Anda di halaman 1dari 7

PENGINTEGRASIAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN

KOMUNIKASI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Pengintergrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) mendatangkan manfaat dan impak
yang besar terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah rendah. Namun begitu,
terdapat pelbagai masalah yang menjadi kekangan bagi memanipulasikan teknologi ini.
1.0 PENGENALAN

Penggunaan teknologi maklumat dalam kehidupan pada masa kini telah menjadi suatu yang penting
dan sangat memerlukan. Teknologi maklumat juga dapat membantu manusia memudahkan
melakukan sesuatu perkara. Penggunaan teknologi pada abad ke 21 ini dapat dilihat semakin meluas
sama ada dalam bidang perniagaan, pembangunan malah kini yang menjadi tumpuan adalah
penggunaan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan. Kerajaan kini memandang serius
berkenaan pengintegrasian teknologi maklumat dalam pendidikan melalui matapelajaran yang diajar.
Dengan penggunaan teknologi maklumat secara menyeluruh mampu meningkatkan tahap kemahiran
pelajar-pelajar untuk mendapat maklumat dengan berkesan. Hjetland (1995) menyatakan bahawa
Technology can make our lives easier.Everyday tasks are simplified. Beliau juga menyatakan
bagaimana teknologi dapat mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi guru seperti
penggunaan teknologi untuk kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran pembelajaran.
Setiap aspek kehidupan manusia semakin dihimpit dengan computer. Justeru itu, penggunaan
komputer dalam pendidikan juga menjadi semakin dominan. Kita kini dikatakan berada dalam satu
masa perubahan iaitu dari zaman industri ke zaman informasi. Dunia tanpa sempadan, IT, ICT, e,
siber, global, dalam talian, pintar, rangkaian, dan pelbagai lagi istilah yang sekiranya gagal untuk
difahami menyebabkan kita seolah-olah berada di dunia lain. Justeru itu, penggunaan teknologi
maklumat seharusnya bukanlah lagi menjadi sesuatu yang asing dalam pendidikan. Menurut Ahmad
Fuad (2003), menyatakan bahawa dalam konteks pendiidkan, teknologi maklumat merupakan satu
rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai
maklumat secara efektif, pantas dan banyak untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Sehubungan itu juga, kejayaan ICT dalam pendidikan khususnya bukan hanya terletak pada teknologi
tetapi juga melibakan faktor lain seperti pendekatan pedagogi, subjek yang diajar, jenis pelajar, tahap
pencapaian pelajar, keperluan pelajar, guru dan persekitaran bilik darjah. Pendekatan penggunaan
ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan bilik darjah bertemu dengan dunia
nyata serta membolehkan pelajar-pelajar meneroka mencari maklumat.

Dalam menjayakan penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran
memerlukan gandingan semua pihak sama ada pihak sekolah mahu pun pihak masyarakat. Di
sekolah, guru terutamanya perlu yakin bahawa terdapat banyak kebaikan dan kepentingan
penggunaan ICT atau teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu
mempelajari serta diberikan kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan peralatan ICT secara
cekap dan efektif. Kebanyakan sekolah-sekolah yang mempunyai guru-guru yang telah lama
berkhidmat, terdiri daripada mereka yang masih berada di tahap perlu belajar dan perlu bimbingan
untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT. Keupayaan seseorang untuk
menggabungkan teknologi maklumat dalam pengajaran bukan berlaku secara automatis, tetapi
memerlukan kepada usaha yang berterusan yang penuh dengan minat. Pengetahuan dan kemahiran
dalam ICT tidak menjamin pengintergrasiannya dalam kurikulum dan juga pengajaran. Justeru,
adalah penting bagi guru-guru untuk membuat persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi
tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran. Keyakinan dan
efikasi yang tinggi membantu mempermudahkan proses peningkatan kemahiran dalam pelaksanaan
ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

2.0 Definisi teknologi maklumat

Teknologi maklumat merupakan satu bidang ilmu yang berasaskan pelbagai disiplin terutamanya
komunikasi dan sistem komputer. Bidang ini merupakan kajian tentang penggunaan proses dan
perkakasan dalam menangani maklumat yang pelbagai bentuk.
Teknologi maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk
pemprosesan data. Ruang lingkup tajuk teknologi sangat luas iaitu berkenaan dengan segala aspek
dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudahnya, penggunaan komputer
dan perisian adalah untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat dan
mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.

