Anda di halaman 1dari 13

2.

0 CARA PEMBINAAN INSAN YANG SEJAHTERA MENGIKUT AJARAN ISLAM


Islam sangat menekankan kelahiran insan berkualiti yang menguasai ilmu, berfikiran luhur,
memiliki akhlak mulia, bertoleransi, mempunyai daya saing tinggi dan sebagainya.Pembinaan
insan yang sejahtera merupakan antara misi Islam dalam membentuk umat yang berjaya di dunia
dan akhirat. Tumpuan pembinaan ini sepanjang tradisi Islam ialah kerana pada diri insan terdapat
potensi yang amat bernilai. Al-Qur’an turut memberi keutamaan kepada pembinaan dalam insan
kerana pada insanlah terletak kekuatan untuk membangunkan persekitarannya sebagaimana
firman Allah:

Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di
daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan
mereka dengan kelebihan yang semurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami
ciptakan. Surah al-Isra’ (17):70

Fungsi utama Islam ialah untuk memimpin pembangunan manusia mengikut garis panduan yang
betul dan ke arah yang sebaik-baiknya.Asas-asas falsafah pembangunan berdasarkan pendekatan
Islam adalah tauhid, rububiyyah,khilafah dan juga tazkiyah.

Berdasarkan asas-asas tersebut konsep pembinaan insan dalam Islam adalah bersifat menyeluruh
yang merangkumi aspek moral, material dan kerohanian (spiritual). Ini kerana menjadi suatu
aktiviti yang berorientasikan matlamat dan nilai yang mana ia bertujuan mengoptimumkan
kesejahteraan manusia dalam semua aspek tadi. Kesemua aspek ini tidak boleh dipisahkan. Ja’far
Shaykh Idris dalam artikelnya telah menyatakan bahawa membangunkan diri seseorang
bermakna membangunkan ciri-ciri yang membentuk intisari manusia.Intisari manusia itu
menurut Islam ialah suatu kuasa yang diberikan kepada setiap manusia secara fitrah dan mampu
untuk dibangunkan atau dibantutkan, tetapi tidak boleh dilenyapkan sepenuhnya. Pembangunan
dan kematangan kuasa ini berlaku apabila manusia mengakui hakikat kehambaan kepada Allah
serta mengabdikan diri kepadaNya. Secara umumnya fitrah manusia ini perlu dibangunkan untuk
menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya. Selain itu, pembangunan ekonomi, sosiobudaya
dan lain-lain yang ingin dibangunkan masih boleh diteruskan selagi ianya tidak mengorbankan
pembinaan insan dan masih di dalam lingkupan prinsip-prinsip agama Islam. Aspek kebendaan
dan kerohanian dalam kehidupan perlulah saling melengkapi. Dalam erti kata lain,
memanfaatkan dunia untuk memperoleh kebaikan di akhirat adalah sesuatu yang dituntut Islam
kerana apa yang dijadikan oleh Allah ini merupakan manfaat untuk kegunaan manusia.Oleh
kerana manusia merupakan paksi dalam pembinaan baik dari luaran mahupun dalaman, maka
sebarang proses pembangunan mestilah dimulakan dengan kerohanian, moral, fizikal dan
persekitaran manusia kerana manusia merupakan agen bagi suasana fizikal dan persekitarannya.
Menurut perspektif Islam, modal insan membawa maksud satu keunggulan keperibadian yang
dimiliki oleh manusia iaitu penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran yang tinggi dan akhlak
yang mulia dalam konteks melaksanakan tugas dan tanggungjawab bersama yang diamanahkan
bagi meningkatkan kemakmuran bagi manusia dan alam seluruhnya.Manakala pembinaan insan
membawa maksud usaha-usaha berterusan sepanjang hayat dalam memupuk dan
mengembangkan potensi-potensi yang ada dalam diri manusia agar menjadi subur dan kental
rasa keimanannya terhadap Rukun Iman serta berupaya terdorong untuk menggesa dan
menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup dirinya sendiri, orang lain dan alam
seluruhnya.Ianya juga merupakan proses memperkasakan individu dan anggota komuniti.

2.1 Aspek Spiritual/Rohani

2.2.1 Pembinaan insan dalam perspektif Islam tidak hanya menekankan aspek intelektual dan
emosional, malah melibatkan spiritual (kerohanian). Pembinaan insan yang tidak seimbang akan
merosakkan potensi-potensi manusia yang merangkumi potensi ruh, potensi nafs, potensi
qalb, potensi akal dan potensi inderawi. Daripada apa yang telah diketengahkan, pembinaan
ini merujuk kepada insan atau manusia itu sendiri yang perlu dibangunkan menurut acuan ajaran
Islam. Kualiti pembangunan manusia yang dibangunkan ini adalah merujuk kepada
pembangunan diri yang seimbang dari aspek rohani dan jasmani. Dalam usaha membina diri
insan tersebut memerlukan kepada usaha berterusan dalam usaha memberi manfaat kepada orang
lain. Justeru, menurut pandangan Islam, pembinaan insan terjadi secara berperingkat yang mana
peringkat pertama disebut peringkat kerohanian. Ianya dinamakan tazkiyah al-nafs yang bererti
membangunkan kebaikan yang wujud dalam diri manusia dan menggalakkan pertumbuhannya
sehingga dia melaksanakan dan memenuhi kehendak gambaran yang diberikan oleh Allah
S.W.T. tentang penciptaanNya dalam bentuk yang paling baik.

