Anda di halaman 1dari 9

PEMBELAJARAN MASA HADAPAN-SCHOOL IN THE CLOUD PENGENALAN Perkembangan dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) kini dilihat

semakin rancak berkembang sejajar dengan perkembangan arus pemodenan dunia tanpa sempadan (globalisasi). Menurut Saedah. S ( 2004), cabaran dunia pendidikan dalam meneroka dan mengaplikasikan TMK melalui pendekatan-pendekatan yang berkesan telah membawa para pengajar dan pelajar mengenali dan seterusnya mempraktikkannya mengikut kesesuaian bidang yang diingini. Sugata Mitra (2013) telah menemui sebuah kaedah pembelajaran yang membolehkan pelajar menjadi lebih berdikari dan bersemangat di dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Menarik! adalah perkataan yang sangat sesuai untuk menggambarkan kaedah School in the Cloud. Ia telah diusahakan oleh Dr. Sugata Mitra iaitu seorang yang sentiasa bertenaga, bersemangat dan sentiasa berusaha mencari pendekatan baru di dalam dunia pembelajaran. School in the Cloud ini mengkhususkan penekanan kepada tiga perkara sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran iaitu pembelajaran secara kolaboratif bersama rakan sebaya (peer teaching), peralatan TMK yang melibatkan komputer (tools) dan kemudahan internet serta galakan yang memberangsangkan (encourangement). Kaedah ini dipanggil sebagai Self-Organized Learning Environment (SOLE). Ia diaplikasikan kepada pelajar seawal lapan ke dua belas tahun dengan mendorong sikap ingin tahu semulajadi di dalam diri mereka untuk diaplikasikan dalam proses pembelajaran dan sekaligus berharap kaedah ini akan menjadi kenyataan dan diaplikasikan di seluruh pelosok dunia tidak kira pelajar yang berbeza sosio-ekonomi. BOLEHKAH SCHOOL IN THE CLOUD DIJALANKAN DI MALAYSIA Di Malaysia perkembangan penggunaan TMK di kalangan masyarakatnya dilihat suatu yang positif di mana ia telah menggalakkan semua lapisan masyarakat berlumba-lumba untuk melengkapkan diri dengan ilmu TMK. Kaedah yang dijalankan oleh Dr Sugata Mitra, School in the Cloud boleh dijalankan di Malaysia seiring dengan perkembangan TMK di negara ini. Namun demikian masih ada golongan atau pihak yang memandang remeh dan tidak mengendahkan perkara ini kerana mereka beranggapan penggunaan TMK tidak penting dalam kehidupan harian. Dalam usaha mengikis tanggapan negatif segelintir masyarakat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah seperti

wujudnya sekolah bestari yang bertujuan untuk memperkenalkan kepada pengajar dan pelajar mengenai kemudahan TMK. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mula membangunkan konsep Sekolah Bestari pada tahun 1996, di bawah kepimpinan Tan Sri Dato Dr. Wan Zahid Wan Mohamed, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia waktu itu. Pembestarian Sekolah merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi penggunaan TMK dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan kompetensi guru. Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari iaitu sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistematik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi maklumat. (Kementerian Pelajaran Malaysia, Bahagian Teknologi Pendidikan, 2012). Malaysia juga telah mewujudkan Projek School Net. Projek ini merupakan projek menyediakan prasarana jalur lebar untuk capaian internet ke sekolah-sekolah bagi mengelakkan jurang teknologi maklumat (IT) dikalangan pelajar mahupun guru. Pengenalan Projek My School Net bertujuan untuk membudayakan internet dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Projek ini dilaksanakan melalui pembangunan laman web yang menyediakan bahan sumber pendidikan untuk guru, pelajar dan pentadbir sekolah. Jaring SekolahKu (My School Net) telah dibangunkan oleh KPM untuk menambahkan penggunaan TMK dalam pendidikan yang dapat membantu para pendidik mahupun pelajar mengakses maklumat berkaitan pendidikan. Bagi menjayakan program pembudayaan TMK dalam dunia pendidikan, antara usaha lain yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan ialah menawarkan mata pelajaran teknologi maklumat (MPTM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2000 sebagai salah satu matapelajaran pilihan dalam kurikulum Bersepadu sekolah menengah (KBSM). Ekoran daripada itu, Kementerian Pendidikan pada masa itu memutuskan untuk mencuba MPTM ke atas 15 buah sekolah menengah pada tahun 1999 dan ditambah kepada 30 buah sekolah pada tahun 2000. Selain itu, Malaysia juga melaksanakan kempen satu rumah satu komputer serta membenarkan wang KWSP dikeluarkan untuk membeli komputer. Ini bertujuan untuk memastikan masyarakat Malaysia tidak ketinggalan dalam arus teknologi yang serba canggih. Teknologi mencipta perubahan kepada kaedah pembelajaran. Ianya seiring dengan cabaran yang mendatang.