2.1 Pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa

Pengintegrasian teknologi malkumat dalam pengajaran bermaksud proses pengajaran yang


melibatkan penerapan teknologi seperti komputer serta menggunakan bahan bantu mengajar
berunsurkan ICT dalam pengajaran bahasa. Contohnya penggunaan korpus berkomputer untuk
mencari perkataan dan ayat yang berkaitan.

3.0 Kekangan Yang Perlu Dihadapi Oleh Guru Bagi Merealisasikan Pengajaran dan
Pembelajaran Bahasa Melayu Melalui TMK

Penggunaan komputer atau bahan teknologi maklumat merupakan satu wadah baru yang di bawa ke
dalam dunia pendidikan. Oleh itu, terdapat kelemahan-kelemahan yang timbul akibat daripada
kekurangan kemahiran dalam pengendalian dan pengurusannya.

3.1 Tahap kemahiran guru dalam bidang teknologi maklumat

Penggunaan bahan teknologi maklumat dalam pendidikan khususnya dari segi pengajaran dan
pembelajaran pada masa kini telah menjadi satu perkara yang penting bagi guru-guru. Penggunaan
teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran mampu meningkatkan kefahaman para
pelajar dengan lebih baik. Hal ini dapat kita perhatikan bahawa, pembelajaran dari segi pencarian
maklumat dan bahan-bahan terkini dalam sesuatu topik dapat dilakukan oleh murid-murid dengan
menggunakan alat teknologi maklumat seperti melalui komputer, internet dan sebagainya.

Penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan


kemahiran seseorang guru untuk mengendalikannya. Oleh yang demikian, pengintegrasian teknologi
maklumat dalam pengajaran bahasa di sekolah rendah mempunyai beberapa kekangan yang perlu di
ambil berat iaitu kekurangan guru terlatih dalam bidang teknologi maklumat. Guru-guru yang telah
lama mengajar dalam bidang bahasa khususnya kurang berpengalaman dan pendedahan dengan
penggunaan ICT. Justeru itu, guru tidak mahir untuk membuat perancangan pengajaran berdasarkan
ICT. Perkara sedemikian menyebabkan timbul permasalahan di mana pengintegrasian teknologi
maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Hal ini akan membantut perkembangan penggunaan bahan teknologi maklumat khususnya kepada
murid-murid.

3.2 Penerimaan guru terhadap proses P&P menggunakan teknologi maklumat

Pengintegrasian teknologi maklumat dalam proses pengajaran merupakan salah satu kaedah
pengajaran dan pembelajaran terkini untuk meningkatkan tahap kemahiran guru menyampaikan
sesuatu perkara khususnya dalam pengajaran bahasa. Justeru itu, terdapat segelintir guru bahasa
masih tidak mahu mengikuti serta mengubah kaedah pengajaran mereka. Perkara ini dapat kita
perhatikan bahawa guru-guru bahasa yang telah lama berkhidmat dalam dunia pendidikan enggan
mengubahsuai corak pengajaran dan pembelajaran mereka yang mana, kaedah guru dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah hanya tertumpu kepada penggunaan buku teks serta
papan tulis semata-mata dan tidak mempunyai alternatif kaedah pengajaran bahasa yang lain.
Sesetengah guru merasakan penggunaan kaedah pengajaran tradisional sudah cukup untuk
menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjah.
Selain itu, terdapat guru-guru yang tidak memahami nilai penggunaan teknologi maklumat ini
menyebabkan mereka malas untuk belajar serta mendalami ilmu teknologi maklumat. Penggunaan
teknologi maklumat seolah-olah memberi satu bebanan kepada mereka ketika sesi pengajaran dan
pembelajaran. Menurut (Norizan Abdul Razak, 1997) dalam kajian kesediaan guru menggunakan
teknologi maklumat dalam pengajaran bahasa membuktikan bahawa guru-guru masih lagi ragu-ragu
dan takut untuk menggunakan komputer dalam pengajaran mereka. Perkara ini menjadi salah satu
perkara yang membantutkan pengintegrasian teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran bahasa di sekolah. Terdapat guru-guru yang berminat untuk belajar tetapi berputus asa
kerana merasakan sukar untuk menguasai bidang teknologi maklumat.

