Anda di halaman 1dari 10

BAB 5

PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN

5.1 Pengenalan

Dalam bab ini pengkaji akan memberikan fokus kepada hasil dapatan kajian secara
menyeluruh merangkumi kesemua objektif kajian yang disasarkan. Pengkaji turut
menyatakan cadangan dan kesimpulan yang berkaitan dengan kajian ini.

5.2 Perbincangan dapatan kajian

Dalam bahagian ini, aspek yang difokuskan adalah berkaitan dengan perbezaan tingkah laku
murid Tahap 1 pasca pandemik, pengaruh sosial yang mempengaruhi tingkah laku murid
serta cabaran yang dihadapi oleh guru terhadap perubahan tingkah laku murid Tahap 1 pasca
pandemik Covid-19.

5.2.1 Perbezaan Tingkah Laku Murid Tahap 1 Pasca Pandemik Covid-19 berbanding
Murid Tahap 1 Sebelum Covid-19.

Berdasarkan hasil dapatan kajian pada Item 1 di Jadual 2, kesemua responden yang terlibat
merupakan guru Bahasa Melayu sekolah rendah yang mempunyai pengalaman mengajar
mata pelajaran ini sewaktu pandemik dan pasca pandemik. Maka, mereka mempunyai
pengalaman untuk melihat perbezaan tingkah laku murid-murid Tahap 1 sewaktu pandemik
dan sewaktu pasca pandemik.

Dapatan kajian Item 2 pula telah menunjukkan terdapat perbezaan tingkah laku yang
amat ketara dari segi sahsiah dan disiplin murid Tahap 1 sebelum dan selepas Covid-19.
Murid-murid menjadi semakin kurang berminat untuk belajar, kurang berdisplin, tidak
beradap, tidak menghormati guru dan kehadiran ke sekolah merosot sewaktu pasca
pandemik. Menurut Abdul Halim (2014), salah satu penyebab berlakunya keruntuhan akhlak
pada masa kini adalah hasil daripada bahan dan rancangan media massa yang dipaparkan di
dalam negara. Media sosial yang paling diminati oleh murid adalah berbentuk hiburan ke
arah keseronokan dan tidak memberikan sumbangan yang positif kepada perkembangan
akhlak generasi muda hari ini. Bahan hiburan ini diperolehi sama ada melalui internet,
televisyen, majalah hiburan dan juga radio. Hal ini membuktikan bahawasanya kemerosotan
tingkah laku murid-murid Tahap 1 ini dipengaruhi oleh faktor luaran yang amat tinggi. Oleh
itu, emosi murid-murid turut terjejas secara tidak langsung apabila belajar ketika pasca
pandemik.

Di samping itu, berdasarkan Item 3 dalam Jadual 2 pula menunjukkan dapatan kajian
berkaitan perbezaan tingkah laku memberi kesan negatif kepada PdPc di dalam kelas.
Kesemua responden bersetuju dan menyokong bahawasanya tingkah laku murid-murid
membawa kesan negatif sewaktu PdPc berlangsung di dalam kelas. Hal ini disebabkan oleh
murid-murid tidak mengambil berat terhadap pelajaran, disiplin sukar dikawal, lebih suka
bermain di dalam kelas, suka mengusik kawan, suka berbual dengan kawan, suka
mengganggu kawan, tidak fokus di dalam kelas dan kerap tidak hadir ke sekolah. Perkara ini
membuatkan objektif PdPc guru kurang tercapai atas sebab tingkah laku murid-murid yang
menggangu suasana belajar yang sepatutnya. Maka, banyak masa guru untuk mengajar
dihabiskan dengan memberi teguran dan nasihat kepada murid agar murid membuat
perubahan tingkah laku. Tugas guru secara eksplisit ialah mengajar dan melaksanakan
kurikulum formal, tetapi secara realitinya guru menguruskan hubungan di dalam bilik darjah
agar pembelajaran yang berkesan boleh dicapai (Noriati A.Rashid et. al., 2017)