Disamping itu,secara umum pembinaan rohani insan boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk
pembinaan: pembinaan akhlak sesama insan dan pembinaan akhlak dengan Allah SWT.
Pembinaan akhlak sesama insan berkait dengan sifat-sifat kesejahteraan hati insan yang
dijelmakan oleh akhlak luaran. Manakala pembangunan akhlak dengan Allah SWT pula berkait
dengan pembinaan sifat-sifat mulia terhadap Allah SWT yang tertanam dalam hati. Pembinaan
spiritual atau rohani melibatkan pembinaan roh atau jiwa manusia berpaksikan kepada
keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Kerohanian ini akan memberi kekuatan
kepada jiwa manusia untuk meningkatkan potensi dan keupayaan diri mereka bagi mencapai
kemerlangan di dunia dan juga di akhirat. Tanpa kerohanian yang jitu, manusia menjadi mati
hati, muflis akhlak, bankrap jiwa, pudar nilai keinsanan dan kebejatan ketamadunan. Ini akan
mengakibatkan wujudnya gejala negative dan menyebabkan mereka tidak berasa bahagia, gusar,
bimbang dan tidak memperoleh ketenangan kepada jiwa manusia itu sendiri. Pembinaan spiritual
atau kerohanian bertujuan untuk membangunkan kerohanian manusia untuk menghargai dan
mempertahankan kemuliaan ciptaan manusia sebagai insan di dunia ini bagi membentuk nilai
dan jati berdasarkan pegangan agama yang kuat dan ikhlas. Pembinaan spiritual juga merupakan
asas penting bagi diri manusia untuk membersihkan diri mereka dan kembali sebagai manusia
dengan jiwa yang bersih sebagaimana Allah S.W.T. telah memuliakan penciptaan manusia di
atas muka bumi ini. Firman Allah di dalam surah as-Shams: 7-10 yang bermaksud:

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah telah ilhamkan kepada
jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang
mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotori jiwa itu”.

2.1.2 Konsep insan ini dalam pengertian tazkiyah al-nafs ini merujuk kepada suatu usaha gigih
untuk membersihkan diri manusia daripada pelbagai sifat mazmumah lalu dihiasi dengan sifat-
sifat mahmudah. Dengan kata lain mengangkat tahap nafsu insan itu dari tahap ammarah bi al-
su’ kepada nafs al-mutmainnah. Karektor insan yang dibangunkan dari proses tazkiyah ini ialah
insan yang berakhlak mulia.Matlamat utama pembinaan insan pula ialah untuk membina
diri manusia supaya layak menjadi anggota masyarakat yang dapat menjalankan tugasnya
dengan baik. Ketinggian sahsiah, akhlak dan jati-diri merupakan matlamat dalam pembinaan
insan sejahtera yang perlu dicapai. Ia juga bertujuan untuk membangun diri atau membangun
potensi diri bagi membangun serta membina masyarakat dan negara. Matlamat tersebut sangat
penting kerana ia menjadi petunjuk arah kepada pelaksanaan segala usaha.

Pembinaan spiritual atau rohani yang kuat dapat memberi implikasi kepada peradaban manusia.
Ini dapat dijelaskan lagi dengan kepentingan mengaplikasi nilai akhlak dalam kehidupan
seharian, melaksanakan dasar ekonomi berteraskan syarak, membudayakan penghayatan
ilmu di kalangan masyarakat dan menerapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat
berteraskan norma kebudayaan Islam. Pembangunan spiritual atau rohani manusia juga akan
membentuk akhlak manusia sama ada berakhlak baik atau buruk. Akhlak baik adalah sifat yang
dimiliki oleh para nabi dan rasul, siddiqin dan hasi mujahadah para muttaqin. Akhlak buruk pula
merupakan racun yang membunuh, keji, menjauhkan manusia dari Allah S.W.T. dan
menjerumus manusia ke perangkap syaitan. Oleh itu, beliau menyatakan bahawa manusia perlu
melakukan penyucian jiwa dan merawat penyakit hati dan jiwa yang rosak ini bagi menghasilkan
akhlak yang baik dan terpuji. Penyucian jiwa ini memerlukan kepada proses yang berterusan dan
memerlukan kesungguhan individu tanpa rasa untuk berputus asa. Pembentukan akhlak yang
terpuji ini memainkan peranan yang penting dalam pembangunan diri manusia bertepatan
dengan fitrah manusia yang suci. Menurut Kamaluddin, Kassim, Alam, & Samah, antara nilai
spiritual di dalam pembangunan spiritual manusia ialah benar (siddiq), ikhlas (amanah), wajar
(fathonah) dan warak (tabligh). Keempat-empat nilai ini sangat signifikan untuk mewujudkan
manusia yang berjaya di dalam kehidupan mereka di dunia mahupun di akhirat.

