Anda di halaman 1dari 4

CABARAN IMPLEMENTASI TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN

Kekurangan Kemahiran dan Pengetahuan Teknologi Maklumat Guru

Jika dahulu segala pengurusan dan pentadbiran sekolah dilakukan secara manual, kini pihak
pentadbir boleh menarik nafas lega setelah sistem pangkalan data murid dibangunkan untuk
mengendalikan pengurusan data murid. Dengan penggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh,
kerja-kerja pengkeranian menjadi lebih mudah dan teratur. Namun begitu, kewujudan dan perkembangan
teknologi maklumat perlu bergerak seiring dengan segala pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan
untuk menggunakan kemudahan tersebut. Tambahan pula, dunia kini sedang mengalami perubahan
zaman di mana teknologi maklumat menjadi tunjang utama dalam kehidupan seharian. Oleh itu, guru
terpaksa menuntut segala ilmu mengenai teknologi maklumat supaya tidak ketinggalan. Oleh itu, guru
memerlukan latihan yang secukupnya supaya dapat memperoleh kemahiran teknologi yang mendalam
(Simin Ghavifekr, 2016). Tanpa pengetahuan asas seperti menguruskan laman sesawang di internet atau
cara menggunakan perisian seperti Microsoft Excel, guru tidak akan mampu untuk melunaskan
tanggungjawab dengan cekap dan pantas. Bukan sahaja tidak menjimatkan masa, malahan
ketidakcekapan guru dalam mengendalikan teknologi akan mengganggu keseluruhan rangka pentadbiran
sekolah. Kemahiran-kemahiran yang sama juga diperlukan oleh guru untuk mengaplikasikan teknologi
dalam proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas. Untuk menarik minat murid
supaya mereka lebih fokus dalam PdPc, guru perlu berfikiran kreatif dalam menggunakan teknologi
secara berkesan. Sebagai contoh, guru boleh menjadikan PdPc lebih menarik dengan menggunakan
projektor slaid untuk menayangkan slaid atau video di skrin yang lebih besar. Untuk mencapai tujuan ini,
guru semestinya perlu mempunyai kemahiran untuk mengendalikan projektor slaid tersebut dan
mempunyai ilmu untuk menyediakan segala bahan pengajaran menggunakan slaid seperti perisian
Microsoft Power Point.

Penyampaian Pengajaran yang Tidak Efektif

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa implementasi teknologi dalam pendidikan memberi
seribu kebaikan jika dibandingkan dengan keburukan yang dibawa. Namun begitu, tidak semua sesi PdPc
yang menerapkan penggunaan teknologi dilakukan secara berkesan. Ini berlaku apabila guru-guru terlalu
fokus kepada aspek teknikal pengajaran berbanding dengan isi pengajaran mereka (Fu, 2013).
Kadangkala, bahan yang disediakan dan digunakan oleh guru tidak bersesuaian dan tidak berjaya
mencapai objektif pembelajaran. Penggunaan teknologi dalam PdPc juga berisiko kerana bahan-bahan
seperti video dan slaid yang digunakan berkemungkinan tidak selengkap seperti yang disediakan di dalam
buku teks sekolah. Jadi, guru perlu mengambil langkah inisiatif untuk mencari lebih banyak lagi bahan
daripada sumber lain untuk melengkapkan objektif pembelajaran. Selain itu, penyampaian pengajaran
yang menggunakan teknologi juga menjadi tidak efektif apabila saiz kelas terlalu besar iaitu apabila
jumlah murid yang terlalu ramai. Situasi ini akan menyebabkan guru tidak dapat memberi perhatian
sepenuhnya kepada setiap seorang daripada pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi, objektif pembelajaran
akan lebih sukar untuk dicapai. Oleh itu, guru harus berhati-hati dalam menyediakan dan memilih bahan
bantuan mengajar yang betul sekiranya mahu objektif pembelajaran tercapai.

Kekurangan Fasiliti dan Ketiadaan Rangkaian Internet

Kewujudan teknologi maklumat dan komunikasi sememangnya dapat meringankan bebanan


guru-guru terutama dalam urusan pengurusan maklumat murid seperti pelancaran Aplikasi Pangkalan
Data Murid oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2013. Walau bagaimanapun, tidak semua
sekolah mampu menyediakan prasarana yang lengkap untuk mempraktikkan teknologi dalam pelbagai
aspek (Simin Ghavifekr, 2016). Perkakasan komputer seperti Personal Computer (PC) dan juga kelas
khas untuk dijadikan sebagai makmal komputer merupakan perkara-perkara yang perlu disediakan oleh
pihak sekolah supaya guru boleh menggunakan teknologi dalam PdPc. Sambungan internet juga
merupakan satu elemen penting dalam mengintegrasikan teknologi dalam pendidikan. Akan tetapi,
sekolah-sekolah di luar kawasan bandar yang menghadapi masalah sambungan internet yang tidak stabil
tidak akan boleh menggunakan teknologi maklumat dalam pendidikan seperti sekolah-sekolah di bandar.
Bahkan ada sekolah yang langsung tidak mendapat rangkaian internet seperti sekolah-sekolah dalam
kawasan pedalaman hutan dan sebagainya. Masalah-masalah teknikal seperti kerosakan perkakasan
komputer juga menjadi salah satu halangan kepada guru-guru untuk mengajar dengan lancar (Fu, 2013).
Masalah seperti ini boleh menyebabkan pengajaran guru tergendala kerana terpaksa memanggil
juruteknik untuk menyelesaikan masalah tersebut. Oleh yang demikian, pihak sekolah perlu bertindak dan
mengambil langkah supaya hal-hal seperti tidak akan berlaku di masa hadapan. Sebagai contoh, pihak
sekolah boleh membuat jadual penyelenggaraan perkakasan komputer dengan lebih kerap supaya segala
kerosakan boleh diperbaiki dengan segera.
References
Jo Shan Fu (2013). Complexity of ICT in education: A critical literature review and its implications.
International Journal of education and Development using ICT, 112-125.
Simin Ghavifekr, T. K. (2016). Teaching and Learning with ICT Tools: Issues and Challenges from
Teachers' Perceptions. Malaysian Online Journal of Educational Technology, 38-57.
Melalui kajian tentang cabaran mengimplementasi teknologi dalam pendidikan, pelbagai
pendedahan yang telah saya dapat tentang skop kerja seorang guru. Bukan sahaja perlu mengajar dengan
baik, malah guru juga perlu berfikiran kreatif untuk menarik minat murid dengan menggunakan teknologi
terkini. Pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang guru untuk menghadapi murid-murid abad 21
ini dan murid-murid pada masa akan datang. Antara cabaran-cabaran tersebut adalah kekurangan
kemahiran dan pengetahuan guru tentang teknologi maklumat, pembelajaran menggunakan teknologi
maklumat yang tidak efektif dan kekurangan fasiliti dan ketiadaan rangkaian internet. Namun begitu, saya
sebagai bakal guru sedaya upaya akan memperbaiki diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang telah
dinyatakan di dalam kajian saya. Melalui subjek-subjek seperti Teknologi Pendidikan dan Multimedia
dan Teknologi, saya memperoleh sedikit gambaran tentang apa yang perlu saya pelajari untuk
mempersiapkan diri sebelum bergelar seorang guru. Saya perlu menimba ilmu dengan lebih banyak untuk
menambah kemahiran-kemahiran teknologi maklumat yang sedia ada supaya dapat menyaingi
perkembangan teknologi semasa.

Anda mungkin juga menyukai