3.3 Kemudahan teknologi yang berkaitan tidak mencukupi


Proses pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan
prasarana yang mencukupi seperti kemudahan makmal komputer, peralatan berkaitan dengan
penggunaan teknologi maklumat, serta penyediaan dan penyelenggaraan komputer yang mencukupi
dan lancar. Sistem penyelenggaraan bahan teknologi maklumat di sekolah yang tidak cekap menjadi
salah satu punca permasalahan pengintegrasiaan ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
Sehubungan itu juga, peruntukan kewangan yang lambat serta tidak mencukupi untuk proses
penyediaan kemudahan teknologi maklumat di sekolah- sekolah tertentu menjadi salah satu punca
timbulnya permasalahan dalam proses pengintegrasian . Komputer yang digunakan di sekolah juga
sering rosak dan ketinggalan dari segi kapasiti dan teknologi. Di samping itu, terdapat kekangan dari
segi sistem selenggaraan komputer yang tidak cekap di sekolah. Masalah bilik komputer juga sering
mengganggu kelancaran penggunaan komputer dalam pengajaran. Terdapat guru bahasa yang tidak
dapat menggunakan bilik komputer kerana sering digunakan oleh kumpulan murid lain.

3.4 Penerimaan teknologi oleh murid

Penggunaan komputer dalam pengajaran dapat menambahkan minat murid terhadap pengajaran
bahasa. Walau bagaimanapun, murid yang pandai lebih berminat dalam pengajaran apabila guru
menggunakan komputer didalam pengajarannya. Bagi pelajar yang lemah pula, mereka kurang
menunjukkan minat dalam pembelajaran bahasa walaupun guru menggunakan komputer.
Penguasaan menulis karangan kurang berkesan jika menggunakan komputer. Dalam hal ini,
pembinaan dan penggunaan bahan pembelajaran perlu lebih menekankan aspek multimedia dan
interaktif bagi memberikan kesan yang lebih kepada murid-murid. Murid - murid juga berminat jika
menggunakan bahan internet di dalam pengajaran.

3.5 Kurikulum berasaskan peperiksaan

Antara masalah yang dihadapi guru dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran di dalam kelas
adalah bebanan kurikulum. Sukatan pelajaran yang terlalu banyak menyebabkan guru tergesa-gesa
untuk menghabiskan silibus sebelum berakhir tempoh satu tahun. Oleh itu guru terpaksa
menggunakan kaedah tradisi bagi memastikan silibus dapat dihabiskan dalam tempoh tersebut. Hal
ini menyebabkan guru kurang masa untuk merancang pengajaran mereka dengan lebih kreatif dan
inovatif.

Salah satu faktor yang menjadi penghalang kepada pencapaian matlamat tersebut ialah sistem
pendidikan kita yang secara umumnya masih lagi berorientasikan peperiksaan. Sistem pendidikan
yang berorientasikan peperiksaan juga merupakan penghalang utama kepada usaha pemupukan
kreativiti dalam bilik darjah.Yong (1989) berpendapat bahawa walau pun pelbagai usaha telah
dijalankan untuk memajukan proses pengajaran guru, sekolah masih lagi cenderung untuk
menghasilkan para murid yang berorientasikan peperiksaan. Walaupun dalam KBSR dan KBSM telah
dinyatakan bahawa fungsi peperiksaan dan penilaian bukan sahaja untuk menentukan taraf
pencapaian pelajar tetapi juga untuk membantu memperbaiki lagi proses pengajaran-pembelajaran di
bilik darjah tetapi hakikat sebenarnya ialah penekanan pembelajaran di sekolah masih lagi tertumpu
kepada fakta-fakta untuk dihafal dan seterusnya digunakan dalam peperiksaan, lantaran itu aspek
pemikiran sama ada kreatif atau kritis dipinggirkan.