Bagi Item 4 pula, hasil dapatan kajian menunjukkan kesemua responden bersetuju
bahawasanya perubahan tingkah laku murid Tahap 1 memberi kesan emosi kepada cikgu.
Terdapat dua orang responden memberi pandangan masing-masing iaitu apabila kawalan
kelas semakin sukar dikawal, repsonden bertindak untuk mendiamkan diri bagi
mengurangkan tekanan emosinya manakala seorang lagi responden pula memaklumkan
bahawasanya emosinya menjadi cepat marah kepada murid-murid yang sering ponteng
sekolah kerana responden perlu membuat pengulangan pengajaran yang lepas bagi
memberikan kefahaman untuk mempelajari isi kandungan pembelajaran yang terbaru. Hal ini
akan mengganggu emosi guru untuk mengajar dengan penuh kepuasan dan memberi kesan
tidak seronok untuk murid-murid lain belajar dalam suasana pembelajaran yang konduksif.
Maka, bertepatan dengan konsep kepuasan kerja yang diperkenalkan oleh Spector (1960)
dalam penulisan Wong Kiet Wah, Noriati A.Rashid dan Boon Pong Ying (2018), kepuasan
kerja adalah satu perasaan seseorang tentang pekerjaan dan aspek-aspek yang dikaitkan
dengan pekerjaan tersebut.

Kesimpulannya, perubahan tingkah laku murid Tahap 1 pasca pandemik adalah


merosot kerana dipengaruhi oleh faktor dalaman dan faktor luaran. Perubahan tingkah laku
ini menyebabkan suasana belajar menjadi tidak konduksif, menjejaskan emosi guru dan
mengganggu emosi murid-murid lain serta menimbulkan perasaan ketidakpuasan mengajar
kepada guru. Hal ini menjadikan guru lebih tertekan untuk menguruskan tingkah laku murid-
murid yang bermasalah ini.

5.2.2 Pengaruh Sosial Yang Mempengaruhi Tingkah Laku Murid

Berdasarkan dapatan kajian Item 1 dalam Jadual 3, telah menunjukkan tiga orang responden
bersetuju bahawa wujudnya perubahan tingkah laku dan sikap murid Tahap 1 pasca
pandemik Covid-19 disebabkan oleh murid tidak mempunyai pengalaman melalui prasekolah
ataupun tadika sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perkara ini memberi impak
besar ke dalam diri murid kerana cara pembelajaran yang dilalui adalah berbeza iaitu secara
dalam talian (sewaktu PKP) dan secara bersemuka (pasca pandemik). Murid menjadi kurang
peka terhadap pendidikan dan tidak mendengar arahan guru dengan baik asbab tidak
mendapat pendidikan asas di sekolah tadika. Hal ini menyokong pandangan Suppiah et.al.
(2008), yang mengatakan perkembangan sosial ialah kebolehan kanak-kanak untuk
berinteraksi dengan orang lain.

Bagi dapatan kajian untuk Item 2 dalam Jadual 3 pula, tiga orang responden telah
bersetuju bahawa perubahan tingkah laku murid Tahap 1 berpunca daripada sikap ahli
keluarga murid. Hal ini disebabkan oleh pembelajaran pertama kanak-kanak adalah daripada
ibu bapa dan ahli keluarga di rumah bagi membentuk sikap dan tingkah laku sama ada baik
ataupun sebaliknya. Perkara ini turut disokong oleh Wong Kiet Wah et.al (2016), keluarga
merupakan faktor yang sangat penting mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan
kanak-kanak. Kesejahteraan dan keharmonian rumah tangga, asuhan keluarga, gaya dan
corak kepimpinan keibubapaan dan kedudukan anak dalam keluarga memberikan implikasi
yang penting dalam menentukan perkembangan kognitif dan sosioemosi yang sihat.