Seratus tahun dahulu, kanak-kanak datang ke sekolah untuk duduk sebaris dan dikawal oleh guru. Hari ini ianya masih sama. Mengapakah ianya sukar untuk berubah? Untuk sedekad lagi, adakah ianya akan mengalami transformasi seperti industri muzik? (Sharples, 2007). Cabaran pendidikan semakin ketara apabila teknologi baru muncul dalam kehidupan seharian. Seandainya kita tidak mengambil peluang untuk merubah kaedah pembelajaran mengikut rentak teknologi yang berkembang ini, bayangkan alangkah ruginya kita. Mahukah kita duduk di takuk lama tanpa perubahan? Oleh itu, sangat beruntung sekiranya kita rakyat Malaysia terus berusaha meningkatkan kaedah pembelajaran menjadi seakan-akan School in the Cloud. KELEBIHAN YANG DIPEROLEHI DARI SCHOOL IN THE CLOUD Corak pendekatan baru pembelajaran School in The Cloud boleh diaplikasikan bukan sahaja kepada situasi pembelajaran bagi mereka yang sedang atau telah bekerja, tetapi juga kepada situasi di sekolah rendah dan peringkat menengah. Penggunaan TMK dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan hasil pembelajaran. Hal ini kerana ia membantu guru untuk membuat persiapan dan bersedia dengan lebih awal dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik dan berkesan contohnya memberi soalan yang perlu dibincangkan menggunakan alat seperti powerpoint, flash, video, visual dan mereka hanya perlu mengaplikasikan alatan tersebut ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran. (Attewell, 2005). Hal ini menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran School in the Cloud lebih aktif serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Mempelbagaikan proses pengajaran dan pembelajaran dan bukan hanya tertumpu kepada teknik konvensional sahaja bahkan dapat mempertingkatkan kualiti pengajaran dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang terdapat dalam TMK. Melalui penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran juga membolehkan guru dan murid akan lebih menguasai teknologi-teknologi terkini yang dapat membantu dalam memahami setiap subjek yang dipelajari serta menyimpan, memproses dan merekod setiap maklumat yang diperolehi. Memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua murid yang pelbagai keupayaan. Di dalam sesebuah kelas tidak semua murid mempunyai kebolehan yang sama dalam menerima sesuatu yang di ajar oleh guru. Walaupun terdapat murid yang agak lemah di dalam kelas, namun mereka juga boleh belajar dan menggunakan komputer di kelas. TMK sesuai digunakan untuk pembelajaran yang menjurus kepada penyelesaian masalah kehidupan sebenar.