Selain daripada itu, penekanan kepada peperiksaan terutamanya peperiksaan piawai bagi
keseluruhan pelajar di akhir tahun KBSR dan KBSM juga telah menyebabkan guru lebih cenderung
untuk melaksanakan proses pengajaran yang berpusatkan guru kerana kaedah pengajaran yang
berpusatkan guru terbukti lebih berkesan untuk menghasilkan pelajar yang akan mendapat markah
yang tinggi dalam peperiksaan (Toh, 2003). Seterusnya, guru yang berjaya menghasilkan bilangan
murid yang ramai mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan biasanya akan dilihat
sebagai guru yang berkesan(Toh, 2003). Disebabkan itu guru mendapati sukar untuk
mengadaptasikan diri dengan KBSR dan KBSM yang berpusatkan pelajar kerana mereka begitu
menghayati kaedah pengajaran yang lama yang lebih berpusatkan guru. Kesan negatif penekanan
terhadap peperiksaan terhadap pembangunan kreativiti pelajar begitu mendalam sekali, sehinggakan
Yong (1989) tanpa ragu-ragu telah menyatakan this emphases have taken a heavy toll on the
creativity of Malaysia students(m.s. 20). Gardner (1991) menyatakan bahawa tempoh umur antara
dua hingga tujuh tahun merupakan tempoh yang kritikal untuk kreativiti diluahkan. Walau
bagaimanapun sebaik sahaja murid memasuki alam persekolahan mereka menjadi kurang inovatif
dan lebih berhati-hati.
3.6 Jurang Digital

Terdapat jurang yang ketara dari segi taburan dan penggunaan ICT di antara Semenanjung Malaysia,
Sabah dan Sarawak serta antara Lembah Klang dan kawasan lain di Malaysia. Masalah ini jika tidak
diatasi segera boleh membantut usaha kerajaan melahirkan individu yang berpengetahuan yang
seterusnya membentuk masyarakat berpengetahuan.

3.7 Ancaman Siber

Ancaman siber merupakan masalah yang sering di hadapi oleh pengguna komputer pada masa kini
memandangkan kebanyakkan komputer mempunyai sambungan pada rangkaian internet di mana ia
merupakan pusat yang menghubungkan berjuta-juta pengguna komputer di seluruh dunia secara
terbuka. ICT dan internet yang sangat dinamik dan cepat berubah juga merupakan faktor
penyumbang kepada ancaman siber. Apa yang pasti kesan ancaman ini boleh merebak secara global
dalam masa yang singkat.
Bagaimanapun,ancaman atau aktiviti yang tidak sihat ini tidak seharusnya menjadi penghalang untuk
kita menjauhkan diri daripada internet kerana ia menjadi keperluan penting dewasa ini.Maka amatlah
penting para guru dan pengguna untuk mempunyai asas dan pengetahuan mengenai keselamatan
dunia siber dalam penggunaan komputer dan perkhidmatan komputer.

4.0 Cara-cara Mengatasi Kekangan Yang Dihadapi Oleh Guru Bagi Merealisasikan Pengajaran
dan Pembelajaran Bahasa Melayu Melalui TMK

Pengajaran bahasa akan menjadi lebih menarik, bermakna dan produktif dengan pengabungjalinan
penggunaan multimedia serta komputer. Hal ini demikian kerana bahan teknologi maklumat biasanya
menggabungkan teknik suara, bunyi, gambar, video serta teks yang pelbagai untuk mewujudkan
persekitaran yang baru disamping kaya dengan input bahasa. Kelebihan ini tidak ada pada bahan
bantu yang lain seperti buku teks atau bahan yang lebih bersifat satu hala. Teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) adalah diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan pesat dalam bidang
mikroelektronik dan menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi seperti komputer peribadi.
Telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Kemunculan internet juga telah meluaskan penggunaan
ICT dengan jaringan informasi bersepadu dan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang
melibatkan teks, bunyi, grafik dan video.