Seterusnya, hasil dapatan kajian bagi Item 3, kesemua responden bersetuju bahawa
persekitaran sosial murid Tahap 1 juga menyumbang kepada perubahan tingkah laku murid
pasca pandemik. Hal ini dapat dilihat melalui pengaruh rakan sebaya, kejiranan yang kurang
berpendidikan dan mendapat kurang perhatian daripada ibu bapa dan ahli keluarga turut
menyumbang kepada perubahan tingkah laku murid. Menurut Berns (2010), Kail dan
Cavanaugh (2010) dalam Wong Kiet Wah (2016), kebolehan kanak-kanak untuk mengawal
dan mengurus emosi adalah penting untuk mereka dalam konteks kehidupan sosial seperti
interaksi dan pergaulan dengan kaum keluarga, guru-guru dan rakan sebaya. Perkembangan
emosi yang baik bergantung kepada persekitaran sosial yang positif.
Bagi hasil dapatan kajian Item 4, kesemua responden mengatakan murid lelaki lebih
mempunyai masalah disiplin berbanding dengan murid perempuan kerana murid lelaki
bersikap lebih agresif, lebih sukar dikawal, tidak mendengar arahan dan mempunyai kadar
tumpuan yang rendah iaitu sekitar 10 -15 minit sahaja untuk belajar. Apabila seseorang murid
mempunyai masalah disiplin di dalam kelas secara tidak langsung akan mengganggu
pembelajaran murid-murid lain dan menimbulkan ketidakselesaan untuk belajar. Hal ini akan
menyebabkan murid-murid lain sukar untuk menumpukan perhatian di samping boleh
menimbulkan tekanan emosi serta sosial untuk orang di sekelilingnya. Menurut Skiba (2000),
disiplin murid boleh digunakan sebagai garis panduan untuk meramalkan prestasi akademik,
masalah delikuen serta keciciran dari sekolah.

Oleh itu, pengaruh sosial amat mempengaruhi tingkah laku murid Tahap 1 kerana
melibatkan faktor persekitaran iaitu seperti pengaruh ibu bapa, pengaruh rakan sebaya serta
pengaruh media massa sebagai penyumbang utama pembentukan akhlak seseorang murid itu
sama ada baik atau sebaliknya.

5.2.3 Cabaran Yang Dihadapi Oleh Guru Terhadap Perubahan Tingkah Laku Murid
Tahap 1 Pasca Pandemik Covid-19

Berdasarkan dapatan kajian Item 1 dalam Jadual 4, menunjukkan kesemua responden telah
mengambil tindakan positif bagi menangani masalah disiplin murid Tahap 1 semasa pasca
pandemik. Hal ini dapat dilihat apabila responden memberi kata-kata nasihat, membuat
aktiviti berkumpulan, memberi teguran dan memberi peneguhan kepada murid. Namun
demikian, terdapat juga hukuman berbentuk mendidik diberikan kepada murid jika masalah
disiplin murid tidak berubah seperti menyapu sampah di dalam kelas. Hukuman ini juga
seperti melakukan kerja amal di samping murid dapat reflek kepada diri akan kesalahan
tingkah laku yang telah dilakukannya. Penulis menyatakan secara realitinya kaedah ini dapat
memotivasikan murid bertingkah laku yang diingini dengan mengurangkan atau
menghentikan tingkah laku negatif secara terus. Pujian meningkatkan kawalan murid di
dalam kelas di samping dapat meningkatkan mutu prestasi akademik murid (Darwish, 2019).

Bagi Item 2 dalam Jadual 4 pula, menujukkan dapatan kajian mengenai perbincangan
secara bersemuka dengan ibu bapa murid Tahap 1 untuk menangani masalah tingkah laku
dan adab murid. Tiga orang respon mengatakan tidak pernah manakala seorang responden
memberi respon pernah mengambil tindakan demikian dan telah diselesaikan dengan baik.
Hubungan guru dan ibu bapa yang baik pastinya akan memudahkan urusan perbincangan
bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Hal ini disokong oleh Wilis (2006), sekiranya
seseorang individu itu berada dalam keadaan selesa walaupun menghadapi situasi yang
mencabar, otak dapat berfungsi dengan berkesan.