TMK boleh digunakan untuk pengayaan bagi murid yang agak cerdik berbanding dengan rakanrakan lain supaya mereka tidak berasa bosan dalam kelas dengan memberikan mereka aktiviti yang lebih mencabar minda. Penggunaan peralatan seperti TMK amat penting dalam membantu murid untuk menjelajah dunia internet dan melalui internet, mereka dapat membuat banyak aktiviti yang melibatkan perkembangan kognitif kanak-kanak yang mendorong mereka terlibat secara lebih aktif dalam pembelajaran. Aktiviti yang berkaitan dengan masa depan juga boleh dibuat serta aktiviti yang berbentuk simulasi. Mereka dapat membuat projek kelas menggunakan komputer dengan bantuan internet. (Ardi. S, Zaidatun. T, 2008). Contohnya, di negara barat, kanak-kanak berumur empat tahun berpeluang untuk melayari laman web sekolah mereka dan memasukkan gambar mereka. Dengan kaedah ini juga membolehkan murid mencuba atau melaksanakan eksperimen yang sukar, terlalu mahal, mustahil atau bahaya untuk dilaksana dengan cara biasa serta juga dapat meningkatkan daya kreativiti dan imaginasi mereka. Mampu membantu kanak-kanak untuk berinteraksi dengan kanakkanak dari luar negara serta memperoleh maklumat dari seluruh dunia dan ini meningkatkan lagi kepentingannya. Oleh itu, guru harus mengambil tanggungjawab untuk meningkatkan potensi dan kecekapan kanak-kanak dalam penggunaan TMK dan melibatkan kanak-kanak dengan pelbagai pengalaman pembelajaran yang positif yang baru. Jika sebelum ini latihan dan kuiz hanya dapat dilakukan di dalam kelas sahaja, kini guru boleh mengadakan kuiz untuk pelajar mereka pada bila-bila masa dengan hanya memasukkan soalan dan menetapkan masa yang perlu diambil bagi setiap kuiz yang diadakan. Hal ini dapat dilakukan melalui bila-bila masa sahaja. Guru boleh tersenyum lebar kerana mereka bukan sahaja boleh mengadakan kuiz bagi pelajar mereka pada bila-bila masa malah dapat memperolehi markah secara masa nyata tanpa perlu mengira markah secara manual. Perisian-perisian untuk mengadakan kuiz ini boleh didapati dengan mudah dan boleh juga dihasilkan oleh guru tersebut dengan menggunakan teknik pemprograman yang mudah. Triantafillou, Georgiadou dan Economides (2006) melalui kajian mereka terhadap ujian yang dilakukan melalui kemudahan komputer dalam pendidikan mendapati bahawa penilaian yang dilakukan melalui ujian maya adalah lebih efektif dan efisyen. Ini adalah kerana ujian yang dilaksanakan secara maya adalah lebih menjimatkan masa daripada ujian yang dilaksanakan secara kertas dan pensel. Item-item yang dijawab oleh pelajar pula menjadikan proses pemarkahan lebih tepat dan jitu. Selain daripada menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat bagi mereka yang bekerja, School in the Clouda boleh memperluas peluang pendidikan bagi kanak-kanak yang kurang upaya kerana cacat atau sakit berpanjangan dan juga membuka peluang yang lebih luas kepada wanita yang menjaga dan memelihara anak di rumah untuk melanjutkan pelajaran.