Membawa Bahasa Melayu dalam konteks masyarakat Melayu di peringkat maya adalah satu usaha
yang perlu dilakukan dengan tekad dan azam yang kuat. Dengan mendotcomkan bahasa Melayu di
dalam gerbang internet akan menyediakan ruang untuk pelunsur menggunakan bahasa Melayu di
internet dan seterusnya meningkatkan imej bahasa Melayu seiringan dengan bahasa- bahasa seperti
Bahasa Inggeris, Peranchis, Jepun dan Cina. Ia suatu nilai yang penting untuk menangkis segala
tanggapan bahawa bahasa Melayu tidak mampu bersaing atau tiada tempat di persada dunia.
Justeru itu, untuk bersaing dengan bahasa-bahasa utama, Bahasa Melayu harus berkembang dalam
menerbitkan istilah-istilah baru bagi menterjemah istilah-istilah baru yang asing. Istilah-istilah baru
seperti tetikus, perisian, perkakasan, siber, laman, jaringan, internet dan batang bedek telah berjaya
diterbitkan dan digunapakai. Walaupun begitu, keterbukaan sifat bahasa Melayu seharusnya sentiasa
dipantau perkembangannya dengan ketat agar tiada penyelewengan dalam memelayukan istilah-
istilah asing. Bagi mengatasi masalah-masalah ini, semua pihak perlu memainkan peranan mereka.

4.1 Peranan Kerajaan

Kerajaan memberikan kesedaran dalam penggunaan komputer untuk mempercepatkan penerimaan


dan penggunaan teknologi maklumat. Perdana Menteri, Dato Seri MahathirMohamad telah
melancarkan Kempen Kesedaran Teknologi Maklumat pada 11 Oktober1977. Kerajaan juga
memastikan setiap sekolah, mendapat skim peruntukan kelengkapan makmal komputer yang cukup
kepada semua sekolah terutamanya sekolah-sekolah di kawasan luar bandar. Selain itu juga,
kerajaan perlu menyediakan kursus teknologi maklumat untuk guru-guru yang bakal mejadi tenaga
pengajar di sekolah sama ada di universiti ataupun kursus-kursus semasa. Kerajaan haruslah peka
terhadap keperluan semasa masyarakat dan sentiasa peka terhadap perubahan teknologi global.
Selain itu, kerajaan telah menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta dalam menangani jurang
digital di Malaysia. Kerajaan turut membekalkan komputer riba kepada murid-murid demi untuk
melaksanakan satu rumah satu komputer. Dengan demikian, ia membolehkan masyarakat
membudayakan ICT dalam kehidupan mereka.

Menyedari akan kepentingan keselamatan siber dan ancamannya yang mampu membawa impak
yang besar kepada masyarakat maka kerajaan telah mengambil pelbagai langkah pencegahan
antaranya menubuhkan CyberSecurity Malaysia sebuah badan koordinasi untuk nisiatif keselamatan
siber kebangsaan.

4.2 Peranan Sekolah

Strategi untuk menggabungkan dan memantapkan penggunaan ICT dalam P&P bukan hanya
semata-mata terletak di bahu guru sahaja tetapi juga kepada pemimpin sekolah. Peranan pemimpin
adalah amat penting dalam membentuk budaya ICT di sekolah. Mereka bukan sahaja perlu memberi
sokongan dari segi kewangan tetapi juga menjadi model sebagai pengguna ICT dalam pentadbiran
dan memberi respons kepada perubahan. Untuk menerapkan budaya ICT di sekolah, satu dokumen
polisi bertulis seharusnya disediakan. Polisi ini membantu merekabentuk dan mengurus program ICT
bagi membolehkan guru dan murid menguasai ICT secara teratur dan progresif. Sesebuah polisi tidak
perlu statik tetapi perlu disemak setahun sekali terutamanya apabila tahap kepakaran guru meningkat
dan terdapat perubahan pada dasar dan prosedur Kementerian Pendidikan. Kerangka polisi
ICTdibina berdasarkan kepada matlamat dan perancangan sekolah. Pandangan daripada ibu bapa
dan komuniti, polisi Pejabat Pendidikan Daerah, polisi rasional penyelidikan tentang pengajaran dan
pembelajaran yang efektif dan perkembangan teknologi (Mohammed Sanidan Mohd Jasmy, 2002).
Bagi melaksanakan polisi dan matlamat yang telah ditetapkan sekolah harus menyediakan pelan
pembangunan. Heinrich (1995) menyatakan pelan ini
mengandungi aktiviti-aktiviti spesifik seperti strategi pemantauan yang telah ditentukan oleh
Kementerian Pendidikan. Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah
seharusnya dilibatkan bagi membimbing dan menyokong sekolah untuk membuat pelan
pembangunan ICT dan seterusnya memantau perlaksanaannya.

Pemimpin sekolah harus memastikan prasarana yang lengkap dikendalikan dan digunakan secara
optimum oleh guru semasa P&P dijalankan. Penggunaan makmal komputer hendaklah mengikut
jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran agar kekecohan dan kecelaruan tidak timbul di
kalangan guru-guru. Peranan penyelaras ICT mesti dipantau supaya budaya menyelenggara alat-alat
perkakasan sentiasa dilakukan selepas makmal komputer digunakan. Penyelaras ICT harus peka dan
jelas dengan arahan-arahan Kementerian Pendidikan tetapi dalam melaksanakannya di peringkat
sekolah, mereka perlu mengubahsuai prosedur mengikut kemampuan guru-guru untuk
melaksanakannya dengan berkesan. Pemberian komputer daripada pihak swasta atau atas inisiatif
PIBG hendaklah dilengkapkan ke bilik-bilik darjah sekiranya makmal komputer telah disediakan. Ini
akan menambahkan lagi penggunaan ICT oleh guru semasa proses P&P.

Perkembangan dan pembangunan staf harus diberi perhatian yang lebih oleh pemimpin sekolah.
Pembangunan staf yang melibatkan ICT dan inovasi adalah berdasarkan kepada dua bidang iaitu
penguasaan ICT dan perkembangan aktiviti pembelajaran mengikut keperluan murid. Perancangan
pihak sekolah untuk memberikan kursus-kursus dalaman dan luaran kepada guru adalah perlu. Untuk
itu pengurus sekolah hendaklah sentiasa melakukan kajiankeperluan untuk mengenal pasti tahap
penguasaan guru dalam bidang kemahiran ICT dan instruksional. Program perkembangan staf amat
perlu untuk memastikan guru-guru menguasai ilmu dan ketrampilan yang diperlukan untuk
menggunakan peralatan ICT dan bagaimana mereka dapat membantu pelajar-pelajar untuk
menggunakan dengan betul. Program ini harus selari dengan polisi ICT dan pelan pembangunan
sekolah.

4.3 Peranan guru

Menurut Skinner (1974), melalui teori pembelajaran Behaviorisme pembelajaran berlaku apabila
seseorang itu bertindakbalas terhadap sesuatu rangsangan dan kemudiannya diberi pengukuhan.
Sementara teori kognitivisme menegaskan pembelajaran merupakan satu proses maklumat diterima,
diproses dan disimpan dalam pemikiran seseorang. Implikasi ini menunjukkan maklumat dianggap
sebagai objek yang boleh dipindahkan kepada murid (Newell, 1990). Di bawah kerangka
behaviorisme dan kognitivisme, guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan
bahawa pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada. Oleh itu segala perancangan dibuat
mengikut turutan aktiviti supaya objektif pembelajaran tercapai.