Seterusnya, bagi Item 3 pula ialah tentang dapatan kajian bahawasanya tiga orang
responden berasa stress dengan tingkah laku murid Tahap 1 pasca pandemik Covid-19. Hal
ini dapat dilihat apabila murid tidak mendengar arahan guru serta tidak menyiapkan tugasan
yang diamanahkan oleh guru. Perkara ini membuatkan emosi guru terganggu dan menjadikan
suasana di kelas sedikit tegang atas sebab tingkah laku negatif murid Tahap 1 ini. Lebih
merisaukan lagi oleh guru apabila terdapat segelintir murid terpengaruh dengan tingkah laku
bermasalah ini. Menurut Roth (2015), otak individu akan dapat menguasai lebih banyak
maklumat sekiranya individu tersebut tidak dalam keadaan stress atau takut.

Berdasarkan Item 4, telah menerangkan tentang hasil dapatan kajian berkaitan usaha
pihak sekolah bagi mengatasi masalah perubahan tingkah laku murid Tahap 1 yang
menyumbang kepada masalah disiplin sekolah. Antara usaha-usaha yang telah diambil ialah
mengadakan ceramah motivasi, mengadakan perjumpaan tiga penjuru bersama ibu bapa serta
memberi bimbingan dan kaunseling. Menurut Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel
(2016), dalam sebuah sekolah yang mengamalkan kolaborasi, guru-guru bersedia berkongsi
maklumat dengan tujuan membantu menyelesaikan masalah murid dan mencari kaedah
pembelajaran yang lebih berkesan. Perkara ini sekaligus dapat menambahbaik disiplin serta
membantu murid yang mempunyai masalah tingkah laku. Persekitaran sekolah yang
konduksif berupaya mempengaruhi disiplin dan tingkah laku murid.

5.3 Cadangan Mengatasi

Cadangan yang boleh diambil untuk mengatasi masalah tingkah laku dalam kalangan murid
Tahap 1 pasca pandemik ialah mengadakan aktiviti pembelajaran yang mendedahkan murid
untuk bekerjasama. Perkara ini boleh dirujuk sebagai pembelajaran koperatif iaitu guru
memberi pengalaman kepada murid untuk bekerja dalam satu pasukan di samping murid cuba
bertingkah laku baik agar disenangi dan diterima oleh ahli kumpulannya. Hal ini secara tidak
langsung dapat mendorong kepada perkembangan sosial yang sihat kerana dapat membina
hubungan positif dengan semua pihak seperti rakan dan guru ketika sesi pembelajaran
dilaksanakan. Perkara ini bertepatan dengan Teori Vygotsky (1934, 1986), dalam proses
pengajaran dan pembelajaran, guru perlu menyusun persekitaran pembelajaran kanak-kanak
dengan mengambil kira pengalaman dan aktiviti sosial mereka.
Seterusnya, cadangan yang boleh diambil ialah guru menerapkan konsep peneguhan
positif dalam membentuk tingkah laku murid. Kenyataan ini dikuatkan lagi oleh Rahil
Mahyuddin (2002), yang menyatakan peneguhan positif akan meningkat apabila berlaku
sesuatu bentuk tingkah laku dengan adanya rangsangan tertentu. Antara bentuk peneguhan
positif ialah dengan memberikan pujian, memberikan tepukan semanagat, memberikan cop,
sticker ataupun emoji, serta ganjaran berupa hadiah. Sebagai contoh, murid bertingkah laku
baik sahaja akan diberi cop pada kad namanya namun jika murid gagal mengekalkan tingkah
laku baiknya, ganjaran yang diberikan akan diambil semula (padam cop dalam kad) oleh
guru. Melalui penggunaan sistem pujian dan token ekonomi ini amat sesuai dan berkesan
dalam membentuk tingkah laku positif. Hal ini selari dengan kajian yang telah dijalankan
oleh Anna Klimas dan T.F Mc Lauhglin (2007) yang menyatakan bahawa penggunaan
kaedah ganjaran ekonomi amat berkesan bagi meningkatkan tingkah laku positif dalam bilik
darjah. Hal ini turut disokong dengan kajian Ngu Mee Kok (2009), yang menyatakan bahawa
token ekonomi dan pujian meningkatkan kawalan murid di dalam kelas di samping dapat
meningkatkan mutu prestasi akademik murid.