KELEMAHAN YANG MEMBATASKAN KEJAYAANNYA DI DALAM PENDIDIKAN Melihat perkembangan teknologi telekomunikasi yang begitu pesat, School in The Cloud mempunyai masa depan yang amat cerah. Bagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan dalam waktu yang terdekat untuk negara kita memandangkan perkembangan penggunaan alat teknologi dan aplikasi Internet dalam pembelajaran belum lagi meluas. (Saedah Siraj, 2004). Kementerian Pendidikan telah melaporkan bahawa kursus-kurus Infomasi Maklumat dan Teknologi telah ditawarkan dalam program latihan guru pra-perkhidmatan dan juga program latihan dalam perkhidmatan, Kursus-kursus tersebut bertujuan menghasilkan guru-guru yang celik teknologi maklumat dan mampu mengaplikasikan penggunaan komputer dalam pengajaran mereka (Ministry of Education Malaysia, 1999). Melalui satu kertas kajian yang dilaksanakan oleh Singh dan Zaitun (2006) beberapa masalah telah dikenalpasti dalam mengintegrasikan TMK dengan senario pendidikan di Malaysia, antaranya ialah terdapat had kapasiti alatan TMK di dalam kelas untuk digunakan oleh pelajar, jalur lebar mungkin berkurangan apabila jumlah pengguna bertambah, komputer riba adalah tidak lasak dan bateri perlu dicaj selalu dan jika tidak dilakukan dengan cara yang betul, data mungkin akan hilang menyebabkan perlu mengulang semula pengajaran yang dilakukan (Singh dan Zaitun, 2006). Tambahan pula, untuk menjayakan program School in the Cloud ini memerlukan perbelanjaan yang besar. Contohnya jika pihak kerajaan ingin melaksanakan program ini di kawasan pendalaman, kerajaan perlu menyediakan alatan yang cukup seperti komputer dan kemudahan jalur lebar internet di setiap sekolah. Pihak Telekom Malaysia perlu menyediakan perkhidmatan jalur lebar dan menyebabkannya mengambil masa yang lama dan perbeanjaan yang besar. Tambah merugikan lagi jika pengajar dan pelajar tidak mengaplikasikan segala kemudahan yang diberikan ke arah yang memberikan kebaikan dan sebagai pemudah cara sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran di jalankan. Ini terjadi kerana kurangnya kesedaran ke atas kepentingan kemudahan yang diberikan. TMK pada zaman kini merupakan sesuatau yang amat diperlukan dalam pendidikan dan digunakan oleh guru ditadika-tadika namun tidak semua guru dapat mengaplikasakan TMK dalam pengajaran mereka. Guru ditadika tidak semuanya mahir dalam menggunakan komputer dan kebolehan penggunaan komputer adalah terhad. Mereka tidak diberi latihan yang mencukupi maka komputer yang ada terbiar begitu sahaja dan tidak digunakan ini kan menyebabkan berlakunya pembaziran.

Seterusnya TMK juga memberi impak yang buruk kepada kanak-kanak sekiranya ianya tidak dicegah. Penggunaan internet tanpa kawalan boleh menyebabkan kanak-kanak dapat mengetahui perkara yang melangkaui batas umur mereka. Sebagai contoh bahan pornografi yang banyak tersebar didalam internet. Jika ia menaip kata kunci yang salah dan terbuka laman web yang tidak sepatutnya tiba-tiba laman web itu muncul kanak-kanak akan melihatnya kerana sudah fitrah semulajadi kanakkanak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Oleh sebab itulah kanak-kanak kini dapat mengetahui apa yang tidak sepatutnya mereka ketahui. Mereka akan meniru perkara-perkara negatif itu tanpa mengetahui bahawa perkara itu sebenarnya salah. Dalam pembelajaran bahasa misalnya dengan penggunaan komputer mereka tidak akan dapat belajar menyebut dengan betul kerana mereka hanya mendengar sahaja perkataan itu daripada audio yang dimainkan oleh komputer. Artikulasi mereka akan menjadi kurang betul dan tidak tepat. Diksi yang keluar daripada komputer juga amatlah terhad kerana kanak-kanak tidak akan belajar lebih daripada apa yang telah disetkan oleh guru mereka sahaja dan mereka tidak dapat mengaplikasikan diksi itu dalam kehidupan mereka dengan betul kerana mereka tidak dapat mengetahui secara jelas penggunaan diksi tersebut. Maka tahap kemahiran berkomunikasi mereka akan menjadi sangat lemah. Mereka tidak akan dapat menggunakan frasa-frasa ayat yang sesuai kerana kelemahan mereka dalam aspek pemilihan diksi. CADANGAN MENGAPLIKASIKAN SOLE DALAM PENDIDIKAN Self-Organized Learning Environment atau lebih mudah dikenali dengan singkatan SOLE adalah kaedah yang diperkenalkan oleh Sugata Mitra bagi menjayakan program School in the Cloud. Ia tercipta apabila guru bersama-sama ibu bapa menggalakkan anak mereka belajar dalam satu kumpulan untuk mencari jawapan yang diberikan melalui penggunaan internet. Pelajar boleh memilih empat orang dalam satu kumpulan masing-masing untuk menjawab soalan yang diberikan di atas papan putih. Mereka diberikan satu komputer yang mempunyai skrin besar dan dilengkapi dengan kemdahan internet untuk dikongsikan bersama untuk mencari jawapan bagi soalan yang diberikan. Mereka boleh berjalan dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain untuk melihat apa yang dilakukan oleh kumpulankumpulan lain dan menggunakan idea yang bernas ke dalam kumpulan mereka sendiri. Mereka juga boleh menukar kumpulan pada bila-bila masa sahaja selain mereka boleh melakukan perbincangan dengan sesiapa sahaja dari ahli kumpulan ataupun bukan. Mereka perlu mencatat jawapan yang diperolehi selepas perbincangan secara kolaboratif (peer teaching) tadi untuk dikongsikan bersama-