Aktiviti pembelajaran yang mengaplikasi teori behaviorisme dan kognitivisme ialah pembelajaran
tutorial yang menggunakan ICT untuk menyampaikan kandungan pelajaran. Aktiviti ini merangkumi
demonstrasi, fenomena yang menggunakan perisian CD Rom, laman web yang disimpan di dalam
cakera keras, latihan yang dikawal oleh sistem dan pembelajaran ekspositori. Sebahagian besar
perisian pendidikan yang digunakan dalam pembelajaran tutorial direka dalam bentuk berdasarkan
kepada model tradisional P&P, model transmisi yang memperlihatkan guru sebagai penyampai
maklumat utama dan murid sebagai penerima (Merill, 1996). Pendekatan seperti ini harus diberi
pertimbangan yang teliti oleh guru sebelum ianya dilaksanakan. Adalah dicadangkan guru perlu
menilai setiap perisian yang sesuai sebelum menjalankan proses P&P serta melakukan persediaan
yang rapi dalam penyediaan peralatan ICT. Kumpulan murid yang cemerlang dan lemah dibahagikan
supaya memudahkan guru membuat penilaian diakhir sesi pengajaran. Kumpulan yang lemah akan
diberi latihan yang berbentuk latih tubi sementara yang cemerlang diberi latihan bebentuk pengayaan.
Kesilapan dalam memberikan pertimbangan boleh mengakibatkan pembaziran masa dan tenaga
serta menghalang penggunaan kemudahan ICT yang lebih produktif.

Teori pembelajaran kontruktivisme memberi tumpuan kepada pembinaan ilmu oleh individu.
Pembelajaran berlaku apabila seseorang itu dapat membina atau menginterpretasi ilmu serta
mengaplikasi dalam situasi yang baru (Piaget, 1981; Brunner, 1990). Dengan kata lain teori ini
memberi penekanan kepada pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengalaman pembelajaran yang
autentik dan pengetahuan yang dibina melalui interaksi sosial. Melalui pendekatan teori pembelajaran
ini, guru berperanan sebagai fasilitator dalam mengendalikan proses P&P dan menggunakan ICT
sebagai alat. Pelbagai strategi pengajaran digunakan untuk menjana idea serta meningkatkan
kemampuan murid untuk memanipulasikan maklumat yang telah dikumpul. Pembelajaran secara
penerokaan boleh digunakan oleh guru untuk menghubungkan antara teori konstruktivisme dengan
P&P. Kaedah pembelajaran ini membolehkan murid-murid mencari dan mengakses maklumat
daripada ensaiklopedia multimedia atau bahan-bahan daripada internet (Haynes & Holmevik, 1998).
Melalui pengumpulan bahan-bahan ini, maklumat akan digunakan untuk menjana dan menguji
hipotesis dalam penyelesaian masalah.

Perhatian yang lebih perlu diberikan oleh guru apabila menggunakan kaedah pembelajaran
penerokaan. Ini kerana murid-murid mungkin menggunakan terus maklumat yang diperolehi tanpa
memanipulasi (mencari, membanding dan menilai). Dalam proses pembelajaran ini guru perlu
menyediakan soalan-soalan terbuka untuk menjana pemikiran murid-murid dan menggalakkan
pembelajaran secara hafalan (rote learning). Peranan guru dalam memantau penggunaan aplikasi
pemprosesan perkataan, lembaran kerja dan persembahan adalah perlu untuk mengelakkan
pemesongan tumpuan murid daripada perkara yang lebih penting. Guru perlu memastikan bahawa
penggunaan ICT adalah untuk membantu proses P&P seperti menganalisis maklumat dan bukannya
digunakan sebagai mesin taip elektronik.

Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata dalam perkongsian
maklumat dan komunikasi. Guru boleh mengambil peluang daripada keupayaan ini untuk
menjalankan pembelajaran kolaboratif di dalam kelas. Kaedah ini digunakan untuk membolehkan
murid dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam
pelbagai bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video dan animasi. Ini akan
mewujudkan hubungan kerja berpasukan di kalangan murid di samping memantapkan kemahiran
berkomunikasi. Namun begitu guru perlu menyediakan garis panduan yang jelas dan terperinci untuk
memastikan disiplin murid semasa penggunaan e-mail, chat room dan sebagainya dalam
pembelajaran kolaboratif. Penilaian boleh dijalankan oleh guru dan kumpulan pebincangan apabila
hasil dibentangkan di dalam kelas. Ini akan menggalakkan percambahan pemikiran dan
memantapkan kemahiran berfikir serta komunikasi murid-murid. Strategi guru menggunakan ICT
dalam proses P&P harus selaras dengan isi kandungan mata pelajaran dan menekankan implikasi
atau hasil pembelajaran yang diharapkan berdasarkan tahap murid.