Seterusnya,jika ini digerakkan dengan betul akan mampu untuk menjana kemajuan dalam semua
bidang dan akhirnya mampu pula menempa kemajuan dan perubahan. Pembinaan insan dalam
proses keilmuan dan pendidikan pula mesti mampu menyaring ilmu-ilmu bermanfaat selaras
dengan ajaran Islam. Ini penting supaya manusia yang bakal lahir mampu membina tamadun
baru yang tidak menolak kepentingan nilai dalam membangunkan akhlak dan pada masa sama
tidak menolak kepentingan ilmu alat untuk mengurus sistem dan kehidupan itu sendiri.
2.1.3 Rohani manusia yang bersih mengajar manusia mengenai matlamat hidup tidak akan
menghalalkan cara untuk mendapat apa yang diperlukan dalam kehidupan manusia.
Untuk mencapai sasaran matlamat dalam kehidupan, manusia perlu menentukan cara dan
bagaimana untuk mendapatkannya berpandukan kepada saranan di dalam al-Qur’an dan
juga al-Sunnah. Kerohanian yang bersih akan membentuk diri manusia sebagai contoh yang
mulia kerana ia dilengkapi dengan sifat kejujuran dan tanggungjawab. Manusia yang berjiwa
bersih mudah untuk menerima teguran dan dapat memperbaiki kehidupan ke arah yang baik serta
dapat membentuk perhubungan yang dipenuhi dengan sifat kasih sayang di dalam kehidupan
mereka. Mereka juga dapat membentuk semangat kerjasama yang sebenar antara satu sama lain
dan saling bantu membantu. Maka, akan terhasil satu sifat integriti diri dalam konteks
berkomunikasi, membuat keputusan, memberi dorongan dan galakan serta kepimpinan.

Kerohanian merujuk kepada elemen hati yang membawa kepada perkembangan personaliti
manusia secara seimbang.Kerohanian adalah imuniti dan kawalan dalaman yang memainkan
peranan dalam membawa kebaikan.Kerohanian mendidik manusia untuk mempunyai nilai murni
yang baik dalam membentuk akhlak kepribadian yang baik. Agama Islam menerapkan amalan
yang mengajar penganutnya melaksanakan segala kebaikan dan amalan yang baik
berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.Melaluinya,penganut umat Islam diajar akan nilai-nilai
murni yang menekankan tiga dimensi iaitu akidah,syariah dan akhlak.Melalui ketiga-tiga
dimensi ini, ajaran nilai-nilai murni diajar secara sejagat dan membentuk peribadi murni dalam
diri penganutnya.Sekiranya mereka mengabaikan hubungan mereka dengan tuhan,perkara yang
di sebaliknya akan berlaku.Mereka memiliki aspek kerohanian yang lemah menyebabkan nilai-
nilai murni dalam diri berkurang dan sukar diterapkan dalam diri.Apabila perkara seperti ini
berlaku,nilai kasih sayang,kerjasama dan hormat-menghormati tiada dalam diri mereka.Perkara
buruk seperti pergaduhan antara satu sama lain,bertengkar dan ketiadaan toleransi terhadap orang
lain,pecah amanah dan tidak bertanggungjawab mudah berlaku.

2.2 Aspek Jasmani

Pepatah Arab ada menyebutkan “akal yang sihat berada dalam tubuh badan yang sihat.”
Rasulullah s.a.w pernah bersabda mafhumnya:”…kamu lebih mengetahui urusan duniamu,
maka laksanakanlah apa yang kamu kehendaki…”. Ini menjelaskan bahawa dalam usaha untuk
membina insan, unsur-unsur kemanusiaan yang wujud dalam diri seseorang hendaklah
dibangunkan seiring dengan perubahan zaman. Kaedah Usul yang menjadi pegangan ulama’
dalam membina hukum juga bergantung dengan kepentingan dan maslahah semasa iaitu konsep
masaleh mursalah. Dalam masa yang sama konsep sad al-Zarai’ digunakan agar dapat
menghalang sebarang keburukan .

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:


 “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan
waktu lapang.”  
2.2.1 Untuk memaham istilah jasmani dalam Islam tidaklah semudah yang disampaikan oleh
pakar-pakar sekular. Sebagai salah seorang insan Islam kita tentu dapat sedar bahawa
penyampaian cara hidup dan undang-undang ada yang diturunkan melalui ayat-ayat yang
mukkamat (ayat yang tetap, tegas dan nyata serta jelas maksudnya). Dalam Islam penerangan
istilah jasmani dijelaskan melalui ayat-ayat yang menggalakkan berfikir untuk melakukan.
Didefinisikan terdahulu jasmani melibatkan aktiviti seluruh badan yang merangsangkan daya
tahan, kesihatan sempurna dan keseronokan.
Rukun Islam yang lima.
1. Mengucapkan 2 kalimah shahadah
2. Mendirikan solat 5 waktu
3. Berpuasa di bulan ramadhan
4. Mengeluarkan zakat 11
5. Mengerjakan haji ke baitullah bagi yang berkemampuan.
Dari lima rukun ini tiga daripadanya melihat keperluan dan hasil dari beriadah. Solat,
memerlukan pergerakkan badan, khusyuk dan kebersihan. Hasilnya bukan sahaja sama seperti
sukan tetapi lebih baik lagi. Kajian semakin bertambah menyesuaikan kebaikan berpuasa
terhadap kesihatan. Malah dalam Islam puasa selain dari puasa Ramadhan juga disarankan
digelar puasa sunat dan yang terbaik adalah puasa Nabi Daud, yakni puasa selang sehari.
2.2.2 Kajian sains juga telah menyarankan kebaikannya pada kesihatan. Justeru itu boleh
disimpulkan bahawa rukun 12 Islam itu sendiri telah menyediakan untuk menghasilkan fizikal
yang sihat. Dari fizikal yang sihat seorang insan dapat menjalankan ibadah dengan lebih
sempurna, terutama sekali ibadah solat dan menjalankan kehidupan seharian. Untuk melahirkan
insan yang sejahtera,cara pemakanan yang betul juga ditekankan dan tidak mustahil
konsep berpuasa itu sendiri terlibat dalam cara pemakanan yang baik. Haji Rukun Islam
yang kelima adalah menunaikan haji. Tidak boleh dinafikan untuk kesempurnaan dan kepuasan
untuk mengerjakan haji memerlukan tubuh badan seorang insan dalam keadaan sihat serta
memberi ketekunan yang sempurna. Haji melibatkan tekanan fizikal, mental, sosial, emosi dan
rohaniah. Ibadat yang mulia ini diwajibkan dengan kehadiran kemampuan (dari segi fizikal,
sosial dan emosi termasuk kewangan).
Untuk persediaannya aktiviti bersukan adalah digalakkan sebab aktiviti sukan juga bertujuan
untuk perkembangan kesejahteraan seorang insan yang menjadi down payment untuk
menjalankan ibadah haji. Begitu murni dan unggulnya pengajaran Islam sehingga rukun Islam
itu sendiri telah menentukan untuk perkembangan kesejahteraan. Untuk menyokong lagi, Islam
menggalakkan seorang insan itu beraktiviti melalui sukan : Ayat Qs Al-Anfaal (8)60.
“ Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggup...”
Begitu pula sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
“Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah.”
2.2.3 Seperti yang disebutkan diatas insan yang kuat itu lebih baik dari insan yang lemah. Ini
bermakna bersukan atau berjasmani itu sangatlah penting dalam kehidupan seorang hamba
Islam. Kerana itulah Islam menyarankan kita sebagai insan tuhan mengajar bersukan atau
berolah-raga, renang, melempar, menunggang kuda dan memanah. Mengikut Imam At-
Tharmizi dengan sanad jayyid Rasullullah s.a.w bersabda:
“ Segala sesuatu yang bukan termasuk dzikir kepada Allah maka itu adalah (perbuatan) sia-sia,
kecuali empat hal: berjalannya seseorang diantara dua tujuan (untuk memanah, mendidik
kudanya, bercanda dengan keluarganya dan mengajarnya berenang).
Telah menggalakkan aktiviti-aktiviti yang tersebut di atas. “Sesungguhnya kekuatan itu ada
dalam melempar.” Diriwayatkan oleh At-Tharmizi bahawa Rasullullah s.a.w bersabda “
Hendaklah keluar bermain melempar (panah) kerana sesungguhnya itu adalah permainan yang
paling baik”. Al Bukhari pula dalam Shahihnya meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w pernah
melewati para sahabat dilapangan panah dan memberi semangat pada mereka dengan bersabda “
Lemparlah (panahlah) oleh kalian! Sesungguhnya aku bersama kalian semua.” Juga
diriwayatkan oleh Imam Bukhari Nabi s.a.w telah mengizinkan Habasyah bermain tombak
didalam masjid dan Nabi s.a.w membenarkan Aisyah menyaksikannya.Ini menunjukkan
kepentingan sukan bukan sahaja pada orang lelaki tetapi juga pada kaum perempuan yang mahu
menjadi seorang insan yang sejahtera. Dan sukan bukan sahaja untuk pelaku tetapi juga untuk
tontonan. Timbullah konsep sosialisma dan kesukanan.
Walaubagaimana pun apakah yang terdapat perbezaan dizaman Rasullullah s.a.w dan sekarang?
Dapat diperhatikan bahawa pada zaman Rasullullah beberapa acara olahraga atau sukan yang
disarankan, memanah, berkuda, berenang dan melempar.Perkara tersebut adalah sesuai dengan
keadaan masyarakat pada ketika itu. Selama 23 tahun Rasullullah s.a.w menyebarkan ugama
Islam baginda telah terlibat dalam beberapa peperangan. Jadi kekuatan yang diperlukan pada
masa itu lebih memberatkan kepada kebolehan mempertahankan diri dalam peperangan dan
peperangan pada masa itu melihat pada kehandalan berkuda, memanah dan melempar.
Maknanya aktiviti sukan untuk kesenggangan tidak begitu ketara. Walaupun ada terbukti aktiviti
kesenggangan berlaku antara kaum wanita,dimana Habsyah melakukan dan Aisyah melihat.
Sukan berenang juga disenaraikan pada zaman tersebut. Sukan ini kalau dikaji secara saintifik
ianya akan menyediakan kekuatan otototot tangan, kaki dan keseluruhan badan. Juga
kemahiran ini sangat diperlukan untuk keselamatan diri merentas zaman. Sebagai kesimpulannya
sukan pada zaman Rasullullah s.a.w berlandaskan keselamatan diri dan wilayah. Zaman selepas
baginda mendapat wahyu, kehidupan baginda berlegar dengan faktor menyebarkan dan
memperkemaskan Islam. Justeru objektif jasmani memebentuk seorang insan yang sejahtera dari
pelbagai aspek.