sama rakan-rakan yang lain. Guru dan rakan-rakan akan memberi respon terhadap perkongsian yang dilakukan. Guru hanyalah bergerak sebagi fasilitator dan memberi galakan (encouragement) dari masa ke semasa untuk mereka terus berusaha mencari jawapan yang betul. Pelajar berpeluang menceritakan kepada rakan-rakan mereka mengenai perkara yang telah dipelajari melalui kaedah SOLE ini. Kaedah ini juga boleh dilakukan di rumah dengan menggunakan kemudahan komputer dan webcam. Soalan-soalan yang diberikan merupakan soalan yang boleh menimbulkan sikap tanda tanya dan ingin tahu dalam diri pelajar itu. Soalan boleh diberikan dalam bentuk gambar yang menarik atau video. Seperti soalan yang pernah diberikan oleh Sugata ialah How do my eyes know to cry when I'm sad? ; Can you kill a goat by staring at it? ; Why aren't there are any mammals bigger than a blue whale? dan pelbagai lagi soalan-soalan menarik diberikan. Selepas perbincangan, pelajar sedar bahawa selain daripada hanya bergantung kepada guru untuk menyelesaikan masalah mereka, mereka perlu berusaha untuk menghadapi cabaran (soalan) yang diberikan sendiri. Mereka juga sedar bahawa mereka boleh membuat pilihan sendiri di dalam kehidupan mereka sebagai contohnya menukar kumpulan pada bila-bila masa. Ini adalah satu tindakan berani dan wajar bagi mereka. Selain mereka sedar kepentingan memilih kumpulan yang boleh menghasilkan kerjasama yang bagus. Mereka juga dapat mempelajari bagaimana untuk mencari maklumat, memahami maklumat yang diperolehi serta mengaitkan bukti-bukti yang ditemui melalui internet dengan lebih yakin. Selain itu, pelajar dapat mengurangkan gemuruh ketika melakukan perkongsian maklumat di hadapan rakan-rakan yang lain serta meningkatkan kemahiran sosial dan keyakinan diri mereka. Kaedah SOLE memberikan banyak manfaat kepada kita, tambahan jika kita mulakan dari kanak-kanak lagi. Seperti pepatah yang mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya. PENUTUP Dalam usaha mengintegrasi teknologi dalam pembelajaran sebenarnya menghadapi beberapa halangan yang harus difahami oleh guru dan pentadbir. Guru dan pentadbir haruslah bersedia menerima perubahan ini dengan fikiran terbuka dan postif serta cuba menangani perubahan yang bakal timbul dalam proses pengintegrasian teknologi ini. Di antara halangan-halangan itu mungkin masa, latihan guru, sumber dan teknologi. Untuk beralih daripada kaedah tradisional kepada teknologi sudah tentu mengambil masa yang lama. Guru-guru perlu mengikuti kursus kemahiran TMK secara berperingkatperingkat dan mendapat sokongan dari pentadbir, kementerian serta sumber pakar-pakar dalam TMK

