ini telah
mewujudkan keamanan di Melaka sehingga bukan sahaja aktiviti perdagangan dapat
bergerak lancar, tetapi juga dakwah dan pengembangan Islam.

V. Kegiatan perdagangan
Faktor perdagangan yang telah disebut sebelum ini adalah antara sebab penting yang
mendorong perkembangan Islam. Oleh kerana Melaka adalah pusat perdagangan utama,
maka kegiatan dakwah menjadi lebih berkesan menandangkan pergerakan pendakwah
adalah melalui kapal-kapal dagang.

VI. Penubuhan kerajaan-kerajaan Islam yang baru


Walaupun Melaka runtuh diserang Portugis pada 1511M, tetapi Islam tidak dapat
dihancurkan kerana banyaknya kerajaan Islam yang wujud pada abad ke-15 dan 16M di
Nusantara, kesan daripada kewujudan Melaka. Di Jawa misalnya muncul kerajaan Demak,
Banten, Ceribon dan Jepara, manakala kerajaan Brunei muncul di Borneo, Maguindanao
dan Suluk di Midanao, Makassar atau Gowa di Sulawesi. Ternete di Maluku. Kemunculan
kerajaan-kerajaan ini mewarisi perjuangan Melaka dalam menyebarkan Islam.

MOHD FADLI GHANI


Pusat Penyelidikan PAS
4 Zulqaedah 1439 / 17 Julai 2018

https://berita.pas.org.my/kesultanan-melaka-pusat-penyebaran-islam-nusantara/
PERKAHWINAN

https://harakahdaily.net/index.php/2021/02/18/perkahwinan-campur-faktor-kesultanan-
melaka-gemilang/

Perkahwinan di Alam Melayu, sebelum kedatangan pentadbir Eropah, perkahwinan campur


menjadi faktor kepada kemuncak kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Perkahwinan bukan sahaja meluaskan hubungan diplomatik antara negara sebagaimana


perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan puteri pemerintah negara China, bahkan
perkahwinan antara para pedagang dengan masyarakat tempatan turut membawa kepada
kegemilangan Islam di Melaka.

Pengislaman masyarakat tempatan menjadikan kelompok umat Islam semakin membesar


melalui perkahwinan antara masyarakat tempatan dengan para pedagang.
Peranan Istana Melaka Sebagai Pusat Keilmuan dan Pusat Pendidikan

http://bukuteks.dbp.gov.my/media/media/VGU5qy7FxG.pdf

Peranan Istana Melaka

• Di istana berlaku kegiatan menterjemah dan menyadur kitab-kitab agama Islam. Istana
juga menjadi tempat menyimpan kitab tersebut.

• Kitab yang diterjemah seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah.

• Istana menjadi tempat perkumpulan golongan cerdik pandai yang terdiri daripada jurutulis,
pengarang dan ulama

• Terdapat kegiatan menterjemah dan menyedur karya sastera dari Arab dan Parsi.

• Hikayat Melayu turut dihasilkan seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Bayan Budiman.

• Istana Melaka juga dijadikan tempat menyimpan atau perpustakaan kitab-kitab agama dan
sastera saduran.

• Istana juga menjadi tempat mengadakan perbincangan dan perdebatan alim ulama
mengenai hal agama. Contohnya, kitab Darul Manzum yang menjadi kitab rujukan utama

• Istana Melaka menjadi pusat penyebaran dan pengajian Islam serta tempat pertemuan
ulama dan pendakwah yang datang dari Arab, India dan Pasai. Contohnya, seperti ahli
tasawuf yang terkenal di Melaka ialah Abdul Karim al-Jili. Beliau mengarang kitab Insan al-
Kamil.

• Ulama menjadi guru agama kepada sultan, pembesar dan rakyat. Sultan Mansur Shah
berguru dengan Maulana Abu Bakar, manakala Sultan Mahmud Shah berguru dengan
Kadhi Yusof.

• Istana Melaka juga dikunjungi oleh Wali Songo dari Jawa, iaitu Sunan Banang, Sunan Giri,
Sunan Kalijaga dan sahabatnya Syeikh Sutabaris untuk mendalami ilmu agama.

• Istana giat menganjurkan penulisan dan penafsiran ilmu sejarah dan tasawuf serta falsafah
Islam

Anda mungkin juga menyukai