4.4 Peranan pelajar

Pelajar menggunakan pemprosesan perkataan untuk menyediakan laporan-laporan aktiviti untuk


aktiviti pengayaan, tugasan serta projek. Pelajar boleh mengulangi tutorial mengikut keperluan,
kemampuan dan kadar sendiri. Aktiviti dijalankan sama ada secara individu dengan akses kendiri
atau dalam kumpulan kecil. Pelbagai projek di sediakan dalam muka indeks laman web untuk
membolehkan pelajar mengakses maklumat daripada World Wide Web seperti tugasan mencari
jurubina-jurubina terkenal di dunia, bangunan-bangunan bersejarah yang menarik, mencari URL
laman berkaitan. dengan Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan, MPBL,
2002 pelan dan dongakan serta murid berkomunikasi dengan pelajar di sekolah yang sama atau dari
sekolah yang lain melalui e-mail untuk mengongsi maklumat yang ditemui sama ada untuk tujuan
perbincangan atau memberi cadangan pelaksanaan tugasan /projek . Maklumat ini disimpan dalam
laman web untuk diakses oleh murid yang lain. Misalnya dalam pautan e-mail murid dan cadangan
murid.

4.5 Peranan Masyarakat

Untuk memantapkan integrasi ICT dalam proses P&P sekolah harus menggunakan pelbagai
perkhidmatan luar seperti pihak swasta, kerajaan, badan akademik, komersial serta komuniti
setempat. Pusat Sumber Pendidikan Negeri merupakan sumber rujukan yang paling relevan untuk
mendapat khidmat nasihat mengenai teknik dan kaedah P&P menggunakan ICT. Teknik perkongsian
pintar antara sekolah dan sektor swasta boleh digunakan sebagai strategi untuk meningkatkan
kemahiran ICT guru dan semua warga sekolah. Sekolah harus menggunakan peluang yang ada
dalam komuniti setempat dari segi mendapatkan sumbangan dalam bentuk tenaga pakar untuk
membantu guru-guru dalam menjadikan penggunaan ICT dalam P&P secara berkesan.

REFLEKSI BAB 10

Sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini dikatakan dapat menyediakan murid-murid yang serba
boleh bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar. Dari masa ke semasa, kerajaan akan
sentiasa mencari jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Dalam keghairahan
mengguna teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus berwaspada terhadap bahaya dan kesan
negatif akibat penggunaan yang tidak terkawal. Walau apapun pandangan kita, penggunaan teknologi
maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak
pendidikan masa depan dan tingkah laku kanak- kanak. Oleh itu, pengawalan dan pengawasan yang
rapi harus diberikan apabila menggunakan teknologi canggih ini.

Perkembangan ICT dalam bidang pendidikan ini memberi kesan besar kepada usaha
membangunkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan yang berdaya saing.
Memandangkan ICT merupakan antara penentu utama dalam proses pembangunan bagi
meningkatkan ekonomi maka ICT dilihat mampu memperkasakan ekonomi penduduk melalui
kejayaan dalam pendidikan.

pengetahuan mengenai teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran seharusnya


diketahui oleh guru bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hal ini
kerana, penggunaan teknologi maklumat masa kini adalah sebagai satu fenomena yang utama dalam
kehidupan. Bak kata pepatah, maklumat di hujung jari. Setiap pengajaran seharusnya diterapkan
teknologi maklumat agar pengajaran tersebut dapat bergerak seiring dengan kemajuan teknologi
dunia.

Anda mungkin juga menyukai