yang mendapat kemahiran daripada luar negara. Bagaimanapun halangan yang besar adalah guru perlu menyesuaikan diri dengan alat teknologi dan menguasai pedagogi untuk mengurus kelas. Kajian yang meluas boleh diadakan khususnya dalam mengatasi masalah yang telah dikenalpasti serta menambah baik peluang sedia ada bagi memantapkan School in the Cloud di Malaysia. Persekitaran pendidikan di Malaysia mungkin berbeza berbanding negara luar, untuk itu kajian persekitaran dan budaya pembelajaran boleh dilaksanakan untuk merealisasikan kemantapan kaedah ini. Kajian yang meluas dalam bidang ini sudah pasti dapat membangunkan sektor pendidikan secara keseluruhan khususnya di sekolah randah dan menengah. Pembelajaran menggunakan kaedah ini adalah sebagai satu alternatif pendidikan dari pelbagai corak pendidikan yang sedia ada dalam negara. Kesesuaiannya ketara bagi pelajar di peringkat universiti dan kolej terutama bagi kursus-kursus yang memerlukan banyak kajian-kajian di luar kampus. Bagi pendidikan sekolah rendah dan menengah, School in the Cloud sesuai digunakan untuk pelajar-pelajar pintar cerdas yang memerlukan sesuatu yang unik berbanding dengan pembelajaran biasa. Bagi pe1ajar-pelajar kurang upaya terutamanya mereka yang tidak boleh hadir ke sekolah, pendekatan sebegini amat berguna. School in the Cloud adalah satu corak pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan bagi remaja yang sukakan cabaran dalam kehidupan, dan mereka yang ingin belajar sambil bekerja seperti peserta kursus vokasional dan teknikal. Dengan ini dapatlah kita, rakyat Malaysia merealisasikan program School in the Cloud dengan jayanya.

RUJUKAN Attewell, J. (2005). Mobile Technologies and Learning: A technology update and m-learning project summary. Learning and Skills Development Agency. London. Ardi. S, Zaidatun. (2008). Pembelajaran masa depan-mobile learning (m-learning) di Malaysia: Universiti Teknologi Malaysia. p 122-129. Herr, N. E. (1992). A comparative analysis of the perceived influence of advanced placement and honors programs upon science instruction. Journal of Research in Science Teaching 29(5): 521-532 Kementerian Pelajaran Malaysia, Bahagian Teknologi Pendidikan (2012). http://www.moe.edu.my/btp/ pada 17 Mac 2013. Ministry of Education Malaysia. (1999). Integration of information and communication technologies (ICTs) through teacher professional development and pre-service training. [APEC Country Report]. Moursund, D. (2003). Project-based learning using information technology. Ed. ke-2. Eugene: International Society for Technology in Education Saedah S. (2004). Pembelajaran mobile dalam kurikulum masa depan. Masalah Pendidikan. 27, p129141. Sharple, M. (2007). Big Issues in Mobile Learning. Report of a workshop by Kaleidoscope Network of Excellence Mobile Learning Initiative. Nottingham: The University of Nottingham Singh, D., Zaitun A.B. (2006) Mobile learning in wireless classrooms. Malaysian Online Journal of Instructional Technology (MOJIT), 3(2), (pp. 26-42). Triantafillou, E., Georgiadou, E., Economides A. A. (2006). The design and evaluation of a computeriaed adaptive test on mobile devices. Science Direct (pp. 1319-1330). Elservier. Diambil dari

Anda mungkin juga menyukai