Selain itu, guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran yang menarik di dalam
kelas. Pendidikan ialah sistem dinamik yang melalui perubahan dari semasa ke semasa dan
guru sebagai agen perubahan untuk memenuhi keperluan PdP di sekolah dengan berkesan.
Menurut Muhd Zulhilmi, Mohd Muslim, Mohamad Khairi dan Mohd Isha Awang (2020),
guru memainkan peranan penting untuk memanfaatkan BBM berteknologi dalam
menghasilkan pengajaran yang interaktif sesuai dengan PAK-21. BBM yang kreatif dan
menarik mampu meningkatkan penglibatan pelajar semasa proses pembelajaran disebabkan
oleh mereka tidak hanya memfokuskan kepada buku teks semata-mata. Maka, murid juga
akan bertindak aktif untuk belajar dan objektif PdP guru jua dapat dicapai.

Di samping itu, guru boleh mengaplikasikan Model Disiplin Asertif Canter seperti
yang diketengahkan oleh Chong Lean Keow (2009). Model Disiplin Asertif Canter telah
dipelopori oleh Lee and Marlene Canter pada tahun 1976 untuk mengatasi masalah tingkah
laku ini. Model ini menekankan tentang hubungan yang positif antara guru dan murid. Guru
berperanan untuk menerangkan kehendak dan peraturan yang diingini kepada murid. Setiap
tingkah laku murid sama ada memberi kesan possitif atau negatif amat berkait rapat dengan
kepentingan disiplin di dalam kelas. Matlamat utama model ini adalah untuk melihat
kepentingan pematuhan murid di dalam kelas agar dapat membentuk suasana belajar yang
konduksif dan berkesan. Oleh itu, guru perlu bertindak memastikan peraturan dan rutin di
kelas dikuatkuasakan sepenuhnya. Peraturan bilik darjah merupakan salah satu cara
pencegahan terhadap sesuatu masalah berlaku dalam kelas. Oleh itu, murid perlu
diperkenalkan kepada rutin dan prosedur di dalam kelas agar mereka mengetahui cara
melaksanakan peranan supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan.

Cadangan lain yang boleh diambil ialah guru memainkan peranan menjadi suri
teladan untuk murid-murid dengan menunjukkan tingkah laku yang baik agar menjadi teladan
atau idola. Murid-murid sentiasa aktif memerhati, mempertimbangkan dan meniru gaya serta
perlakuan gurunya. Menurut Bashir (2014), menyatakan seorang role model adalah orang
yang menginspirasi dan mendorong kita untuk berjuang untuk hal yang besar,
membangkitkan potensi maksimal kita dan mampu melihat yang terbaik dalam diri kita. Hal
ini juga secara tidak langsung dapat memberikan motivasi kepada murid untuk berusaha
bertingkah laku baik atas dorongan gurunya. Menurut Azizi dan Jaafar Sidek (2006),
menyatakan bahawa motivasi dianggap sebagai unsur yang membolehkan pelajar melibatkan
diri secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, dapat
menjadikan proses pembelajaran berlaku dalam situasi yang bermakna, berfaedah dan
menyeronokkan.

Tambahan pula, cadangan lain bagi mengatasi permasalahan ini ialah membina
hubungan positif guru dengan murid. Melalui membina hubungan positif ini dapat memberi
kebaikan untuk guru dan murid seperti minat murid untuk belajar meningkat, murid lebih
mudah bekerjasama dengan guru, mengurangkan masalah disiplin, pencapaian akademik
murid meningkat dan murid lebih bermotivasi untuk belajar. Cara untuk membina hubungan
ini adalah seperti guru meluangkan masa untuk berbincang dan berbual dengan murid tentang
perkara-perkara yang bukan akademik iaitu latar belakang keluarga murid dan hobi murid.
Hal ini dapat mengeratkan hubungan antara guru dan murid, secara tidak langsung guru dapat
mengenali murid dengan lebih dekat lagi. Murid yang mempunyai hubungan yang positif
dengan guru akan kurang berasa stress, berkelakuan lebih baik dan lebih teruja untuk belajar
(Roth, 2015).
5.4 Kesimpulan