2.3 Aspek Emosi

2.3.1 Seseorang insan yang mempunyai kecerdasan emosi dapat dikesan melalui akhlaknya.
Akhlak mulia merupakan natijah iman yang sebenar kerana tidak bernilai iman seseorang insan
tanpa disertai dengan akhlak yang mulia sepertimana yang digambarkan dalam hadith Rasulullah
SAW ketika ditanya oleh sahabat, “Apakah Deen itu?” lantas baginda menjawab dengan
sabdanya, “(Deen itu) adalah akhlak yang baik.” Akhlak juga merupakan amal yang paling
berat yang akan diletakkan dalam neraca seseorang insan pada hari kiamat kelak.Hadith tersebut
jelas menunjukkan bahawa Islam menjadikan akhlak sebagai intipati bagi segala jenis ibadat.

Sepertimana hadith yang berbunyi:


”Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan
mengerjakan kebaikan dan berperangailah kepada manusia dengan perangai yang bagus.”
(Riwayat Al-Tirmizi).
Hadith di atas menjelaskan bahawa belum sempurna taqwa seseorang insan jika semata-mata
membaiki hubungan dengan Allah tetapi memutuskan hubungan sesama manusia.” Kepentingan
pengurusan akhlak sesama manusia dalam hadith di atas mempunyai perkaitan yang kuat dengan
konsep kecerdasan emosi yang menekankan tentang kecekapan mengenalpasti emosi sendiri dan
emosi orang lain untuk menguruskannya dan membina hubungan mesra dengan mereka. Dalam
kata lain, seseorang insan yang mempunyai kecerdasan emosi menurut perspektif Islam
mempamerkan akhlak yang berterasakan syariat Allah SWT berasaskan aqidah dan dihiasi
dengan adab sopan. Islam telah memberikan keistimewaan kepada seseorang insan iaitu satu
kehidupan yang seimbang berbanding dengan makhluk Allah s.w.t. yang lain.Seseorang manusia
dianugerahkan akal dan fikiran dalam membuat pilihan yang bijak sewaktu berada dalam
keadaan beremosi. Islam telah mengajar manusia mengenai kecerdasan emosi ini sejak manusia
diciptakan oleh Allah s.w.t., sedangkan kajian di barat mengenai kecerdasan emosi bermula
dalam abad ke 20.

2.3.2 Dalam Al-Quran telah termaktub ayat-ayat yang menerangkan Islam itu amat
mementingkan kecerdasan emosi dalam kalangan umatnya antaranya Allah s.w.t. melarang umat
Islam dari berputus asa dengan rahmatNya Allah dan larangan membunuh diri. Selain itu Allah
SWT juga menyukai insan-insan yang bersifat belas kasihan sesama manusia, menjadi insan
yang sentiasa bersyukur kepada Allah, tidak mempersekutukan Allah, berbuat baik kepada
kedua ibu bapa yang mengandung, melahirkan, membesarkan dan mendidik, berterima kasih
kepada mereka dan memperlakukan mereka dengan baik, sentiasa mengikut jalan-jalan orang
yang mendapat petunjuk, berbuat kebaikan walaupun sebesar zarah kerana semuanya ada
balasan, mendirikan solat dan mengajak orang lain melakukannya, mencegah perbuatan mungkar
dan sentiasa bersabar dengan apa sahaja yang menimpa, tidak bersikap angkuh dan memandang
rendah kepada orang lain, dan sentiasa bersederhana dan bersikap rendah diri. Sifat-sifat ini juga
merupakan sifat terpuji yang mewakili akhlak Rasullullah. Justeru seseorang insan dianjurkan
mengamalkan kecekapan kecerdasan Emosi seperti yang terdapat dalam Al-Quran dan Al-
Sunnah supaya mendapat kesejahteraan di dunia mahupun di akhirat.
Kesempurnaan emosi dan perasaan yang dicontohkan oleh Baginda SAW inilah yang wajar
penjadi pegangan dan ikutan seseorang insan. Sebenarnya, inilah juga apa yang telah diajarkan
oleh Rasul SAW kepada insan apa itu pengurusan emosi, tentang apakah emosi positif dan emosi
negatif, malah ia juga berkaitan kecerdasan emosi serta konsep dan operasi islami tentang
pengurusan dan kecerdasan emosi yang mungkin amat janggal bagi sesetengah dari kita, tetapi
inilah khazanah yang perlu diungkap kembali oleh kita semua. Ini juga adalah di antara beberapa
rahmat sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada seluruh alam ini dengan kelahiran
junjungan besar Rasul SAW.

2.3.3 Allah telah menjadikan manusia dari pelbagai unsur, yang terdiri daripada tanah yang
membentuk asas kepada pembentukan fizikal, dan ditiupkan dengan unsur nyawa atau ruh, yang
memberi tenaga kehidupan dan kekuatan kepada fizikal. Persoalannya ialah di manakah
kedudukan emosi atau perasaan itu, adakah ia sebahagian dari unsur fizikal atau ruh? Atau
adakah ia merupakan satu fungsi yang terhasil daripada gabungan aspek fizikal dan rohani?
Kajian dalam neurosains menyatakan bahawa emosi adalah sebahagian dari fungsi saraf, satu
manifestasi yang terhasil dari aktitivi otak seseorang insan.

Manakala dalam Islam, ruh amat berperanan dalam memandu sebarang aktiviti dalam pemikiran,
perasaan dan perbuatan manusia. Ruh amat memerlukan jasad yang secara fizikalnya melengkapi
hakikat insan dan begitu juga jasad yang memerlukan ruh bagi meneruskan kehidupan. Malah,
ruh turut dinyatakan mempunyai keupayaan untuk berasa takut dan bergembira, baik di saat
hidup di dunia ini, mahupun di akhirat nanti. Bertepatan dengan apa yang digambarkan dalam al
Quran yang menceritakan tentang keadaan dan perasaan manusia apabila mereka dihumban ke
neraka dan juga kegembiraan mereka apabila menjadi penghuni syurga. Keadaan ini
digambarkan Allah dalam surah az Zumar, satu surah yang banyak  menceritakan hal berkaitan
ahli syurga yang dipenuhi kegembiraan dan ahli neraka yang diselubungi kedukaan. Firman
Allah yang bermaksud:

‘Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa kerana kemenangan mereka, mereka
tiada disentuh oleh azab (neraka dan tidak pula) mereka berduka cita’.

Surah az Zumar, ayat 61

Pada umumnya, emosi ialah satu reaksi dalaman yang mempunyai kualiti ekspresif dan
mempengaruhi pemikiran seseorang insan, perasaan dan tingkahlaku insan. Emosi boleh
mempengaruhi tingkahlaku seseorang insan juga mampu untuk mengawal reaksi emosinya.
Namun perkara ini amat mengelirukan manusia lantaran ketidakfahaman terhadap fitrah kejadian
manusia itu sendiri lalu mengakibatkan ramai insan yang tidak mampu dalam mengawal emosi,
malah sebaliknya dikawal oleh emosi mereka sendiri. Terdapat dua jenis emosi iaitu negatif atau
positif yang tergolong ke dalam dua kategori, sama ada membina atau merosakkan.

Berhubung dengan perkara ini, seorang tokoh keilmuan Islam yang tidak asing lagi, Dr
Muhammad Uthman Najjati ada menyatakan bahawa reaksi dalaman terhadap sesuatu perkara,
pengalaman atau peristiwa mencorak kepada kepelbagaian emosi yang terdiri daripada rasa
marah, sedih, duka, kecewa, takut, gembira dan suka serta kasih sayang. Malah, kelahiran Rasul
SAW pula telah memberi panduan kepada manusia untuk mempelajari dan memahami
tentang reaksi emosi dan kaedah pengurusan emosi. Jika ditinjau pada hari ini berkaitan
kecerdasan emosi, beberapa elemen penting dalam kecerdasan emosi ialah mengenali jenis
emosi, memahami emosi diri dan emosi orang lain, mengetahui bagaimana emosi tercetus dan
kesannya kepada pembangunan diri serta perhubungan.

Melalui wahyu dan hidayah Allah SWT, Baginda SAW telah mengajar umatnya untuk
mengenali apa itu emosi. Pelbagai jenis reaksi emosi diterangkan oleh Baginda SAW seperti
perasaan marah, sedih dan duka lara, gembira, malu, takut dan gementar serta sebagainya.
Sebagai contoh, dalam al Qur’an yang menjelaskan mengenai emosi sedih sebagaimana firman
Allah dalam surah al Baqarah ayat 277, yang bermaksud: ‘Sesungguhnya orang-orang yang
beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat
pahala di sisi Tuhannya. Pada mereka tidak ada kekuatiran dan tidak (pula) mereka bersedih
hati’.

