Anda di halaman 1dari 7

Sastera Boleh Dijadikan Pemangkin dalam Martabatkan Bahasa

Melayu

BERITAmediacorp: Setiap kali timbul Bulan Bahasa terluah juga pelbagai pandangan
tentang bagaimana penguasaan Bahasa Melayu terutama di kalangan para belia semakin
merosot. Pengamat dan ahli akademik Dr Norshahril Saat berpendapat salah satu huraian
berkesan adalah dengan meningkatkan mutu pembelajaran sastera di sekolah-sekolah.
Bagaimanakah sastera dapat membantu usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu,
berikut hujah penulis:

BERGEMANYA lagu Bahasa Menjunjung Budaya di Wisma Geylang Serai pada 1


September menyerikan lagi pembukaan bulan bahasa. Lagu yang senikatanya ditulis oleh
Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad, dan muziknya digubah oleh Cikgu Abdolah Lamat
memang popular di kalangan masyarakat kita.

Pada tahun ini, lagu tersebut diberikan nafas baru dengan sentuhan budaya. Ia
menggabungkan elemen zapin pada iramanya. Syabas saya ucapkan kepada Saudara
Megat Firdaus, yang menyuntik kreativiti agar lagu tersebut lebih menarik buat semua
golongan dalam masyarakat.

Pejam-celik, sudah tiga dekad berlalu dalam usaha untuk memartabatkan penggunaan
bahasa Melayu melalui aktiviti-aktiviti dalam bulan bahasa. Sambutan bulan bahasa
dimulakan pada tahun 1988, dan ia diterajui pemimpin-pemimpin politik, budayawan, dan
cendekiawan bahasa kita.

TERAS JATI DIRI MELAYU

Dasar dwibahasa (bilingualism) yang digagaskan pemerintah adalah asas bagi usaha-usaha
untuk memartabatkan bahasa Melayu dijalankan, sama seperti kaum-kaum lain juga.
Namun lebih daripada itu, penggunaan bahasa Melayu adalah teras utama jati diri orang
Melayu.
Perlembagaan di Malaysia menggariskan sifat-sifat orang Melayu seperti berikut: beragama
Islam, mengamalkan budaya Melayu, dan bertutur dalam bahasa Melayu. Walaupun ciri-ciri
ini tidak digariskan dengan terperinci dalam perlembagaan Singapura, ia tetap relevan.

Perhatikan senikata lagu Bahasa Menjunjung Budaya yang ditulis Dr Ariff ini:

Cintailah bahasa ibunda, cintailah budaya pusaka, Bahasa yang menjunjung budaya,
budaya nilai maruah bangsa!

Senikata ini menunjukkan keterkaitan rapat elemen-elemen bahasa, budaya, nilai dan
maruah bagi orang-orang Melayu. Daripada pengamatan saya, masih ada segelintir di
kalangan kita yang menilai seseorang pemimpin berdasarkan penguasaan bahasa
Melayunya.

Lebih mudah untuk mendekati masyarakat jika seorang pemimpin Melayu itu fasih
berbahasa Melayu. Malah, kesemua perdana menteri Singapura, daripada Encik Lee
Kurang Yew, Encik Goh Chok Tong, dan Encik Lee Hsien Loong fasih dalam bahasa
Melayu.

Ketiga-tiga calon pemimpin generasi keempat yang disebut-disebut sebagai calon yang
paling berpotensi menjadi perdana menteri, Encik Chan Chun Sing, Encik Heng Swee Keat,
dan Ong Yee Kung, sudah mula aktif menyampaikan ucapan-ucapan mereka dalam bahasa
Melayu di acara-acara masyarakat kita.

PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Timbul keprihatinan kini bahawa penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam
masyarakat kita, terutama sekali golongan belia, semakin berkurangan. Kita sudah terbiasa
dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan.
Sebenarnya, penggunaan bahasa Inggeris juga semakin terancam dengan cara kita
berkomunikasi lewat media sosial. Sering kita menggunakan istilah-istilah ringkas dalam
pesanan-pesanan teks Whatsapp, Instagram dan juga Facebook.

Kadangkala kita mengabaikan ejaan yang tepat dan susunan ayat yang betul. Ada juga
yang meluahkan keprihatinan perkataan-perkataan Inggeris yang di Melayukan: seperti
reformasi, imperialisme, paradigma, kontekstual dan sebagainya.

Saya berpandangan sebaliknya. Kamus orang Melayu memang sentiasa terbuka untuk
menerima kosa-kata baru demi kemajuan. Malah bukan sahaja perkataan-perkataan
Inggeris yang diterima, hatta perkataan Sanskrit, Arab, dan Jawa juga diguna pakai.

Bagi saya, penggunaan bahasa Melayu berpotensi untuk kita memahami bukan sahaja jati
diri masyarakat kita, malah sejarah kita di rantau Nusantara ini.

CINTA BAHASA MELALUI SASTERA

Demi menyemai cinta bahasa, banyak yang sudah dilakukan selain pendekatan linguistik.
Usaha-usaha ini merangkumi aspek seni dan budaya. Sebagai contoh, seseorang boleh
menguasai bahasa Melayu melalui penghayatan lagu atau puisi.

Ada pula yang mempertingkatkan keupayaan berbahasa menerusi drama dan filem. Usaha-
usaha ini perlu diteruskan.

Namun, saya fikir kita mungkin terlepas pandang dengan keupayaan sastera untuk
menyemai cinta kepada bahasa Melayu. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, cinta saya
pada bahasa berputik semasa belajar bidang sastera di peringkat GCE ‘A’.
Sebelum ini, di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah, saya bergiat aktif dalam
bidang puisi dan syair. Lewat pembelajaran sastera, saya diperkenalkan dengan pemikiran
dan isu-isu berkaitan masyarakat Melayu.

Malah pembacaan sastera kemudian mematangkan saya untuk membaca tentang isu-isu
berkaitan politik Melayu di Malaysia dan Singapura, sehinggakan analisa politik dan
masyarakat saya merangkumi bahan-bahan sastera.

SASTERA MEMBUKA MATA

Pembelajaran sastera di maktab rendah mewajibkan pelajar untuk mendalami novel Salina
karya A Samad Said. Ia sesuatu yang membuka mata saya, terutama sekali tentang
kehidupan masyarakat pasca peperangan.

Isu-isu pembangunan masyarakat Melayu yang sedang melarat juga dibangkitkan dengan
cara menarik. Sastera bukan sahaja boleh memantapkan penggunaan bahasa Melayu, ia
juga boleh mengajar kita tentang nilai-nilai, budaya, dan adat resam orang Melayu.

Sastera juga memberi kesedaran tentang isu-isu nasional dan kesan pada masyarakat
bawahan. Ia memberikan suara kepada golongan yang terpinggir. Sebagai contoh, cerpen
Emak Ingin Naik Haji tulisan Asma Nadia dari Indonesia mengajar kita perit-jerih dan
pengorbanan seorang anak agar emaknya yang sudah berusia dapat menunaikan ibadah
haji di Makkah.

Cerpen ini mengajak kita membuat perbandingan antara golongan berada (“the haves”) dan
golongan susah (“the have-nots”), yang harus membuat pengorbanan dengan cara
tersendiri demi menyahut seruan menunaikan rukun Islam ke lima tersebut.
RENUNGAN ISU-ISU MASYARAKAT

Demi cinta kepada bahasa, kita perlu menyokong tulisan-tulisan sasterawan kita. Penulisan
sastera mengandungi elemen sejarah, kerana ia mencermin renungan cendekiawan kita
terhadap isu-isu masyarakat sekelilingnya.

Sastera juga satu kritikan sosial yang penting untuk memajukan masyarakat. Kritikan-
kritikan melalui sastera mungkin bernada halus dan berhemah, kekadang berbentuk jenaka,
namun ia mengandungi pesanan yang tidak kurang tajamnya.

Bacalah karya-karya Dr Muhammad Ariff Ahmad, Suratman Markasan, Mohammed Latiff


Mohammed, Yatiman Yusof, dan Hadijah Rahmat, kerana tulisan mereka mengandungi
permata berupa pengamatan sosial, termasuk isu-isu tentang kehidupan agama, jurang
kelas dalam masyarakat, jenayah, masalah kepimpinan, kemajuan, dan sebagainya.

Justeru, saya syorkan agar kita dapat tingkatkan mutu pembelajaran sastera dalam
kurikulum bahasa di sekolah-sekolah kita. Ini bukan hanya dapat menggalak pelajar-pelajar
kita agar berjinak-jinak pada teks-teks bahasa Melayu, tetapi sekaligus memahami
pandangan pemikir-pemikir kita.

Semoga kita dapat terus memartabatkan bahasa kita, dan memajukan masyarakat kita
melalui nilai dan jati dirinya. Saya yakin, sastera boleh menjadi pemangkin pada usaha kita
untuk memartabatkan penguasaan bahasa kita.

Dr. Norshahril Saat. (2018). Sastera Boleh Dijadikan Pemangkin dalam Martabatkan
Bahasa Melayu. Artikel diperoleh daripada:
https://berita.mediacorp.sg/mobilem/commentary/komentar-sastera-boleh-dijadikan-
pemangkin-dalam-martabatkan/4122830.html
SAJAK MERDEKA – ANAK MERDEKA

Siapakah aku yang sebenarnya,

Hanyalah sahaya di bumi yang nyata,

Aku lemah tika tanahku dibadai musuh durjana,

Aku hanya pasrah tika melihat lautan manusia yang tiada nyawa,

Sungguh sukmaku meronta sungguh hatiku merana,

Disaatku jagaku yang tiada pula lenanya,

Seringkali ku tertanya bilakah pula akan tiba satu masanya,

Hampir di tiap waktu aku mengadu pada sang Maha Kaya,

Biarlah sengsara ini kan berakhir jua,

Masanya sudahpun tiba,

Doaku selama ini termakbul jua,

Gema laungannya memenuhi ruang telinga,

Sungguh tidak terkata rasa syukurku padaNya,

Dan kini sungguhku bangga,

Kerana akulah anak merdeka.


SAJAK PKP – COVID-19

Sedang dunia gembira dengan harinya,

Musibah pula yang datang melanda,

Sebermula dari negara China,

Melebar pula ke segenap benua di dunia,

Apa yang sudah kepada dunia,

Dahulunya mekar senyum terbit dibibir manusia,

Kini hanya tangis dan airmata mampu mengungkap satu rasa,

Dahulunya satu ruang dipenuhi umat manusia yang bergembira,

Kini penuh dengan mayat yang tiada nyawa,

Dahulunya nyawa menjadi kepentingan tadbirnya,

Kini politik pula yang menjadi utama,

Dahulunya rakyat keluar mencari kerja,

Kini mereka pulang dibuang kerja,

Yang hidup miskin bertambah miskin,

Si kaya pula yang meminta-minta,

Adakah dikau sedar duhai teman,

Pandemik ini bukanlah satu mainan,

Pandemik ini bukanlah satu gurauan,

Tetapi inilah satu ujian dan juga rahmat untuk sekalian umat,

Betapa kita leka dengan dunia,

Tuhan menyedarkan kita dengan kekuasaanNya,

NAMA: SITI NUR KARMILA KAMILIA BINTI OSMAN

UNIT: BAHASA MELAYU 3

Anda mungkin juga menyukai