Kesimpulannya, tingkah laku amat berkait rapat dengan disiplin. Disiplin boleh ditafsirkan
sebagai latihan yang bertujuan untuk membentuk tingkah laku yang dikehendaki. Maka,
tingkah laku murid Tahap 1 pasca pandemik Covid-19 di sekolah rendah semakin merosot
saban hari kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang berpunca dari diri murid itu sendiri
ataupun dari persekitarannya. Namun, guru harus memainkan peranan untuk mengubah dan
membaiki tingkah laku murid kerana tanggungjawab seorang guru itu bukan sahaja mengajar
malahan untuk melahirkan murid yang menepati hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK), iaitu memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Rujukan

Ab. Halim Tamuri dan Zarin Ismail. 2014. Hubungan Antara Pegangan Nilai Moral dengan

Media Massa: Tinjauan ke atas Remaja Melayu Luar Bandar. Sari, 27:199-212L.

Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. 2016. Siri Pendidikan Guru: Pengurusan Bilik

Darjah dan Tingkah Laku. Edisi Kedua. Selangor: Oxford Fajar Sdn.Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Diakses di:

https://www.moe.gov.my/index.php/dasarmenu/falsafah-pendidikan-kebangsaan

(10 Januari 2023)

Mohd Zulkarnain Abd Hamid Dan Mohd Isa Hamzah.2021. Kaedah pujian dan penghargaan

dalam pembelajaran al-quran bagi kanak-kanak pra sekolah. International Journal Of


Islamic And Humanities Research, 1(2): 109-117

Muhd Zulhilmi Haron, Mohd Muslim, Mohamad Khairi dan Mohd Isha Awang. 2020.
School’s facilities and achievement of students in Ulul Albab Model Tahfiz schools in
Malaysia: A mediating roles of satisfaction. International Journal of Scientific &
Technology Research, 9(2): 3026-3030.
Ngu Mee Kok.2009. Meningkatkan Keberkesanan Kawalan Kelas Menggunakan Kelas
Menggunakan Kaedah Ganjaran dan Hukuman Untuk Murid Tahun 3. Koleksi Artikel
Penyelidikan Tindakan PISMP SN amb. Januari 2009. Seminar Penyelidikan
Tindakan IPG KBL Tahun 2012, ms.132-146
Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad dan Zuraidah A.Majid.

2017. Siri Pendidikan Guru: Budaya dan Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar
Sdn.Bhd.

Pasar Nota. 2011. Model Disiplin Asertif Canter. 6 Disember. Di akses di:
http://pasarnota.blogspot.com/2011/12/model-disiplin-asertif-canter.html
(9Januari 2023)
Shakila Bashir, Munaza Bajwa dan Sulmaz Rana.2014.Teacher as A Role Model and Its
Impact

on the Life of Female Students. International Journal of Research, Vol.1 (Iss.1):


ISSN-2350-0530

Wong Kiet Wah, Noriati A.Rashid dan Boon Pong Ying. 2018. Siri Pendidikan Guru: Asas

Kepimpinan dan Pembangunan Profesionalisme Guru. Edisi Kedua. Selangor:


Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Wong Kiet Wah, Mohamad Isa Azis dan Rafidah Ruhani. 2016. Siri Pendidikan Guru:

Perkembangan Kanak-kanak. Edisi Kedua. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Zaliza Mohamad Nasir dan Zaitul Azma Zainon Hamzah. 2013. Sikap dan motivasi pelajar

terhadap pembelajaran Bahasa Melayu. Procedia - Social and Behavioral Sciences


134, 408 – 415

Zalina Katman, Mohd Hanafi Mohd Yasin dan Mohd Mokhtar Tahar. 2016. Penggunaan

Peneguhan Positif: Pujian dan Token Ekonomi untuk Modifikasi Tingkahlaku Murid
Pendidikan Khas ‘Slow Learner’. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai