Anda di halaman 1dari 6

INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA

KAMPUS RAJA MELEWAR, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN

PROGRAM DIPLOMA PASCASISWAZAH PENDIDIKAN (PDPP)

EDUP2093 (PEDAGOGI)

TAJUK:

ESEI PEMAHAMAN GURU MELALUI ARTIKEL


ELEMEN-ELEMEN PEMBELAJARAN
BERPUSATKAN MURID DALAM PENGAJARAN
AKIDAH DAN IMPAKNYA

DISEDIAKAN UNTUK:

PUAN SUZANNA BINTI ZAINUDIN

DISEDIAKAN OLEH:

PDPPPIMK31022
TAJUK JURNAL:
ELEMEN-ELEMEN PEMBELAJARAN BERPUSATKAN MURID DALAM
PENGAJARAN AKIDAH DAN IMPAKNYA

1.0 PENGENALAN
Pembelajaran berpusatkan murid dalam pengajaran akidah merupakan pendekatan
yang sangat penting dan perlu diketengahkan sebagai tunjang utama dalam
pendidikan Islam dan perlu disampaikan mengikut panduan al Quran dan as
Sunnah. Strategi, pendekatan, kaedah dan teknik juga perlu sesuai dan berkesan
kepada murid serta guru.
Namun begitu, timbul beberapa persoalan berkaitan pembelajaran yang
dilaksanakan oleh guru Pendidikan Islam khususnya dari aspek guru Pendidikan
Islam yang masih kurang jelas dalam penyampaian ilmu mereka. Selain itu,
pembelajaran berpusatkan murid masih belum dapat merangsang minda murid,
kurang berpusatkan murid, bersifat tradisional, kurang mengaitkan dengan realiti
kehidupan serta murid kurang memahami kemahiran berfikir secara analitikal dalam
subjek akidah. Kajian ini telah dilaksanakan bagi mengkaji dan meneroka amalan
pengajaran guru tentang akidah dalam pembelajaran murid serta impaknya.
Persoalan bagi kajian adalah seperti berikut:
1. Apakah elemen-elemen utama yang diterapkan dalam amalan pengajaran
guru tentang akidah dalam pembelajaran murid?
2. Bagaimana amalan guru Pendidikan Islam dalam pelaksanaan
pembelajaran berpusatkan murid tentang pengajaran akidah dapat
memberikan impak kepada murid?

2.0 KONSEP PENDEKATAN BERPUSATKAN PELAJAR PENDIDIKAN ISLAM


Pendekatan berpusatkan murid adalah salah satu bentuk pendekatan masa kini
yang ditekan dalam PdP. Pendekatan ini mampu menarik minat murid untuk belajar
dan memainkan peranan yang sangat penting dalam sistem pembelajaran.
Pendekatan ini memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21 dan ia juga dapat
memastikan murid dapat membuat pertimbangan serta melatih mereka lebih
bertanggungjawab pada diri sendiri. Selain itu, potensi pelajar juga mampu digilap
dengan sebaiknya melalui pelbagai aktiviti yang dirancang oleh guru.
Pembelajaran berpusatkan murid juga berlandaskan teori konstruktivisme.
Konteks pembelajaran ini menekankan murid membina sendiri pengetahuan. Selain
itu, murid juga digalakkan membina konsep sendiri dengan pengetahuan ilmu sedia
ada dalam meningkatkan pemahaman mereka tentang ilmu dan idea baharu.
Terdapat pelbagai peranan guru dalam pembelajaran berpusatkan murid.
Yang pertama ialah bertanggungjawab terhadap keperluan murid. Guru perlu kreatif
dalam mempelbagaikan gelagat dalam suasana pembelajaran. Ia meliputi aspek
menyusun persekitaran fizikal untuk bersemuka dan interaksi dua hala di dalam
kelas. Kedua, guru berperanan menjadi perantara kepada murid dalam usaha
membentuk peribadi murid.

3.0 PENGAJARAN AKIDAH


Pembentukan jati diri manusia ke tahap yang lebih baik adalah cerminan akidah
yang mantap. Justeru itu, Pendidikan Islam di Malaysia disusun agar umat Islam
berpegang teguh kepada ajaran Islam berpandukan al Quran dan al Sunnah dan
disertakan dengan amalan. Kefahaman berfikir adalah perlu dalam pegangan akidah
muslim yang diperkukuhkan dengan dalil naqli dan aqli supaya dapat menghilangkan
keraguan dan kekeliruan.
Pengajaran akidah dalam konteks subjek Pendidikan Islam di Malaysia
menekankan aliran akidah ahli sunnah wal jamaah. Aliran ini juga merupakan teras
utama dalam Pendidikan Islam di peringkat KKSR dan KSSM. Di peringkat
menengah, penekanan pengajaran berfokus kepada penjanaan berfikir melalui
akidah islamiyyah. Di peringkat rendah pula, objektif pembelajaran dalam pendidikan
Islam adalah berkaitan keyakinan dan asas-asas akidah untuk diamalkan.
Pendekatan dan prinsip pengajaran akidah perlu menekankan aspek kesesuaian
kandungan dan berdasarkan tahap berfikir murid-murid. Di samping itu, ia turut
mengaplikasikan kepelbagaian kaedah pengajaran serta mementingkan ciri-ciri dan
tahap kebolehan murid. Penghayatan konteks kehidupan melalui kefahaman yang
jelas tentang akidah dapat direalisasikan melalui penerapan isi kandungan akidah
yang mantap.

4.0 METODOLOGI
4.1 REKA BENTUK DAN PEMILIHAN PESERTA
Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk kajian kes yang melibatkan
guru-guru Pendidikan Islam di sekolah rendah di Malaysia. Lima orang peserta
dipilih berdasarkan persampelan bertujuan dan Teknik snowball. Para peserta kajian
adalah terdiri daripada guru-guru cemerlang dan bekas guru cemerlang, jurulatih
utama peringkat negeri dan kebangsaan serta pakar dalam bidang.

4.2 KAEDAH PENGUMPULAN DATA


Kajian ini menggunakan dua kaedah pengumpulan data yang utama iaitu temubual
mendalam dan analisis dokumen. Kajian ini turut menggunakan triangulasi sumber
bagi mengukuhkan dapatan data iaitu ketua panitia. Temubual melibatkan lima
orang peserta kajian bagi meneroka elemen yang diperolehi dari amalan
berpusatkan murid tentang akidah iaitu setelah mencapai titik ketepuan. Proses
pengumpualn data mengambil masa setahun untuk dianalisis.
4.3 KAEDAH ANALISIS DATA
Kaedah ini melibatkan dua tahap analisis iaitu tahap awal dan pengekodan. Analisis
awal dilaksanakan setelah fasa temubual pertama selesai. Selepas itu, pengkaji
mendengar semuala rakaman audio disamping merujuk nota lapangan bagi
mengukuhkan kefahaman. Proses pengekodan digunakan untuk proses seterusnya.
Proses seterusnya adalah menentukan tema akhir berdasarkan kategori yang
diperolehi dan persoalan serta objektif yang ditetapkan. Kajian ini melalui proses
kesaham dan kebolehpercayaan data.
4.4 DAPATAN DAN PERBINCANGAN
Dapatan kajian ini memberi focus kepada dua perkara penting bagi menjawab dua
persoalan kajian yang ditentukan berdasarkan objektif kajian iaitu elemen-elemen
pembelajaran berpusatkan murid dalam pengajaran akidah dan impaknya.

5.0 ELEMEN-ELEMEN PEMBELAJARAN BERPUSATKAN PELAJAR DALAM


PENGAJARAN AKIDAH
Terdapat beberapa elemen yang dikenalpasti dalam pembelajaran berpusatkan
pelajar pengajaran akidah. Beberapa elemen utama telah ditemui hasil amalan dan
pengalaman lima peserta kajian. Antaranya ialah menekankan budaya berfikir dalam
kalangan murid. Hal ini bagi memantapkan pemahaman mereka tentang kejadian
alam semesta dan makhluk ciptaan Allah. Contoh paling hampir ialah hakikat
kejadian manusia itu sendiri.
1. Ruang berfikir

Peserta kajian menyatakan lebih gemar mendorong anak murid berfikir dan
memberi pandangan semasa pembelajaran berlangsung. Kedua, mereka
berpandangan bahawa elemen berfikir tentang kejadian Allah merupakan
unsur penting dalam pengajaran akidah. ketiga, galakan berfikir turut
ditekankan yang menjadikan gambaran disekeliling murid sebagai contoh
paling hampir untuk menggalakkan murid berfikir.
Ruang berfikir dalam pengajaran akidah menjadi amalan dalam
pembelajaran peserta kajian lain khususnya perkara yang menyentuh aspek
alam sekeliling. Guru perlu memainkan peranan utama dengan bimbingan
agar murid tidak terpesong dalam memahami akidah ahli sunnah wal jamaan
yang sebenar.

2. Interaksi dua hala


Interaksi dua hala antara murid turut berlaku dalam kajian ini. Elemen ini
menunjukkan bahawa murid-murid diterapkan amalan berkomunikasi semasa
proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Komunikasi dua hala ini
memberi kesan yang lebih baik kepada pengajaran Akidah serta menarik minat
murid dalam kelas. Murid- murid menjadi aktif di dalam kelas apabila
menggunakan konsep perbincangan di dalam kelas serta murid-murid menjadi
aktif dalam pembelajaran mereka. Bagi mewujudkan interaksi dua hala secara
aktif, peserta kajian turut menggunakan teknik penyoalan kepada murid-murid.
kelas akan menjadi hidup dan aktif apabila murid-murid seronok berada di dalam
kelas dan mengikuti pembelajaran di sekolah.

3. Kolaboratif
Elemen kolaboratif turut dikenalpasti dalam pembelajaran berpusatkan pelajar
akidah. Murid-murid dilatih agar berkolaboratif dengan kawan-kawan dan
persekitaran sekeliling. Murid-murid didedahkan dengan suasana di luar bilik
darjah. Kolaboratif dengan persekitaran menjadikan murid lebih seronok untuk
belajar serta melatih mereka untuk saling membantu dalam pelajaran. Murid juga
berperanan untuk meneroka ilmu untuk mengkaji maklumat dan mencari konsep.
Guru-guru juga perlu lebih kreatif dalam menguruskan murid-murid di dalam bilik
darjah agar suasana pembelajaran lebih menyeronokkan.

6.0 IMPAK PEMBELAJARAN BERPUSATKAN PELAJAR DALAM PENGAJARAN


AKIDAH
Pelbagai impak yang dapat dilihat melalui aplikasi pembelajaran berpusatkan murid
iaitu pemerkasaan budaya intelek, pembentukan insan kamil dan pemantapan
profesionalime keguruan.
1. Pemerkasaan budaya intelek

Pengukuhan ilmu murid yang terlibat dalam pembelajaran berpusatkan murid


adalah antara aspek pemerkasaan budaya intelek. Kemahiran berfikir
diterapkan untuk mengukuhkan ilmu mereka. Selain itu, ia dapat mencungkil
idea murid secara mendalam sama ada melalui pengalaman atau aktiviti serta
menjadikan mereka menajamkan ingatan mereka. Dapatan ini sejajar dengan
pembelajaran berpusatkan murid dalam akidah untuk membantu
memantapkan kefahaman dan keyakinan akidah secara sahih berpandukan
al Quran dan al Sunnah yang disertakan dengan amalan.

2. Pembentukan insan kamil

Pembelajaran berpusatkan murid turut membentuk insan kamil yang ianya


turut berkait dengan kemenjadian murid serta menekankan akidah sebagai
pegangan hidup dan keimanan. Matlamat akhir kepada pengajaran akidah
khususnya murid-murid sekolah rendah ialah bukan sahaja menghafal konsep
akidah tetapi mampu mengaplikasikan ilmu tersebut dalam kehidupan
seharian mereka.

Abdullah Nasih Ulwan menekankan tiga metod utama dalam teori


pengajaran akidahnya iaitu membimbing murid mengenal Allah, menanam
rasa kehambaan dan mendidik agar mengingati Allah swt. Asas penting
penyampaian ilmu pengetahuan adalah dapat membezakan antara baik dan
buruk sesuatu perkara itu kerana ia merupakan tanggungjawab guru

3. Pemantapan Profesionalisme keguruan

Impak pembelajaran berpusatkan murid juga dapat meningkatkan hubungan


murid dan guru. Ianya juga sejajar dengan aspek pemantapan
profesionalisme guru. Dalam konteks ini, guru menjadi lebih prihatin terhadap
prestasi anak muridnya dan dapat menerapkan nilai-nilai murni seperti kasih
saying, Amanah, bertimbang rasa, adil, ikhlas dan sebagainya.

Di samping itu, impak pembelajaran berpusatkan murid juga dapat


merapatkan jurang antara murid dan guru. Hubungan baik antara murid dan
guru akan menjadi bertambah baik kerana murid lebih yakin bercerita
pelbagai masalah kepada guru mereka. Guru boleh menjadi pendengar yang
setia kepada murid-muridnya. Secara tidak langsung, perasaan hormat akan
wujud dalam diri murid kesan daripada keprihatinan guru dalam bilik darjah.
Guru juga mestilah berlaku adil kepada semua anak muridnya dan memberi
layanan yang sama rata.

KESIMPULAN
Kajian kes ini telah mengkaji mengenai elemen-elemen utama dalam pembelajaran
berpusatkan murid tentang akidah dan impak yang diperolehi daripada pelaksanaan
pembelajaran tersebut. Terdapat tiga elemen utama yang diperolehi daripada proses
pembelajaran berpusatkan murid yang sesuai dengan keperluan masa kini iaitu
ruang berfikir, interaksi dua hala dan kolaboratif. Proses pembelajaran ini juga
memberi impak kepada guru iaitu dari aspek pemerkasaan budaya intelek,
pembentukan insan kamil dan pemantapan profesionalisme keguruan.
Kedua, pembelajaran berpusatkan murid dalam akidah memberi ruang
kepada murid agar lebih mendalami ilmu di samping mendapat bimbingan guru
sebagai sumber ilmu dan ianya boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Ilmu
akidah yang disampaikan juga akan tertanam kukuh dalam diri mereka dan akan
menjadi lebih bermakna. Pembelajaran berpusatkan murid dalam pengajaran akidah
turut meningkatkan ilmu guru dan murid serta melatih guru lebih bersedia dalam
pengajaran dan pembelajaran. Murid juga berpotensi menggilap bakat dalam diri
mereka.

Anda mungkin juga menyukai