Manakala berkaitan dengan perasaan benci, Islam menyarankan agar tidak wujud kebencian
yang melampaui batasan perikemanusiaan dan pada masa yang sama agar meletakkan rasa
kebencian tersebut terhadap perkara yang membawa kepada syirik, kekejaman dan kemaksiatan.
Dalam al Quran, Allah berfirman dalam surah al Baqarah, ayat 216, yang bermaksud

‘Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci.
Boleh jadi kebencian kamu terhadap sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi
(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang
kamu tidak mengetahui’.

Jika pada hari ini, insan-insan telah terdedah dengan apa itu kecerdasan atau kepintaran emosi
serta kaedah pengurusan emosi, tetapi hakikatnya kelahiran Rasulullah SAW sebagai
penyempurnaan akhlak manusia lebih awal mengajar manusia berkaitan kecerdasan emosi dan
perasaan serta cara pengendalian emosi yang tidak terkawal agar menjadi lebih baik. Baginda
telah mengajarkan untuk mengenali apa itu emosi, sama ada emosi negatif atau positif, dan
bagaimana sifat emosi itu boleh berubah menjadi sesuatu yang membina ataupun merosakkan,
berserta dengan cara pengendalian emosi. Inilah yang menjadi asas kepada akhlak dan
tingkahlaku manusia, sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW yang terhasil
dari natijah keimanan sebagai pendorong tingkahlaku yang sebenar. Akhlak ini jugalah yang
akan menentukan keredhaan Allah dan balasan syurga kerana sebaik-baik manusia di kalangan
orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang amat baik perangai dan akhlaknya kepada orang
lain. Hadis riwayat Imam Tarmizi, sabda Nabi Muhammad SAW

“Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan iringilah kejahatan dengan
perbuatan kebaikan, dan berperangailah kepada manusia dengan perangai yang baik”.

2.4 Aspek Intelek

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang
mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang
mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang
mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu
seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.
(Al-A’raf, 7: 179)
2.4.1 Pemikiran kritis merupakan alat intelektual yang sangat penting bagi seseorang insan
untuk menyusun hujah, menilai kredibiliti sumber, menganalisis andaian atau membuat
keputusan dalam pelbagai konteks. Ia juga telah diterima sebagai satu strategi pedagogi yang
tersendiri dan dipercayai boleh menyokong pendekatan untuk belajar dalam semua bidang
kurikulum.Para sarjana khususnya bidang pendidikan telah menunjukkan minat yang besar
dalam pemikiran kritis namun kebanyakan konsep pemikiran merujuk kepada perspektif Barat.
Walhal, Islam telah mengemukakan asas dan kerangka pemikiran kritis yang sangat kuat
daripada sumber wahyu. Penekanan al-Quran terhadap pemikiran kritis boleh dilihat
berdasarkan ayat-ayat yang menggesa semua insan dan umatnya melakukan kontemplasi dan
pemikiran yang baik, bantahan kepada taklid dan mencari kepastian serta bersikap objektif. Oleh
itu, penting bagi seseorang insan untuk membina kerangka pemikiran kritis Islam yang selari
dengan wahyu Allah SWT. Penelitian ini merupakan sebahagian usaha yang dilakukan untuk
menyumbang ke arah ini melalui perbahasan tentang elemen utama pemikiran kritis Islam
daripada sumber utama, iaitu al-Quran. Ia bermula dengan penjelasan secara ringkas tentang
definisi pemikiran kritis dari sudut bahasa, diikuti definisi oleh sarjana-sarjana Islam, seterusnya
menerangkan istilah-istilah pemikiran kritis dalam al-Quran.
Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang
(terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia
jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti.
Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu)
berfikir. (Ar-Ra’d, 13: 3)
Konsep pemikiran kritis dalam Islam bertitik tolak daripada pemaknaan akal atau intelek
manusia yang berasaskan pada perbahasan al-Quran dan al-Sunnah. Malah, ianya juga
berhubung dengan teori ilmu dan epistemologi dalam Islam. Maka, definisi pemikiran kritis yang
dikemukakan oleh tokoh-tokoh Islam tidak terkeluar daripada roh dan jiwa ajaran Islam yang
bukan semata-mata meletakkan akal dan rasional sebagai penyelesai kepada segala masalah
sebagaimana yang dikemukakan oleh golongan Barat.
Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan
masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang
banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan
Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu. (Al-Anbiya’, 21: 79)
2.4.2 Sebagai sarjana yang memadukan pemikiran saintifik dengan al-Quran, konsep pemikiran
kritis Harun Yahya (2000) dapat dilihat dalam karyanya Deep Thinking. Ini bermaksud beliau
menggunakan istilah pemikiran mendalam (deep thinking) untuk mengajak semua umat islam
termasuk lah insan-insan berfikir secara serius dan mendalam khususnya dengan mengkaji dan
mengamalkan ayat-ayat al-Quran. Pemikiran yang dibentangkan ini mengetepikan pendapat
majoriti tanpa diselidiki terlebih dahulu dan menolak sikap malas berfikir. Harun Yahya juga
mengajak kita semua khususnya insan-insan yang mahukan kesejahteraan supaya lebih
memikirkan tentang manusia, alam, kehidupan, akhirat, azab dan lain-lain. Ini bermaksud
seseorang insan tidak semestinya berfikir apabila menerima sesuatu maklumat tetapi proses
berfikir kritis atau mendalam ini perlu dilakukan setiap masa supaya mereka ini memperoleh
kebaikan yang menyeluruh di dunia dan di akhirat. Secara keseluruhan, maksud pemikiran
kritis menurut pandangan sarjana Islam awal dan juga sarjana Islam terkemudian, tidak
mempunyai perbezaan yang ketara, kerana kedua-duanya memfokuskan potensi akal untuk
menilai, menganalisis dan bertindak balas terhadap situasi dan keadaan sekeliling, di samping
menjadikan al-Quran sebagai asas dan landasan pemikiran kritis. Para sarjana Islam meyakini
bahawa akal berupaya untuk mencapai kebenaran apabila ia diselaraskan dengan wahyu. Apa
yang penting, penggunaan akal secara kritis dan mendalam akan dapat memandu seseorang insan
mencapai kehidupan yang benar dan dapat menggambarkan identiti umat Islam yang sebenar
berpaksikan ajaran wahyu Allah SWT. Ia juga dapat menguatkan keimanan dan keyakinan
dengan memikirkan tentang alam dan segala isinya.
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu
sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? (Al-Baqarah, 2:
44)
Sebagai kitab petunjuk buat umat manusia, al-Quran telah menerapkan budaya pemikiran kritis
ini di dalam ayat-ayatnya sejak lebih dari seribu empat ratus tahun yang lalu. Dari sudut teorinya,
hakikat-hakikat alamiah atau ilmu-ilmu tentang alam yang luas ini banyak dibentangkan dalam
al-Quran untuk disingkap oleh akal-akal seorang insan supaya mereka memperoleh petunjuk
daripadanya. Dalam hal ini terdapat beberapa istilah yang menjadi elemen utama pemikiran
kritis, iaitu istilah tafqih, tafakkur, tafahhum, ta‘qil, tadabbur dan tadhakkur.Istilah-istilah ini
merujuk kepada gesaan aktiviti berfikir dalam al-Quran. Ia membabitkan proses atau kegiatan
berfikir secara serius, terfokus dan mendalam.
RUMUSAN (SOFIYYAH YAZID)

Konklusinya, dari sudut pemahaman saya pembinaan insan yang sejahtera menurut perspektif
Islam ini merujuk kepada perihal membina insan dalam usaha untuk mencapai sesuatu berkaitan
dengan hakikat insan yang tidak terlepas daripada hakikat kejadiannya yang merangkumi unsur
jasmani dan rohani tanpa mengenepikan unsur-unsur luaran seperti ekonomi, sosial, dan lain-
lainnya. Namun, dalam konteks sebagai seorang Muslim, penekanan kepada insan ini
diutamakan kepada pembangunan rohani kerana ia melibatkan proses pembangunan diri manusia
dari aspek potensi yang ada di dalam diri manusia itu sendiri. Ianya bermatlamatkan al-falah
iaitu kejayaan yang tidak hanya dicapai untuk di dunia semata-mata tetapi juga di akhirat.Selain
itu,emosi yang sihat berkait rapat dengan setiap tindak-tanduk kita, justeru ia wajar diberi
perhatian. Apabila emosi sihat, perasaan serta tindakan juga akan lebih terkawal. Individu akan
lebih tabah menghadapi dugaan, mampu menjalinkan perhubungan yang bermakna dan
bersemangat kental. Mental sihat, cergas dari segi mental bukan bermakna kita hidup tanpa
sebarang masalah dan kedukaan. Sebaliknya apa yang dimaksudkan di sini ialah keupayaan
untuk menghadapi segala cabaran dalam kehidupan bersandarkan kekuatan yang dimiliki.
Penjagaan fizikal jaminan emosi sihat, walau berapa pun usia, perhatian yang diberikan terhadap
kesihatan fizikal, iaitu dengan menjaga tubuh badan akan sekali gus menjadikan mental lebih
sihat.Tidak lain tidak bukan,pemikiran kritis Islam meliputi pelbagai kemahiran kognitif dan
intelektual yang diperlukan bagi mengenal pasti, menganalisis dan menilai sesuatu hujah dan
kesahan sesuatu idea dengan berkesan. Setiap kemahiran ini bertujuan memastikan segala idea
atau perkara yang diterima atau dihasilkan tidak dipengaruhi elemen-elemen yang mengurangkan
nilai kebenaran. Dengan kata lain, pemikiran kritis Islam dapat memandu dan membantu
manusia mencapai resolusi yang terbaik dalam melaksanakan aktiviti seharian. Hal ini juga
kerana aktiviti berfikir kritis bukan sahaja berlaku dalam kalangan ahli akademik tetapi juga
digunakan oleh pelbagai peringkat kerana semua golongan umat manusia digalakkan untuk
berfikir dalam memahami dan menghayati segala suruhan Allah SWT.

Anda mungkin juga menyukai